Oleh Sharif Putera
AKU amat berhati-hati. Terus terang aku katakan, aku mudah tewas. Oleh itu pada kali ini aku terpaksa meminta pertolongan isteriku, Siew Lin. Lalu dalam tempoh dua bulan ini segala gerakku semacam diikat dan dibayangi oleh Siew Lin. Kalau dia mahu menyintaknya kerana keterbabasan aku, aku izinkan. Minggu ini adalah minggu kesembilan aku berada di bawah bumbung kebebasan.
Terasa sangat aku ini seperti manusia yang tidak bertenaga, tidak mampu bekerja. Padahal aku bertubuh sasa. Barangkali ada benarnya kata-kata Tan Boon, rakan yang baru dikenalinya dua hari lalu.
"Kamu tidak boleh macam ni. Kamu ada tenaga, kamu mesti kerja. Kalau aku tawarkan kerja, apakah kamu akan terima?" Untuk tawaran daripada Tan Boon ini akan aku rahsiakan. Biarlah Siew Lin tidak tahu apa-apa. Sukar berbincang dengan orang banyak mulut. Terlalu banyak soal jawab. Sudah dua kali aku menyatakan kepadanya yang aku ditawarkan kerja oleh bekas rakanku. Siew Lin menentang keras.
Apabila aku cuba memperjelaskan, dia seperti mahu memberontak. Aku mengalah kerana aku tidak mahu mengecilkan hatinya. Pada aku dialah satu-satunya manusia yang aku anggap paling setia. Dengan nada yang lembut, aku mencabarnya supaya dia mengusahakan aku kerja yang sesuai. Pada mulanya dia kelihatan resah, kemudian memandang aku dengan tepat.
"Aku cuba," dia mengalah. Aku tidak salahkan dia atas kebimbangan yang menghantui dirinya. Dia tidak yakin bahawa aku akan dapat melawan kemelut kota yang dianggapnya serba tempang. Sampai minggu kesebilan ini Siew Lin tidak berupaya juga. Aku tidak bertanya walaupun dia tahu aku sentiasa resah sepanjang hari.
Tan Boon menyewa sebuah bilik di tingkat enam. Aku mengenalinya beberapa hari lalu di dalam lif. Dia sangat peramah dan aku tertawan oleh keramahannya itu. Esoknya sekali lagi aku ditemukan di dalam lif. Dan pada sebelah petangnya aku dipelawa ke biliknya. Aku amat kagum melihat kerapian biliknya dan masih tidak percaya bahawa dia seorang bujang.
"Sungguh, aku belum pernah kahwin," katanya dengan tegas. Matanya yang kecil itu meleret kepada dua rak buku yang dirapatkan ke dinding menghala bilik tidur.
"Itulah isteri aku siang dan malam," katanya sambil mencapai sebuah buku berkulit merah yang terletak di atas meja kecil di hujung kakinya.
"Buku ini menceritakan kesamarataan rakyat. Kita perlu berjuang supaya semua orang mendapat kerja. Kita mesti berjuang ke arah itu." Aku tidak tahu apa-apa maksud kata-katanya. Melihat aku tidak menunjukkan reaksi, dia bangkit dari kerusi sandarnya menuju peti ais yang kelihatan masih baru. Dicapainya dua tin air limau.
"Aku simpati dengan penderitaan yang kamu hadapi. Yakinlah, kelab kami tidak akan membiarkan orang-orang macam kamu menganggur." Aku merenung wajah Tan Boon yang aku anggap cukup baik hati itu. Aku terima tin limau dari tangan manusia berkulit cerah itu dengan rasa nikmat. "Kita jumpa rakan aku."
"Bila?" Aku menjadi terburu-buru pula. Tan Boon tersenyum, menepuk bahuku.
"Petang ini. Aku yakin dia boleh berikan kamu kerja." Sekembalinya dari bilik Tan Boon aku tidur sepuas-puasnya, sehingga aku dikejutkan oleh Siew Lin yang menakalkan diri, merebahkan dirinya di sisiku. "Aku dapat bonus hari ini," katanya dengan riang sambil memicit hidungku.
"Kicap Haji dapat kontrak besar." Aku sekadar membuka mata menyambut keriangan Siew Lin. Aku tahu dia agak kecewa dengan sambutan yang aku hulurkan. Aku tahu, dia ingin lebih daripada itu. Tetapi wajah Tan Boon lebih menguasai kotak fikirku. Haji Hanafi pengusaha kilang kicap di Jalan Batu, adalah satu-satunya manusia yang dihormati.
