Pages

Wednesday, October 22, 2014

Protes

Oleh Hazami Jahari

BENAR, aku memang kaya dengan kesusahan selama ini. Maklumlah anak petani, adik-beradik ramai dan tinggal di kampung yang serba-serbinya mundur. Ada bekalan api elektrik, tetapi rumah kami tetap juga bercahayakan pelita. Air paip jangan diharapkan, kami tetap bergantung kepada sungai Batang Sadong. Itu cerita sepuluh, lima belas tahun lalu.

Aku masih ingat ketika kami adik-beradik masih anak-anak kecil, ayah begitu gigih menyuapkan mulut kami dengan tulang empat keratnya mencari rezeki. Pagi atau petang kalau tidak ke huma dia ke sungai menjala atau `meraie'. Kalau rezeki ada, cerahlah wajah ayah ketika balik. Andai balik kosong kepudaran terlukis di air mukanya yang sentiasa tenang itu.

Ibu tidak kurang gigihnya. Jika ayah ke sungai, dia di huma. Adaada saja kerjanya, menebas, merumput, mencangkul tanah yang kadang-kadang keras membantu apabila musim kemarau. Kalau musim `beranyi', `beranyilah' ibu. Kalau musim merumput, merumputlah ibu. Kerana kegigihan tanpa mengenal penat lelah itulah wajah ibu jadi kasar, tangan jadi kematu.

Tetapi aku yakin, ibu tidak pernah menyesal dengan keadaan itu. Ibu tetap tabah berusaha membesarkan kami dengan pakai yang secukup mungkin.

Rumah kami tidak bercat. Itulah tempat kami sepuluh orang adik-beradik membesar. Kami berkelahi, makan dan tidur bersama di rumah tanpa bilik, tanpa siling. Apabila cuaca terik, berpeluhlah kami kerana bahang atap zink yang terus memanah tubuh. Pun kami pada masa itu tidak pernah memprotes. Kami adik-beradik semacam memahami keadaan. Memaklumi bahawa setakat itulah kemampuan orang tua kami menyediakan apa yang patut.

Makan berlauk garam adalah perkara biasa. Makan berlauk sayur lumrah juga. Untuk merasai lauk-pauk yang enak seperti orang lain terlalu jarang bagi kami. Kebetulan pula kami tidak berternak ayam itik. Aku tidak pasti mengapa ayah dan ibu tidak minat berternak. Hanya apabila ayah ke sungai dapatlah kami menyendal udang galah ataupun baung, labang dan tapah. Meminjam beras daripada jiran walaupun terlalu berat bagi ibu juga pernah dirasai.

Hari raya, kami tidaklah terlalu gembira seperti orang lain. Tidak seseronok anak-anak jiran yang pasti berbaju, berkasut dan berseluar baru. Baju Melayu yang ada biasanya baju tahun lalu. Kuih-muih yang disediakan sekadar yang ada. Cuma pada hari raya kami adik-beradik sedikit berpeluang memakan gulai ayam ataupun lembu. Waktu lain usahlah diharapkan, kecuali ada kenduri kahwin atau kematian di kampung.

Itu dulu. Kini aku sendiri telah merasai perubahan yang agak ketara. Sejak aku bekerja dengan kerajaan, mempunyai gaji bulanan yang tetap. Amat jelas soal makan, pakai tidak lagi timbul. Kalaupun tidaklah semewah orang lain, sekurang-kurangnya aku mampu menyediakan apa yang patut untuk ayah, ibu dan adik-beradikku yang lain. Sepatutnya aku boleh berbangga dengan apa yang aku capai sekarang. Aku telah punya pekerjaan, kedudukan dan mampu membantu keluarga. Ya, seharusnya aku berbangga sekarang.

"Benar, aku telah punya pekerjaan, punya gaji yang boleh tahan, tapi...?"

"Kau terlalu ideal."

"Bukankah manusia inginkan kebahagiaan, kesenangan dan kemewahan hidup?"

"Tidak semua manusia mampu mengecapi nikmat itu? Kau harus faham."

"Pokoknya aku memang belum lagi merasai kebahagiaan dalam hidup," simpulku untuk menghentikan pertikaian pendapat dengan Azrina, teman sepejabatku.

Sesungguhnya aku bukanlah mengejar kehidupan yang terlalu mewah, atau wang yang beribu ringgit. Apa yang aku inginkan dalam hidup ini ialah ketenangan. Sebuah keluarga yang mesra, saling hormat-menghormati serta hidup rukun dan harmoni. Sebuah keluarga yang tiada masalah, tiada persengketaan dan tiada syak wasangka sesama sendiri.

Tetapi itulah yang masih tiada pada aku sekarang. Bukan pula aku menyatakan keluargaku tidak bahagia semuanya, hanya perbalahan dan pertikaian sering saja terjadi di antara kami. Masing-masing memperlihatkan kelalaian sikap dan pendirian. Kelainan ini akhirnya membawa kepada pertikaian-pertikaian kecil yang kian menular dalam keluargaku.

Abang telah 10 tahun berkahwin. Dapat empat anak. Isterinya iaitu kakak iparku sendiri tidak sebulu dengan kakakku yang juga telah berkeluarga sendiri. Kakak mempunyai tiga anak. Suaminya orang yang tidak banyak bercakap, lebih senang memerhati dari jauh hal-hal keluarga. Alasan kakakku tidak sebulu dengan kakak iparku tidaklah nyata, sekadar kakak tidak senang hati dengan isteri abangku yang sering saja bersikap dingin terhadap kami adik-beradik. Malah kakak iparku itu amat jarang menjenguk muka di rumah kami sekeluarga. Tidak berhenti di situ, abangku juga semacam ditegah ke rumah kami.

Adik perempuanku lain pula ceritanya. Dia juga telah bersuami. Juga punya anak. Dua orang. Suaminya muallaf, bangsa Iban. Mereka tidak ada masalah, cuma adikku bermasalah dengan suaminya. Apa tidaknya perangai suaminya sebelum Islam sekali-sekala masih terbawa-bawa. Ini tidak perlulah aku ceritakan. Seringkali ibu turut masuk campur dalam masalah rumah tangga adikku semata-mata mahu membetulkan keadaan. Ayah lebih banyak mendiamkan diri jika terjadi perbalahan dalam rumah tangga adikku itu.

Aku anak nombor tiga dalam keluarga sekarang menanggung beban keluarga. Aku anak harapan ayah dan ibu. Anak yang dicita-citakan membuka ruang kehidupan yang lebih cerah dan luas kepada adik-adikku yang lain kerana abang dan kakak masing-masing telah mempunyai tanggungjawab sendiri. Ayah dan ibu faham mereka tidak mungkin dapat diharapkan lagi.

Atas dasar itulah aku berusaha untuk melaksanakan harapan keluarga. Aku masuk ke sekolah berasrama penuh di Kuching, dari tingkatan satu hingga tamat STPM. Sepanjang menyambung pelajaran di Kuching aku jarang benar balik ke kampung. Kebetulan pula ayah memang sering kesempitan wang untuk perbelanjaan sekolahku. Jadi lebih wajar bagiku ketika itu untuk tinggal saja di asrama, kecuali cuti penggal. Aku lebih senang tinggal di asrama ketika cuti kerana ia memberikan aku kesempatan untuk belajar tanpa gangguan masalah keluarga di kampung.

Selepas STPM aku menjadi guru sandaran di Kuching. Maka peluang untuk aku balik ke kampung kian sulit. Terbisiklah suara teman dan jiran sekampung yang menuduh aku telah lupa kampung, anak tidak mengenamg budi, hendak jadi orang bandar dan pelbagai tuduhan yang menyakitkan telinga.

Tindakan aku ialah hanya mendiamkan diri kerana itu jawapan terbaik menyelesaikan masalah tuduhan liar jiran dan teman-teman di kampung. Lagipun aku memang mengamalkan prinsip hidup tidak mahu menghiraukan cemuhan orang lain jika aku memang tidak bersalah. Biarlah apapun tuduhan orang, yang penting cita-citaku tercapai.

Nasibku baik, permohonanku memasuki universiti diterima. Dalam keadaan serba payah, tidak cukup wang aku tekadkan semangat untuk menyambung pengajian di menara gading yang selama ini menjadi cita-citaku. Aku berazam mahu membantu keluarga dan menjadi contoh kepada adik-adik yang lain agar mereka juga mengikut jejakku. Akhirnya tanpa meminta walau sesen pun duit ayah dan ibu, aku kembali juga dengan segolong ijazah. Rasanya tidak perlu aku ceritakan betapa susahnya aku di universiti selama tiga tahun. Hanya aku dapat simpulkan ia benar-benar mematangkan diriku. Di universiti aku banyak belajar mengenai hidup, mengenai masalah keluarga juga sikap manusia yang bermacam-macam.

"Kau harus ingat, manusia tidak akan puas dengan apa yang diperolehinya. Kalau dah kaya, nak kaya lagi, ya begitulah seterusnya."

"Telah aku jelaskan, aku bukan meminta sesuatu yang bersifat kebendaan dalam hidup ini tapi sebuah ketenangan. Tidak lebih dari itu."

"Ketenangan...apa lagi? Kau punya pekerjaan, punya gaji tetap, itu sudah memadai untuk membentuk ketenangan, hanya kau saja yang tidak tahu menghargainya. Kau tidak pernah bersyukur dengan apa yang telah kau perolehi sekarang."

"Aku kira setelah aku masuk universiti, keluar sebagai graduan punya pekerjaan, gaji tetap, aku akan bahagia, tenang, jauh dari masalah, tapi rupa-rupanya tidak begitu."

"Manusia mana yang tidak ada masalah, sedangkan ulat dalam batupun mempunyai masalah sendiri."

"Itu aku akui, tapi aku telah puas berusaha mencari kebahagiaan selama ini. Aku belajar dalam kesempitan wang, aku masuk universiti tanpa bantuan keluarga, semuanya aku lalui dengan cukup tabah. Tapi mengapa setelah berusaha begitu gigih aku tetap tidak menemui kebahagiaan, ketenangan dalam hidup?"

"Nampaknya kau sendiri kecewa, kurang yakin dan mudah putus asa. Kalau kau sanggup berusaha keras untuk mencari kejayaan dalam pelajaran dan seterusnya mampu menyara keluarga dengan pekerjaan yang ada, mengapa untuk sedikit lagi waktu kau tidak sanggup? Bukankah kebahagiaan itu tidak semestinya hadir sebaik saja kau punya gaji, punya pangkat, punya kedudukan."

"Entahlah aku kadang-kadang hilang keyakinan diri sekarang."

Memang aku jarang sekali balik ke kampung. Apatah lagi tugas di pejabat semacam tidak pernah memberi izin untukku memohon cuti. Segalanya meminta disegerakan. Tetapi itu bukanlah alasan yang kukuh sebenarnya. Sekadar untuk menjenguk keluarga di kampung dua tiga hari, jika benar-benar diusahakan, memang tiada halangannya. Cuma aku sengaja menggunakan alasan yang tidak kukuh itu untuk tidak balik ke kampung. Sering juga tindakanku yang jarang menjenguk keluarga di kampung menjadi modal teman-teman sepejabat menghentamku dalam nada sinis.

Di pejabatpun aku menghadapi masalah dengan ragam manusia yang pelbagai rupa. Masing-masing mementingkan diri sendiri. Ketua pula lain kerenah, bukannya memahami masalah yang dihadapi. Aku cukup mual dengan keadaan begini. Tidakkah manusia seperti ini berfikir alangkah indahnya dunia tanpa irihati, tanpa prasangka dan tanpa dengki. Ah! Aku betul-betul jadi kurang aman, kurang pasti di manakah aku mampu menemui dunia yang aman. Dunia yang tiada masalah keluarga dan masalah kerja. Segalanya cukup menekan sekarang.

Aku punya alasan sendiri mengapa aku tidak gemar balik ke kampung. Kerana setiap kali balik ke kampung, aku tidak pernah rasa bahagia. Tidak pernah berasa tenang. Macam-macam hal atau masalah yang menerjah mindaku. Ada-ada saja persoalan keluarga yang mencuri ketenanganku. Akhirnya, di rumah aku menjadi pendiam, tidak suka bergurau dengan adik-adik apatah lagi dengan ibu dan ayah. Perwatakan ini nyata berbeza ketika aku bersama teman-teman, terutamanya di pejabat.

Ya, di pejabat aku orang yang periang, suka berjenaka dan amat peramah seolah-olah aku tidak menghadapi sebarang konflik jiwa yang meruncing. Malah ketika bertemu dengan teman-teman lama semasa di universiti, mereka langsung tidak dapat mengesan bahawa aku tidaklah seriang yang mereka lihat. Mereka menganggap aku manusia bertuah, keluar dari universiti, dapat kerja tetap dan punya kedudukan yang tinggi. Sedangkan kata mereka, orang lain terpaksa menunggu beberapa tahun untuk mendapat pekerjaan tetap di jabatan kerajaan. Yang lebih nakal mengatakan aku punya banyak peluang memikat wanita dengan kedudukan yang ada padaku. Ah! Mereka benar-benar tidak tahu apa yang ada dalam fikiranku.

"Apa lagi masalah yang kau hadapi, segalanya telah kau perolehi."

"Termasuk kau, entah kali ke berapa orang melontarkan kenyataan itu kepadaku."

"Habis!"

"Memang orang tidak akan mampu menyelami pergolakan fikiranku."

"Sebagai teman, aku rasa bertanggungjawab untuk membantu kau, tapi tidak pernah menyatakan masalah yang sebenarnya."

"Telah aku ulangkan, kau termasuk orang yang tidak mampu memahami geloraku."

"Kau tidak yakin dengan kejujuranku?"

"Tidak. Malah aku menghormati perhatian yang telah kau berikan selama ini."

Azrina memang tidak pernah puas dengan alasan yang aku berikan setiap kali kami berbahas, apatah lagi dalam soal-soal peribadi. Aku terlalu sukar untuk berterus-terang dengannya, terutamanya masalah keluarga. Bagiku masalah keluarga tidaklah perlu dinyatakan kepada orang lain kerana akhirnya akan membuka pekong di dada sendiri. Lantas lebih wajar ia disimpan dalam kepala sendiri untuk diselesaikan.

Aku jadi semakin tidak pasti bilakah masanya aku akan menemui titik kebahagiaan dalam hidup. Aku punya keluarga, tapi aku tidak pernah merasa bahagia bersama keluarga. Hubunganku dengan ayah tidak intim. Dengan adik- beradik aku tidak mesra. Ibu barangkali sedikit memahami jiwaku.

"Kedua-dua orang tua tidaklah terlalu mengharapkan pemberian wang setiap bulan kepada mereka. Apa yang mereka perlukan ialah kemesraan dalam keluarga."

"Caranya?"

"Kau jengoklah mereka di kampung."

"Tapi aku tidak pernah berasa tenang apabila berada bersama keluarga. Tapi aku tahu mereka tidak bersalah dalam hal ini."

"Sampai bila kau harus bersifat begitu?"

"Bukan itu saja, di pejabat inipun aku kurang selesa, macam-macam kerenah manusia yang aku temui setiap hari."

"Manusia memang begitulah."

"Entahlah aku semakin sesat dalam kecelaruan masalahku sendiri, ditambah lagi dengan masalah di pejabat, segalanya cukup menekan sekarang. Yang pasti aku berusaha menjadi manusia yang baik. Baik dengan keluarga, baik dengan rakan sepejabat malah dengan semua orang. Barangkali dengan cara itu aku memperolehi ketenangan dan kedamaian, sekurang-kurangnya untuk diriku sendiri."

"Jangan terlalu mementingkan diri, keluarga mesti diutamakan. Kau nampak gayanya semacam tidak mempedulikan mereka."

Agak kasar tuduhan Azrina ketika kami sarapan pagi di kantin pejabatku. Namun aku tidak berkecil hati, mungkin ada benarnya tuduhan Azrina, seorang teman yang paling akrab denganku baik di pejabat mahupun di luar

Aku bukan tidak mahu balik ke kampung, bermesra dengan adik-adik, tetapi jiwaku sentiasa menghalang. Masalah abang, kakak dan adik-adik telah cukup membebankan. Masalah mereka menjadikan aku takut untuk berkeluarga. Aku takut terpenjara dalam sangkar rumahtangga yang dilihat dari luar begitu indah. Tetapi apabila kita berada di dalamnya barulah terasa betapa seksanya. Untuk keluar dari penjara rumahtangga pastinya satu masalah yang besar pula.

Aku risau untuk menyinggung perasaan ayah dan ibu. Aku bimbang ayah dan ibu berkecil hati dengan tindak-tanduk isteriku nanti seperti mana mereka berkecil hati dan tersinggung dengan isteri abang dan suami adikku. Kalau mungkin aku mahu menjaga hati ayah dan ibu setiap masa. Kalau dapat isteriku nanti biarlah orang yang memahami dan menghormati kedua-dua orang tuaku. Itu yang aku impikan sehingga akhirnya aku menjadi takut untuk berkeluarga. Aku tidak memilih kecantikan sebagai ukuran, tetapi budi bahasa yang utama.

"Tidak bermakna aku tidak balik ke kampung, tidak mesra dengan keluarga, aku tidak menyenangi mereka."

"Tapi cara dan tindakan kau itu semacam tidak menyenangi mereka."

"Aku tahu apa yang wajar aku lakukan. Yang pasti aku tidak perlu menyingkirkan mereka dalam hidupku."

"Kau memang aneh dan kadang-kadang terlalu ego," simpul Azrina pada suatu petang semasa aku menghantarnya pulang ke rumahnya.

Aku tidak pasti sejauh manakah aku mampu bertindak dingin terhadap keluargaku. Dan aku tidak pasti apakah usahaku selama ini mengejar kejayaan dan akhirnya memperolehi kedudukan yang baik akan menjamin sebuah kebahagiaan hidup. Semuanya bagai tujahan soalan yang tiada jawapan pasti.

"Awak tidak seharusnya bertindak sendirian atau mengikut perasaan semata-mata. Kalau ada masalah jumpa saya, biar kita bincang bersama. Ini tidak, awak main cakap-cakap di belakang tentang hal pejabat dan macam- macam lagi. Ini tidak akan menyelesaikan masalah."

"Maaf tuan, saya cakap apa yang benar, untuk kebaikan jabatan juga bukan untuk kepentingan diri."

"Bagus niat awak itu tetapi caranya kurang wajar. Awak kenalah ikut peraturan ataupun saluran yang betul...jangan membelakangkan peraturan."

"Bukan begitu tuan, kalau terlalu banyak peraturan pejabat yang terpaksa dilalui sampai bilapun keberkesanan kerja tidak akan tercapai."

"Saya menghargai keprihatinan awak terhadap masalah di pejabat ini tetapi biarlah dengan caranya. Saya harap awak boleh berfikir betul-betul soal disiplin dan masa depan kerjaya awak. Itu saja yang saya nak ingatkan."

Aku benar-benar celaru. Masalah keluarga bertali arus, ditambah lagi dengan kekalutan di pejabat. Ketua jabatan seolah-olah tidak mahu memahami masalahku atau mendengar penjelasanku. Silap sedikit terus meledak kata- kata kasar dan ugutan. Tetapi kali ini cukup serius. Cukup tegang. Aku hanya ada satu pilihan, pilihan yang sukar. Berhenti kerja? Tetapi keluarga yang menaruh harapan kepadaku bagaimana?

Aku kira kesusahan pada zaman kecilku akan berakhir apabila aku telah dewasa, apabila aku telah mampu hidup sendiri. Apabila aku telah matang memilih jalan hidup bersama keluarga yang dhaif bagaikan bayangan-bayangan yang sentiasa melindungi hidup ini. Apakah hidup ini tidak pernah berubah? Manusia sentiasa dibelenggu masalah.

"Aku dengar kaudapat tawaran kerja lain, betul ke?"

"Ya...tapi aku belum memutuskannya lagi."

"Fikirkanlah sedalam-dalamnya, jangan sampai menyesal."

"Di sinipun aku tidak aman. Tidak tenang. Suasana bekerjanya serba merimaskan. Manusianya masing-masing berlumba-lumba mencari kesilapan orang lain."

"Apa kaufikir dengan berpindah tempat kerja, kau akan aman, kau akan bahagia?"

"Barangkali di tempat baru akan sedikit tenang."

"Dari segi kerja kau mungkin tenang, tapi masalah keluarga bagaimana. Kau tidak boleh lari dari bayangan kekalutan kau sendiri. Lagipun di sini kau masih diperlukan, banyak perkara yang telah kau buat. Kalau kau pindah siapa akan meneruskan usaha yang separuh jalan itu? Aku tak yakin orang lain sanggup berusaha keras tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran seperti kau."

"Biarlah aku memutuskannya. Yang mustahak sekarang aku perlukan sebuah ketenangan. Aku perlukan keluarga yang harmoni. Aku harapkan suasana kerja yang mesra. Tidak lebih dari itu."

"Kau seperti memprotes?"

"Terpulang kepada tafsiran masing-masing."

"Cuma, kau mesti ingat, kita masih ada Yang Maha Kuasa tempat memohon. Allah sentiasa penyayang, sentiasa pengasih kepada hamba-Nya yang bersabar."

Ada kebenaran kata-kata Azrina itu. Selama ini aku terlalu yakin dengan kemampuan diri. Aku lupa bahawa ketenangan itu bukan dengan kedudukan yang ada, tetapi ketenangan itu lahir dari kesabaran. Tetapi mampukah aku menentang manusia di sekelilingku? Mampukah aku mendepani ketua yang sentiasa betul? Mampukah aku mendamaikan keluargaku sendiri? Mampukah?

No comments: