Oleh Ashaari Mohamad
KEMATIAN ialah nokhtah. Satu titik hitam perhentian. Kematian memisahkan antara seorang insan dengan insan yang lain. Apabila tiba kematian, segalanya terhenti. Jong atau tongkang di lautan akan berhenti apabila kematian angin. Betulkah Ayah Su sudah mati?
Bila? Pertanyaan itu bertalu-talu bagai badai menerjah teluk fikiran Boem.
Mati? Eh, apa sakitnya? Tidak pernah terdengar pula khabar dia sakit. Takkanlah mati begitu saja. Seorang tokoh yang begitu terkenal, terpengaruh, bekas Adun, bekas MP, bekas Senator. Seorang tokoh jagoan yang begitu besar sumbangannya kepada perjuangan bangsa. Perjuangan yang termulia dari semua perjuangan. Perjuangan bagi menuntut kemerdekaan tanahair. Menuntut maruah dan kebebasan umat. Takkanlah tidak ada khabar berita.
Boem bingung. Dia meraut-raut rambutnya. Terasa rambutnya semakin jarang. Dibuka kembali lipatan surat dari Pak Bib itu. Dibaca sekali lagi. Semacam tidak pernah puas dia membacanya.
"Ayah Su sudah tiba pada nokhtah," kata Pak Bib di dalam surat itu. "Dan seperti biasalah nokhtah akan menghentikan segala-galanya. Akan memisahkan antara Ayah Su dengan Boem, bahkan dengan semua sahabat handai dan sanak saudara yang lain".
Boem mengeluh. Sekali-sekala hon kereta terdengar di luar. Bersilih-ganti dengan deru enjin yang garing.
Boem termenung. Tak apalah fikirnya, kan bulan depan dia akan pulang. Nanti taulah dia apa kisah sebenarnya. Apa sakitnya. Kenapa tidak dikirim berita kepadanya. Kenapa suratnya baru dijawab oleh Pak Bib.
Sudah hampir empat tahun Boem meninggalkan tanahair. Akan tetapi rasa hormatnya kepada Ayah Su, tetap segar seperti pagi. Rasa kagum Boem terhadap jasa jasa Ayah Su tidak sedikit pun terhakis. Bahkan semakin jauh dirinya di rantau orang, semakin tebal ingatan dan kenangan terhadap Ayah Su.
Seorang tokoh terbilang. Seorang jagoan. Seorang pemimpin yang telah terbukti semangat dan kecintaannya terhadap nusa dan bangsa. Seorang pemimpin yang disanjung dan disayangi.
Boem masih ingat, di tahun-tahun pancaroba, yang penuh dengan kemelut untuk menuntut kemerdekaan, Ayah Su telah memainkan peranan yang sangat besar. Ayah Su itulah yang menyelamatkan Pak Ain dari ditangkap oleh British. Dialah yang mengatur rancangan melarikan Pak Ain ke sebelah Barat. Kemudian apabila negara hampir mencapai kemerdekaan dialah yang mengepalai usaha membawa balik Pak Ain ke tanahair, ke tengah saudara mara sahabat handai dan bangsanya.
Bukan itu saja. Apabila Ayah Su terpilih sebagai Adun, begitu banyak pertolongan dihulurkan kepada anak buahnya. Dari segi apa saja. Begitu juga apabila Ayah Su terpilih sebagai Ahli Parlimen. Namanya menjadi buah mulut ahli parti. Sehinggalah dia dilantik sebagai Senator pada saat-saat usianya semakin meningkat. Dia terus berjaya memenangi hati rakyat.
Tapi, betulkah dia sudah mati? Ah, Sayang. Tapi kalaulah betul, itu bermakna Tuhan lebih sayang kepadanya, demikian keserabutan fikiran yang bercelaru seperti reba di dalam kepala Boem.
Boem tidak akan lupa jasa Ayah Su terhadapnya. Ayah Su jugalah yang berusaha mendapatkan biasiswa untuknya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kini dia sudah berjaya.
Kejayaannya itu menebalkan lagi rasa terima kasih dan rasa terhutang budinya kepada Ayah Su. Kalau tidak kerana Ayah Su dia masih seorang guru sekolah Melayu yang serba kekurangan.
II
Lintasan fikiran yang kacau itu membuatkan dia semakin rindu untuk pulang. Hatinya bagai digeletek. Terbayang kampung halaman di matanya. Pantai Cinta Berahi, Pantai Sabak, beca, sawah, keli, belalang, pacat, bau asap bakaran nostalgianya.
Di kota, di mana dia telah bercokol hampir selama empat tahun, itu semua tidak ada. Yang ada ialah sebuah kota gila, dan asing baginya. Di kota batu itu hidupnya sentiasa dihambat melankolik. Nostalgia terhadap kampung halaman, rindu kepada ombak Pantai Cinta Berahi, batas sawah, keli, haruan, belalang, bau asap jerami dan sekam yang tidak terdapat di kota batu itu.
Itu semua hanya terdapat di kampung kelahirannya sahaja. Bagaimanapun tidak berapa lama lagi rindunya akan terubat. Tak lama lagi. Kira-kira sebulan. Aduh, sebulan, alangkah lamanya. Tidak ternanti, tidak tertunggu lagi rasanya. Sebulan baginya macam setahun, macam seribu tahun.
Betulkah Ayah Su sudah mati. Betulkah. Oh Tuhan, betapa besar rindunya.
Tiba-tiba dia terasa hangat. Di dalam cuaca musim luruh kota negara dingin itu dia terasa hangat dan lemas. Dikuak tingkap kaca untuk mendapatkan udara segar dingin dari luar. Sekelumit angin dingin menerpa ke mukanya.
Sekawan merpati yang hinggap berhimpun di sebelah atas tingkap biliknya yang terletak di tingkat kesepuluh rumah pangsa itu terkejut, lalu lari menerawang ke udara. Beberapa helai bulu yang lembut dari kecil tercabut dari kepak burung-burung itu melayah jatuh ke bumi dengan lemah longlai.
Rasa cemburu merayap di kulit hati nurani Boem. Ah, alangkah beruntung merpati. Terbang bebas ke mana saja. Oh Tuhan, kalaulah dia juga dapat terbang seperti merpati itu, rasanya sekarang juga dia ingin terbang pulang. Sekali lagi dengan tidak semena-mena dia menjadi rindu. Rindu kepada siulan angin di sawah padi yang menguning di musim menuai. Rindu kepada empeng beras baru. Rindu kepada pulut pagi dan ikan sepat asin.
Di kota gila ini dia hanya ditemani buku-buku. Tidak ada bunyi gendang tabuh wayang kulit. Tidak ada bunyi-bunyi cengkerik di malam yang hening. Tidak ada suara azan di Surau atau balai sah.
Di sini hanya kota batu yang memekak dengan deru enjin. Di mana-mana yang ada hanya bau hanyir noda dari budaya kuning yang menghambat nilai murni kemanusiaan. Di lorong-lorong gelap terdapat pelesit hitam yang ganas dan mengancam kesusilan. Merompak dan mencederakan mangsa yang tidak berdaya. Hati Boem meluap-luap dengan rasa benci yang jengkel. Kota celaka. Ah, persetan.
Kalau tidak kerana mengejar ilmu, haram bagi anak didikan desa seperti dia datang mendayuskan maruah dirinya di kota gila ini.
Bagaimanapun sebulan lagi dia akan kembali ke pangkuan desa kelahirannya. Sebulan tidak lama. Mengingatkan hal itu terasa ringan sedikit beban yang menekan perasaannya. Lantas dia pun cuba-cuba bayangkan saat dan waktu itu. Pertama dia akan ke rumah Ayah Su. Walau Ayah Su memang sudah tiada, tetapi Mak Su telah ada.
Mengapa kematian Ayah Su tidak diberitahu kepadanya. Kenapa? Susah sangatkah menulis surat. Mujur juga Pak Bib menjawab suratnya. Kalau tidak, Boem tidak akan tahu bahawa Ayah Su sudah mati. Hayatnya sudah sampai kepada nokhtah.
Beberapa buah pintu gerbang telah tersergam. Hampir semua persiapan menyambut Hari Kebangsaan itu telah dibuat.
Lantas Boem teringat akan Ayah Su. Dulu pada waktu-waktu seperti ini Ayah Su amat sibuk Bahkan beberapa kali Ayah Su diberi penghormatan untuk berucap di majlis Hari Kebangsaan di kampungnya. Pernah juga Ayah Su dijemput ke Kuala Lumpur untuk menyertai Hari Kebangsaan.
Tapi kini Ayah Su sudah pergi. Pergi jauh dan tidak dapat dijangkau lagi. Oh, Boem kembali bersedih.
III
Dengan penuh hati-hati dia melangkah perlahan-lahan di celah-celah umbi getah tua. Terasa gebu lapisan daun-daun getah yang menutupi jalan kampung itu. Perasaannya semakin sugul. Terasa ingin saja dia menangis. Ayah Su telah pergi. Telah menemui nokhtah hidupnya ketika dia berada jauh dari tanahair. Yang lebih memalukan, perginya Ayah Su tanpa secebis khabar berita.
Rumah separuh batu dan separuh cengal itu masih tersergam. Kelihatan sepreti sebuah istana lama yang jarang dikunjungi lagi. Boem teringat bahawa di rumah itulah pada masa silam, mereka berkumpul dan memeta perjuangan. Ayah Sulah yang menjadi pemimpin ulung perjuangan itu. Banyak perjumpaan sulit diadakan di situ. Ramai pemimpin silam negara yang pernah menjejak kaki di rumah itu ketika Ayah Su berada di puncak kegemilangan.
Tetapi kini rumah itu kelihatan tidak bermaya lagi. Rumput rampai di halamannya, tidak terbela lagi.
Pintu dan tingkap kelihatan kumal dan sentiasa tertutup. Tangan Boem sedikit gementar ketika dia memberi malam serta mengetuk pintu kayu cengal tua itu. Selepas lontaran salam yang beberapa kalinya yang Boem sendiri tidak ingat, terdengar suara batuk tua dan uzur dari ruang yang jauh ditingkah oleh suara tua halus menjawab salam. Boem terasa masa sekejap menunggu daun pintu dikuak itu amat lama.
Pintu ternganga dan tiba-tiba wajah Ayah Su tersembul. Boem terasa alam sekelilingnya kelam. Dia berada dalam satu teka-teki yang paling hebat pernah dialami dalam hidupnya. Mimpikah dia? Jagakah dia. Ayah Su yang sudah mati muncul semula. Sepantas kilat dia mencapai tangan Ayah Su dan bersalaman sambil mengucupnya.
"Ayah Su," terloncat kata dari bibirnya.
"Boem,"tingkah Ayah Su. Suasana senyap bagai malaikat lalu.
"Ya Allah, Pak Bib kata Ayah Su sudah tiada Apakah ini semua. Gurauan apakah ini." Boem memecah kesunyian senja itu dengan segunung rasa kesal.
Boem dapati wajah Ayah Su sudah tidak seperti dahulu. Bayangan kesedihan dan penderitasn batin yang mendalam kelihatan amat jelas di matanya. Dia kini kelihatan seperti seorang jagoan yang kalah. Sebagai seorang pahlawan yang telah gugur. Sebagai seorang panglima yang tewas dalam perang.
Senja itu tersingkaplah riwayat tersembunyi yang selama ini merupakan mistri bagi Boem. Cerita yang didengar sendiri dari mulut Ayah Su yang berjasa ita menjadikan Boem merasa geram dan kesal. Tahulah Boem mengapa Pak Bib mengatakan Ayah Su sudah mati. Kata-kata Pak Bib itu sebenarnya asalah simbolik kepada kisah sebenar yang didengar dari mulut Ayah Su sendiri.
Apabila partinya kalah di dalam pilihanraya dengan amat teruknya Ayah Su mulai mengalami nasib yang berlainan sekali. Kalau pada masa partinya berkuasa dia merupakan seorang yang dihormati dan disegani, tetapi setelah kalah, dan dia tidak lagi memegang jawatan mulailah dia disisih.
Disebabkan rasa terlalu jauh hati Ayah Su akhirnya memencilkan diri. Dia tidak lagi bercampur-gaul dengan orang kampung. Tidak lagi bercampur-gaul dengan sahabat handai dan sanak saudara. Bahkan ke surau pun dia jarang pergi.
Perubahan angin politik di negerinya telah menukar corak dan tradisi masyarakat desanya.
Apabila anaknya meninggal dunia dan tidak ada sahabat handai yang akrab dengannya dahulu menjengah muka, maka hatinya hancur luluh. Perubahan pendirian parti rupanya telah menghancurkan kehidupan murni insan desa. Sejak peristiwa kematian anaknya itulah sikap Ayah Su sudah bertukar dengan amat ketara. Ibarat siang bertukar malam.
Hati Ayah Su luka parah. Apabila anaknya sendiri meninggal dunia, hanya beberapa kerat sahaja jaran yang mengambil berat. Apakah mereka sudah lupakan jasa jasanya selama ini? Hampir separuh daripada usianya dia menabur bakti. Jangankan kata mati relai, bahkan kalau ada orang-orang kampung yang sakit demam pun tidak pernah tidak dijengahnya.
Sikap orang kampung ketika kematian anaknya, itu amat memilukan hatinya. Dia hampir-hampir tidak percaya bahawa perubahan angin politik itu telah menghancurkan tradisi desa selama ini.
Itulah sebabnya dia memencilkan diri daripada jiran-jiran dan sahabat-handai. Dia amat kecil hati dengan perubahan sikap mereka.
Kini dia kesunyian. Sugul, Sedih. Menderita. Dan memakan hati.
Fahamlah Boem mengapa Pak Bib mengatakan Ayah Su sudah mati. Fahamlah Boem mengapa Ayah Su kini bukan lagi seperti Ayah Su yang dulu. Fahamlah Roem kini mengapa Ayah Su bukan lagi seorang pemimpin pujaan dan jagoan. Fahamlah Boem mengapa Ayah Su kini bukan lagi tangan yang menghulur rezeki. Fahamlah Boem kini mengapa Ayah Su bukan lagi cahaya yang menerangi malam-malam yang hening. Fahamlah Boem mengapa rumah Ayah Su kini lengang dan tiada lagi pengunjung yang meriah.
Seorang tokoh perjuangan, seorang tokoh yang gemilang, seorang tokoh yang sangat berjasa tiba-tiba seperti telah mati. Alangkah sayangnya. Alangkah kesalnya. Alangkah kejamnya angin sejarah yang merentap lipatannya yang rapuh.
Ingin rasanya Boem memujuk Ayah Su supaya kembali ke pangkuan masyarakat. Tidak perlu dia merajuk sampai begitu sekali. Tidak perlu dia terus-menerus menyiksa batinnya. Tapi Boem tidak berdaya.
"Segala-galanya sudah berakhir buat Ayah, Boem", terkeluar kata-kata dari mulut Ayah Su.
"Kalau orang sudah tidak pandang lagi kepada Ayah Su, apa boleh buat", sambung lagi.
"Tetapi jasa Ayah Su banyak. Takkan semua orang dah lupa?", kata Boem.
"Dalam politik, Boem", jawab Ayah Su, "tidak ada kenang-mengenang".
Kata-kata akhir Ayah Su itu mematikan hujah Boem seterusnya.

No comments:
Post a Comment