Pages

Thursday, October 30, 2014

Senja di bumi luka

Oleh Tega Bilong

BOLA tembaga jingga hampir terperonyok di sebalik Gunung Backhacj di sebelah barat. Warna jingga itu yang masih berbaki di kaki gunung mulai merangkak perlahan-lahan seperti timbunan kabus ketika Subuh di permukaan Sungai Drina yang jernih. Bahang pijar meruap dari muka bumi, kesan sengatan cahaya bola tembaga itu sejak dari pagi, masih terasa mencengkam. Norajij bertambah lesu, bertambah lemah, tidak lagi bermaya. Dia benar- benar lesu, benar-benar lemah.

Sejak beberapa bulan lalu, minggu dan hari yang lalu, dia masih dalam pelarian yang tidak menemui noktah. Pelarian di buminya sendiri dan yang pasti tidak akan berhenti selagi hujan peluru berterusan dan ledakan bom puak Serbia mengoyak di sana sini!

"Ya Allah!" Norajij mundar-mandir seolah-olah berdiri di dalam bahtera dihempas gelombang. Dia melangkah menghampiri bangunan yang sudah runtuh. Dia menggapai tangan kanannya. Sambil terketar-ketar dia berpaut pada gril tingkap bangunan itu untuk menyokong tubuhnya agar tidak tersungkur.

Dia jenguk ke dalam bangunan dari celah timbunan batu-bata dan serpihan jubin. Tiba-tiba dadanya bagai dikelar apabila terlihat mayat seorang ibu dengan anaknya. Mayat itu sudah mulai mengembang. Lalat hijau terbang berlegarlegar di atas timbunan bata dan longgokan sampah-sarap di sekitar mayat itu.

"Ya Allah ... ya Tuhanku! Saksikanlah kedurjanaan, keganasan dan kekejaman manusia gila kuasa di bumiku ini ... hanya kepada-Mu saja aku berserah dan memohon kekuatan." Norajij mengusap pipinya dengan tikung baju yang sudah koyak dan berdebu.

Segugus angin kering berhembus, menyebabkan debu dan cebisan sampah berterbangan. Bau hanyir meruap dari permukaan bumi. Ke mana ayah, adik dan keluargaku?

Dia bagaikan terkejut daripada mimpi panjang apabila terbayangkan ayah, adik dan keluarganya yang hilang bagaikan debu yang berterbangan diragut angin kering itu. Hilang entah ke mana.

Kali terakhir dia bersama ayahnya Mohamed Sahijavic dan adiknya Mohamed Safariv ialah pada Jumaat lalu. Ketika itu mereka bersiap-siap untuk meninggalkan rumah di pinggir bandar Sarajevo.

Ibu ... ah! Ibunya telah seminggu terkorban ketika keluar ke bandar Sarajevo untuk membeli-belah.

"Semoga kita dilindungi Allah. Tabahkan hati ... kuatkan iman," pesan ayahnya Mohamed Sahijavic sambil membimbit sepucuk rifel M 16. Dia berpakaian hijau keabu-abuan. Kemudian dia terus melangkah ke hadapan.

Norajij memapah tangan adiknya Mohamed Safariv yang berumur tujuh tahun setengah. Mereka berjalan melalui lorong di celah runtuhan bangunan dan beberapa deretan rumah kedai yang sudah lengang menuju ke sebuah masjid di sebelah selatan. Sesekali ayahnya berhenti.

"Hati-hati. Hari Jumaat biasanya serangan ditujukan ke arah masjid."

Bandar Sarajevo nampak lengang. Orang ramai tiada lagi yang berani mendiaminya. Masing-masing mencari perlindungan. Beberapa ekor anjing liar dan burung gagak saja yang sekali-sekala kelihatan.

"Kita ke mana, ayah?" Mohamed Safariv terkinja-kinja dalam pegangan Norajij sambil mengutip serpihan batu-batu di lorong.

"Ke masjid untuk solat Zohor." Ayahnya menjawab sepatah.

Tidak jauh dari masjid itu, langkah mereka tiba-tiba terhenti.

"Apa tu ayah?" jerit Mohamed Safariv seraya mendongak ke langit, di sebelah utara. Sebuah pesawat seperti cendawan meluncur laju dari utara. Bunyinya keras. Cendawan yang memancar sinar dan bunga api kuning kebiru- biruan itu terus meluncur. Seperti petir di malam yang kelam, satu dentuman mengoyak alam dan menggegarkan bumi Bosnia. Beberapa bangunan pencakar langit ranap dirayapi api yang ganas!

"Mereka serang lagi!"

Jemaah yang berhimpun di masjid dan bersedia untuk solat Zohor, lari bertempiaran mencari perlindungan. Norajij cuma sempat merakam kalimat Allahuakhbar daripada ayahnya. Kemudian dia tidak tahu di mana orang tua itu.

Dua hari kemudian di khemah mereka, Mohamed Safariv menangis dan meminta kakaknya mencari ayah.

"Kak, kita cari ayah, kak!" Mohamed Safariv mengheret-heret tangan Norajij mengelilingi khemah. Norajij diam. Air matanya terus menitis. Dia tidak tahu untuk menceritakan di mana ayah mereka sekarang.

Perkhemahan di Gunung Tribinje semakin sesak setiap hari. Kebanyakan penghuninya perempuan dan kanak-kanak. Beberapa kanak-kanak menangis kelaparan. Ada juga yang menangis menahan sakit kerana cedera, sesetengahnya parah. Ada pula yang tidur di atas rumput kering seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Esoknya, penghuni khemah heboh mengenai kehilangan Mohamed Safariv! Pengawal khemah yang berjaga, bergilir-gilir sampai ke pagi, tidak sedar kehilangan Mohamed Safariv.

"Dari awal malam hingga pagi tadi, kami tidak nampak kanak-kanak keluar khemah," jelas Azajic, pengawal yang berbadan tegap. Sepucuk pistol jelas kelihatan di pinggangnya selain tangannya memegang kemas sepucuk rifel M 21. Pada topinya yang dililiti benang emas, tertulis perkataan Allahuakhbar. Tetopi itu tidak pernah lekang daripada kepalanya yang sedikit gondol.

"Allah melindungi dia!" Azajic memujuk Norajij yang tersedu-sedu di sudut khemah.

Udara panas yang meruap dari permukaan bumi menghembuskan bau hanyir yang menyumbat hidung. Bau hanyir itu ada di manamana. Dalam keadaan itulah Norajij melihat bahawa kematian sebenarnya sudah begitu dekat dengan sesiapa saja. Dia sendiri berasa harapan untuk hidup terlalu tipis - setipis sel darah beku di hujung rumput kering!

Dia pejamkan matanya. Dunia kelihatan seolah-olah sudah sampai pada garisan keusangan. Apabila membuka matanya kembali, mayat kelihatan bergelimpangan di celah-celah runtuhan bangunan, di bawah jambatan, di dalam longkang dan di lorong.

Ah! Betapa kejamnya manusia. Kejam!

Norajij bertempik. Suaranya sekadar mampu mengejutkan beberapa ekor anjing liar yang merayau-rayau di lorong sepi Sarajevo. Tiba-tiba seekor anjing liar itu keluar dari celah timbunan batu bata dan runtuhan bangunan sambil menggonggong sepotong tangan manusia yang sudah pucat! Secara spontan Norajij teringat betapa sukarnya untuk mendapat makanan sejak akhir-akhir ini. Dia pasti anjing itu sudah terlalu lapar sejak bandar itu dalam kepungan.

Perutnya sudah mulai terasa memulas. Dia sedar, sejak keluar dari khemah awal Subuh tadi untuk mencari Mohamed Safariv, dia belum menjamah sebuku rotipun. Di saat itulah Norajij terasa nikmatnya bulan Ramadan dan indahnya rukun Islam kelima itu. Kalau tidak, sudah pasti dia tidak berdaya menggerakkan tubuhnya yang terasa semakin lemah.

Sebelum Sarajevo ditimpia bencana seteruk sekarang, Norajij sudah menyarankan kepada rakannya Sahijaj yang bertugas di Kementerian Luar, agar masalah itu dikemukakan kepada PBB.

"Apakah yang dapat diharap pada PBB lagi? Ia hanya jembalang yang bertopengkan manusia. Menilai kemanusiaan itu jauh lebih rendah daripada wang, wang yang kemudian mereka gunakan untuk buat senjata. Semua senjata itu mereka hambur kepada anjing liar itu untuk mengisi kantung mereka, supaya mereka dapat berlagak macam syaitan!" Sahijaj menjuih bibir bawah, mimik kecewa.

"Tak patut PBB lambat-lambatkan bantuan kepada kita. Apakah PBB menyetujui keganasan, kekejaman dan kesengsaraan kita? Atau rakyat kita yang papa kedana ini tidak bernilai dan tak layak untuk ditolong?" Patavoz mencelah tiba-tiba dengan nada kesal.

Patavoz sebenarnya pernah bertugas di hospital Sarajevo dan terpaksa berhenti kerja kerana kaki kanannya tercedera apabila tentera Serbia melancar serangan ke atas hospital itu musim dingin lalu.

"Adakah PBB tidak mempedulikan kita kerana kita miskin?" Norajij menyoal semula seolah-olah terus kecewa. Wajahnya sugul. Dia kecewa dan putus asa dengan penjelasan mereka.

"Oh tidak ... konvoi PBB sudah tiba petang semalam, tetapi mereka telah dihancurkan oleh anjing liar itu di bandar Skelani, di timur laut Sarajevo."

Sadizack berdiri di belakang mereka. Dia baru saja keluar dari khemah pertahanan di Lembah Tribinje di sebelah utara. Tujuannya ialah untuk memberitahu pelarian yang berselerak di kawasan pergunungan Tribinje, tebing Sungai Drina dan lembah Backacj di barat.

Norajij memandang ke hadapan Sungai Drina yang menjadi pemisah di antara Bosnia dengan Serbia, tampak kelam dan suram dalam kilauan sore yang semakin menguning. Dia cuba hayati gerak arus yang mengalir di hadapannya. Rasa sayu, pilu dan tiba-tiba meresap, berpadu membentuk satu kelukaan yang terasa menyiat-nyiat tali jantungnya.

Nyatalah, kedamaian yang dibayangkannya selama ini, kini menjadi keganasan dan kekejaman! Tiba-tiba langkah Norajij terhenti. Ada erangan yang tenggelam-timbul dalam deru angin yang berbau hanyir dari bangunan di pinggir Sungai Drina. Jauh di bahagian utara, terdengar sayup-sayup ledakan dan letupan senjata. "Pertempuran masih berterusan," fikir Norajij. Dia terus melangkah. Wajah Mohamed Safariv terpampang dalam fikirannya.

"Ya Allah!" Norajij separuh menjerit apabila melihat mayat seorang tua dalam keadaan yang amat mengerikan di hadapannya. Kaki kirinya terputus. Darah beku memaliti muka dan seluruh tubuhnya yang kurus lengking. Beberapa ekor lalat hinggap di atas kaki dan mengerumuni bibirnya yang pucat.

Inikah mangsa kebakaran yang berlaku awal malam tadi?

Norajij membayangkan, tidak jauh dari perkhemahan mereka di Gunung Tribinje, di pinggir Sungai Drina, sebelah timur, sebuah bangunan kedai telah dibakar tentera Serbia yang mengganas.

"Mereka sungguh kejam! Kejam! Betul-betul binatang!"

Seorang mangsa kebakaran itu sempat menyelamatkan diri dan lari ke tempat perkhemahan mereka semalam. Dia tercungap-cungap seperti hendak terputus nafasnya.

"Bagaimana dengan ayah dan keluargamu?" Norajij beredar ke dalam khemah mengambil ubat. Dia kemudian dibantu oleh beberapa orang yang lain merawat luka-luka pada kaki mangsa itu.

"Ayahku ... kak, telah dipancung di hadapan kami setelah dia ditangkap semalam. Ibuku ... juga dibunuh dan kakakku ... dia diperkosakan sebelum ditumbuk dengan pisau."

Dia terus meraung.

"Sudahlah. Allah bersama kita," Azajic, pengawal khemah memujuk. Dia bimbang perkhemahan mereka akan diketahui tentera Serbia. Sejak berada dalam pelarian, tiada apa-apa yang mereka bayangkan, selain jerit-pekik kanak-kanak yang dilambung, disepak, dihentak pada dinding-dinding bangunan serta lolongan kaum wanita yang ditangkap dan diperkosakan!

Norajij tersentak apabila bahunya digoncang. Seorang pemuda berbadan sasa dan tegap serta bersenjatakan sepucuk rifel M 21 dengan pakaian hijau keabu-abuan, berdiri di belakangnya.

"Aku cari kau," jelas Azajic sambil menoleh di bawah runtuhan bangunan tempat Norajij bertimpuh.

"Orang tua ni apa yang boleh kita buat untuk menolongnya? Nafasnya masih ada." Norajij berasa lega. Dia menyelak baju labuh orang tua itu. Mata orang tua itu terpejam rapat. Buih-buih merah tersembur serentak dengan turun-naik nafasnya yang lambat-lambat.

"Kau di sini, kenapa?"

Azajic menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah kesal dengan tindakan Norajij yang keluar dari khemah tanpa kebenaran pengawal.

"Aku cari adikku, Mohamed Safariv yang hilang semalam."

Norajij masih bertimpuh di sisi orang tua itu. Serentak dia terbayang akan wajah ayah dan ibunya yang mati dalam keadaan yang sama dengan orang tua itu.

"Alhamdulilah, Mohamed Safariv telah kami temui tidak jauh dari tempat pertempuran di Lembah Drina, bersetentangan dengan khemah kita semalam." Azajic cuba tersenyum untuk menangkis kegelisahan di wajah Norajij. "Kini mereka dikawal oleh tentera PBB yang baru tiba waktu Asar tadi."

"Bolehkah aku menjumpainya?" Norajij seperti hendak melonjak. Dia benar- benar tidak sabar untuk mendakap adiknya yang kini yatimpiatu.

Azajic menguis-nguis ketul-ketul batu dengan hujung butnya. Keningnya yang tebal terherot ke tengah dahi.

"Barangkali mereka dibawa ke lapangan Sarajevo. Mengikut berita dari PBB, dengan persetujuan Kementerian Luar kita seramai 264 orang kanak- kanak dan bayi kita akan dihantar ke Malaysia. Di sana mereka akan lebih selamat."

"Ma-la-sia?" Norajij tersentak.

Negara itu terlalu asing baginya. Selama ini dia tidak pernah mendengar nama Ma-la-sia selain negara Arab Saudi, Mesir, Yaman dan Iraq.

"Kenapa ke Ma-lay-sia? Mengapa tidak ke Arab Saudi, ke Mesir dan negara Islam yang lebih kaya dan berpengaruh?"

Entah kenapa perkataan itu tersembur dari lidahnya yang kelu. Dia khuatir, takut negara Malaysia itu bukan negara Islam. Dia bimbang nasib adiknya nanti akan sama seperti nasib mereka di bumi Bosnia juga.

"Malaysia juga negara Islam tetapi kemanusiaannya lebih tinggi daripada negara Islam yang besar dan kaya." Azajic tersenyum seperti mengejek Norajij.

Norajij tunduk. Fikirannya menjadi kalut, kacau dengan beberapa persoalan yang melingkari benaknya. Selamatkah Mohamed Safariv di sana nanti? Tapi, mampukah negara itu memberi perlindungan yang sewajarnya kepada mereka? Ah! Kalau di sini, di bumi yang luka ini, belum pasti mereka selamat.

"... Semoga Allah melindungi kau, adikku." Norajij mengucap doa

"Kita perlu lari dari tempat ini. Tentera Serbia sudah menawan jambatan Sungai Drina," Azajic menuding jari ke arah Sungai Drina yang bertambah kusam. "Kau dengar bunyi tu?"

Norajij mengangguk sambil menatap wajah Azajic. "Bagaimana dengan orang tua ni?" Katanya sambil merenung muka orang tua di hadapannya yang sudah kaku.

"Allah Maha Mengetahui keadaan kita," jawab Azajic, terus melangkah.

Norajij mengekori langkahnya dalam keadaan yang amat lemah. Dia sempat memalingkan muka orang tua itu menghadap kiblat, sebelum mengatur langkah meninggalkan tempat itu.

"Kita ke mana lagi? Ke perkhemahan di Gunung Tribinje?" Norajij tertinggal jauh ke belakang daripada Azajic. Soalan itu seolah-olah ditujukan kepada dirinya sendiri.

"Kita ke Tribinje?" Norajij kuatkan suara.

Azajic terhenti. "Khemah kita dibakar pagi tadi."

Dia berhenti lagi, seolah-olah mendengar sesuatu seperti kambing gurun mengesan musuh. Norajij turut cemas. "Ada apa?"

Azajic senyap. Dia mengusapusap laras M 21nya sebagai langkah berjaga- jaga.

"Orang kita?" Soal Norajij setelah Azajic mengatur langkah semula.

Pasti ramai yang jadi mangsa, fikir Norajij apabila membayangkan kebanyakan daripada penghuni khemah adalah kanak-kanak dan kaum wanita.

"Alhamdulilah, tak ada yang terkorban ... Norajij, kau pergi saja ke Lembah Backhacj di sebelah Barat. Di sana ada perkhemahan orang kita yang dikawal rapi PBB," kata Azajic sambil berdiri sebentar di atas sebonggol batu, memandang jauh ke Lembah Backhacj, di muara Sungai Drina. Api pengawal khemah nampak berkelip-kelip.

"Kau pergilah ke sana, Norajij ..." Azajic menunjuk ke arah api yang berkelip-kelip itu.

"Tapi, kau sendiri ke mana?" Norajij memotong cepat.

Norajij sebenarnya kesal kerana bantuan PBB sudah tidak bermakna lagi baginya. Ah, tidak guna sebut PBB lagi. Beribu-ribu jadi korban, mati kebuluran.

"Aku ke Lembah Tribinje, membantu pejuang kita di sana!"

Azajic mengatur langkah menuju ke Gunung Tribinje, diekori pula oleh Norajij tanpa rasa gentar dan takut. Azajic menoleh. Begitu kuat semangat jihad wanita ini, bisik hatinya.

Dentuman, letupan senapang dan ledakan bom semakin ganas, merabaki persekitaran Gunung Tribinje yang hanya dihiasi rumput kering dan serpihan batu yang keras dan tajam menggerigis. Warna senja yang kemerahan di puncak pergunungan itu, tampak hitam dicemari asap bom dan gas pemedih mata yang dilontar oleh kedua-dua pihak yang bertempur. Mereka terus melangkah.

Suasana semakin kalut, kacau dan hinggar-binggar. Lolongan dan jeritan mangsa peperangan menyayat hati. Norajij sedar jeritan dan lolongan itu adalah daripada orang Bosnia yang kebanyakannya hanya bersenjata pedang dan pisau. Bunyi ledakan bom berdentam-dentum dan diselang-seli oleh pekikan meriam dan peluru berpandu yang bergemelentam, merabak kawasan pergunungan Tribinje yang menjadi medan pertempuran sengit kedua-duanya belah pihak.

Norajij melangut. Nafasnya kencang, sekencang dentuman yang menggegarkan kawasan anak bukit tempat mereka berpijak itu.

"Perlukah kita ke tempat pertempuran?" Tiada jawapan. Suaranya dirampas angin kering berbau hanyir sebelum dapat dirakami oleh cuping telinga Azajic yang sudahpun berdiri beberapa meter di hadapannya.

Tekaknya semakin kering. Dia cuba menelan air liur tetapi terasa pahit, kelat dan liat. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri, mencari kalau-kalau ada bekas tin yang menakung air. Hampa. Dia sedar bumi Bosnia sudah beberapa minggu tidak dirintiki hujan. Dia terpaksa sedut udara berdebu di sekitarnya untuk melegakan sedikit rasa panas tekaknya. Norajij terhidu bau hangit belerang letupan menyusuk hidung.

"Ayah ..!" Norajij tiba-tiba menjerit. Dia terbayangkan wajah ayahnya, Mohamed Sahijavic terbaring dengan darah berlumuran di seluruh badan. Mayat ayahnya disepak-terajang kemudian disiat-siat dengan benet seperti menyiat daging anjing laut di musim dingin di muara Sungai Drina.

Ketika itu dia seperti melihat peristiwa kejam dalam buku Mountain Wreath karya Peter Petrovic Njegos berulang lagi. Dia juga seperti melihat sang pembunuh kejam bangsa Montenegro Pavino Polje hidup semula dan membunuh lebih ramai lagi orang Islam Bosnia, lebih ramai daripada yang dilakukannya pada November 1924 di Sahovici.

Duuumm!!!

"Allahuakbar ...!" Norajij tersentak, terpinga-pinga bagaikan kuda liar ketakutan.

"Ya, Allah!" Norajij menjerit.

Azajic di hadapannya tergolekgolek di atas rumput kering berdebu dengan kakinya terkinja-kinja menujal tanah. Darah merah pekat berbusa-busa dari rongga dadanya.

Norajij cepat-cepat membuka skaf coklatnya, kerana berdebu, dan menampal liang di dada Azajic. Anak mata Azajic perlahan-lahan nampak layu dan kemudian tidak bergerak lagi.

Perlahan-lahan Norajij merapatkan kedua-dua belah tangan Azajic menyilang dada. Dengan sebaris alfatihah dia memalingkan muka pucat Azajic menghadap ke kiblat.

"Hanya ini yang mampu aku lakukan untukmu sebagai bukti ... kita adalah hamba Allah yang sama," bisiknya. Kemudian Norajij meninggalkan jenazah Azajic dan turun ke cerun anak bukit itu.

"Ayahku, ibuku, Azajic ... ya Tuhan betapa bumi ciptaan-Mu ini sudah tidak bermakna lagi ... sudah dipenuhi noda dan dosa, kekejaman dan keganasan daripada manusia yang Kaucipta. Ya Allah, masih adakah ruang untuk hamba-Mu berteduh?" Norajij berdoa sambil melangkah menghampiri secebis plastik hitam di celah-celah batu yang menakung sedikit air.

"Norajij!"

Norajij terhenti. Mata kuyunya melilau mencari arah dari mana datang suara yang bergema itu. Hatinya berdegup kencang, sekencang turun-naik anak tekaknya yang kekeringan. Tiada apa-apa yang dia nampak selain daripada batu dan rumput kering. Norajij melangkah lagi ke arah plastik itu.

"Norajij!"

Norajij tidak peduli. Dia terus menghampiri bekas plastik yang menakung air itu. Tekaknya sudah benar-benar kering!

"Kau Norajij?"

Norajij berpaling. Seorang tentera Serbia tercegat di belakangnya sambil menghentak buntut M 16nya ke tanah. Matanya tenang merenung Norajij yang terengsot-engsot menghampiri bekas plastik di hadapannya. Dia tahu Norajij kehausan.

"Minumlah!" Tentera itu menghulur tabung airnya kepada Norajij sambil tersenyum. Senyumnya dibuat-buat untuk menunjukkan simpati.

"Biar aku mati sekalipun, aku tidak akan mengemis bantuanmu, anjing!" Dengan biadab Norajij menjawab tanpa memikirkan akibat daripada perkataannya itu.

"Norajij, pertolonganku ikhlas, atas dasar persaudaraan. Bukankah kita tinggal berjiran di pinggir bandar Sarajevo beberapa tahun yang lalu?"

Norajij menatap mata askar yang berpakaian keperang-perangan itu dengan mata yang tidak berkelip. Dalam hatinya membeku segunung dendam.

"Buat apa kau sebut pasal persaudaraan dan jiran, kalau kau sendiri jadi pembunuh?" Suara Norajij parau kerana tekaknya kering. Air mata tergenang menahan marah. Rasa-rasa ingin diterkamnya askar itu.

Norajij kenal, askar Serbia itu adalah jirannya, rakan sepermainan di zaman kanak-kanak dahulu. Mereka pernah bermain dan belajar bersama di Sarajevo. Kini peperangan, keganasan dan kekejaman mengubahkan segala- galanya. Kekejaman tidak kenal jiran! Keganasan tidak kenal erti persahabatan!

"Aku terpaksa Norajij ... terpaksa ..." keluh tentera itu lagi dengan nada penuh simpati. Dia memandang sekeliling seperti orang yang curiga. Letupan, dentuman masih bergema di sebalik Gunung Tribinje.

"Kerana terpaksa kau sanggup jadi pembunuh? Sanggup jadi syaitan dan sanggup jadi anjing Serbia? Sampai hati kau Alijac, memutuskan tali silaturahim kita yang telah terjalin sejak zaman kanak-kanak dulu."

Askar yang bernama Alijac itu tunduk, seolah-olah kata-kata Norajij itu adalah pedang yang menusuk jantung. Dadanya sebak.

"Norajij, kau larilah ke tempat yang selamat, tu kau nampak ...?" Alijac memuncungkan bibirnya ke arah sekumpulan tentera Serbia yang sedang mara ke arah mereka.

"Norajij, larilah ..." Alijac memujuk terus, sambil menarik seluarnya yang terlondeh kerana ditindihi tabung air, peluru, pisau dan beberapa biji bom tangan.

"Larilah, mereka sedang mara ke sini."

"Tak mau!"

"Kau mau mati dibunuh oleh tentera tu?"

Norajij mengangguk. Dia menyeka pelupuk mata dengan hujung jarinya yang berdebu. Dalam fikirannya wajah ayah, ibunya dan Azajic terpampang jelas.

Alijac menggeleng-gelengkan kepala.

Beberapa orang askar Serbia sedang mara ke arah mereka dengan langkah yang cepat. Alijac sendiri tidak pasti apakah tentera itu tahu mereka berada di situ atau tidak.

"Larilah Norajij ..." pujuk Alijac lagi. Tentera Serbia itu sudah berada di kaki anak bukit itu.

Norajij geleng lagi. Air matanya semakin deras.

"Nah...ambillah. Aku faham perasaan kau." Alijac menghulur sesuatu kepada Norajij. Norajij menyambutnya dengan tangan terketar-ketar.

"Begini ..." Alijac mencabut kunci. Jarum meter bergerak.

"Satu .. dua .. tiga .. lontar..!" Alijac berteriak dan terus menyembam muka pada rumput kering.

Dengan sisa-sisa tenaganya, Norajij menghayunkan tangannya ke udara menghala kepada tentera Serbia yang sedang mara ke arah mereka dengan laungan: "Allahuakbar ..!"

Duuummm ...!

Beberapa saat saja, meledak satu dentuman yang amat keras menggegarkan cerun anak bukit itu, diikuti oleh dentuman yang bertubitubi seolah-olah di situlah kumpulan musuh yang paling ramai!

"Aduhh!"

Norajij menoleh pada Alijac. Alijac terguling-guling menuruni cerun anak bukit itu. Serentak ingatannya kembali kepada pemuda yang menghulurkan tabung airnya tadi. Norajij cuba membantu, berdiri, melangkah beberapa langkah ke arah Alijac.

Tiba-tiba dadanya terasa panas! Ada sesuatu yang menembusi rongga dadanya. Norajij tersungkur. Bunyi letupan semakin keras dan berdentam- dentum.

Perlahan-lahan Norajij berusaha memalingkan mukanya menghadap kiblat, menuju ke muara Sungai Drina. Bola tembaga sudah tenggelam di sebalik puncak Backhacj; warna itu terus mengusam menjadi kelam.

Sepi...

No comments: