Oleh Tajuddin Saman
SEMALAM-MALAMAN itu Kassim tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya berserabut. Tangisan anak bungsunya, Milah, semakin menjadi-jadi, menyebukan kekalutan yang tidak kelihatan dalam benaknya.
Kesepian malam itu terusik oleh tangisan Milah yang nyaring. Mek Nah, isterinya, kalut mendemah perut Milah. Kain cukin suam yang dipanaskan dengan mulut didemah ke perut bayi yang masih merah itu.
Mek Nah mengepal kain cukin lagi. Sejurus itu, dipalamkan ke mulutnya lalu nafasnya ditarik sehabis daya. Setiap kali angin nafasnya terhimpun, kedua belah pipi Mek Nah menjadi kembong macam perut ikan buntal diangkat ke darat.
Angin itu dihembuskan ke kain di mulut; meninggalkan kesan wap panas pada kain yang sudah kelabu itu. Habis saja tiupan, pipinya kempis semula. Mek Nah mengulanginya berkali-kali. Kemudian kain itu dituamkan ke perut Milah.
Malangnya bayi empat bulan itu terus melalak macam dirasuk jembalang. Pelik betul perangainya. Membuat hal di tengah-tengah malam. Mek Nah tidak tahu apa puncanya. Entah kembung, entah sebu. Tidak siapa tahu. Anak kecil yang kurus itu belum tahu menceritakan kesakitannya.
Milah tidak mengerti apa-apa. Dia tidak tahu fikiran bapanya tengah berserabut. Penuh simpang siur kehidupan. Dia tidak tahu. Dia cuma tahu melalak. Lapar melalak. Sakit melalak. Itu saja.
"Apa kena budak tu ... kasi sajalah susu!" Kasim bersuara tinggi.
Mek Nah macam tidak menghiraukan suara garuk lakinya. Dia terus mendemahkan kepal kain cukin suam ke perut Milah. Tapi raungan anak itu tidak juga reda.
"Eh, kasilah susu tu, awak ni macam tak pernah beranak saja...," sergah Kassim.
Mek Nah berhenti mendemah Milah. Matanya tajam merenung Kassim yang terbaring di atas tikar mengkuang yang berlubang-lubang. Tubuh lakinya yang sasa tapi semakin kendur itu dilihatnya seperti kecil saja.
"Dah kasi pun, dia tak mahu, entah kembong, entah sebu ... awak ni kira nak marah saja!" Mek Nah mendengus. Dadanya ketat. Mana anak menangis. Mana mahu mendemah perut. Mana mahu menimang-nimang, mendodoikan bayi yang dirasuk jembalang itu.
Lakinya asyik marah saja. Tidak ada kerja lain. Hati mana tidak sakit. Berjaga tengah malam sejak anak sulung hingga anak lima, bukan senang. Kembung, sebu, semuanya tugas Mek Nah. Kassim tidak pernah kisah.
Kassim sendiri tidak pasti. Mengapa sejak beberapa minggu ini darahnya mudah meluap. Telinganya semakin nipis. Mungkinkah kerana usia yang kian lanjut -hampir setengah, abad sekarang?
Tapi dia tidak yakin kelanjutan usia menyebabkan api kemarahan dalam dadanya makin membara. Bara kemarahan insan sering pupus pada usia tua. Pengalaman yang panjang dalam hidup mengajar insan menjadi sabar. Cuma, orang muda saja sering marah-marah, fikirnya.
Namun mengapa pada usia sekarang kemarahannya kian semarak? Aneh. Mungkinkah dia dihinggap darah tinggi? Tidak mungkin. Penyakit itu bukan warisan keluarganya.
Keturunannya bukan petapa bilik berhawa dingin. Pejabatnya tidak pernah berbumbung. Tubuhnya selalu dipanah menteri serakus-rakusnya hingga pelupok matanya yang sudah kendur itu menjadi hitam lebam. Tiap hari, peluhnya menyembur keluar dari tubuh yang kurus; meleleh ke kulit hitam, kendur dan kasar itu, lalu menitik dan jerap ke bumi. Dari peluh itulah Kassim mengutip butir-butir nasi untuk disuap ke mulut lima anaknya.
Dia menoleh ke anjung. Dilihatnya Jusoh, Awang, Leman dan Budin terkapar tidak sedarkan diri. Entah apa mimpi mereka. Tapi Kassim hampir pasti, mimpi anak-anaknya juga tidak lari jauh dari mimpinya. Mereka tidak mungkin bermimpi menjadi penghuni bilik berhawa dingin.
Anak-anaknya juga tidak mungkin bermimpi menjadi penangkap kawasan pembalakan. Tidak mungkin mereka menjadi taukeh. Segalanya bertali arus dari warisan keturunannya. Mereka tidak pernah memiliki tangga panjatan masyarakat.
Hari-hari mereka cuma terisi dengan cak cekok udang gamit, cak makan padi, hayun pak denok ... Mereka tidak pernah menyentuh lego, ninja turtle atau meratah Kentucky Fried Chicken.
Segalanya bertali arus dari warisan keturunan. Bapanya, datuknya, neneknya, mungkin moyangnya, piut-miutnya -mereka semua terlalu biasa dengan kayu kayan.
Semua penduduk kampung Tega Lalang tahu siapa Kassim. Dia sudah terlalu lama menjadi penghuni hutan. Hampir semua orang asli di sekitar hutan simpan itu sahabatnya. Harimau, ular, gajah mungkin sudah biasa dengan bau badannya yang hapak memanjang. Pohon-pohon rimba mungkin terlalu kenal Kassim yang pantang melihat pokok besar.
Ketika mesin gergaji taukeh rosak, Kassim terus gigih mengapak perdu pokok gergasi. Perdu pokok besar - hampir 300 perpang; lebih 100 kaki tingginya, sayup menyucuk ke awan - cuma perkara biasa bagi Kassim. Pokok 100-200 tahun, mainannya belaka. Sedikitpun dia tidak gentar menumbangkannya.
Dia terlalu biasa dengan bau getah merbau atau damar dan meranti. Lebih 20 tahun getah dan damar pokok itu menusuk ke hidungnya. Dia hampir jadi ketagih pada bau itu.
Bau getah dan damar itulah merantai kakinya dari meninggalkan hutan. Pernah dia cuba mencari pekerjaan lain tapi jari jemarinya serta merta menjadi kekok. Lalu dia kembali ke hutan.
Sayang Kassim pada hutan hampir sama dengan sayangnya pada Meh Nah . Dia akan tentang siapa saja yang cuba memusnahkan hutan. Berbalam dalam ingatannya; Kassim pernah menudingkan kapak besar kepada seorang taukeh balak yang cuba merodok pokok kayu di hutan simpan dekat kampungnya.
Kassim tahu taukeh itu mabuk kekayaan. Semua penceroboh hutan gila wang. Mereka tidak peduli apa jadi pada hutan. Mereka sangka pokok besar itu tumbuh sekelip mata. Mereka lupa ia membesar begitu dalam tempoh beratus tahun. Hutan indah dan menjadi tadahan air, mahu dimusnahkan sekilat petir di langit.
"Kurang ajar!" Kassim menyinga.
Dia mudah berang bila berdepan dengan pemusnah hutan. Hutan tempat dia mencari rezeki. Dia bekerja dengan pembalak berlesen. Dengan keizinan, dia cuma menumbangkan pokok yang ditandakan oleh pegawai hutan saja.
Tapi penceroboh tidak begitu. Mereka tidak ubah seperti taukeh pukat apolo. Habis zuriat ikan disauk. Mereka tidak boleh membohonginya. Kassim kenal wajah penceroboh meskipun mereka cuba berselindung dengan berbagai cara.
"Kita ada surat Agong. Awak jangan cuba halang kita tahu?" gertak taukeh balak yang membawa lima jentolak ke pinggir hutan itu.
Mereka tidak boleh membohongi Kassim. Mungkin pengajiannya cuma setakat darjah tiga Sekolah Melayu Tega Lalang, tapi dia terlalu mengerti nurani hutan hingga dia tahu makna nyanyian unggas.
Mungkin dia tiada tangga panjatan masyarakat. Namun pegawai ranger hutan di daerahnya sering mencari Kassim jika mereka ada masalah. Hubungannya dengan pegawai jabatan itu bagaikan kulit dengan rangka. Intim. Mereka saling bantu-membantu. Malah, pegawai hutan daerah itu melantik Kassim sebagai pengawas hutan suukarela. Dia kenal langkah sumbang penceroboh.
"Lebih baik kamu berambus sebelum aku takek ketingmu dengan kapak ini," sergah Kasim dengan suara garaunya.
Taukeh itu seperti tidak mengendahkan ugutan itu. Mukanya kering dan selamba. Difikirannya terbayang beberapa peguam yang menjadi kawan akrabnya di bandar. Tapi hatinya gusar juga. "Orang bangsat macam Kassim, bikin kacau saja, tidak boleh diajak berunding," fikirnya.
Tengah menuding-nuding kapak ke muka taukeh balak, pegawal ranger Ripin tiba di pinggir hutan simpan itu. Dia menerpa ke arah Kassim. "Ada apa? Saya dengar kamu ada masalah?" Ripin bercekak pinggang.
"Tokeh ini nak main kayu tiga. Dia kata ada surat Agong nak sodok balak di hutan ni. Betulke Tok?" Kassim menjunamkan mata kapak ke tanah. Hulunya digenggam kuat.
"Surat Agong? Mana dia?" Ripin membulatkan pandangan pada taukeh bermata sepet itu.
"Ki..ki..kita tidak bawa ini hari. Nantilah, esok, kita bawa...".
Ripin tersenyum sinis: "Setahu sayalah, surat menteri ke, surat Agong ke, itu surat mesti dibawa, ditunjuk pada saya di pejabat, apa pasal tak datang pejabat?" Uban Ripin di kepala yang bercambah itu sudah cukup mengajarnya tentang makna kehidupan.
Taukeh balak itu mendengus. Dia dan tiga lelaki lain yang datang bersamanya terus berpusing ke belakang, melangkah menuju ke trooper mereka di sisi sebuah jentolak. Mereka masuk ke trooper, menutup pintunya dengan kuat. Pemandunya menekan gear serapat mungkin. Berjabu menyembur debu dari pusingan roda belakangnya yang ligat.
"Biar saya kapakkan mesin tolak tu Tok," Kassim masih berang.
"Jangan ... biarkan di situ. Kita balik dulu. Nanti saya hantar orang jaga kawasan ini...," Ripin menaiki semula jip jabatannya. Dia dan Kassim meninggalkan tempat itu dengan seribu kemungkinan.
Milah meraung lagi. Kassim bingkas bangun. Bohol pelekat dipinggangnya terburai dan kain itu melorot ke tikar mengkuang lusuh di lantai papan. Dia cepat mencapai, memakainya semula.
Dia menghampiri Milah yang terbaring. Kepala bayi itu diampu bantal berpeta seribu. Kassim memerhati Milah yang terus meraung. Mulut bayi tidak bergigi itu ternganga luas. Matanya pejam. Hidungnya kemek lantaran meneran keluar suara tangisan.
Fikiran Kassim celaru. Mungkin benar, pada usia kini, dia memerlukan suasana tenteram. Kadang-kadang dia ingin menyendiri. Tapi kemampuan itu tidak pernah tiba. Entah bila dia mampu memperolehi ketenangan abadi.
Raungan Milah meninggi. Lalakannya kali ini lebih memedihkan telinga. Mungkin kembong menyerang semula. Angin menusuk hulu hati. Mek Nah terkial-kial mencari kain cukin. Disambarnya juga botol minyak angin Tok Awang Loceng. Habis licin perut Milah dilumur minyak itu.
Tapi kali ini Milah bagaikan mengamuk. Lalakannya sambung-menyambung macam ada lipan bara di bawah punggungnya. Kassim celapak ke tepi bilik tunggal dalam rumahnya. Bergegar bumbung zink rumah itu.
"Junjung!...Ayak perutnya!"Kassim jadi gelabah. Bayi merah itu kini menjadi seperti udang bakar. Kaki dan tangannya berkerekot.
Meh Nah mengangkat Milah. Diterapkan perut anak itu di atas kepalanya. Rambutnya beruban di sana sini habis dilumuri minyak angin yang ada di perut Milah.
"Badannya makin panas, bang" di tengah raungan itu Mek Nah memusing-musingkan badannya sambil menjunjung perut Milah bagaikan puteri joget bergencok di funfair musim mengerat padi. Kassim berasa juga nak tergelak. Gencok Mek Nah mengingatkannya ke zaman dia mencuri kedap padi Tok Serat yang kemudian dijual di kedai Ah Luan untuk mendapatkan beberapa ringgit. Wang itulah digunakan untuk membeli tiket masuk ke funfair untuk bergencok.
Kadang-kadang duit kayu api bapanya turut disapu. Nakalnya memeningkan kepala orang tua itu. Hingga kadang-kadang bapanya sesak nafas kerana ditubi kenakalan yang membebankan fikiran itu.
Di hari kematian bapanya, Kassim bagaikan kehilangan sesuatu yang sukar dinyatakan. Dia seakan-akan diserang kejutan budaya. Dari anak nakal berubah menjadi pemikir kehidupan. Waktu itu barulah diketahui keindahan hidup zaman anak-anak cuma suatu hiasan sementara belaka. Ia akan hilang menjelang usia dewasa.
Tali arus kehidupan membawa Kassim ke hutan. Dia mewarisi hidup bapanya-Bermain kayu kayan. Sekadar dia mungkin lebih baik dari bapanya. Dia tidak merincik kayu api tapi menebang pokok besar.
"Badannya panas bang, macam api..," bentak Mek Nah. Kassim tersentak.
"Jelum..Jelum ... buat air asam, jelum kepala..."
"Tolonglah buatkan sekejab!"
Kassim tidak banyak bicara. Keadaan semakin cemas. Dia lantas ke dapur, menggagau segenggam asam jawa dalam guri. Dimasukkan ke mangkok berisi air. Diramas-ramas. Kemudian dijelumkan ke kepala Milah.
"Mungkin nak keluar campak agaknya budak ni...," Kassim menyindarkan badannya yang berpanau ke dinding.
"Makan tak tentu arah. Susu pekat memanjang...," Mek Nah menyanggah.
"Habis, susu awak tak diberi?" "Tak cukup ... kena bantu dengan susu tepung juga, awak tu tak bersusu, apa awak tau?"
Kassim teringat pagi itu Mek Nah hampir merayu kepadanya. "Cubalab belikan susu tepung yang baik. Anak perempuan kita sorang ni saja, tak kesiankah ... ?"
Bapa mana tidak mengasihani anak. Monyet hutanpun tidak tergamak membiarkan anaknya. Kassim bukan tidak mahu membelinya. Tapi sejak seminggu lalu hujan memanjang. Dia tidak ke hutan. Ertinya, seminggulah poketnya kosong.
Lagipun Kassim bukan tahu sangat jenama susu yang baik. Paling tinggi Lektojen, Nespray. Itupun kena ke kedai Maidin di hujung kampung. Lain dari itu dia kurang pasti. Dia dulu tidak pernah kenal susu tepung. Susu ibunya sering disedut sampai sejat.
Mek Nah juga begitu. Dia sendiri tidak pandai menyebut jenama susu mahal. Cuma dia pernah tengok pupu poyang dari bandar memberi susu mahal untuk anak mereka. Dia juga ingin sesekali Kassim membelikan susu begitu untuk Milah.
Bukan asyik susu pekat -cap junjung cap teko memanjang. Itu pun Kassim selalu merungut. "Susu pot ini pun dah mahal sekarang. Dulu 65 sen saja, sekarang dekat $2 setin."
"Alah, belikanlah susu tepung yang baik setin," Mek Nah merayu.
"Tengoklah, aku tengah cari duit nak beli mesin gergaji ni...mana boleh main kapak saja."
Sejak seminggu lalu Kassim menongkol di rumah. Hujan memanjang. Rezeki warga hutan hampir sama dengan orang laut. Jika hujan, pendapatan merosot. Seperti laut, hutan juga bahaya di musim hujan.
Kepala kawannya, Dolah, bersepai di bumi dihempap pokok besar dalam musim hujan. Kassim masih ingat. Dolah menebang pokok besar petang itu. Gerimis yang merebas tidak dipedulikan. Waktu pokok besar itu tumbang, Dolah melarikan diri sambil mengendung mesin gergaji.
Entah bagaimana pokok besar itu terhempap ke atas sebarang pokok lain yang tergalang di atas sebatang kayu. Batang pokok itu membidas dan menyembung kepala Dolah.
Waktu itu juga kepalanya bersepai. Darah menyembur. Isi kepala yang putih bersepah. Dolah terkapar di tepi pokok besar yang ditumbangkanya. Sejak itu Kassim seolah-olah bertaubat tidak akan ke hutan waktu hujan. Dan sudah seminggu hujan tidak putus-putus. Dapur rumahnya tidak berasap. Bagaimana mahu membeli susu yang baik?
Milah selop. Suara anak kecil yang mulanya tinggi, kemudian ghaib seketika. Sejurus, meninggi semula, sejurus selop lagi. Pelik. Petaka apa yang datang malam itu. Kassim benar-benar gelabah. Fikirannya bertambah haru-biru.
Macam-macam ikhtiar sudah dilakukan. Demah sudah. Sapu minyak angin sudah. Junjung perut sudah. Ayak sudah. Jelum sudah. Mek Nah sendiri sudah habis ikhtiar. Semua petua nenek yang diturunkan kepadanya sudah dicuba. Semua tidak serasi. Tangisan Milah makin menggila.
"Kita bawa ke klinik pekan sajalah." Kassim tenggelam punca.
"Klinik apa tengah malam buta ni. Nak ke pekan, kena tunggu lori taukeh juga," Mek Nah menggerutu.
Kassim seperti ayam hilanng anak. Jarang dia menyebut klinik kalau sakit. Jarak rumahnya ke klinik bukan dekat.
"Aku panggil Rahman Tok Mo saja...," Kassim teringat bomoh yang selalu berkawan dengan orang asli di hujung kampung.
"Lekas bang....panas badannya bukan main," Mek Nah jadi tidak tentu arah. Milah selop terlalu lama. Tangisannya tidak kendengaran lagi. Cuma isakannya saja sesekali timbul. Badannya lembik, terkulai. Mek Nah menembahkan telinga ke dada anaknya. Masih berdegup. Masih berdegup.
"Pergi lekas bang....lekas...," kejam Mek Nah.
Dengan seluar katuk, Kassim menyentak wali yang tersangkut pada tanduk rusa di tiang tengah rumah. Dia melangkau dua tiga anak tangga, turun ke bawah. Waktu kakinya memijak tanah, telingnya terdengar kokokan ayam.
"Dah dekat subuh," bisiknya.
Di bawah sinar bulan penuh, Kassim terus berlari ke hujung kampung. Angin malam merebas tubuhnya yang tidak berbaju. Tidak lama dia kembali bersama Rahman Tok Mo. Beberapa tepak sireh, berulas pinang diserahkan kepada bomoh itu. Waktu menurun, Raman Tok Mo memamah sirih pinang hingga lumat. Kemudian disemburnya ke badan Milah.
Tapi anak itu tidak menangis lagi. Selopnya sepi terlalu lama. Tubuhnya kaku dan tidak bergerak. Waktu itu, Mek Nah pula yang menangis, menggantikan suara tangisan anaknya. Kassim mendekati Milah, menyentuh tubuhnya. Tubuh bayi yang tidak mengerti apa-apa itu masih panas.
Kassim menarik kain batik panjang di sisi Milah dan menutup seluruh badan anak itu. Tidak diduganya tangisan jembalang Milah malam itu berakhir sedemikian. Dia masih tidak tahu mengapa anak itu menangis hingga hilang nafas.
Dia sudah berikhtiar. Tapi setiap nafas insan hanya milik Allah. Cuma hatinya terlalu pedih dan terkilan mengingatkan harapan Mek Nah untuk mendapatkan setin susu yang baik terpaksa ditangguhkannya.

No comments:
Post a Comment