Pages

Thursday, February 19, 2015

Menebus maruah

Oleh Ezanee Mokhtar

JUMAAT, 29 MAC 1991

Datuk Rahman meletakkan suratkhabar di atas meja apabila terdengar `aturnya' bertalu-talu. Dia mengangkat telefon `Primero' itu dari atas meja.

"Hello," Datuk Rahman bersuara.

"Datuk, harga saham kita jatuh lagi," sahut suara di dalam telefon tanpa memperkenalkan dirinya. Dia kenal benar dengan suara itu, memang tidak perlu lagi pemanggil itu memperkenalkan diri.

"Apa yang Datuk mahu saya lakukan? "tanya orang itu tanpa menunggu reaksi Datuk Rahman.

"Jangan buat apa-apa sekarang. Jangan jual kalau tidak keadaan akan bertambah buruk," Datuk Rahman memberikan arahan. Kemudian dia meletakkan telefon itu kembali ke atas meja.

Nampaknya keadaan semakin buruk sekarang, tambahan pula dengan kejatuhan minyak di pasaran antarabangsa dan kejatuhan nilai dolar Amerika berbanding dengan matawang asing. Hari ini merupakan hari ketiga kejatuhan harga saham syarikatnya. Permadah Berhad yang merupakan sebuah empayar perindustrian sedang dalam bahaya dengan kejatuhan harga saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Semuanya bergantung kepada pasaran saham itu. Kejatuhan akan mengakibatkan kerugian besar bagi pemegang saham dan syarikat. Di samping saham utama di syarikatnya, Datuk Rahman juga banyak memegang saham `peribadi' yang mungkin berjuta ringgit jumlahnya. Semuanya menghadapi bahaya kerugian.

Datuk Zaini sudah menunjukkan kekuatannya. Minggu lepas, Datuk Zaini telah memberi hampir lima peratus saham Permadah. Pemilik Syarikat Melati Holdings itu nampaknya mahu menguasai syarikatnya pula bersama-sama anak syarikat Permadah Berhada. Namun begitu Datuk Rahman masih yakin dia boleh menguasai saham-saham Permadah Berhad. Dengan hak milik lapan peratus saham, tiada sesiapa yang memiliki lebih daripada itu. Pada pendapatnya keadaan agak selamat.

Datuk Rahman yakin tiada siapa yang layak duduk di tempat pengarah eksekutif Permadah Berhad kecuali dia. Syarikat itu diasaskan oleh datuknya. Kini setelah satu generasi berlalu Permadah Berhad menjadi salah sebuah empayar perniagaan terbesar di Malaysia. Dengan aset berjuta-juta ringgit, tidak hairanlah kalau dia mampu memakai kereta besar dan tinggal di sebuah rumah mewah di Bukit Bangsar. Tiap tahun dia melancong ke luar negeri bersama Hanizah, yang merupakan satu-satunya darah dagingnya di dunia ini. Isterinya Datin Sharifah telah lama meninggal dunia kerana penyakit barah. Dia tidak bercadang untuk berkahwin buat kali kedua, oleh itu Hanizahlah saja tempat dia melepaskan kasih sayang.

Kini anaknya yang sudah berumur hampir tiga puluh tahun itu baru sahaja menamatkan ijazah dalam jurusan akauntan dari universiti luar negeri. Baginya, Hanizah perlu dijaga dengan sebaik mungkin.

Isnin, 1 April 1991;

Ahli lembaga pengarah Permadah Berhad mengadakan mesyuarat tergempar di bilik mesyuarat bangunan Permadah di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Pagi itu semua ahli lembaga pengarah runsing apabila berada di dalam bilik mesyuarat. Sebelum ini tiada mesyuarat seperti ini dilakukan. Dengan notis mesyuarat yang pendek kebanyakan mereka terpaksa membatalkan semua temu janji.

Datuk Rahman masuk ke bilik mesyuarat tepat pukul sepuluh pagi. Air mukanya agak serius. Di belakang, Datuk Faizal mengikutnya sambil cuba mengejar langkah Datuk Rahman.

"Saya rasa semua yang hadir sudah tahu tentang kedudukan saham Permadah Berhad di BSKL sekarang ini," Datuk Rahman memulakan ucapan. Semua ahli diam memberi hormat kepadanya, bukan hanya kerana kedudukannya tetapi kerana kebolehannya dalam selok-belok perniagaan. Datuk Rahman mengkagumkan mereka.

"Pagi ini harga saham Permadah dibuka rendah jatuh buat kali kedua dalam 72 jam dan kini harga yang disenaraikan adalah yang paling rendah dalam bahagian pertama tahun kewangan," Datuk Rahman menyusun kata-katanya dengan nada yang agak perlahan. Dia sendiri mula keresahan.

Ahli-ahli lembaga pengarah Permadah Berhad hanya duduk mendiamkan diri. Keadaan bilik itu sepi kecuali oleh suara pengarah eksekutif mereka. Kejatuhan harga saham di pasaran bukannya suatu perkara yang ringan. Kerugian bermakna kerugian mereka juga.

"Saya ingin mendapatkan kelulusan tuan puan sekelian bagi menyelamatkan syarikat ini dengan membeli saham-saham yang disenaraikan bagi mengelakkan kejatuhan harga yang berterusan."

"Bukankah itu melanggar polisi syarikat?" tanya seorang ahli lembaga pengarah sambil merenung tepat ke arah Datuk Rahman.

"Memang ia melanggar polisi syarikat ini, tetapi kita harus fikirkan jika kejatuhan harga berterusan, kemungkinan keseluruhan syarikat ini akan terjejas. Saya rasa syarikat ini mampu menanggung perbelanjaan tersebut."

Semua ahli lembaga pengarah menganggukkan kepala. Tiada sesiapa yang membantah malah mereka menyokong tindakan pengarah mereka.

"Buat pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan sekelian, Datuk Zaini dari Melati Holdings sudah membeli saham Permadah Berhad sebanyak lima peratus," Datuk Rahman berhenti seketika sambil memerhatikan ahli lembaga pengarahnya berbisik antara satu sama lain. Datuk Rahman mengambil kesempatan meneguk air dari gelasnya dan peluh mulai kelihatan di dahinya.

"Kita semua di dalam bilik ini merupakan pemilik-pemilik saham terbesar syarikat termasuk saya dengan memiliki lapan peratus. Dengan itu saya meminta agar tuan-tuan dan puan-puan tidak menjualkan saham tuan-tuan dan puan-puan tanpa pengetahuan saya kerana saya tidak mahu kejatuhan harga saham di pasaran."

Semua yang ada di dalam bilik itu tahu maksud sebenar Datuk Rahman berkata begitu. Semua orang tahu jika Datuk Zaini dapat mencari tiga atau empat peratus saham syarikat dan menjadi pemegang saham terbesar Permadah Berhad, sudah tentu kedudukan Datuk Rahman sebagai pengarah eksekutif tergugat. Walaupun kejatuhan harga mungkin berlaku jika Datuk Zaini menjualkan keseluruhan sahamnya namun itu bukan perkara pokok yang ditakuti oleh Datuk Rahman.

Mesyuarat tergempar itu mengambil masa tidak sampai sepuluh minit.

Datuk Zaini bin Datuk Hanifah bukannya orang sebarangan yang sanggup menghabiskan berjuta-juta ringgit dengan membeli saham syarikat lain walaupun dia mempunyai syarikat sendiri yang perlu diuruskan. Malah ini semua bukannnya soal duit atau soal perniagaan, tetapi soal maruah yang harus ditebus. Antara keluarga Datuk Zaini dan Datuk Rahman sudah wujud, walaupun suatu masa dahulu, Datuk Hanifah merupakan rakan kongsi yang memiliki syarikat Imbi Holdings, sebuah syarikat Melayu terbesar di rantau ini. Datuk Rahman dan Datuk Hanifah merupakan rakan kongsi yang pandai berniaga sehinggalah mereka mendapat keuntungan besar. Namun kerana sifat tamak, ayahnya telah dituduh menggelapkan wang syarikat sehingga dia dipenjara selama tiga tahun. Datuk Rahman lantas menukarkan nama syarikat kepada Permadah Berhad dan memegang majoriti saham syarikat.

Setelah tiga tahun berlalu, ayahnya keluar dari penjara dengan hanya mendapat sebahagian kecil daripada hakmilik Imbi Holdings. Siang malam dia bertungkus lumus membenarkan perniagaannya sehingga terbina Melati Holdings yang ada sekarang. Kini Datuk Hanifah telah meninggal dunia dan fitnah yang ditaburkan oleh Datuk Rahman belum terpadam. Di mata masyarakat, keluarganya dianggap sebagai penjenayah dan mereka sangka bahawa segala harta yang dipunyai oleh keturunan ini adalah dari perbuatan penipuan.

Datuk Zaini yakin bahawa dengan memiliki lima peratus saham Permadah Berhad, Datuk Rahman akan mulai merasakan kedudukannya tergugat. Wang berjuta ringgit yang digunakan untuk membeli saham Permadah Berhad tidak sia-sia. Kini, dia yakin segala dendamnya akan terbalas. Dia mahu Datuk Rahman merasakan betapa pedihnya hidup dalam buangan. Dia mahu Datuk Rahman sedar bahawa wang bukan segalanya dalam dunia ini. Orang seperti Datuk Rahman akan tergugat. Orang seperti Datuk Rahman bukan senang untuk dikalahkan. Dia mempunyai pengaruh besar. Namanya memang terkenal bukan sahaja di kalangan ahli perniagaan tetapi juga di kalangan ahli politik.

Datui Zaini juga tahu belum tentu nama ayahnya dapat dibersihkan dengan mudah. Sudah tentu orang tidak akan mempercayai perkara yang sebenarnya memandangkan Datuk Rahman merupakan salah seorang yang dikenali dan disegani.

Cuma dua perkara yang Datuk Zaini mungkin lakukan: Menjualkan keseluruhan saham Permadah Berhad yang dimilikinya atau membeli lagi empat peratus saham dan menjadi pengarah eksekutif dalam Syarikat. Senarai pemegang saham terbesar ada di tangannya. Sudah berkali-kali dia meneliti senarai itu dan padanya tiada sesiapa daripada ahli lembaga pengarahnya yang akan belot dan menjualnya kepada Datuk Zaini. Kini dia yakin bahawa Datuk Zaini akan menjualkan sahamnya dan menyebabkan kejatuhan harga yang begitu besar. Tentunya Datuk Zaini akan menjual sekarang semasa harganya di pasaran rendah dan akan menjatuhkan lagi harga saham. Dia tidak tahu sejauh mana harga saham akan terjejas tetapi secara kasarnya dia mungkin kerugian berjuta ringgit.

Brokernya telah diberitahu. Jika Datuk Zaini mulai menjual dia akan membeli. Syarikat akan terselamat. Dia tidak mahu kalah dalam permainan ini, walaupun pada dasarnya dia merasakan dirinya tergugat. Sesiapapun yang berada dalam keadaan sepertinya pasti akan tergugat. Maruahnya sedang dalam pertaruhan.

Isnin, 8 April 1991

Datuk Rahman kelihatan tenang di dalam biliknya, dia baru sahaja menerima panggilan telefon dari Razali yang mengatakan harga saham Permadah Berhad semakin meningkat dan mungkin akan terus meningkat. Buat pertama kali dalam bulan ini dia tidak lagi perlu risau. Buat kenaikan harga saham itu dua perkara sudah tentu tidak akan berlaku; Datuk Zaini tidak mungkin akan dapat membeli saham-saham kerana harganya sudah naik dan jika dia menjualkan semua sahamnya, kejatuhan harga mungkin tidak seteruk mana. Kali ini berjaya juga dia mengatasi Datuk Zaini. Seperti dalam suatu permainan, kadang-kadang kita dikejar dan kadang-kadang kita mengejar.

Selasa, 9 April 1991

Telefon diletakkan di atas meja. Datuk Rahman kelihatan resah dan runsing. Datuk Faizal yang ada di sisinya menyedari perubahan air muka pengarahnya, namun dia tidak berani bersuara.

"Zaini sekarang mempunyai tujuh peratus saham Permadah," Dia berkata dengan tenang. Perasaan resahnya cuba disembunyikan. Apa yang ditakutinya sudah berlaku dan Datuk Zaini tidak mungkin akan berundur sehingga ke penghabisan.

Dia memandang sahaja Datuk Faizal yang terperanjat. Datuk Faizal juga memikirkan perkara yang sama.

Siapa?

Siapa di antara ahli lembaga pengarah yang menjualkan sahamnya kepada Datuk Zaini?

"Apa yang hendak Datuk lakukan?" Datuk Faizal bertanya.

"Entahlah. Kalau aku tambahkan saham-sahamku, lambat laun dia juga akan dapat mencari jumlah yang sama. Semuanya bergantung kepada ahli mereka, sekurang-kurangnya aku tidak tersingkir, tetapi jika sebaliknya, habislah aku," Datuk Rahman berkata dengan nada perlahan.

"Datuk sudah lama di syarikat ini, mustahil lembaga menyingkirkan Datuk," Datuk Faizal menyuarakan pendapatnya untuk menenangkan hati Datuk Rahman. Sebolehnya dia mahu menyelamatkan pengarahnya dari tersingkir. Sepuluh tahun dia bersama Datuk Rahman, dan selama itulah dia amat hormat dan mengkaguminya. Walaupun dia tahu tentang fitnah Datuk Rahman terhadap Datuk Hanifah, namun dia rasa orang yang di depannya itu sudah menyesal akan perbuatannya.

Dalam hati Datuk Rahman, dia merasakan bahawa sokongan ahli lembaga amat kurang kerana kebanyakan orang baru yang tidak bersama syarikat dari awal. Kebanyakan mereka masih muda dan memegang saham yang ditinggalkan oleh bapa-bapa mereka yang kaya. Mereka lebih mementingkan diri sendiri, tidak seperti generasi mereka yang sudah.

"Apa harapan aku kalau aku kaluar dari syarikat ini?" Datuk Rahman bertanya setelah lama mendiamkan diri.

Datul Faizal hampir terperanjat mendengar soalan itu tetapi masih boleh memberikan jawapan.

"Kalau mengikut polisi syarikat, Datuk akan tetap menerima elaun kira-kira sepuluh ribu sebulan kerana majoriti saham masih Datuk miliki. Datuk juga berhak menyimpan saham-saham Datuk dan pertambahan saham setiap tahun."

"Syarikat Permadah Berhad tetap milik Datuk dan keturunan Datuk," tambah Datuk Faizal.

Datuk Rahman agak kecewa dengan kenyataan Datuk Faizal. Dia tahu lebih penting baginya. Dia tidak mahu Permadah Berhad mendapat nama buruk jika dia tersingkir. Biarpun sesiapa sahaja yang akan menjadi pengarah eksekutif syarikat, walaupun Datuk Zaini, kerana dia tahu bahawa Datuk Zaini juga akan terus membawa kemajuan keapda syarikat. Tetapi dia tetap kecewa jika hanya melihat kemajuan syarikat dari luar. Hampir suku abad dia bersama syarikat ini, mungkin sudah masanya dia bersara, hanya kalau boleh bukan dengan cara ini, tetapi kepada kerelaanya untuk meninggalkan kerusi pengarah.

Isnin, 15 April 1991

Ahli Lembaga Pengarah Permadah Berhad mengadakan satu lagi mesyuarat tergempar di bilik mesyuarat. Hampir semua ahli Lembaga Pengarah yang hadir tertanya-tanya mengenai agenda yang akan dibincangkan. Setahu mereka harga saham sudah naik dan stabil dan tiada pula masalah besar yang perlu pemerhatian segera lembaga pengarah.

Ada khabar angin mengatakan bahawa Datuk Rahman hendak bersara, tetapi tiada sesiapa pula yang mengatakan kenapa. Sejak seminggu yang lalu, Datuk Rahman memang jarang kelihatan di pejabat tetapi itu tidak menampakkan apa-apa kelainan. Memang kebiasaan Datuk Rahman ke sana ke mari melihat kemajuan anak syarikat di bawah bumbung Permadah.

Ahli lembaga pengarah yang sedang berbual mendiamkan diri apabila Datuk Rahman masuk. Hanya setiausaha peribadinya yang mengekorinya dari belakang. Ke mana Datuk Faizal? Kebiasaannya Datuk Faizal sebagai orang kedua hadir di setiap mesyuarat dan ketiadaanya menambahkan lagi tanda tanya di kalangan lembaga pengarah.

Setiausaha peribadinya menyatakan bahawa mesyuarat akan dimulakan selepas ketibaan Datuk Faizal. Datuk Rahman duduk di kerusinya dan mendiamkan diri. Air mukanya kelihatan tenang. Sekali sekala dia akan memerhatikan jam tanganya seperti orang yang menunggu sesuatu. Sepuluh minit kemudian Datuk Faizal masuk dan terus menyampaikan sampul surat kuning sebesar kertas kuarto kepada Datuk Rahman. Dia terus membaca kandungan dan memulakan mesyuarat.

"Pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terhadap lembaga pengarah pada hari ini dan saya minta maaf jika ada di antara kita yang terpaksa membatalkan `appointment' dengan pelanggan," Ucapnya ambil memandang ahli lembaga pengarahnya seorang demi seorang.

"Tujuan sebenar mesyuarat ini diadakan adalah bagi membincangkan suatu perkara yang agak penting bagi syarikat ini," Katanya terhenti apabila Datuk Faizal menghulurkan beberapa helai kertas kepadanya.

"Datuk Zaini bin Datuk Hanifah kini telah mempunyai sembilan peratus saham Permadah Berhad dan dia kini merupakan pemegang saham terbesar."

Ahli lembaga pengarah yang lain berpandangan antara satu sama lain. Dalam hati mereka mungkin timbul tanda tanya; siapa yang telah menjual saham kepada Datuk Zaini.

"Apa yang menjadi pokok di sini ialah kedudukan saya sebagai Pengarah Eksekutif Permadah Berhad. Oleh kerana Datuk Zaini adalah pemegang saham terbesar maka seperti yang tuan-tuan dan puan-puan maklum, dia berhak menjadi pengarah menggantikan saya. Tetapi, saya mengharapkan sokongan tuan-tuan dan puan-puan sekelian agar saya kekal sebagai pengarah," Datuk Rahman kelihatan dalam keadaan kecewa memandang Datuk Faizal bagi meneruskan mesyuarat.

"Mengikut polisi syarikat, jika Datuk Rahman mendapat undi dua pertiga daripada lembaga pengarah maka dia akan kembali kekal sebagai pengarah. Saya secara terbuka menyokong Datuk Rahman kerana dia merupakan pengasas syarikat ini. Hampir dua puluh tahun dia membina syarikat ini dan sekarang bukan masanya kita semua mengecewakan dia setelah kemajuan yang dibawanya kepada Permadah," Datuk Faizal berhenti memberikan ucapannya dan mengedarkan kertas undian.

Datuk Rahman terus bangun dan meninggalkan bilik mesyuarat dengan diekori oleh setiausahanya. Dia tahu bahawa tiada gunanya lagi dia duduk di dalam bilik mesyuarat itu. Dia kembali ke pejabatnya dan memandang ke tingkap, ke arah bandaraya Kuala Lumpur.

Dari tingkat 19 Bangunan Permadah itu kelihatan Dataran Merdeka yang menjadi tumpuan manusia di waktu malam. Bendera Malaysia kelihatan berkibar apabila ditiup angin.

Dia merasakan amat terharu. Dia dapat merasakan bahawa lembaga pengarah akan menolaknya daripada menjadi pengarah tetapi siapa yang akan menggantikannya dia masih tidak pasti. Dia mahu penggantinya di Permadah seorang yang berwibawa.

Kebanyakan ahli lembaga pengarah telah membuat keputusan mereka sendiri sebelum mesyuarat itu. Ahli lembaga pengarah tidak mahu pertelingkahan peribadi Datuk Rahman mengganggu dan merosakkan organisasi syarikat. Jika mereka menyokong Datuk Rahman, Datuk Zaini mungkin bertindak menjualkan kesemua sahamnya dan harga saham mungkin jatuh. Mereka akan rugi.

Lamunan Datuk Rahman terhenti apabila Hanizah masuk. Dia memakai baju kurung sutera bewarna biru dan membawa sekeping sampul surat yang agak besar. Hanizah berdiri di sisi bapanya sambil melihat ke arah bandaraya Kuala Lumpur. Tidak ada apa yang diucapkan. Dia tahu bapanya dalam kesusahan, tetapi dia berjumpa ayahnya ini juga atas sebab yang sama. Dia tahu bahawa ayahnya tidak akan memegang jawatan pengarah bagi syarikatnya. Dia tahu bapanya dalam kesusahan, tetapi dia berjumpa ayahnya ini juga atas sebab yang sama. Dia tahu bahawa ayahnya tidak akan memegang jawatan pengarah bagi syarikatnya. Dia juga sudah tahu tentang Datuk Zaini yang kini menyingkirkan ayahnya dari jawatan tersebut. Surat kepadanya daripada Datuk Zaini memang telah diduga tetapi kandungannya amat berlainan sekali daripada apa yang dijangkakan.

"Ayah," Hanizah memanggil Datuk Rahman dengan nada perlahan.

"Kenapa Hani?" Datuk Rahman bertanya sambil merenung ke arah anak tunggalnya.

"Hani ada menerima surat dari Datuk Zaini ayah," Katanya dengan agak serba salah. Dia tidak mahu menyebabkan ayahnya marah atau bertambah sedih.

Datuk Rahman diam tanpa berkata apa-apa dan kembali melepaskan pandangannya ke arah luar tingkap. Dia sudah bosan mendengar nama itu.

"Datuk Zaini mahu Hani menjadi Pengarah Eksekutif Permadah," Hanizah berkata dengan ringkas apabila melihat ayahnya diam sahaja.

"Ayah sudah tahu Hani," Datuk Rahman tidak terkejut. Surat yang diterimanya juga mengandungi isi yang sama. Dia sudah bersedia untuk menerimanya. Kenapa pula si Zaini mahu anaknya menggantikan tempatnya.

"Tapi kenapa? Ayah tak faham," Tanya Datuk Rahman.

"Panjang ceritanya ayah," Hanizah berkata sambil kembali memandang ke arah luar. "Hanizah mengenali Datuk Zaini sejak di luar negeri." Dia berhenti sambil membetulkan rambutnya. "Dia memang seorang yang baik hati, tetapi sewaktu dia tidak mengenalkan dirinya sebagai anak Datuk Hanifah. Hani hanya kenal dia sebagai seorang anak pendidik. Apabila Hani lihat dialah orang yang sama membeli saham Permadah, Hani cuba menghalangnya. Zaini telah menceritakan segalanya tentang ayah dan Datuk Hanifah." Hanizah berhenti meneruskan ceritanya seketika lantas mengambil sehelai kertas dari sampul surat yang dibawanya.

"Datuk Zaini mahu ayah menandatangani surat ini atau dia tidak akan melepaskan jawatan Pengarah Eksekutif kepada Hani."

Dia mencapai surat itu dan terus duduk di mejanya.

Datuk Rahman menandatangani surat itu dengan penuh rela. Dia tahu dia bersalah dan inilah balasannya. Datuk Rahman kini sedar bahawa dia sudah tewas. Segalanya sudah berakhir.

Surat itu merupakan surat pengakuan yang mengatakan bahawa Datuk Hanifah tidak bersalah dalam menggelapkan wang syarikat dua puluhan tahun yang lalu dan apa yang sebenarnya berlaku hanyalah satu fitnah Datuk Rahman semata-mata. Datuk Zaini bukannya orang yang begitu tamak mahukan hartanya. Dia hanya mahu menebus kembali maruah keluarganya. Hanizah menjadi pengarah hanya sebagai alasan bagi menjatuhkan Datuk Rahman.

Surat itu boleh membersihkan nama Datuk Hanifah dan keluarganya. Surat itu merupakan penamat bagi segala dendamnya.

No comments: