Pages

Monday, September 26, 2016

Politik

Oleh   M Jusoff Taib

AKIM atau Mat Hakim bin Bujang Senik, gila. Inilah berita besar yang kudapati dari kedai kopi Wan Muis di kampungku -Kampung Gual Kuali.

Tentulah tidak sebesar berita kemangkatan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj. Tentulah tidak sepenting berita Barisan Nasional menang dua pertiga dalam pilihanraya lalu.

"Bila gilanya?"

"Mula belum pilihanraya. Dia nak tebas orang. Ramai yang takut Akim keluar mengamuk dengan parang penebasnya yang diasah setiap hari," demikian kata Wan Muis.

Padaku, gilanya Akim tidak munasabah. Akim bukan jenis manusia yang berserabut dengan aneka masalah. Pandangan hidupnya sederhana: Asal tak sakit demam dan berupaya cari makan sudah berpada.

Lain kalau Akim datang ke Kuala Lumpur. Aku pasti dia akan gila selepas seminggu mengalami sesak batin mengharungi penghidupan liar itu. Bagi Akim Kuala Lumpur boleh memungkinkan dia gila berbanding dengan dia tersesat ke dalam rimba penuh dengan pekikan gajah liar, ngauman harimau atau berbagai ugutan dari berbagai suara binatang ganas lagi.

"Kerana apa Akim gila?"

"Entah. Kata orang kerana pilihanraya, kata Wan Muis sambil mengangkat cawan kopi yang sudah dihabisi kopinya ole pelanggan dan mengelap mejanya.

Ini betul-betul tidak munasabah. Fikiran Akim mustahil berserabut dengan masalah politik. Lagi pun tak ada tokoh politik yang mahu melantik Akim jadi orang kuatnya. Penglibatan Akim dalam politik cuma secebis -pergi pangkah undi di pusat mengundi bila tiba hari mengundi.

Setahu aku, Akim cuma hidup untuk bekerja kais pagi makan petang dan kais petang makan pagi keesokannya pula. Semenjak tinggalkan bangku sekolah Melayu bersama dengan aku, Akim tak lupa dua senjata -parang berulu panjang alat menebas kebun bersemak-semun dan pisau penoreh getah.

Ketika Akim selamat ke usia 21 dan tiba musim untuk orang sibuk dengan kempen calon masing-masing, Akim masih menganggap dirinya hidup di zaman Raja Melaka -tak payah mengundi.

"Susah nak mengundi `tu. Bukannya apa, untuk orang menang pakai motokar besar," kata Akim apabila aku cuba memujuknya hidup cara demokrasi.

Tapi akhirnya Akim mahu juga mengundi. Masa itu aku masih berada di Gual Kuali yang memiliki dua surau bukan kerana penghuninya berpuak yang satu pakai Mazhab Syafi'e dan yang satu lagi pakai Mazhab Wahabi. Tapi kerana berpecah dua puak pakai Mazhab PAS dan Mazhab UMNO. Entah kitab muktabar mana pula parti politik jadi mazhab agama.

Pada sangkaku, Akim yang berbini Mek Selamah itu sentiasalah mengundi sebelum hari mengundi 90 yang baru lepas dan memanglah tepat. Setiap kali aku pulang ke kampung, tak lalai aku bertanya pada Akim: "Mengundikah kau?"

"Aaaah," katanya tak banyak patah.

Ketika sedang mengingat-ngingatkan Akim yang dikhabarkan sudah gila itu, sambil pula membelek-belek buku usang tinggalan zaman muda di kampung, kuping telingaku ditembusi cakap-cakap nenek tentang Akim: "Dahlah suaminya dah dikatakan gila, kesian Selamah dihalau ayahnya menoreh di kebun getah orang tua tu. Lakinya dahlah berkurung tak keluar-keluar, si Selamah nak makan beras pun susah. Tiga hari lepas, aku yang beri sepuluh ringgit. Tak kisah tak bayar pun. Bayar dengan kupas kelapa pun tak apalah."

Aku berhenti membelek buku. Berpaling menatap wajah berjalur usia itu sedang tunduk menganyam tikar. Apalah yang membuatkan nenekku berumur panjang dan masih kuat, tak ingatkan mati malah ingatkan kerja menganyam tikar hari demi hari -bisik hatiku.

"Kenapa pulak ayah Selamah halau dari menoreh getahnya?"

"Pasal apa lagi, kalau tak kerana Akim naik gila."

Ini lagi haru kepala aku. Takkanlah Akim gila lalu Selamah juga tak layak menoreh getah ayahnya sendiri?

"Bukan kautak tahu, Pak Mit itu siak surau PAS. Dia yang heboh kata, sapa-sapa undi lain dari darah dagingnya, haram. Dengar di telinga Akim, apalagi, celupar mulutnya kata mertuanya dah lantik diri jadi Nabi. Dengar pulak `kat Meun. Meun sampaikan pada Pak Mit. Apa tagi, peranglah. Sebenarnya Akim `tu tengah marahkan Tok Piah ..."

"Tok Piah `tu kan nenek saudara Akim?"

"Hah, itulah. Tok Piah pulak orang `46'. Tok Piah upah Akim menebas kebunnya yang bersemak-samun di hulu yang tiga ekar `tu. Belum Akim stat ayun parang, Tok Piah mahu Akim berjanji dulu ..."

"Janji apa?"

"Kena undi tok calon wakil `46"

"Habis?"

"Akim terus angkat parang sandang ke bahu, balik macam kerbau jantan gila betina."

Aku menggeleng kepala. Mengeluh.

Nenekku berceloteh terus: "Malam sebelum pilihanraya `tu, Chik Ngah Daik pula datang bertemu Akim. Dia tak akan mengaku anak saudara kalau Akim tak undi UMNO atau Barisan Nasional. Konon yang aku denganlah Akim apa lagi, mengamuklah dia. Katanya kalau dunia tak mahu mengaku waris pun tak apa. Dia tak akan mengundi esok ...

"Lalu apa jadi?"

"Esoknya kereta datang."

"Kereta polis?"

"Bukan! Kereta tampal lambang PAS dengan `46' datang, kereta lambang dacing pun datang. Nak bawa Selamah mengundi. Tapi mereka tak boleh masuk pagar rumah Akim ..."

"Kenapa?"

"Akim nak tebas dengan parang penebasnya."

"Jadi Selamah pun tak mengundi?"

"Dah Akim mengamuk, nak buat macam mana?"

Aku mengeluh lagi. Teringat Akim yang bukan kaki gaduh itu. Teringat hidupnya yang sederhana. Siang malam, pagi petang cuma fikir nak cari makan untuk diri, isteri dan anak-anak saja. Tak macam aku, perang bakal berlaku jauh di Tanah Arab pun nak fikir.

"Polis ada datang."

"Nak tangkap Akim?"

"Polis itu kenal perangai Akim. Takkan nak masukkannya ke lokap tak tentu sebab. Dia cuma datang nak menasihat. Halang isteri mengundi salah di segi undang-undang."

"Lalu?"

Nenekku nampaknya lenguh menunduk. Pergi ambil cerana sireh. Mengapur sireh sepiak lalu mengunyahnya. Dengan mulut berbuih air sireh, nenekku berkata: "Mahu juga Akim dengar bila polis datang menasihatinya. Pada Akim, cakap polis lebih didengarnya dari DO di Emas Pasir. Tak banyak cerita, dibenarkan Selamah pergi mengundi ..."

"Jadi Selamah mengundilah?"

"Eh, mana pula. Selamah pula cakap pada polis yang dia tak hendak mengundi. Nak tangkap bawa ke lokap tangkaplah. Dia tak peduli."

Aku mengeluh. Nenekku meludah. Keluar airnya merah, macam kanser tekak pecah.

"Kerana Selamah enggan mengundi, marah besarlah ayahnya itu. Tak mengaku anak dan tidak dibenarkan Selamah menoreh getahnya. Diberikan kepada Miah Birat."

Dapat kubayangkan Akim tanpa mnengasah parang penebasnya dan pisau penoreh getahnya. Sulit benar hidupnya.

"Ada juga orang kampung kita ni bimbangkan Akim naik isim lalu mengamuk."

"Dia tak keluar rumah pun?'

"Selamah kata masa kupas kelapa aku, belum lagi."

"Buat apa dia?"

"Kata Selamah, duduk beteleku dagu atas kepala lutut dakap bingkai tanggup."

Kalau sudah begitu, rasaku Akim sudah diserang gangguan jiwa. Tapi harap-harapku dia belum gila atau terencat akal. Kesian juga nasib bininya Selamah dan tiga orang anak gadisnya.

"Selamah cuba minta penawar dengan bomoh Tok Samah."

"Habis tak pulih juga?"

"Nak pulih macam mana pula, kalau Tok Samah enggan beri penawar. Dia orang `46'. Pergi pula dengan Pawang Sahak, enggan juga. Dia orang UMNO. Akim orang atas pagar. Orang tak kenang jasa orang. Orang tak kenal anak-beranak. Orang tak tahu menilai darah-daging."

Aku mengeluh lagi. Alangkah deritanya orang yang tak berpolitik di kampung kelahiranku ini. Walaupun makna politik bagi mereka yang jadi penghuni kampungku tak lebih daripada rupa alat sulit itik -berpulas-pulas. Dan politik itu sendiri tak lebih dari berpulas-pulas cakap berjebak buih mulut mengisi masa tak bekerja di kedai kopi Wan Muis.

Orang kampungku menganggap tokoh politik kecil yang datang bawa arahan parti bagaikan menerima sabda Nabi. Kalau pemimpin kecil itu sampaikan arahan: Kita mesti kutuk Mahathir habis-habisan, mereka pun macam menerima Rukun Islam. Wajib ditunai. Apa alasan pun mesti kutuk. Dan kalau datang pula pemimpin kerdil dari pekan yang bawa arahan kutuk Ku Li. Mereka pun kutuk habis-habisan. Mereka pun jadilah berpuak macam bertewas gasing zaman dulu hingga sampai bertetak dengan kapak, darah bersembur dan rebah dua tiga orang di gelanggang gasing. Sebabnya mudah saja, kerana selisih faham angkat tangan waktu pangkah gasing. Mereka tak peduli lagi cakap pengadil. Soalnya kalau kalah bertewas gasing, kemenangan mesti dengan kapak.

Aku mengeluh lagi.

Keesokannya, aku mendengar cakap politik di kedai Wan Muis yang hingar-bingar pasal hendak menggantikan penghulu dan imam masjid. Mereka seolah-olah tidak sabar menunggu arahan kerajaan negeri lagi. Mereka merasakan perlu dengan segera buang penghulu dan imam dari parti yang kalah. Seolah-olah kerajaan negeri tak ada hak campur. Undang-undang pun tak perlu. Peraturan pun tak guna. Kita sudah menang. Dan aku cepat-cepat hirup teh senafas lalu angkat punggung.

Ketika aku masuk pagar rumah Akim, yang cuma kelihatan ayam dan itik bergelewat memagut sagu.

"Akim!" Pekikku sambil meninjau-nijau ke dalam, lewat pintu yang terbuka itu.

Selamah yang muncul. Wajahnya pucat. Membetulkan kembangnya menyipul ke dada yang berisi. Rambutnya bergerosing. Boleh jadi anak-anak mereka ke sekolah.

Selamah kemudian tanpa kata menghilang semula. Lalu kemudian muncul Akim. Wajahnya mendung. Rambutnya juga bergerusing.

Fikirku, tak elok bertanya hal-hal yang menyentuh perasaannya. Lebih baik cakap pasal akar rambu rambai saja.

"Aku nak suruh kau cari akar rambu rambai. Nak buat ubat."

Akim duduk di bendul jemuran buluh yang berdinding sekerat dengan atap nipah. Rumahnya masih beratap nipah buat sendiri. Tak ada kemajuan apa-apa pada corak hidupnya. Seada-ada asal selesa. Dan selesa itu aman damai anak isteri.

"Kenapa?" Tanyaku lain macam setelah melihat reaksi Akim yang berkerut wajah.

Dia kemudian menatapku tajam-tajam.

"Kenapa?"

Aku mendekatinya. Seluk saku kemudian menghulurkan wang sekeping lima puluh ringgit.

Akim tak mengambilnya.

"Aku tak boleh cari."

"Kenapa?"

"Pokok rambai ada di tanah orang yang main politik. Aku tak mengundi, tak boleh dapat." Nada suara Akim seperti menahan geram.

Aku mengeluh lagi.

Akim terus menatapku. "Kau tahu kenapa aku tak mengundi?"

"Sikit-sikit dah tahu dari nenek aku."

"Bukankah undi itu rahsia?"

"Ya. Begitulah."

"Tapi si laknat di kampung kita ni tak mahu aku rahsiakan undi aku. Kalau macam itu apa gunanya aku mengundi, baik pangkah muka si laknat-laknat tu dengan mata parang!"

"Sudahlah tu, Akim."

"Aku ni tak sudah di sini. Aku kena pindah. Aku nak ke Pahang. Kampung aku ni tak mahu terima aku kerana tak main politik. Buat apa aku main politik kalau yang dulu serba satu, semua bersatu, sekarang cuba kau tengok, dah berpecah dua belaka."

"Bukan salah politik ..."

"Aku tak salahkan politik. Nak salahkan politik apa, aku bukan tahu politik. Tapi kau tenguk orang kampung kita main politik." Dia terdiam sebentar kemudian menyambung, "Sudahlah, aku nak minta kau tolong dengan ikhlas. Pinjam aku dua ratus nak bawa bekal ke Pahang."

Sedih aku mendengarnya. Selama ini Akim tak pernah sebut bumi lain tempatnya cari makan kecuali Gual Kuali.

Aku seluk saku semula, keluarkan wang dua ratus. Dan aku harap Akim tidak lagi dikatakan gila di Pahang, bumi makmur itu.

Thursday, April 07, 2016

Lautku juga biru

Oleh Zaharah Nawawi

1 DEBUR ombak berterusan.Mus memerhati dengan asyik, sedang hatinya

2 "Apa yang kaubaca Mun?" Mus memandang bidang akhbar mingguan - mengepak sakit ditampar angin laut yang cemburu pada damai hati manusia kurus berkulit hitam dibakar cahaya terik matahari dan disambar desah masin garam lautan.

Munir menyeringai mempamer giginya yang tidak teratur dan bersepuh karat asap tembakau. "Akhbar..." Usikan mengena wajah selamba Mustapha yang terkedu seketika. Kalah dia.

"Mus! Ini cerpenmu! Aduh, hebatnya engkau!" Munir terjerit sekali gus terlonjak kecil sebaik matanya terdampar di halaman sastera. Perahu pancungnya teroleng-oleng kesan lonjakan kasar mendadak. Dia menunjuk dada akhbar dengan muncungnya.

"Cerpen?" Mus menghampiri Mun. Benaknya berbisik; aduh... `jangan bilang yang lelaki nelayan ini peminat sastera. Jangan bilang yang lelaki nelayan ini mendahului orang sastera sendiri dalam menggapai maklumat terkini. Jangan bilang aku orang sastera ketinggalan mendapatkan naskhah akhbar hari minggu. Jangan bilang. Jangan bilang...'

Dengan perasaan bersimpungan Mus melabuhkan punggung di bangku papan panjang di sisi Munir. Beberapa percikan air menjentik pipinya. Dikesat- kering air masin yang tidak diperlukan itu dengan tapak tangannya.

"Lautmu Dan Lautku Tidak Serupa". Mun membaca judul cerpen yang menarik perhatiannya itu sebelum Mus sempat melihatnya. "Oleh Mustapha Kamal." Sambung Mun sambil menyerahkan lembaran itu sedikit keras ke tangan Mus. Mus pantas menyambar sebelum kertas berharga RM1.50 itu dilarikan pawana lalu didamparkan di permukaan laut biru dan masin.

Mata Mus rakus membaca.

"Tahniah Mus." Tangannya yang berbelulang keras kesan menarik tali rawai dan jaring setiap hari, menepuk bahu Mus - lebih keras. "Engkau dapat banyak ilham dari laut. Kali ini ke laut lagi untuk memukat idea. Cerita kali ini adakah mengenai laut kehidupan kita yang sangat jauh bezanya?" Mun mengandaikan. Mus mencari rezeki di laut sastera, dia pula menggadai nyawa di laut samudera. Memang kedua-dua laut ini tiada persamaan dalam segi apa jua.

"Engkau beruntung Mus. Lepas bersara dari jawatan guru, jadi penulis. Tidak perlu meredah laut dan ombak serta geloranya untuk mencari sesuap nasi. Dengan sebuah mesin taip dan kertas putih bersih, engkau boleh buat duit dan buat nama. Nama engkau sudah terkenal ke seluruh negara. Sebut Mustapha Kamal, siapa tidak tahu sasterawan mapan yang tahan uji. Aku? Hari persaraanku ialah pada hari kematian. Aku terus, terus, dan terus bekerja di laut ini dengan bot pancung, rawai dan jaring selagi tubuh ini bernyawa."

Segaris sedih menyelinap ke jiwa Mus. Dia mendengar segala kata-kata rakan sesekolah dan sepermainannya itu. Dia tidak dapat menjawab, kerana mahu menghabiskan setiap perkataan yang bercetak kemas di kertas yang bakal menjadi pembungkus ikan atau untuk alas duduk mahupun tidur baring Mun dalam perahunya nanti.

"Walaupun kita sama lulus peperiksaan SPM pangkat satu, sama belajar sastera, sama mengendali majalah sekolah, nasibku ditentukan untuk jadi nelayan kerdil di pesisir laut. Aku tidak ada kemahiran mahupun kepandaian lain. Di laut inilah rezekiku. Laut inilah rumah keduaku. Tidak mustahil jika nanti laut juga jadi tempat persemadianku."

Mata Mus masih berlari rakus dari patah kata ke barisan ayat, bersambung ke para demi para. Dia sabar dan teliti membacanya. Dia menikmati semula karya ciptaannya dengan penuh perasaan. Jika sewaktu menulis dia membaca karyanya selaku pencipta, kali ini dia membaca sebagai khalayak ramai menghayati santapan jiwa pagi minggu.

Melihat Mus masih asyik dan syok membaca karya sendiri, Mun terasa dirinya seakan bercakap dengan tubir perahu saja. Sejuk, beku dan kaku tanpa suara. Lalu dia mengambil keputusan untuk tidak mengganggu Mus lagi. Biarlah dia belayar di lautnya sendiri. Mun berbaring di lantai papan yang lembap terkena percikan air dari tamparan gelombang, sementara menanti rawai mengenai dan ikan lalu mengikut arus tersekat di jaring.

Waktu menuai hasil jaringan sudah tiba. Mun berdiri di tengah perahu. Hasta demi hasta tali tangsi sebesar ibu jari kaki yang merentangi laluan ikan ditarik naik. Mus melipat akhbar, menyelitkan di pinggang seluarnya. Dia tidak mahu helaian yang memuat hasil karyanya itu basah dan koyak terkena air. Mus membantu Mun menaikkan jaring.

"Wah ikan! Ikan! Udang! Ketam!" Jeritan gembira Mus mengatasi bunyi debur ombak. Mun tidak mempedulikannya. Tangannya berselang lintang dengan tangan Mus menarik jaring sehingga habis. Mus kutip segala macam spesies termasuk sembilang, kerapu, udang kertas serta ketam antara belanak yang banyak tersangkut di jaring Mun."

"Rezeki hari ini melimpah. Tentu tuah Mus." Suara gembira beriringan dengan kepantasan tangan Mun mengutip setiap ekor rezeki yang masih mengetik di jaringnya."

"Semua ini kalau dijual berapa dapat Mun?" Meledak saja rasa ingin tahu Mus. Beberapa ekor ikan melenting ke luar dari bakul, dipungut dan dimasukkan semula."

"Harga sembilang boleh tahan mahal. Udang paling tinggi. Kalau dicampur semua dapatlah sekitar RM160." Berkaca sinaran di mata Mun mencongak.

"Pendapatanmu sekitar RM4,800 sebulan, jauh lebih besar dari gaji guru berijazah."

Hari-hari yang tidak sihat tidak mengizinkan Mun turun ke laut. Musim gelora apatah lagi, berbulan Mun menjadi penunggu jaring, membaiki mana yang rosak, menyulam mana yang koyak. Sekiranya ada kematian di kampung nelayannya itu, Mun mesti menziarah dan membantu segala urusan sehingga jenazah selamat dikebumi. Banyak lagi sebab luar jangka yang menghalang dia dari menongkah arus gelombang, mengutip rezeki, ikan kecil di pesisir pantai. Demikian pula pada waktu purnama penuh mengembang indah di langit, tangkapan berkurangan sekali.

"Kalau aku dapat lebih daripada gaji engkau setiap bulan Mus, aku tidak akan hidup kais pagi makan pagi. Tentu aku ada kereta, sekurangnya Kancil separuh usia sebagai lambang kemampuan." Murung wajah Munir menerpa anak mata Mustapha. Mustapha melemparkan pandangan jauh ke tengah samudera, menyaksi pancaran matahari kilau-kemilau pada kerinting ombak yang didesah bayu.

3 "Sebuah cerpen begini, berapa bayaran?" Suara nyaring Mun menongkah bunyi enjin sangkut yang dipandunya.

Mus diam. Malu hendak menyebut.

"Engkau beruntung Mus." Mun mengesat peluh yang mengalir di pipi dengan lengannya.

Mus pada mulanya hanya jadi guru sekolah rendah di kampung. Atas kerajinan meningkatkan kelulusan dia dapat masuk universiti. Selepas ke luar dengan ijazah pendidikan, dia jadi guru di sekolah menengah di bandar.

Mus berbakat besar dalam bidang penulisan, cerpen, puisi dan novel. Selain mendapat gaji guru, dia menambahkan rezeki dengan royalti penulisan.

"Mewah betul engkau Mus. Gaji lagi. Bayaran cerpen lagi. Aku menyesal kerana tidak mengikut jejak engkau dulu. Aku masih terdengar suara Mus mengajak aku bersungguh-sungguh menulis puisi dan cerpen. Tapi aku malas. Aku tidak nampak yang Mus nampak." Munir menggeleng. Warna kesal mengupas kulit wajahnya.

"Sebagai nelayan pesisir aku hanya jadi bahan penulisan orang seperti engkau. Engkau dan orang sastera suka tulis cerpen, puisi, rencana, novel, filem dan drama radio dan tv. Engkau dapat bayaran hasil memaparkan cerita penderitaan kami."

Mus tersentap.

"Hasil tulisan cerpen, novel dan puisi saja sudah cukup untuk `pasang satu lagi' jika engkau mahu. Engkau mampu. Engkau kaya Mus. Kalau tak kaya pun, senang."

4

Sastera memang hebat. Sastera bergandingan dengan sains, fizik, falsafah dan keamanan untuk menerima Hadiah Nobel - anugerah tertinggi dunia setiap tahun.

Sastera satu-satunya bidang pengajian yang wujud di semua universiti di negara kita. Dari hasil karya sastera yang ditangani penulis, pengkaji melahirkan pelbagai teori.

Sastera dan pelbagai teori yang lahir darinya: diperdebatkan, dibukukan, dipelajari di IPT, didiskusikan, diseminarkan di hotel bertaraf lima bintang, diperbadingkan dan difor-umkan dan ditesiskan sampai ke peringkat antarabangsa.

Hasil penulisan sastera biar hanya sebuah cerpen, boleh saja dijadikan bahan penyelidik sehingga seseorang ilmuan mencapai tahap tertinggi menggenggam ijazah Ph.D.

Bersumberkan karya sastera, institusi atau badan yang diamanahkan kerajaan juga penerbit swasta boleh menggaji beribu pekerja. Daripada sesuatu yang bernama sastera, seseorang yang bijak berniaga akan menerbitkan buku rujukan dan majalah khusus sastera. Setiap penerbitan pasti memberi makan kepada beberapa pihak lain: editor, pencetak, pengedar, penjual, pembuat filem, layout, jurugambar, pembaca pruf dan ramai lagi.

Sastera memang agung. Sastera mampu dijadikan alat menyampaikan ideologi pemerintah. Tetapi, keagungan dan kehebatan sastera tidak menunjang khusus kepada penulis seperti Mustapha.

5 "Engkau kiralah Mun. Jika cerpenku tersiar sebulan sekali. Katakanlah aku dapat bayaran RM200 (bayaran paling tinggi). Puisiku 4 kali sebulan (RM200), aku baru memperolehi RM400. Ini adalah pendapatan di bawah garis kemiskinan. Sedang pada hakikatnya cerpenku paling banyak cuma disiarkan tiga empat kali setahun.

Bermakna pendapatanku hasil penulisan hanya antara enam hingga lapan ratus ringgit. Itu jika bayaran RM200. Jika hanya RM70, maka hasil penulisanku hanya antara RM210 ke RM280 setahun! Setahun Mun, bukan sebulan."

Mun yang terkejut berhenti mencongak kemewahan Mus sebagai penulis. Dia sedar, dia salah perkiraan.

"Jadi nelayan seperti engkau lebih baik daripada jadi penulis seperti aku. Nelayan pun dapat pengiktirafan setiap tahun: Anugerah Nelayan Jaya." Mus melemparkan pandangan jauh ke tengah samudera.

Waktu itu yang dilihatnya bukan alunan lembut ombak yang bersisik dengan pancaran cahaya suria, tapi betapa gahnya nama seorang penulis. Betapa indah khazanahmu laut

Betapa gah namamu samudera

Betapa banyak abdimu kepada manusia

Laut, rupanya masih dicengkam derita

Setiap saat menghempas diri

mengadu kepada pantai yang buta dan tuli

6 "Kalau begitu baiklah engkau menjadi nelayan seperti aku." Lemah suara Munir ditampar pawana keras yang tiba-tiba saja datang menerjah.

Mus menjabat erat tangan sahabat. Besoknya seperti yang diikrarkan, dia turun ke laut. Dia mencari rezeki bagi memenuhi tanggungjawab besar ketua keluarga.

7 Industri perikanan boleh memberi rezeki kepada ramai orang. Hasil tangkapan ikan dari jerih perih nelayan kecil dikumpul peraih, dihantar ke pusat pengumpulan di Pasar Borong Selayang. Pemborong menghantar kepada pembekal di pasar-pasar seluruh negara.

Dari situ ikan diedar kepada peruncit. Pemborong, pembekal dan penjual ikan mengaut nikmat kemewahan daripada titis keringat yang diperah nelayan seperti Munir.

Peruncit menjual ikan ke restoran besar dan kecil serta penjaja. Juga kepada perusahaan keropok, kek dan bebola ikan serta pembuatan ikan kering.

Semua produk berasaskan ikan mendapat tempat yang baik di pasaran. Namun, nasib nelayan kecil seperti Munir seada-adanya saja.

8 "Engkau sudah rasa kehidupan nelayan seperti aku. Tidakkah sekarang engkau fikir lebih baik jadi penulis, Mus? Sekurang-kurangnya kerajaan memberi pengiktirafan yang besar kepada sasterawan." Mun kasihan melihat Mus yang mencungap melawan penyakit lelah yang dihidapinya semenjak dia turun ke laut.

Di bawah laut dan ombak biru ada taman indah dan khazanah berharga. Mus dan Mun dalam perjalanan menuju ke sana, dengan cara tersendiri.

Wednesday, April 06, 2016

Doktor

Oleh Azman Hussin

MATAMU cantik. Keningmu cantik. Hidungmu cantik. Bibirmu cantik. Pipimu cantik. Tubuhmu cantik. Payudaramu cantik. Aku hanya tahu cantik saja pada dirimu. Cantik adalah engkau. Engkau adalah cantik, jelita, anggun, indah, beautiful. Cantik dan cantik dan cantik. Engkau mengakui diri free thinker, doktor lulusan Universiti Ireland, awal 30-an, dan suamimu saudagar yang jatuh bankrap!

Engkau kini merebahkan tubuh di atas tilam empuk, terlentang memandang siling, kekhayalan di sana!

Engkau yang bergelar doktor, sayang, sebenarnya sakit kritikal, percayalah kataku ini! Kamar hotel lima bintang ini wad kecemasan untukmu, sayang! Engkau terlantar tenat sesudah terlibat dalam suatu kemalangan fikiran dan perlu dibius. Satu pembedahan besar menunggumu.

Satu kepulan asap rokok merapung di udara, lupuslah aroma tubuhmu, engkau terus saja rakus merokok. Aku juga leka menghisap rokok daun.

Atas meja, sekotak rokok Salem, pemetik api, beg tangan (berapa ringgit agaknya di dalamnya?), hand-set, sebotol bir, dan kunci kereta.

Aku bertanya lagi, engkau sakit, doktor?

Engkau bangun, bola matamu terbeliak kejang. Engkau masih juga menafikannya, engkau tak percaya, engkau fikir aku mahu berlucu, apa simptomnya aku sakit, hah? Mataku sudah rabun? Oh, tidak! Jantungku berdegup elok, buah pinggangku sempurna mengepam darah. Hei, aku doktorlah!

Dan kau lalu ketawa mabuk, meringkik-ringkik, oh, payudaraku okeylah, tak diserang kanser. Argh, bukankah itu bahagian yang paling kau sukai, dan betapa kau tahu sihatnya ia, sesegar buah ranum!

Bagaimana akan kukisahkan, engkau melepas dua kutang teratas bajumu tergesa-gesa, meruntuhkan bukit indah itu? Bolehkah digambarkan isinya terlambak keluar persis lahar gunung berapi? Dan bahangnya terasa mengewap ke kulit mukaku kini!

(Oh, kulihat dua kuntum bunga poppy sedang memekar)!

Bola matamu khayal memandangku, menjilat mukaku, pipiku, bibirku, keningku, dahiku, mataku selicinnya!

Aku nampak mata kejoramu yang indah itu terus merenung ghairah. Engkau benar-benar kekhayalan!

Biarlah aku hancur dalam dakapanmu, katamu tiba-tiba, separuh memekik separuh merayu, peluklah aku!

(Oh, cerita dongengmu itu, Pulau Orgasm, kau mahu aku ikut ke sana lagi agaknya, doktor).

Malam gelap sebam ini, sayang, kita berdakapan, berciuman semahunya, dan kau mulai memuntahkan seluruh perasaanmu. Aku nampak apa yang kau keluhkan itu. Segalanya hitam-pekat! Engkau terusan menyumpah suamimu itu.

Segala sumpah-seranah kau muntahkan - pemabuk, setan, baghal tua! Siapa lelaki malang yang kau kira patut ditembak mati itu, aku tak peduli, aku hanya mahukan kebahagiaan sejenak! Katamu, dia memusnahkan seluruh hidupmu, suami adalah pemimpin, tapi dia persis diktator. Sejak awal perkahwinan aku derita.

Dia melemaskan aku dalam kegilaannya, kejahilannya yang aku tak tahu apa! Aku tak tahu apa tujuan dia hidup! Aku tak tahu untuk apa lagi aku hidup. Jiwaku tandus. Setiap kali dia menyetubuhiku, aku bayangkan diri ini sedang dinodai, dirogol jiwa dan raga.

Dan kita terus berkongsi kedinginan kamar! Kita berpelukan, tak mahu lepas-lepas. Dunia jadi luput.

Engkau memandang ke sana, aku memandang ke sini, apa yang kau nampak di sana, doktor? Kita tentu mempunyai pandangan berbeza, engkau golongan elit, aku kemacar. Ya, sudah tentu pandangan hidup kita berlainan, doktor!

Aku nampak di sana, seorang lelaki berperut buncit, memegang botol wiski, ketawanya menghilai-hilai.

Dialah diktator itu! Dalam kemabukan dia menindihmu, engkau menangis,memohon belas, dan cuma kejijikanlah dapat kugambarkan.

Kala remaja, engkau dikirim ke neraka, engkau dihantar belajar sains kedoktoran di sana, di seberang laut. Sumpahmu, celaka, empat tahun di sana, pulang, menjadi doktor, dan berkahwin dengan si setan itu!

Dari kamar hotel ini, kita mendengar enjin motosikal mendesing di luar sana. Mereka eskapis, rungutku, mereka kesepian dan hidup tak bertujuan.

Engkau lantas menyumpah mereka semua. Kataku lagi, mereka sakit macam kita juga, doktor, lalu tak perlu kita habiskan kata-kata mengutuk mereka.

Lagi-lagi engkau menafikan, hanya aku yang sakit! Kemudian kita membisu. Di kaki-kaki lima bangunan mencakar langit sekawan anjing berkeliaran. Ribuan burung gagak bertenggek pada dahan-dahan pohon sepanjang jalan.

Lampu-lampu neon cantik bergemerlapan lewat jendela. Jutaan kelkatu menghurunginya. Kita dipukau menyaksikannya sebentar!

Fikiranmu yang kegelapan itu, apa akhirnya!

Aku tension melayani pesakit, aku trauma terimbas kerja-kerja ujikaji di makmal kala student, membedah organ mayat manusia, menelaah kitab-kitab perubatan sedari zaman Ibnu Sina.

Ingat, katamu lagi, aku doktor, merawat pelbagai jenis penyakit, sekronik AIDS, kanser payudara, gonorea, atau seremeh demam batuk.

Lebih baik engkau hentikan saja abracadabra sumpah seranahmu itu, doktor. Aku tahu kau menderita. Aku juga sakit kritikal.

Usah sebut lagi anologi seorang suami dan pemimpin. Dunia ini sudah pekak, buta, kebas! Aku tahu kau bencikan lelaki itu, oh, ketahuilah, dia juga sakit, menggilai materialisme.

Satu dongeng rakyat kemacar, doktor. Perihal seorang kanak-kanak terpilih. Dia diberi satu permintaan, dia boleh meminta apa saja, emas, permata, kekayaan dan segalanya. Tololnya, budak itu memohon dua permintaan, dan dia dikabulkan, kemudian empat permintaan, jadi lapan, jadi enambelas, jadi berjuta-juta permintaan yang belum ditunai, hinggalah dia tua, dan tak tahu apa yang harus diminta. Siapa budak lelaki itu? Nah, itulah suamimu, yang tak puas-puas mengejar materialisme, persis kau yang tak puas-puas menagihi kebebasan, tapi lupa dan tak tahu bagaimana menikmati kekayaan, sehinggalah dia muflis. Begitu ceritanya, doktor!

Engkau tak pedulikan apapun, engkau kini menyumpah kisah silam, terhadap bekas kekasihmu, budak kampung yang pergi jahanam entah ke mana itu. Engkau bertanya, oh, mana dia sekarang?

Argh, kemudian engkau merengek, dakwamu, engkaulah kekasihku itu, engkaulah kekasihku itu! Kekasih yang pernah menjanjikan bulan-bintang di langit tinggi itu!

Kamar ini tiba-tiba jadi sendat dek sedu-sedanmu itu.

Engkau bertanya padaku, apa yang kita, umat manusia, cari di sini, di dunia ini, hah?

Macam mana, doktor, aku juga menanyai soalan itu pada diriku saban hari. Doktor, kita ini ternyata tak tahu suatu apapun. Maka ucapan Gassendi juga terus kuulangi, aku tak tahu mengapa aku hidup, menderita dan mati.

Malam esok aku pasti, seperti kelmarin, kita bertemu lagi. Aku ini umpama pil kimia untuk tubuhmu yang sakit.

Akulah antikolinergik untuk membasmi kuman glaukoma. Akulah valium untukmu yang insomnia. Akulah marijuana demi dewa Euphoria. Akulah ekstasi untuk khayal semalaman di pentas. Akulah candu untuk para eskapis.

Aku nampak kau di padang pasir nan luas, dahaga, kesepian, kegelapan, dan ketakutan. Di sana-sini kau nampak lopak air, hanya di kejauhan, ia sirna kala kau menghampirinya.

Akulah lopak air itu. Dunia adalah lopak air itu. Dunia ini maya. Kebahagiaan maya! Segalanya maya!

Ketawamu menjadi-jadi, belailah tubuhku sepuas-puasnya, peluklah!

Engkau mengulangi pengajianmu, aku doktor, aku tahu kuasa sihir belaian. Seorang bayi yang selalu dipeluk ibunya akan sihat dan normal pertumbuhannya. Dan aku memang ketagihkan itu!

Setiap ketika engkau bercerita, aku jadi mual mendengarnya. Aku juga ingin bercerita, doktor. Benarkah wujud dua juta orang pesakit mental di Malaysia? Oh, dalam kamar ini memang benar ada dua orang manusia yang sakit mental. Perihal kehidupan seharianku, perasaanku, cita-citaku sebenar, itu belum kau ketahui. Dan sebuah buku yang baru kuselesaikan, Candu.

Dan kau? Oh, seorang warga manusia terpelajar dan jelita, mengapakah jadi sebegini sasau?

Engkau geleng kepala, kembali memelukku, lebih kemas lagi. Engkau semacam tak mahu melepaskanku. Engkau sudah hilang pertimbangan.

Benarlah engkau mahu hancur dalam rangkulanku.

Kini, berdakapan begini, aku masih lagi dibayangi pertemuan pertama kita. Engkau mundar-mandir di sana, mencari seseorang, dan akulah seseorang itu akhirnya, kemudian aku ikut ke hotel. Katamu, sambil dua tanganmu mengusapi belakangku, pergi jahanam saja dunia, pergi jahanam bangsat itu, aku mahukan kau, hanya kau, sayang. Biarlah dunia kiamat malam ini!

Dan kiamatlah hidupku malam itu!

Kala selesai, engkau menangis, engkau menyesal, engkau akui diri berdosa pada suamimu. Engkau tiba-tiba kasihani suamimu ditimpa bala hutang- piutang itu. Dulu kami memiliki kekayaan maha besar, keluhmu. Kemudian engkau masih tak puas-puas menyumpah dia, bunuh saja dia, bawa aku pergi bersamamu!

Engkau merayu lagi, adakah aku ini terlalu tua untukmu? Oh, si bangsat itu juga terlalu tua untukku!

Aku katakan sewaktu kanak-kanak, dan engkau tak percaya, aku menderita sakit pulasan di perut, mana mungkin katamu, kita baru memasuki alaf  21, mana mungkin tak ada makanan dalam dunia ini! Doktor, aku selalu kelaparan macam Paulo Freire, penulis buku Pedagogy of Oppresion itu.

Sudahnya engkau pula macam kanak-kanak menceritakan, aku gemuk-gedempol ketika remaja, aku asyik makan dan makan. Aku keseorangan diri di dunia ini. Sambil menonton, mulutku sarat makanan.

Aku merana kerana kekurangan makanan, engkau sengsara kelebihan makanan. Mana yang betul, doktor?

Benarlah, hidup kita berbeza.

Aku kini membenci Karl Marx, engkau yang langsung tak mengenali siapa Adam Smith mulai membenci penulis buku Wealth of Nation itu. Aku cadangkan padamu, bukan duit membawa bahagia. Yang tak berduit atau berduit, semuanya jahanam! Doktor, manusia semuanya menderita kerana duit.

Engkau jahanam kerana duit tak bernilai apapun, engkau tak boleh membeli kebahagiaan dengan duit; aku sengsara kerana segalanya perlu dibayar dengan duit.

Jadi, apa itu duit, doktor? Apa nilainya manusia?

Engkau membentak, engkau mahu segera ke sana, pergi jahanam saja utopia kebahagiaan, impian idealistik, biarkan saja cendekiawan mendebatkannya.

Katamu, berada dalam rangkulanku, itu kebahagiaan tulen. Apa lagi, kebahagiaanmu itu ada padaku, katamu mengulangi.

(Cerita dongeng lagi, Pulau Orgasm, kau mendesak aku segera berdayung ke sana!)

Kala aku membelai seluruh tubuhmu, aku dengari desas-desus nafasmu mulai tak keruan, menggigil-gigil. Bola matamu khayal. Hujan menggerimis di luar sana. Kelkatu di tiang-tiang lampu itu sudah tumpas agaknya. Gonggongan anjing kurap mati. Engkau nikmat, dan kala aku mengelus-ngelus lagi bahagian sulitmu, kau mengerang manja kesedapan amat, arghhhh!

Aku nampak kau di suatu padang pasir nan luas, dahaga, kesepian, kegelapan, dan ketakutan. Di sana-sini kau nampak lopak air, hanya di kejauhan, ia sirna kala kau menghampirinya.

Akulah lopak air itu, doktor. Dunia adalah lopak air itu. Dunia ini maya. Kebahagiaan maya! Segalanya maya!

Benarlah aku, engkau sebetulnya sakit kronik. Kala itu aku teringat picagari berisi cecair ubat yang kau suntik ke tubuh pesakit saban hari. Aku juga ingin jadi picagari itu.

Aku ingin mengalirkan ubat ke dalam urat-sarafmu yang tegang. Aku mahu membius tubuhmu.

Engkau tahu, doktor, aku maya, aku sementara, aku candu, engkau masih juga mahukan aku! Aku ini candu yang sedang merosakkan urat-sarafmu.

Benarlah engkau sudah gila, doktor!

Argh, pemikir Yunani itu benar, katanya, manusia sibuk mencari ubat untuk fizikalnya yang sakit, walhal segala jenis kuman penyakit membiak dalam jiwa yang menderita, yang resah-gelisah diperdaya dunia.

Dan matamu cantik. Keningmu cantik. Hidungmu cantik. Bibirmu cantik. Pipimu cantik. Tubuhmu cantik. Payudaramu cantik.

Sayangnya, engkau sakit!

Monday, April 04, 2016

www.bunuh.com

Oleh Imlan Adabi

TIBA-TIBA saja saya jadi pembunuh malam ini. Dua gadis separuh bogel yang menggeliat di pinggir Jalan Damansara saya langgar dengan kejamnya.

Gadis pertama langsung tidak mengelak. Kepalanya berkecai di depan cermin kereta saya. Wajahnya amat dikenali; dia pereka fesyen yang pernah suatu ketika dulu menggegarkan dunia BB Pub yang cukup menggetarkan itu. Dia juga bekas pemimpin pelajar yang kaya dengan cita-cita, hujah dan peribadi tetapi terlalu mandul untuk membuat pilihan dan keputusan.

Gadis kedua, cuba mengelak. Namun kelajuan 140 KM/sejam itu menjadikan usahanya percuma saja. Mata terbeliak, darah rakus mengalir dan bibir yang selama ini pernah tersenyum buat saya, kelihatan sumbing seribu.

Memang, dalam sejarah hidup saya, saya bukan pembunuh. Malahan keturunan saya pun tidak ada yang jahat-jahat atau sadis. Semuanya baik-baik belaka.

Datuk saya, Sheikh Abdurahman Adabi asalnya dari tanah Arab. Berniaga dan berhijrah ke Tanah Melayu pada akhir abad 19. Bertemu dengan penduduk tempatan, Mek Sepiah Awang - kacukan Melayu dan Siam, yang akhirnya mewariskan beberapa zuriat termasuk bapaku.

Boleh dikatakan keluarga kami antara yang awal mendirikan pondok agama secara tersusun di Kubang Kerian, Nilam Puri dan Kedai Mulong. Semuanya atas kesedaran beragama.

Memang, seperti yang ditegaskan, malam ini, tentunya dikenang selama- lamanya, saya tiba-tiba jadi pembunuh kejam. Bukan satu, malahan dua gadis yang amat akrab dengan saya, saya langgar dengan kejam dan kemudian terbahak-bahak saya ketawa sambil memandu ke Jalan Pudu, langsung ke Jalan Cheras dan deras menuju ke selatan kota.

Malam ini, untuk kesekian lamanya, saya kembali membuka skrin komputer:

www.bunuhsatu.com

"JANGAN persiakan masa muda-mu," tutur gadis pertama yang saya percaya bukan gadis lagi. "Ini zaman reformasi, kita harus bangkit, harus bertindak kerana kegilaan suaka kuasa menjadikan warga tanah ini jumud, longlai dan lesu," terusnya sambil merapat ke katil. Kamar 506 hotel lima bintang terasa hangat oleh suasana muda.

"Bukan begini caranya," saya cuba mempertahankan wibawa diri. "Memberontak, apatah lagi dikesan sebagai penentang adalah pendurhakaan," bantah saya sambil merenung gadis pertama yang tetap saya yakini bukan gadis lagi.

Hati saya berat untuk menafikan kegadisannya meskipun berkali-kali gadis pertama mendakwa dirinya masih gadis, "kan saya belum kahwin, masih anak dara," tuturnya beberapa bulan lalu.

Saya mengenal gadis pertama secara tidak sengaja. Ketika demonstrasi pelajar membantah kehadiran pasukan kriket Israel ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, gadis pertama adalah antara pemukanya yang hadir ke depan, berpidato, berhujah dan membakar semangat.

Naluri mudaku yang penuh idealisme turut tersentuh apatah lagi mengenangkan kebiadaban bangsa Yahudi terhadap umat Muhammad.

Pernah saya jengahi penderitaan anak-anak perang. Dari Tebing Barat ke Semenanjung Gaza, singgah mengaut lara di pinggir Sungai Nil, mengesan kemurungan Baitulmaqdis, Sabra dan Shatilla tertunduk lesu ketika Yasser Arafat semakin lelah oleh percaturan kuasa jagat.

"Apakah peperangan menghalalkan cara?" gadis pertama pernah menduga mindaku. "Peperangan harus ditentang dengan jiwa amuk, bukan ilusi mainan kuasa besar," tuturnya lagi.

"Zaman sudah berubah, kita tidak selamanya harus berkeras. Yahudi atau tepatnya Israel adalah sebuah bangsa yang bertamadun. Sudah jauh mengatasi kejayaan Arab dan Parsi. Kini mereka pemuka utama di maya ini...!"

"Kau terlalu mengalah," gadis pertama bagai menikam. Lidahnya tajam menusuk jiwaku. "Kau sama dengan Soros, meyakini hanya Yahudi yang terbaik," matanya semakin merah.

"Ini berdasarkan fakta," hujahku dengan yakin, melepaskan keluhan kecil, "sayangnya perempuan... gadis seperti kamu terlalu beremosi untuk berhujah. Kita asingkan sentimen keagamaan, ini realiti. Bangsa Yahudi bangsa yang rajin berusaha, pintar mencari kesempatan dan mahir meletakkan diri mereka di tempat yang tinggi," aku sengaja berhenti seketika, cuba menduga reaksi, dan ketika gadis pertama bagai menantikan penjelasan seterusnya, aku mencelah; "Sayang, kerajinan usaha Yahudi menimbulkan kesan yang buruk. Inilah yang menimbulkan perseteruan dunia," hujahku.

Hari ini terlalu banyak kerosakan yang ditimbulkan Yahudi. Sejak abad 20, mereka menimbulkan honar demi honar, mencipta pelbagai isme dan ideologi yang akhirnya membenihkan kemusnahan.

Kapitalis yang berkonsepkan mengaut keuntungan semaksimum mungkin adalah idea Yahudi. Usahawan mendirikan kilang kononnya untuk kemudahan manusia, akhirnya memperhambakan manusia kepada mesin dan kebendaan.

Demokrasi dicipta konon untuk merawat jiwa manusia yang enggan terdera oleh kuasa feudalisme, namun yang berlaku suaka kuasa menindas dan memotong kepala rakyat.

Dass Capital dan Karl Marx, untuk kesekian kalinya meneruskan tradisi bangsa Yahudi konon menimbulkan persamaan di kalangan rakyat.

Tiada lagi yang kaya bertambah kaya dan si miskin bertambah melarat. Namun, bukti yang terpampang di Soviet Union, Yugoslavia, Albania, Poland, Hungary, Jerman Timur dan seberang Tembok Besar China adalah sandiwara belaka.

Leonid Breznev hidup dengan mewahnya di Istana Kremlin. Kumpulan empat yang teguh berdiri di belakang Mao-Tze Tong dan Deng Zio-Beng menjadikan sistem komunis untuk mengaut keuntungan. Hukum di tangan sendiri.

Nasib marhaen tidak terbela dan akhirnya jurang antara kaya dan miskin semakin melebar.

"Itu zaman lampau. Komunisme sudah berlalu, tidak wajar kaukaitkan dengan zaman kini," gadis pertama mencelah.

"Apa yang berlaku kini adalah ketamakan kuasa hingga menjadikan kedudukan sebagai suatu kemestian. Setiap penentangan adalah kesalahan dan hukum dipersendakan sewenang-wenangnya," gadis pertama menduga reaksiku.

Kini, setelah beberapa tahun, selepas zaman muda kami berlalu, saya kembali menghayati kata-kata gadis pertama.

"Percaturan dunia melelahkan anak-anak kecil dunia ketiga," tegasnya, dan saya, barangkali untuk menutup kelemahan peribadi hanya mampu berkata "Memberontak, apatah lagi dikesan sebagai penentang adalah penderhakaan."

www.bunuhdua.com

TERUS-TERANG saya katakan, saya tidak kenal gadis kedua. Hanya selepas mengendap beberapa bulan, saya yakin gadis kedua semakin hadir dalam pemerhatian saya.

Mereka tinggal di sebuah pangsapuri di Taman Tun Dr Ismail yang menghala ke Bandar Utama. Dulunya, kawasan itu ladang kelapa sawit yang menghitamkan pandangan pada waktu malam.

Sekitar dekad 70-an, tempat itu kononnya pernah terjadi satu pembunuhan yang amat kejam. Mayat penunggang motosikal dijerut dengan sadisnya dan biji matanya dicungkil.

Ada yang mendakwa penunggu kelapa sawit yang mengganas kerana kawasan Taman Tun Dr Ismail dibangunkan tanpa sebarang sembahan. Ini pun satu mitos yang saya tidak berminat untuk memperkatakannya.

Yang saya tahu dan pasti, saya mengendap gadis pertama dan gadis kedua yang tinggal di sebuah pangsapuri di kawasan itu.

Sudah berbulan-bulan saya perhatikan langkah mereka dan segalanya saya catat ke dalam lap-top untuk memudahkan rujukan pakar jiwa suatu hari nanti.

Saya sewa bilik bersebelahan dengan mereka. Saya tahu jam berapa mereka keluar rumah dan pulang. Ertinya, saya terpaksa keluar selepas mereka berpergian dahulu dan kembali lebih awal sebelum mereka pulang. Saya juga menjejak perlakuan mereka.

Tetapi anehnya, selepas mengendap berbulan-bulan, saya jadi seronok melihat aksi gadis pertama dan gadis kedua. Segalanya saya catatkan dengan tepat supaya tidak ada penyelewengan fakta.

Saya tidak mahu berdosa mencatatkan sesuatu yang tidak benar, melainkan benar belaka.

Bagai di muka pengadilan, segala percakapan adalah semata kerana kebenaran semata, meskipun pada hari ini istilah kebenaran sering diselewengkan.

www.bunuhtiga.com

Gadis pertama: Saya yakin berkata benar kerana kebenaran semata-mata.

Gadis kedua: Saya juga berkata benar kerana kebenaran. Saya melihat salah laku sang tokoh dengan gadis pertama.

Gadis pertama: Sang tokoh memaksa saya melakukan sesuatu di luar tabii. Saya cuba mengelak, namun tenaga kejantanannya terlalu ganas.

Gadis kedua: Saya menjadi saksi di atas perlakuan sundal sang tokoh. Saya membuat kenyataan ini kerana keikhlasan dan bukan dipaksa oleh mana- mana pihak. Segala maklumat yang saya nyatakan ini adalah benar kerana kebenaran semata-mata.

Gadis pertama: Saya sudah jadi mangsa kezaliman sang tokoh. Sang tokoh tidak layak memperlakukan saya sedemikian...

Gadis kedua: Saya menjadi saksinya. Saya tidak setuju jika pembela menuduh saya subahat mereka-rekakan cerita. Sang tokoh perlu dihukum setimpal dengan perbuatannya.

Gadis pertama: Masa depan saya sudah pudar. Sang tokoh memusnahkan segala-galanya.

Gadis kedua: Atas nama kemanusiaan sejagat, sang tokoh wajar dihukum sekeras-kerasnya.

Sunday, April 03, 2016

Sumpahan rusa

Oleh Zainal Rashid Ahmad

1 MEMANG dia yakin benar, yang dilanggarnya malam itu ialah seekor rusa jantan. Cuma dia keliru, sama ada rusa itu dirempuhnya ketika dalam perjalanan pulang dari mesyuarat atau sekadar dalam mimpi.

Mei pada suatu tahun

Syed Fakrul Razi datang dengan wajah merah padam. Bila saja dia masuk dan tiba di ruang utama, dengan dengusan penuh sebal, dihempasnya sebeban kertas stensil di meja depan.

Sekumpulan pemuda yang sejak awal pagi menunggu peluang masuk ke bilik Mustakim Kiran tersentak dan saling berpandangan dengan wajah yang gusar.

Seorang dari mereka, yang kurus tinggi dan berkaca mata bulat segera mengisyaratkan agar jangan terlalu diperhatikan tindak-tanduk Syed Fakrul Razi.

Syed Fakrul Razi - yang bermata tajam dengan kulitnya yang cerah bersih dan bertubuh tegap itu kemudian memandang silih berganti seorang demi seorang anak muda yang duduk sebaris di atas bangku panjang setentang dengan bilik Mustakim Kiran. Wajahnya berkerut kala dia berjalan perlahan ke arah kumpulan itu dan berdiri betul-betul pada jarak selangkah.

"Datang nak apa - nak minta duit buat kain rentang?".

Kumpulan pemuda itu tersentak dan nampak serba-salah - kebanyakannya hanya tunduk memandang lantai. Pemuda berkaca mata bulat cuba tersenyum; agak hambar.

"Bila hah, orang muda macam kau semua nak berhenti dari budaya kain rentang... berhenti berarak macam semut lapar?", Tanya Syed Fakrul Razi dan kali ini dia senyum sinis.

"Tapi kali ni penting... pasal...," jawab pemuda berkaca mata bulat itu dengan suara separuh yakin.

Belum sempat dia menghabiskan cakapnya, Syed Fakrul Razi mengherdik, "kalau ikut penting, pada kau orang semua penting - harga coli naik pun kau orang hendak berarak juga."

Semua terdiam. Mustakim Kiran tiba-tiba muncul di muka pintu pejabat dan terbatuk-batuk kecil.

Syed Fakrul Razi menoleh dan kemudian tersenyum puas lalu bersuara, "kau jumpa puak jalanan ni dulu. Mungkin dia orang nak minta peruntukan berarak sebab harga coli naik."

2

Malam itu, waktu duduk di beranda dan menanti-nanti kedatangan utusan sulit yang dikhabarkan akan datang membawa surat pesanan penting dari jawatankuasa perarakan, dia nampak lagi susuk kepala rusa itu muncul di balik rimbunan lalang di tepi laman rumahnya.

Sambil bersandar dan menghisap paip - ditenungnya sungguh-sungguh, sama ada rusa itu sama dengan yang dilanggarnya dulu.

Akhirnya, dia yakin, rusa itu adalah rusa yang dulu juga.

Bunyi suara keriutan basikal mengejutkan rusa itu dan sekelip mata, ia menghilang dalam semak.

Budak utusan yang ditunggunya segera berlari memanjat tangga lengkung di tepi rumah dan naik ke beranda.

"Ada 40 pertubuhan setuju nak berarak nak nyatakan bantahan secara terbuka," kata anak muda dalam lingkungan awal dua puluhan itu.

Dia mencapai surat yang dihulurkan dan kemudian mengisyaratkan agar utusan itu segera berlalu.

Bila saja bunyi keriutan basikal sayup menghilang di luar laman, surat itu dibukanya.

Kami tidak menentang saudara secara peribadi...tapi ini soal kepentingan bersama. Kami percaya, perarakan ini perlu untuk Melayu.

Jun pada suatu tahun

"Kalau benar hak Melayu yang dicabar dalam resolusi itu, takkan begini caranya takkan nak berarak macam Malayan Union dulu?" tanya Syed Fakrul Razi.

Mustakim Kiran, bersandar dan pada wajahnya yang kusut itu tergambar semacam rasa bosan.

Dia memerhati lama ke arah pintu, melihat-lihat liuk cahaya lampu gasolin di tengah ruang tamu. Suasana pejabat malam itu lengang.

"Kau tahu," kata Syed Fakrul Razi, "masa British dulu lain, masa kita lain. Kita tak boleh lagi jadi bangsa panas baran... dah dekat 50 tahun British berambus, takkan Melayu tak cerdik lagi."

"Rul...ni soal pendirian persatuan. Jawatankuasa dah sepakat," balas Mustakim Kiran.

"Sebab jawatankuasa yang ada semua otak karat. Kau pilih yang dah berkarat, yang asyik baca buku sejarah dua puluh empat jam. Sebab tu, AJK kau asyik dengan sejarah Malayan Union, dengan sejarah Abdul Rahman Limbong!"

Mustakim Kiran bangun dan berjalan ke tingkap - dikuaknya jendela dan nampaklah langit malam yang gelap.Syed Fakrul Razi membetulkan sandarnya sambil mengangkat kedua-dua kaki di atas meja.

"Pandangan peribadi lain, cara persatuan lain..."

"Dengar sini," kata Syed Fakrul Razi, "yang memberi jiwa pada persatuan ialah naluri setiap individu yang menyertainya. Jadi jangan salahkan persatuan dek kerana pemimpinnya lemah."

"Mereka desak kerajaan... mereka cabar hak kita ...mereka cabar kontrak sosial... mereka cabar perlembagaan."

"Tapi, mempertahankan semua tu bukan dengan berarak," balas Syed Fakrul Razi pantas dengan nada penuh geram.

Mustakim Kiran menggelengkan kepala - kemudian senyum hambar. Dia berjalan ke belakang kerusi lalu menepuk-nepuk bahu tetamunya.

"Kau masih macam semalam... memang kau rasa keliru macam mana dalam negara kita ni, soal cita-cita Sekolah Wawasan dan pertelingkahan kontrak sosial boleh timbul serentak."

"Kontras," kata Syed Fakrul Razi, "aku bukan apa, cukuplah kita dibesarkan dulu dalam syak wasangka, takkan kita nak didik anak-anak kita juga dalam syak wasangka. Kita dah duduk sekali, tak mungkin seumur dunia ni, kita nak ajar anak cucu kita menyimpan rasa bermusuh dengan tetangga sendiri."

"Kau terlampau terbuka, Rul... sebab tu kau kalah bila bertanding jawatan timbalan dulu."

Syed Fakrul Razi tersenyum dan kemudian tergelak. Dia menggeleng- gelengkan kepala lalu menurunkan kakinya dari atas meja.

"Aku tak menang pun tak apa. Buat apa jadi pemimpin yang sibuk dengan kain rentang dan berarak saja. Kerja tu arwah datuk aku dah buat di Johor dulu."

3

Hampir semalaman dia berlegar-legar dalam semak. Dari tali air sampai ke denai kaki bukit dia berjalan ulang-alik mencari jalan keluar.

Bayangan rusa, yang dijejaknya sejak Maghrib tadi sesekali muncul di balik rimbunan lalang - namun bila didekati, kelibat itu menghilang.

September pada suatu tahun

Dia terkejut jaga, bila terdengar bunyi benda yang berat jatuh di lantai. Keadaan gelap pekat dan dia hampir-hampir jatuh dari kerusi dek rasa terkejut.

Bila saja cahaya gasolin menyala menerangi ruang tamu, nampak tubuh gempal berkulit cerah berdiri di pintu.

"Ceh, kau rupanya," kata Mustakim Kiran sambil menarik nafas panjang.

"Aku hantar kain dan poster yang kau tempah. Sorry lewat, tapi bukan sabotaj tau...," jawab lelaki bertubuh gempal itu.

"Aku yang silap," kata Mustakim Kiran, "Tak sangka betapa bodohnya aku. Patut aku tak tempah pada kau."

"Jangan macam tu, kita kerja sekali dah lama. Lapan tahun aku jadi printer persatuan. Takkan pasal kes Melayu Cina ni, kita nak berbalah."

Mustakim Kiran bangun dan menghampiri Ban Han. Dia tersenyum dan dalam balik samar cahaya gasolin, terpancar keresahan dalam dua bola matanya.

"Ini perjuangan kau," kata Ban Han, "aku hormat. Aku pun orang kesatuan, dan walaupun kesatuan aku buat resolusi tu... tapi hubungan kita sama kita takkan putus."

Kedua-dua saling berpandangan. Macam terpana dek satu rasa.Ban Han berjalan ke meja, dan duduk di bucu dan kemudian mengeluarkan rokok lalu dihulurkan pada Mustakim Kiran.

"Kita generasi baru, hidup pula tengah arus orang lama. Cara mereka lain, cara kita lain - tapi budaya mengikat kita.

"Aku sendiri tak suka dengan tuntutan kesatuan, tapi kita ahli ni ada budaya hormatkan pemimpin. Maka kena diam walau tak setuju," kata Ban Han.

"Aku faham...," jawab Mustakim Kiran dan kemudian berjalan ke arah timbunan poster, "cukup ke dua ribu keping ni?"

"Aku cetak lebih dua ratus... kawan punya pasal," jawab Ban Han.

Mustakim menarik sehelai poster lalu dipampangnya. Kelihatan tulisan merah tertulis: Jangan Cabar Hak Melayu. Diam Kami Ada Batasnya.

Disember pada suatu tahun

Ribuan pemuda-pemudi dengan pakaian warna putih berhimpun memenuhi padang. Pelbagai sepanduk dan poster dilekat dan digantung di sana-sini. Suara teriakan dengan pelbagai slogan menjadikan siang rembang hari itu lebih panas dari selalu.

Di pentas, Mustakim Kiran berucap dengan penuh semangat - tentang Melayu dan alamnya, tentang Melayu dan jiwanya serta betapa tercabarnya Melayu dengan tuntutan kesatuan Cina pada kerajaan.

Di warung kopi, tak jauh dari padang itu - Syed Fakrul Razi sedang duduk minum ko-pi dan membaca rencana akhbar Harian Nusa mengenai Tun Tan Cheng Lok, Tun Sambanthan dan Tunku Abdul Rahman.

Selang dua meja dari situ, kelihatan Siew Ban Han duduk berbual dengan sekumpulan orang tua dan mereka sedang bercerita mengenai nasib tulisan jawi.

4

Waktu matahari sudah terbit, dan silaunya mengilat di dada air bagai pancaran permata, dia sedar - dirinya benar-benar sesat kali ini. Di balik rimbunan lalang, tempat dia beberapa kali terpandang kelibat rusa sepanjang malam tadi, yang kelihatan hanya rundukan bekas dipijak kakinya sendiri.

Kala matahari sudah segalah di langit, dia masih berdiri di situ - diasak rasa keliru sama ada rusa yang dilihatnya itu benar-benar wujud atau sekadar halusinasi.

Saturday, April 02, 2016

Embong

Oleh T Alias Taib
SERENTAK dengan mengarang, Embong mencopet. Penghuni dunia kesusasteraan Melayu mengenali Embong sebagai `Mahakarya' nama penanya; manakala penghuni dunia pencopetan memanggilnya `Galah' kerana tubuhnya kurus melidi dan tinggi lampai seperti galah. Sebagai pengarang, Embong sangat dikenali dan dihormati di dunia kesusasteraan dan sebagai pencopet dia juga sangat dikenali dan dihormati di kalangan teman-teman yang menghuni dunia pencopetan. Minat dan bakat Embong @ Mahakarya @ Galah dalam kedua- dua dunia ini terus merimbun dan menebal bagai pohon selasih di tepi telaga di belakang rumahnya. Minat dan bakatnya dijaga begitu rapi dan dibiarkan berkembang dengan baik. Bersama usianya yang kian matang, dia membesar sebagai manusia yang berdisiplin tinggi, berazam kuat dan bekerja bersungguh-sungguh.

Tidak ramai yang tahu Embong menghuni dua dunia ini serentak. Tidak ramai yang tahu dalam dunia karang mengarang Embong mencari makna kehidupan; sementara dalam dunia pencopetan dia memanjangkan nafas kehidupan. Tidak ramai yang tahu Embong ialah Mahakarya; Ma-hakarya ialah Galah. Yang mereka tahu Mahakarya ialah Mahakarya; Galah ialah Galah.

"Ini foto saudara, bukan?"

Tiba-tiba kedendaran sebuah suara bernada lembut, antara jelas dengan tidak, datang dari arah kira-kira sekaki sebelah kiri tempat Embong duduk. Suara itu suara seorang laki-laki yang sedang memegang Suara Rakyat sambil menunjukkan halaman yang menyiarkan resensi buku terbaru Em-bong yang disertai fotonya. Suara itu tidak sedikit pun mengganggu pemusatan Embong yang melekat kukuh pada tas tangan seorang wanita India bersari kuning kunyit. Si sari kuning kunyit mundar-mandir dalam arus penumpang LRT jam lima petang di terminal KLCC.

Suara bernada lembut mengulangi pertanyaan itu sekali lagi.

Embong perlahan-lahan menoleh ke kiri, menyenyumi orang yang mengulangi pertanyaan itu dengan senyuman tipis dan mengangguk sekali.

"Tak sangka saya berjumpa dan dapat bercakap dengan saudara Mahakarya," kata laki-laki yang memegang Suara Rakyat sambil menghulur tangan, menyalami Embong dan memperkenalkan dirinya sebagai Ngah.

"Panggil saya Maha," kata Embong setelah menggenggam tangan Ngah.

"Saya suka baca buku karangan saudara Maha."

"Terima kasih."

"Cari ilham?"

"Saya tak percaya pada ilham."

"Memerhati orang bukan mencari ilham?"

"Saya tak percaya pada ilham. Memerhati orang memberikan saya pengalaman baru mempelajari perangai mereka, mempelajari tindak-tanduk mereka. Saya suka membaca watak orang."

"Saya suka membaca buku," kata Ngah disambut ketawa kecil Embong. "Semua pengarang sama," sambung Ngah.

"Tak sama, Ngah."

"Semua pengarang suka memerhati wanita."

"Biar saya perbetulkan." Ngah menunggu Embong memperbetulkan ayatnya.

"Semua laki-laki suka memerhati wanita."

Ketawa mereka bersemburan bagai nasi yang terpancut keluar daripada mulut nenek apabila digeleteki cucu. Berekor-ekor ketawa itu sehinggalah dihancurkan bunyi LRT yang kian hampir dan akhirnya berhenti di hadapan mereka. LRT memuntahkan sebahagian penumpang dan menelan penumpang baru; termasuk si sari kuning kunyit dan Ngah. Kalau tidak kerana Ngah yang mengajaknya berbual, Embong yakin tas tangan si sari kuning kunyit hampir 100% menjadi miliknya.

Matahari Chow Kit jam 11 yang keras menggelegak di langit biru. Di bawah langit biru itu, daerah perniagaan yang masyhur di tengah jantung Kuala Lumpur kelihatan seperti lubang tandas yang dipusari ulat. Dan, seperti ulat tandas, tidak ada tanda manusia itu akan berhenti berpusar. Pagi-pagi lagi, sebelum matahari terjaga dari tidur, Embong sudah terjaga dari tidurnya. Kini, dia berada pada paksi pusaran itu, di tengah lautan suara peniaga dan pembeli yang tak bertepi.

Langit tetap biru. Matahari tetap keras. Chow Kit kian menggelegak.

Di kepala Embong berkecamuk kemelut antara tuntutan hidup dengan tuntutan seni, antara saku kosong dengan kerangka novel, antara yang akan diisi ke perut dengan yang akan diisi ke novel. Situasi seperti inilah, seringnya, mematangkan Embong berfikir untuk hidup dan mendewasakan pemikirannya untuk mengarang. Sebenarnya, fikiran Embong bergompol antara wang di sakunya yang tak sampai RM2 dengan bab ketiga novel Kabut di Kaca Jendela yang masih telanjang. Dalam bab ini, dia ingin menggambarkan konflik batin yang berlaku antara Bachtiar dengan Jasmin, isteri Bachtiar dan Jasmin tinggal dalam suasana yang serba senang dan menghirup udara kemewahan. Akan tetapi, di sebalik kesenangan dan kemewahan itu, mereka sulit mengungkapkan cinta dan kasih sayang mereka. Ada semacam pagar berduri memisahkan mereka. Hubungan seksual mereka menjadi tak bermaya dan perasaan mereka menjadi sangat miskin.

Gerai air tebu - yang diapit gerai surat khabar dan gerai buah-buahan - terletak kira-kira 20 meter dari sebatang pohon ceri, tempat Embong berdiri. Seorang wanita, dalam lingkungan awal 20-an, berwajah Arab mirip Sharifah Aini, bertubuh agak gempal, berbaju kurung merah jambu, berbibir merah darah ikan, bertudung merah pucat, dan membimbit sebuah beg plastik lutsinar melewati pohon ceri tempat Embong berdiri. Embong mengekori si Arab itu dengan ekor matanya.

Sebenarnya, yang diekori Embong ialah beg lutsinar itu. Di dalam beg itu jelas terbayang dompet, payung, rantai kunci dengan tiga atau empat anak kunci, majalah Gaya Perawan dan dua tiga keping tiket bas terpakai. Setelah menghilangkan hausnya di gerai air tebu, si Arab itu mematah balik ke arah terminal bas di hadapan Batu Road Supermarket. Embong mengekori kira-kira sedepa di belakang si Arab.

Tak sampai hangus sebatang rokok, dompet itu berpindah dari beg plastik lutsinar ke beg galas Fila Embong. Dalam benaknya, Embong segera membayangkan nasi beriyani mamak di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang digemarinya, satu rim kertas taip, reben mesin taip yang baru, dan novel Peter Hoeg The Woman and the Ape berharga RM69.90 yang dilihatnya seminggu lalu di toko buku Ki-nokuniya.

Tetapi, alangkah hampa Embong. Dompet itu hanya berisi RM37.80. Apabila diselongkar lagi, kalau-kalau ada wang yang terlipat atau terselit di mana-mana di dalam dompet itu, Embong hanya menemui kad pengenalan, kad kredit Maybank, kad ATM HSBC, kad telefon, kad tambang LRT, buku kecil yang menyenaraikan sederet nama dan nombor telefon, sekeping foto laki- laki berkumis tipis dan foto si Arab yang hanya berbaju dalam dan berseluar dalam bertenggek di bucu katil sambil tersenyum.

Alangkah hampa dan marah Embong!

Entah bagaimana, jauh di sudut kalbunya, rasa hampa berbaur dengan rasa belas; rasa marah berubah menjadi rasa kesal. Sambil meneguk teh panas di sebatang lorong di Chow Kit, Embong tak putus-putus merenungi foto si Arab, nama serta nombor telefonnya yang tertulis pada buku kecil. Rasa hampa, belas, marah dan kesal berkelahi dalam dirinya. Dalam kamus pencopet, seorang pencopet berpengalaman pernah memberitahunya, tidak ada kata belas atau kesal. Dunia pencopetan bukan untuk orang yang mudah lemah, mudah sedih, kasihan atau simpati. Dunia ini keras dan tidak ada kompromi, tambahnya. Tidak pernah, sebelum ini, dia mengalami peperangan perasaan yang dahsyat dalam dirinya. Adakah usianya yang merubah sikapnya atau sikapnya yang merubah dirinya?

Dua ekor lalat menghurungi gelas teh dan menjilat sisa yang melekat di mulut gelas. Embong cepat menepuk lalat itu. Seekor mati dan seekor terlepas lari. Sebenarnya, nama, nombor telefon dan foto si Arab itu mudah menolong Embong memperoleh apa saja, pasport untuk menukarkan impiannya menjadi kenyataan.

"Boleh saya bercakap dengan Tuan Kuntum?"

"Siapa ni?"

"Katakan saya ada hal penting."

"Tunggu sekejap."

Melalui telefon yang dilekatkan pada telinganya, Embong dapat mendengar, sayup-sayup, suara kecil halus memanggil berulangkali, "Kak, telefon!" Barangkali suara kecil itu suara adiknya, fikir Embong.

"Hello!"

"Tuan Kuntum?"

"Saya."

"Saya Embong."

"Embong? Saya tak ada kawan bernama Embong," kata Tuan Kuntum dengan nada sombong dan agak meninggi.

"Dunia kecil saja, Tuan Kuntum."

"Mana dapat nombor telefon saya?"

"Cuba fikir mana saya dapat."

"Saya tak mahu fikir. Mana dapat nombor telefon saya?"

"Dalam tong sampah."

"Saya kena copet tengah hari semalam di Chow Kit, Encik Embong," Tuan Kuntum menjelaskan dengan nada yang mulai merendah dan mulai menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang dompetnya. "Lepas minum, saya tunggu bas. Dalam bas, saya seluk beg untuk mengambil dompet. Dompet saya kena curi. Saya panik dan turun dari bas kerana tak ada duit tambang. Saya meraung-raung di tepi jalan. Semua orang memandang saya."

"Sedih saya mendengar, Tuan ..."

"Panggil saya Kuntum," potong Tuan Kuntum.

"Dompet Kuntum mungkin dicampak ke dalam tong sampah. Entah macam mana, saya terjenguk ke dalam tong. Saya ambil dompet itu. Dompet itu ada pada saya. Duit tak ada. Yang ada IC dengan buku kecil nombor telefon," Embong berbohong dengan suara yang teratur dan meyakinkan Tuan Kuntum. "Kuntum boleh dapatkan kembali IC dan buku telefon itu dari saya. Maaf, wang semuanya disapu," sambung Embong.

"Yang penting IC saya."

"IC Kuntum ada pada saya. Apa lagi yang ada dalam dompet?"

Tuan Kuntum menceritakan segala-galanya; dari dalam dompet hinggalah ke luar dompet dan meleret hingga ke dalam dirinya. Embong mendengar segala yang diluahkan Tuan Kuntum.

Sebentar Embong ketawa; sebenar mengeluh tanda simpatinya. Dan, pada waktu lain pula, dia menarik dan melepaskan nafas panjang. Akhirnya, Tuan Kuntum menentukan hari, waktu dan tempat untuk bertemu dengan Embong.

Selepas pertemuan mereka di tebing tempat bertemu Sungai Kelang dengan Sungai Gombak, di tengah nadi Kuala Lumpur yang berdenyut, di hadapan bangunan purba Masjid Jamek yang indah, Embong dan Tuan Kuntum memanjangkan persahabatan mereka dengan beberapa pertemuan lain.

Pertemuan itu menjadikan persahabatan mereka bertambah akrab, mesra dan matang; seakrab Sungai Kelang dengan Sungai Gombak, semesra air dengan tebing. Kini, sudah masuk enam bulan usia persahabatan Embong dengan Tuan Kuntum dan sudah tujuh bab novel Kabut di Kaca Jendela dikerjakan Embong. Semenjak itu, Embong membahagikan hidupnya antara mengarang, mencopet dan Tuan Kuntum; antara mencari makna kehidupan, menyambung kehidupan dan mengisi kehidupan.

Mulut tingkap yang ternganga menadah angin malam yang menderu perlahan- lahan. Angin itu memasuki kamar tulis Embong dengan gerak yang lembut sekali. Di kamar tulisnya, Embong dapat merasakan angin yang segar menyapu mukanya dan sedikit sebanyak menghakiskan kantuknya. Di kamar inilah Embong sering berkelahi dengan ideanya, memilih kata terbaik dalam susunan terbaik. Kamar kecil memuatkan sebuah meja kecil dan buku yang bertaburan, yang tak terurus dengan baik. Pada dinding kamar tergantung Surah Al- Fatihah dan Ayat Kursi yang di-bingkaikan dengan kemas dan poster Ernest Hemingway. Sementara di atas meja tulisnya, bertebaran kertas kosong dan kertas bertulis, buku catatan yang terkena minyak dan koyak kulitnya, mesin taip Royal model 1960-an, beberapa batang pensel dan pena, asbak yang dipenuhi puntung rokok, cangkir kopi dua hari dan beberapa fail plastik keratan akhbar tentang dirinya dan karyanya.

Imej Tuan Kuntum tenggelam timbul dalam kepala Embong. Dan, kadang- kadang imej itu terkatung-katung pada permukaan benaknya, dipukul ingatan manis dan mesra yang mereka kongsi bersama. Behind every successful man stands a woman, Embong pernah terbaca dalam sebuah buku yang menceritakan kejayaan John F Kennedy dalam senario politik Amerika Syarikat.

Embong berasa Tuan Kuntumlah wanita itu. Dan, dia berjanji dengan dirinya akan menjadikan Tuan Kuntum wanita yang akan menolak dirinya ke barisan hadapan.

Dia berjanji juga akan melupakan kerja mencopet sekiranya Tuan Kuntum benar-benar wanita itu. Dengan janji yang disimpul diam-diam dalam hatinya, imej Tuan Kuntum semakin jelas timbul terapung-apung dalam ingatan Embong; saat dia menganyam jarinya dengan jari Tuan Kuntum, saat mereka berkongsi payung pada suatu hari hujan, saat mereka makan sepinggan berdua, saat Tuan Kuntum memejam mata sewaktu pipinya digeser Embong.

"Malam ini abang akan cerita segala-gala padamu," kata Embong pada suatu malam bulan terang yang tergantung di langit Dayabumi. Mereka duduk pada sebuah bangku batu, di tepi laluan pejalan kaki yang dibarisi pokok rendang.

"Ceritakan segalanya biar Kuntum dengar."

"Selama ini Kuntum hanya kenal abang sebagai orang yang memulangkan IC- mu, orang yang mengambil berat tentang dirimu, orang yang menghiburm dengan jenaka," Embong berhenti seketika, membiarkan dua pasang kekasih melewati mereka dan hilang di balik tompokan pohon renek yang rimbun. "Tapi abang lebih daripada itu."

"Abang lebih daripada itu?"

"Pengarang dan pencopet adalah abang."

Tuan Kuntum ternganga, tetapi tiada suara yang keluar. Mata bulatnya tak berkedip. Pandangannya ditebar ke seluruh wajah Embong. Dia menunggu Embong bersuara, menyambung kembali katanya yang tergantung. Untuk beberapa ketika, mengalirlah suara Embong dengan tenang, setenang Sungai Kelang di hadapan mereka.

Embong mengisahkan setiap inci dirinya, sikapnya dan falsafahnya dari A hingga Z, dari zaman awal dia mengarang dan mencopet pada 1980 hinggalah ke saat dia mengarang Kabut di Kaca Jendela dan mencopet dompet Tuan Kuntum.

"Maafkan abang, Kuntum."

Dalam sinar suram deretan lampu yang menghiasai persekitaran Da-yabumi, Embong melihat sepasang mata bulat Tuan Kuntum merah dan berair. Sejurus, kedengaran tangisan dan esakan Tuan Kuntum yang agak kuat. Dia membenamkan mukanya ke dada Embong.

"Kalau tidak kerana dompetmu ..." Embong tak sempat menghabiskan kata- katanya lalu dipintas oleh Tuan Kuntum.

"Jangan copet yang lain. Copetlah Kuntum."

"Kalau tidak kerana abang pencopet ..."

"Copetlah hati Kuntum, bang."

"Pengarang dan pencopet adalah abang."

Friday, April 01, 2016

Apartmen


Oleh Lee Keok Chih

APARTMEN itu letaknya di perut kota. "Tinggal di apartmen itu," kata lelaki bernama Raja itu, "aku betul-betul mengenali gerak nafas sebuah kota. Aku seperti sedang menghirup hidup sebuah kota yang bergerak pantas dan penuh warna yang cukup menggembirakan." Mungkin sebab itulah dia sanggup menyewakan rumah dua tingkatnya di Taman Bukit Melawati untuk tinggal di apartmen itu secara berkongsi dengan dua penghuni lain.

"Kami memilih cara hidup alternatif." kata Raja. "Dan cara hidup alternatif, tidak sesuai untuk diamalkan di kawasan perkampungan. Orang kampung biasanya penyibuk. Orang kampung biasanya suka jaga tepi kain orang lain."

Pada mulanya aku tidak mengerti apa yang dimaksudkannya. Aku percaya teman wanitaku, Carmen juga tidak mengerti. Carmen, tuan punya apartmen itu mengajak aku mendampinginya. Dia ingin aku membantunya menganalisis tabiat bakal penyewa apartmennya. Katanya, "dari pengalaman, mungkin engkau dapat mentafsir bahawa mereka boleh dipercayai dan diharapkan atau tidak."

Dan kerana pelawaan Carmen, akupun mengenali Raja, Steven, Din dan Raju yang bakal mendiami dan bersedia berpindah dari apartmen Carmen. Raja, Steven dan Din adalah bakal penyewa, sedangkan Raju bersedia pindah dari apartmen Carmen.

Raju bukan orang baru. Dia telah menyewa apartmen Carmen lebih kurang dua tahun. Setakat ini, Carmen amat berpuas hati dengan Raju. Kata Carmen, "dia tidak pernah bertangguh atau memberi alasan. Cukup saja waktunya, dia akan menjelaskan sewanya."

Masalah timbul apabila Raju ingin berpindah. Menurut Raju, apartmen yang dibelinya telah siap. Carmen tiada pilihan lain, lalu mencari penyewa lain. Steven bakal menjadi penyewa utama sekarang. Dia kemudiannya mengajak Raja dan Din tinggal bersamanya. Mereka ingin mengongsi apartmen.

Carmen terkejut juga mendengarkan cadangan mereka. Dia mengarahkan pertanyaannya, "Engkau rasa mereka boleh diharapkah?"

Aku bukan ahli nujum atau pakar psikologi. Aku tidak mahir membaca hati manusia. Sumbangan aku dari segi ini agak terhad.

Bagaimanapun, bagi aku, aku lebih senang apartmen disewakan kepada mereka yang berkeluarga. Mereka yang berkeluarga lebih stabil dan tentunya lebih boleh diharapkan. Kemungkinan mereka akan melarikan diri di tengah malam meninggalkan apartmen yang tidak diuruskan agak tipis. Aku percaya kepada manusia yang berkeluarga. Bagiku, kekeluargaan juga bermakna tanggungjawab. Kekeluargaan akan mengajar seorang lelaki bagaimana menjadi suami dan ayah yang tidak ingin mencontengkan arang ke wajah anak bini mereka.

Aku tidak pasti bahawa tanggapanku betul atau tidak. Aku tidak pasti apakah mereka betul boleh diharapkan. Aku teringat rumah dua tingkatku di Shah Alam. Aku telah menyewakan rumah itu semenjak tahun lepas. Rumah itu kusewakan kepada sebuah keluarga. Setakat ini, mereka belum menghampakan aku.

Akupun mengongsikan pengalamanku dengan Carmen.

Carmen termenung sejenak. Mungkin dia sedang memikirkan kata-kataku. Mungkin dia sedang membuat pertimbangan secara berhati-hati. Mungkin dia sedang memikirkan sama ada ingin terus menyewakan apartmennya, atau menarik balik hajatnya.

"Tapi, tapi..." kata Carmen, "Raju juga tidak berkeluarga. Dia pengurus sebuah bank yang tidak pernah mungkir janji dan menghampakan keinginanku."

Mungkin Carmen telah lama mengenal Raju. Dia mengenali Raju, mengerti budi bicara Raju. Steven dan rakan-rakannya pula, baru bertemu dengan Carmen. Carmen tidak kenal rapat mereka. Carmen tidak mengenali mereka, kerana itu dia menjadi kurang pasti.

"Bagaimana kiranya mereka menggunakan apartmen aku untuk kegiatan tidak bermoral?"

Kegiatan tidak bermoral yang Carmen maksudkan, adalah kegiatan tidak senonoh seperti kelakuan seks di luar tabii. Katanya, "Engkau tidak perasankah, mereka bertiga itu agak lembut. Mungkinkah mereka itu gay?"

Aku tersenyum mendengar kata-kata Carmen.

Carmen perempuan kota yang lincah bergaul. Dia bertemu dengan terlalu ramai manusia dengan sikap yang berlainan. Tentunya dia mahir membaca hati perut manusia. Kerana itu juga, tanggapannya macam-macam. Tapi apakah tanggapan Carmen tepat? Apakah cara hidup alternatif yang dimaksudkan oleh Raja adalah...

Aku tidak suka membuat syak wasangka tanpa bukti kukuh. Tetapi, pada masa sama, aku tidak dapat menolak kemungkinan itu. Raja yang mempunyai saudara mara enggan tinggal di samping sanak saudaranya. Dia sanggup tinggal berjauhan dengan keluarganya. Dia sanggup mengongsi apartmen dengan dua orang rakan lain yang baru dikenalinya di kota ini.

Aku tidak bertanyakan bagaimana mereka menjalin persahabatan. Mereka sendiri yang merelakan. Kata Steven, "Kami berkenalan di sebuah pub. Kami boleh berhubungan dengan baik. Mereka memahami budi bahasa aku, dan aku memahami jiwa bahasa mereka..."

Ah, Steven, jangan salahkan kami kiranya kami mempunyai buruk sangka!

"Aku tidak sanggup mendorong kegiatan maksiat." Kata Carmen, "berdosa nanti" Fikiran Carmen menjangkau terlalu jauh. Dan dia mempunyai prasangka yang bukan-bukan.

Dan aku tidak tahu apa yang harus kukatakan.

Aku ingin berkata, "Tidak sihat berfikiran begitu."

Aku ingin berkata, "Mungkin mereka tidak seburuk yang kita sangkakan."

Tapi aku terdiam. Cara hidup di kota ini telah menjadi terlalu merbahayakan. Manusia mengurungkan diri ke dalam apartmen dan kondominium, seperti sekali gus berjauhan daripada mata masyarakat. Mereka seperti mengasingkan diri daripada ukuran moral dan adat. Lalu mereka bergerak bebas sambil melukis tanda-tanda dosa.

Mereka bukan lagi anak Asia yang memegang teguh adat dan budayanya. Mereka memeluk Barat yang seperti telah menjadi darah daging mereka. Mereka mengamalkan cara hidup seperti anak-anak Barat.

Aku dan Carmen juga begitu. Kami gemar duduk di cafe sepanjang Bintang Walk. Kami sanggup membeli minuman kopi yang berharga lingkungan RM10.00 secawan. Wang yang dibelanjakan itu, kiranya dilihat oleh emak bapak kami, tentunya membeliakkan biji matanya. Mereka tentunya berleter tidak habis. Mereka tidak lahir pada waktu yang senang. Mereka adalah bangsa yang makan ubi kayu dan ikan masin. Mereka tidak kenal San Francisco Coffee, Coffee Beans, dan entah apa lagi cafe yang tumbuh seperti rebung selepas hujan yang berderetan di kota ini. Kiranya minum kopi, mereka hanya meneguk kopi O yang dibancuh bersama biskut tawar. Perbelanjaan itu tidak sampai satu ringgit. Berbanding dengan kopi yang kami hirup, aku tentunya tidak berani memberitahu mereka mengenai semua ini.

Tapi, penerimaan Carmen terhadap budaya kota hanya setakat kopi dan cafe. Dia belum sanggup menerjunkan diri ke disko. Dia belum berani menelan ubat yang memabukkan seperti pil khayal, apatah lagi menerima kelakuan seperti gay.

"Engkau dapat menerima kelakuan itu?" Carmen pernah bertanyakan pendapatku.

Aku tidak dapat menjawab persoalannya. Bagiku, kiranya kita bukan manusia jenis itu, maka tidak mungkin akan jadi begitu. Kiranya kita adalah manusia jenis itu, maka kita akan terlanjur dan mengulangi perbuatan yang tidak patut itu. Mungkin kita boleh atasi kemahuan itu kiranya kita mempunyai nilai moral tinggi. Mungkin kita dapat mengawal nafsu itu dan menghadapi segalannya hanya sebagai suatu ujian.

Aku tidak tahu bagaimana reaksiku kiranya anak-anakku menjadi gay.

Bolehkah kita membendung? Aku teringat lagi persoalan aku pada Carmen.

Carmen tiba-tiba menjadi takut dan kurang tentu. Barangkali seperti aku juga, dia hilang ketenteraman dan menjadi kurang yakin.

Dulu emak bapak kami takut gagal dalam peperiksaan. Dulu emak bapak kami takut kami menjadi penagih dadah dan menjadi sampah masyarakat. Sekarang belum menjadi ibu bapa orang lain, kami mula membina ketakutan dan keraguan kami. Ketakutan itu tumbuh diam-diam. Ketakutan itu seperti bayang-bayang. Ketakutan itu tumbuh dan menjalar.

Sebelum ini aku tidak takut sangat. Mungkin sekitar pergaulanku tidak luas. Sekitaranku adalah manusia yang berkeluarga dan pulang kepada tradisi. Tapi Carmen, dia asyik bergerak di antara manusia yang beraneka warna. Dia mengenal artis. Dia mengenal pelukis dan pereka fesyen. Carmen mengenali jenis manusia yang dikatakan "in" di kota ini. Mereka dikatakan bergerak di puncak generasi.

Entah generasi x, y atau z. Pendeknya, mereka sanggup mencuba apa saja. Mereka sanggup melakukan semua aktiviti. Mereka dapat menerima semua jenis aktiviti, tidak kira perbuatan seks luar tabii atau yang dikatakan sebagai perbuatan zina. Surat akad nikah dan pantang larang agama seperti telah dilupakan. "Kita berada pada zaman yang paling menggoda," kata Carmen.

Aku tidak menolak tanggapannya itu. Lalu aku menjawab, "Kerana itu, kita perlu membuat persediaan yang lebih. Dengan persediaan yang secukupnya, kita akan lebih tabah menghadapi cabaran."

Tapi berdayakah kita? Carmen bertanya.

Persoalan Carmen menjadi persoalan yang amat membahayakan. Persoalan Carmen adalah sesuatu yang aku tidak tahu bagaimana menjawabnya. Aku tidak tahu, dan aku tidak pasti.

Di kota ini semkain banyak isu yang tidak pasti dan merisaukan. Itu ke- simpulanku.

Bagaimana harus kuhadapinya? Aku tidak tahu.Biar masa bergerak dalam rentaknya sendiri. Kataku. Kata-kata itu untuk membujuk Carmen dan membujuk diriku sendiri.

Mungkin itulah satu-satunya cara menghadapi semua cabaran dan kemungkinan.

"Tentang apartmen," tanya Carmen, "patut disewakan, atau..."

Aku tidak tahu. Semuanya aku serahkan pada Carmen untuk membuat keputusan.

ataku pada Carmen, "Kita tidak dapat membuat kesimpulan tanpa bukti yang lengkap. Kita tidak dapat menuduh atau menanam syak wasangka. Lagipun..."

Kata-kataku berhenti di situ. Aku menjadi lesu kerana berasakan kehidupan ini begitu mirip acuan air. Segalanya penuh dengan perubahan.Segalanya penuh dengan godaan. Segalanya seperti arca yang menjatuhkan diri ke cermin atau logam berkilau. Di antara kejernihan, seperti tersimpan kekeruhan yang tidak dapat dihindarkan sekalipun kita puas mencubanya.

Tuesday, February 02, 2016

Spuhseeba Nikita

Oleh Ghazali Lateh

"ZEN!"

"Nikita?"

"Tepat sekali Zen!"

"Hahha!! Terlalu besar namaku yang kau-tulis pada pemidang itu, Nik!"

"Supaya senang dilihat, Zen!"

"Dobriy dyen (selamat tengah hari) Nik!"

"Huh! Kau sudah pandai berbahasa Russia."

"Engkau yang mengajarku lewat Excite Chat!"

"Bagaimana perjalanan?"

"Memenatkan Nik! Tapi aku bukannya berlama-lama di sini."

"Ya! Aku tahu. Kau akan ke Tromsoe!"

"Besok!"

"Aku akan menemanimu hari ini."

"Spuhseeba, Nik! Terima kasih."

"Kau cepat belajar, Zen!"

"Kau yang cepat mengajar!"

"Kau tahu bahasa Turki untuk terima kasih?"

"Tidak Nik!"

"the-sheh-kur-eh-deh-reem..."

"Huh! Baik sahaja aku belajar bahasa Rusia...denganmu Nik!"

"Hari ini baru kulihat wajahmu sebenar, Zen."

"Ya! Selepas setahun berborak dalam talian. Ini pun atas jasa baik Jostein! Dia yang membiayai perjalananku ke Norway."

"Buat pertama kali?"

"Ya!"

"Hari ini kau akan menjadi tetamuku! Aku sudah menempah bilik di asrama belia, di Zubovsky Boulevard. Kau akan selesa di sana. Di seberang Sungai Moskva ada Gorky Park, yang kuceritakan dulu!"

"Kau tinggal di mana, Nikita?"

"Buat masa ini aku masih tinggal di kampus. Sekarang cuti musim sejuk. Tapi kerana kau akan datang hari ini, aku menangguhkan kepulangan."

"Kau bukan dari Moscow?"

"Tidak!"

Pertemuan pertama kali dengan Nikita membangkitkan pelbagai persoalan. Pertama dia kulihat berbeza amat dari wajahnya dalam e-mel yang dihantarnya sebelum ini. Aku membayangkan wajahnya seperti Natasha Kinski dengan rambut perang keputihan lurus berjuntai ke kening. Tapi dia bertudung sopan. Adakah sekadar mahu mengambil hatiku? Ramai wanita yang memakai tudung hari ini sekadar fesyen mahu memenuhi kehendak persekitaran dan masyarakat. Bukan ikhlas! Lebih-lebih lagi telah timbul konflik keagamaan di Amerika semenjak bangunan WTC dirempuh pesawat terbang. Mereka sangat sensitif dengan wanita bertudung dan lelaki berserban mahupun berjanggut panjang.

Persoalan itu masih kupendam. Tidak sopan untuk bertanya sesuatu dalam pertemuan pertama. Setahun lebih berhubung lewat e-mel dan berborak dalam Excite Chat. Aku perlu tahu lebih banyak tentang dia, Nikita.

"Bagaimana di Malaysia sekarang?"

"Bahasa Melayumu bertambah baik, Nik!"

"Terima kasih. Bahasa Melayu mudah dipelajari."

"Tetapi ada rakyat Malaysia sendiri yang tidak petah berbahasa Melayu!"

"Aku bertanya tentang negaramu Zen."

"Maksudmu tentang apa?"

"Politik... atau ekonomi?!"

"Politik kembali stabil. Ekonomi juga semakin stabil. Malah aku sebagai orang biasa tidak pernah berasa tertekan dengan masalah ekonomi. Aku masih mewah berbelanja. Kau tahu... aku baru menukar kereta, hohho!!"

"Kau patut bersyukur kerana mempunyai barisan pemimpin yang berkarisma dan berwawasan. Kami di sini masih gawat. Nilai rubel jatuh mendesak. Tapi syukur aku berjaya menyelesaikan kuliah. Aku belum pasti untuk bekerja atau berehat dahulu."

"Kalau kucadangkan sesuatu, kau menerima?"

"Katakan Zen!"

"Datang ke Malaysia! Boleh berehat dan makan angin sekali. Cutiku masih panjang, dan boleh kutemankan kau."

"Aku harus pulang menemui ibu bapa."

"Di mana?"

"Tashkent!"

"Di sana majoritinya Islam?"

"Ya! Dan aku seorang Islam!"

Diam sejenak!

Sukar benar aku mempercayai bahawa Nikita seorang Islam. Dia langsung tidak menyatakan sebelum ini. Namun aku juga bersalah kerana tidak pernah bertanya. Pada pandanganku, orang Russia majoritinya bukan Islam. Kalau Islam pun sudah ramai yang tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya. Seperti di Bosnia, juga di Kosovo yang sering menderita dilantak peperangan yang memanjang.

"Namamu Nikita! terlalu ramai perempuan Russia yang bernama Nikita!"

"Itu hanya nama untuk berborak di alam siber!"

"Bukan nama sebenar?"

"Bukan!"

"Yang sebenarnya?"

"Ameena Jalelluddeen! Aku pasti Zen juga bukan namamu yang sebenar! Dalam chat-room tidak ramai yang menggunakan nama sebenar. Engkau menyamar!"

"Ya, betul! Namaku Muhammad Zain."

Kuingat kembali rakan-rakan siber yang sekian lama berborak dalam talian, terutama lewat Netmedia. Ada Medusa, Ayob, Puteri, Awang, Ina, Mus dan ramai lagi. Semuanya bukan nama sebenar.

Namun ada juga yang jujur. Mereka membentuk satu rangkaian persahabatan yang unik. Setelah puas berbicara dalam chatroom, mereka menganjurkan pertemuan secara beramai-ramai. Malah aku sendiri terpaksa mereka-reka pelbagai alasan untuk tidak hadir dalam majlis perjumpaan di sebuah restoran makanan segera Pasar Budaya bulan lalu.

Sudah kunyatakan pada Jostein bahawa aku akan berhenti di Moscow sebelum terus ke Norway. Kedinginan di tanah Russia ini seolah menggigit tulang. Ke utara Norway. Aku belum pasti dapat bertahan dengan cuaca yang begitu asing.

"Kau dingin, Zen?"

"Dulu aku teringin amat untuk memegang salji. Malah aku pernah terfikir untuk mengepal salji supaya bulat dan meletakkan sirap. Seperti zaman kanak-kanakku dulu, menyonyot ais kepal ketika pulang dari sekolah."

"Cuaca di sini antara 0 hingga 6 darjah Celsius. Ini mungkin keterlaluan buatmu Zen!"

"Kau teka berapa lapis pakaianku kini?"

"Aku tidak suka meneka! Hihhi!"

Aku masih sangsi dengan pengakuan Nikita bahawa dia seorang Islam. Malah lewat bicara sibernya, dia lebih menampakkan atiesme. Banyak bersandar pada logik dan rasional. Aku teringat e-mel terakhir yang kubaca sebelum berangkat semalam. Seorang yang bernama Joseph Abraham atau nama asalnya Mohamed Haykal mempersoalkan tentang kesahihan al-Quran. Dia orang Mesir yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam. Namun dakwanya, dia gagal mencari kebenaran dalam Islam.

Kini ramai orang Islam yang berfikiran begitu. Malah mereka sudah berani mengkritik Islam secara terang. Salman Rushdie dan Tasleema Nasrin terkenal kerana menghina Islam. Ahhh! Mudah sangat seorang Islam terkenal. Hanya dengan menghina Islam, pihak Barat terus sahaja menyanjung mereka. Bagi mereka Islam sinonim dengan keganasan. Mereka tidak sedar siapa yang sebenarnya pengganas.

Di Malaysia gejala ini sudah lama menular. Gadis Islam mula terpengaruh dengan budaya ini. Ramai yang dilaporkan meninggalkan Islam atas alasan berkahwin dengan bukan Islam. Ada yang melarikan diri dan tinggal di negara yang membolehkan mereka bebas sebebas-bebasnya.

"Apa yang kaufikirkan Zen?"

"Tentang engkau Nik!"

"Tentang aku? "

"Hmmmm..."

"Aku tidak cantik?"

"Cantik! Malah lebih daripada yang kujangkakan. Terutamanya apabila bertudung begini."

"Aku memang bertudung apabila berada di luar."

"Habis gambarmu yang kauhantarkan dalam e-mel itu?"

"Itu gambar peribadi. Engkau antara beberapa orang yang memiliki gambar seperti itu."

Tiba-tiba datang dalam mindaku satu persoalan yang perlu kubincangkan dengan Nikita. Tentang Jostein! Kenapa dia beria-ia benar membiayai aku ke Norway. Sedangkan dia mampu ke Malaysia jika dia mahu. Anak-anaknya sudah pasti lebih daripada mampu untuk membiayai perjalanannya.

Ada juga kebimbangan berputik dalam hati kecil ini. Dia bekas seorang mubaligh Kristian. Dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya memberikan sumbangan kepada rumah kebajikan Kristian di Tromsoe.

Sebaliknya Jostein tidak memberitahu aku tentang itu. Aku cuma mengetahui segala tentang dirinya setelah membuka hompej dan ICQnya. Dalam hompejnya itulah diceritakan bagaimana serius penglibatannya dalam gerakan Kristian. Adakah pelawaannya itu bertujuan mempengaruhiku supaya tunduk kepada gerakan dakwahnya?

Itu tidak mustahil kerana kerap benar dia menyertakan baris-baris ayat dalam Injilnya untuk membuktikan sesuatu tanggapannya. Namun aku juga tidak ketinggalan memetik nas-nas al-Quran untuk membuktikan bahawa Islam itu mencakupi semua aspek kehidupan. Kusertakan juga petikan hadis sahih yang boleh membantu hujahku apabila sesuatu kekeliruan wujud.

Baru-baru ini dia mengirimkan aku sebilah pembuka surat yang unik. Bahagian kepala pembuka surat itu dihiasi dengan batu merah jambu yang berkilat. Seperti batu cincin. Untung juga bukan palang salib! Dakwanya, batu itu diukir dan digilapnya sendiri. Katanya batu itu hanya terdapat di kawasan perbukitan utara Norway. Menarik! Dan pembuka surat itu kubawa ke sana-sini untuk kutunjukkan kepada rakan-rakan. Sebagai bukti bahawa persahabatan manusia sejagat kini sudah tidak ada sempadan. Persahabatan maya. Sebagai balasan kukirimkan beberapa helai skaf sutera dan tali leher batik yang kubeli di Pasar Budaya.

"Apa yang mengganggu fikiranmu Zen? Engkau rindu kampung halaman?"

"Aku memikirkan Jostein! Kenapa dia bersusah benar membawa aku ke Norway?"

"Mungkin dia senang denganmu, setelah sekian lama berhubung melalui e- mel."

"Masalahnya Nik, dia bekas seorang mubaligh Kristian! Lebih-lebih lagi konflik Islam-Kristian kini semakin meruncing, semenjak runtuhnya WTC."

"Ya?!"

"Engkau tidak tahu?"

"Tidak! Aku cuma senang berbalas e-mel dengannya. Aku hanya kagum dengan kecantikan negara Scandinavia itu pada musim bunga dan luruh. Jostein tidak putus-putus mengirimi aku gambar-gambar menarik itu."

"Kepadaku juga dihantar beratus-ratus gambar setiap kali perubahan musim di Tromsoe."

"Kenapa kau harus begitu bimbang, Zen?"

"Aku kurang pasti pegangan agamaku kukuh atau tidak. Aku takut imanku belum cukup kuat untuk menghadapi propaganda Jostein."

"Berfikirlah secara positif. Sebagai seorang Islam aku juga bimbang. Kebelakangan ini golongan muda Islam terlalu mudah terpengaruh dengan dakyah agama lain. Mereka terlalu mementingkan keseronokan yang disogokkan. Mereka melupakan ajaran Islam yang sebenarnya!"

"Engkau bagaimana Nik?"

"Alhamdulillah! Ibu bapaku alim. Mereka berdakwah menegakkan Islam di Tashkent."

"Maksud engkau?"

"Aku ingin menjadi seorang Islam yang beriman dan berfikiran maju."

"Aku kurang faham!"

"Islam yang tidak terlalu terikat pada dogma. Yang penting berbalik pada ajaran al-Quran dan hadis."

"Bagaimana?"

"Generasi tua terikut dengan pandangan ulama silam. Pendapat sebegini perlu pengubahsuaian mengikut perkembangan zaman."

"Tidakkah Islam itu agama semua zaman?"

"Sebab itu kita tidak boleh ketinggalan! Jika kita tidak melakukan penyesuaian, orang lain akan berkata Islam itu ketinggalan zaman. Alasan inilah yang dijadikan senjata pihak musuh Islam untuk mempengaruhi golongan muda Islam."

"Aku takut umat Islam tergugat akidahnya!"

"Tidak! Yang penting iman dan takwa mesti dijadikan teras. Dengan bertunjangkan kedua-dua unsur ini, bebaskan fikiran kita selagi tidak mencabar keagungan Tuhan dan kerasulan nabi."

Benar juga kata gadis Russia ini. Golongan muda hari ini tidak perlu ditakut-takutkan dengan dogma seribu tahun dahulu. Mereka perlu diberi kegembiraan dalam Islam. Mereka perlu diberikan keseronokan untuk beriman.

Apabila mereka menganggap agama itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan, barulah mereka menghampiri agama. Tidak ada paksaan dalam beragama. Agama yang dianuti dengan paksaan tidak akan melahirkan umat yang baik.

Nikita terlalu menghargai kedatanganku. Katanya akulah orang Malaysia pertama ditemuinya, kecuali seorang pensyarah pelawat yang bertugas di sana secara kontrak. Nikita membawa aku ke beberapa tempat menarik di sekitar Moskow.Aku terpegun memerhatikan Red Square yang menempatkan St Basil's Cathedral.

Sempat juga kami singgah sebentar di depan Lenin's Mausoleum yang direka bentuk oleh Alexei Shchuseo. Itu kata Nikita dan aku hanya mengangguk. Begitulah rasminya orang tidak tahu. Sekadar mengangguk setuju.

"Apa lagi yang istimewa tentang negaramu Nik?"

"Terlalu banyak!"

"Misalnya?"

"Kau akan melihat Russia secara mendalam apabila menaiki Trans-Siberia yang terkenal itu."

"Ya! Aku pernah menonton dokumentari National Geographic tentang kereta api yang menghubungkan Moscow dengan Vladivostok."  "Kita akan melalui beberapa buah bandar yang penuh dengan sejarahnya tersendiri."

"Contohnya?"

"Yaroslav merupakan bandar tertua. Menarik juga bandar Ekaterinburg. Ataupun kita akan terpegun dengan bandar tertua di Siberia iaitu Krasnoyarsk.

"Tidak pernah kudengari."

Masa terlalu pantas berlari ketika Nikita berada bersama-sama. Walaupun hawa dingin seringkali mengganggu, tetapi begitulah adatnya lelaki dengan seorang wanita. Waktu dianggap sebagai cemburu.

Yang melucukan, wuduk menjadikan aku terketar-ketar kedinginan. Namun kehangatan iman dapat mengatasi kedinginan itu dengan mudah. Aku gembira, setelah diminta menjadi imam kepada beberapa orang jemaah di musalla asrama belia.

"Terima kasih Nik! Layananmu begitu menarik hati."

"Dalam bahasa Russia?"

"Spuhseeba Nikita! Akan kuberitahu segala perkembangan di Tromsoe nanti. Barangkali Jostein akan membenarkan aku menggunakan komputernya untuk menghubungi engkau."

"Ya Zen! Aku tetap menanti berita darimu."

Pesawat Aeroflot meninggalkan bumi Russia dengan seribu kenangan. Namun hatiku masih berdebar. Apakah layanan di Norway nanti sama seperti yang kuterima dari Nikita. Lapangan Terbang Oslo menanti kedatanganku dengan hamparan salji memutih. Manusia di sini berbalut tebal dengan pakaian kain bulu mahupun kapas kelas satu. Percakapan mereka berasap kerana persekitaran yang dingin mencecah -10 darjah.

Mataku melilau mencari seorang lelaki tua yang setiap malam berhubung denganku lewat e-mel mahupun chatroom. Adakah dia datang dengan salib besar atas kerjaya sambilannya sebagai seorang mubaligh Kristian? Hatiku masih tidak tenteram berada dalam kelompok manusia yang terlalu asing itu. Aku seperti menghulurkan kepala ke dalam sarang tebuan.

"Zennn!"Aku terpinga-pinga dan tercari-cari arah suara itu.

"Zennn!"

"Jostein?!"

"Ya! Ini Jostein."

Debaranku semakin kencang, sekencang angin musim dingin tanah Scandinavia itu. Dalam hati, aku berdoa agar imanku kukuh untuk menghadapi apa saja dakyah kenalan siberku itu. Kami berpelukan seketika. Kemesraan lewat ruang maya memang terasa kehangatannya. Namun kelopak bimbang masih mekar. Berkereta dalam kedinginan aku disoal bertubi-tubi, tentang itu dan ini. Tentang cerpen dan karyaku. Tentang puisiku. Nyata Jostein seorang lelaki tua yang sentimental.

Tiba-tiba Jostein membelokkan kereta tuanya ke arah sebuah bangunan kecil di pinggir jalan. Aku tidak bertanya apa-apa walaupun seribu persoalan berlegar dalam benakku.

"Ini musalla. Kau mesti bersolat dahulu sebelum Asar berakhir. Perjalanan ke Tromsoe masih jauh," aku terpegun sejenak melihat langkah Jostein hilang di sebalik bangunan. Tidak sekali-kali kumenyangka aku dapat sujud menghadap Ilahi di bumi asing ini. Dan aku berdoa sepuasnya setelah memberi salam menandakan kesyukuran yang tidak terhingga. Ketika aku berpaling, kulihat seorang lelaki di belakangku menghulurkan tangan untuk bersalam. Jostein?

"Kamu?!"

"Ya! Tidak percaya?" Diam terkedu aku sejenak. Air mata gugur sendiri tanda tidak menyangka sama sekali bahawa aku tersalah anggap selama ini.

"Sudah lama?"

"Baru beberapa minggu."

"Bagaimana mulanya?"

"Nikita telah membawa aku ke jalan yang benar!"

"Nikita?!"

"Ya! Nikita! Dia seorang pendakwah Islam yang sangat berkesan." Tidak sedar aku memeluk orang putih bermata coklat itu kemas-kemas. Dia juga memeluk aku, saudara seagama yang dikenal lewat ruang maya yang luas.

"Alhamdulillah! Terima kasih Nikita! Spuh-seeba Nikita! Spuhseeba Nikita!"

Nikita menjadikan ruang siber wahana dakwahnya yang cukup berhasil. Dunia kini tanpa sempadan. Agama juga sudah tiada sempadannya. Agama Islam bukan milik orang Arab dan timur sahaja. Agama Islam bukan milik satu kelompok manusia sahaja. Agama Islam bukan agama keganasan. Agama Islam sepatutnya sudah menjadi agama umat manusia seluruh jagat raya.

Indahnya!!