Pages

Friday, February 06, 2015

Semusim

Oleh Hasidah Disan

"LAILA..."

Lantunan sebuah suara dalam bisik malam yang lembap. Perlahan kuangkat mata, mencari siapakah yang begitu berani memetik kuntum namaku.

"Laila...," diulangnya lagi. Kali ini sukmaku bergetaran, bila dengan spontan nada itu menusuk masuk ke batinku. Bukankah suara itu pernah kudengar dulu? "Dulu, pada suatu ketika yang sudah lama cuba kulupakan, yang kurasa tidak mungkin kudengarkan lagi. Tetapi kehebatan apakah malam ini dengan tiba-tiba suara itu muncul semula.

Kelopak angin terbuka. Serpihan bintang bertaburan. Kupandang ke langit yang polos, sebelum kucari semula arah datangnya suara dalam lipatan malam yang kian terhimpit. Tetapi jika benar suara itu yang datang, apakah aku ini tidak salah, atau tidak berkhayal.

Kudengar suara tapak kaki bergeser di atas pasir. Pantas mataku menangkap sebuah tubuh yang mulai mendekatku, jelas dapat kupandang wajah itu. Cahaya neon dengan terangnya melimpahi sekitar, membuat kami saling mengenali. Aku meletak selendang ke atas kepala secepatnya.

"Kau cemas," sapanya jujur, sedang aku sendiri tidak dapat menyembunyikan gusarku. "Aku tahu, aku tidak bermimpi berdepan denganmu, Laila," dia berterus terang. Alunan suaranya membuat aku tambah yakin, memang dia!

Semerta tubuhku gementar. Hujung jariku lebih dingin daripada angin malam yang lewat di antara kami. Gementar yang sama sewaktu pertama kali kami bertemu. Ketika masih anak belasan tahun. Cuma detik indah itu telah lama runtuh kerana nasib dan darjat yang berbeza, selain takdir yang menentukan demikian.

"Setelah bapamu membawa kau pergi jauh, aku ikut meninggalkan kampung halaman tempat kita bermain. Untuk menjejaki bayangmu memang aku tidak mampu, tetapi aku sedar dan bertanggungjawab atas perbuatanku. Seluruh dunia tahu bahawa akulah si gila itu, majnun!" Nafasnya dihela, berat sekali. Menyedarkan aku betapa lelaki ini berkata tulus. Aku dapat menangkap kejujuran pada kata hatinya. Dan apa yang diucapkannya bukan dari syair-syairnya yang mengkhayalkan.

"Aku tahu kau tidak akan menghukum aku seberat apa pun, bukan?" Tidak terdaya kulepaskan jawapan, meskipun hanya dengan anggukan kepala. Kupandang dia dengan berani.

"Sikap bapamu cukup menyakitkan, tetapi akhirnya menampakkan kebodohanku, Laila. Aku berusaha tapi bukan untuk menjadi saudagar dan menebus maruah cinta kita yang pernah bapamu injak! Memang aku gila, Laila, kalau kau tidak seperti aku, itu lebih baik kerana gila itu penyakit yang amat seksa!"

Pengakuannya mempamerkan kelukaanku. Luka yang kutanggung dan kubawa bertahun-tahun lamanya. Terlalu lama sudah. Tetapi ia tetap tidak, sembuh kecuali di kulitnya yang tanpak bersahaja.

Peristiwa itu terlalu besar dan bersejarah. Terasa dunia mengenali kami, malah baru aku sedar yang selama ini, aku hanya kenal bapaku secara luaran saja. Lalu aku tunduk kepada keangkuhan pegangannya.

Bapa mahu mempertahankan kedudukannya di mata masyarakat. Aku menjadi boneka di tengah-tengah pegangan hidupnya. Bapa percaya bahawa aku akan memasuki belukar hidup jika meneruskan niatku. Dan aku juga percaya bahawa bapa tidak akan beralah dengan sesiapa pun! Bapa tidak yakin ada seseorang yang mampu membahagiakan anaknya, kecuali dengan cara dan pilihannya diri. Tetapi bapa terus menerus mengisi gelas minumanku dengan harapan yang amat pahit. Dan aku menyusun harapan itu seperti timbunan pasir.

Bapa meninggalkan aku dan ibu di pinggir kota, meneruskan usahanya di sebuah pelabuhan dekat Laut Merah. Sesekali bapa pulang untuk berada bersama kami, sesekali yang seringnya merenggangkan hubungan keluarga itu.

Ibuku pula mengisi kekosongan dalam hidupnya dengan lebih banyak mendekati Tuhan. Dan, akulah teman akrabnya dalam apapun suasana.

Suatu saat pernah kumenduga ibu, bagaimana jika bapa telah menikahi perempuan lain. Jawab ibu, perkahwinannya dipenuhi dengan perasaan yang amat menyakitkan, namun tidak ada perkataan tidak yang pernah ibu katakan untuk mempertahankan haknya sebagai isteri. lbu selalu rela.

"Ditakdirkan Tuhan, Laila, aku sering berurusan dengan bapamu?" Kutelan sesuatu yang pahit dan keras. "Laut Merah menjadi saksi, Laila. Aku menguruskan export dan import, tanganku inilah yang mengerjakan berapa banyak tamar bapamu masuk ke pelabuhan. Bapamu memang hebat, aku tidak menyangka bahawa aku dapat berdepan, berbicara dan tertawa dengan orang yang pernah menghinaku, membunuh jiwaku. Sampai saat kematiannya, dia tidak tahu."

Tapi kau tidak tahu bahawa kekayaan itu belum dapat mengubat penderitaan ibuku. Aku tahu, bapa melupakan kami. Ibukulah perempuan yang paling terseksa, tetapi airmatanya tidak tumpah di depan mataku.

"Laila, apakah tidak sudi kau bercakap denganku?" Kuamat-amati wajahnya, dia seperti berjauh hati, walaupun ada senyum di bibirnya. Matanya redup dan melukiskan perasaannya yang sebenar.

Bibirku sendiri terketar, bukan suara yang keluar, melainkan serba salah dan cemas yang memberat. Memang tidak wajar kubiarkan dia sendiri berbicara, sedangkan aku berdiri di depannya.

Apakah laut harus diam sepanjang kehadirannya. Apakah langit turut terdiam sehingga seisi alam serasa dingin oleh perasaanku yang mengecil. Bukankah ada gelora dan badai mendera menghukum pantai semahunya. Bukankah ada mendung pekat dan awan berarak mewarnai biru langit yang lebih banyak hitamnya.

"Entahlah Laila, hatiku mendesak tetapi mulutku tidak berani bertanyakan engkau pada bapamu. Aku berusaha ke sini memang untuk menemuimu, di samping bertemu ibumu sekiranya kalian mahu tahu siapa bapamu yang sebenar."

"Jangan Hais!"

Dia seperti ingin meneruskan bicara. Tapi dua patah kata yang terpantul dari mulutku membuatkan dia terdiam. Kami berpandangan.

"Aku tidak ingin tahu apa-apa tentang bapaku, simpanlah ceritanya di hatimu. Sebenarnya, ibuku sudah lama pergi, dia menderita ... dia meninggal lama sebelum bapaku."

Kelihatan dia tergamam sambil menyambutnya dengan ucapan Innalilllah...

Aku tunduk. Ada orang lewat di sebelah kami. Sebenarnya aku tidak mahu dia terlihat mataku yang basah. Basah oleh pukulan ingatan yang datang dengan pantas.

"Laila, memang aku berdosa kepada seseorang kerana menemuimu di sini tanpa seizinnya. Esok, barangkali aku telah jauh, aku minta kau faham. Tetapi aku tetap berterima kasih kerana menemuimu, Laila."

"Siapa yang kau maksudkan?"

"Suamimu."

Aku diam memanjang. "Kenapa Laila?" Berat untukku menerangkan keadaan ini.

"Aku tidak pernah berkahwin dengan sesiapa, Hais!" Dia beristigfar. Mematahkan jemari. Gusar dan resah berhamburan di wajahnya. Tak percayakah dia.

"Kau? Kau tidak bohong, Laila?"

"Tidak, Hais!"

"Jadi kau tinggal sendiri?"

"Tak, aku menumpang dengan orang yang sudi menerimaku. Malah sanggup memberiku kasih sayang."

Dia diam.

"Aku menjangka kau bersuamikan saudagar kaya seperti bapamu. Yang memagarimu dengan emas permata dalam istana besar. Yang tak membenarkan kau berkeringat di dapur. Yang tak akan membiarkan tapak kakimu memijak debu sekalipun." Ungkapan itu menyesakkan dadaku.

"Itu hanya dongengan bapaku, Hais. Ah, kau terlalu dibebani kisah silam. Betapa berat kau tanggung!"

"Tetapi itu satu-satunya nikmat yang menyeksakan, Lalla!"

"Kenapa mesti esok kau pulang?"

"Aku tidak kembali ke Laut Merah, tapi akan terus ke utara."

"Di kota ini hampir dipenuhi orang-orang dari sana, kenapa kau mesti menggadai nyawamu. Kau lupa pada Laut Merahmu?"

"Tidak."

"Bertahanlah dulu di sini, sampai peperangan tamat."

"Aku sudah tua, Laila."

"Kenapa mesti menyusahkan diri?"

"Laut Merah telah mengembalikan jiwaku. Cukuplah. Aku ingin ke sana untuk menyatukan jiwaku dengan penderitaan orang yang sebangsa denganku, dengan kita."

"Kau sudah tak berdaya memikul senjata!"

"Tapi tanganku masih mampu merawat dan menghulur pertolongan."

"Kau sepatutnya berada di masjid sebab peluru tak memilih mangsanya."

"Aku tidak akan tenang dalam masjid, kerana jiwaku selalu diseru ke sana. Aku ingin membersihkan darah yang tumpah ke bumi. Aku ingin memberikan kasih sayangku pada mereka yang malang. Aku ingin memberikan mereka cita-cita. Aku tidak mahu mereka hilang keyakinan seperti aku dulu."

"Tapi tindakan itu bahaya, Hais!"

"Apa kau tidak mendengar rintihan saudara kita? Aku tidak rela mereka mati dalam kesakitan. Aku tak tahan mendengar tangis mereka."

"Tak adalah cara lain, Hais?"

"Laila ... Belum ada seorang pun yang pernah menghalang setiap tindakanku kecuali engkau. Kau tahu, aku pernah muda tapi masa mudaku telah terbiar begitu saja. Aku sebenarnya ingin membayar hutangku terhadap bangsaku, walau pun aku telah tua!"

"Ya, kau benar tapi aku yang menyebabkan nasibmu begitu malang dan buruk sekali!"

"Jangan rasa bersalah, tapi berilah kemenangan pada jiwamu, jangan kalah pada perasaan."

"Belum ada satupun yang mampu membebaskan perasaan cemasku, semua impian indahku telah runtuh seluruh, sehingga ada suatu saat, aku tidak punya apa-apa. Aku sendiri tidak menduga begitu besarnya perasaanku terhadapmu sehingga ada suatu saat, aku tidak punya apa-apa. Aku sendiri tidak menduga begitu besarnya perasaanku terhadapmu sehingga melampaui usiaku sendiri."

"Laila ....Musim itu telah lama berlalu!"

Cepat-cepat kuseka airmata, kufikir bahawa airmata begini tidak akan meluncur lagi, setelah semuanya melimpah ketika dulu. Tangisanku telah banyak, sehingga aku tidak pernah menitiskan airmata, sampailah pada malam tak tarduga ini.

"Tak bolehkah kauubah keputusanmu, Hais?"

"Sejak bahang perang meletus, hatiku turut terbakar, Laila. Bagaimana dapat kuubah keputusan yang didesak oleh hati kecil?"

"Perang belum tahu tamatnya, apakah kau akan terus menunggu, perniagaanmu nanti terbiar."

"Memang aku sendiri tak pasti bila perang akan berakhir. Ah, biarlah selama mana ia berlarutan, aku akan menunggu. Sebenarnya, syarikat milikku telah kuserahkan pada pembantuku, biarlah dia meneruskan semuanya. Kau khuatir aku mati tak makan?"

"Engkau sudah tua, Hais, kau mesti ingat itu."

"Apalah mahu dirisaukan tentang ketuaan begini, kesusahan dan kematian bagi orang tua, sesuatu yang biasa bukan?"

Mengapa Hais keras hati begini! Tetapi siapalah aku untuk menghalangnya, sedang memujuk pun aku kalah!

"Apa yang mahu kau buat?"

"Apa saja, Laila! Kalaulah tanganku tidak layak untuk membantu mereka, aku akan berdoa saja. Tak pernah kufikirkan apa yang aku dapat nanti, telah kuserahkan hati ini kepada Tuhan."

Wajahnya nampak puas dengan jawapan itu. Cuma aku yang terpaksa akur, masih cuba mencari sebab yang jitu, mengapa Hais bertindak demikian. Apakah sungguh dari nawaitu hatinya. Ataukah sudah memang begitu hidup yang terpilih buatnya.

"Kapan kau mahu berangkat?"

"Dini hari!"

Aku mengeluh lesu. Bukankah angin malam sejuk tak peduli sesiapa pun. Menerjah garang, menggigit kulit sampai ke tulang sumsum. Jalan gelap. Bintang pun terlalu jauh untuk menerangi. Unta akan kelelahan. Terdayakah kafilah berlepas pergi!

"Kau harus ingat, yang kaudepani sekarang, bukan si majnun yang cuma tahu merintih dalam syair, yang tidak dapat menerima kepedihan dan membiarkan masa mudanya musnah di tepian jalan. Itukan kisah silam kita, yang kau sendiri telah tahu. Laila ... Hais yang berada di depan matamu sekarang, sepuluh kali ganda menjadi Hais yang terbaik! (Dia diam sejenak, berfikir). Ah ... Itu sekadar omonganku, manusia tak serba sempurna bukan? Tapi aku tahu, engkau selama-lamanya wanita yang begitu baik, Laila! Engkau tak sepatutnya derita, kalau tidak kerana cinntaku yang membuta tuli ... Kau tentu berada di syurga yang baik, maksudku, kau berhak merasa syurga dunia. Aku percaya itu, Laila!"

"Tetapi penderitaan ini juga suatu nikmat, mana tahu, kalau aku berada di tempat yang kau katakan, mungkin engkau akan mencemuhku."

Mungkin terkejut mendengar penjelasanku, kedua keningnya terangkat. Kehairanan tapi tidak menafikan. Tapi dengan senyum tipis dia lalu, bicara, "kau Laila ... Bukan saja berwajah cantik, malah mindamu juga cantik. Matafikirmu tajam, setajam matamu."

"Hais! Ingat, aku sudah tua!"

"Iya tua ... Setiap kali aku termenung di pinggir Laut Merah, aku merasa betapa malu pada dunia, malah pada diriku sendiri. Kerana orang tahu bahawa Hais memiliki kehebatan cinta, hanya itu, betapa baik kalau yang kutinggalkan adalah lambang kekuatan jiwa seorang muda. Selalu kubayangkan, andainya kehidupan ini berulang sekali lagi, aku tidak mahu memilih sedemikian lagi. Betapa buruknya cintaku!" Kepalanya sedikit tergeleng, sebuah kesal yang bersungguhan.

Aduh bulan dan bintang, aku tidak ingin berbicara persoalan yang seberat begini, malah seumur, hidupku memang tak pernah aku mengenang kembali masa-masa pedih. Seperti garangnya, hempasan air terjun, di situlah sudah kucampak-kan semuanya. Aku hanya memilih untuk menerima segala yang buruk dan baik.

"Bukankah itu rumahmu? Di sebelah masjd, depannya tanah pusara?"

"Bagaimana kautahu?"

Lantas dia tertawa, sedikit tapi senyumnya nampak bercahaya.

"Itukan rumah yang kau impikan, apa kau lupa?"

Kiranya bibir ini pernah berangankan mahligai demikian! Sungguh telah kulupai, tetapi dia peggingat. Tetapi memang, memang tertanam, dihatiku untuk menempatkan rumahku bersebelahan rumah Allah. Tidak lain agar suara muazin bisa terus menyelinap bukan saja ke dalam sanubari, malah meresap juga kepada isi rumahku. Aku tidak mahu lalai. Akan kubiar hidupku dikelilingi keindahan, indah mengucapkan nama Yang Maha Berkuasa itu. Malah kuburan itu, kuambil iktibar pada setiap batu nesan yang teguh, meskipun ada yang kian rapuh. Aku juga akan pergi ke alam fana.

Sehingga Hais meminta diri, menyusup terus ke dalam masjid, aku masih terpaku memandangnya di antara puluhan manusia yang beresak-sesak. Seakan masih bercakap-cakap dan berdepan aku dengannya. Bintang masih lagi mengerdip hingga ke tebing-tebing langit. Angin malam bercampur rasa cemas, membuat sepuluh jari tanganku dingin dan kaku.

Aku seperti kau juga, wahai Hais, ingin untuk menebus maruah cinta remaja kita yang terbang bagai abu. Hanya keinginan saja, sedang jarum usia tak membenarkan kita kembali mencari permulaan kerana mati juga sebuah pengalaman" yang sedang memanggil.

No comments: