Pages

Sunday, March 29, 2015

SDSR

Oleh Ismas Saring

SUDAH lama Wong Beng Kong merenung fail mengandungi kertas kerja dan projek barunya. Semuanya hanya akan berjaya dengan campur tangan Datuk Makmur. Jika nama Datuk Makmur tidak dimasukkan sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah, sudah tentu permohonan mendapatkan kelulusan hanya impian semata.

Wong Beng Kong, yang lebih dikenal dengan panggilan Mr Wong itu mencari jalan seribu liku bagaimana hendak memujuk Datuk Makmur menyertai projek barunya. Dia yakin Datuk Makmur akan setuju saja. Selama ini Datuk Makmur tidak pernah menolak. Kerana jika menolak, bererti menolak rezeki yang datang menggolek.

Bagaimanapun, dia perlu meyakinkan Datuk Makmur bahawa projek itu bukan saja akan memberinya habuan kerana perkhidmatannya, tetapi juga memberi faedah kepada rakyat, sekurang-kurangnya masyarakat tempatan. Justeru itu fikirannya menjadi: Dimakan mati emak, ditelan mati bapak. Datuk Makmur bukan sebarangan.

Dia yang hanya bermula daripada seorang peniaga sayur kini menjadi jutawan yang kalau dihisab adalah orang terkaya di daerahnya kerana bantuan dan pertolongan Datuk Makmur. Dia tidak menafikan itu semua. Datuk Makmurlah yang memainkan peranan penting kepada seluruh kejayaannya menjadi seorang usahawan tempatan paling menonjol kini. Dua buah kilang memproses kelapa duk besar terhadap pembangunan negara. Tetapi projek kali ini, melibatkan modal yang besar. Sebuah kawasan perumahan.

Tidak ada masalah baginya untuk melaksanakan projek itu. Tidak ada. Wang. Sebut saja nama Mr Wong bank atau institusi kewangan berebut menawarkan pinjaman. Asetnya kukuh. Kerana itu siapa saja akan percaya terhadap projeknya. Satu projek yang dilaksanakan dengan modal lebih $100 juta sudahpun siap. Sebuah kawasan rekreasi. Siap dengan padang golf. Ada kelab bagi orang yang berwang, walaupun tidak ternama.

Baginya, yang menjadi penghalang ialah untuk mendapatkan kelulusan tukar syarat dari tanah pertanian kepada taman perumahan yang bakal dibangunnya. Dia sudah mengira. Dari kawasan itu dia akan dapat mendirikan kira-kira 2,000 unit rumah. Tiga puluh peratus mesti untuk  rumah kos rendah dengan harga $25,000 seunit. Manakala 1,400 unit lagi dari pelbagai jenis pangsapuri, harga sederhana dan mewah.

Dia sudah mengira kerugian kira-kira $6 juta. Ini disebabkan setiap rumah murah tiga bilik berharga $35,000 di pasaran. Tetapi pihak berkuasa menetapkan rumah kos rendah hendaklah dijual dengan harga tidak lebih daripada $25,000. Ini bermakna setiap unit dia kena beri subsidi kepada rakyat pendapatan rendah purata $10,000. Jika setiap rumah $10,000 dia terpaksa memberi subsidi berjumlah $6 juta atau menanggung kerugian sebanyak itu di dalam kira-kira tahunan syarikat. Jumlah itu bukan kecil.

 Satu sumbangan besar kepada pembangunan negara. Kepada kerajaan. Masakan orang yang memberi sedemikian banyak sumbangan kepada pembangunan negara, kerajaan hendak menyekat projeknya. Masakan. Di segi itu, dia yakin kerajaan akan akan memberi keutamaan dan permohonannya diluluskan. Tetapi, iya tetapi, Apa juga yang hendak dibuatnya mesti ada gandingan Bumiputera. Inilah yang memeningkan kepalanya. Rasanya sudah bosan dia dengan kerenah ini. Dan dalam soal ini, di tidak boleh meninggalkan Datuk Makmur untuk membantunya.

Memangnya, Datuk Makmur banyak menolongnya. Datuk Mukmurlah yang mula-mula membantunya mendapatkan tender membina projek perumahan kediaman pegawai-pegawai kerajaan. Dari projek itu saja dia mendapat keuntungan tiga juta ringgit setelah tolak terajang dan mengadakan upacara perasmian meletak batu asas dan siapnya projek itu. Tetapi satu pertiga daripada tiga juta itu lepas ke Datuk Makmur.

Bukan rasuah. Itu adalah Pelaksanaan dasar Saya Dapat Semua Rasa (SDSR) dan dasar itu membuktikan keberkesanannya. Atas dasar itulah dia kena letak nama Datuk Makmur dan isterinya Datin Maliana sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam Sapujagat Sdn Berhad dan Putaralam Sdn Berhad yang membabitkan pembayaran elaun dua ribu ringgit sebulan bagi setiap syarikat. Kini, sekali lagi, syarat yang dikehendaki ialah mesti ada gandingan Bumiputera dalam syarikat perumahan itu, Namanya cantik, Taman Sri Bulan.


Dia tidak keberatan menamakan Datuk Kurap Jambul, orang kanan Yang Berhomrmat dalam syarikat barunya: Syarikat Perumahan Taman Sri Bulan sebagai mana yang dicadangkan oleh Datuk Makmur. Semuanya sudah difikir. Pengalamannya wang buat wang, banyak memberi pulangan yang menguntungkan. Kerana itu, setakat meletakkan Datuk Kurap dalam Lembaga Pengarah syarikat baru itu, tidak menjejaskan, malah sebaliknya. Pernah juga satu waktu dia ditanya oleh pegawai pendaftar syarikat, wujudnya nama-nama Bumiputera dalam setiap syarikatnya. Tapi atas kebijaksanaannya dia dapat menangkis semua pertanyaan itu dengan sopan.

 "Lagi-lagi nama Datuk Makmur, apa Ali Baba ke?" Tanya seorang pegawai pendaftar ketika Mr Wong mendaftarkan Syarikat Sapujagat Sdn Bhd dulu.

 "Bukan Ali Baba Encik," jawab Mr Wong tenang. Dia sudah biasa dengan kerenah begitu,

"kita sudah merdeka lebih 30 tahun, mana ada lagi Ali Baba. Sekarang kita semua joint venture. Apa salah orang Melayu kongsi sama Cina, Datuk Makmur cari jalan, saya cari modal. Macam itu salahkah? Sama-sama kerja. Sama-sama usaha. Saya dapat semua rasa. Itu macam pun salah juga, ke?" Pegawai itu terpempam.


Dia tidak menjawab pertanyaan Mr Wong yang tidak asing lagi baginya. Malah rasanya, dia pernah mendengar pemimpin bercakap mengenai rakan kongsi bukanlah salah, tetapi perlu digalakkan bagi menimba pengetahuan dan pengalaman. Dan semenjak pemimpin itu membuat kenyataan, memang tiada siapa yang berani timbulkan Ali Baba, walaupun memang sistem Ali Baba berterusan menerusi konsep joint venture.


"Apa salah Si Ali berkongsi dengan Si Baba, kerana dengan perkongsian itu Si Ali yang selama ini hanya sebagai sleeping partner; boleh belajar selok belok perniagaan daripada Baba. Bila Si Ali dah pandai, dia boleh berniaga dan buka syarikat sendiri. Berdikari. Itulah Matlamat kerajaan. Kita mahu rakyat khasnya Bumiputera pandai berniaga dan berdikari, apa salahnya," kata-kata pemimpin masih jelas dalam benak pegawai berkenaan.


 "Terima kasih Encik. Sudah siap?" Ucap Mr Wong kepada pegawai berkenaan sebaik saja urusan mengenai pendaftaran selesai. Dan sebagaimana biasa Mr Wong memberikan envelop kepada pegawai itu, "ini untuk permohonan lain. Tolong masuk fail," katanya sebagai password yang tidak boleh dikesan oleh orang ramai. Pegawai itu tersenyum menerima envelop pemberian Mr Wong.

Satu kerja selesai. Konsep SDSR berjalan lancar. Tak siapa dapat mengesannya. Malamnya, Mr Wong dan Datuk Makmur menuju sebuah hotel bertaraf lima bintang di tengah perut Kuala Lumpur. Di sudut Coffee House menanti Datuk Kurap yang sedang menikmati tembakau paip Captain Blacknya. Dia bangun apabila kedua rakannya tiba.

"Sudah lama," tegur Datuk Makmur, "kami lambat sikit sebab tengah jalan ada accident, traffic jam." "Baru kira-kira 10 minit. Minuman pun belum sempat mintak lagi," jawab Datuk Kurap, seorang pesara kolar biru. Kemudian seorang pelayan datang ke meja mereka. Makanan dan minuman dipesan. Mereka meneruskan perbualan.


 "Jadi, apa macam? Boleh tak Datuk tolong kami," suara Datuk Makmur memecah kesunyian di antara mereka. Datuk Kurap terpempam sekejap daripada memotong daging panggang berempahkan lada hitam, "kalau setuju, Datuk aturlah dengan Yang Berhormat," sambungnya.


 "Maksud Datuk projek Taman Sri Bulan," tanya balik Datuk Kurap pada Datuk Makmur. Datuk sama Datuk berpandangan. Mr Wong jadi gugup.

"Iya!"


 "Oh....susah sikit. Datuk bukan tak tau sekarang ni. Bukan boleh bisik-bisik. Tapi..." terhenti dia di situ kerana tersedak mencari helah supaya bahagiannya dalam urusan itu ditambah.


 "Macam mana Datuk," celah Mr Wong resah, "Datuk rapat dengan Yang Berhormat, takkanlah perkara sekadar meluluskan pun, Datuk tak boleh jalan."


 "Jalan boleh jalan Wong " sambung Datuk Kurap. "Tapi... dia senyum rimau. Ertinya kalaupun tersenyum, terkam mesti terkam. Mangsa, mana boleh lepas. Kalau Datuk Makmur dan Mr Wong mau kerajaan luluskan permohonan projek taman perumahan itu, mereka juga kena luluskan permintaannya. Ertinya bahagiannya untuk menguruskan kelulusan itu mesti ditambah. Masing-masing pasang jerangkap, siapa serkap siapa.


"Tapi apa lagi Datuk," tingkah Mr Wong, "kita sudah setuju dengan perjanjian tempoh hari," katanya sambil memandag ke arah Datuk Makmur. "Setuju memang setuju, tapi... " terhenti Datuk Kurap disitu sambil telunjuk jarinya menunjuk-menunjuk ke arah dadanya, perlahan-lahan. Datuk Makmur dan Mr Wong faham. Mereka mengangguk-nggukkan kepala dan sama membuang pandangan ke muka Datuk Kurap.


"Beginilah Datuk," sampuk Datuk Makmur dengan meneguk air yang masih berbuih, "terus teranglah. Apa maksud Datuk. Jika malu cakap, Datuk tulis," sambungnya menghulur sehelai kertas yang dikoyak daripada buku catatanya, "akan sama-sama kami pertimbangkan". Datuk Kurap meletakkan sudu dan garpu. Dia mengambil kertas kosong yang di hulurkan kepadanya dan menulis isi dan hasrat hatinya yang sebenar.


Permintaannya. Dia kemudian memberikan kertas itu semula kepada Datuk Makmur. Datuk  Makmur mengambilnya dengan tangan kiri. Tangan kanannya memegang gelas yang penuh berisi air berbuih. Bukan minuman keras, tapi minatnya pada root beer tak mengira tempat. Dia menatap tulisan dan permintaan Datuk Kurap. Dia tersenyum dan memandang ke arah Mr Wong.


Kemudian dia memberikan kertas itu pada Mr Wong. Wajah Mr Wong agak resah sedikit apabila Datuk Makmur tidak memberitahu sebaliknya memberikan kertas itu padanya. Pada lazimnya tentu membebankan. Sambil mengesat mulutnya Mr Wong membaca permintaan Datuk Kurap. Berkerut keningnya. Mr Wong memandang ke arah Datuk Makmur dan berpindah kepada Datuk Kurap.


Dia menggelengkan kepala beberapa kali sambil sekali lagi memandang Datuk Kurap. Dia pura-pura tidak mampu memenuhi permintaan Datuk Kurap. Jual mahal, "tak boleh. Terlalu tinggi Datuk. Saya tak mampu," katanya berpolitik. Tapi sebenarnya hatinya bersorak. Dia tak sangka Datuk Kurap cuma minta pada jumlah di bawah peruntukan yang sudah siap dikira bersama Datuk Makmur.


"Kalau Datuk berdua tak dapat penuhi permintaan itu, projek itu tidak akan wujud," dia memerangkap kedua rakannya. Senyum rimaunya terus melebar. Dadanya kembang macam payung terjun ditiup angin. Kemenangan pasti menyebelahinya, fikirnya. Kedua-dua rakannya tidak akan berjaya menyembah Yang Berhormat. Dan Yang Berhormat tidak sekali-kali akan meluluskan permohonan kedua-dua rakannya itu tanpa persetujunya terlebih dulu. Senjata di tangannya kini benar-benar mengena mangsa.


 Tetapi Mr Wong sudah masak dengan permainan demikian dan terus jual mahal. Bagimanapun akhirnya, "kalau macam itu kita tak banyak untung, tapi Datuk punya fasal, saya setuju dengan permintaan Datuk. Sikit wang rugi tak apa, asal jangan hilang partner, " katanya. Tetapi di dalam hati kecilnya betapa untungnya dia, kalau mengikut bonus yang hendak ditawarkan kepada Datuk Kurap sebenarnya dua kali ganda lagi daripada jumlah yang dimintanya.


Malang bagi Datuk Kurap. Padanya, dia rasa sudah melebihi daripada patut. Tetapi pengalaman putar alamnya belum matang, menyebabkan perkhidmatannya dianggap masih murah. "Kalau macam itu, kita semua bersetuju. Saya akan suruh pengurus saya hantar semua pelan dan surat-surat berkaitan itu kepada Datuk esok pagi. Kita tak boleh lambat-lambat semasa demands masih ada," katanya sambil membukakan pintu kereta Datuk Kurap.


 "Jangan lupa Wong, semua kita dah setuju. Jangan main kayu tiga," sambut Datuk Kurap masih mencurigai Mr Wong, " sebab Datuk Makmur, saya tolong awak jika tidak kerana dia, saya tak berapa kenal awak, tak tau lagi hati budi awak," sambungnya sambil menghidupkan enjin Volvo tuanya yang mula bergegar.


 "Kalau Datuk Makmur boleh tolong saya dan saya menjadikannya dia mewah serta disegani sekarang ini, saya pun boleh tolong Datuk, kalau Datuk tolong saya. Kita perlu tolong menolong satu dengan lain, baru nikmatnya kita rasai bersama," kata Mr Wong bermadah politik sambil mengucapkan selamat malam ketika kereta Datuk Kurap mula bergerak.


 "Awak memang bijaklah Makmur," suara Mr Wong membelah kesunyian malam ketika dalam perjalanan pulang," kalau tidak kerana kebijaksanaan awak, tentu Datuk Kurap tak mau tolong."


"Awakpun apa kurangnya. Pura-puralah tak mampu. Tinggi sangat, tapi sebenarnya apa yang dia minta kurang daripada hajat yang nak kita bagi," sambut Datuk Makmur sambil ketawa kecil berterimakasih kepada permintaan Datuk Kurap yang tidak menjadi kudis dalam percaturan mereka. Suasana sepi sebentar. Mr Wong dan Datuk Makmur membayangkan Taman Sri Bulan akan menjadi kenyataan.


Beratus penduduk tempatan sekurang-kurangnya akan mendapat pekerjaan daripada pembangunan tanah itu. Masalah pengangguran di daerah itu dapat dikurangkan. Manakala Datuk Kurap bersiul kecil keriangan memandu volvo tuanya, kerana tidak lama lagi dia pasti akan menerima kereta BMW Siri 7.3I daripada Syarikat Perumahan Taman Sri Bulan.


Kereta yang diidam-idamkannya sejak belum bersara sebagai pegawai kolar biru. Dia tidak akan terasa begitu perit untuk duduk sama taraf dengan pegawai-pegawai lain di dalam majlis kerajaan. Kerana sifatnya sebagai seorang Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu, dia akan menerima elaun $2,000 sebulan, tidak termasuk elaun mesyuarat dengan pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan dengan projek syarikatnya. Semua kerja yang dilakukan untuk syarikat bukannya percuma. Tetapi ada imbuhan. Lumayan.


Dengan kedudukannya yang baru tentu dia akan tambah dihormati dan isterinya, Datin Tambun Bodi tidak lagi malu-malu menaiki kereta Volvo yang sudah berusia lebih 20 tahun itu. Tentunya Datin Tambun akan bangga dan tidak segan lagi ke majlis-majlis jemputan rasmi yang selama ini dia sentiasa uzur jika diajak oleh suaminya. Keengganannya pergi ke majlis rasmi sebenarnya bukanlah kerana uzur, tetapi malu kerana kereta suaminya yang tidak setanding lagi dengan milik rakan-rakannya yang lain.


Datin Lily Kuek sudah pakai Volvo 740, Datin Marisinny baru saja menukar kereta Proton kepada Audi 100 dan Datin Hajah Amanah pula sudah memiliki Mercedes Benz 230E. Jadi dengan BMW Siri 7.3I yang bakal dimilikinya atas nama Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Perumahan Taman Sri Bulan sekaligus meletakkan statusnya sama dengan rakan-rakan isterinya. Datuk Kurap yakin, Datin Tambun akan memeluknya kuat-kuat hingga susah untuknya bernafas sekiranya berita baik itu disampaikan kepadanya.


 Tetapi dia harus bijak bertindak. Jangan menampakkan gelojoh. Dia akan merahsiakannya seorang diri. Kecuali Datuk Makmur dan Mr Wong saja yang tau. Biarlah isterinya tidak mengetahuinya sehingga benar-benar kereta idamannya itu menjalar tersergam di halaman rumah. Dalam keadaan dia berkhayal itu, tiba-tiba seekor lembu melintas.


Tergamam dia. Untung juga lembu yang sesat di tengah malam itu, masih sayangkan nyawa, cepat-cepat menguatkan seluruh tenaga melompat ke tepi. Datuk Makmur terselamat daripada bahaya dan lembu itu juga panjang umur. Jika tidak, lembu itu akan menjadi habuan Volvo buruk Datuk Kurap, manakala kemungkinan Datuk Kurap tersadai di hospital. Tetapi segala perbuatan baik akan mendapat perlindungan Allah. Begitulah Datuk Kurap membina hidupnya menerusi peluang SDSR yang datang menggolek.


 "Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia Allah yang menentukan," fikir Datuk Kurap sendirian, "siapa sangka aku akan jadi seorang yang setaraf dengan Datuk Tibai Sakat," rakannya yang sering menyindir bahawa beliau takkan sekadar menjadi orang kanan Yang Berhormat saja.

"Di mana kewibawaanmu sebagai bekas pegawai kolar biru? Takkan nak harapkan duit pencen saja. Boleh cukup ke?" begitu Datuk Tibai selalu menyindirnya. Tetapi kali ini, Datuk Tibai tidak boleh menyindir begitu lagi. Malah dia kini menjadi Ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat lebih besar dan kukuh daripada syarikat di mana Datuk Tibai menjadi pengerusinya. Dengan khayalan itu dia sampai di halaman rumah.


Volvo tua berhenti. Perlahan-lahan dia keluar dari kereta menuju pintu rumah dan mengetuknya beberapa kali. Sebentar kemudian lampu anjung rumah terpasang. Datin Tambun menyambutnya di muka pintu. Konsep joint venture dan SDSR yang mereka amalkan berjaya mewujudkan persefahaman dan merapatkan jurang perbezaan antara kaum dalam menjayakan semangat berdikari di kalangan rakyat. Di depan menanti Wawasan 2020 yang mencabar kewibawaan mereka selaku rakyat yang bertanggungjawab membawa pembangunan dan kemajuan negara di mata dunia tanpa lagi bermain catur, `siapa perangkap siapa'.

 Bulan 15 yang mengambang terang benderang mulai condong ke barat ketika Mr Wong meninggalkan rumah Datuk Makmur. Cahayanya terus memancar melambangkan kejayaan masa depan usaha sama rakyat majmuk menjadi kenyataan. Di celah-celah kejernihan awan gemawan mengintai kejayaan kerjasama rakyat, membangun ekonomi negara ke arah lebih kukuh meyakinkan dunia antarabangsa masa depan.

 Kini, Ali dan Baba sudah sama-sama berjaya mengisi pembangunan dan kemerdekaan negara. Berdiri sama tinggi, bersimpuh sama tegak. Membina keutuhan ekonomi masing-masing menerusi konsep SDSR sesama mereka. Antara Mr Wong, Datuk Makmur, Datuk Kurap, Datuk Tibai dan Datin Maliana sudah tidak ada jurang perbezaan dalam mengongsi kekayaan negara, sebaliknya mereka bersatu dan menjadikan tenaga kuat yang boleh menggegarkan ekonomi dunia. Selaras dengan hasrat pemimpin negara mewujudkan rakyat yang bersatu dan negara maju.

No comments: