Pages

Tuesday, February 02, 2016

Spuhseeba Nikita

Oleh Ghazali Lateh

"ZEN!"

"Nikita?"

"Tepat sekali Zen!"

"Hahha!! Terlalu besar namaku yang kau-tulis pada pemidang itu, Nik!"

"Supaya senang dilihat, Zen!"

"Dobriy dyen (selamat tengah hari) Nik!"

"Huh! Kau sudah pandai berbahasa Russia."

"Engkau yang mengajarku lewat Excite Chat!"

"Bagaimana perjalanan?"

"Memenatkan Nik! Tapi aku bukannya berlama-lama di sini."

"Ya! Aku tahu. Kau akan ke Tromsoe!"

"Besok!"

"Aku akan menemanimu hari ini."

"Spuhseeba, Nik! Terima kasih."

"Kau cepat belajar, Zen!"

"Kau yang cepat mengajar!"

"Kau tahu bahasa Turki untuk terima kasih?"

"Tidak Nik!"

"the-sheh-kur-eh-deh-reem..."

"Huh! Baik sahaja aku belajar bahasa Rusia...denganmu Nik!"

"Hari ini baru kulihat wajahmu sebenar, Zen."

"Ya! Selepas setahun berborak dalam talian. Ini pun atas jasa baik Jostein! Dia yang membiayai perjalananku ke Norway."

"Buat pertama kali?"

"Ya!"

"Hari ini kau akan menjadi tetamuku! Aku sudah menempah bilik di asrama belia, di Zubovsky Boulevard. Kau akan selesa di sana. Di seberang Sungai Moskva ada Gorky Park, yang kuceritakan dulu!"

"Kau tinggal di mana, Nikita?"

"Buat masa ini aku masih tinggal di kampus. Sekarang cuti musim sejuk. Tapi kerana kau akan datang hari ini, aku menangguhkan kepulangan."

"Kau bukan dari Moscow?"

"Tidak!"

Pertemuan pertama kali dengan Nikita membangkitkan pelbagai persoalan. Pertama dia kulihat berbeza amat dari wajahnya dalam e-mel yang dihantarnya sebelum ini. Aku membayangkan wajahnya seperti Natasha Kinski dengan rambut perang keputihan lurus berjuntai ke kening. Tapi dia bertudung sopan. Adakah sekadar mahu mengambil hatiku? Ramai wanita yang memakai tudung hari ini sekadar fesyen mahu memenuhi kehendak persekitaran dan masyarakat. Bukan ikhlas! Lebih-lebih lagi telah timbul konflik keagamaan di Amerika semenjak bangunan WTC dirempuh pesawat terbang. Mereka sangat sensitif dengan wanita bertudung dan lelaki berserban mahupun berjanggut panjang.

Persoalan itu masih kupendam. Tidak sopan untuk bertanya sesuatu dalam pertemuan pertama. Setahun lebih berhubung lewat e-mel dan berborak dalam Excite Chat. Aku perlu tahu lebih banyak tentang dia, Nikita.

"Bagaimana di Malaysia sekarang?"

"Bahasa Melayumu bertambah baik, Nik!"

"Terima kasih. Bahasa Melayu mudah dipelajari."

"Tetapi ada rakyat Malaysia sendiri yang tidak petah berbahasa Melayu!"

"Aku bertanya tentang negaramu Zen."

"Maksudmu tentang apa?"

"Politik... atau ekonomi?!"

"Politik kembali stabil. Ekonomi juga semakin stabil. Malah aku sebagai orang biasa tidak pernah berasa tertekan dengan masalah ekonomi. Aku masih mewah berbelanja. Kau tahu... aku baru menukar kereta, hohho!!"

"Kau patut bersyukur kerana mempunyai barisan pemimpin yang berkarisma dan berwawasan. Kami di sini masih gawat. Nilai rubel jatuh mendesak. Tapi syukur aku berjaya menyelesaikan kuliah. Aku belum pasti untuk bekerja atau berehat dahulu."

"Kalau kucadangkan sesuatu, kau menerima?"

"Katakan Zen!"

"Datang ke Malaysia! Boleh berehat dan makan angin sekali. Cutiku masih panjang, dan boleh kutemankan kau."

"Aku harus pulang menemui ibu bapa."

"Di mana?"

"Tashkent!"

"Di sana majoritinya Islam?"

"Ya! Dan aku seorang Islam!"

Diam sejenak!

Sukar benar aku mempercayai bahawa Nikita seorang Islam. Dia langsung tidak menyatakan sebelum ini. Namun aku juga bersalah kerana tidak pernah bertanya. Pada pandanganku, orang Russia majoritinya bukan Islam. Kalau Islam pun sudah ramai yang tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya. Seperti di Bosnia, juga di Kosovo yang sering menderita dilantak peperangan yang memanjang.

"Namamu Nikita! terlalu ramai perempuan Russia yang bernama Nikita!"

"Itu hanya nama untuk berborak di alam siber!"

"Bukan nama sebenar?"

"Bukan!"

"Yang sebenarnya?"

"Ameena Jalelluddeen! Aku pasti Zen juga bukan namamu yang sebenar! Dalam chat-room tidak ramai yang menggunakan nama sebenar. Engkau menyamar!"

"Ya, betul! Namaku Muhammad Zain."

Kuingat kembali rakan-rakan siber yang sekian lama berborak dalam talian, terutama lewat Netmedia. Ada Medusa, Ayob, Puteri, Awang, Ina, Mus dan ramai lagi. Semuanya bukan nama sebenar.

Namun ada juga yang jujur. Mereka membentuk satu rangkaian persahabatan yang unik. Setelah puas berbicara dalam chatroom, mereka menganjurkan pertemuan secara beramai-ramai. Malah aku sendiri terpaksa mereka-reka pelbagai alasan untuk tidak hadir dalam majlis perjumpaan di sebuah restoran makanan segera Pasar Budaya bulan lalu.

Sudah kunyatakan pada Jostein bahawa aku akan berhenti di Moscow sebelum terus ke Norway. Kedinginan di tanah Russia ini seolah menggigit tulang. Ke utara Norway. Aku belum pasti dapat bertahan dengan cuaca yang begitu asing.

"Kau dingin, Zen?"

"Dulu aku teringin amat untuk memegang salji. Malah aku pernah terfikir untuk mengepal salji supaya bulat dan meletakkan sirap. Seperti zaman kanak-kanakku dulu, menyonyot ais kepal ketika pulang dari sekolah."

"Cuaca di sini antara 0 hingga 6 darjah Celsius. Ini mungkin keterlaluan buatmu Zen!"

"Kau teka berapa lapis pakaianku kini?"

"Aku tidak suka meneka! Hihhi!"

Aku masih sangsi dengan pengakuan Nikita bahawa dia seorang Islam. Malah lewat bicara sibernya, dia lebih menampakkan atiesme. Banyak bersandar pada logik dan rasional. Aku teringat e-mel terakhir yang kubaca sebelum berangkat semalam. Seorang yang bernama Joseph Abraham atau nama asalnya Mohamed Haykal mempersoalkan tentang kesahihan al-Quran. Dia orang Mesir yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam. Namun dakwanya, dia gagal mencari kebenaran dalam Islam.

Kini ramai orang Islam yang berfikiran begitu. Malah mereka sudah berani mengkritik Islam secara terang. Salman Rushdie dan Tasleema Nasrin terkenal kerana menghina Islam. Ahhh! Mudah sangat seorang Islam terkenal. Hanya dengan menghina Islam, pihak Barat terus sahaja menyanjung mereka. Bagi mereka Islam sinonim dengan keganasan. Mereka tidak sedar siapa yang sebenarnya pengganas.

Di Malaysia gejala ini sudah lama menular. Gadis Islam mula terpengaruh dengan budaya ini. Ramai yang dilaporkan meninggalkan Islam atas alasan berkahwin dengan bukan Islam. Ada yang melarikan diri dan tinggal di negara yang membolehkan mereka bebas sebebas-bebasnya.

"Apa yang kaufikirkan Zen?"

"Tentang engkau Nik!"

"Tentang aku? "

"Hmmmm..."

"Aku tidak cantik?"

"Cantik! Malah lebih daripada yang kujangkakan. Terutamanya apabila bertudung begini."

"Aku memang bertudung apabila berada di luar."

"Habis gambarmu yang kauhantarkan dalam e-mel itu?"

"Itu gambar peribadi. Engkau antara beberapa orang yang memiliki gambar seperti itu."

Tiba-tiba datang dalam mindaku satu persoalan yang perlu kubincangkan dengan Nikita. Tentang Jostein! Kenapa dia beria-ia benar membiayai aku ke Norway. Sedangkan dia mampu ke Malaysia jika dia mahu. Anak-anaknya sudah pasti lebih daripada mampu untuk membiayai perjalanannya.

Ada juga kebimbangan berputik dalam hati kecil ini. Dia bekas seorang mubaligh Kristian. Dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya memberikan sumbangan kepada rumah kebajikan Kristian di Tromsoe.

Sebaliknya Jostein tidak memberitahu aku tentang itu. Aku cuma mengetahui segala tentang dirinya setelah membuka hompej dan ICQnya. Dalam hompejnya itulah diceritakan bagaimana serius penglibatannya dalam gerakan Kristian. Adakah pelawaannya itu bertujuan mempengaruhiku supaya tunduk kepada gerakan dakwahnya?

Itu tidak mustahil kerana kerap benar dia menyertakan baris-baris ayat dalam Injilnya untuk membuktikan sesuatu tanggapannya. Namun aku juga tidak ketinggalan memetik nas-nas al-Quran untuk membuktikan bahawa Islam itu mencakupi semua aspek kehidupan. Kusertakan juga petikan hadis sahih yang boleh membantu hujahku apabila sesuatu kekeliruan wujud.

Baru-baru ini dia mengirimkan aku sebilah pembuka surat yang unik. Bahagian kepala pembuka surat itu dihiasi dengan batu merah jambu yang berkilat. Seperti batu cincin. Untung juga bukan palang salib! Dakwanya, batu itu diukir dan digilapnya sendiri. Katanya batu itu hanya terdapat di kawasan perbukitan utara Norway. Menarik! Dan pembuka surat itu kubawa ke sana-sini untuk kutunjukkan kepada rakan-rakan. Sebagai bukti bahawa persahabatan manusia sejagat kini sudah tidak ada sempadan. Persahabatan maya. Sebagai balasan kukirimkan beberapa helai skaf sutera dan tali leher batik yang kubeli di Pasar Budaya.

"Apa yang mengganggu fikiranmu Zen? Engkau rindu kampung halaman?"

"Aku memikirkan Jostein! Kenapa dia bersusah benar membawa aku ke Norway?"

"Mungkin dia senang denganmu, setelah sekian lama berhubung melalui e- mel."

"Masalahnya Nik, dia bekas seorang mubaligh Kristian! Lebih-lebih lagi konflik Islam-Kristian kini semakin meruncing, semenjak runtuhnya WTC."

"Ya?!"

"Engkau tidak tahu?"

"Tidak! Aku cuma senang berbalas e-mel dengannya. Aku hanya kagum dengan kecantikan negara Scandinavia itu pada musim bunga dan luruh. Jostein tidak putus-putus mengirimi aku gambar-gambar menarik itu."

"Kepadaku juga dihantar beratus-ratus gambar setiap kali perubahan musim di Tromsoe."

"Kenapa kau harus begitu bimbang, Zen?"

"Aku kurang pasti pegangan agamaku kukuh atau tidak. Aku takut imanku belum cukup kuat untuk menghadapi propaganda Jostein."

"Berfikirlah secara positif. Sebagai seorang Islam aku juga bimbang. Kebelakangan ini golongan muda Islam terlalu mudah terpengaruh dengan dakyah agama lain. Mereka terlalu mementingkan keseronokan yang disogokkan. Mereka melupakan ajaran Islam yang sebenarnya!"

"Engkau bagaimana Nik?"

"Alhamdulillah! Ibu bapaku alim. Mereka berdakwah menegakkan Islam di Tashkent."

"Maksud engkau?"

"Aku ingin menjadi seorang Islam yang beriman dan berfikiran maju."

"Aku kurang faham!"

"Islam yang tidak terlalu terikat pada dogma. Yang penting berbalik pada ajaran al-Quran dan hadis."

"Bagaimana?"

"Generasi tua terikut dengan pandangan ulama silam. Pendapat sebegini perlu pengubahsuaian mengikut perkembangan zaman."

"Tidakkah Islam itu agama semua zaman?"

"Sebab itu kita tidak boleh ketinggalan! Jika kita tidak melakukan penyesuaian, orang lain akan berkata Islam itu ketinggalan zaman. Alasan inilah yang dijadikan senjata pihak musuh Islam untuk mempengaruhi golongan muda Islam."

"Aku takut umat Islam tergugat akidahnya!"

"Tidak! Yang penting iman dan takwa mesti dijadikan teras. Dengan bertunjangkan kedua-dua unsur ini, bebaskan fikiran kita selagi tidak mencabar keagungan Tuhan dan kerasulan nabi."

Benar juga kata gadis Russia ini. Golongan muda hari ini tidak perlu ditakut-takutkan dengan dogma seribu tahun dahulu. Mereka perlu diberi kegembiraan dalam Islam. Mereka perlu diberikan keseronokan untuk beriman.

Apabila mereka menganggap agama itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan, barulah mereka menghampiri agama. Tidak ada paksaan dalam beragama. Agama yang dianuti dengan paksaan tidak akan melahirkan umat yang baik.

Nikita terlalu menghargai kedatanganku. Katanya akulah orang Malaysia pertama ditemuinya, kecuali seorang pensyarah pelawat yang bertugas di sana secara kontrak. Nikita membawa aku ke beberapa tempat menarik di sekitar Moskow.Aku terpegun memerhatikan Red Square yang menempatkan St Basil's Cathedral.

Sempat juga kami singgah sebentar di depan Lenin's Mausoleum yang direka bentuk oleh Alexei Shchuseo. Itu kata Nikita dan aku hanya mengangguk. Begitulah rasminya orang tidak tahu. Sekadar mengangguk setuju.

"Apa lagi yang istimewa tentang negaramu Nik?"

"Terlalu banyak!"

"Misalnya?"

"Kau akan melihat Russia secara mendalam apabila menaiki Trans-Siberia yang terkenal itu."

"Ya! Aku pernah menonton dokumentari National Geographic tentang kereta api yang menghubungkan Moscow dengan Vladivostok."  "Kita akan melalui beberapa buah bandar yang penuh dengan sejarahnya tersendiri."

"Contohnya?"

"Yaroslav merupakan bandar tertua. Menarik juga bandar Ekaterinburg. Ataupun kita akan terpegun dengan bandar tertua di Siberia iaitu Krasnoyarsk.

"Tidak pernah kudengari."

Masa terlalu pantas berlari ketika Nikita berada bersama-sama. Walaupun hawa dingin seringkali mengganggu, tetapi begitulah adatnya lelaki dengan seorang wanita. Waktu dianggap sebagai cemburu.

Yang melucukan, wuduk menjadikan aku terketar-ketar kedinginan. Namun kehangatan iman dapat mengatasi kedinginan itu dengan mudah. Aku gembira, setelah diminta menjadi imam kepada beberapa orang jemaah di musalla asrama belia.

"Terima kasih Nik! Layananmu begitu menarik hati."

"Dalam bahasa Russia?"

"Spuhseeba Nikita! Akan kuberitahu segala perkembangan di Tromsoe nanti. Barangkali Jostein akan membenarkan aku menggunakan komputernya untuk menghubungi engkau."

"Ya Zen! Aku tetap menanti berita darimu."

Pesawat Aeroflot meninggalkan bumi Russia dengan seribu kenangan. Namun hatiku masih berdebar. Apakah layanan di Norway nanti sama seperti yang kuterima dari Nikita. Lapangan Terbang Oslo menanti kedatanganku dengan hamparan salji memutih. Manusia di sini berbalut tebal dengan pakaian kain bulu mahupun kapas kelas satu. Percakapan mereka berasap kerana persekitaran yang dingin mencecah -10 darjah.

Mataku melilau mencari seorang lelaki tua yang setiap malam berhubung denganku lewat e-mel mahupun chatroom. Adakah dia datang dengan salib besar atas kerjaya sambilannya sebagai seorang mubaligh Kristian? Hatiku masih tidak tenteram berada dalam kelompok manusia yang terlalu asing itu. Aku seperti menghulurkan kepala ke dalam sarang tebuan.

"Zennn!"Aku terpinga-pinga dan tercari-cari arah suara itu.

"Zennn!"

"Jostein?!"

"Ya! Ini Jostein."

Debaranku semakin kencang, sekencang angin musim dingin tanah Scandinavia itu. Dalam hati, aku berdoa agar imanku kukuh untuk menghadapi apa saja dakyah kenalan siberku itu. Kami berpelukan seketika. Kemesraan lewat ruang maya memang terasa kehangatannya. Namun kelopak bimbang masih mekar. Berkereta dalam kedinginan aku disoal bertubi-tubi, tentang itu dan ini. Tentang cerpen dan karyaku. Tentang puisiku. Nyata Jostein seorang lelaki tua yang sentimental.

Tiba-tiba Jostein membelokkan kereta tuanya ke arah sebuah bangunan kecil di pinggir jalan. Aku tidak bertanya apa-apa walaupun seribu persoalan berlegar dalam benakku.

"Ini musalla. Kau mesti bersolat dahulu sebelum Asar berakhir. Perjalanan ke Tromsoe masih jauh," aku terpegun sejenak melihat langkah Jostein hilang di sebalik bangunan. Tidak sekali-kali kumenyangka aku dapat sujud menghadap Ilahi di bumi asing ini. Dan aku berdoa sepuasnya setelah memberi salam menandakan kesyukuran yang tidak terhingga. Ketika aku berpaling, kulihat seorang lelaki di belakangku menghulurkan tangan untuk bersalam. Jostein?

"Kamu?!"

"Ya! Tidak percaya?" Diam terkedu aku sejenak. Air mata gugur sendiri tanda tidak menyangka sama sekali bahawa aku tersalah anggap selama ini.

"Sudah lama?"

"Baru beberapa minggu."

"Bagaimana mulanya?"

"Nikita telah membawa aku ke jalan yang benar!"

"Nikita?!"

"Ya! Nikita! Dia seorang pendakwah Islam yang sangat berkesan." Tidak sedar aku memeluk orang putih bermata coklat itu kemas-kemas. Dia juga memeluk aku, saudara seagama yang dikenal lewat ruang maya yang luas.

"Alhamdulillah! Terima kasih Nikita! Spuh-seeba Nikita! Spuhseeba Nikita!"

Nikita menjadikan ruang siber wahana dakwahnya yang cukup berhasil. Dunia kini tanpa sempadan. Agama juga sudah tiada sempadannya. Agama Islam bukan milik orang Arab dan timur sahaja. Agama Islam bukan milik satu kelompok manusia sahaja. Agama Islam bukan agama keganasan. Agama Islam sepatutnya sudah menjadi agama umat manusia seluruh jagat raya.

Indahnya!!