Sudah lapan tahun Siew Lin menjadi kerani kewangannya. Dan setiap kali Siew Lin melihatku di bangunan berjaring dalam tempoh lima tahun itu, seraga kecil makanan adalah datang daripada Haji Hanafi. Dalam setiap pertemuan, Siew Lin membawa sepotong nasihat daripada Haji Hanafi, meminta aku berkelakuan baik sepanjang tempoh aku dikurung. Atas kepatuhan itulah hukuman aku dikurangkan dengan banyaknya.
Aku difahamkan Haji Hanafi amat rapat dengan ayah Siew Lin. Ketika Jepun memerintah dan memburu orang-orang Cina, ayah Siew Lin meminta perlindungan Haji Hanafi. Hampir dua tahun keluarga Siew Lin tinggal di kampung Haji Hanafi.
Kata Siew Lin apabila Haji Hanafi merancang membuka kilang kicap ayahnya memberikan sokongan penuh. Sebahagian modal awalnya diberikan oleh ayahnya. Dan atas perhubungan baik itulah Siew Lin diambil menjadi kerani kewangan Haji Hanafi. Pada minggu pertama aku dibebaskan, Haji Hanafi dan isterinya Hajah Halimah berkunjung ke rumahku. Ketika aku mengenakan butang baju dalam persiapan menemui Tan Boon Siew Lin muncul.
"Nak ke mana?" Dia kelihatan hairan.
"Ada kawan ajak makan," kataku cuba berbohong walaupun sudah lama aku menghentikan amalan itu. "Kenapa?"
"Saya ingat kita boleh makan di luar," kata Siew Lin dan dia kelihatan kecewa, meninggalkan aku menyiapkan kancingan baju. Jam tujuh tepat aku sedia di luar kotak lif tingkat bawah. Semasa aku melihat jam di dalam kedai runcit dekat lif itu, Tan Boon menjamah bahuku. Tan Boon memiliki sebuah kereta import model tujuh puluhan. Kami mengelilingi kota beberapa kali sebelum singgah di sebuah restoran di tepi pantai.
"Kita tunggu dia di sini." Aku mengikut arahannya saja. Apabila Tan Boon membuka pintu keretanya, aku juga membuka pintu yang satu lagi. Apabila dia duduk di kerusi batu dekat pokok jati, aku mengambil kerusi berhadapannya.
Sebuah kereta jenis Volvo biru gelap berhenti di sebelah kereta Tan Boon. Seorang lelaki India berbadan tegap keluar dari kereta itu menuju kami. Tan Boon berdiri dan aku turut berdiri. Sebaik saja lelaki itu mendekati kami, Tan Boon menuding jari kepada aku.
"Lim Hock," ucapnya. Tangan kananku dipegang kemas oleh lelaki India itu.
"R Maniam," balas lelaki India itu. "Dia bersetuju menyertai kita," kata Tan Boon. R Maniam menepuk bahuku sekali. "Bagus. Kerja kita ini agak senang, tetapi hasilnya lumayan," R Maniam memberikan jaminan. Saya diberitahu oleh Tan Boon bahawa saudara dapat memenuhi syarat yang kami perlukan. Kita jumpa malam ini."
"Di mana?" ingin sekali aku tahu tempatnya. "Saudara Tan akan bawa saudara nanti. Di sana kita bincangkan tugas dan gaji." R Maniam menghulurkan tangan untuk aku sambut. Sekali lagi kami berpegangan. Kota mula bermandi cahaya. Sekali lagi aku dibawa oleh Tan Boon mengelilingi kota.
Akhirnya kami berhenti di sebuah kedai kecil. Tan Boon berlari ke arah pintu kedai itu. Seorang lelaki muda membuka pintu dan menyerahkan kepada Tan sebuah beg yang agak berat apabila ditatang oleh Tan Boon. Tan Boon membuka bonet keretanya dan memasukkan bag itu. "Minggu depan ada perhimpunan di stadium besar," kata Tan Boon sebaik saja memulakan perjalanan seterusnya.
"Kamu mahu ikut?" Dia berpaling kepada aku.
"Ya," jawabku. Siew Lin sudah lama merancang untuk ikut serta ke perhimpunan perpaduan terbesar itu. Haji Hanafi akan menyewa sebuah bas untuk membawa pekerja. Aku akan bersama menaiki bas itu. Tan Boon tidak memperlihatkan reaksi apa-apa terhadap jawapanku itu.
"Kamu tak nak ikut?" pertama kali aku memulakan perbualan yang terputus beberapa ketika. Tan Boon tertawa. Ada keganjilan yang terpancar daripada ketawanya yang luar biasa itu. Bibirnya dijuihkan. Melihat aku dengan tajam.
"Aku nak tengok dari jauh saja," jawabnya. Kini kereta yang dipandu Tan Boon membelok ke sebatang jalan kecil di belakang sebuah bangunan pencakar langit. Kereta itu diletakkan di bawah sepohon pokok limau.
Tan Boon membuka bonet dan tiba-tiba muncul seorang lelaki mengambil beg di dalamnya. Kami ikut lelaki itu, menaiki tangga kecil. Kemudian kami menyusur kaki lima bangunan besar itu. Kami turun semula ke satu lorong.
Akhirnya lelaki pembawa bet itu mengetuk sebuah pintu. Pintu itu dibuka oleh seorang lelaki Melayu berseluar Jeans dan berbaju T putih bertulis `Keadilan'.
"Hamid," dia memperkenalkan diri setelah aku memegang tangan kanannya. Ada tiga sepanduk besar tergantung pada tiga bahagian dinding bilik itu. Semuanya bertulis warna merah dengan satu perkataan yang sama dipakai oleh Hamid.
Di lantai, bersepah kertas manila yang sudah tertulis dengan pelbagai ungkapan dan warna. Fikiranku dikepung oleh pelbagai anggapan. Sejak petang lagi aku disangsikan oleh cara dan tindakan, R Maniam. Rasa was-was timbul tenggelam waktu itu. Tetapi merasakan ia suatu permulaan kepada satu pekerjaan yang dijanjikan berpendapatan lumayan aku pendamkan saja kesangsian itu.
Terdapat dua meja di dalam bilik itu. Sebuah meja kerja yang bersepah dengan kertas dan sebuah meja panjang yang dikelilingi lapan buah kerusi kayu. Aku duduk di salah sebuah kerusi itu. Sejurus selepas aku duduk, pintu bilik diketuk sekali lagi. Tan Boon membukanya. Muncul R Maniam bersama tiga yang lain. Seorang daripada mereka seperti perempuan. Aku diperkenalkan oleh R Maniam.
"Ini Wati, Goven dan Hock Seng." Kecuali Tan Boon yang mencangkung mengutip kertas di lantai, lima yang lain duduk mengadap aku. Apakah aku perlu ditemuduga pula? Hati kecilku cuba meneka silap mata di depanku.
"Ya, lima tahun," aku berterus terang.
"Bukan salah saudara?" R Maniam menyambung. Hakim memutuskan saya bersalah. Saya terlibat."
"Sebelum itu saudara pernah pegang senjata sebagai polis simpanan?" Suara Wati agak langsing. Aku mengangguk saja. Empat tahun aku menjadi pasukan sukarela itu. Aku menerima latihan menembak dan bertugas di beberapa tempat.
"Tugas kamu ada hubungan dengan senjata api," tiba-tiba lelaki bernama Govin menyentak perhatian aku. Aku terperanjat besar. Dan sekaligus wajah Siew Lin tiba-tiba tertenggek di mana-mana. Matanya yang kecil dan jernih itu memancarkan sinar amaran.
"Hati-hatilah berkawan," nasihatnya berulang kali. Dan ketika dia memberikan nasihat, air matanya sentiasa luruh. Kemudian aku redakan kecakan perasaannya dengan memeluknya erat-erat.
"Saya difahamkan saudara akan ke perhimpunan raksaksa di stadium minggu depan?" Gadis hitam manis berwujud bujur sirih itu pula mengemukakan soalan. Aku cuba mencari muka Tan Boon.
Hanya rakan seflat itu saja mengetahui hasrat aku itu. Bagaimana begitu cepat boleh diketahui oleh gadis bermata hitam ini. Aku sekadar mengangguk kerana soalan itu terlalu remeh.
"Memang kami mahu saudara ke sana. Tetapi bukan sebagai peserta. Kami mahu perhimpunan itu dihancurkan." Aku tidak tahu siapa yang mengeluarkan kata-kata itu. Telingaku bagai digegarkan oleh petir yang amat kuat. Ketika aku membuka mata, aku masih dapat merasakan manusia dalam bilik kecil itu bagai beberapa ekor katak untuk dicampakkan ke dalam lubang najis.
"Gila!" Aku membentak. Meja panjang tempat kami berpaut tangan dapat aku rasakan bergegar oleh hentakan tanganku. Lima lelaki dan seorang perempuan yang tadinya berhadapan dengan aku, tiba-tiba berdiri di keliling bagai hendak menjerat aku hidup-hidup.
"Kamu mahu hancurkan Kuala Lumpur. Kamu mahu hancurkan kota raya yang damai ini? Pengkianat!!" Tidak! Aku tidak sanggup meruntuhkan kedamaian yang sedia ada. Aku mahu hidup di dalamnya. Ruang untuk aku masih terbuka. Pasti Siew Lin masih berusaha sekarang. "Lim Hock," baru sekali ini Tan Boon bersuara.
"Kamu tidak boleh mengelak diri daripada tugas ini." Aku tidak menjawabnya. Aku tahu suara Tan Boon adalah suara amaran daripada mereka. Aku terkepung di dalam bilik kecil itu.
"Kuala Lumpur tidak akan hancur," tambah R Maniam. Berjalan dari dinding kanan ke dinding kiri. Cuma gempar untuk seketika. Selepas itu Kuala Lumpur akan bangunkan. Bukan mereka." Aku nampak Hamid mengambil beg yang terletak di atas meja kerja. Diletakkannya di hadapan aku. Govin membukanya.
"Ini adalah bahan peletup," katanya "gegarkan stadium itu dengan alat kecil ini. Kalau berjaya, kami janjikan dua puluh ribu ringgit." Aku menarik nafas. Kemudian menghembuskannya dengan kuat. Neon kota raya yang kudiami terpacak kuat dalam kepalaku. Neon itu akan padam oleh gegaran daripada peletup itu. Susah payah Raja Abdullah menerokai pertemuan dua hulu sungai yang akhirnya menjadi kota gemerlapan runtuh dalam sekelip mata oleh tangan nakalku.
"Mengapa kamu tidak melakukan sendiri?" tiba-tiba aku diberanikan oleh keyakinan. "Itu soal kami. Jangan ditanya. Faham?" Tengking Hock Seng, cuba menarik leher baju aku. Aku menepis tangannya. Dia cuba menampar aku, tetapi dihadang oleh Govin. Govin mengeluarkan sepucuk pistol dari bajunya. Memutar-mutarkan didepan mataku.
"Bagaimana?" Soal Hamid melembutkan suara. Ada kesengajaan yang aku rasakan.
"Ya, aku setuju..." aku mengalah. Aku menjadi gementar oleh gertakan Govin. R Maniam menepuk bahuku. Hamid juga meramasnya. "Ingat, perjumpaan malam ini adalah rahsia, Lim Hock." R Maniam memberikan amaran ketika aku menolak pintu untuk pulang bersama Tan Boon. Kami membisu dalam perjalanan pulang. Tetapi Tan Boon kelihatan resah. Aku tidak pasti kenapa keresahan itu tiba-tiba melanda dirinya.
Dia seperti teragak-agak hendak menghantar aku balik. Beberapa kali dia melihat aku balik. Beberapa kali dia melihat ke belakang. Ada dua buah kereta yang mengekori kami dan cuba diberi potong oleh Tan Boon tetapi kereta itu tidak mahu memintasinya. Jam dua belas malam aku tiba di flat. Dan Tan Boon terus memutar haluan kereta importnya ke pusat bandar. Ketika aku menekan lif dua lelaki menghampiri aku. Dia menunjukkan sesuatu kepada aku.
Dalam beberapa minit aku mengiringi mereka memasuki bilik Tan Boon. Dan malam itu aku dibawa menjelajah banyak tempat. Yang pastinya aku memasuki bilik sempit di bangunan pencakar langit itu buat kali keduanya beberapa jam kemudian.
Menjelang Subuh aku menjalani temuduga yang panjang. Tetapi temuduga ini cukup melegakan. Aku merasa seolah-olah sudah berada di tengah padang yang maha luas. Tugasan kedua ini cukup bermakna buat aku. Sekurang-kurangnya aku dapat menebus kesilapan aku selama ini. Sudah lama aku menunggu saat seperti ini. Siew Lin, carilah aku kerja!

No comments:
Post a Comment