Oleh Sahul Hamid
TIGA bulan lagi Joyah akan menikah. Tiga bulan bukanlah lama sangat. Pejam celik pejam celik sampailah harinya nanti, fikir Bidin.
Yang merunsingkan Bidin bukan kerana Joyah. Joyah memang sukakan Manan, tunangnya itu. Manan pula memang tergila-gila pada Joyah. Tapi yang merunsingkan Bidin tentang kenduri kahwin yang hendak dibuat pada hari perkahwinan Joyah nanti.
Orang yang nak masak nasi minyak dan lauk pauk mesti kena ada. Orang yang nak sembelih lembu kenalah ada. Orang yang nak mengangkat talam hidangan kenalah ada. Orang yang nak cuci pinggan mangkuk kenalah ada. Orang yang nak solek Joyah juga kenalah ada. Orang yang nak buat marhaban kenalah ada. Orang-orang yang nak tambun tanah di lopak-lopak sepanjang lorong tanah merah yang menghala ke rumahnya juga kena ada.
Bidin menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bidin runsing. Cemas. Takut.
Kalau Pak Karia tak mahu datang masak nasi minyak dan lauk pauk nanti para jemputan keduri kahwin yang datang ke rumahnya nak makan apa? Kalau Malim tak mahu sembelih lembu nanti siapa yang nak sembelih lembu? Kalau tidak ada sesiapapun yang hendak mengangkat talam menghidangkan makanan nanti siapa nak angkat? Kalau tidak ada sesiapapun yang mahu mencuci pinggan mangkuk nanti siapa nak cuci? Kalau Pak Mud tidak mahu buat marhaban nanti siapa nak buat? Kalau Mak Jah tak mahu solekkan Joyah di hari kenduri perkahwinan nanti siapa nak solekkan Joyah? Kalau lopak-lopak di lorong tanah merah itu tidak ada sesiapapun yang nak tambunkan laratkah nanti dia tambun seorang diri? Segalanya berputar di dalam kepalanya.
Kalau dia tidak dapat sediakan nasi minyak dan lauk pauk di hari kenduri kahwin Joyah nanti sanggupkah para jemputan makan roti benggali cicah dengan gulai ikan? Ini sudah menyalahi adat biasa di kampungnya. Setahunya setiap kenduri kahwin orang-orang di kampungnya itu tidak pernah dihidangkan roti benggali bergulai ikan. Sudah pasti para jemputan yang makan roti benggali yang cicah gulai ikan akan berasa tidak senang hati. Mungkin ada yang buat muka masam bila dihidangkan roti benggali dan gulai ikan. Mungkin ada yang mencebikkan mulutnya. Mungkin ada yang mengumpatnya. Mungkin ada yang mentertawakannya. Kebanyakan mereka tentu pulang dengan perasaan kecewa kerana mereka sangka akan dapat makan nasi minyak dan lauk daging.
Jika orang-orang yang nak mengangkat talam hidang makanan tidak ada, dia dengan bininya saja yang kena angkat. Mereka berdua terpaksa ulang alik mengangkat talam hidang makanan. Lain-lain kerja mereka tidak dapat buat. Silap angkat talam hidang nanti talam terjun ke bumi. Yang datang nak makan kenduri tentu ada yang gelak lucu memandang dia menghidangkan makanan pada tanah dan bukan kepada para jemputan.
Sekiranya tak ada orang yang sanggup nak cuci pinggan mangkuk dia dengan bininya terpaksa cuci. Kalau dia mencuci pinggan mangkuk nanti siapa yang nak sambut para jemputan ke kenduri perkahwinan Joyah? Tentu ramai di antara mereka yang membawa hadiah berupa wang ringgit dan barang-barang tertunggu-tunggu dan tercanggak-canggak mencari tuan rumah nak serahkan hadiah mereka.
Kalau Pak Mud tak mahu datang buat Marhaban nanti siapa yang nak buat marhaban di rumahnya? Dia memang tidak tahu nak buat marhaban.
Sekiranya Mak Joyah tak mahu datang solekkan Joyah di hari kenduri perkahwinan Joyah nanti siapa yang nak solekkan Joyah? Tak kan nak biarkan Joyah kelihatan selekeh macam baru keluar dari dapur di hari perkahwinannya nanti.
Kalau sesiapapun tidak mahu datang menambun tanah pada lopak-lopak di sepanjang lorong tanah merah yang menghala ke rumahnya nanti lopak-lopak itu akan terbiar begitu. Tambah pula bila selepas hujan lopak-lopak itu akan dipenuhi air hujan. Ini akan mengganggu kenderaan yang hendak masuk dan keluar di lorong itu. Bukan saja setakat itu para jemputannya yang hendak makan kenduri nanti akan disimbahi dengan air lopak itu bila setiap kali roda kenderaan masuk ke dalam lopak. Yang dapat malu nanti Bidin. Bukan orang lain.
Kini Bidin benar-benar memerlukan pertolongan orang-orang kampung. Dia memerlukan tenaga orang-orang kampung. Kalau orang-orang kampung tidak mahu mencurahkan tenaga di hari perkahwinan Joyah dia akan gagal membuat kenduri. Harap-harap janganlah orang-orang kampung memulaukannya, fikir Bidin.
Dahinya berkerut memikirkan sikapnya selama ini. Dia semakin risau, cemas dan takut. Dia mengaku selama ini dia tidak pernah mengambil tahu susah senang orang-orang kampung. Dia tidak pernah jengok orang yang sakit. Dia tidak pernah membuat kerja gotong-royong. Dia tidak pernah ke rumah mayat orang-orang di kampungnya. Bidin mengaku selama ini dia menyisihkan dirinya. Selama ini dia gila mendenak terkukur di dalam hutan. Selama ini dia berasa lebih enak dengar suara burung terkukur daripada suara orang-orang kampung. Kalau sesiapa yang cuba memperkecilkan usahanya mendenak terkukur itu dia sanggup bertegang urat. Bahkan dia sanggup bertumbuk.
"Pening kepalaku fikir tentang hari kenduri kahwin tak lama lagi," kata Bidin sambil memicit dahinya malam itu.
"Pening apa bang. Pasal wangkah?" tanya Zaiton, bininya yang sedang menganyam tikar mengkuang.
"Bukan pasal wang. Tapi pasal nak minta tolong orang-orang kampung di hari kenduri di rumah kita. Sanggupkah nanti mereka datang tolong kita? Inilah yang buat aku pening." Bidin masih memicit dahinya. Dia tunduk merenung lantai.
"Itulah abang tak mahu bergaul dengan orang-orang kampung. Asyik mendenak terkukur. Asyik mengasingkan diri. Susah senang orang-orang kampung abang tak pergi tolong. Kerja gotong royong abang tak buat. Orang-orang sakit abang tak pergi ziarah. Orang matipun abang tak pergi tengok. Sekarang baru abang menyesal," kata Zaiton yang berhenti menganyam tikar mengkuang memandang muka lakinya.
"Inilah yang buat aku pening. Kita perlu tenaga mereka tu pada hari kenduri kahwin Joyah. Aku takut kalau siapapun tak mahu datang tolong hari kenduri nanti," kata Bidin memandang tepat ke muka bininya.
"Dulu Ton dah suruh abang bergaul dengan orang-orang kampung, tapi abang tak mahu dengar. Abang gilakan terkukur tu. Sesiapa yang cuba nasihat abang bukan abang nak dengar sebaliknya nak tentang mereka. Dengan Ton pun dah berkali-kali abang tunjuk angin abang. Selama ini abang lebih sayang pada terkukur saja," Zaiton menganyam tikar mengkuangnya semula.
"Habis apa aku nak buat supaya orang-orang kampung datang dan tidak pulaukan kenduri kita nanti?' tanya Bidin yang berasa fikirannya buntu.
"Abang kenalah bergaul dengan mereka. Abang kenalah ambil tahu susah senang mereka itu. Abang kenalah tolong buat kerja gotong royong bila ada kerja gotong royong dibuat. Abang kenalah ziarah orang sakit. Jangan pula lupa pergi rumah mayat. Bukan susah," kata Zaiton bersungguh.
Bidin mengangguk sambil merenung lantai.
Zaiton berasa lega bila pandangannya diterima oleh lakinya. Zaiton berasa ada perbezaan pada sikap lakinya sekarang. Sebelum ini kalau Zaiton beri pandangan itu dan ini dia tolak mentah-mentah. Kalau sampai ke tahap memperkecilkan usahanya mendenak terkukur, lakinya pernah memberi amaran hendak tempeleng kalau dia masih berdegil memperkecilkan usahanya. Tapi sekarang lakinya kelihatan macam ayam sakit berak tahi kapur di hadapannya.
Di luar hujan lebat. Angin membelasah ganas di sekitar luar kawasan rumahnya. Bunyi ranting-ranting dan daun-daun bergeseran jelas kedengaran. Tempias hujan menyerang masuk ke dalam rumah melalui tingkap rumah yang ternganga. Zaiton mengigil kesejukan. Bidin cepat-cepat menutup tingkap. Dia masih berasa kegigilan kerana angin sejuk mencuri-curi masuk dari celah-celah bumbung rumah.
Malam itu ketika Bidin merebahkan badannya di katil dia bertanya pada dirinya: "Sanggupkah nanti orang-orang kampung menolongnya di hari perkahwinan Joyah?" Dia semakin cemas, takut dan risau. Nanti bagaimana kalau orang-orang kampung tidak mahu datang mencurahkan tenaga bantu menjayakan kenduri kahwin Joyah? Fikirannya buntu. Matanya masih terbelalak tidak dapat tidur.
Zaiton tidur kerekot di sebelah Bidin. Barangkali Zaiton sedang bermimpi, fikir Bidin.
Bidin nampak para jemputan datang ke rumahnya di hari kenduri kahwin Joyah. Bidin jadi kelam kabut. Fikirannya jadi buntu. Dia tidak tahu nak jamu apa. Tidak ada apa-apapun yang hendak dijamu. Tukang sembelih lembu tidak datang. Tukang masak tidak datang. Di atas rumah Zaiton pula berasa malu bukan main kerana tidak dapat menghidangkan apa-apa makananpun pada para jemputan. Joyah pula gelisah kerana tukang solek tidak datang. Joyah kelihatan selekeh dan tidak nampak seperti wajah seorang pengantin. Bidin jadi bingung dan cemas. Dia nampak ke semua mata para jemputan menikam matanya. Setiap tikaman mata mereka dirasakan cukup menghina dirinya.
"Inilah akibatnya bang, kerana bang tak mahu bergaul dengan orang-orang kampung. Tak mahu ambil tahu susah senang orang-orang kampung. Tak mahu bergotong royong dengan orang-orang kampung. Tengoklah apa dah jadi?" kata Zaiton dengan rasa resah.
Bidin diam. Dia berasa amat malu. Dia berasa menyesal dengan sikap selama ini. Dia memarahi dirinya.
"Selama ni abang pentingkan diri sendiri. Tengok apa dah jadi sekarang? Kita semua malu," Zaiton mulai menangis.
Melihat ibunya menangis, Joyah juga turut menangis kerana tidak tahan menanggung malu.
"Beginilah, aku masak air buat kopi. Kau Zaiton masak nasi dan gulai ikan. Kita suruh para jemputan kita tunggu sebentar," kata Bidin yang tiba-tiba bersemangat. "Sanggupkah mereka tunggu bang?' tanya Zaiton, sambil menyeka air matanya.
"Aku akan beritahu mereka," kata Bidin kemudian meluru ke arah para jemputan.
Ketika Bidin sampai di luar rumah dia nampak ramai para jemputan sudah tidak ada. Mereka sudah pulang.
"Bidin, aku nak balik. Aku ada kerja yang belum selesai," kata salah seorang penduduk kampung itu sambil berjabat tangan.
Kemudian seorang demi seorang meminta izin hendak pulang. Bidin berdiri tercengang. Dia berasa malu bukan main. Mulut bagai terkunci.
Kesemua para jemputan sudah pulang. Mereka tidak makan minum apapun di rumah Bidin. Tentu mereka pulang dengan berleter, fikir Bidin. Tentu mereka pulang dengan perasaan kecewa. Tentu orang-orang kampung tidak akan lupakan apa yang terjadi di rumahnya. Bidin malu semalu-malunya.
Bidin terkejut bangun dari tidur di waktu subuh. Rupa-rupanya dia bermimpi tadi. Dia menghitung. Hari kenduri perkahwinan Joyah belum tiba lagi. Masih ada waktu lagi. Bidin berasa lega.
Sayup-sayup suara azan subuh memecah subuh dingin. Bidin segera mengambil wudhu. Dia dengan tiba-tiba sahaja mau ke surau. Itulah pertama kali keinginan itu datang. Selesai sembahyang Bidin bersalam dengan jemaah.
"Bidin, kau tau rumah Kipli ditimpa pokok kelapa," Darus bertanya sewaktu berjalan meninggalkan surau.
"Tidak. Kipli selamat ke. Keluarganya bagaimana?" tanya Bidin ingin tahu.
"Tak apa-apa. Alhamdulillah, mereka selamat," jawab Darus.
"Tapi rumah Kipli tu roboh. Pokok kelapa yang menghempap mesti ditebang."
"Bagus tu. Aku akan datang membantu," kata Bidin.
"Ya, kita kenalah bantu. Hari ini hari mereka, entah esok hari kita, mana tau," kata Darus.
Ketika Bidin dan Darus sampai, orang-orang kampung sudah ramai berkumpul. Di tengah-tengah orang ramai itu, Kipli dan bininya melihat dengan mata berbinar ke arah rumah yang hampir menyembah bumi itu. Lima orang anak mereka sibuk bermain dengan beberapa orang anak-anak jiran yang datang untuk menghulurkan simpati.
"Jangan susah Kipli, kami akan tebang pokok kelapa ni dulu. Kemudian ramai-ramai kita betulkan baiki rumah ini," kata Darus menenangkan fikiran Kipli dan bininya.
Kipli masih terdiam, tetapi matanya merenung kabur terhadap Darus. Dia sedar kini dia memang memerlukan bantuan tenaga dan kebendaan dari orang-orang kampung.
"Ya, kita tebang pokok kelapa ni. Batangnya kita potong-potong dan longgokkan di satu tempat," kata Bidin bersemangat.
"Ya kita tebang dan batangnya kita longgokkan. Mungkin, batang-batang tu ada yang boleh dibuat penopang," sambut Darus.
Empat lima orang mencari-cari kapak dan memulakan kerja masing-masing. seorang mencangkul tanah yang terbongkis. Tak lama batang kelapa sebesar sepemeluk itu menjadi lima kerat panjang sedepa.
Dan tak lama kemudian empat lima orang mengerjakan rumah Kipli yang rosak. Bumbung yang berlubang dipasang atap baru. Tiang yang patah diganti juga baru. Waktu inilah batang kelapa tiba-tiba menjadi penting. Senja pada hari kedua rumah Kipli pun terbangun.
Kipli tersenyum. Malam itu dia buat kenduri doa selamat. Tok Imam mengetuai majlis membaca doa. Hadirin menadah tangan dan menyahut `Amin' sedikit kuat apabila Tok Imam terhenti menyambung nafas.
Selesai berdoa Kipli jamu mereka dengan nasi putih berlauk ayam serta kopi dan buah betik.
Bidin nampak Malim, tukang sembelih lembu sedang menyuap nasi ke mulutnya. Bidin nampak Pak Karia, tukang masak nasi minyak dan lauk pauk di rumah-rumah kenduri kahwin sedang meratah peha ayam. Bidin nampak Pak Mud yang kerap buat marhaban sedang mencedok kuah.
"Selepas kenduri ni ada satu kenduri lebih besar lagi," kata Bidin.
"Kenduri apa tu, Bidin?" tanya Kipli kehairanan.
"Kahwin Joyah, anak aku," jawab Bidin.
"Bila nak buat?" tanya Darus ingin tahu.
"Rasa-rasanya selepas Hari Raya."
"Saya nak minta tolong semua di sini pada hari kenduri tu," kata Bidin sedikit merayu.
"Insya-Allah. Kita ni sekampung kenalah tolong menolong. Kerja tu tak boleh buat seorang diri. Bukan nak beri makan seorang dua," kata Pak Karia sambil menyodok nasi dan timbunkan dalam pinggannya.
"Boleh."
"Boleh."
"Boleh."
"Boleh."
Semua yang bersetuju menolong.
Bidin tersenyum lega. Dadanya lapang seperti sawah padi di musim menuai. Dia berasa hendak cabut segera ke rumah memberitahu bininya bahawa orang-orang kampung telah bersedia hendak menolong pada hari kenduri Joyah.
Bidin tambah nasi. Tekaknya tiba-tiba teraga lega.
"Ada lagi nak minta tolong," tiba-tiba Bidin bersuara selepas menelan nasi yang likat dicampurnya dengan gulai ayam.
"Ha apa dia Bidin?" tanya Malim ingin tahu.
"Saya nak minta tolong Pak Mud buat marhaban," Bidin memandang tepat ke muka Pak Mud.
"Insya-Allah. Apa salahnya," jawab Pak Mud yang mulai membasuh tangan.
Bidin tersenyum lagi. Kata Bidin: "Ada lagi Pak Mud."
"Ha apa dia lagi?" tanya Pak Mud sambil mencapai sepotong betik di pinggan.
"Saya nak minta tolong dari Mak Jah, isteri Pak Mud, supaya solekkkan Joyah," kata Bidin penuh berharap.
"Insya-Allah," jawab Pak Mud pendek.
"Ada satu lagi," Bidin pandang satu-satu muka orang di ruang itu.
"Ha apa dia lagi?" tanya Pak Mud dengan matanya tajam melihat Bidin.
"Lorong tanah merah yang menghala ke rumah saya tu berlopak. Jadi saya nak minta tolong orang-orang kampung tambun lopak-lopak tu. Bukan apa, takut motokar yang bawa bakal laki Joyah terjunam dan lekat di lopak. Saya takut orang-orang yang datang nak makan kenduripun jatuh tersungkur ke dalam lopak tu," kata Bidin sambil matanya kali ini mencari muka Ketua Kampung.
Yang hadir gelak berdekah.
"Itu kena serah pada Ketua Kampung," jawab Pak Mud kemudian pandang pada kesemua orang diruang.
"Kamu semua macam mana?" tanya Ketua Kampung. "Kalau ada masa lapang eloklah kita turun. Hari pun dah dekat sangat."
"Boleh," Pak Karia mengaku.
"Boleh," Malim bersetuju. "Boleh," angguk Pak Mud jujur.
"Boleh," jawab Kipli, bagi pihaknya dan dirinya sendiri.
"Boleh," sahut Darus juga.
"Boleh," kata Dollah.
"Boleh," kata Resat.
Pendeknya semua yang ada pada malam itu tidak ada yang tarik harga. Tidak ada yang menolak.
Wajah Bidin berseri. Bidin rasa segala kerisauan yang selama ini menyeksanya sudah hilang. Malam itu dia pulang berlari-lari anak. Dia tidak sabar lagi hendak memberitahu bininya apa yang telah didengarnya di rumah Kipli tadi. Sesungguhnya dia terasa terapung dalam malam pekat itu. Dia terasa dunia ini besar dan luas. Dia terasa seisi alam bagaikan bintang-bintang bergemerlapan. Dan dalam hitam pekat malam itu dia terasa ada sesuatu yang membawanya cepat sampai ke rumah.

No comments:
Post a Comment