Oleh Haji Tajuddin Saman
SUARA juruacara bergema memecah kesunyian Dewan Merdeka yang mengisi lebih 1000 hadirin. Hadirin, sebahagian besar daripada kalangan penulis tanahair, menunggu satu detik yang bersejarah - pengumuman Anugerah Tinta Emas - satu anugerah teragung bagi golongan penulis.
Dan detik itu akhirnya tiba juga.
"Kini tibalah masa yang kita semua nanti-nantikan. Dengan ini diumumkan..." juruacara majlis mematikan suaranya dengan mengejut, menyebabkan hadirin ternganga.
"...siapakah pemenang anugerah tahun ini ye?" Juruacara sengaja mahu menguji, menyebabkan seluruh pandangan tertumpu kepadanya. Dada hadirin berdegup cepat.
Kemudian dengan pantas suaranya meningkah tinggi; "Anugerah Tinta Emas tahun ini dimenangi oleh Nurul Murni Ariffin dari Warta Api!" Disambut pukulan kompang yang bergema.
Tiba-tiba dewan bergemuruh bunyi tepukan, mematikan bunyi kompang. Nurul yang duduk satu kumpulan bersama beberapa wartawan lain, bangun. Dia memusingkan tubuhnya - membongkok-bongkokkan badan beberapakali kepada hadirin. Hormat mungkin. Kemudian dengan langkah teratur dia naik ke pentas.
Berdetap-detap bunyi sepatunya, menghampiri Pengarah Perdana yang sedang menunggu ketibaanya.
Nurul menghulurkan tangan menyalami tangan Pengarah yang sudah putih kepala oleh uban yang tebal. Ada sesuatu yang diperkatakannya kepada Nurul.
Tentu dia memuji Nurul. Mungkin katanya "Anda memang berbakat besar. Tulisan anda mengenai sisa toksid di Bucu Cega amat futuristik, amat sinis, hingga menggemparkan negara... Syabas! Syabas!" Nurul tersipu-sipu.
Pengarah Perdana menghulurkan sekeping cek bernilai $10,000 kepada Nurul. Nurul menyambutnya dengan tangan bergetar. Sekalung bunga yang ditempah khas dari sebuah butik bunga-bungaan di kota raya dilengkarkan ke lehernya. Wajahnya yang segar nampak bertambah ayu.
Sejurus kemudian, Nurul menyambut hadiah yang paling berharga dalam hidupnya - segulung watikah yang mencatatkan namanya: Nurul Murni Ariffin, Pemenang Anugerah Tinta Emas - Wartawan Harapan Negara.
Nurul sungguh puas.
Beberapa malam lalu, dia bermimpi menerima anugerah itu. Tapi dalam mimpi itu, kemenangannya bukan kerana tulisan itu.
Kemenangan dalam mimpi itu lain. Dia memenanginya kerana judul rencana yang tragis: `Air mata seorang seniman...". Dan mimpi itu sukar ditafsirkanya kerana watikah anugerah yang diterimanya hanya segulung kertas putih yang kosong...
"Kenapa namaku tidak dicatat dalam watikah anugerah itu? Apakah mereka tidak ingat namaku? Apakah mereka cuba memadamkan namaku daripada watikah itu?" Di tengah soalan itu, Nurul terjaga.
Di tepinya bersepah kertas putih yang kosong. Tiada nama. Bahkan tiada tulisan apa-apa. Memang menjadi tabiatnya meletakan beberapa kertas kosong di sisi, sewaktu mahu tidur.
Jika terlintas ilham sebelum terlena, kertas itu akan dicakarnya dengan persoalan yang berlegar dan melintas-lintas dalam fikirannya. Itu memang tabiatnya. Tapi apakah makna mimpinya itu?
"Ah, persetan... pergi mampus dengan mimpi itu. Aku kini bukan sebarang wartawan lagi. Aku secanggih wartawan media negara. Malah, terbukti sudah, aku lebih canggih dari mereka. Buktinya... watikah ini. Watikah keramat. Akulah penerima Anugerah Tinta Emas," Hati nuraninya berbisik waktu dia memeluk dan mengucup Piala Pena Bertinta Emas itu.
Sungguh indah piala anugerah itu. la berbentuk sebuah pena antik. Di hujungnya ada setitik tinta yang bersalut warna emas. Memang ia emas tulin. Harga piala itu entah berapa ribu. Bukan sebarang tinta. Bukan sebarang orang boleh menerima anugerah itu.
Panjang pena yang kira-kira sesiku itu membuatkan ia mudah dilihat, apa lagi jika diletakkan di ruang kosong di bucu almari dalam aparmentnya.
Lebih lima tahun dia menceburi dunia penulisan. Selepas meninggalkan bangku sekolah di Desa Raya dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, dia tidak berpeluang ke universiti.
Bukan dia tidak mahu. Tapi peluang tidak ada. Kehidupan keluarganya agak tidak mengizinkan. Bapanya hanya peladang. Tanah sekangkang kera. Ibunya cuma suri rumah. Adik-adiknya ramai. Biarlah dia berkorban untuk mereka. Biarlah dia, anak sulung, mengundurkan diri dari sekolah.
Lebih dari itu dia rasa dia boleh berdikari kerana dalam dirinya telah tumbuh suatu kekuatan.
Dia memang meminati dunia penulisan. Di sekolah dia kerap mendapat pujian guru. "Karangan anda menarik, bahasa anda puitis," demikian guru bahasa sering menyanjungnya.
Sanjungan itu menjadikannya ingin berjinak-jinak dengan dunia itu. Lama kelamaan dia terasa dunia itu seperti bercandu. Tangannya seperti terikat kepada pena. Jika tidak memegangnya, badan seperti lesu.
Dia masih ingat tulisannya yang pertama tentang jalan berlopak di Desa Raya yang tersiar dalam sebuah akhbar. Dia melompat sebuah parit yang luas untuk mendapatkan akhbar itu dari tangan rakannya.
"Betulkah itu tulisanku?" Dia seperti tidak percaya. Tapi kawannya meyakinkannya "Iya!, hah, tenguk tu nama kau - Nurul Murni Ariffin -terpampang, bukan main besar tu, tak nampak?"
"Yaa... yah! Aku sudah jadi penulis... aku wartawan sekarang!" Nurul ingin memekik kuat. Tetapi perasaan itu hanya tersimpan di dalam hatinya. Memekik-mekik. Dia seakan mahu menepuk-nepuk dadanya yang berbusut kecil itu.
Percubaan Nurul yang berikutnya sering mendapat perhatian beberapa akhbar. Dia bertambah galak menulis berbagai isu semasa. Kadang kala soal politik di Desa Raya juga disentuhnya, hingga Ahli Exco Negeri itu terlatah dibuatnya.
Cuma waktu itu Nurul punya sedikit masalah. Dia tidak punya mesin taip. Tanpa mesin itu, dia sukar menulis. Tapi tidak lama, dia begitu bangga kerana dapat mengatasi masalah itu dengan kudratnya sendiri. Dia berjaya memiliki sebuah mesin taip terpakai.
"Kau tahu dari mana aku dapat duit membelinya?" Tanya Nurul kepada Baiti, rakan sedesanya.
"Aku tahu. Kau minta pada pak we kau."
"Kau jangan pandang orang sebelah mata ye, aku beli dengan duit hasil tulisanku sendiri!"
Baiti seperti tidak percaya. "Jangan nak temberang. Takkan kau dapat bayaran sampai beratus-ratus ringgit,"
"Itulah dungunya kau. Orang macam kau tak pernah ada visi. Kau tahu apa itu visi?"
Baiti tersipu-sipu. Memang dia tidak sanggup berdialog dengan orang seperti Nurul. Dia bijak. Pintar mematahkan tutur kata lawan. Dia tahu, Nurul sajalah yang meminati bidang penulisan di Desa Raya. Gadis lain di desa itu tidak sanggup memasuki bidang yang penuh cabaran itu.
Setahun kemudian Nurul memohon menjadi pemberita sambilan di syarikat akhbar Negara Raya. Permohonan itu diterima. Sekali lagi Nurul memekik: "Aku wartawan sekarang!"
Semakin hari dia berasa kian mantap. Pada usia 24 tahun sepertinya, ramai kawannya sudah dipinang orang. Mereka kahwin, beranak pinak dan sibuk di dapur. Tapi kekolotan yang masih berakar di desanya itu tetap dicanggahnya.
Ibunya sendiri pernah bersungut, "Apa nak jadi dengan kau ni Nurul, umur dah makin lanjut, orang masuk meminang kau tak nak, apa nak jadi dengan kau ni hah?"
Nurul membatu. Dia benci dengan kekolotan itu. Dia tahu ibunya tidak faham. Ibunya masih kolot. Orang sibuk dengan Saddam Hussein, ibunya tak pernah mengambil kisah.
Tapi Nurul tidak mahu jadi si Tanggang. "Biarlah lbu dengan kekolotannya. Aku akan buktikan kepada semua orang kampung, apa yang boleh aku buat," bisik nuraninya.
Beberapa waktu menjadi pemberita sambilan, dia sudah boleh berhubung dengan beberapa ketua editor. Pernah satu hari Ketua Editor Negara Raya berkunjung ke pejabat cawangan akhbar itu di pekan berdekatan Desa Raya.
Waktu itu Nurul berpeluang berbual dengan editor itu. Ketika berdepan dengannya, Nurul memendapkan kedua belah tangannya ke depan. "Apa masalah utama di sini sekarang?" tanya editor itu dengan suara yang garang seakan-akan menyergah.
"Tak banyak Encik Zuki. Maklumlah sini hanya daerah. Tapi saya sedang selidik kes sisa toksik di Bucu Cega, tak jauh dari sini, kalau siap nanti saya hantarlah story itu..."
Nurul bangga kerana editor itu tertarik juga dengan ceritanya. Nampaknya ada harapan untuk menjadi wartawan tetap Negara Raya. Semoga tidak lama lagi, dia boleh berhijrah ke Kota Raya untuk menjadi wartawan.
Pernah pengurus kilang itu menghantar wakilnya bertemu Nurul.
"Cik Nurul nak apa sebenarnya."
"Saya ingin melaporkan sesuatu untuk kebaikan orang ramai,
"Ah, ini perkara kecil, kita boleh selesaikan dengan baik,
"Mana boleh, ini perkara besar,"
"Sudahlah cik Nurul, saya ingin sampaikan pesanan pengurus saya,"
"Apa dia mahu?"
"Pengurus kami mengajak cik Nurul makan malam dengannya di Kota Raya esok."
"Awak ingat saya boleh dibeli ke?" dan Nurul terus meninggalkan tempat itu tanpa menoleh lagi.
"Cik Nurul, nanti,nanti dulu..." laungan wakil pengurus kilang itu tidak dipedulikannya. Nurul terus menahan bas, kembali ke pejabat.
Dia masih ingat pesanan beberapa rakan penulis. "Kalau ingin berjaya, kita mesti agresif. Dalam dunia wartawan tidak ada tempat bagi mereka yang takut..." Lalu Nurul tidak main-main lagi dengan karenahnya bila berada dalam sesuatu persoalan.
Pernah dia bertanya kepada seorang menteri: "Betulkah you akan ditukarkan ke kementerian lain?" Menteri itu terpinga-pinga ketika dikelilingi lebih sepuluh wartawan di lobi sebuah hotel.
"Anda dari mana?"
"Warta Api. Macam mana, betul ke?"
Menteri itu tergamam. Sejurus kemudian, dia memanggil kawannya yang berdiri tidak jauh dari situ: "Haji Osman, awak dengar tak ni, orang dari Warta Api kata saya nak ditukarkan ke kementerian lain..." Kawan menteri itu tersengeh sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Wajah Nurul berubah. Ada warna kekuningan di pipinya. Tapi sambil tersenyum sumbing, dia gagah juga bertanya: "Sumber kita beritahu you akan bertukar, bila agaknya you nak bertukar tu?"
"Awak tanyalah Perdana Menteri. Itu kerja dia..." jawab menteri itu agak sinis sambil berjalan menuju ke kereta di luar hotel. Beberapa wartawan lain berlari-lari anak, mengejar menteri itu, tapi mereka kehampaan kerana tiada berita diperolehi.
Nurul tidak peduli. Dia selalu ingat pesanan kawan-kawannya: Kita mesti provokatif. Mesti agresif. Kalau tidak, lebih baik berhenti saja menulis. Maka dia berazam penuh, apa jua tindakan mesti dibentengi sifat itu.
Sikap Nurul lebih mengila bila pemohonannya untuk menjadi wartawan tetap di Negara Raya di tolak. Dia lantas mengambil tindakan drastik berhenti sebagai pemberita sambilan akhbar itu bagi pekan Desa Raya.
"Persetan...!" katanya.
Lalu dia berhijrah ke ibu kota. Ibunya yang terlalu bimbang tidak dipedulikan lagi. Bapanya baru saja meninggal dunia. Bukan tidak ada pilu di jiwanya mahu meninggalkan desa kelahiran, ibu dan adik-adik. Tapi dia begitu geram.
"Mengapa Negara Raya menolak permohonanku. Aku sudah tunjukkan kebolehanku. Kenapa editornya begitu zalim!" Jiwanya menggerutu mahu ke Kota Raya. "Aku mesti buktikan... mesti!"
Pohon beringin, sawah ladang, Desa Raya ditinggalkan. Di kota dia menumpang di rumah seorang rakan. Beberapa minggu saja, dia diterima menjadi wartawan sebuah akhbar mingguan - Warta Api.
Perasaan melonjak. "Aku akan buktikan kepada mereka, kepada dunia bahawa aku adalah penulis berwatak besar..." bisik nuraninya.
Di akhbar itu dia menulis pelbagai topik. Dari ekonomi ke politik. Dah begitu, hampir semua tulisannya kontroversial. Sentiasa mengancam. Selalu canggih dan hebat.
Satu hari, dia teringatkan kes sisa toksid yang disiasatnya di Desa Raya dulu. Lalu dia mengetuk mesin taip di pejabat Warta Api. Dia menulis hingga larut malam.
Warta Api menyiarkan tulisan itu selama tiga minggu. Tanpa disangka, tulisan itu, terpilih sebagai bahan terbaik dan layak menerima Anugerah Tinta Emas.
"Aku dah kata. Kau memang berbakat. Memang canggih. Kau hebat," kata Surisam, rakan sepejabatnya.
"Mestilah!" sahut Nurul sambil membetul-betulkan bajunya yang berbaldu biru, "Sekurang-kurangnya aku dapat buktikan kepada editor Negara Raya bahawa mereka telah tersalah perkiraan.
"Perkiraan bagaimana?"
"Mereka sepatutnya mengambil aku. Jangan sangka pemberita sambilan sepertiku tak boleh buktikan kemampuan.
"Ya, sepatutnya mereka tidak tersalah membuat perkiraan. Mereka memang bodo~h!"
"Aku juga telah buktikan dalam sejarah, bahawa wartawan akhbar lipas, akhbar cicak, juga mampu menggegarkan dunia."
"Ya, kita tunjukkan kepada mereka!"
Hari itu paling bersejarah: Hidup tiba-tiba dirasa begitu manis bagaikan madu lebah piai.
"Kau fikirlah. Aku, aku yang dulu hanya pemberita sambilan, dan kini wartawan di akhbar yang dipanggil akhbar lipas, cicak mengkarung, dan tah apa-apa lagi, tiba-tiba terpilih sebagai penerima Anugerah Tinta Emas. Ke mana perginya mereka yang berada di Media Raya?" Nurul ketawa sinis. Kepalanya digeleng-gelengkan.
Waktu turun dari pentas, Nurul dikerumuni rakan-rakannya. Semuanya gembira. Mereka berebut-rebut memegang tangannya. Mencapai hadiahnya. "Tahniah!!".
Nurul hampir kaku. Mulutnya lengoh mengembalikan ucap "terima kasih". Sebelum kembali ke kerusi istimewa, Nurul dijemput ke depan mikrofon.
Dia terkaku seketika. Nafasnya ditarik dalam-dalam. "...selama ini, selama ini, orang menyangka hanya mereka yang bertugas di Media Raya saja layak menerima anugerah ini. Tapi sekarang, saya, saya telah buktikan, saya buktikan!" Dia berkata dengan suara separuh menjerit.
"Jadi... jadi jangan menganggap orang seperti kami wartawan kelas dua kelas tiga atau kelas empat. Saya sekarang sudah terpilih menerima Anugerah!"
Nurul lantas menjulang anugerahnya. Diangkatnya tinggi-tinggi. Kilat lampu kamera bersilau-silauan, memercik ke wajahnya yang licin. Senyumannya merkah.
Malam itu Nurul dan rakan-rakan merayakan kejayaan itu hingga ke larut malam. Hampir dinihari, dia terasa begitu letih. Lalu segera kembali ke apartmentnya di pusat Kota Raya. Waktu menghempaskan belakangnya ke katil, dia meletakkan piala anugerah itu di atas dada. Sambil memeluk-meluknya Nurul terasa matanya berbinar. Pandangannya jauh dan mengabur.
Tiba-tiba dia ternampak wajah ibu dan adik-adiknya. Desa Raya yang pernah menerima kelahirannya terbentang dalam pandangan.
"Kau sudah jadi orang terkenal sekarang ya nak!" Nurul terdengar suara ibunya disusuli dengan batuk-batuk kecil.
"Eh, Ibu... ibu sakit ni.."
"Mungkin juga,"
"lbu memang sakit...
"Kata doktor ibu sihat. Mengapa kau pula yang kata ibu sakit?"
Nurul terdiam.
"Bagaimana kau tahu ibu sakit sedangkan kau hanya bercakap dengan ibu menerusi telefon ini?"
Nurul terus terdiam. Kata-kata ibunya itu didengarnya dengan tenang.
"Bagaimana kau boleh tahu sedangkan kau tak pernah ingatkan ibu."
"Nurul ingat bu..."
"Tapi sejak terkenal kau tak pernah jengok kami di Desa Raya."
"Nurul balik sekarang juga bu... Nurul sudah ada kereta..."
Nurul lantas menghidupkan enjin Proton Saga yang baru dibelinya. Dia terus memecut kereta selaju-lajunya menuju Desa Raya. Sekejab saja, dia tidak lagi nampak Kota Raya di belakangnya.
Tiba-tiba dia terasa roda depan keretanya begitu keras menggiling jalan. Dia menghentikan kereta itu di tepi sebuah pondok usang yang dikelilingi semak samun.
Tayarnya kempis. Setan. Siapa boleh menolongnya? Jalan itu terlalu sunyi. Ah, tiba-tiba saja Nurul terdengar suara dari dalam pondok itu. Ya, Nurul pasti, ada suara. Tapi bunyinya seperti suara orang berazan.
Dia berlari menuju ke pondok itu. Di situ dia melihat seorang lelaki berketayap sedang sujud. Dahinya tersentuh ke bumi yang berdebu tapi dia tetap sujud di situ.
Nurul merenung lama ke arah lelaki itu. Kenapa dia sujud terlalu lama? Ketika bertanya itu, Nurul terasa dadanya sendiri seperti terlalu ringan dan kosong. Badannya seperti melayang-layang. Degup jantungnya terdengar seperti sebuah gendang raya yang dipalu dengan kayu teras.
"Kenapa ni..?" Nurul bingung sendiri.
Kepalanya terasa pening. Dia terus memejamkan mata. Sekelip itu, pandangannya menjadi gelap. Tapi dalam kegelapan itu, dia ternampak sesuatu yang aneh. Lelaki itu memanggungkan kepala dan duduk antara dua sujud.
Dia menadahkan tangan ke langit sambil mengutuskan istilah yang sukar didengar kerana disebut dengan perlahan. Sejurus itu juga Nurul terperanjat melihat setitik cahaya lembut terjatuh ke atas kedua-dua tapak tangan lelaki itu.
Nurul tercegat melihat wajah lelaki itu amat berseri dan tenang selepas dia mengusapkan tapak tangan yang bercahaya itu ke wajahnya.
"Dari manakah datangnya anugerah titik cahaya yang terjatuh di atas tangan lelaki itu?"
Nurul terus memandang ke langit biru. tapi dia tidak melihat apa-apa.
Waktu dia duduk semula dia melihat pondok itu kosong. Suasana sunyi sepi. Lelaki itu sudah tiada. Di mana dia? Nurul bingung. Alam menjadi kosong. Dadanya sendiri terasa semakin berongga. Tiba-tiba setitik air mengalir keluar daripada pelupuk matanya yang masih terpejam di subuh yang dingin itu.

No comments:
Post a Comment