Oleh Ashaari Muhammad
SUDAH dua minggu langit menebal dengan awan hitam pekat. Ayah sudah mulai gelisah. Di desa itu rumah kamilah yang paling besar. Rumah zaman dahulu dari jenis berbumbung lima. Terbuat daripada kayu cengal tua dengan pertukangan secara tradisi. Sambung-menyambung tidak menggunakan paku, tetapi menggunakan pasak.
Awan tebal hitam pekat yang terus menyerkup angkasa sekitar desa kami dan desa-desa lain yang berdekatan telah melampaui minggu yang ketiga. Gelisah ayah semakin hebat.
Rumah kami terletak di tepi sungai. Ini yang membuatkan ayah gelisah. Ayah sangat bimbang kalau-kalau banjir besar akan melanda. Khabar-khabar yang dibawa balek oleh teman-teman ayah yang pergi mencari buluh di sebelah hulu, seperti Kuala Balah, Kemubu, Pahi dan lain-lain menjadikan ayah semakin cemas. Kata mereka hujan turun bagai 'tidak celik mata' di sebelah hulu negeri. Pak Chu Maamin dan Abang Kob yang baru balek dari Dabong dan Gua Musang pun membawa khabar yang serupa.
Pagi itu hujan mula mencurah dengan lebatnya di sekitar desa kami. Selepas mengaji ayah meminta aku mengikutnya ke dusun. Aku dapat merasakan bahawa tentu ada sesuatu yang mustahak. Dan aku juga dapat merasakan bahawa ada kerja yang ayah hendak buat di dusun.
Dari pagi ayah mula mengasah kapak dan kelewang.
"Nampaknya nak bah besar tahun ni", kata ayahku. "Kalau tengok cuaca tu rasa-rasanya bah besar benar," sambung ayah lagi. Aku bersila di depan ayah yang masih tekun mengasah kapak. Sekali-sekala ayah menguji ketajaman mata kapak dengan kukunya. Bila sudah puas hati dengan ketajaman mata kapak, ayah lantas menguji-uji mata kelewang pula.
"Kita kena buat rang", kata ayah kepadaku. Mendengar kata-kata itu baru aku mengerti tujuan ayah yang sebenar mengajak aku menolongnya ke dusun.
Aku masih ingat benar ketika itu usia ayah di sekitar 40-an. Walaupun usia sebenar ayah aku tidak tahu. Tapi ayah pernah mengatakan kepadaku bahawa tahun kelahirannya sama dengan tahun kelahiran Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama negara kita.
Rumah kami akan terdedah kepada arus air yang deras sekiranya banjir benar berlaku. Kerana rumah itu terletak di atas sebidang tanah yang luas. Pagar sasak buluh di sekeliling kawasan tapak rumah sudah lusuh. Tentu akan berkecai apabila diterjah air yang deras.
Sepagi suntuk ayah menebang anak-anak medang di di dusun. Ayah pilih pokok-pokok yang batangnya sebesar betis. Sebelum waktu asar ayah dengan pertolonganku telah mengumpul seberkas anak medang yang sekira-kira cukup untuk membuat rang di sebelah hulu halaman rumah kami.
Ayah menunjukkan kepadaku arah arus yang akan menerjah apabila banjir berlaku. Jadi kalau tidak dibuat rang arus itu akan menikam tiang-tiang rumah. Dan kalau banjir lebih besar lagi, arus itu akan terus menerjah dan menikam dinding papan kayu cengal rumah berbumbung lima kami.
Dengan hati-hati ayah tandakan tempat-tempat yang akan dibuat rang dengan parang puting. Antara satu rang diberikan jarak sepemangkal.
Untuk menegakkan anak-anak pokok supaya tegak dan tidak tumbang apabila diterjah arus, ayah tuaskannya dengan tali rotan banir berpintal ke tiang-tiang sasak yang masih kukuh.
Dan di bahagian atas batang anak-anak pokok itu ayah pasang unjang daripada batang kayu sebesar lengan.
Kerja-kerja membuat rang itu ayah selesaikan dalam masa dua hari. Aku masih ingat, betapa besar rasa tanggungjawab ayah terhadap rumah dan keluarga kami. Sebagai seorang anak, pada waktu itu aku merasa sungguh bangga. Rasa bimbang ayah dan kami sekeluarga tidak ada lagi. Datanglah banjir sebesar manapun. Kami sudah bersedia menghadapinya.
BANJIR 2
Pada waktu negara di dalam dharurat dahulu keluargaku mulai mengalami detik pahit getir kehidupan. Aku masih ingat benar di sekitar tahun 50-an keluarga kami amat menderita. Pada zaman pendudukan Jepun pun keluarga kami tidak semelarat itu.
Pada waktu pendudukan Jepun ayah telah menutup kedai emasnya dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang lain dengan mengimport mesin getah. Jadi, walaupun ayah tidak lagi berniaga emas pun kami tetap dapat hidup dengan sederhana.
Akan tetapi selepas Jepun kalah di dalam Peperangan Dunia Kedua dan menyerah memberikan hak kepada kerajaan British kembali memerintah, kehidupan kami mulai tersepit. Aku tidak berapa ingat dengan jelas. Yang aku ingat, dengan tiba-tiba sahaja ayah tidak lagi menjalankan perniagaan menjual mesin getah.
Keadaan bertambah buruk apabila British mengisytiharkan dharurat pada tahun 1948 akibat ancaman gerakan Parti Kominis Malaya.
Bukan kehidupan kami sekeluarga sahaja terhimpit bahkan kebanyakan keluarga lain di kampung kami.
Kesempitan hidup yang semakin menjerat memaksa kami berpindah dari kampung halaman di desa ke bandar Kota Bharu.
Pada mulanya ayah menyatakan bahawa beliau dijanjikan kerja di sebuah syarikat kepunyaan Inggeris yang besar di bandar itu. Waktu itu seingat-ingatku ialah di sekitar akhir tahun 40-an dan awal tahun 50-an.
Pada waktu itu aku berusia kira-kira enam atau tujuh tahun. Maka kami sekeluarga pun berhijrahlah ke kota harapan. Ayah, ibu, adik lelakiku dan dua orang kakak perempuanku.
Sekali lagi kami tinggal di sebuah rumah di tepi sungai di pinggir kota harapan kami.
Sungguh malang bagi ayah, kerja yang dijanjikan tidak diperolehinya. Kehidupan kami semakin terhimpit. Dan akhirnya ayah terpaksa membuat kerja-kerja kasar yang tidak tetap. Ayah sanggup buat kerja apa saja asalkan dapat beberapa ringgit sehari untuk menyuap mulut keluarga.
Lebih malang lagi apabila aku dapati ayah telah berubah sikap terhadap keluarga. Kalau dahulu ayah merupakan seorang yang pengasih dan cukup bertanggungjawab terhadap keluarga maka tidak demikian selepas kami berhijrah ke kota harapan ayah.
Dua tiga tahun selepas kami meninggalkan kampung halaman, ayah langsung tidak peduli lagi terhadap keluarga. Kadang-kadang aku dapati ayah seperti seorang yang terganggu fikirannya. Kesempitan hidup kami memaksa ibu turut berusaha mencari rezeki dengan menjual kueh-mueh.
Seperti biasa rumah kami seperti juga rumah-rumah yang lain di tepi sungai kota harapan itu, terdedah kepada banjir setiap tahun pada musim tengkujuh.
Seingatku pada tahun-tahun permulaan kami menetap di pinggir kota harapan ayah, banjir yang melanda tidaklah besar. Tetapi pada suatu tahun tiba-tiba sahaja cuaca menjadi luar biasa.
Langit menebal dengan awan hitam pekat selama berminggu-minggu. Hujan turun `tidak celik mata'.
Aku cemas. Aku teringatkan kata-kata ayah pada waktu kami tinggal di kampung halaman kami dahulu. Tanda-tanda `bah besar' yang pernah ayah beritahu dahulu, sudah ada. Tetapi malangnya kali ini ayah tidak ambil peduli. Bahkan kadang-kadang ayah balek ke rumah dan kadang-kadang berhari-hari ayah menghilangkan diri dari rumah.
Banjir besar pada tahun itu memaksa kami pindah ke tempat lebih selamat. Pihak berkuasa telah menyediakan tempat di sebuah gudang barang kepunyaan Jabatan Kastam untuk kami menumpang beberapa hari sementara menunggu air surut.
Rumah kami telah berkecai dilanda arus. Aku masih teringat betapa sedihnya persaan kami ketika itu. Air mata tidak lagi dapat ditahan. Ia mencurah-curah keluar seperti juga dengan hujan yang tidak reda-reda, kadang-kadang berminggu-minggu lamanya. Aku cukup kesal dengan sikap ayah itu. Tambahan lagi ketika rumah kami berkecai dibawa arus, ayah entah di mana. Mujurlah ibuku gigih. Pada ibulah kami berpaut hidup. Harapan kami untuk bergantung hidup kepada ayah sudah tiada lagi. Ayah pada kami tidak mempunyai erti lagi. Mulai dari saat itu kasih sayang kami terhadap ayah telah luput, bagai kabus tipis yang hilang ghaib ditiup angin.
BANJIR 3
Satu pengumuman dibuat malalui radio bahawa air sungai sudah mulai melimpah tebing. Pekan-pekan dan desa-desa di pinggir sungai kebanyakannya telah ditenggelami air.
Ramlah masih membaiki tompokan-tompokan bedak Max Factor di pipinya. Kemudian dikenakan gincu dari jenama yang sama. Pengumuman radio mengenai keadaan banjir cukup menyenangkan fikirannya.
Inilah waktunya untuk dia memasang badan dan melepaskannn hasrat yang terpendam. Demikian fikirnya. Dengan tidak semena-mena senyum manis menguntum dibibirnya yang merah ranum oleh gincu Max Factor itu.
"Ana, kau dah siap", dia melontarkan satu pertanyaan kepada adiknya yang bongsu. Ana baru berusia kira-kira dalam lingkungan sepuluh tahun.Mendengar suara kakaknya itu Ana lantas bergegas ke bilik Ramlah.
"Kenapa kakak tersenyum", tanya Ana. Pertanyaan Ana dijawab dengan senyuman yang lebih lebar di bibir Ramlah. Ana tidak ambil kisah. Yang Ana ingat ialah petang nanti dia akan mengikut kakaknya itu keluar bersiar-siar. Bermain air.
Ramlah mengenakan pakaian simpanannya yang istimewa. Baju kebaya bandung warna hijau tua dan kain sarung batik jawa berwarna butir setar. Pakaiannya itu sudah begitu lama tidak dipakainya. Kali terakhir dia memakai baju dan kain itu ialah pada hari raya yang lalu.
Azan asar dari menara masjid Muhammadi baru sahaja bergema pada waktu Ramlah siap memasang badannya. Sekali-kali dia berdiri dan berjalan-jalan di hadapan cermin hias di biliknya. Dia merasa yakin bahawa hari itu dia kelihatan begitu jelita. "Kan aku seorang gadis manis tujuh belas", demikian dia terdengar bisikan suara di dalam hatinya. Bibirnya mengorak senyum lagi.
Pakaian itu cukup padan pada badanya yang langsing itu. Apalagi kulitnya yang berwarna kuning langsat itu cukup kontras dengan kebaya bandung warna hijau.
Pada hari-hari biasa, haram dia dibenarkan keluar rumah seorang diri oleh ayahnya yang terkenal amat garang itu. Melainkan kalau ditemani oleh emaknya.
Akan tetapi pada petang hari itu yang merupakan kemuncak musim tengkujuh, dia diberikan kebebasan sepenuhnya oleh ayahnya. Dan dia akan menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Dia mesti puaskan hatinya. Selama ini dia sentiasa dipingit sahaja di dalam rumah. Mujurlah banjir melanda sekali-sekala, itu adalah satu rahmat baginya.
Itulah sesekalinya peluang baginya. Bodohlah kalau peluang keemasan itu dipersia-siakan sahaja. Demikian fikirnya.
Ketika dia keluar ke Jalan Atas Paloh didapatinya air sedalam paras lutut. Jalan itu penuh sesak dengan gadis dan peria yang mengharungi air berwarna teh susu itu dengan pakaian yang cantik dan baru.
Dari Jalan Atas Paloh dia terus mengharungi air ke Jalan Tok Hakim dan Jalan Sultanah Zainah. Di mana-mana pun orang ramai keluar mengharungi dan bermainn air sebagai satu pesta. Banjir bagi mereka bukan satu kesusahan, akan tetapi merupakan satu perkara yang mengembirakan, Banjir bagi mereka adalah satu pesta.
BANJIR 4
Ketika sekumpulan orang-orang kampung tiba, Tok Som sudah tidak sedarkan diri. Dia terbaring di atas jemuran rumahnya. Jemuran yang terbuat daripada babatang-batang pinang yang dibelah dua. Jemuran itu telah reput dan terjongkang-jongkit di sana-sini. Percikan darah pekat kelihatan bertompok-tompok di dahi dan kepalanya.
Bahagian lain rumahnya telah ranap dihempap sebatang pokok kelapa tua. Ribut tengkujuh yang mengganas pada malam semalam telah menamatkan riwayat bangsal buruk kediamannya yang telah bertahun-tahun uzur.
Angin masih kencang dan hujan terus `tidak celik mata' ketika Tok Som dibawa ke hospital oleh orang kampung.
Tengkujuh telah menuntut mangsanya. Langit terus menebal dengan awan hitam pekat, seolah-olah langit tengkujuh turut berkabung di Kampung Masjid.
Aku teringat kepada cerita ayah mengenai `Bah Air Merah'

No comments:
Post a Comment