Pages

Friday, March 13, 2015

Di pulau kecil

Oleh Marsli N.O.

SUDAH bertahun-tahun dia berusaha untuk tidak mencampuri urusan sesiapa selain dirinya sendiri. Mulutnya telah dikuncikan rapat-rapat dan berkata hanya bila benar-benar perlu. Apa yang didengari tidak mahu dipedulinya jika tidak berkenaan atau bersangkutan dengan dirinya.

Demikianlah. Sudah bertahun-tahun dia menjadi seorang lelaki aneh dan pendiam.

Dunianya dunia yang terpisah. Bagaikan sebuah pulau kecil dan asing di antara sekian banyak pulau-pulau yang sentiasa riuh.

Pengalaman pahit yang ditempuhnya di masa lalu sudah terlalu banyak mengajarnya. Dan itu semua tidak mahu diulanginya lagi. Begitulah tekadnya.

Lidah manusia memang tidak bertulang. Dan justeru itulah orang sering berbicara seenak mulut. Tanpa mempedulikan apakah kata-kata yang diucapkannya itu menyinggung orang lain atau tidak.

Dan bukan sekali atau dua dia mengalaminya. Malah sudah entah berapa ratus kali. Hatinya merasa sakit bukan kepalang.

Kalau ikutkan hati marahnya mahu ditangannya mulut-mulut celupar itu satu demi satu.

Hatinya terasa sakit bukan kepalang. Sungguh tidak diduganya sama sekali. Sahabat yang selama ini sangat-sangat dipercayainya tiba-tiba telah mengkhianatinya. Ke mana-mana menceritakan perihal dirinya yang bukan-bukan kepada orang lain.

Mahu diapakan?

Hendak diajak bergaduh bukan lawan dan jenis yang boleh diajak bergaduh.

Hendak dimaki dihamun?

Juga tidak.

Justeru itulah dia memilih untuk mengasingkan dirinya jauh-jauh. Dan telinganya sengaja dipekakkan.

Mulutnya dikunci rapat-rapat. Dengan cara begitu dia tidak akan menyakiti hati sesiapa.

- Kau bodoh!

- Kau gila!

- Kau munafik!

Lantaklah. Lama-lama, bila merasa letih mereka akan berhenti.

Dunianya sekarang ialah di pulau kecil dah asing itu. Di situlah dia.

Bersendirian.

Dia sedar selama ini sudah terlalu banyak dia mendengar kejian dan meladeni orang lain. Waktunya sudah terlalu banyak dipersia-siakan untuk itu. Dan sekarang dia tidak mahu lagi membazirkan baki waktunya.

Lantaklah!

Di pulau kecil telah didirikannya tembok yang melingkunginya. Sengaja dia berbuat demikian.

Dan dengan mata awas dia sentiasa memerhatikan kalau-kalau ada si penceroboh.

Tidak. Sama sekali tidak.

Dia tidak akan mengizinkan sesiapa menceroboh kawasan itu.

Itu haknya. Dia bebas berbuat apa saja di pulau kecil dan asing itu. Tiada siapa yang boleh menghalangnya.

Dia tahu bahawa dia memang bodoh dan lurus. Terlalu mudah mempercayai seseorang. Kerana, itulah dia begitu mudah menjadi mangsa dan kuda tunggangan.

Kerana terlalu mempercayai seorang manusia yang dinamakan sahabat dia sanggup dan rela membiarkan seluruh pelosok dalam dirinya ditelusuri. Sehinggakan akhirnya seluruh danau jernih di dalam dirinya dicemari dengan nista dan kejian.

Sungguh dia menyesal.

Sungguh tidak diduganya sama sekali akan begitu jadinya. Dalam sekelip mata seluruh dirinya kotor. Seolah-olah dia sedikit pun sudah tidak berharga lagi.

Dan kalau mengingatkan itu kembali hatinya akan terasa sakit bukan kepalang.

Tidak disangka seorang sahabat sanggup berbuat demikian.

Di manakah letaknya kejujuran?

Dimanakah letaknya keikhlasan?

Tetapi dia hanya mampu bertanya.

Kenyataan memang tidak selalu serupa seperti apa yang diharap-harapkan. Idealistik menjalar dalam tubuhnya.

Dia selalu membayangkan sebuah dunia di mana manusia dapat saling hidup aman dan tenteram. Tanpa dendam. Tanpa iri. Tanpa penyelewengan. Jadi tanpa perang. Tanpa pembunuhan. Tetapi kenyataannya tidak demikian.

Manusia masih terus bercakaran. Dan lebih aneh lagi, warga yang berjuang untuk membebaskan negerinya telah dicap sebagai pengganas sedangkan pengganas yang sebenarnya didokong dan dibela oleh kuasa besar.

Di manakah keadilan?

Dia hanya mampu bertanya. Itulah yang berulang-ulang terjadi.

Kau bodoh!

Gila!

Munafik!

Dia tidak mengerti kenapa kejian itu dilemparkan padanya. Sepanjang ingatannya dia tidak pernah menyakiti sesiapa. Tetapi kenapakah kejian itu dilemparkan padanya?

Salahkah jika dia hanya mahu menjadi sebagai dirinya dan tidak sebagai orang lain. Ikut sama hanyut bersama arus yang baginya tidak lebih hanyalah suatu kemulau dalam hidup. Munafikkah dia kerana memilih menjauhi dusta?

Mujur dia cepat sedar. Jika tidak pasti dia akan ikui sama terheret. Dan dia sentiasa waspada agar dirinya tidak ikut menjadi sebahagian daripada pendustaan itu.

Itulah juga salah satu sebab kenapa dia memilih untuk bersendirian di pulau kecil dan asing itu. Semakin lama dia semakin merasakan nikmat berada di pulau kecil itu. Meski di sekelilingnya kedapatan pulau-pulau yang sentiasa riuh namun keriuhan itu tidak sedikit pun dapat mengurangi rasa nikmatnya. Setidak-tidaknya, sejak bertahun-tahun ini dia sudah berjaya menjadikan dirinya sebagai dirinya sendiri.

Itulah yang paling berharga baginya. Dia menyedarinya. Dan malah dia sedikit pun tidak tergoda untuk ikut serta di tengah keriuhan itu. Di sini dia merasa lebih senang. Dia seperti berada di dunianya sendiri.

Bukan dia tidak menyedarinya. Orang-orang masih tidak bosan mengambil tahu hal dirinya. Tetapi dia sudah tidak peduli.

Dia selalu membayangkan. Pada suatu waktu.

Api. Api. Api di mana-mana. Dan dia tahu mereka cuba membakarnya dengan api itu. Api yang terluah dari mulut-mulut celupar itu. Mereka sentiasa ingin melihat dirinya dibakar hangus. Menjadi rentong. Dan jika itu benar-benar terjadi, mereka akan mengadakan pesta kerana telah berjaya membakar hangus tubuhnya. Hingga tidak dapat dikenal lagi.

Tidak. Dia tidak akan semudah itu dapat ditewaskan. Sudah bertahun-tahun dia bersedia untuk itu. Alangkah lucunya.

Tidakkah mereka sendiri menyedari bahawa api yang terluah daripada mulut mereka itu akan memusnahkan mereka sendiri?

Ternyata mereka tidak pernah menyedarinya.

Dan sekarang pun api itu sedikit demi sedikit dan perlahan-lahan telah membakar tubuh mereka sendiri. Dan akhirnya mereka akan terbakar hangus. Menjadi rentung. Sehingga tidak dapat dikenali lagi.

Orang-orang inilah yang telah ditemui di sepanjang riwayat hidupnya. Mereka adalah orang-orang yang lompong dan kosong. Yang hanya bergerak dan bertindak kerana diheret oleh keadaan dan persekitaran. Tanpa tahu dan mengerti kenapa mereka mesti berbuat demikian. Kecuali jadi pengekor.

Mahu ke manakah mereka?

Mereka mempunyai akal. Begitu juga yang lain.

Tetapi sungguh melucukan. Barangkali ada sesuatu yang telah mengaburi mereka. Lalu akal yang mereka miliki itu tidak lebih hanyalah perhiasan. Perhiasan yang mereka peragakan ke mana-mana. Tidak lebih dari itu.

Kuasa-kuasa besar berlumba-lumba mempamerkan kebesaran kuasanya kepada yang lemah. Orang-orang besar berlumba-lumba mempamerkan kebesarannya kepada yang kecil.

Untuk apa sebenarnya? Mustahil seorang pemimpin tidak mempunyai akal.

Mereka juga tidak. Kelihatannya, semakin bertamadun manusia, semakin galak ingin saling bersengketa. Ada yang ingin berlagak hero, kononnya. Ada yang ingin berlagak pembela, kononnya. Tetapi yang ingin dibela siapakah sebenarnya?

Justeru itulah dia memilih untuk berada di dunianya sendiri. Berselimut di bawah gebar harapan dan kepercayaannya. Dia memang memilih untuk terasing. Dan sekarang di pulau kecil itulah dia.

Sudah bertahun-tahun lamanya. Demikianlah. Dunianya adalah dirinya sendiri.

Di pulau kecil dan asing itulah dia. Bersama pohon. Bersama batu. Bersama pasir. Bersama unggas. Bersama ketam. Bersama burung. Bersama angin yang sesekali mengejukkan tubuhnya.

Sesekali dia melihat api menjulang tinggi ke angkasa dari salah sebuah pulau yang sentiasa riuh itu. Dan dia dapat membayangkan. Alangkah ngerinya.

Serasa dia dapat mendengar pekikan salah seorang daripada mereka, ketika api itu membakar hangus.

Yang lain masih leka berpesta. Dunia suatu waktu yang singkat. Ia perlu dipenuhkan dengan cepat. Itu matlamat hidup mereka. Dan mereka pun cuba mengisi hidup itu seperti yang mereka fikirkan.

Seolah-olah apa yang sedang terjadi tidak sedikit pun dapat menginsafkan hati mereka yang keras.

Semakin gamat keriuhan itu. Dia sudah memilih untuk tidak mempedulikan apa yang terjadi. Biarlah dia hanya berbicara pada pohon, batu, pasir, unggas dan ketam. Dia merasa lebih senang begitu.

Sekarang dia merasa antaranya dan alam semesta itu telah terjalin satu keakraban. Hanya dia yang dapat mengerti. Keakraban itu semakin lama terasa semakin mengejap.

Dan kini dia merasa dirinya adalah sebahagian daripada pulau kecil itu. Yang hadir di antara sekian banyak pulau yang sentiasa riuh. Justeru itu jugalah dia tidak mengizinkan sesiapa menginjak-injaknya. Menginjaknya adalah bererti menginjak dirinya sendiri.

Sama sekali tidak. Pulau kecil dan asing itu adalah dirinya sendiri. Dia tidak peduli meski sudah entah berapa ratus kali dia melihat dari pulau-pulau yang sentiasa riuh itu terkilat cahaya gemerlapan. Dia biarkan semuanya berlalu. Biarkan siapa sahaja yang datang ke sana. Biar bidadari sekalipun. Dia tidak peduli. Yang penting baginya ialah keberadaannya di pulau itu. Dia mahu bersendiri dan bersatu.

Dia tahu itu hanya muslihat. Dia tahu bencana yang sedang menunggunya di pulau-pulau berdekatan. Hatinya menjawab. Cukuplah sekali. Biarkan mereka dengan kebesaran mereka. Biarkan mereka dengan keegoan mereka. Biarkan mereka dengan kelekaan mereka.

Biarkan mereka. Biarkan Si Luncai terjun dengan labunya.

Meski daripada jauh dia melihat beberapa orang dari mereka sedang terkinja-kinja kepanasan. Dan kemudian, dengan lidah yang terjelir merangkak ke sana dan ke mari mencari lopak. Hamun yang kelihatan di mana-mana adalah padang yang tandus.

Tidakkah mereka mengerti?

Dia hanya bertanya kepada dirinya sendiri. Dan pohon, batu, pasir, unggas dan ketam tersenyum seribu erti.

Cukuplah jika dia sekadar jadi pemerhati.

Pulau asing dan kecil itu adalah segala-gala baginya. Tembok yang melingkunginya kian diperkejapkan. Dan kini, pada bahagian tengahnya telah didirikan sebuah menara yang tinggi.

"Hello, Hau kelihatan segak hari ini," seseorang menegurnya.

Dia tersentak bukan kepalang dan membelingas ke kiri dan ke kanan.

Yang menegur tersenyum-senyum.

Dia menggosok matanya berkali-kali.

Mengamat-amati.

Jelas.

"Ayuh, hari ini aku belanja kau sarapan," yang menegur meneruskan bicara. Dengan surat lembut dan sangat ramah.

Dia baru teringat perutnya yang berkeroncong.

"Ayuh. Tunggu apa lagi?" yang menegur terus mengajak dan seperti mendesak-desak.

Dia menggosok perutnya beberapa kali.

"Ayuh. Ayuh."

Dia menggeleng perlahan-lahan.

Yang menegurnya itu ialah seorang manusia yang dinamakan sahabat.

"Tidak sudi makan belanjaku lagi?" yang dinamakan sahabat bertanya.

Dia terdiam. Kemudian dengan hati-hati dia memanjat menara yang tinggi itu.

Di kejauhan, di pulau-pulau lain yang sentiasa riuh itu, dia melihat tumbuh berceracakan lidah-lidah yang bercabang.

Dia geli dan gelemas!

No comments: