Pages

Sunday, January 17, 2016

Apa Kau Cari?

Oleh Azman Hussin

KAU bertanya aku, apa semua ini, hidup ini untuk apa? Ya, untuk apa kita semua ini hidup, kemudian mati. Dan begitu lagi seterusnya!

Esok umat Islam menyambut Ramadan, dan dalam bilik hotel ini, dibungkus kedinginan, dalam kepulan asap marijuana Thai, kau lincah berbicara soal politik-ekonomi-sosial. Juga soal hidup! Kau bicarakan soal hidup, yang seandainya ada pilihan, katamu, biarlah aku tidak wujud langsung di dunia ini. Hidup menyusahkan, hidup ini tak berguna. Hidup bermaksud jahanam. Hidup satu accident, dan kewujudan manusia sungguh tak ada maksud apa-apa. Semuanya tak berguna. Tolak-kali-campur-bahagi, semuanya tak ada guna apa pun.

Lirik matamu tajam merenungku. Aku masih khayali. Botol Carlsberg separuh kosong di tangan kirimu. Di tangan kananku sebatang rokok daun berisi ganja. Memandang wajahmu, aku terimbas rupa Che Guevara. Ya, air muka kalian seiras - bermimik sedih, memohon simpati, penuh kasihan, meski bentuk muka kalian berbeza, meski jiwa kalian diamuk pemberontakan.

Kau sebutkan Sisyphus, tokoh popular mitos Greek itu analogimu - manusia menjalani hukuman setiap hari, menolak batu ke puncak bukit, lalu batu itu digolek ke bawah, lalu digolek lagi ke atas. Sia-sia saja.

Bola matamu kuyu, merah saga, kau kelihatan insomniac, mulai menyumpah lagi: Kau lihat saja manusia setiap hari, tak kira tua muda, semuanya membuat perkara sama, monoton. Bangun pagi, pergi kerja, merungut, letih, balik, tidur, dan seterusnya begitu lagi. Tidakkah itu mengulangi kerja Sisyphus, kemudian mampus?

Apa semua ini, kau bertanya lagi.

Oh, mengapa kau sebegitu jahil? Kau memang manusia gila, pencari yang tak puas-puas, kemudian kau dikhayal kemabukan, kehausan sesuatu yang kau tak pasti apa. Kau deskripsikan dirimu begini: the great free thinker, pencari makna hidup, dan sedikit cedera otak. Kenapa hidupmu begitu? Kerana gizi makanan tak seimbang kala kecil, katamu. Kerana sosialisasi zaman kanak-kanak terlalu kejam. Kerana suasana zaman remajamu haru-biru.

Apa nak buat, kau menyindir, Tuhan sudah menetapkan nasibku begitu.

Kau kupas teori Big Bang-mu, saduran idea Stephen Hawking, penulis buku Black Hole. Kalau Nietzsche ditakwil menyadur teori evolusi Charles Darwin dalam kaji hayat, kau mengadaptasi idea alam semesta Hawking demi menzahirkan kebenaran pemikiranmu.

Kau mengumpamakan dunia ini terjadi hasil satu letupan besar. Kita semua hasil peleburan tadi. Dan kau sebutkan bola snuker.

Dakwamu, terjadi big bang, entah bila, entah di mana, entah bagaimana! Zarah-zarah bertembung, lalu berlaga, pecah, terserak, terus bergerak, dalam anarki, huru-hara, membentuk satu kehidupan hingga gelombang letupan tadi berakhir. Begitulah dunia ini, katamu, dan kau menyuruh aku membelek kitab Mukadimah Ibnu Khaldun. Tulis Ibnu Khaldun, katamu, sifat dan jiwa manusia ditentukan faktor persekitaran, genetik, jantina, ras, makanan dan berjuta unsur lagi, yang semua ini tidak dipilih manusia. Kau sebutkan lagi Freud, Skinner, Carl Jung, dan ahli psikologi lain, yang juga menggubal konklusi hampir sekata.

Kau langsung menyatakan manusia tiada pilihan. Segalanya ditentukan. Mengapa, tanyamu! Kerana seluruh akal kita dibentuk unsur-unsur yang tidak kita pilih tadi. Adakah kau memilih dilahirkan bila, di mana, jantina apa, bangsa apa dan berbapakan siapa? Dan semua unsur membentuk fikiran manusia. Simpulmu, kita semua jelas tiada pilihan.

Sambil ketawa, kau syorkan juga dirimu barangkali seorang aties. Paling tidak, seperti Albert Einstein. Mukamu girang mengucapkannya. Sinar matamu cerlang. Aku tahu siapa Einstein! Dia sendiri mengakui adanya suatu kuasa besar mengawal segala kejadian atas dunia ini. Itukah yang belum kau jumpai dalam biografi hidupnya?

Kau ketawa, kau ketawa lagi, hingga gegar meja kita berdua berdebat. Kau minum, dan aku juga minum. Kita tak berpuasa. Ternyata kau lebih kuat. Kau menepuk meja, kadangkala jarimu menuding mukaku. Kau tak pedulikan manusia sekeliling. Mereka sudah lama mati, mereka berpenyakit saraf, sumpahmu. Mereka semua manusia robot. Mereka semua abdi. Siapa kata hamba abdi sudah hapus? Manusia beriman manusia berpenyakit, itu lagi-lagi kau petik fikiran Freud Yahudi itu.

Jika kau fikir Tuhan wujud, maka wujudlah dia dalam jiwamu, kau tukaskan pula fikrah seorang ahli falsafah. Seingatku itu Emerson.

OK, kalau begitu, cuba kau bayangkan wajah seseorang yang tak pernah kau lihat. Bolehkah? Tentu tidak, manusia tak pernah dan tak mungkin dapat membayangkan sesuatu yang tak pernah dilihatnya. Begitu juga Tuhan, Tuhan sememangnya wujud kerana itu Tuhan selalu terdetik dalam jiwa manusia manapun.

Dan engkau berdalih, jika agama benar, ucapmu, yang lebih benar lagi begini: setiap hari kulihat wajah-wajah neraka. Apa ditulis dalam kitab agama tak mungkin dapat diamalkan manusia. Itu utopia, semacam khayalan Thomas More. Semua manusia pada asasnya, tidak dapat tidak, penganut individualisme. Mereka semua bertindak atas kepentingan diri sendiri, dan ini paradoks dengan agama. Bolehkah agama memaksakan sesuatu yang berlawanan dengan fitrah manusia?

Senyum. Senyumlah mampu kubuat, walaupun sebenarnya kau silap. Al-Quran jelas saintifik, rasional, praktikal, berpadanan dengan kudrat manusia. Sejarah sudah membuktikannya beribu-ribu tahun lampau.

Kau tahu, apa itu fitrah manusia? Semua manusia sebenarnya, pada asasnya, sukakan kebaikan, kemurnian, meskipun dirinya sendiri bergelumang dosa. Manusia dijadikan berfitrah baik. Adakah kau suka anak perempuanmu kelak dikahwini lelaki sepertimu?

Kau diam, lalu mengajak aku berjalan-jalan sehari lagi di sini. Check- out dari hotel berbintang komunis tadi, KL memang serabut. KL berwajah pucat. KL sudah pening. Kau bencikan peminta-peminta sedekah di kaki-kaki lima itu. Marahmu, mereka seharusnya kuat, jika tidak lebih baik mati, hanya yang kuat akan terus wujud, aku sedikit pun tak kasihankan mereka. Sambil itu kau ceritakan duniamu: dadah, perempuan, arak, penipuan, dan sekali-sekala judi. Kala remaja kau pengagum idea sosialis-marxis. Karl Marx, Che Guevara, Lenin, atau Mao kau hayati sepenuhnya idea mereka. Waktu itu, aku tahu, kau dimabuk eskapisme kronik. Itu kau akui sendiri kini. Itu hanyalah kekacauan identiti kala remaja.

Wajahmu seperti lelaki Indon. Bulan puasa, hari ini Ramadan pertama, kau merokok, dan mereka tak peduli, mungkin kau beragama Kristian. Kau berseloroh panjang, anak bulan tak nampak, aku teropong pakai teleskop Galileo.

Kau menggalas beg, merokok, bibirmu seolah mengucapkan: pergi mampus dunia!

Galileo, Galileo, kasihan dia. Dia korban dogma agama. Dunia akhirnya memenangkannya, tapi agama menghantarnya ke neraka lebih awal. Kau lagi- lagi menyindir agamawan.

Aku katakan: dalam al-Quran jelas memperlihatkan tanda-tanda kewujudan Tuhan. Mengapa kau tak mempercayainya?

Suaramu menengking, aku tak mahu kau berbahas pakai dalil kitab itu!

Kau tak mengimani al-Quran?

Kau hanya senyum.

Adakah kau selesai membacanya?

Argh, tak perlu dibaca, sejak kecil aku diperdengarkan cerita al-Quran, membuat manusia mana pun bosan dan muak.

Kemudian kau akui sungguh-sungguh: Aku malah memang tak mengimani wujudnya Tuhan! Tuhan sudah mati, itu Nietzsche, dan dia dungu; Tuhan sesungguhnya tidak mati, kerana Tuhan memang tiada.

Aku tahu kau sendiri takut mengucap lafaz kekufuranmu itu. Wajahmu tegang dan beku. Matamu menunggu reaksiku. Pada wajahmu tampak rasa bersalah dan kesal.

Sunyi dan sepi bertebaran di celah kesibukan kota.

Aku tahu seluruh kekecewaan hidupmu. Latar belakang hidupmu gelap. Sejarah lalumu hitam-pekat. Lalu kau terhantar masuk ke alam marijuana, arak, pelacuran, dan segala macam kebangsatan. Kau pernah mencintai seorang gadis, aku tahu, kau selalu dan masih mengenangkannya. Setiap kehendak manusia tak semestinya mampu dicapai. Aku tahu, kau selalu mendoakan kebahagiaan, meminta pada Tuhan, berikanlah kalian kebahagiaan. Dia meninggalkanmu. Dia menipumu.

Kemudian kau berasa dizalimi. Sebenarnya kau bukannya menafikan Tuhan, tapi kau marahkan Tuhan. Kenapa? Kerana Tuhan tidak memakbulkan doamu. Itu saja. Terlalu banyak kekecewaan kau alami dalam hidup ini. Kau kecewa pada kehidupan ini, kau menganggap Tuhan tidak adil. Tuhan wujud, kerana itu ada manusia tidak mempercayai-Nya. Mana boleh hanya ada nama, tiada pemiliknya.

Pada satu saat, pada satu titik, pada satu jeda, kau akan merasai kewujudan Tuhan, dalam hatimu, kala kau sendirian. Atau kala dilanda kesedihan atau kesusahan. Dan kau tidak boleh membohongi dirimu sendiri lagi kala itu. Kau akan berfikir: apakah dunia ini terjadi sendiri, kemudian kau akan berfikir lagi, tentu semua ini ada penciptanya. Itu sudah fitrah manusia. Ia akan terdetik dalam hatimu. Apa kau fikir dunia ini terjadi sendiri, tiada penciptanya? Itu bohong! Kau menipu dirimu sendiri. Jika Tuhan tiada, apa jadi dunia ini? Semua manusia akan menjadi tuhan.

Kemudian, fikirlah, dunia akan hancur. Tuhan akan berperang sesama sendiri. Dan itulah yang sedang terjadi kini. Cuba bayangkan, sekiranya semua manusia hanya mempercayai kebenaran fikirannya sendiri, apa akan jadi? Setiap manusia akan jadi Tuhannya sendiri. Sebutlah seberapa banyak mana pun pemikir agung, dari zaman Thales hingga saat WTC dirempuh - Freud, Einstein, Karl Marx, Bertrand Russel, Sartre, malah sesiapa saja- ternyata idea dan fikiran mereka tidak boleh memandu manusia membina kehidupan lebih utopia. Dan tidak kurang juga, muncul manusia berfikiran gila dan cuba memusnahkan dunia.

Sejarah membuktikan akal manusia terbatas, dan manusia memang perlukan tuhan. Pernah seorang aties, kala dilambung ombak, memanggil-manggil nama tuhan. Sejarah juga membuktikan kebangsatan manusia yang mencabar kuasa tuhan. Dan satu-satunya sumber yang harus kau kaji adalah wahyu dari langit, bukan fikiran manusia seserabutmu.

Kau perkenalkan dirimu free thinker, dan jika benar kau berfikiran terlalu logik seperti kau dakwa, kau sendiri akan merasai wujudnya Tuhan.

Kalau Tuhan wujud, aku tak bersalah, katamu, Tuhanlah penentu nasibku sejak azali begini. Jika syurga neraka wujud, sudah tentu semua manusia mahu ke syurga. Semua orang takutkan neraka. Jadi, apa semua ini? Kalau begitu, mengapa manusia memilih ke neraka, dengan berjudi, berzina, mabuk? Betulkah syurga wujud? Kau terusan menguasai pembahasan.

Satu analogiku tentang keinginan ke syurga: kegilaan dunia itu seperti kecanduan dadah. Setiap penagih dadah mengetahui nasibnya berakhir buruk. Barangkali mati dilanggar lori kala khayalkan syurga, mampus dibaham HIV, semuanya akan berakhir buruk. Begitu juga neraka, setiap pendosa mengetahui dirinya bakal dihumban ke sana, tapi keasyikan duniawi melekakan mereka. Hati mereka sudah berkarat. Itu saja pokok masalahnya.

Sungguh, aku tak boleh menyalahkanmu seratus persen. Hidupmu kau anggap dilanggar petaka setiap saat, hingga kau terfikir matilah penyelesaiannya. Untuk mendamaikan jiwa, kau harus memaafkan segalanya. Abraham Lincoln, benar katanya, kita semua produk persekitaran. Alam membentuk manusia. Mereka semua juga bertanggungjawab jika kau dikirim ke neraka, percayalah! Dan benarlah teori Big Bang-mu itu dalam soal ini.

Kau tiba-tiba tersedu-sedan. Emosimu terganggu. Dan kau terus-terusan bebelkan kemarahanmu pada agamawan. Mereka semua gila, berpenyakit saraf, penganut dogma karut, taklid buta, jumud. Itu pinjaman analisis Freud yang kau agung-agungkan seperti nabi.

Mereka menyatakan aku sakit otak, sebetulnya mereka inferiority complex.

Agama sebenarnya betul. Kau keliru, agamawan tak semestinya mewakili kebenaran agama. Bahkan, kadangkala merekalah merosakkan agama, mengaburkan agama, mempergunakan agama. Kau dikelirukan.

Oh, kemudian kau lenyap. Kita tak habis lagi berdebat dan berhujah mencari kebenaran. Lepas itu aku tidak tahu engkau ke mana. Engkau hilang terus. Ghaib, dan ghaib tanpa kesan. Aku yakin kau sendiri tak pasti tentang kehidupan ini. Aku masih ingat lagi saat-saat terakhir kita berpisah, kala engkau akui engkau sendiri tak pasti sama ada Tuhan itu wujud atau tidak. Aku percaya, fikiranmu tak stabill, dimotivasikan rasa pesimis dan frustrasi terhadap hidup.

Aku mahu kau maafkanlah dunia ini.

Bijaksana bererti memaafkan segalanya.

Maafkan dunia!

Maafkan manusia!

Maafkanlah dirimu sendiri!

Kemudian kulihat engkau di akhbar. Engkau terbunuh dalam satu kejadian tembak-menembak. Suatu malam, bersama dua rakan, selepas berjaya merompak sebuah bank, di sebuah kelab malam, kala bersuka ria dan mabuk, engkau mati di muncung pistol!

Itukah akhirnya hidupmu?

No comments: