Pages

Sunday, October 05, 2014

Sayang Sarawak

Oleh Ahmad Sabu

`Puteri Santubong, puteri Sejinjang,/menjaga gunung negeri Sarawak,/manis si ada dapat dilawan,/macam nak raja dari kayangan...' ENTAH, demikianlah seni kata lagu Puteri Santubong yang sering benar berkumandang di tv. Seni katanya membuatnya tiba-tiba menjadi rindu untuk kembali ke Sarawak. Tambahan pula drama Anak Sarawak yang tidak sengaja ditontonnya dua minggu lalu menguatkan hasratnya hendak kembali ke negeri itu.

"Abang nak ke Sarawak, Mah," dengan mendadak hasratnya itu diluahkannya kepada isterinya ketika mereka menikmati hidangan pada malam itu.

"Eh, tiba-tiba saja. Ada apa-apa ke?" Isterinya mengusik.

"Memang dah lama abang berhajat nak ke Kuching. Menjenguk rakan lama di sana," dia cuba menyembunyikan apa yang terbuku di sanubarinya.

"Habis. Bagaimana dengan teksi abang tu?" Isterinya sengaja mencari helah untuk menghalang.

"Abang boleh sewakan pada orang lain. Di KL ni berebut orang nak sewakan teksi abang tu."

"Lamakah abang ke sana?"

"Sekadar seminggu dua."

"Eh? Lama jugak."

"Alang-alang dah ke sana biarlah lama sikit. Bukan mudah nak ke sana. Lagipun dapatlah juga melihat temasya dan perayaan 30 tahun negeri itu merdeka," dia menjelaskan.

"Dengar ceritanya, dulu abang pernah bertugas di sana," isterinya cuba mengungkit.

"Benar, waktu abang dalam Askar Melayu."

"Ini tiba-tiba pula nak ke sana, lain macam saja," Halimah memuntahkan curiganya.

"His...kau orang perempuan ni ada-ada saja," Mat Isa sudah menjangka ke mana kata-kata isterinya itu. Dia cepat meningkah.

"Selepas lebih dua puluh tahun, apakah yang membuat abang tiba-tiba teringin ke sana," benar-benar Halimah ingin hendak mengetahui.

"Kan abang dah katakan. Sekadar hendak menjenguk rakan lama di sana. Tak lebih dari tu," Mat Isa cuba menyakini isterinya.

"Bila agaknya abang nak bertolak?"

"Tengoklah. Kalau ada tiket penerbangan, esok atau lusa abang bertolak."

"Wah. Cepatnya. Ini memang ada sesuatu tu," isterinya mengusik lagi.

"Kau ni tak habis-habis mengusik aku. Cepat pergi, cepatlah abang pulang. Sepeninggalan abang nanti ajaklah anak-anak kita ke rumah. Supaya kau tak sunyi," Mat Isa cuba menenangkan perasaan isterinya itu.

"Di Kuching nanti, abang nak menginap di mana?" Halimah tidak menyembunyikan keresahannya.

"Kan abang katakan rakan abang banyak di sana. Itu janganlah dibimbangkan. Taulah abang menjaga diri. Lagi pun anak Pak Long, si Nik Rizuan tu kan mengajar di sana. Bolehlah abang menumpang sehari dua," Mat Isa benar-benar hendak menyakini isterinya.

"Si Nik Rizuan tu di mana? Abang di mana?" Halimah belum senang dengan keyakinan yang cuba diberi oleh suaminya itu.

"Abang dengar dia mengajar di sebuah sekolah menengah di Bau."

"Bau tu di mana? Kuching tu di mana?" Benar-benar Halimah kurang pasti.

"Alah kau ni. Bau tu pekan kecil dekat Kuching. Lebih kurang 20 batu saja dari Kuching," Mat Isa benar-benar hendak meyakinkan isterinya.

"Wah. Tau benar abang," celotehnya persis menempelak suaminya.

"Kan lima tahun abang bertugas di sana. Takkanlah abang tak tahu pula. Lagi pun kawasan itu memang kawasan operasi abang waktu komunis jenuh dulu," Mat Isa menjelaskan untuk menanamkan keyakinan pada hati isterinya.

"Apa? Abang nak jadi mangsa komunis?" Halimah menyergah.

"Astaghfirullah kau ni. Mana ada komunis lagi."

"Apa? Sudah habis semua abang bunuh?"

"Limah. Limah. Sudah lama komunis di Sarawak meletakkan senjata. Sejak operasi Sri Aman pada tahun 1973 lagi, mereka semuanya sudah tidak berjuang lagi," Mat Isa berhujah panjang.

"Komunis sudah hilang. Orang pancung kepala masih ada," isterinya mencari helah lagi.

"Eh. Kau ni macam-macamlah. Siapa yang memancung kepala tu?"

"Apa? Abang fikir Limah tak tau? Seluruh dunia tau, orang Sarawak mencari kepala," Halimah melepaskan apa yang diketahuinya.

"Cerita yang kau dengar tu cerita dulu, Mah. Mana ada orang memotong kepala lagi. Waktu abang bertugas di sana dulupun dah tak ada. Kau ni mengarutlah. Sudahlah. Kalau kau banyak alasan, abang tak perlu pergilah," kecewa benar Mat Isa dengan pendirian isterinya.

"Wah. Mudahnya merajuk," Halimah memperli, tetapi lembut.

"Itu bukannya merajuk."

"Habis? Apa pulak tu?"

"Marah. Geram."

"Oi cik abang oi. Janganlah nak ke Sarawak tu sampai marah pada orang pulak," Halimah meninggikan suaranya sekadar untuk mengusik suaminya.

"Sudahlah Limah. Abang dah buat keputusan."

"Keputusan apa pulak?"

"Abang akan ke Sarawak."

"Baguslah tu."

"Mengapa pulak bagusnya?"

"Dapatlah tengok Sarawak. Tengok rakan lama. Orang lama," Halimah hendak mengena lagi.

"Kau tu mengada-ngada saja."

"Orang perempuan, bang."

"Yalah. Yalah," Mat Isa persis mengalah. Dia beredar dari ruang tamu dan menuju ke halaman rumahnya. Di luar jalan masih sibuk benar. Kuala Lumpur semakin hidup bila malam semakin larut.

Mat Isa mencapai kerusi plastik yang tersadai di suatu sudut beranda rumahnya. Dia tidak mahu melayan lagi kata-kata isterinya. Memang banyak benarnya anggapan isterinya. Cuma dia tidak banyak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku kepada dirinya ketika berkhidmat di bumi Kenyalang. Memang dia sendiri tidak mahu orang lain tahu apa yang telah berlaku di sana. Biarlah segala kenakalan dan kejahatannya ketika berkhidmat dulu terpendam bersama ingatannya yang tidak mahu mengingat lagi segala peristiwa kejam dan di luar perikemanusiaan ketika terlibat dengan `Operasi Jala Raja', satu operasi memburu dan membunuh banyak anggota komunis dengan kejamnya.

Dia hendak melupai segala-galanya. Tetapi semakin kuat usahanya hendak melupai segala peristiwa itu, semakin ligat ingatan itu mengusik kepalanya. Benar kata-kata rakan seorang pegawai Iban yang pernah memimpinnya dulu dalam Batalion Askar Melayu.

"Sekali kau merasa air paya ni Korporal, sepanjang hayat kau tak akan melupai Sarawak," cukup jelas ingatannya mengungkit peristiwa mereka ketika menjalankan operasi menjejak saki-baki pengganas komunis yang menyerang hendap pasukannya dekat Gunung Gading di Daerah Lundu. Mereka sudah kehabisan bekalan makanan dan minuman dalam hutan itu. Akhirnya mereka bergantung dengan air paya yang warnanya kemerah-merahan untuk menghilang kehausan.

"Apa cam? Sedap?" Usik pegawainya itu bila kelihatan dia mencemek muka menandakan betapa teruknya rasa air paya itu.

"Cukup sedap," begitu dia meningkah kata-kata pegawainya itu.

Tetapi sepanjang malam itu bila mereka balik ke kem dia mengerang kesakitan. Esoknya dia terlantar di rumah sakit tentera di kem itu. Semua rakannya mentertawakannya.

"Itu baru air payanya. Kalau kena air sungainya mampus kau," rakan- rakannya memperlinya.

Mat Isa menyandar malas di kerusi plastik itu. Dia menyalakan sebatang rokok sekadar untuk menenangkan fikirannya. Di dalam, isterinya kedengaran sibuk mengemas. Halimah gadis kampungnya yang dikahwininya selepas bersara dari tentera, selalu mengusik dia tentang Sarawak. Agaknya kenakalan tentera ketika berkhidmat di mana-mana itu membuat isterinya menganggap bahawa dia juga tidak terkecuali dari mengharungi zaman kenakalan waktu dalam tentera.

Tiba-tiba sayup-sayup kedengaran dendangan dari siaran radio Ibu Kota. Mat Isa bergegas menuju ke ruang bilik tamu dan meninggikan bunyi radio itu. Suara penyanyi terkenal yang telah meninggal dengan lunak mendendangkan sebuah lagu kegemarannya: `Sayang Sarawak sungainya sempit.

Buah barangan lambung-lambungan.

Hendak kubawa perahuku sempit,

Hendak kutinggal tak sampai hati.'

"Wah. Wah. Ini dah teruk ni. Sekarang Sarawak. Sarawak. Sarawak. Tak ada lain Sarawak saja," tiba-tiba isterinya muncul di ruang itu sengaja mengusik ketenangannya.

"Kau ni pun satu jugak. Itukan lagu saja. Kan sedap didengar. Merdu dan lembut," Mat Isa cuba menyembunyikan kerinduannya ketika mendengar dendangan Saloma itu. Dia bingkas sambil mematikan radio itu.

"Eh? Kenapa dimatikan pulak?"

"Kau dah meleter begitu, mana ada kesedapannya lagi." Mereka mula bertikam kata lagi.

"Orang radio ni satu hal pulak. Kenapa main lagu tu pulak. Tak ada lagu lain kah," Halimah sengaja menyindir untuk mengusik suaminya.

"Kau ni bila dah tak kena, semuanya tak betul."

"Dan abang pulak semua dah Sarawak. Sarawak. Sarawak."

"Itukan kebetulan, Mah. Budak radio tu dah nak main lagu tu. Bukan aku yang minta," Mat Isa cuba hendak melindungi perasaannya. "Lagipun memang lagunya sedap. Lembut. Merdu. Menawan," sambungnya.

"Patutlah cepat abang masuk. Nak dengar lagu tu. Tadi kan abang ngelamun di luar," Halimah berleter lagi.

"Lagunya memang sedap. Kau pun suka," Mat Isa cuba berusaha mematikan perbualan yang agak mengganggu ketenteramannya pada malam itu. Dia merendah dengan harapan isterinya akan kembali reda.

"Apa yang istimewa? Apa yang ada di Sarawak tu bang?" Halimah tiba-tiba bertukar nada.

"Maksud kau?"

"Yalah. Kalau abang ke Sarawak, apakah oleh-oleh untuk dibawa pulang?" Halimah bersungguh.

"Macam-macam, Mah. Kalau makanan banyak yang tak ada di KL ni. Bahkan di seluruh Semenanjungpun tak ada."

"Yakah? Apa yang tak ada kat sini bang yang terdapat di Sarawak?" Isterinya ingin pula mengetahui.

"Di sana ada buah dabe, buah terung Dayak dan buah embang. Bahkan buah engkalak dan buah asam kumbangpun tak ada di KL ni," Mat Isa cuba mengingat beberapa jenis buah yang pernah dirasainya dulu ketika di Sarawak.

"Aa. Abang belilah buah-buah tu. Biar saya rasa."

"Insya-Allah."

"Kata orang Sarawak terkenal dengan telur terubuknya bang. Belilah sedikit."

"Wah. Kaupun tau. Insya-Allah abang akan cari," dengan gembiranya Mat Isa meningkah kata-kata isterinya itu. Nada dan suara isterinya itu telah memberi keyakinannya bahawa isterinya sudah memberi persetujuan dia ke Sarawak.

"Pasu Sarawakpun baik juga bang. Si Nik Rizuan tu pulang tempoh hari dia beli untuk adiknya, Zahrah tu."

"Nantilah. Abang cari sebiji dua untuk kau," Mat Isa mengikat perjanjian.

Sepanjang malam itu nyenyak benar Mat Isa. Hasratnya hendak kembali ke Sarawak akan terlaksana juga. Pasti kesempatan itu tidak akan disia- siakannya untuk memutik kembali kenangan lama yang sering menghantui ingatan dan igauannya. Terlalu banyak peristiwa pahit manis yang sangat payah dikikis dari ingatannya. Walaupun dia cuma berkhidmat selama lima tahun di sana, tetapi terlalu banyak kenangan dan ingatan yang sering mengusik dan melambai dia untuk kembali ke Sarawak. Perayaan tiga puluh tahun negeri itu merdeka dalam Malaysia adalah kesempatan yang pada hematnya sangat baik untuk menjenguk kembali ke Sarawak setelah dua puluh lima tahun dia meninggalnya.

Benar kata orang tua. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula...Mat Isa tidak mahu melayan usikan rindunya itu. Pasti segala-galanya sudah berubah kini. Suku abad adalah terlalu lama untuk menukar segala-galanya. Itu adalah kepastian. Mat Isa mengakui dan mempercayainya sampai ke akar umbinya.

Penerbangan ke Sarawak cuma memakan masa sejam setengah. Pesawat Boeing 707 itu mengharungi awan ganas menyambarnya begitu panas. Dia tersentak bila pengumuman dibuat oleh suara lembut pramugari yang bercakap bahasa Melayu dengan pelat Inggeris membuatnya tersenyum sinis. Pendaratan pesawat itu cukup kemas walaupun kebisingannya memekak pendengaran.

Kuching terlalu banyak berubah baginya. Ingatannya mengenai kem tentera di Batu Tujuh itu sudah menjadikan dia sesat dalam menyusun semula gambaran tempat yang sudah banyak bertukar wajah. Mat Isa mengerut dahinya dengan harapan segala-galanya dapat terjelma dan memboleh dia mengingat setiap tempat yang dilaluinya. Ketara dia semakin sesat dan bingung.

"Encik mau pugi mana?" Pemandu teksi itu bertanya.

"Bawa saya sampai ke stesen teksi Kuching."

"Tidak masuk hotel ke?"

"Nanti saya cari sendiri. Tapi hantar saja ke stesen teksi."

"Baik."

Dan pemandu itu memecut ganas meninggal Mat Isa meneruskan lamunannya. Dalam kekecamukan fikiran dan ingatannya dia cuba menyusun kisah lama yang pernah dilaluinya semasa bertugas di sini dulu. Pelbagai kisah berlikaran di kepalanya namun antara kisah itu, yang terlalu payah dilupainya ialah kenalannya dan sahabat karibnya dalam Angkatan Tentera dulu. Pemuda Bidayuh dari Bau itu berpangkat Lance Korporal bernama James Aning sering kampungnya di hujung minggu. Kekerapannya mengunjungi keluarga James membuahkan putik minatnya terhadap seorang gadis sunti di kampung itu waktu itu.

"Apa? Kau suka pada Liza, Mat Isa?" Demikian diingatnya benar usikan James bila mereka balik satu hujung minggu.

"Tak taulah, James," selamba dan segan sekali dia menjawabnya.

"Kalau mau, boleh kuuruskan dengan keluarganya. Aku biasa benar dengan keluarga itu," demikian James mencadangkan laluan yang terlalu mudah padanya.

"Aku perlu berfikir dulu, James. Tanah Semenanjung terlalu jauh dari Sarawak."

Aku tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan. Ini hal rumah tangga, bangsa dan agama. Aku perlu membuat perhitungan yang panjang," dengan panjang lebar dia meluah pendiriannya.

"Itu aku tau. Jangan menyeksa diri. Keputusan janganlah bertentangan dengan kehendak hati. Nanti merana badan," James mengusiknya nakal, persis bermain bahasa yang dalam padanya. Dia cukup kagum dengan kepetahan pemuda Bidayuh itu berbahasa Melayu.

"Apa macam?" James mendesaknya.

"Berilah aku masa, James. Keputusannya akan kusampaikan kepadamu dan keluarga Liza sekali," demikian dia membuat perjanjian.

Dan mengikut penjelasan James kepadanya, pendiriannya itu telahpun disampaikannya kepada keluarga Liza.

Sayangnya bila dia bercuti dan balik ke Semenanjung selepas itu, dia terus menerima berita gembira. Persaraannya diluluskan oleh pihak atasan dan dia terus tidak kembali ke Sarawak. Dia beranggapan pasti janji longgar seperti itu sudah lupa ditelan masa selama suku abad itu. Itu adalah kepastian yang tidak diraguinya. Sekembalinya di kampung halamannya, dia lantas dikahwinkan dengan gadis sekampungnya. Dari perkongsian hidup selama dua setengah dasawarsa itu, mereka dikurniakan lima orang anak. Semua anaknya itu telahpun berumah tangga.

Senja itu dia mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di Bandar Kuching. Sudah terlalu banyak perubahan yang dilalui bandar itu pada perhitungannya. Lebuh India dan Rumah Elektra yang pada masa dulunya cukup sibuk dan pusat bandaraya kini teratur. Kesibukannya tidak seperti dulu, yang hingar-bingar tidak menentu dan tidak berhenti-henti. Dia menjenguk kampung Melayu dari jeti panjang untuk menyeberang ke Kampung Lintang. Terukir ingatannya bagaimana Polis Tentera mengawal ketat tempat itu bagi mengelak tentera nakal mencuri menyeberangi ke kampung di seberang itu dengan penambang yang sentiasa gigih meraih rezeki dari kenakalan tentera itu.

Terlalu jelas dalam ingatannya bagaimana marahnya anak-anak kampung terhadap gelagat jahat dan nakal tentera muda itu. Hampir tercetusnya pergaduhan sengit di antara penduduk tempatan dengan tentera. Mujurlah tindakan selamat diambil dan peristiwa buruk dapat dielak. Kalau tidak pasti peristiwa yang memalukan tentera akan berlaku. Pada hematnya kehadiran Polis Tentera menyelamatkan kenakalan anak-anak muda tentera mencetuskan pergaduhan yang pasti meninggalkan detik hitam di bandar itu. Itu adalah kepastian kesimpulan yang dijangkanya.

Dia merenung puas-puas Sungai Sarawak. Kehadiran penambang dan kesibukan anak-anak sekolah yang berebut-rebut menaiki perahu itu membuat ingatannya semakin jelas.

"Mat Isakah ini?" Tiba-tiba dia kedengaran satu sapaan. Dia tidak segera mencari siapa yang punya suara yang baginya terlalu biasa pada pendengarannya. Dia cuba memastikan yang berdiri tercegat di sisinya itu adalah seseorang yang dikenalinya sungguh-sungguh.

"Apa? Ini James ya?" Mat Isa memastikan keraguannya tidak salah. Mereka berjabat tangan dan berpeluk-pelukan. Terlalu mesra. Perpisahan yang sekian lama mengeratkan hubungan yang hampir putus dipisah oleh masa dan lautan yang luas. Beberapa anak sekolah tersenyum melihat gelagat dua orang sesama lelaki berpeluk-pelukan sebegitu rupa. Agaknya ada keanehan pada hemat mereka.

"Apa mimpi kau ke Sarawak ni?" James memulakan perbualan yang sebentar tadi terputus oleh kemesraan yang memuncak.

"Sengaja nak jenguk kau orang. Apa? Kau tak suka aku datang?"

"Aku tak kata begitu. Kecil Sungai Gombak, seluas Sungai Sarawak menanti kau," James cuba berperibahasa yang memang tidak kena bunyinya.

"Bila sampai?" James meningkah lagi.

"Baru tengah hari tadi."

"Mau ke mana ni?"

"Ke sini saja. Ke Sarawak. Ke Kuching. Ke situk. Ke sinun," Mat Isa mengusik kawannya itu dengan sepatah dua bahasa Sarawak yang tidak pernah dilupainya itu. Mereka ketawa mesra sambil berjalan menuju ke arah jalan menghala ke `Open Air'.

"Kau buat apa sekarang?" James cuba untuk mengetahui pekerjaannya selepas bersara.

"Pemandu teksi di KL. Kau?"

"Pemandu van sapu."

"Van sapu? Apa ya?"

"Tanpa lesen. Haram. Sapu saja mana penumpang yang ada."

"Kau tak takut?"

"Takut apa? Komunis ku tangkap." James cuba mengingatkan keberaniannya waktu dalam tentera dulu menangkap komunis ketika mereka mengadakan satu operasi. Mat Isa tidak membidas lagi katakata rakannya itu. Dia terlalu suka melayan kegembiraannya bertemu sahabat karibnya yang tidak disangka- sangkanya itu.

"Kau datang seorang?" James mengaju lagi soalan.

"Apakah kau nampak aku berteman?" Mat Isa cuba mengenanya lagi.

"Kalau begitu kita ke Bau saja. Ke rumahku," James mengajak tanpa ragu- ragu.

"Dengan van sapu tu?"

"Yalah. Kalau ditangkap polis, kau ditangkap sama," James memperguraukannya. Sepanjang perjalanan ke Bau itu mereka bercakap-cakap cerita lama. Mereka berbual-bual sesuatu yang terdahulu datang dalam ingatan mereka. Tidak ada topik yang tertentu yang difokuskan dalam percakapan dua sahabat yang sama-sama terlalu senang dengan perjumpaan yang tidak diduga itu. Pada Mat Isa pembangunan bandar Kuching dan di sekitar perjalanan ke Bau itu adalah terlalu cepat dan mendadak dalam tempoh yang agak lama juga itu. Dia sungguh kagum membandingkan kemajuan yang dilihatnya itu.

Kedatangannya ke Bau malam itu disambut oleh keluarga James dengan mesra sekali.

"Jangan terkejut lihat bini aku," James mengusik, bila mereka keluar dari van itu. Anak-anak James yang ramai itu bergegas menerpa dan menyambut kedatangannya.

"Ini anak-anak kau semua?" Mat Isa bertanya tidak percaya.

"Apa? Kau fikir aku kebas anak orang?" Mereka bertikam tanya.

"Menjadi ya," Mat Isa mengusik.

"Nak buat apa lagi? Itu baru sambil-sambil saja," James bergurau sambil mencapai tangan anak kecilnya yang pada hemat Mat Isa terlalu kecil untuk menyambut kepulangan bapanya di halaman yang agak gelap itu.

"Berapa semua askar kau James?" Mat Isa hendak kepastian.

"Sebelas. Aku nak buka satu pasukan bola sepaklah," selorohnya lagi.

"Naiklah," pelawanya sambil memimpin beberapa orang anaknya. Yang lain bergegas naik berebut-rebut ke ruang tamu.

Di ambang pintu itu Mat Isa kaget benar. Isteri James menyambut kedatangan mereka dengan mesra sekali.

"Apa ini Liza ya?" Mat Isa tidak meragui penglihatannya. Perempuan yang berkemban itu tersenyum malu dan manja. Mat Isa biasa benar dengan malu dan manja itu.

"Yalah. Kau tak datang, aku kebas. Mana boleh tunggu lama-lama. Nanti dara telajak," James mengajak bininya dan Mat Isa berseloroh.

"Mat Isa cuba menyembunyikan perasaan malunya. Memang benar dia pergi tanpa ada berita selanjutnya. Dugaannya tepat sekali. Tidak mungkin gadis itu akan menerus penantiannya yang tidak berhujung pangkal itu. Anak gadis yang secantik itu tidak akan lama bertahan menunggu. Pasti anak-anak muda akan berebut-rebut hendak memenangi hatinya. Mat Isa terus duduk tanpa dipelawa.

Pada Mat Isa terlalu luhur hati orang-orang di sini. Dari dulu lagi memang dia sudah terasa kemesraan orang Bidayuh itu. Bahkan dia tidak menyangka rakannya James yang sekian lama sudah tidak dijumpainya begitu cepat mengembalikan kemesraannya yang sudah suku abad terputus hubungan itu.

Dalam Mat Isa melayan perasaan dan fikirannya yang berkecamuk itu, James sudah kelihatan muncul semula membimbing seorang yang dalam keadaan yang uzur sekali. Jalannya menyingit dan kecacatannya sungguh mengerikan. Mat Isa bingkas cuba merenung tepat untuk mengenali orang yang dibimbing James itu. Dia bingkas untuk menolong orang itu duduk dengan payah sekali.

"Kau masih kenal orang ni, Mat Isa?" James cuba mengingat kembali pada Mat Isa. Dia tidak terus menjawab kerana cuba hendak membuat tekaan pada lembaga manusia yang pada hematnya agak teruk keadaannya. Pasti cedera yang dialaminya cukup serius. Orang itu membelek dan merenung ganjil pada Mat Isa. Dia cuba mengeluarkan kata-kata, tetapi tidak jelas. Cuma air liur saja meleleh dari mulutnya yang terkumat-kamit tidak menentu itu.

Mat Isa menggeleng-geleng kepalanya, tetapi masih juga cuba mengenalinya.

"Inilah Leftenan Muda Mat Jusuh. CO kita dulu," James menjelas tidak mahu membuat Mat Isa terus dengan usahanya cuba membuat tekaan dan ingatan.

"Astaghfirullah. Mengapa dia dalam keadaan yang begini teruk?"

"Dia terjatuh dari heli."

"Bagaimana?"

"Waktu persembahan tatoo Hari Kebangsaan Sepuluh Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia."

"Itu tahun 1973 dulu."

"Yalah."

"Dua puluh tahun yang lalu."

"Ya. Selepas kecederaannya dia membuat keputusan tidak mahu balik ke Semenanjung. Dia mahu mati di sini saja katanya," James menjelaskan. "Kini keadaannya semakin tenat. Sudah hampir sepuluh tahun dia tidak boleh bercakap. Hanya matanya saja terbeliak."

"Apakah kau dan keluarga kau tak susah-susah kerananya James?" Mat Isa cuba bertanya bodoh. James tidak menjawab soalan itu. James hanya berpaling untuk menyembunyikan perasaan sedihnya. Mat Isa memegang bahunya tanda faham.

Semalaman itu Mat Isa duduk sepanjang malam di samping bekas ketuanya itu. Hatinya terlalu sedih memandangkan betapa bekas tentera tidak dipedulikan. Dia terlalu malu dan segan pada keluarga James. Memang orang Sarawak terlalu baik pada hematnya. Terlalu payah hendak terjumpa orang seperti James dan isterinya itu. Mengingatkan tanggungjawabnya terhadap agama dan bangsa Mat Isa membuat keputusan yang mendadak.

Esok bila Subuh mula menerang, mereka mengusung Leftenan Muda Mat Jusuh. Mat Isa hendak mengembalikannya kepangkuan keluarga dan kampung halamannya di Sabak Bernam, Selangor. Kalaupun dia hendak berpulang, biarlah dikebumikan secara Islam di kampung halaman dan di negerinya sendiri.

Budi orang Sarawak terlalu mahal dan tidak akan bisa dilupainya dan dibalas dengan apapun. Benar kata-kata rakan-rakannya dulu. Sekali termakan budi orang Sarawak sepanjang hayat tidak akan dilupai. Itu adalah satu kepastian yang Mat Isa tidak mempertikaikan. Sayang orang Sarawak adalah sayang yang sebenar-benar sayang. Tiada sayang sesayang itu. Mat Isa mengakuinya sampai ke akar umbinya sekali.

No comments: