Pages

Sunday, April 03, 2016

Sumpahan rusa

Oleh Zainal Rashid Ahmad

1 MEMANG dia yakin benar, yang dilanggarnya malam itu ialah seekor rusa jantan. Cuma dia keliru, sama ada rusa itu dirempuhnya ketika dalam perjalanan pulang dari mesyuarat atau sekadar dalam mimpi.

Mei pada suatu tahun

Syed Fakrul Razi datang dengan wajah merah padam. Bila saja dia masuk dan tiba di ruang utama, dengan dengusan penuh sebal, dihempasnya sebeban kertas stensil di meja depan.

Sekumpulan pemuda yang sejak awal pagi menunggu peluang masuk ke bilik Mustakim Kiran tersentak dan saling berpandangan dengan wajah yang gusar.

Seorang dari mereka, yang kurus tinggi dan berkaca mata bulat segera mengisyaratkan agar jangan terlalu diperhatikan tindak-tanduk Syed Fakrul Razi.

Syed Fakrul Razi - yang bermata tajam dengan kulitnya yang cerah bersih dan bertubuh tegap itu kemudian memandang silih berganti seorang demi seorang anak muda yang duduk sebaris di atas bangku panjang setentang dengan bilik Mustakim Kiran. Wajahnya berkerut kala dia berjalan perlahan ke arah kumpulan itu dan berdiri betul-betul pada jarak selangkah.

"Datang nak apa - nak minta duit buat kain rentang?".

Kumpulan pemuda itu tersentak dan nampak serba-salah - kebanyakannya hanya tunduk memandang lantai. Pemuda berkaca mata bulat cuba tersenyum; agak hambar.

"Bila hah, orang muda macam kau semua nak berhenti dari budaya kain rentang... berhenti berarak macam semut lapar?", Tanya Syed Fakrul Razi dan kali ini dia senyum sinis.

"Tapi kali ni penting... pasal...," jawab pemuda berkaca mata bulat itu dengan suara separuh yakin.

Belum sempat dia menghabiskan cakapnya, Syed Fakrul Razi mengherdik, "kalau ikut penting, pada kau orang semua penting - harga coli naik pun kau orang hendak berarak juga."

Semua terdiam. Mustakim Kiran tiba-tiba muncul di muka pintu pejabat dan terbatuk-batuk kecil.

Syed Fakrul Razi menoleh dan kemudian tersenyum puas lalu bersuara, "kau jumpa puak jalanan ni dulu. Mungkin dia orang nak minta peruntukan berarak sebab harga coli naik."

2

Malam itu, waktu duduk di beranda dan menanti-nanti kedatangan utusan sulit yang dikhabarkan akan datang membawa surat pesanan penting dari jawatankuasa perarakan, dia nampak lagi susuk kepala rusa itu muncul di balik rimbunan lalang di tepi laman rumahnya.

Sambil bersandar dan menghisap paip - ditenungnya sungguh-sungguh, sama ada rusa itu sama dengan yang dilanggarnya dulu.

Akhirnya, dia yakin, rusa itu adalah rusa yang dulu juga.

Bunyi suara keriutan basikal mengejutkan rusa itu dan sekelip mata, ia menghilang dalam semak.

Budak utusan yang ditunggunya segera berlari memanjat tangga lengkung di tepi rumah dan naik ke beranda.

"Ada 40 pertubuhan setuju nak berarak nak nyatakan bantahan secara terbuka," kata anak muda dalam lingkungan awal dua puluhan itu.

Dia mencapai surat yang dihulurkan dan kemudian mengisyaratkan agar utusan itu segera berlalu.

Bila saja bunyi keriutan basikal sayup menghilang di luar laman, surat itu dibukanya.

Kami tidak menentang saudara secara peribadi...tapi ini soal kepentingan bersama. Kami percaya, perarakan ini perlu untuk Melayu.

Jun pada suatu tahun

"Kalau benar hak Melayu yang dicabar dalam resolusi itu, takkan begini caranya takkan nak berarak macam Malayan Union dulu?" tanya Syed Fakrul Razi.

Mustakim Kiran, bersandar dan pada wajahnya yang kusut itu tergambar semacam rasa bosan.

Dia memerhati lama ke arah pintu, melihat-lihat liuk cahaya lampu gasolin di tengah ruang tamu. Suasana pejabat malam itu lengang.

"Kau tahu," kata Syed Fakrul Razi, "masa British dulu lain, masa kita lain. Kita tak boleh lagi jadi bangsa panas baran... dah dekat 50 tahun British berambus, takkan Melayu tak cerdik lagi."

"Rul...ni soal pendirian persatuan. Jawatankuasa dah sepakat," balas Mustakim Kiran.

"Sebab jawatankuasa yang ada semua otak karat. Kau pilih yang dah berkarat, yang asyik baca buku sejarah dua puluh empat jam. Sebab tu, AJK kau asyik dengan sejarah Malayan Union, dengan sejarah Abdul Rahman Limbong!"

Mustakim Kiran bangun dan berjalan ke tingkap - dikuaknya jendela dan nampaklah langit malam yang gelap.Syed Fakrul Razi membetulkan sandarnya sambil mengangkat kedua-dua kaki di atas meja.

"Pandangan peribadi lain, cara persatuan lain..."

"Dengar sini," kata Syed Fakrul Razi, "yang memberi jiwa pada persatuan ialah naluri setiap individu yang menyertainya. Jadi jangan salahkan persatuan dek kerana pemimpinnya lemah."

"Mereka desak kerajaan... mereka cabar hak kita ...mereka cabar kontrak sosial... mereka cabar perlembagaan."

"Tapi, mempertahankan semua tu bukan dengan berarak," balas Syed Fakrul Razi pantas dengan nada penuh geram.

Mustakim Kiran menggelengkan kepala - kemudian senyum hambar. Dia berjalan ke belakang kerusi lalu menepuk-nepuk bahu tetamunya.

"Kau masih macam semalam... memang kau rasa keliru macam mana dalam negara kita ni, soal cita-cita Sekolah Wawasan dan pertelingkahan kontrak sosial boleh timbul serentak."

"Kontras," kata Syed Fakrul Razi, "aku bukan apa, cukuplah kita dibesarkan dulu dalam syak wasangka, takkan kita nak didik anak-anak kita juga dalam syak wasangka. Kita dah duduk sekali, tak mungkin seumur dunia ni, kita nak ajar anak cucu kita menyimpan rasa bermusuh dengan tetangga sendiri."

"Kau terlampau terbuka, Rul... sebab tu kau kalah bila bertanding jawatan timbalan dulu."

Syed Fakrul Razi tersenyum dan kemudian tergelak. Dia menggeleng- gelengkan kepala lalu menurunkan kakinya dari atas meja.

"Aku tak menang pun tak apa. Buat apa jadi pemimpin yang sibuk dengan kain rentang dan berarak saja. Kerja tu arwah datuk aku dah buat di Johor dulu."

3

Hampir semalaman dia berlegar-legar dalam semak. Dari tali air sampai ke denai kaki bukit dia berjalan ulang-alik mencari jalan keluar.

Bayangan rusa, yang dijejaknya sejak Maghrib tadi sesekali muncul di balik rimbunan lalang - namun bila didekati, kelibat itu menghilang.

September pada suatu tahun

Dia terkejut jaga, bila terdengar bunyi benda yang berat jatuh di lantai. Keadaan gelap pekat dan dia hampir-hampir jatuh dari kerusi dek rasa terkejut.

Bila saja cahaya gasolin menyala menerangi ruang tamu, nampak tubuh gempal berkulit cerah berdiri di pintu.

"Ceh, kau rupanya," kata Mustakim Kiran sambil menarik nafas panjang.

"Aku hantar kain dan poster yang kau tempah. Sorry lewat, tapi bukan sabotaj tau...," jawab lelaki bertubuh gempal itu.

"Aku yang silap," kata Mustakim Kiran, "Tak sangka betapa bodohnya aku. Patut aku tak tempah pada kau."

"Jangan macam tu, kita kerja sekali dah lama. Lapan tahun aku jadi printer persatuan. Takkan pasal kes Melayu Cina ni, kita nak berbalah."

Mustakim Kiran bangun dan menghampiri Ban Han. Dia tersenyum dan dalam balik samar cahaya gasolin, terpancar keresahan dalam dua bola matanya.

"Ini perjuangan kau," kata Ban Han, "aku hormat. Aku pun orang kesatuan, dan walaupun kesatuan aku buat resolusi tu... tapi hubungan kita sama kita takkan putus."

Kedua-dua saling berpandangan. Macam terpana dek satu rasa.Ban Han berjalan ke meja, dan duduk di bucu dan kemudian mengeluarkan rokok lalu dihulurkan pada Mustakim Kiran.

"Kita generasi baru, hidup pula tengah arus orang lama. Cara mereka lain, cara kita lain - tapi budaya mengikat kita.

"Aku sendiri tak suka dengan tuntutan kesatuan, tapi kita ahli ni ada budaya hormatkan pemimpin. Maka kena diam walau tak setuju," kata Ban Han.

"Aku faham...," jawab Mustakim Kiran dan kemudian berjalan ke arah timbunan poster, "cukup ke dua ribu keping ni?"

"Aku cetak lebih dua ratus... kawan punya pasal," jawab Ban Han.

Mustakim menarik sehelai poster lalu dipampangnya. Kelihatan tulisan merah tertulis: Jangan Cabar Hak Melayu. Diam Kami Ada Batasnya.

Disember pada suatu tahun

Ribuan pemuda-pemudi dengan pakaian warna putih berhimpun memenuhi padang. Pelbagai sepanduk dan poster dilekat dan digantung di sana-sini. Suara teriakan dengan pelbagai slogan menjadikan siang rembang hari itu lebih panas dari selalu.

Di pentas, Mustakim Kiran berucap dengan penuh semangat - tentang Melayu dan alamnya, tentang Melayu dan jiwanya serta betapa tercabarnya Melayu dengan tuntutan kesatuan Cina pada kerajaan.

Di warung kopi, tak jauh dari padang itu - Syed Fakrul Razi sedang duduk minum ko-pi dan membaca rencana akhbar Harian Nusa mengenai Tun Tan Cheng Lok, Tun Sambanthan dan Tunku Abdul Rahman.

Selang dua meja dari situ, kelihatan Siew Ban Han duduk berbual dengan sekumpulan orang tua dan mereka sedang bercerita mengenai nasib tulisan jawi.

4

Waktu matahari sudah terbit, dan silaunya mengilat di dada air bagai pancaran permata, dia sedar - dirinya benar-benar sesat kali ini. Di balik rimbunan lalang, tempat dia beberapa kali terpandang kelibat rusa sepanjang malam tadi, yang kelihatan hanya rundukan bekas dipijak kakinya sendiri.

Kala matahari sudah segalah di langit, dia masih berdiri di situ - diasak rasa keliru sama ada rusa yang dilihatnya itu benar-benar wujud atau sekadar halusinasi.

No comments: