Pages

Thursday, October 23, 2014

Potret sang kekasih

Oleh Kelana Akira

SUBUH baru berlalu. Cahaya dian yang samar-samar menyebabkan kamar ini terasa semakin sunyi dan sepi. Sejak ke sini aku sudah berjanggut dan berjambang. Bukannya aku tidak mahu bercukur. Cuma rasanya, aku lebih senang dan selesa begini meskipun bertentangan dengan naluriku sebenarnya. Beginilah keadaanku sekarang.

Sejak aku datang ke rumah ini, tikar mengkuang itu sudah lusuh dan sehingga kini, belum kutukar lagi. Lantai pun sudah ada yang reput. Apabila hujan lebat, ada sebahagian atap berlian yang bocor dan seringkali tempias membasahi dinding papan yang berliang di sana-sini. Walau apa pun aku tetap bersyukur. Rumah ini masih lagi dapat dijadikan tempat berteduh, tempat untuk menjauhkan diri dari kenangan lampau yang begitu tragis.

Kerana peristiwa malam itulah aku lari ke sini. Kerana peristiwa malam itu juga, aku bagaikan hilang dalam diri. Alangkah payahnya meredahi hutan waktu bagi menentukan hidup yang panjang. Tetapi aku bukan lagi penidur yang dicumbui mimpi. Hidup ini adalah proses sebab dan akibat. Peristiwa malam itu memang sukar untuk dilupakan.

Malam itu aku mengajak lima orang rakanku pergi berhibur, meraikan kejayaan kami membina galeri seni lukis yang telah lama dicita-citakan. Ismawi, Jaafar dan Akobe kuhidangkan Guiness Stout. Ismail dan Juwita sekadar minum coca-cola.

Wajah Juwita mencuka setiap kali terpandang ke arahku. Dia menegah aku daripada minum Guiness Stout, tetapi kataku ini kali last. Tiba-tiba Juwita terus meninggalkan kami. Tidak lama kemudian Ismail mengekorinya. Selepas itu aku sendiri mengikut dari belakang Ismail.

Dari muka pintu besar pasar seni yang menghala ke seberang jalan besar, jelas kelihatan Ismail sedang berusaha memujuk Juwita. Berkaitan dengan apa, aku pun tidak tahu. Mereka berdua mula bertengkar.

Juwita menoleh ke arahku. Kemudian dia terus masuk ke dalam keretanya dan meluncur meninggalkan tempat itu. Entah datang entah tidak dia selepas ini ke galeriku.

Esok paginya dia akan berangkat ke Amerika, kerana melanjutkan pelajaran tahun akhir. Ismail melangkah tergesa-gesa ke arahku sehingga berlanggar bahu kami berdua.

Aku kembali mengekori Ismail ke galeri. Di dalam terdengar suara tiga orang rakanku sedang ketawa berdekah-dekah memanjang. Tanpa banyak soal, aku, Ismawi, Jaafar dan Akobe terus ke Night Club. Entah kenapa, malam itu Ismail tidak seperti selalunya, dia tiba-tiba saja menolak pelawaan kami.

Tanpa diduga, dalam perjalanan balik dari bersukaria itu, kereta Volkswagen yang sudah diubah suai, dan dipandu oleh Ismawi itu terbabas dan melanggar tembok di tepi jalan. Hanya aku yang terselamat.

Peristiwa itu terasa masih segar dalam ingatanku. Akulah punca segala- galanya. Aku telah membelanjakan sebahagian pendapatanku pada malam itu untuk membeli minuman keras.

Bagaimanakah kesukaran yang bakal kutemui pula apabila maut mengunjungi kunanti? Apakah hukuman yang akan kuterima setelah kematianku? Maut tidak memilih sesiapa. Takut juga rasanya aku kepada kematian. Aku tahu datangnya tanpa amaran. Akan ke manakah aku nanti? Aku berharap benar dan mendoakan semoga dosa mereka diampuni.

Aku benar-benar bertaubat sekarang. Barulah aku sedar dan dapat merasakan mengapa ini haram, itu haram. Yang mustahak ialah keupayaan untuk menjunjung kalimah dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang. Aku tertipu oleh kelupaan dan kelalaian. Tanpa aku sedari, kehinaan sudah menimpa diri.

Kini aku berusaha menghindari lanjutan dosa daripada pengalaman lalu. Telah aku temui diri dalam diri. Selaku manusia, hidup ini milik siapa? Sesungguhnya, budi dan akhlak itu nilai yang maha agung. Telah begitu lama aku hidup menyendiri di rumah ini tanpa sahabat seperti Ismail dalam usahaku untuk lari daripada peristiwa dan pengalaman pahit yang lalu.

Hanya Ismail yang tahu aku tinggal di sini. Ismail datang seorang diri dengan keretanya. Pertemuan malam tadi memang tidak aku duga. Sudah hampir tiga tahun aku tidak berjumpa dengannya.

Persatuan masih memerlukan khidmatku, kata Ismail. Dia menceritakan betapa payahnya mencari aku selama ini. Kami punya citarasa dan ragam seni yang tersendiri, tetapi kami saling memahami tugas masing-masing.

Pada mulanya aku cuba berselindung di sebalik keadaanku sehinggalah Ismail berkata: "Usah kau nak tipu aku. Garis engkau, sentuhan engkau dan percikan lukisan engkau, aku kenal benar. Walaupun muka kau sudah berparut sana-sini. Janggut dan jambang menebal pula tu."

Hingga ke hari ini sudah lebih dua tahun, aku menggunakan nama Johan atau Joe saja. Ismail menjumpai alamatku di Dewan Suarah semasa aku menyertai pameran lukisan berkumpulan. Setelah berasa yakin akan lukisanku Ismail terus berjumpa dengan penganjur untuk mendapatkan alamatku. Kalau tidak kerana lukisan itu, dia tidak mungkin dapat cam lagi wajahku sekarang ini.

Pelukis yang mahir memang ada identiti ragam seni dan citarasa sendiri. Peminat dapat mengenali sendiri hasil tangannya. Pelukis adalah pembuat imej dengan mempunyai ruang imaginasi yang tidak bertepi. Lukisannya adalah rakaman suara hatinya terhadap segala apa yang berlaku di sekeliling.

Tiba-tiba kesamaran pada tabir biru di dinding itu menendang-nendang dadaku. Aku bingkas dari katil lalu mendekati tabir itu. Talinya kujangkau dan kutarik perlahan-lahan. Apabila tersingkap saja tabir itu, terbentanglah sebuah wajah yang mendamaikan. Wajah itu kusentuh berulang- ulang.

Memang benar kata Ismail malam tadi. Nama boleh kuubah, tetapi gaya lukisanku susah hendak diselindungi. Kesan dramatik daripada imej ilustrasiku, adunan seri warnaku, curahan warna yang dicerna dalam ruang kanvas dengan gaya dan imej yang ekspresif. Ismail sudah dapat meneroka ke alam mentalku yang tidak bersempadan melalui elemen-elemen garis dan palitan warnaku. Tidak kusangka Ismail sudah sampai ke tahap itu.

Aku rasa, kalau sekadar melukis potret, pemandangan atau tema kontemporari saja kurang pendapatan. Aku lebih senang menjadi pelukis komersil. Menjadi pelukis jalanan sering juga dicemuh orang, tetapi aku tidak kisah. Yang penting, kerjaku halal dan tidak mengganggu orang lain.

Sudah sekian lama aku hidup di kampung dalam keadaan seperti ini. Aku tahu aku tidak dapat bergantung pada hasil jualan lukisan semata-mata. Di bumi Allah ini, rezeki ada di mana-mana. Aku pun turut ke laut. `Menjarin', `meranto', `nundak' dan `keenggian' aku lakukan bersama-sama dua orang rakanku. Sekali-sekala aku ikut `mento' di hujung kampung. Kerja `mento' ketam ini lumayan juga kalau kena pada waktunya.

Kadang-kadang timbul juga angan-anganku untuk beristeri, tetapi siapalah yang sudi dengan orang seperti aku ini. Kalau dulu, aku ada Juwita yang mendorongku ke arah kejayaan. Aku kenal Juwita sejak di bangku sekolah lagi. Kami berlainan kelas. Juwita anak Cina yang diangkat oleh keluarga Melayu tidak punya anak. Dalam Kelab Sukan dia yang paling hebat. Juwita pernah menjadi pelajar contoh dan pengawas yang disegani.

Semasa tingkatan satu hingga tingkatan enam atas aku masih tidak berani menyapanya. Apabila masuk tingkatan empat aku teringin pula menakluki hatinya. Bagaimanapun, aku masih berasa tidak yakin. Juwita tidak tahu hal itu. Dua tahun setelah tamat tingkatan enam atas, aku cuba mencarinya, tetapi sia-sia.

Pada suatu hari, sedang aku leka melukis di Jalan India aku didatangi oleh seorang gadis. Gadis itu menghulur sekeping gambar kepadaku untuk dilukis potret. Sejak hari itu, aku sengaja beralasan untuk tidak menyiapkan potretnya. Aku mengharapkan pertemuan yang lebih kerap dan akrab lagi. Hampir setiap hari aku berjumpa dengannya. Aku membawanya bersiar-siar dan kadangkala menonton wayang. Dia mengaku jatuh hati padaku sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, dia berasa malu untuk menyatakan perasaan hatinya yang sebenar kepadaku ketika itu. Katanya lagi, aku terlalu istimewa baginya. Dan aku pun benar-benar menyintai gadis itu.

Adakalanya perjanjian untuk bertemu terbatal. Mana tidaknya, ketika kami sedang asyik melukis kami diserbu oleh pihak Majlis Perbandaran. Kami dikatakan mengganggu laluan orang awam. Untuk mendapatkan semula lukisan- lukisanku, terpaksalah aku membayar denda yang dikenakan. Kadang-kadang rakan seperjuangan akan membantu membayar denda itu.

Ismail pernah berkata: "Kalaulah aku punya kekasih yang kaya raya macam tu, aku akan kikis habis hartanya. Tidaklah berlaku kekeringan seperti ini lagi."

"Kalau nak minta sponsor, no problem. Janganlah pula main kikis habis, Mail. Tak baik begitu brother," kata Jaafar. Yang lain menyokong kata-kata Jaafar.

Ismail, Akobe dan Jaafar adalah rakan yang pertama kali berjuang dengan aku dulu. Dengan jasa baik Juwita, aku berjaya mengumpul pelukis jalanan. Kerana bantuan Juwita jugalah, aku dan rakan-rakan berjaya mengadakan Ekspo Mini Lukisan di Jalan P Ramlee. Tujuan kami ialah untuk mengetengahkan pelukis muda, dan menggalakkan lepasan sekolah terbabit dalam bidang lukisan. Aku mahu mereka belajar berdikari. Ketika itu aku juga berharap terbinanya sebuah tempat seperti Central Market di Kuala Lumpur, untuk pelukis jalanan. Syukur, hari ini harapanku itu menjadi kenyataan dengan terbinanya Pasar Seni di tebing Sungai Sarawak.

Lamunanku tersentap oleh kokokan ayam jantan di jungkar. Jendela di sebelah kiri kepala katil kubuka. Jam di atas meja sudah menunjukkan suku lagi ke pukul tujuh pagi. Dian di atas tin Milo sudah pun padam. Aku terus bangun dari katil lalu keluar dari kamar tidur. Semua pintu dan tingkap kubuka. Kemudian aku menuju ke dapur untuk menjerang air. Kembang air liur basi terhidu `nasi aruk' jiran sebelah. Sementara menanti air menggelegak, aku ke telaga di belakang rumah untuk mandi.

Bunyi hon kereta dan salaman dari luar rumah mengalih perhatianku. Aku bingkas dan terus menuju ke muka pintu. Ismail dan seorang wanita tercegat di kaki tangga. Wanita itu berkaca mata hitam yang berbingkai bulat serta memakai topi fesyen bundar berwarna putih. Pakaiannya serba putih juga. Ismail tidak menegur. Aku persilakan mereka naik. Yang penting, mereka berdua akan membeli lukisanku. Ada juga modal aku nanti. Syukur juga rezeki datang sendiri ke rumah.

Aku persilakan mereka duduk, tetapi Ismail menolak. Alasannya dia hendak cepat pergi kerja. Dia datang sekadar menghantar wanita itu untuk dilukiskan potret, katanya.

Wanita itu diperkenalkan sebagai tunangnya. Aku tidak kisah. Bukannya orang seperti aku ini hebat sangat. Wanita yang begitu cantik tidak akan tertarik dengan manusia seperti aku yang berparut di muka. Sudahlah nama wanita itu tidak diberitahu kepadaku.

Kini tinggallah wanita itu bersamaku. Memang cantik keindahan yang diciptakan oleh Tuhan. Bukan senang untuk memiliki wanita secantik ini.

Wanita itu melabuhkan punggungnya di atas kerusi rotan. Sekarang aku berhadapan dengan seorang wanita kaya. Lumayan juga kalau aku dapat melukiskan potretnya. Tiba-tiba wanita itu bangun dari kerusi rotan buatan Indonesia itu. Dia memohon untuk melihat lukisan yang terdapat di ruang tamuku. Satu demi satu lukisanku itu diamatinya. Andai kata dia membeli dua atau tiga lukisan itu duitnya sudah cukup untuk aku beli rumah ini.

Kaca matanya tiba-tiba dibuka dan dilipat ke dalam tangan. Dia berdiri tegak sambil berpeluk tubuh. Kepalanya sekejap menyenget ke kiri, sekejap tegak, kemudian menyenget pula ke kanan. Topi fesyen bundarnya dialih dari kepalanya. Dia berundur selangkah ke belakang sambil mengamati lukisanku yang satu itu.

Walau apa pun aku tidak akan jual lukisan yang itu. Lukisan itu sangat bermakna bagiku.

"Saya rasa pernah melihat lukisan ini dulu. Apakah saudara membuat salinan daripada lukisan asalnya?"

Aku membisu seketika. Pertanyaan itu bagai satu tamparan bagiku. Aku benar-benar keliru. Apabila dia menoleh ke arahku, jantungku berdegup. Tersirap darahku memandangnya. Aku cuba menjawab, tetapi badanku terasa gementar. Aku memang tidak percaya, tetapi aku bukannya bermimpi. Kenyataan berada di hadapanku. Matanya tepat memandang ke dalam mataku. Mukaku terasa tebal sekali. Aku tidak dapat mendung rasa cemas dan bimbang lagi.

"Mengapa saudara? Saudara sakitkah?"

"Oh ... tidak. Tidak. Nak ... lukis cara foto atau model?" Aku cepat- cepat beralih balik ke tujuan asal kedatangannya.

"Mengapa saudara tidak menjawab pertanyaan awal saya tadi?"

"Susah hendak saya jawab. Agaknya kamu ni pelukis juga tak?"

"Saya bukannya pelukis. Saya adalah peminat lukisan. Kalau saudara nak tahu, lukisan itu seperti lukisan kekasih saya. Saya sendiri melihat lukisan itu dilukis dari awal sehingga siap."

"Agaknya yang tadilah kekasih saudari?"

"Bukan!"

"Lelaki yang menghantar saudari tadi itu, siapa?"

"Dia tunang saya. Pilihan keluarga saya atas dasar perniagaan. Orang yang telah menakluki hati saya inilah akan terus saya cari."

"Mengapa keluarga saudari memilih dia sedangkan saudari punya kekasih sendiri?"

"Sejak saya kembali dari Amerika hampir setiap hari Ismail datang ke rumah sambil membawa hadiah. Ayah cukup berkenan dengannya. Lagipun ayah rakan kongsi niaga ayah Ismail. Ibu cuma menurut cakap ayah. Bagi saya, pantang sekali membantah kehendak orang tua."

"Kalau saudari berjaya berjumpa dengan kekasih saudari bagaimana pula?"

"Saya terpaksa melanggar pantang itu. Saya akan terus hidup bersamanya. Saya ada syarikat grafik sendiri. Saya akan berkongsi niaga dengannya."

Tunang Ismail kembali melabuhkan punggungnya di atas kerusi rotan. Aku sedar dengan siapa aku berhadapan sekarang, tetapi aku tetap tidak mahu memperkenalkan diriku.

Dia tunduk menatap tikar mengkuang sambil ibu jari kakinya menguis-nguis

"Jadi, siapakah kekasih saudari sebenarnya?"

Bergemuruh darahku apabila namaku disebut. Rasa bimbangku menggelegak. Aku menghampirinya yang bagaikan dalam kesedihan. Kedua-dua belah tangannya saling bergenggaman kaca mata.

"Saudari, saya dapat rasakan apa yang saudari rasakan sekarang."

"Bagaimana saudara boleh merasakan perasaan saya?" Tunang Ismail membangkang kata-kataku.

Kerimasan memulas-mulas fikiran. Aku cuba membunuh rasa takut dalam diri dengan kata-kata. Dia mengesat air mata dengan jarinya. Aku mengeluarkan sapu tangan dari saku seluar dan memberikan kepadanya.

"Saudari, saya akan bawa saudari berjumpa dengan kekasih saudari sekarang juga."

"Saudara kenal dengan kekasih saya?" Mukanya mula diwarnai kegembiraan. Tergesa-gesa dia bangun dan berdiri di depanku.

"Saya berjanji dan percayalah pada saya. Tetapi dengan satu syarat, maafkanlah segala dosa dan kesalahannya."

Tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta dari luar rumah. Kemudian terdengar pula bunyi orang tergesa-gesa menaiki tangga.

"Hai, sedih nampak?" Tiba-tiba saja Ismail muncul di ambang pintu dan menyapa kami berdua.

"Eh, kata nak cepat pergi kerja tadi? Ada apa-apa masalah?" Tanyaku sambil berundur dari tunang Ismail di hadapanku.

Ismail hanya mendiamkan diri sambil menghembuskan kepulan asap rokoknya. Matanya tajam memandang tepat ke arahku. Aku nampak tinju kanannya mengepal-ngepal, menggengam erat kemudian dimasukkan ke dalam saku seluarnya.

"Masalahnya ialah apa yang kau lihat sekarang ini," jelas Ismail sambil melemparkan senyuman sinis kepada tunangnya. Riak wajah tunang Ismail jelas kelihatan terkejut. Pandangan wanita itu terlontar ke muka Ismail. Ismail menoleh keluar jendela.

"Marah tak pasal-pasal ini kenapa? Sejak akhir-akhir ini, ada saja yang tak kena. Kenapa dengan you, Ismail? I can't understand." Tunang Ismail bangun dari kerusi dan berdiri di tengah-tengah aku dan Ismail. Malam tadi Ismail tidak begini. Aku tidak faham mengapa Ismail bertunang dengan wanita ini.

"You memang tidak akan faham. I tau mungkin dia akan menang selepas ini. That's why, I sengaja bawa you untuk dilukiskan potret di sini!" Jelas Ismail kepada tunangnya. Tunang Ismail terpinga-pinga.

"Saudari nak dilukiskan potret? Mari ikut saya ke kamar itu. Saya tidak suka melayan orang yang begini." Aku menjelaskan dengan tegas.

Tunang Ismail akur dengan ajakanku walaupun air mukanya menampakkan kekeliruan. Aku membawa tunang Ismail untuk berhadapan dengan tabir biru. Ismail tercegat di hadapan pintu kamarku.

"Kenapa melukis potret dalam kamar, hah? Hendak berasmara dengan tunang orang?" Herdik Ismail. Terasa panas juga telingaku mendengar kata-katanya itu.

"Jangan cuba masuk ke dalam kamarku ini, Mail!" Aku menunding ke arah Ismail. Tunang Ismail terpinga-pinga.

"Kautau peristiwa malam itu? Aku yang memotong tali brek kereta. Hari ini, aku tidak mahu gagal lagi seperti malam itu. Aku tidak mahu kau jadi saingan aku, baik dalam dunia lukisan mahupun dunia percintaan," jelas Ismail dengan senyuman sinisnya.

Darahku tersirap. Aku meluru ke arahnya. Ismail harus menerima pembalasan. Lantas Ismail kutendang di bahagian hulu hatinya. Dia terbongkok-bongkok menahan kesakitan. Aku mara lagi. Tangan kanannya kupulas ke belakang. Tangan kiriku menarik rambutnya dan menghantuknya ke sisi pintu. Ismail jatuh longlai dan pengsan.

"Mengapa saudara?" Tunang Ismail cemas.

Aku mengambil tali pengikat kotak dari bawah almari rendah. Tunang Ismail mengekori aku. Aku hanya mendiamkan diri. Tali pengikat kotak kubuka. Selepas itu aku mendapatkan Ismail semula. Kaki dan tangannya kuikat. Tunang Ismail bertambah hairan melihat tingkahlakuku. Aku tidak peduli.

"Maafkan saya. Dia harus diserahkan kepada pihak polis. Dia telah membunuh kawan-kawan saya. Saudari sudah dengar siapa yang memutuskan brek kereta itu, kan? Rupa-rupanya dia yang merancang dan melakukannya."

Setelah tangan dan kaki Ismail kuikat, tunangnya kubawa semula berhadapan dengan tabir biru. Dia akur dengan ajakanku.

"Mengapa dengan tabir biru ini? Saya tidak mengerti," cetus tunang Ismail terpinga-pinga. Aku tidak menjawab. Tangan kananku mencapai tali tabir biru. Tali itu kugenggam erat.

"Keputusan adalah muktamad. Aku tidak dapat lari lagi dari kenyataan hidup ini. Kebenaran sudahpun berlaku di depan mata."

"Apa maksud saudara? Saya tak faham. Berbelit-belit saya memikirkannya."

"Sebenarnya, nama dan wajahku sudah berubah, tetapi cintaku tidak pernah luntur. Lihatlah apa yang tersembunyi di sebalik tabir biru ini, Juwita!"

"Saudara tahu nama saya?" Juwita terus mendekati sambil mengamati wajahku. Juwita cuba berundur. Tali tabir biru kutarik. Terpampanglah sebuah potret di sebalik tabir biru itu. Kaca mata dalam genggaman tangan Juwita terjatuh. Mata Juwita tidak beralih-alih menatap wajahnya sendiri. Dia mendekati potret itu dengan linangan air mata. Juwita menjamah potret itu.

"Masihkah kauingat peristiwa di Jalan India dulu, peristiwa kau hendak potretmu dilukis? Potretmu sekarang sudahpun kusiapkan."

Pandangan aku dan Juwita terlempar sama ke potret itu.

"Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa, maha pengasih lagi maha penyayang. Maafkan ... "

No comments: