Pages

Sunday, August 30, 2015

Harga sebuah merdeka

Oleh Ari Supardi

SINAR matahari di ufuk ceria-cerianya. Langit pagi baru biru sejahtera. Unggas-unggas melayah tinggi di angkasa sambil menari riang dan mendendangkan simfoni lagu kasih yang harmoni.

Tiada lagi udara rimas semalam yang mendesahkan resah bersama peluh jantan yang panas meruap. Segalanya sudah sejuk dan menjadi arang menurap jalan yang bersimpang. Ruapnya cuma sesekali terasa, tetapi ia dibangkitkan oleh rasa lain.

Pak Ku berjalan tercungap-cungap di celah pohon nyiur di taman Dataran Air Muleh, di pinggir Sungai Kedil. Sesekali dia perbetulkan kemeja lusuh berwarna biru pemberian anaknya, kancingnya dua lubang ranjat. Langkahnya terkekeh-kekeh, berhoyongan tongkat bambu yang sedikit bengkang, setiap kali kakinya berinjak.

Sampai di satu bangku, berhampiran pejabat bomba, Pak Ku labuhkan punggungnya yang dibungkus kain pelikat cap kuda, pudar warnanya menenggelamkan petak yang bersegi.

Dada bidang Pak Ku beralunan, lelahnya di lohong udara sempit di mukanya yang bundar dan sedikit tembam. Udara pagi disedutnya dalam-sedalam-dalamnya. Kesegaran terus menyelinap di sedut saraf arteri menguatkan semula tubuhnya yang uzur. Dia sedut lagi kedamaian dari segenap pelusuk tanah jantung. Semilir angin yang berhembus meresapkan bangga ke sanubarinya. Rasa gah yang menjadi tunjang kesetiaannya kepada tanah kelahirannya yang tercinta berkembang segar. Rasa yang telah 35 kali diangkat keagungannya oleh generasi baru.

Pak Ku perbetulkan duduknya. Di depannya, Sungai Kedil. Dia bersimpuh seraya menebarkan layar arusnya menuju ke kuala. Dia nampak semangatnya masih kembang bersama air keruh dari ulu itu. Semangat yang membangkitkan keluarbiasaan kekuatannya. Ruap perasaan yang kukuh bertunjang dalam dirinya sejak lebih 50 tahun.

Sinar matahari yang sudah kembang semangkuk memantulkan kilat cerianya di air. Pak Ku melihat kelibat silam beriak jelas di permukaan Sungai Kedil. Garis riak adalah beralun kalutan rasa zaman itu. Pak Ku masih ingat lagi:

"Kamu mesti sembunyi Ungku Seman. Khabar mengatakan Inggeris sudah memasang mata-mata untuk menangkap kamu," jelas Wan Ali, Ketua Kampung Kubang Derdap.

"Aku peduli apa. Biar mereka datang! Aku nak kecaikan kepala mereka dengan biji belerang yang keras ni. Biar mereka rasa macam mana sakitnya hati bangsa yang mereka khianati," ujarnya. Bara semangat sudah memarakkan bunga kemarahan. Digenggamnya kemas selaras senapang peninggalan Jepun. Dia sengaja tidak menyerahkannya kepada Inggeris kerana ingin mempergunakannya untuk menentang anjing laut itu.

"Pak Ungku," Zahir mencelah, "kita berundur dulu buat seketika. Kita lihat dulu rentak tarinya dari jauh. Bila kita dah tahu gerak ronggeng, masa itulah kita masuk berdendang," tambah anak Haji Malim, Lebai merangkap bilal kampung Kubang Derdap. Suaranya lunak, tetapi penuh firasat. Umurnya baru 20 tahun, tetapi pintar dan bersemangat.

Pak Ku terdiam. Kata-kata Zahir ada benarnya. Dia sememangnya tidak mahu selamanya jadi bahan buruan anjing upahan Banggali Putih. Dia juga sedar setiap gerak mesti waspada dan terancang agar hasilnya memuaskan. Lagi pun, tenaga yang ada di sekitarnya tidak seberapa. Dan langkahnya bersama pengikut yang secubit itu diundurkan selangkah dan berkubu di Bukit Muleh, di tebing Sungai Kedil.

Dan hari ini, Pak Ku beradu di puncak Bukit Muleh sekali lagi, mengimbau kembali kepahitan silam, menjadi gula kehidupan sekarang. Dia biarkan bahang matahari menggigit manja kulitnya yang sudah berkeriputan. Kulit berwarna sawo matang itu telah 69 tahun membalut tubuhnya yang sudah nampak gendut. Dulu tubuh itu tegap dan sasa.

Dia adalah Ungku Seman, putera sulung Ungku Jabar Jamalullail yang berkuasa di daerah Aur Hilir. Adik beradiknya cuma tiga orang: Dia, Ungku Jamaludin dan Ungku Samirun. Antara mereka, Ungku Seman lebih bersemangat memperjuangkan hak. Dua adiknya, Ungku Din dan Ungku Mirun lebih suka mengejar ilmu dunia. Mereka telah dihantar oleh Ungku Jabar ke England untuk mendalami ilmu pentadbiran.

Ungku Seman banyak membantu tentera Jepun sewaktu pendudukannya di Tanah Melayu sekitar tahun 1941 dulu. Dia adalah antara orang pertama yang didatangi oleh Jeneral Hitashi Yamanaga untuk mendapatkan bantuan, sebab itulah dia nampak intim dengan orang pendek itu.

Segala kehendak Ungku Seman ditunaikan dan segala kemahuan Jeneral Hitashi dilaksanakan, tetapi segalanya ada batas tersendiri. Dia tidak pernah melewati batas itu. Namun, masih kedengaran di cupingnya suara sumbang yang tidak senang dengan tingkahnya yang memihak anak serpihan negara matahari terbit itu.

Namun, bagi Ungku Seman, niatnya ikhlas: Dia ingin bangkitkan kesedaran di kalangan penduduk setempat yang buta nasionalisme berbanding orang di kampung sekitar. Dia mahu tanam rasa benci di dada mereka terhadap anjing laut yang tidak sedar diri. Kata, hendak berdagang, tetapi hasil negeri orang semahunya dipunggah pulang!

"Ungku Seman kata, Banggali Putih tu lintah darat, tetapi dia tu sudah jadi pacat si kenit, tak sedar."

Pak Ku sedar semua itu. Dia juga sebenarnya tidak sukakan Jepun. Mereka buas dan ganas. Malah dia seakan sudah kalih dengan sikap kuncu penjajah, baik Inggeris mahu pun Jepun, penghisap darah, licik dan suka menabur janji palsu. Katakata hanyalah seruas tebu di bibir cuma.

"Ungku, mana orang yang kamu janjikan dulu?" Jeneral Hitashi menuntut janji. Mukanya menyinga, matanya terjengil tajam ke arah Ungku Seman.

"Tuan Jeneral, saya dah dapatkan 10 pemuda semalam," jelas Ungku Seman, "sekarang susah sikit, tuan. Ramai yang sudah keluar dari daerah ini. Bersembunyi..." dia berasa sedikit tergugah.

"Mana boleh! Kamu sudah janji," suara Jeneral Hitashi bergegar kuat.

"Ah, Jepun pendek ni hanya fikirkan soal janjinya saja," bentak hatinya. Rasa meluat naik ke mukanya yang nampak kemerahan bagai udang dibakar mentah-mentah. "Kamu hanya fikirkan soal titimu di sempadan Burma-Thai, tetapi kamu tidak cuba ambil tahu keperitan mereka yang dikerah dan hidup melarat di sana. Kamu lupa akan harga satu nyawa!" Kemarahannya menular ke segenap saraf arteri tubuhnya, tetapi dia tahan. Dia tidak mahu kuncu penjajah itu mencium perasaannya, buruk padahnya nanti.

Ada air jernih yang pecah dan jatuh ke dalam arus Sungai kedil. Ia berjejeran beberapa ketika sebelum diserap oleh secebis kain kapas yang putih bersih. Di dalamnya terkandung hiba seorang yang berasa dirinya berdosa.

"Aku telah memancung bangsa sendiri," keluh hati kecilnya. Pak Ku rasa tertekan. Ada gertakan yang maha hebat menyergah dia. Tubuhnya menggigil ketakutan. Dia berasa amat sedih.

"Tuhan, ampuni aku!" Doanya penuh harap.

Cupingnya di datangi suara kebencian silam lagi: "Macam mana Ungku boleh terpengaruh? Kita semua tahu, dia memang tak suka ikut telunjuk, tetapi apa sudah jadi sekarang?"

Cupingnya terasa panas, dia berasa tertuduh oleh fitnah liar.

Bukan! Pak Ku menafi keras. Dia sedar mereka sudah melampau menuduhnya yang bukan-bukan. Pantang mak-neneknya diperlakukan begitu. Dia sebetulnya memang orang yang tidak suka ikut telunjuk. Dirinya bukan batu yang boleh dijadikan pelantar untuk melompat ke seberang.

Itu memang pantang baginya. Dia tidak peduli siapa mereka, baik Jepun, Inggeris mahu pun anak bangsa sendiri, pasti disanggahnya. Kalau ada yang cuba ambil kesempatan di atas kebaikannya.

Buktinya?

Jeneral Jepun yang menjadi komandan di daerahnya, yang digossip sebagai `kekasih'nya telah tersungkur di kaki Pak Ku sehari selepas Nagasaki dan Hiroshima hancur menjadi debu. Tubuh Hitashi Yamanaga yang pendek, montok dan berjalan seraya itik, bermata sepet dan berambut keras melandak, hancur lumat dicincang dengan pedangnya sendiri oleh Pak Ku. Ruang panas darah pacat kecil itu seakan masih terasa melumuri kedua-dua belah tangannya.

Pak Ku seakan masih terhidu hanyir yang menerawang di udara daerah Aur Hilir. Semilir angin bagai melayahkan hanyir ke segenap ruang baru yang sejahtera itu. Dahi Pak Ku berkerut. Dirasanya bagai ada sesuatu yang tidak kena. Bau hamis bergelombang di perutnya hingga meruapkan loya, perutnya baru berisi secawan teh di gerai Ah Seng, di kaki lima Hotel See Ah sejam lalu. Pak Ku menghidu-hidu, mengesan arah datangnya bau yang menggulung urat perutnya: "Ah, bau longkang!"

Pak Ku melirik ke jam Sanyo Quartz di pergelangan kirinya. Jam berwarna hitam legam itu menunjukkan waktu sudah sembilan pagi, bermakna sudah hampir dua jam dia duduk di situ. Dahi Pak Ku berkerut lagi bagai ada sesuatu yang tidak kena. Matanya melilau ke sekeliling. Dia hanya sendirian di situ.

"Mana mereka?"

Tiba-tiba di satu sudut, mata Pak Ku terpaku. Ada sesuatu yang mengharukan semula hatinya, sesuatu yang membawa semula cerita lama dan mutiara yang berkilau di kelopak bundarnya jatuh. Dia nampak dengan jelas tubuh-tubuh sasa bergelimpangan. Di dataran Air Muleh berlumuran cecair merah yang pekat dan beku. Dia dapat melihat dengan jelas tubuh Zahir, anak buah yang amat disayanginya, rebah di sisi Alang Isa. Mat Senik terbaring di samping Ajib Daud Bukit Lata. Dan di sekitar mereka terdampar kaku anak watan yang menadah dada berjuang menuntut hak.

Dentuman laras sudah lama sunyi, tetapi bau belerang masih menyesakkan lohong sempit, menyumbat sehingga dia berasa lemas dan rimas.

Phooommmm..!

Pak Ku tersentak: "Jahanam!" Gerutu hatinya.

Besi bernyawa bertempiaran lari.

"Macam mana ni, Ungku? Orang kita sudah ramai tewas. Bekalan pun hampir habis," suara Mat Sungil cemas tiba-tiba.

"Kita undur, Unku..." celah Mamat Botak.

"Pengecut!" Bentaknya. "Ke mana hilangnya semangat kamu semua?" Tanyanya keras, "hei, alang-alang celup pekasam biar sampai..."

"Ungku. Ungku..!" Jebul Siram tercunggap muncul di tengah kekalutan teman-teman seperjuangan yang terasa sedikti goyah: "Ungku...Inggeris...Inggeris su...sudah mara!" Suaranya tertekan, lelah dan cemas.

Pak Ku berasa ada kelainan dalam dirinya, tetapi ditahannya. Dia tidak mahu anak-anak buahnya melihat kegayatan pemimpinnya sendiri.

"Kita maju!"

Mat Sungil, Mamat Botak, Kemat, Jebul Siram, Din Semaun dan semua yang ada di dalam pondok buluh, di tengah Muleh berpandangan sesama sendiri.

"Apa lagi!" Disergahnya kuat dan mereka segera menyimpang mengatur jejak.

Beberapa ketika kemudian kelihatan lalang yang separas paha berkocakan dan berdentumlah letupan yang maha hebat dan tubuh-tubuh pun meruyup satu demi satu, ditusuk sang pembunuh buta.

"Celaka!"

"Apa hal Pak Ku?"

"Hah? O..." Pak Ku terbawa kemarahan silam, "tak...tak ada apa-apa. Dari mana?"

Pak Ku perhatikan langkah Jubir, pegawai bomba yang berpejabat empat meter dari bangku yang dia duduk sekarang melewatinya. Wajahnya nampak bersahaja, seolah-olah hari itu bukan penting. Pak Ku melepaskan pandangannya ke sekitar kawasan Bukit Muleh yang sudah diangkat sebagai antara destinasi penting pelancongan, cuma sebuah-dua kereta yang kelihatan diparking di hadapan pejabat daerah.

Ting. Ting. Ting. Ting. Ting. Ting. Ting. Ting. Ting.

Pak Ku melirik pada menara jam yang menjadi mercu tanda taman Dataran Air Muleh, di Bukit Muleh, "sudah pukul 10." Pak Ku bangun, bukan kerana jemu di bangku simen itu, bukan kerana dia sudah lenguh, tetapi dia kesal.

Pak Ku buka langkah menghala ke arah pejabat daerah. Setiap kali tongkat bambunya terhentak bersama injak kakinya, dia berasa tubuhnya bergetar: "Tuhan, berikan kekuatan kepadaku," mohon hati kecilnya penuh harap.

Pak Ku berhenti setelah beberapa langkah dia bergerak. Dia menoleh dan memandang ke segenap sudut puncak Bukit Muleh: "Kamu sudah jauh melampaui aku," bisiknya, "aku kagum. Sekurang-kurangnya inilah bukti perjuanganku. Bukan! Bukan...ini hasil jerih kami. Anak watan yang menuntut hak sendiri yang cuba dirampas dan diperlakukan sesuka hati."

Matahari yang sudah masuk usia remaja terasa amat buas. Cahaya ceria sudah begitu agresif menyubit kulit semahunya. Bunga raya, bunga melor, bunga kemboja dan bunga kektus tersenyum melenggang sejambang di rumpun di pinggir pagar pejabat daerah. Pak Ku berasa bebunga itu cukup ramah menyapanya dan dia menegurnya dengan mesra pula.

Pak Ku mengatur langkah lagi. Mukanya didonggakkan ke langit. Dia nampak seketul batu menggalah, di sisi ada tongkol kayu usang yang sudah hampir rebah dan di celah antara ketulan batu dan tongkol kayu itu ada batu yang beralun permukaanya.

"Sememangnya kau telah membangun" dirasanya sekelumit bangga menyelinap ke sanubari.

Langkahnya terhenti di satu simpang. Dia nampak ada segelintir manusia berkerumun di dewan di seberang jalan. Dia dengar ada orang berhujah petah, lancar dan bersemangat. Dia tahu sekarang mereka berkumpul di situ. Hatinya melonjak gembira.

Bagai ada sesuatu yang mendorongnya untuk turut serta. Kakinya dijulur. Dia berasa begitu bertenaga seperti hari pertama dia injak di Bukit Muleh dulu penuh waspada. Tetapi langkahnya sudah lama diperhati, jejaknya sudah dihidu dan akhirnya dia rebah. Longkang yang mengalir ke sungai Kedil meruapkan bau hanyir silam. Arus pekat, beku dan berketul.

Orang di dewan bergegas keluar, berkerumun di simpang.

"Ungku Seman..."

"Yang Berhormat kenal mangsa ini?"

Wan Ali mengangguk lesu. "Kau telah mengiringi anak buahmu dari jauh, Ungku! Semoga Tuhan meletakkanmu di samping orang-orang yang beriman," dia mengusap pipinya yang basah.

Majlis sambutan hari ulang tahun kemerdekaan dibatalkan dan ia diganti dengan majlis bertafakur mengingati seorang pejuang yang pergi.

No comments: