Pages

Sunday, March 01, 2015

Menongkah arus

Oleh Azhar Ahmad

ARUS sungai yang bergolak pekat di depannya benar-benar terasa sudah berpindah ke dalam degup jantungnya, mengikis,menghakis dan merobohkan tebing hatinya sedikit demi sedikit. Perlahan-lahan dia merasakan harapan dan masa depannya hanyut bersama-sama sampah sarap yang mengalir, hilang lenyap entah ke mana.

Apakah dia harus menyalahkan takdir di dalam perkara ini? Takdir yang telah mencipta dan membentuk kehidupannya begini rupa sejak awal-awal lagi?

Tidak!!!

Malim mencampakkan puntung rokoknya ke gigi air. Dilihatnya puntung rokok itu mengembang dan pecah, meleraikan sisa-sisa tembakau yang masih ada. Dia melihat juga tembakan itu menghilang dan kertas pembalutnya terapung-apung dipermukaan. Beberapa ekor anak ikan mencotek-cotek kertas itu, kemudian beredar.

Matanya kini memandang ke arah bot sangkut yang terikat kejap pada akar pokok di tepi tebing. Di bahagian tengah bot itu, yang berbumbung zing nipis, sudah kelihatan hitam dan di beberapa tempat kelihatan kemerah-merahan oleh karat. Ada sebuah injin sangkut kecil terletak di bahagian buritan.

Dia insaf hanya bot itulah satu-satu yang ditinggalkan oleh orang tuanya selain dari pondok kecil yang didudukinya sekarang. Bot tua itu jugalah yang telah menampung kehidupan keluarganya selama ini.

Malim mengangkat sedikit mukanya. Tidak jauh di sebelah hulu dia nampak tiang-tiang batu raksasa terceracak merentasi anak sungai itu. Ada dua belas batang semuanya. Tiang-tiang itu dipacak dua batang bersaing-saing di antara satu sama lain.

Jika semua kerja pembinaan berjalan lancar, sebuah jambatan besar akan siap dalam tempoh tiga bulan lagi. Ini memudahkan lagi perhubungan di antara penduduk kampung di sebelah sini dengan bandar yang terletak di pinggir sungai seberang sana.

Sejak akhir-akhir ini tiang-tiang batu dan bot tuanya itu adalah dua objek yang sering bertelingkah di dalam kotak fikirnya. Dia harus mencari satu ketetapan. Apakah yang lebih penting di dalam hidupnya sekarang. Tiang-tiang batu atau bot tuannya itu?

Tentulah bot tua itu yang lebih penting. Ia telah banyak menabur jasa kepada keluarganya. Bot itu telah membawa rezeki keluarga dan menampung pelajaran anak-anaknya selama ini.

Bila siap saja jambatan itu nanti tentulah pintu rezekinya akan tertutup sama sekali. Dia langsung tak boleh berbuat apa-apa. Bot pesaka peninggalan aruah ayahnya tentu tidak berfungsi lagi. Apa lagi yang harus dilakukannya ketika itu nanti.

Tapi apakah dia harus mengutamakan kepentingan diri semata-mata tanpa memikirkan hak dan kemudahan untuk orang lain?

Ini juga satu sikap yang tidak baik, yang mesti dihindarkan oleh semua orang, fikirnya.

"Ulat dalam batu lagi ada reseki."

"Itu ulat, tapi kita manusia. Rezeki tak akan datang menggolek kalau tak dicari."

"Banyak lagi punca rezeki yang lain."

Malim menjeling wajah isterinya dengan ekor mata. Dia tahu sebenarnya isterinya juga memahami masalah yang dihadapinya sekarang. Memang selama ini isterinya sentiasa cuba untuk memujuk hati dan perasaannya bila dirinya menghadapi sebarang kerumitan. Itulah satu-satu kelebihan yang ada pada isterinya.

"Apa yang patut kita buat nanti?" Malim mengendurkan suaranya.

"Di baruh tu kan banyak kebun getah."

"Kebun orang, bukan kebun kita."

"Abang carilah tuannya. Saya pula boleh bekerja di kilang bila jambatan itu siap nanti. Bukannya jauh sangat berulang-alik dari sini ke bandar."

"Makan minum anak-anak di rumah, siapa pula nak jaga?"

Isterinya kian tunduk mendengar penjelasan Malim begitu. Memang benar apa yang dikatanya itu. Anak-anak harus mendapat penjagaan rapi dari ibu bapa. Masa depan mereka mesti diambil perhatian serius, fikirnya.

Selama ini walaupun hidupnya miskin namun dia masih mampu menyara kehidupan keluarga dengan baik. Anak sulungnya, seorang lelaki sedang menuntut di tahun tiga di salah sebuah universiti di ibu kota. Anak kedua dan ketiga pula belajar di sekolah berasrama penuh di bandar. Dua lagi anaknya berada di sekolah rendah dan tinggal bersamanya sekarang.

Malim sedar semua itu memerlukan parbelanjaan harian dan bulanan yang banyak. Selama ini, walaupun hasil kutipan tambang tak sebanyak mana, namun dia masih mampu meyimpan sedikit sebanyak wang untuk keperluan di waktu-waktu kecemasan.

Malim menggosok-gosok keningnya dengan jari. Dia tidak sedar entah berapa lama dia duduk di atas anak tangga simen di tepi tebing itu. Dan entah banyak mana pula dia sudah mencampakkan puntung-puntung rokok ke gigi air. Dia tahu memang di saat-saat kerunsingan begini rokoklah selalunya yang menjadi mangsa.

Dia mengarahkan pandanganya ke seberang. Beberapa orang penumpang sedang tercatuk-catuk di tepi tebing menanti ketibaannya. Orang ramai itu tentulah datang dengan membawa barang-barang keperluan harian mereka. Dia harus menunggu beberapa minit lagi apabila budak-budak sekolah petang dilepaskan oleh guru masing-masing.

Lagi pun untuk membawa dua tiga orang penumpang tentu tidak praktikal dan eknomik, fikirnya. Botnya itu boleh memuat lebih kurang sepuluh orang penumpang berlebihan pun satu perkara merbahaya, terutama di waktu-waktu air sungai naik seperti sekarang. Dia sentiasa menitik beratkan nyawa dan keselamatan penumpang-penumpang.

Arus sungai terus mengalir deras menghanyutkan dahan-dahan kayu, ranting-ranting dan sampah sarap. Airnya pekat berbusa-busa seperti air bancuhan tanah liat. Sudah hampir dua minggu musim hujan bermula. Air sungai semakin naik dari semasa ke semasa. Kalau hujan berlarutan dalam tempoh seminggu dua lagi sudah tentu seluruh perkampungan di sepanjang sungai ini akan dilanda banjir, fikir Malim.

Untuk mengetahui sukatan air sungai naik atau tidak senang saja. Kebel feri yang merintangi sungai di sebelah hilir adalah ukuran paling senang dilihat. Kebel yang melandut di bahagian tengah sungai itu sekarang lebih kurang setengah depa saja jaraknya daripada permukaan air.

Atau paling mudah sekali dengan berpandukan anak tangga simen yang didudukinya itu. Ada lima belas anak tangga semuanya hingga ke pelantar di bahagian bawah. Cuma tinggal tiga anak tangga lagi yang tidak ditenggelami air. Sekiranya kebel feri di tengah-tengah sungai sudah mencecah permukaan air dan semua anak tangga simen itu ditenggelami, ini bermakna paras air sungai itu sudah sampai ke peringkat paling bahaya. Kawasan-kawasan persekitaran yang rendah tentu sudah ditenggelami air.

Walau bagaimanapun Malim tetap bersyukur kepada Tuhan di atas rezeki yang diperolehinya selama ini. Kalau dia bergantung kepada pokok getah sebagai mata pencariannya, barangkali tentu dapurnya tidak berasap pada setiap kali musim hujan begini.

Sesungguhnya dia tidak pernah bertujuan untuk membantah di atas projek pembinaan jambatan itu. Malah apa yang difikirkannya jambatan itu memang sudah sepatutnya ada, sesuai dengan parkembangan penduduk dan pembangunan moden. Perhubungan akan menjadi lebih pantas dan mudah. Dia sendiri merasakan bahawa dia juga cintakan kemajuan. Kemajuan untuk semua dan kemajuan untuk orang ramai.

Cuma apa yang dirasakannya kemajuan yang diterima itu akan memusnahkan sama-sekali masa depannya. Untuk sebarang menyeberang orang ramai tak mungkin akan menggunakan botnya lagi. Dengan itu mata pencariannya akan tertutup dan kehidupannya menjadi gelap. Itulah hakikat dan itulah kenyataan yang harus diterimanya.

Malim pernah menyuarakan perasaannya ini kepada ketua kampung dan beberapa orang tua di kampungnya. Bukan untuk apa-apa tetapi sekadar-bertanyakan pendapat. Tok ketua juga tak boleh berbuat apa-apa walaupun ada raut-raut simpati yang halus terukir di wajahnya.

"Bagaimana kalau saya cadangkan awak bawa teksi pula sebagai gantian bot tambang. Saya rasa cara ini pun lumayan juga."

"Susah, tok ketua."

"Susah apa?"

"Macam-macam."

"Saya boleh tolong usahakan untuk mandapatkan permit. Wang simpanan awak yang ada tu gunakanlah untuk duit muka."

"Lesen memandu?"

"Boleh dapat....usahalah sikit."

Memang Malim sendiri pernah terfikir tentang cadangan yang diberi oleh tok ketua itu. Untuk mendapat sebuah teksi tentu memerlukan perbelanjaan yang banyak. Sedangkan wang simpanannya tidaklah sebanyak mana sangat. Lagipun dia memang pernah ada lesen memandu sejak dulu-dulu lagi. Untuk membeli sebuah teksi, mendapatkan permit dan lesen memandu bukanlah satu perkara mudah.

Barangkali, kerana simpati mungkin tok ketua boleh menolongnya mendapatkan pinjaman untuk membeli teksi, fikirnya. Tetapi dengan pekerjaan baru itu nanti mampukah ia mendapatkan pulangan yang baik untuk membayar keluarga yang agak ramai.

"Awak cubalah dulu."

"Tak boleh tok ketua. Saya tak yakin."

"Awak tak yakin pada diri awak sendiri?"

"Saya takut usaha itu gagal."

"Habis tu, apa pula yang harus dibuat. Awak sanggup berdiam diri begitu saja?"

"Entahlah...apa yang saya rasa, masa depan saya dan keluarga saya gelap. Walau bagaimanapun saya akan cuba berikhtiar untuk meneruskan kehidupan."

Malim mengarahkan pandangannya ke langit di sebelah hulu. Awan-awan hitam kelabu yang berarak perlahan menambahkan lagi kesuraman cuaca di waktu itu. Di bahagian-bahagian tertentu dia nampak langit biru jauh membalam. Angin sepoi bahasa sentiasa bertiup di sepanjang tebing mengikuti pergolakan arus yang mengalir. Dia percaya hujan akan turun lagi lewat malam ini.

Walau pun hari ini hujan tidak turun namun sepanjang hari sejak pagi tadi cuaca sentiasa muram. Langit mendung dan matahari langsung tidak kelihatan. Sesekali angin kencang bertiup seolah-olah memberi amaran bahawa hujan akan turun pada bila-bila masa sahaja.

Sejak dua tiga malam kebelakangan ini Malim langsung tak boleh melelapkan matanya. Rasa resah dan tidak tenteram sering bergelut di dalam jiwanya yang lemah. Kadang-kadang fikirannya teringat segala peristiwa pahit dan manis yang telah berlaku pada dirinya. Dia juga teringat detik-detik percintaannya yang indah. Waktu itu dia baru saja mengambil alih tugas ayahnya apabila orang tuanya jatuh sakit.

"Betul kau sayang aku?"

"Hmmm ... kenapa?'

"Aku orang susah."

"Aku tak mau kau cakap itu lagi."

"Kau pun tak tau... aku cuma seorang penambang bot."

"Aku tak kira apa pun, asalkan halal di sisi agama."

Aku tak dapat memberikan kekayaan material kepada kau. Tapi aku berjanji akan memberi sepenuh kebahagian untuk kau dan anak-anak kita nanti."

"Percayalah aku akan sentiasa berdiri di belakang kau."

"Kita akan sama-sama layarkan bahtera hidup kita."

Malim tersenyum sendirian. Sumpah setia yang dilafazkan isterinya itu ternyata benar. Selama ini rumah tangga mereka aman dan bahagia setelah lebih dua puluh tahun mereka berkongsi hidup. Dia yakin benar tentang kejujuran dan keikhlasan hati isterinya. Dia juga insaf bahawa isterinya seorang wanita yang bertanggungjawab dan menyedari dirinya adalah isteri kepada seorang penambang bot yang berpendapatan rendah.

Tapi sanggupkah aku terus memberikan kebahagian kepada keluarga setelah jambatan itu siap nanti? Bagaimana aku boleh memberi kebahagian kepada keluarga sedangkan fikiranku sendiri tak pernah merasa tenteram sejak akhir-akhir ini?

Hidup ini tak ubah seperti sebuah bahtera yang sedang belayar di tengah lautan. Ada kalanya lautan itu tenang, ada kalanya bergelora dan kadang-kadang pula bergelombang besar. Walau apa pun hakikatnya dia harus yakin dan tabah untuk menempuh apa juga kemungkinan dalam melayarkan bahtera hidupnya, fikir Malim seolah-olah cuba memujuk perasaannya sendiri.

Sambil bangun Malim menumbuk-numbuk peha kanannya beberapa kali. Di seberang sana beberapa orang murid sekolah dan penduduk kampung sedang menanti ketibaannya. Dia mengira dengan mata. Ada lebih sepeluh orang semuanya. Ini bermakna dia boleh membawanya dengan sekali perjalanan sahaja. Dia juga harus segera menyeberang supaya penantian mereka tidak terlalu lama.

Dinding bot terbenam beberapa inci ke dalam air sebaik saja dia melompat masuk menuju buritan. Dia sedar sudah betapa tuanya bot itu. Mana-mana bahagian dinding yang reput sudah diganti dengan yang baru. Lantai dan dinding yang bocor pula sudah ditampal dengan gegala.

Malim menyentak tali untuk menghidupkan enjin sangkutnya. Disentaknya lagi beberapa kali namun enjin sangkut itu tidak juga mahu hidup. Dicubanya lagi, lagi dan lagi. Enjin itu hanya batuk batuk beberapa kali kemudian berhenti. Dia tidak putus asa. Dia terus mencuba, tetapi yang menyambar ke telinganya hanyalah bunyi bobok, bukan bunyi lansing yang selalu mengubat hatinya di tengah sungai itu.

Celaka kau! Kau pun dah mula nak menyeksa aku sekarang.

Tapi selama ini kau juga telah memberi rezeki kepada aku, menampung persekolahan anak-anakku sehingga ke peringkat tinggi. Kau dan bot pesaka ini telah memberikan kebahagiaan kepada keluargaku.

Barangkali plugnya kotor atau saluran minyak tersumbat, fikir Malim, Tapi plug baru saja diganti.

Sebenarnya enjin sangkut itu sudah terlalu tua, jauh lebih tua daripada botnya. Apa pun kalau sudah tua beginilah jadinya, fikirnya lagi.

Malim membuka plug dengan spana yang tersedia di bahagian buritan. Dia mengikis-ngikis kepala plug itu dengan pisau kecil dan meniupnya beberapa kali. Kemudian dia memasangnya semula.

Dia tahu bot dan enjin sangkutnya itu memang sepatutnya sudah boleh diganti dengan yang baru. Dengan sedikit wang simpanan yang ada padanya dia memang mampu berbuat demikian. Tapi apalah guna diganti baru jika ia hanya untuk digunakan dalam masa lebih kurang tiga bulan saja lagi. Lepas itu orang tidak akan menggunakan khidmatnya.

Kadang-kadang dia terfikir untuk membelasah bot tua itu dengan kapak. Biar semua serpihannya hanyut di bawa arus bersama sampah sarap yang lain. Enjin sangkut itu akan dicampakkan saja ke dalam lubuk di hilir sungai. Tetapi setelah difikirnya beberapa kali, dia merasa semua itu amat bodoh dan sia-sia.

Malim menyentak lagi tali enjin. Kali ini dengan kederat yang telah dikumpulnya beberapa lama. Botnya bergegar sedikit di atas permukaan air itu. Cepat-cepat dia menarik kebel minyak. Alangkah gembiranya Malim kini, apabila enjin itu hidup dengan mengeluarkan lalakan yang luar biasa. Malim segera melepaskan tali pengikat bot di tebing.

Perlahan-lahan bot tuanya bergerak meninggalkan pangkalan. Dalam keadaan arus deras begini dia harus menongkah arus. Bot itu akan menghilir sedikit demi sedikit dan akhirnya sampai ke tempat dituju di seberang sana.

Dia nampak tiang-tiang batu terpacak tegap menampan arus. Di sebelah hulu air hujan turun seperti manik-manik halus di atas pasir. Jauh di kaki langit di sebelah barat kelihatan warna merah kekuningan memanjang diselaputi awan kelabu.

Entah kenapa tiba-tiba enjin sangkutnya terasa menyentap-nyentap. Dia menarik kebel minyak tetapi bunyi enjin masih tidak berubah. Biasanya waktu air surut dia sentiasa membawa galah buluh bersamanya sekiranya sesuatu kejadian buruk berlaku di tengah-tengah sungai. Galah panjang itu diletakkan di atas bumbung bot. Tetapi di waktu air naik begini galah tentu tidak berfungsi apa-apa lagi.

Motor enjin sangkutnya itu mati sebaik-baik bot tiba di tengah sungai. Botnya hanyut ke hilir dibawa arus sungai yang deras. Dia cemas. Dia cuba menghidupkan enjin beberapa kali. Tali penghidup enjin disentak dan disentak lagi dengan harapan enjin itu akan beroperasi seperti biasa. Tapi sayang badannya saja yang berpeluh sedangkan usahanya gagal.

Sambil itu Malim cuba mendapatkan ketenangan sedaya mungkin. Dia teringat dan terbayang wajah isteri dan kelima-lima anak kesayangannya. Kalau boleh dia tak mau hidup anak-anaknya susah seperti kehidupannya sekarang, terumbang-ambing di tengah arus. Dia juga teringat tok ketua dan orang-orang tua di kampungnya.

Bot tua Malim hanyut ditolak arus yang menggila. Dia nampak wajah-wajah yang menantinya di seberang kelihatan cemas. Dia dapat merasakan botnya sudah jauh dihanyutkan air sedangkan usahanya untuk menghidupkan enjin terus gagal.

Tanpa dapat dielakkan lagi tiba-tiba bumbung botnya tersangkut pada kebel feri yang merintangi sungai. Sebatang dahan kayu sebesar setengah pemeluk yang hanyut dari hulu tiba-tiba manghempap dinding botnya. Dinding bot pecah dan air membuak-buak masuk.

Dalam masa beberapa saat saja bot tua Malim dipenuhi air dan terbalik di tengah-tengah arus yang mengalir deras. Enjin sangkutnya tenggelam ke dasar sungai manakala serpihan-serpihan botnya hanyut bersama ranting-ranting kayu dan sampah-sarap. Malim yang sempat mencapai dahan berembang yang terjuntai melihat saja bumbung dan serpihan bot hanyut ke hilir. Wajahnya beransur pekat seperti wajah senja yang sedang membalut keliling.

No comments: