Oleh M Jusoff Taib
AKIM atau Mat Hakim bin Bujang Senik, gila. Inilah berita besar yang kudapati dari kedai kopi Wan Muis di kampungku -Kampung Gual Kuali.
Tentulah tidak sebesar berita kemangkatan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj. Tentulah tidak sepenting berita Barisan Nasional menang dua pertiga dalam pilihanraya lalu.
"Bila gilanya?"
"Mula belum pilihanraya. Dia nak tebas orang. Ramai yang takut Akim keluar mengamuk dengan parang penebasnya yang diasah setiap hari," demikian kata Wan Muis.
Padaku, gilanya Akim tidak munasabah. Akim bukan jenis manusia yang berserabut dengan aneka masalah. Pandangan hidupnya sederhana: Asal tak sakit demam dan berupaya cari makan sudah berpada.
Lain kalau Akim datang ke Kuala Lumpur. Aku pasti dia akan gila selepas seminggu mengalami sesak batin mengharungi penghidupan liar itu. Bagi Akim Kuala Lumpur boleh memungkinkan dia gila berbanding dengan dia tersesat ke dalam rimba penuh dengan pekikan gajah liar, ngauman harimau atau berbagai ugutan dari berbagai suara binatang ganas lagi.
"Kerana apa Akim gila?"
"Entah. Kata orang kerana pilihanraya, kata Wan Muis sambil mengangkat cawan kopi yang sudah dihabisi kopinya ole pelanggan dan mengelap mejanya.
Ini betul-betul tidak munasabah. Fikiran Akim mustahil berserabut dengan masalah politik. Lagi pun tak ada tokoh politik yang mahu melantik Akim jadi orang kuatnya. Penglibatan Akim dalam politik cuma secebis -pergi pangkah undi di pusat mengundi bila tiba hari mengundi.
Setahu aku, Akim cuma hidup untuk bekerja kais pagi makan petang dan kais petang makan pagi keesokannya pula. Semenjak tinggalkan bangku sekolah Melayu bersama dengan aku, Akim tak lupa dua senjata -parang berulu panjang alat menebas kebun bersemak-semun dan pisau penoreh getah.
Ketika Akim selamat ke usia 21 dan tiba musim untuk orang sibuk dengan kempen calon masing-masing, Akim masih menganggap dirinya hidup di zaman Raja Melaka -tak payah mengundi.
"Susah nak mengundi `tu. Bukannya apa, untuk orang menang pakai motokar besar," kata Akim apabila aku cuba memujuknya hidup cara demokrasi.
Tapi akhirnya Akim mahu juga mengundi. Masa itu aku masih berada di Gual Kuali yang memiliki dua surau bukan kerana penghuninya berpuak yang satu pakai Mazhab Syafi'e dan yang satu lagi pakai Mazhab Wahabi. Tapi kerana berpecah dua puak pakai Mazhab PAS dan Mazhab UMNO. Entah kitab muktabar mana pula parti politik jadi mazhab agama.
Pada sangkaku, Akim yang berbini Mek Selamah itu sentiasalah mengundi sebelum hari mengundi 90 yang baru lepas dan memanglah tepat. Setiap kali aku pulang ke kampung, tak lalai aku bertanya pada Akim: "Mengundikah kau?"
"Aaaah," katanya tak banyak patah.
Ketika sedang mengingat-ngingatkan Akim yang dikhabarkan sudah gila itu, sambil pula membelek-belek buku usang tinggalan zaman muda di kampung, kuping telingaku ditembusi cakap-cakap nenek tentang Akim: "Dahlah suaminya dah dikatakan gila, kesian Selamah dihalau ayahnya menoreh di kebun getah orang tua tu. Lakinya dahlah berkurung tak keluar-keluar, si Selamah nak makan beras pun susah. Tiga hari lepas, aku yang beri sepuluh ringgit. Tak kisah tak bayar pun. Bayar dengan kupas kelapa pun tak apalah."
Aku berhenti membelek buku. Berpaling menatap wajah berjalur usia itu sedang tunduk menganyam tikar. Apalah yang membuatkan nenekku berumur panjang dan masih kuat, tak ingatkan mati malah ingatkan kerja menganyam tikar hari demi hari -bisik hatiku.
"Kenapa pulak ayah Selamah halau dari menoreh getahnya?"
"Pasal apa lagi, kalau tak kerana Akim naik gila."
Ini lagi haru kepala aku. Takkanlah Akim gila lalu Selamah juga tak layak menoreh getah ayahnya sendiri?
"Bukan kautak tahu, Pak Mit itu siak surau PAS. Dia yang heboh kata, sapa-sapa undi lain dari darah dagingnya, haram. Dengar di telinga Akim, apalagi, celupar mulutnya kata mertuanya dah lantik diri jadi Nabi. Dengar pulak `kat Meun. Meun sampaikan pada Pak Mit. Apa tagi, peranglah. Sebenarnya Akim `tu tengah marahkan Tok Piah ..."
"Tok Piah `tu kan nenek saudara Akim?"
"Hah, itulah. Tok Piah pulak orang `46'. Tok Piah upah Akim menebas kebunnya yang bersemak-samun di hulu yang tiga ekar `tu. Belum Akim stat ayun parang, Tok Piah mahu Akim berjanji dulu ..."
"Janji apa?"
"Kena undi tok calon wakil `46"
"Habis?"
"Akim terus angkat parang sandang ke bahu, balik macam kerbau jantan gila betina."
Aku menggeleng kepala. Mengeluh.
Nenekku berceloteh terus: "Malam sebelum pilihanraya `tu, Chik Ngah Daik pula datang bertemu Akim. Dia tak akan mengaku anak saudara kalau Akim tak undi UMNO atau Barisan Nasional. Konon yang aku denganlah Akim apa lagi, mengamuklah dia. Katanya kalau dunia tak mahu mengaku waris pun tak apa. Dia tak akan mengundi esok ...
"Lalu apa jadi?"
"Esoknya kereta datang."
"Kereta polis?"
"Bukan! Kereta tampal lambang PAS dengan `46' datang, kereta lambang dacing pun datang. Nak bawa Selamah mengundi. Tapi mereka tak boleh masuk pagar rumah Akim ..."
"Kenapa?"
"Akim nak tebas dengan parang penebasnya."
"Jadi Selamah pun tak mengundi?"
"Dah Akim mengamuk, nak buat macam mana?"
Aku mengeluh lagi. Teringat Akim yang bukan kaki gaduh itu. Teringat hidupnya yang sederhana. Siang malam, pagi petang cuma fikir nak cari makan untuk diri, isteri dan anak-anak saja. Tak macam aku, perang bakal berlaku jauh di Tanah Arab pun nak fikir.
"Polis ada datang."
"Nak tangkap Akim?"
"Polis itu kenal perangai Akim. Takkan nak masukkannya ke lokap tak tentu sebab. Dia cuma datang nak menasihat. Halang isteri mengundi salah di segi undang-undang."
"Lalu?"
Nenekku nampaknya lenguh menunduk. Pergi ambil cerana sireh. Mengapur sireh sepiak lalu mengunyahnya. Dengan mulut berbuih air sireh, nenekku berkata: "Mahu juga Akim dengar bila polis datang menasihatinya. Pada Akim, cakap polis lebih didengarnya dari DO di Emas Pasir. Tak banyak cerita, dibenarkan Selamah pergi mengundi ..."
"Jadi Selamah mengundilah?"
"Eh, mana pula. Selamah pula cakap pada polis yang dia tak hendak mengundi. Nak tangkap bawa ke lokap tangkaplah. Dia tak peduli."
Aku mengeluh. Nenekku meludah. Keluar airnya merah, macam kanser tekak pecah.
"Kerana Selamah enggan mengundi, marah besarlah ayahnya itu. Tak mengaku anak dan tidak dibenarkan Selamah menoreh getahnya. Diberikan kepada Miah Birat."
Dapat kubayangkan Akim tanpa mnengasah parang penebasnya dan pisau penoreh getahnya. Sulit benar hidupnya.
"Ada juga orang kampung kita ni bimbangkan Akim naik isim lalu mengamuk."
"Dia tak keluar rumah pun?'
"Selamah kata masa kupas kelapa aku, belum lagi."
"Buat apa dia?"
"Kata Selamah, duduk beteleku dagu atas kepala lutut dakap bingkai tanggup."
Kalau sudah begitu, rasaku Akim sudah diserang gangguan jiwa. Tapi harap-harapku dia belum gila atau terencat akal. Kesian juga nasib bininya Selamah dan tiga orang anak gadisnya.
"Selamah cuba minta penawar dengan bomoh Tok Samah."
"Habis tak pulih juga?"
"Nak pulih macam mana pula, kalau Tok Samah enggan beri penawar. Dia orang `46'. Pergi pula dengan Pawang Sahak, enggan juga. Dia orang UMNO. Akim orang atas pagar. Orang tak kenang jasa orang. Orang tak kenal anak-beranak. Orang tak tahu menilai darah-daging."
Aku mengeluh lagi. Alangkah deritanya orang yang tak berpolitik di kampung kelahiranku ini. Walaupun makna politik bagi mereka yang jadi penghuni kampungku tak lebih daripada rupa alat sulit itik -berpulas-pulas. Dan politik itu sendiri tak lebih dari berpulas-pulas cakap berjebak buih mulut mengisi masa tak bekerja di kedai kopi Wan Muis.
Orang kampungku menganggap tokoh politik kecil yang datang bawa arahan parti bagaikan menerima sabda Nabi. Kalau pemimpin kecil itu sampaikan arahan: Kita mesti kutuk Mahathir habis-habisan, mereka pun macam menerima Rukun Islam. Wajib ditunai. Apa alasan pun mesti kutuk. Dan kalau datang pula pemimpin kerdil dari pekan yang bawa arahan kutuk Ku Li. Mereka pun kutuk habis-habisan. Mereka pun jadilah berpuak macam bertewas gasing zaman dulu hingga sampai bertetak dengan kapak, darah bersembur dan rebah dua tiga orang di gelanggang gasing. Sebabnya mudah saja, kerana selisih faham angkat tangan waktu pangkah gasing. Mereka tak peduli lagi cakap pengadil. Soalnya kalau kalah bertewas gasing, kemenangan mesti dengan kapak.
Aku mengeluh lagi.
Keesokannya, aku mendengar cakap politik di kedai Wan Muis yang hingar-bingar pasal hendak menggantikan penghulu dan imam masjid. Mereka seolah-olah tidak sabar menunggu arahan kerajaan negeri lagi. Mereka merasakan perlu dengan segera buang penghulu dan imam dari parti yang kalah. Seolah-olah kerajaan negeri tak ada hak campur. Undang-undang pun tak perlu. Peraturan pun tak guna. Kita sudah menang. Dan aku cepat-cepat hirup teh senafas lalu angkat punggung.
Ketika aku masuk pagar rumah Akim, yang cuma kelihatan ayam dan itik bergelewat memagut sagu.
"Akim!" Pekikku sambil meninjau-nijau ke dalam, lewat pintu yang terbuka itu.
Selamah yang muncul. Wajahnya pucat. Membetulkan kembangnya menyipul ke dada yang berisi. Rambutnya bergerosing. Boleh jadi anak-anak mereka ke sekolah.
Selamah kemudian tanpa kata menghilang semula. Lalu kemudian muncul Akim. Wajahnya mendung. Rambutnya juga bergerusing.
Fikirku, tak elok bertanya hal-hal yang menyentuh perasaannya. Lebih baik cakap pasal akar rambu rambai saja.
"Aku nak suruh kau cari akar rambu rambai. Nak buat ubat."
Akim duduk di bendul jemuran buluh yang berdinding sekerat dengan atap nipah. Rumahnya masih beratap nipah buat sendiri. Tak ada kemajuan apa-apa pada corak hidupnya. Seada-ada asal selesa. Dan selesa itu aman damai anak isteri.
"Kenapa?" Tanyaku lain macam setelah melihat reaksi Akim yang berkerut wajah.
Dia kemudian menatapku tajam-tajam.
"Kenapa?"
Aku mendekatinya. Seluk saku kemudian menghulurkan wang sekeping lima puluh ringgit.
Akim tak mengambilnya.
"Aku tak boleh cari."
"Kenapa?"
"Pokok rambai ada di tanah orang yang main politik. Aku tak mengundi, tak boleh dapat." Nada suara Akim seperti menahan geram.
Aku mengeluh lagi.
Akim terus menatapku. "Kau tahu kenapa aku tak mengundi?"
"Sikit-sikit dah tahu dari nenek aku."
"Bukankah undi itu rahsia?"
"Ya. Begitulah."
"Tapi si laknat di kampung kita ni tak mahu aku rahsiakan undi aku. Kalau macam itu apa gunanya aku mengundi, baik pangkah muka si laknat-laknat tu dengan mata parang!"
"Sudahlah tu, Akim."
"Aku ni tak sudah di sini. Aku kena pindah. Aku nak ke Pahang. Kampung aku ni tak mahu terima aku kerana tak main politik. Buat apa aku main politik kalau yang dulu serba satu, semua bersatu, sekarang cuba kau tengok, dah berpecah dua belaka."
"Bukan salah politik ..."
"Aku tak salahkan politik. Nak salahkan politik apa, aku bukan tahu politik. Tapi kau tenguk orang kampung kita main politik." Dia terdiam sebentar kemudian menyambung, "Sudahlah, aku nak minta kau tolong dengan ikhlas. Pinjam aku dua ratus nak bawa bekal ke Pahang."
Sedih aku mendengarnya. Selama ini Akim tak pernah sebut bumi lain tempatnya cari makan kecuali Gual Kuali.
Aku seluk saku semula, keluarkan wang dua ratus. Dan aku harap Akim tidak lagi dikatakan gila di Pahang, bumi makmur itu.
No comments:
Post a Comment