Pages

Monday, March 09, 2015

Ini yang kupilih

Oleh Jais Sahok

AKU tahu aku lemah. Aku memang insan yang lemah. Insan yang dilahirkan lemah.

Malah diciptakan pun sememangnya lemah. Tapi siapa yng mangatur kelemahanku dan kekuatan oraag lain itu? Tuhan! Allah s.w.t. Aku tahu. Aku yakin. Justeru jangan dipersoalkan kelemahan yang ada padaku ini.

Lagipun aku baru keluar ke dalam kehidupan ini. Aku tidak mahu terlalu banyak lingkungan masyarakat sekeliling menekan pengaruh terhadapku. Aku baharu mengerti kebebasan, berilah kebebasan. Pesanan dan rayuan atau permintaan ini bukan untuk sesiapa sebenarnya tetapi untuk diriku sendiri. Untuk aku mula mengenal diriku. Mengerti makna kehidupan dan tahu akan kehendak peribadi.

Aku sudah dewasa. Aku tidak mahu sesiapa memasuki urusan pentadbiran fikiranku. Fakulti otakku kuat. Aku yakin, sebab sudah kukatakan tadi bahawa bekalanku di dunia ini ialah keyakinan. Siapa kata aku belum dapat bertindak mengikut keyakinan? Tengoklah dadaku, buahnya bagai mangga sudah masak di pokok. Tidak hairanlah aku kalau Mustapha terbalik biji mata meninju bahagian dadaku dengan pandangan tajamnya walaupun baharu pertama kali kami bersua.

Kalau buah dadaku tidak cukup menjadi pernyataan kedewasaanku, lihatlah punggungku. Aku sendiri bagai nak terseliuh urat leher berpaling ke kanan pusing ke kiri memerhatikannya di hadapan cermin panjang di dinding almari baju setiap kali aku mendengar pujian lelaki nakal dan celupar. Setakat ini aku tidak marah kepada mereka. Buat apa marah-marah kepada orang yang ada hak sendiri untuk bersuara, untuk bercakap. Lagipun kata-kata mereka itulah yang sentiasa mengingatkan aku kepada siapa diriku sendiri.

Pertama aku ingat diriku perempuan. Walau dalam keadaan yang bagaimanapun aku berada aku tetap perempuan. Kalau disebut orang punggungnya bulat dan buah dadanya besar, ingatlah aku bahawa aku perempuan. Sepatutnya aku berterima kasih kepada lelaki yang nakal dan celupar begitu. Memanglah aku akui juga bahawa ketika kata-kata begitu diucapkan secara nakal, membahang di dalam rongga telinga, mahu juga aku meneriak memaki hamun, tapi apa gunanya. Lelaki kalau dilawan, samalah dengan mencurahkan minyak tanah di atas unggun api.

Sudah pasti mereka tu budak jahat, nakal dan celupar. Kalau tidak jahat, mustahil menjadi penghuni tetap perhentian bas setiap hari. Kalau bukan kerana nakal, masakan berani berkelakuan begitu di hadapan perempuan, emm, lebih tepat perempuan cantik seperti aku. Nah, kalau bukan kerana celupar, mulut becok (bukan perempuan sahaja yang bisa becok mulutnya) mustahil kata-kata yang kebanyakan orang akan simpan dalam kepala sahaja apabila melihat perempuan tercakapkan.

Kesemua itu diadun oleh sifat berani, maka keberanianlah yang bermaharajalela. Keberanianlah yang menang dan sentiasa mendahului perasaan yang lain-lain. Mereka berani menyebut apa-apa sahaja mengikut kehendak dan suka hati. Batasan susila segera dimatikan oleh keris keberanian dan racun dan celupar.

Ah, peduli apa aku. Bukannya menyakitkan sangat. Malah, seperti yang kukatakan tadi dalam marah-marah pun aku dapat melihat kebaikannya keberanian, kenakalan dan keceluparan anak muda lelaki di tempat-tempat awam itu. Bagaimanapun bukan keadaan yang begitu sahaja yang harus atau akan kita hadapi. Banyak yang lain yang amat mencabar sifatnya. Tapi kalau kebijaksanaan dan fikiran waras yang digunakan sebagai perisai mempertahankan diri, ia tentu selamat.

Lagi sekali aku katakan bahawa aku yakin akan selamat daripada segala dugaan dan cubaan. Dugaan dan cubaan itupun kehendak dan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa juga. Kalau `Qun' kata-Nya, maka `Qunlah' jadinya. Berani dan yakin malah ditambah dengan kebijaksanaan bagaimanapun kita kalau kecundang kata Tuhan, kecundang juga. Tewas juga.

Tapi seperkara lain yang aku taksub dengan penerangan al-ustaz ialah bahawa Tuhan memberi apa saja yang diminta umatnya. Jahat perkara yang diminta, jahatlah yang diberi Baik perkara yang diminta, baiklah yang diberi. Dalam keadaan yang perlu, mintalah kebaikan dan keselamatan daripada Tuhan. Dalam keadaan tertentu mintalah kemenangan dan minta saja apa-apa nasib yang baik selagi bukan perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Selagi permintaan itu tidak menganiaya Tuhan, apa salahnya. Tuhan pasti akan restui. Malah kalau perkara yang menganiaya Tuhan, apa salahnya. Tuhan pasti akan beri . Tapi syaratnya, yang logik, (bukan logik) dan masuk akal kita ialah bahawa Tuhan juga menyuruh kita menginsafti balasannya. Kalau kita menganiaya yang lain, Tuhan akan menimpakan penganiayaan yang sama beratnya kepada diri kita.

Atas landasan inilah aku membuat percaturan ini. Bukannya mudah tetapi seperti yang kukatakan tadi aku tidak mahu sesiapa pun masuk campur kerana hal dan perkaraku ini adalah hal dan perkara yang peribadi sifatnya. Jika perlu Tuhanku sahaja yang merestui semua permintaanku dan menjauhkan segala yang tidak kupinta. Lagipun kalau aku sentiasa mengharapkan buah fikiran dan kemasukan-campuran orang dalam urusanku sendiri, pertama aku mengganggu orang kerana ketika-ketika orang mahu bersendirian atau berfikir tentang hal-hal peribadi tiba-tiba saja aku mengganggu dengan masalah peribadiku, menganggu namanya perbuatan begitu. Kedua, silap haribulan aku akan dianggap `busybody'.

Penyebuk. Terhegeh-hegeh macamlah aku sahaja yang ada cerita sementara orang lain tidak ada cerita atau apa-apa yang penting. Ketiga, berdosa juga aku kalau aku sentiasa mengganggu ketenteraman orang dengan masalah peribadiku kerana kalau sekali dua orang akan memaafkan aku, aku tahu, tapi kalau sudah buat kali yang kelapan atau yang kesepuluh, siapa yang cukup beriman untuk tidak mengatakan apa-apa walau di dalam hati cuma atau akan memberi kemaafan sepenuhnya. Tidak ada. Mustahil. Kalau ada orang yang membayangkan kemungkinannya, hah, gila bayanglah namanya orang itu.

Mustapha, oh, nama ini. Sebenarnya dia ..., not bad. Dia OK sebenarnya. Tapi lagak besar sangat. Dalam pada itu pun sesekali terfikir juga aku bahawa dia bukan berlagak. Memang dunia pembawaannya begitu. Maklumlah dia orang kaya. Tetapi sekaya mana pun adab dan sopan harus diperkaya juga, walau wang ringgit sudah banyak dan tingkat ekonomi sudah tinggi.

Tapi Mustapha baik orangnya. Kasar sedikit pun kalau kurenung-renung jauh ke dalam perwatakannya, tidak ada kekasaran di dalam dirinya. Cuma stailnya sahaja begitu.

Entahlah, berkerut juga dahiku dibuatnya. Manusia aneh dan pelik. Tapi cukup simple. Dia menyatakan kehendaknya. Kadang-kadang agak mendesak. Berlakulah sedikit kekasaran. Sebenarnya patut juga dia berkelakuan begitu sebab dia belum merasa bahawa perlakuan begitu salah daripada segi tatasusila ke-Melayuan. Suka hati dialah.

Dalam banyak keadaan aku tahu dia geram padaku. Dia terngiur. Dia kepingin. Aku bukan syok sendiri atau angkat bakul kerana zaman ini orang tidak menggunakan bakul lagi untuk mengangkat diri sendiri. Di sini aku tidak gunakan apa-apa. Sekadar menyatakan yang patut dan aku tahu perkaranya benar, tidak lain, tidak lain melainkan yang benar.

Patut, memang patut dia menaruh hati untuk maksud itu terhadapku. Sebabnya mungkin kerana hakikat diriku, stailku, buah dadaku, punggungku atau sememangnya di antara kami ada natural attraction. Tidak salah, memang tidak menjadi kesalahan kalau aku suka kepadanya dan dia geram melihat bayang-bayang kehendaknya yang ada pada diriku. Manusia memang dilahirkan mempunyai nafsu, kehendak dan keinginan. Itu Tuhan punya kuasa. Manusia hanya terdaya menafsir hakikatnya.

Seperkara yang cukup baik dan patut dibanggakan ialah kejujurannya. Bagaimanapun kejujuran itu terpacul setelah berkali-kali kuusik dan kugali dengan caraku sendiri.

"Buktimu cinta padaku?"

"Apa lagi yang kau mahu?"

"Bukti."

"Kaumahu aku runtuhkan gunung?"

"Bodoh namanya."

"Habis?"

"Bukti. Mana ada bukti cinta dapat disamakan dengan gunung."

"Apa yang kamu mahu?"

"Dirimu, maksudku fikiranmu, pendirianmu, sikapmu, pengalamanmu dan kemungkinan-kemungkinan yang menjadi gol dalam permainan bola sepak otakmu."

"Kau memang bijak."

"Untuk lelaki perempuan perlu bijak."

"Aku tahu, tapi lebih baik lelaki itu bersikap jujur bukan?"

"Ya."

"Nah, umurku tiga puluh dua. Pernahku nyatakan dulu, aku sudah tua. Pekerjaanku, menyambung dan melangsungkan perniagaan bapa. Pengalamanku setakat ada. Tidak banyak. Caraku berbelanja, sekadar yang patut tapi kata kawan dan rakan agak boros. Tapi jujur kukatakan kami orang kaya, patutlah berkeadaan seperti orang kaya."

"Perempuan di sisimu?"

"Sudah tidak ada lagi. Sejak bertemumu, semuanya kulupakan."

"Betul?"

"Jujur."

"Banyak?"

"Sudah kulupakan semuanya, keranamu."

"Pernah kauapakan perempuan sekeliling pinggangmu itu?"

"Alah, lupakan saja. Aku juga sudah melupakan mereka. Ini soal kita berdua. Kenapa ungkit kisah aku dengan orang lain?"

"Aku mahu, semuanya, semua yang terpancul daripada kejujuranmu."

"Oh!"

"Kaumahu katakan apa lagi sebelum kita berpisah malam ini?"

"Aku..., aku...,"

"Nak katakan I love you?"

"Emm..."

"Hep, jangan. Aku belum menjadi milikmu. Selamat malam. Jangan hantar aku pulang kerana aku yakin aku boleh sampai di rumah bersendirian. Terima kasih. Telefonlah aku dalam dua tiga hari lagi."

Hei, Mustapha. Kalau mengenang kejujurannya, terpaut hati juga aku kepadanya. Tapi aku ni pelik orangnya. Suka memikirkan yang bukan-bukan. Kalau Mustapha dapat berubah dalam sekelip mata, meninggalkan perempuan lain kerana aku, kelak kalau aku menjadi bininya sekalipun kalau ada perempuan lain yang lebih memikat hatinya, aku akan ditinggalkan begitu sahaja. Dia memang jujur, aku akui. Aku tabik. Tapi nah, kalau berkahwin dengannya apa yang aku dapat. Wang memang ada, tapi... Rosli!! Rosli bagaimana?

Antara Mustapha dan Rosli terdapat perbezaan sebesar jarak langit dan bumi. Kalau hendak melihat dan mencari kejujuran orang, memanglah kedua-duanya jujur. Sifat kejujuran kedua-duanya tidak ada satu melebihi yang satu. Rosli suka berterus terang orangnya tanpa didesak atau diminta. Mungkin kerana orientasi dan budaya pembawaan keluarganya. Mustapha pun begitu. Dia berperawakan dan berperwatakan begitu memang kerana dia orang kaya. Banyak rahsia kejayaan peribadinya yang perlu disembunyikan kerana daripada kekayaan seseorang banyak yang dikehendaki orang lain. Perlulah mereka berahsia.

Tapi dalam dunia hidup Rosli, tidak ada yang perlu disembunyikan. Kalau dikehendaki orang pun, bukan ada kerugian besar.

Sikap Rosli murni, luhur dan baik. Tidak pula kukatakan bahawa sikap Mustapha tidak baik, tidak luhur atau tidak murni.

Kenapa aku berkata begitu? Kalau hendak kubuat perbandingan antara Mustapha dan Rosli, kedua-duanya mempunyai kelebihan. Kalau mereka bersaing, kedua-duanya menang.

Sekarang aku nak buat pilihan. Pilihan antara dua orang jejaka. Tidak sah kisahku ini jika tidak kukatakan kisah cinta. Malah soal pilih memilih ini pun kerana cinta. Kata orang kalau salah pilih, yang rosak binasa diri sendiri juga.

Yang istimewanya bagi Rosli ialah dia optimistik dalam semua tindak-tanduknya. Mustapha juga optimistik tetapi cepat give-up. Kalau sudah jelas dan nyata dia berada di pihak yang kurang baik, dia akan mengalah terlebih awal. Agaknya orang berniaga memang begitu selalunya oportunistik. Kadang-kadang individualistik. Sikap begini menampakkan ciri-ciri anti intelektual. Semakin banyak yang diperolehinya semakin lokeklah dia kerana sentiasa berasa tidak mahu kalah.

Rosli tidak begitu. Rosli merangkak dari kedaifan. Setapak demi setapak dia menambah baik kedudukannya dalam sistem sosialnya sendiri. Dia tidak punya banyak wang tetapi hidupnya bahagia. Sejak beberapa kali keluar bersama-samanya dia mempamerkan cermin kebahagiaan dalam hidupnya. Dia penyabar. Lantaran itu agaknya dia tidak berpeluang menjadi orang kaya atau tidak mustahil begitulah bapanya mengajarnya berkelakukan atau berinteraksi dengan masyarakat. Dia selalu berkata bahawa masyarakat ialah sebuah keluarga besar. Semua anggota di dalam sesebuah masyarakat adalah sekeluarganya. Perlu bertolong bantu, bertolak ansur dan faham-memahami.

Tapi dunia perniagaan, kata Mustapha ialah dunia persaingan. Semua anggota dalam masyarakat adalah musuh yang perlu disaingi. Jika tidak kita akan sentiasa kalah dan berada di bawah.

Di sinilah perbedaan Mustapha dan Rosli. Tentang persamaan mereka pula, kedua-duanya bekerja keras untuk membentuk identiti sendiri. Sebagai lelaki kedua-duanya mempunyai sifat kejantanan. Dapat dijadikan tempat bergantung.

Tentang kejujuran, kedua-duanya jujur, sekurang-kurangnya terhadap diriku dan pada penilaianku. Lainlah kalau kedua-duanya atau salah seorang daripadanya pandai bersandiwara.

Rosli sudah mengatakan sikapnya.

"Perempuan bagiku, pakaian lelaki."

"Begitu mudah?"

"Begitu kompleks sebenarnya. Tafsiran pakaian itu tidaklah seperti baju atau seluar tetapi sebagai manusia yang harus dijadikan milik hak yang halal, dijadikan ibu, dibimbing supaya mendidik anak-anak, disuruh bekerja membantu suami jika perlu sangat. Kalau hendak dibukukan sebuah buku pun tidak mencukup."

"Begitu?"

"Kau juga tahu sebenarnya tapi sengaja memancing fikiranku. Tapi tahulah, sesiapa sahaja yang menjadi suamimu, seharusnya dia melihatkau sebagai keluarga naungannya. Itu pesanku."

"Emmm, kalau engkau menjadi suamiku bagaimana?"

"Tidak mustahil tapi jangan berharap kerana jodoh pertemuan di tangan Tuhan."

"Tapi kita yang mengusahakannya bukan?"

"Kita hanya dapat berusaha. Yang menentukannya Tuhan."

"Berapa orang sudah perempuan yang mendengar cakapmu ini?" "Banyak. Di universiti aku pemimpin Persatuan Islam. Aku selalu bercakap di khalayak ramai."

"Kekasihmu?"

"Aku tidak punya kekasih melainkan anggota keluargaku."

"Sungguh?"

"Buat apa aku berbohong."

"Buktinya?"

"Buktinya terletak di dalam imanku sendiri. Mustahil dilihat orang. Aku bercakap kerana menggunakan anggota badanku yang diberi Allah. Aku harus menggunakannya untuk kebaikan sahaja."

"Haruskah aku percaya?"

"Itu hakmu."

"Emmm!"

"Aku tidak pernah mahu memaksa. Sudah kukatakan tadi kalau perempuan menjadi isteriku, dia menjadi anggota keluargaku, kekasihku. Kepadanyalah akan kutumpahkan segala kesetiaanku, kejujuranku, jiwa dan ragaku, rezekiku, benihku, malah dalam ketiadaanku, dia adalah aku."

"Emm, kita balik sekarang."

"Boleh."

"Kau hantar aku?"

"Sudah tentu kerana aku menelefon ibumu meminta kebenaran. Kujemput dalam keadaan baik semestinya kuhantar dalam keadaan baik."

"Engkau..... "

"Mari."

"Aku ada satu permintaan."

"Pintalah, kalau dapat kuberi akan kuberi."

"Malam Jumaat nanti kita bertemu lagi di sini."

"Kenapa malam Jumaat?"

"Ada perkara besar."

"Tapi..."

"Itu saja permintaanku."

Malam itu aku mula membilang peredaran masa. Dua malam aku dalam penantian kurasakan begitu lama. Semakin waktunya dekat, aku berasa semakin berat hendak menyatakan plihanku; antara Mustapha dan Rosli. Mustapha banyak wang, aku boleh minta sebanyak mana aku suka. Tentu dapat kerana itu janjinya kepadaku. Itu mustahil kuperoleh daripada Rosli tapi dia juga pernah mengatakan bahawa kebahagiaan adalah kunci segala-galanya dan kalau mahu harta kekayaan rezeki di tangan Tuhan, sesiapa pun boleh dapat. Yang penting berusaha.

Aku bersolat istikharah malam itu. Minta sebarang petunjuk yang dapat membantu aku membuat keputusan apabila perlu berbuat demikian.

Lalu pada malam yang kujanjikan, kedua-dua orang jejaka itu menampakkan kalibatnya masing-masing. Mustapha dengan gayanya yang tersendiri seperti yang selalu kubayangkan cara orang senang. Rosli pula dengan air muka ketenangannya. Kedua-duanya menuju, ke arah tempat yang kunyatakan.

Kedua-duanya berpandangan. Rosli memperkenalkan dirinya dengan manis lembut. Mustapha yang sentiasa melihat orang sebagai saingannya, malah malam itu memang dia tidak salah kerana Rosli memanglah sainganya, sedikit mendengus dan menampakkan ketidaksenangannya.

Tanpa kusedari langkah kakiku mendekati Rosli.

"Inilah pilihanku. Maaf ini bukan dunia perniagaan. Maafkan aku juga kerana aku sekadar seorang perempuan. Kembalilah kepada bekas kekasihmu."

Aku berasa agak kejam mengambil keputusan begitu, tetapi mustahil kulakukan dengan cara yang lain. Mustapha ialah manusia yang tidak mahu mempercayai kata-kataku kalau kukatakan bahawa aku sudah ada pilihan lain. Sebaik-baiknya ialah dia melihat sendiri wajah Rosli, jejaka pilihanku.

No comments: