Pages

Monday, March 23, 2015

Secawan teh secawan kopi

Oleh Misanon Jamil

SEJAK pagi lagi Nordin sudah sampai di lorong itu. Sebuah lorong yang sejajar dengan Jalan Petaling. Di situ dia akan mundar-mandir seperti orang lain juga. Dia mahu cari benda-benda buruk yang boleh digunakan lagi. Macam-macam dia boleh jumpa. Jangan tangan lama, jam dinding yang sudah tanggal jarumnya, botol minyak wangi, jeans masam dan kusam, baju Hawaii yang sudah tidak berbasuh berbulan-bulan dan sepatu rabak, malah ada kalanya sepatu baru yang dibawa oleh seseorang setelah diseludup oleh orang lain dari masjid di ibu kota.


Hari itu, Nordin berhajat benar hendak mendapatkan beg bimbit warna hitam. Itupun kalau ada, kalau tidak ada apa dia nak buat? Dari seorang penjual barang buruk, termasuk baju rombengan itu, Nordin tercangak-cangak di celah pengunjung untuk mendapatkan beg hitam yang dia hajatkan itu. Nordin memang kedekut di dalam soal berbelanja.

Walaupun tidak jauh dari lorong itu ada kedal menjual beg bimbit seperti yang dia cari, namun dia tidak mahu tuju kedai itu. Dia lebih senang membeli beg bimbit dengan harga seringgit dua atau kalau boleh lima puluh sen sahaja. Bukan dia tidak ada duit, tetapi sudah menjadi pembawaannya sejak sekian lama.

Sejak dia menjejakkan kaki di kota metropolitan ini. Dan cukup aneh juga, dia tidak pernah mengimpikan untuk tinggal di sebuah kamar kecil di pinggir kota, atau cuba menyisihkan wang sakunya bagi membayar sewa kamar. Dia lebih gemar menumpang di rumah rakan-rakan sehingga rakannya itu bertukar menjadi musuh.

Sudah banyak kali rakan bertukar menjadi musuh. Sudah banyak kali rakan bertukar menjadi musuh kerana sikap Nordin yang seperti tidak memahami perasaan orang lain. Kalau diajak tidur di rumah rakan, dia tidak akan menolak. Bila-bila masa dia sudi untuk berkunjung ke rumah Simon. Simon beri dia tilam dan selimut.

Dua benda yang jarang dia nikmati sejak bertahun-tahun merayap di kota metropolitan itu. Simon akhirnya tidak senang juga dengan orang tua itu. Simon ada anak dan bini. Sedangkan orang tua itu masih tidak sedar diri. Orang ajak semalam dua sementara ada urusan tanah. Tetapi orang tua itu tidak faham. Dia masih mahu bermalam di rumah Simon. Dia tidak tahu masalah Simon. Simon tak ada kerja tetap.

Kerja sambilannya sebagai broker selalu tidak menjadi. Setakat hendak sapu duit tauke sepuluh dua ringgit memang dapat. Tetapi sampai bila? Simon pula perangainya tidak berubah. Walaupun sudah ada anak dan bini, dia masih sanggup menapak atau bergaya dengan kunci keretanya untuk mengacau gadis pejabat. Nordin tahu perangai Simon. Simon pun tahu perangai Nordin. Kedua-duanya pernah memerap di Johor Bahru. Kerja lain tidak ada, kecuali bawa list derma.

"Nordin dengan Simon dua kali lima sahaja. Lorong yang sejajar dengan Jalan Petaling itu ker aktif menjelang jam lapan pagi. Orang ramai mula berkunjung ke situ. Ini pasar barang terpakai. Ini pasar barang curian. Kalau ada sesiapa hendak beli radio curi, sepatu curi, kipas angin curi atau apa saja barang curian, mereka akan ke situ. Nordin tergolong orang yang suka membeli barang bekas. Sepatu kilat yang digayakannya setiap hari adalah sepatu dari lorong.

Entah sepatu siapa dan dikebas di masjid mana dia tidak tahu. Yang dia tahu cuma bertanya berapa harga kalau saiznya sesuai. Dia akan menawar serendah-rendahnya hingga ke tahap lima ringgit sepasang.

Hari itu, Nordin benar-benar berhajat mencari beg bimbit warna hitam. Itupun setelah mendengar cakap Bung Tapa. Kata Bung Tapa kalau kita datang pagi boleh cari beg eksekutif, sepatu buatan Itali atau jam Rado. Inipun nasib. Bukan hari-hari ada barang curi. Pencuri yang kebanyakannya penagih dadah, si gelahdangan atau penganggur tidak peduli soal undang-undang.

Sebutlah Kanun Kesiksaan yang ke berapa pun, mereka buat tidak tahu sahaja. Mereka akan buat muka sadin. Nordin kena cari beg bimbit warna hitam. Kata Brahim beg bimbit macam idaman Nordin itu bukan selalu ada. Lainlah kalau ada Mat Gian sambar orang punya di Puduraya. Bukan senang nak sambar beg bimbit di Puduraya. Mat Gian cukup arif.

Ketika mundar-mundir dan mencari barang yang dihajati, Nordin terserempak dengan Jeha si janda genit yang suka mencari barang rombengan di lorong itu. "Cari apa bang?" tanya si janda genit. sambil melirik. "Beg bimbit yang hitam," balas Nordin dengan suara polos. Si janda genit tersenyum lebar. Mengenyit mata dan menyelit di celah-celah orang ramai. Nordin tersenyum puas terpandang wajah si janda genit itu.

Itu pelajaran yang dia perolehi dari Simon. Simon yang mengajar Nordin, lelaki tua itu bagaimana mengenali seseorang perempuan yang sudah bertitel janda. Tetapi Nordin tidak dapat pastikan Jeha itu janda atau tidak dulunya, melainkan bila Nordin berterus terang menanya Jeha. "Kau janda ya?' tanga Nordin sambil ketawa kecil. "Memang!" jawab Jeha selamba. "Kalau janda ya bagus," Nordin tersengih-sengih. "Apa, abang mau kahwin sama saya? Oh, tidak boleh bang ... tidak boleh!" Jeha yang genit membalas. "Kenapa?" "Kau terlalu tua buat saya," suara Jeha cukup lunak meskipun sebenarnya mengejek lelaki tua yang sudah beruban rambutnya.

Blia Jeha si Janda genit itu menghilang di cecelah orang ramai, Nordin tidak pedulikan Jeha lagi. Dia kembali asyik memerhatikan kalau-kalau ada tukang rombengan yang menjual beg bimbit warna hitam. Sesudah puas ke hulu-hilir lelaki tua itu berasa kempunan benar.

"Time aku cari, beg bimbit tu tak ada pulak!" Nordin merungut sendirian. "Apa bendanya Din? Merungut aja?" Usik Jenal tiba-tiba. "Eh...kau pun masuk lorong ni? Cari apa?" Din ketawa sahaja mendengar usikan Jenal. Nordin sudah dapat mengagak, tentu Jenal hendak cari sepatu murah di lorong itu.

"Awak datang lewat," kata Nordin. "Kalau cepat tadi tentu awak boleh beli kasut Itali murah!"

"Ada ke?" Jenal terpedaya oleh cakap main-main Nordin.

"Taklah...mana ada. Nak mencuri pun bukannya senang sekarang," Nordin menepuk pundak Jenal. Nordin tahu pagi itu lorong kecil tidak memberikan suatu apa padanya. Dia belum sarapan tagi.

Elok benarlah Jenal datang ke lorong itu. Setelah menepuk pundak Jenal, dia terus menarik tangan Jenal. Berbisik-bisik sesuatu. Jenal tentu tidak percaya kalau lelaki tua macam Nordin yang kelihatan segak dan bergaya itu sanggup minta belanja minum.

"Fulus tak ada!" Nordin berbisik ke telinga Jenal. "Kau ni Din, asyik kering memanjang kenapa? Apa kau buat selama di Kuala Lumpur ni?" Jenal yang memang sudah tahu Nordin adalah penanggur profesional, memang tidak patut disoal lagi. Kalau ada fulus, ajaklah dia makan di warung.

"Aku dah kata, orang macam aku ni mana boleh kerja. Tak sesuai orang macam aku nak kerja,"

Nordin memberitahu Jenal. Tetapi bagi Jenal jawapan Nordin ini sudah terlalu basi bagi dia. Kerap benar dia mendengar jawapan itu. Nordin memang jenis orang tua yang ego. Dia tidak mahu mengalah. Dia tidak mahu merendah diri. Sebab itulah dia sentiasa memakai bush jacket yang ditempah oleh rakannya yang baik hati. Jacket itu dipakainya pagi petang, siang dan malam. Nordin berjaya memujuk Jenal.

Mereka berdua menyusuri lorong kecil ltu. Nordin sempat juga menoleh ke belakang untuk melihat Jenal si Janda genit kalau-kalau dia ada di situ. Tetapi, Nordin tidak dapat melihat janda itu lagi. Mungkin janda itu sudah keluar dari lorong itu. Atau dia sedang asyik memilih baju rombengan yang dia berkenan.

"Nal, janda tadi lawa tau!" Nordin bercakap seorang diri. Jenal buat tidak dengar saja.

 "Janda tu orang Indonesia, datang dari Malang!" Jenal terus melangkah. Dia tidak peduli dengan cakap Nordin. Jenal tahu, dia kena ajak Nordin masuk kedai kopi Tong Kiat. Dia mesti pesan teh dan roti bakar tangkup dua. Itu makanan kegemaran Nordin.

Di dalam kedai kopi, Nordin mula bercakap tentang projek masa depannya yang gemilang di kota metropolitan ini. Dia bercakap tentang seorang tauke Cina Islam yang kaya raya. Dia kenal dengan tauke itu.

"Kalau baik dengan awak baguslah. Tapi kena baik betul tau, biar dia boleh percayakan kita," Jenal bersungguh-sungguh benar dengan maklumat baru Nordin itu.

"Nal, kita ni begini, nak sapu duit tauke Cina ni bukan senang! Kita kena ada projek, nilah yang menyusahkan aku sekarang! Tauke tu kata dia nak projek yang memakan belanja sampai sepuluh juta ringgit ke atas."

"Apa bendanya yang dia mahu?" Jenal ingin tahu.

"Kalau ada projek lebuh raya lagi bagus!" Teh dan kopi serta roti bakar sudah berada di atas meja bulat. Sedikit pun belum dihirup. Nordin begitu bersungguh-sungguh bercerita soal tauke yang di kenal. Jenal pula bersiap sedia dengan projek yang ada. Nordin menyeluk saku bush jacketnya. Dia mengeluarkan pelan yang sudah lusuh dan berlipat-lipat.

"Nal, aku ada ni, pelan balak! Boleh kau cari tauke yang nak balak?" Nordin membentangkan pelan kawasan balak itu di depannya. Jenal terus mencapai dan meneliti pelan kawasan yang bertanda lorekan kecil. Nordin menunjukkan dengan secepat kilat kawasan yang berlorek itu.

 "Ni kawasan apa Din? Hutan dara ke...KSK?"

Hutan dara!"

"Hiss...kau ni Din, benda ni orang dah ayak merata tempat tau tak? Tahun lalu lagi dah dapat pelan ni di Centra Market. Habislah aku usung pelan tu sampai Medan Mara, Semua House, tapi habuk pun tarak!"

Mendengar suara Jenal itu Nordin terpinga-pinga jadinya. Dalam pada begitu Nordin masih mahu menarik perhatian Jenal.

"Banyak orang bawak pelan ni Jenal, tapi tak ada tauke yang berani ambik, empat ratus satu ekar siapa mahu? Kawasan tu kalau hujan habislah, lagipun aku dapat tau kayunya buruk di dalam, tengok dari luar bukan main cantik!"

"Empat ratus satu ekar?"

"Kenapa?"

"Kawan aku usung pelan ni dulu cuma tiga ratus ringgit saja satu ekar, ni kau dah tambah-tambah pulak!"

"Eh...Nal! Ni kawasan balak yang susah diteroka tau tak, kalau betul-betul ada genuine buyer kita boleh makan." Nordin macam kecewa bila Jenal tetap geleng kepala dan meminta Nordin lipat semula pelan balak yang tidak berguna itu.

Pelan, balak itu sudah disalin puluhan kali. Penanda keluasan dan garis sempadan sudah kabur. Sambil menghirup kopi dan mengonyak roti bakar, Nordin membuka cerita lain lagi. "Nal, sekarang betul-betul awak cakap. Apa yang awak boleh bagi, sebab kita ada pembeli. Tapi mesti banyak!"

Nordin menjejalkan roti bakar ke mulutnya sehingga dia tidak boleh bercakap lagi. Bukan apa-apa, fikiran Nordin masih melayang-layang teringatkan Encik Lee Tang Ping di kedai kopi Jalan Tun Perak. Di kedai kopi itu nanti tentu Encik Lee akan belanja dia minum teh dan roti bakar lagi. Sekarang Jenal belanja dia makan. Tengah hari, untung-untung ada orang lain belanja makan di Masjld Jamek.

 "Eh...laju benar kau makan Din? Nak ke mana?" Jenal memandang muka Nordin tepat-tepat. Tahu betul dia dengan perangai Nordin. Kalau dia pakai bush jacket warna biru, dia boleh pakai selama seminggu tiak berganti. Kalau warna kelabu tahi kucing, dia akan pakai sampai seminggu. Sudah nyanyuk dan tua betulkah Nordin ni? Jenal bertanya-tanya. Setelah menghirup teh dan meletakkan cawan sambil megelap bibir yang basah, Nordin membukan cerita lain pula.

"Aku ada cerita baru pulan untuk kau," katanya sambil mengeluarkan kertas kecil yang berlipat-lipat dari saku kiri bush jacketnya.

"Apa lagi Din?" Jenal buat selamba. Dia tahu apa yang Nordin bawa semuanya cerita kosong. Cerita kertas dan khalayan untuk jadi kaya. Orang macam Nordin belum sedar lagi. Dia masih mahu gesek biola juga.

 "Aku cadang nak turun ke JB besok, tu sebabnya aku cari beg bimbit hitam di lorong tadi. "Buat apa pergi JB? Nak jumpa Remie M S, putar alam lagi?"

"Hiss kau ni Nal...Remie dah jadi jaga di Melakalah." "Padan sangatlah dengan promoter tipu tu!"

Jenal juga tahu orang yang bernama Remie M S. Banyak kawan dia yang kena tipu. Di Kuala Lumpur ada macam-macam perangai orang gila. Yang pakai kemas bertali leher, tapi gila pun ada. Bukan gila apa, gila nak cari duit dengan jalan yang tak betul. Macam Nordin dengan Simon, bukan Jenal tak tahu. Nordin kalau tengah sesak dia sanggup tuju kedai mamak hulur list derma masjid atau derma surau. List derma yang dia bawa semuanya tipu. Cop Jabatan Agama dia boleh buat. Nombor fail dia boleh tenyeh ikut sistem yang biasa dibuat. Sudah bertahun-tahun dia makan duit haram begitu. Duit itulah dia makan setiap hari. Duit itulah yang dia gunakan beli kain pelikat buat sembahyang di masjid. Memang sudah tidak ada daya upaya lain lagi bagi orang tua macam Nordin. Selain meminta-minta dengan Encik Lee dia juga mengharapkan belas ihsan kawan-kawan untuk melanjutkan hidupanya di kota metropolitan yang dibanggakan Ini. "Bukan aku tak nak belanja dia, dia tu berlebihan sangat. Pakai bush jacket satu sut, bertukar selalu, tapi duit tak ada, nak temberang apa pun orang tak mau dengarlah. Ini Kuala Lumpur tau tak? Ketapang Holdings pun boleh ditebang apa lagi pelan kosong?" Badri merungut-rungut bila ternampak Nordin yang kelihatan segak dan bergaya dengan bush jacketnya. Akhirnya Jenal dengan Nordin berpisah.

 "Jumpa lagi," ucap Jenal lemah. Kalau boleh, dia mahu mengelak dari diperangkap oleh Nordin. Jenal tahu Nordin tengah sesak. Dia hendak pergi JB. Ada urusan orang hendak beli besi buruk yang sekarang tersadai di Panama dari Nigeria. Jam sembilan pagi selalunya Encik Lee sudah ada di kedai kopi. Badri kawan Nordin yang merungut-rungut seorang diri tadi pun sudah duduk di depan Encik Lee. "Mau minum? Sudah order?" tanya Encik Lee macam biasa.

 "Orderlah saya bayar!" tambah Encik Lee lagi. Badri, seorang bekas polis juga terbabit dengan kerja mengusung pelan kosong macam Nordin. Cuma Badri lebih dari Nordin.

 "Mana Din? Ada nampak?" tanya Encik Lee.

"Tadi saya nampak, sana kedai kopi!" jawab Badri.

 "Itu orang tua semua bikin tak jadi. Cakap saja besar!" Encik Lee merungut-rungut. Badri pun turut tertarik dengan rungutan itu. "Apa fasal Lee?"

 "Ini Din...dia boleh bawa itu pelan ka...apa ka...tapi semua tak boleh jadi. Bohong punya!" Ketika bercakap mengenai perangai Nordin, tiba-tiba Nordin tersembul di pintu belakang kedai kopi. Nordin terus mencuci tangan dan mengelapkannya. Dia kemudian mendekati meja Encik Lee dan Badri. Dia menarik kerusi dan terus duduk.

"Kopi satu lagi!" jerit Nordin meminta pelayan kedai itu membawa kopi.

"Kasi itu...roti bakar dua!" sambungnya lagi. Encik Lee memang tidak terkata apa lagi. Orang tua ini sudah makin teruk. Nasib baik dia tidak merokok. Kalau tidak, rokok, air dan roti Encik Lee kena bayar. Sekejap lagi kawan Nordin akan berlonggok mengelilingi meja Encik Lee, tauke teh yang kaya.

Encik Lee tahu kawan Nordin semuanya pokai belaka. Mahu tinggalkan meja tidak patut. Mahu halau lagi tidak patut. Mahu tidak mahu Encik Lee diam. Bayar saja berapa harganya. Jangan dia minta duit, cukup. Tetapi Encik Lee susah hati. Tiga hari lalu, Nordin sudah beri tahu dia, Nordin mahu pakai wang. Dia mahu pergi JB. Dia mahu jumpa orang Arab di sana. Dia hendak tanya mengenai besi buruk yang tersadai di Panama.


"Duit tambang saya boleh kasi!" kata Encik Lee. Kononnya Nordin hendak jumpa orang Arab itu untuk berunding mengenai harga besi buruk yang Encik Lee hendak beli. Nordin mahu jumpa Arab itu di Singapura supaya dia hantar teleks ke Panama.

Cara bagaimana hendak hantar besi buruk itu di Singapura dan berapa komisyen yang Nordin boleh dapat. Pagi itu disebabkan Nordin mendesak keras Encik Lee kena hulur duit tambang. Kononnya Arab di Singapura itu sanggup beri komisyen lebih kalau besi itu jenis FMS gred satu. Sebelah petangnya, Nordin menyandar di tiang masjid.

Rancangan turun ke Johor sudah ditangguh sama sekali. Duit yang Encik Lee beri sudah terpakai sedikit. Untuk tambang memang tidak cukup. Dia baru sahaja menyental di sebuah restoran mamak. Senang saja bagi Nordin. Untuk dua tiga hari itu, dia akan menghilangkan diri. Jangan jenguk kedai kopi. Tentu Encik Lee ingat dia sudah pergi Johor. Tetapi terasa juga bagi Nordin selama tiga hari, dia tidak merasa secawan teh atau kopi Encik Lee.

No comments: