Pages

Tuesday, February 17, 2015

Lompat tupai pinang

Oleh Azizi Haji Abdullah

"KITA tembak saja!"

"Jangan!"

"Kenapa?"

Aku sungguh hairan kerana kali ini aku balik minta senapang, bapa tiba-tiba kata jangan.

"Kenapa tak tembak saja? Bukankah itu musuh?"

"Memang musuh!" kata bapa cukup ringkas.

Bapa yang cengkung kurus, menjadi aku geram dengan kata-katanya. Rasanya mahu aku patah-patahkan saja tulangnya. "Habis, kalau dah musuh, takkan nak biar begitu saja?" tanyaku lagi.

"Aku dah serah senapang tu pada polis. Dah tak ada lagi," kata bapa bersahaja, sambil menyemat rotan pada raga buluh yang sudah rosak.

Alangkah...alangkah bodohnya bapaku ini. Ketika musim durian mula berputik, senapang yang boleh digunakan menembak tupai-tupai telah diserah kembali kepada pihak polis. Apa kenanya bapa, fikirku. Bukankah bapa bekas pegawai Rela?

Sudah dua bulan aku tidak balik kampung. Balik kali ini cukup seronok bila melihat pokok-pokok durian bapa seluas seekar sudah berputik dan lebat pula. Minta-minta janganlah ada guruh petir lagi. Jika tidak, putik-putik itu tentu banyak gugur. Aku yang mengambil cuti seminggu, rasa-rasanya boleh mengawasi musuh-musuh yang sangat aku benci itu.

"Saya hairan, kenapa bapa tak mahu tembak?" aku yang tidak puas hati, bertanya lagi ketika bapa masih belum berhenti menyemat rotan raga buruknya.

Bapa merenung aku agak lama seperti di wajahku terpeta satu kebodohan dan kemudian bapa tersenyum. "Musim ini aku nak tengok tupai pinang melompat," kata bapa.

"Bapa suka tengok musuh-musuh kita melompat?"

"Kali ini lompat mereka istimewa, biarkan!"

Aku tidak terdaya melawan kehendak bapa. Tapi, apa yang dapat aku kesan, perangai bapa sudah berubah. Apakah kerana ingin melihat tupai pinang melompat dari dahan-dahan, mengerbok melubang dan merosak putik-putik durian maka bapa sanggup biarkan musuh-musuh itu bermaharajalela? Dan aku tidak begitu faham bila bapa menyebut `musim ini' dan `lompat melompat! ini tentu sekali sesuatu yang aneh dalam diri bapa.

Petang itu aku segera ke kebun durian bapa di belakang rumah. Bukanlah luas sangat, cuma seekar. Semak samun bapa sudah tebas. Buah-buahnya jarang lekat kalau tidak ada senapang. Kera, lutung menjadi-jadi. Tupai, kuas, burung dan entah apa-apa lagi sering merosakkan buah-buah itu. Bapa sukar mengawal musuh. Bukit seperti mahligai mereka dan sangat senang mereka melompat menyeberang.

Benarlah, hampir tiga puluh batang pokok durian bapa, semuanya sudah

berputik. Cempedak sudah menjulur buahnya. Rambutan tidak jenuh. Pokok durian yang ditanam kira-kira dua puluh tahun yang lalu rata-rata 129 kaki tingginya. Bapa rajin menjaga. Kulit batangnya masih kelabu dan ranting-rantingnya mengelupas dan bersisik. Daun-daunnya berkilat di sebelah atas dengan warna hijau tuanya apabila terkena panahan matahari. Tentu waktu berbunga dulu sangat indah nampaknya. Pasti berkelompok-kelompok putih. Pasti seperti susu basi.

Aku mendongak ke sana sini. Terdengar kicau burung. Merbah dan belatuk jinak seperti di taman burung. Mujur tak ada kera lutung. Mungkin setiap petang bapa berhorah-horah menghalau musuh-musuh itu dengan suara paraunya. Sudah nampak serumpun-serumpun buah-buah kecil bujur dengan duri-duri mudanya. Jika masak dan gugur nanti, pasti isinya manis dan lemak. Bapa menamakan pelbagai jenis duriannya. Yang paling aku suka ialah pokok di sebelah hujung. Gempa Bumi namanya. Ini disebabkan kalau buah itu jatuh bumi seakan bergegar.

Setelah ke sana sini, akhirnya aku sampai di bawah pokok Gempa Bumi. Aku ternampak seekor tupai terkapuk di ranting sebesar lengan. Tupai itu teragak-agak hendak mengoyak serumpun buah-buah yang masih kecil benar. Ranting itu agak tinggi dan terlindung di balik daun-daun yang menghijau. Aku pasti tupai tidak nampak aku. Pengalaman yang sudah-sudah, tupai akan melompat lari bila melihat orang.

Aku menyengat kepala, mencari ruang yang boleh nampak dengan jelas. Jika betul tupai hidup, aku akan jerkah. Biar dia lari dan melompat jauh ke bukit. Tapi, bukankah lebih baik ditembak saja. Bukankah itu lebih baik daripada dia hidup?

Aku segera berlari balik ke rumah yang jauhnya sekali penat berlari. Bila aku sampai aku kalut-kalut membuka pintu kereta.

"Kenapa?" tanya bapa dengan hairan. Bapa masih meraut buluh untuk disisip ke bakul yang sudah rosak.

"Teropong!"

"Teropong apa?"

"Tupai!" kataku dan teropong yang kebiasaannya aku guna mengintai muda-mudi di kebun bunga di bandar, aku usap-usap.

"Tak pernah tengok tupai?"

Aku tidak peduli kata bapa. Tapi bila aku hendak ke kebun semula, bapa menambah kata; "Jangan apa-apakan...musim ini Tupai Pinang tu seronok melompat!"

Aku tergamam sekejap. Apakah bapa ini seorang pakar veterina dan apa pula maksud bapa berkata seronok melompat? Sesungguhnya, bodohlah bapa kalau membiarkan tupai-tupai melompat seronok menebuk, melubang putik-putik durian yang hendak membesar itu.

"Ingat! Jangan apa-apakan tupai itu. Kau kana dapat pengalaman baru!" pesan bapa lagi bila aku beredar ke kebun semula.

Itu Tupai Pinang! memang benar kata bapa. Di bawah perutnya warna kekuningan campur merah tua. Ia seperti sakit. Tidak bergerak ke mana-mana. Aku mengenakan teropong betul-betul. Cukup sah nampak dari celah-celah daun yang menghijau.

Tupai pinang itu nampaknya seperti seekor, barulah aku teringat. Tiga tahun yang lalu, tupai yang aneh dalam perhatianku sehingga aku tidak jadi menembaknya. Ketika itu Tupai Pinang ini berada di pokok durian berhampiran kaki bukit, menguasai pokok durian yang bapa namakan "Tikar Renik'.

Aku masih ingat, dialah ini. Kepala dan badannya lebih kurang 190 mm. Ekornya berbulu cering, bermanik-manik seperti rambut perempuan kering. Ekornya lebih kurang 152 mm. Tangan makannya, menggaru-garu mulut. Tangan itu pendek, lebih kurang 42 mm. Ahh, tentu berat badannya tidak lebih daripada 250 gm. Ia cantik walaupun giginya terjuih keluar.

Daripada bacaan aku, Tupai Pinang ini boleh didapati di Sumatera, di Jawa juga Borneo. Tupai jenis ini kerjanya melompat dari satu pokok ke satu pokok. Dari satu dahan ke satu dahan.

Tiga tahun yang lalu, Tupai Pinang ini hampir menjadi mangsaku. Ketika aku mengangkat laras senapang dan menghala padanya, tiba-tiba bapa menahan. "Biarkan dia. Dia pun nak hidup!" kata bapa.

Tupai itu seperti seekor tupai yang setia dengan pokok durian Tikar Renik. Daripada gerak dan lompatannya, dia seperti mahu hidup dan mati di pokok itu saja. Putik-putik durian tidak ditebuknya, sebaliknya dijaga. Dia tidak tamak. Dia mengawal beberapa ekor tupai lain dari merosakkan buah-buah yang sedang membesar.

Tapi jadahnya, dia yang bermastautin di pokok durian Tikar Renik itu tidak lama. Feelnya mula berubah. Dia mula menebuk buah-buah yang hampir masak, diluah hampas kulitnya, mencakar-cakar sehingga buah-buah itu berpusing-pusing tangkainya. Setiap hari beberapa biji buah muda gugur begitu saja. Dia melompat dari satu dahan ke satu dahan sambil mengeluarkan suaranya yang halus tajam, seperti memberitahu yang dia akan melompat ke pokok lain lama kerana Tikar Renik tidak lazat dan tidak memberi menafaat kepada tupai-tupai lain.

"Kita tembak saja!"

"Jangan!" bapa melarang. "Memang tabiat Tupai Pinang kerjanya melompat. Kau tengok di satu hari nanti akan menjadi terasing sendiri!" kata bapa lagi.

Dan benarlah, di musim selanjutnya bila aku balik, aku tidak lagi dapati Tupai Pinang itu di pokok durian Tikar Renik. Dia sudah melompat ke pokok durian lain. Sungguh cerdik Tupai Pinang ini. Dia melompat mencari musim yang sesuai. Dia melompat ketika pokok-pokok lain berbuah. Dengan giginya yang terjuih ke depan, dengan kembang cacak ekornya, dia seperti memberitahu bahawa lompatannya demi kepentingan tupai-tupai yang lain. Maka tupai-tupai yang lain pun terikut-ikut. Mereka juga turut melompat.

"Jangan tembak!" bapa menegah lagi, bila satu pagi musim buah selanjutnya, aku dapati Tupai Pinang ini berada di pokok durian "Kucing Tidur" pula. Sungguh cekap dia melompat, seolah-olah melompat itu menjadi budayanya. "Kalau nak tembak, tembak saja kera lotong!" pesan bapa.

Musim itu buah tidak berapa menjadi. Kalau adapun hanya beberapa puluh biji saja pada sebatang pokok. Aku, seperti musim lalu tetap mengintai di mana Tupai Pinang ini melompat. Aku patuh pesanan bapa walaupun ketika itu senapang ada di tanganku.

Tiba-tiba aku nampak Tupai Pinang ini berada di hujung ranting paling atas. Sememangnya pokok durian Kucing Tidur ini agak tinggi. Dan, dia kelihatan tersangat murung. Melihat itu aku mengambil keputusan menembak saja. Tak guna menyimpan tupai sakit. Tak guna menyimpan tupai demam tak kebah. Tapi bapa tetap melarang.

Keadaannya berlanjutan sehingga buah-buah durian jadi lawas. Tupai Pinang itu seperti diserang penyakit kuning. Dia asyik merenung ke pokok yang lain. Dia seperti teragak-agak hendak melompat.

Aku yang dapat membaca sedikit sebanyak feelnya, aku yakin Tupai Pinang ini tidak dapat bertahan lama di pokok durian Kucing Tidur. Alasannya tentu kerana tidak banyak rezeki.

Aku tidak jadi menembak. Aku balik ke tempat kerja. Aku tunggu musim buah yang akan datang.

Dan kini, nyatalah apa yang aku ingin sudah terbukti. Tupai Pinang itu sudah berada di pokok durian Gempa Bumi, satu-satunya pokok terbaik di dalam kebun bapaku. Selain buahnya yang besar, isinya sedap dan lemak. Di pokok inilah kebanyakan tupai melompat mencari rezeki.

Sekian lama aku meneropong. Hendak menembak senapang sudah tak ada. Tupai Pinang itu nampaknya tidak bergerak. Murung di atas ranting walaupun di depannya serangkai buah-buah muda yang lemak. Tangan pendeknya takut-takut hendak mengerunas. Matanya bening. Sesungut misainya bergerak-gerak dan giginya yang terjuih seperti tidak tajam lagi hendak menembuk buah.

"Nampak?"

Tiba-tiba bapaku bersuara di belakang. Dan bila aku berpaling, bapa juga mendongak. Tangan bapa memegang senapang, senapang dulu juga.

Aku jadi meradang. Tadi kata bapa, senapangnya sudah diserah balik pada penguasa polis. Mengapa kini ada pula? Pastilah bapa berbohong padaku. Tapi aku cuba menyembunyikan marahku.

"Nampaknya?"

"Cuma seekor. Tupai Pinang dulu juga," aku memberitahu.

Bapa mengambil teropong dariku dan senapang yang dipegangnya diserahkan padaku.

"Nak tembak?"

"Jangan!"

Aku seperti hendak mengacu senapang pada bapa. Bapa benar-benar memberi aku radang. Tapi kata senapang tak ada, kini diberi kemudian melarang pula menembak. Apa ertinya ini?

"Bapa kata pesta tupai, mana?" tanyaku menahan sabar.

"Kelmarin," katanya agak kesal kerana berbohong.

Aku merenung bapa. Cengkung badan bapa seperti cengkung Tupai Pinang yang terkapok di dahan itu juga. Nyatalah bapa berbohong padaku. Kelmarin, aku belum pulang.

"Kelmarin bila aku ke sini, aku dapati hampir enam puluh ekor berlompatan di serata dahan. Tupai Pinang seperti kepala melompat-lompat gembira. Dia seolah-olah ketua!" kata bapa.

"Jadi hari ini ... ?"

"Aku pun tak tahu," kata bapa lagi. Teropong diserahkan padaku semula. "Aku tidak tahu ke mana lagi yang banyak seperti kelmarin!"

Aku mengeluh. Bapa sebenarnya mereka-reka cerita. "Bapa..." aku mengangkat laras senapang dan hendak menembak. Bapa menahan aku lagi.

Tupai Pinang yang terkapok di dahan seperti sakit, merangkak-rangkak malas kemudian melompat-lompat kecil dari ranting ke ranting. Setiap rumpun buah yang sedang membesar itu dihidunya. Dicakar-cakar dengan tangan pendeknya. Digigit-gigit dengan gigi yang terjuih ke depan.

"Itulah tabiatnya," bisik bapa. "Kelmarin, waktu dia melompat dia gembira kerana ramai yang mengikutnya. Tapi, bila dia mencium buah-buah yang muda itu, nyatanya dia amat bodoh. Dia lupa buah-buah itu ialah buah-buah yang sama pada satu ketika dulu!".

"Jadi?"

"Dia sudah tak siuman. Dia sedang berfikir pokok mana lagi hendak dilompatnya kerana setiap pokok yang dilompatinya, kawan rakannya tidak menghormatinya lagi. Dia tidak istiqamah kerana hidupnya berdasarkan sistem lompat!"

Aku mengangkat laras senapang semula. Tak guna membiar binatang tupai berperangai begitu. Tupai yang bertabiat melompat dari pokok ke pokok sebenarnya tupai yang suka merosak buah-buah. Tapi, aku tidak dapat memetik tregar. Lompat melompatnya menyebabkan aku sukar mensasarkan tembakan. Dahan dan ranting, daun yang rimbun seringkali melindunginya.

"Jangan tembak dia. Tembak arah lain," bapa mengarahku.

Sekali lagi aku jadi hairan. Sungguh aneh bapa kali ini.

"Kenapa?"

"Kau akan tenguk sendiri!"

Sebaik saja Tupai Pinang itu berhenti melompat, dia mengangkat ekornya dan kencing bertaburan. Aku pun melepas tembakan seperti yang disuruh bapa. Bila saja letupan bergema, aku lihat Tupai Pinang itu terkejut benar. Dia melompat dari dahan ke dahan, berlari turun naik, melilau ke sana sini. Gema letupan benar-benar mengejutkannya.

"Tembak lagi!" desak bapa.

Aku melepas sekali lagi tembakan. Kali ini hampir-hampir mengenainya kerana daun-daun di sisinya berguguran.

Tupai Pinang itu seperti kena getah. Diam terkapuk di dahan. Ekornya bergerak-gerak. Dia seperti sedang mengumpul satu tenaga yang aneh. Dari dahannya ke pokok durian yang lain, hampir-hampir lima meter. Tupai Pinang itu sedang memerhati ke dahan pokok itu.

Aku melepas tembakan sekali lagi juga tidak ke arahnya. Tupai Pinang terkejut lagi, dan dengan tenaganya yang ada, dia melompat gagah ke dahan pokok lain. Aku nampak dia terkapai-kapai, tergawang-gawang di antara dahan yang dilompatinya dengan dahan yang hendak ditujuinya. Nyatalah, dia tidak mempunyai tenaga yang cukup. Lompatannya gagal. Dia jatuh tersepuk ke tanah.

Bapa ketawa terbahak-bahak seperti itulah pertama kali dia melihat tupai jatuh ke tanah kerana gagal melompat.

Aku mengangkat senapang hendak menembak.

"Jangan!" bapa menegah. "Biar dia mati sendiri akibat lompatannya," kata bapa.

"Tapi, dia masih hidup. Mana ada tupai mati jatuh pokok?" aku berkeras bila melihat Tupai Pinang yang jatuh tidak jauh di depannya termangu dan pening.

"Tak apa, kalau tak matipun, dia akan dukacita seumur hidup kerana pada anggapannya dia tidak akan jatuh betapapun sepuluh kali melompat!"

"Hari ini dia jatuh!"

"Kerana dia di atas dan kerana melompat!" kata bapa dengan ketawa tuanya. Kemudian bapa menepuk bahuku mengajak balik.

Aku masih tidak faham. Apakah masih ada lagi tupai yang suka melompat? Sememangnya tupai suka melompat.

Hari itu aku minta diri pulang mengejut walaupun cuti aku masih ada. Bapa tidak membantah. Bapa hanya tersenyum ketika menghantar aku dengan matanya. Bapa tentu mengerti yang aku masih tidak faham.

"Jangan jadi macam tupai dalam hidup kau!" laung bapa ketika keretaku bergerak.

Aku mengangguk-ngangguk.

No comments: