Pages

Saturday, March 21, 2015

Hula

Oleh Mahzan Musa

SEBENTAR lagi upacara ho'okupu akan bermula. Upacara yang bakal dipenuhi dengan tari dan irama muzik tradisi. Leis, kalungan harum bunga-bunga dalam kandungan warna-warni telah pun bergantungan di leher hingga memenuhi ruang dada. Di kedua-dua pergelangan tangan, kaki dan kepala telah terlilit hijau pakis halus warna bunga yang mencelah berselang-seli. Tapa, juraian daun-daun hijau yang menutupi tubuh dari pinggang ke bawah lutut sejak awal lagi sudah tersarung. Jelas, telah sempurna pakaian penari. Kemudian, daun ti, ikan merah, akar taro dan buah-buahan yang secukupnya pun telah tersedia untuk dianugerahkan pada Pele sewaktu upacara ho'okupu dijalankan.

Nalani masih menyusuti letak leis di kepala. Adakala kedengaran ketawa, kecilnya yang kemudian disambut dengan senyuman Olani.  Tapi Lyle dan John masih belum kunjung tiba, sedangkan cahaya senja makin menghilang. Dia tahu upacara ho'okupu tidak akan dapat dimulakan selagi hulu pahu tidak ditabuh sebagai pembuka gelanggang tari.

Sesungguhnya waktu senja adalah detik yang paling sesuai untuk merakamkan rasa kesyukuran dan kesejahteraan melalui tarian dan muzik lama. Tidak kisahlah memang dia telah biasa dengan ho'okupu. Menari sambil berdoa dengan menghadap ke langit merah jingga ke tengah lautan Pasifik luas. Laut tidak perah tenteram. Ombak terus bergulungan, berhempasan dan sering pecah di depan mata. Pele mungkin tenteram setelah upacara ho'okupu berlangsung.

Dia sedar pada waktu itu Pele mungkin sedang memerhatikan sama ada dari puncak Manoa Loa atau dari kawah Kileau di pulau besar Hawaii. Semoga dengan hula dari gerak langkah yang diajar oleh keturunannya dahulu, Pele tidak akan murka. Membendung semula segala kebengisannya bila anugerah daun ti, ikan merah, akar taro dan buah-buahan dilemparkan air dan lumpur panas. Semuanya akan hancur. Semuanya akan lebur. Semuanya untuk Pele, dewi gunung yang harus dijaga hati dan batinnya agar tidak memuntahkan lahar, debu, batu, api serta bara panas.

Itulah antara yang sering dilakukan sejak remaja dahulu. Malah sejak pulang semula ke kepulauan Pasifik dari tanah besar California dua tahun lalu hula makin kerap dilakukan. Tapi dia tahu sejak dahulu lagi hula adalah sebahagian daripada dirinya. Semacam telah ada di dalam naluri. Menari dengan aneka tandak di zaman kanak-kanak yang dipenuhi dengan keriangan walaupun dia telah cuba dibiasakan dengan hula oleh ibunya. Tetapi kerana kedegilannya yang lebih menggemari lagu dan muzik moden, hula diketepikan.

Setelah dewasa dan kini kembali semula ke Oahu dia berusaha untuk meneruskan tradisi lama. Sebagai anak muda dari keturunan asli pulau itu, tradisi silam harus dibanggakan. Setelah kepulauan bangsanya dijajah dan kemudian diangkat menjadi negeri kelima puluh dalam sejarah Amerika, tradisi Hawaiilah yang membezakannya dengan bangsa kulit putih Amerika atau suku kaum Indian di dataran Prarie. Itu harus diketahui.

Dari kesedaran itulah di terus menghidupkan  hula di dalam diri hingga ada waktu menjadi lalai. Hula yang sepatutnya ditarikan pada waktu senja terbawa hingga lewat malam. Adakala, dia terasa amat malu bila mendapati dirinya melakukan hula secara bersendirian. Namun wajarkah malu tersalut di wajah dan langkah tarinya sedangkan tujuannya adalah satu? Ingin mencurahkan segala kesucian dan kemuliaan yang ada dalam diri. Dan tentunya sebahagian daripada curahan itu adalah untuk Pele, penjaga gunung yang berang sifatnya.

Deru angin laut makin kuat. Mentari masih memancarkan sisa cahaya senja.  Ombak masih bersuara. Sesekali bau belerang dan wap dari didihan air panas memenuhi ruang tari yang terdedah. Angin semakin kencang. Leis dan tapa yang menutupi tubuhnya bergerak kesar mengikut arah angin. Dia masih menanti John dan Lyle yang belum juga kunjung tiba. Ho'okupu tidak akan dapat dimulakan tanpa paluan hula pahu, hula pu'ili, hula uli'uli, hula ili'ili dan hula kala'au secara bersilih ganti. Hanya John dan Lyle sahaja yang arif melaluinya sambil menyanyikan mele.

Suara Olani, anak gadis Kanako'ole Zane mula merungut.

"Mana John? Mana Lyle?"

Dia tidak menjawab. Sebagai anggota sampingan untuk upacara adat kurang tertib kalau dia menjawab. Badannya mula terasa sejuk. Betul langit makin gelap. Di puncak gunung utama telah berkumpul awan hujan. Hujan pasti akan luruh. Keresahan Nalani dan Olani makin ketara. John dan Lyle masih belum membayang.

"John dan Lyle datanglah cepat."

Itu bisiknya. Bisikan kecil yang berlapiskan doa halus. Lalu dia bergerak ke pinggir kaldera. Meninjau ke dalam, bawah gunung. Tidak mungkin John dan Lyle muncul dari situ. Pele mungkin. Itu sangkaannya apabila menyedari bahawa Pele penjaga gunung Manoa Loa dan Kileau sebenarnya tidak berjasad, tetapi mempunyai kekuatan semulajadi yang tidak terhingga khusus pada waktu-waktu kebengisan dan kemarahannya sedang memuncak.

Oh, masakan dia tidak terpukau dengan mitos penduduk kepulauan Pasifik yang pada dirinya semua itu adalah lambang keagungan rumpun bangsa yang pernah berkayuh perahu melawan ombak samudera semata-mata ingin menjelajah ke pulau-pulau kecil di Pasifik luas. Merekalah pelaut agung. Merekalah pelaut handalan. Dan setibanya di pulau-pulau kecil mereka akan disambut dengan upacara penuh adat, termasuk laua yang dipenuhi dengan hidangan teriyaki, lomilomi, poi dan aneka buah-buahan. Tidak kiralah sama ada lelaki atau perempuan, tua dan muda akan berhimpun di pesisir pantai beramai-ramai dan melakukan hula dalam penuh kemeriahan. Paling dikagumi adalah keramahan Puaahi yang menyanyikan mele dalam pakaian muumuu yang berwarna-warni. Di atas perahu, Puaahi menari lembut dan kemudian disambut dengan tepukan gemuruh cinta kasih sayang dari Alii, ketua utama dari pulau Maui.

Di depan Alii jugalah dia mula menyemarakkan kembali hula sekembalinya dari tanah besar California dahulu. Walaupun pada awalnya dia agak kekok, tetapi dengan bantuan Nalani dan Lyle dia akhirnya dapat menguasai hula dengan mudah. Namun pada masa-masa tertentu dia akan turut menampilkan hayunan tangan dan kaki hasil dari pengaruh lagu rancak dari muzik slow rock.

Dalam keasyikan dia membiasakan dengan hula tidak terduga langsung bahawa Herbert asyik memerhatikannya dalam kesesakan ramai pada Pesta Merrie Monarch Musim Bunga di perkarangan Istana Iiolani di awal-awal kepulangannya tempoh hari. Pada awalnya dia tidak peduli. Tapi bila Herbert cuba menyapanya sewaktu dia sedang mereguk margarita yang bertitiskan air kelapa muda segera dia melompat ke atas pentas mengikuti Putera Kuhio dari keturunan agung Raja Kamehameha menggayakan hula awana. Pada waktu itu jugalah dia ditikam dengan pandangan yang mencemuh dari hula kumu, kerana sebelum ini, dia telah berjanji untuk hanya melakukan hula lkahiko di depan Alii dari Molokai. Maaflah hula kumu dan Alii kerana hula awana sahaja yang dapat menghindarkan diri dari berbicara dengan Herbert yang suatu ketika dahulu cuba menghalang pemergiannya ke selatan California di tanah besar Amerika.

`Tiada apa di California sana. Kau nanti akan melupai dirimu sendiri. Kalau kau pergi pun aku pasti kau tidak akan lama!'

Benar. Benar dia tidak lama di California. Tetapi benarkah dia telah melupai dirinya sewaktu berada di California dua tahun lamanya. Sedangkan di Californialah dia telah mengenali siapa dirinya yang sebenar walaupun dia bagaikan tidak percaya bahawa apa yang dicarinya selama ini rupa-rupanya adalah dirinya sendiri!

Wah, dirinya sendiri! Dan bukankah selepas itu dia yang merasa ketakutan yang amat sangat hingga menimbulkan kekeliruan dan kekusutan fikiran yang sukar untuk dileraikan. Lalu pada malam-malam hari hingga awal subuh dia masih berlegar di downtown menyusuri El Cajon Boulevard, University Avenue hingga menembusi India Street sebelum berhenti di jambatan Coronado dengan niat untuk melemparkan diri ke Teluk San Diego!

Tapi syukurlah, tidak sesingkat fikirannya menerima sebahagian dari dirinya secara terbuka. Walaupun adakalanya pada detik-detik tertentu dia merasa berdosa dan tertunduk lemah.

Namun itu semua telah meneguhkan dirinya. Kekuatan terbina hasil daripada keperihan peribadi. Dengan keteguhan dan kekuatan itu akhirnya dia mengambil keputusan untuk melupakan California dan pulang semula ke Oahu. Oahu pun menerima. Tetapi bila hari-hari mula kelabu, dia sedar ada sesuatu di dalam diri yang meronta dan mendesak agar kembali semula ke tanah besar Amerika. Tidak kiralah sama ada ke California atau New York, jiwanya tetap ingin pulang ke sana. Hinggakan dia terpaksa melemparkan keluh di Teluk Hanauma atau berteriak lantang sewaktu bergelunsur ombak di Waikiki semata-mata ingin meredakan desakan dalaman.

`Pulang saja ke sana. Lupakan Oahu.'

`Tidak mungkin.'

`Lupakan tanahair. Lupakan keluarga.'

`Apa?'

`California lebih rancak. Jangan persiakan usia muda di sini!'

`Ya... aku akan ke sana nanti. Aku turuti katamu!'

`Justeru, pergilah sekarang!

Tiba-tiba ingin sahaja dia menggapai segala yang ada di sekitarnya apabila kakinya tersentuh dan mencecah lopak air panas berhampiran kaldera. Cepat-cepat dia menyatukan dirinya semula bila bunyi letusan didihan kolam air panas bersaing dengan suara gelombang di laut. Memang dia telah terlanjur jauh dari gelanggang tari. Wap putih bersih air panas berada di mana-mana hingga mengganggu pandangan mata. Dia melihat ke atas, bintang-bintang telah bercahaya menandakan senja telah lama berlalu, kecuali sisa seri cahayanya masih di hujung kaki langit. Tanpa cahaya senja ho'okupu tidak mungkin dijalankan. Semoga Pele tidak murka.

Di gelanggang tari Nalani dan Olani telah tiada. Di mana? Itu di sana. Dia melihat Nalani dan Olani berlari-lari menuju ke tebing menghadap pulau besar di seberang teluk. John dan Lyle yang dinanti kelihatan sedang berlutut di hujung tebing. Semua menghadap ke pulau di seberang. Pulau makin bercahaya dengan bunyi yang gemuruh. Tidak mungkin! Dia menghampiri Nalani dan Olani. Lyle menutup wajah dengan jari. John menggelengkan kepala.

"Ayoh, lakukan hula! Berdoa!" Bentak Olani sambil terus bergerak secara tergesa-gesa dan doa pun terbit membasahi dua bibir lembut. John dan Lyle telahpun memulakan hula. Olani terus mendesak.

`Hula! hula!'

Dia cuba mengikuti gerak Nalani dan Olani tapi pandangannya telah terpukau. Pulau besar makin dipenuhi cahaya. Manoa Loa telah mengeluarkan api dengan suara yang gemuruh. Dia cuba mengatur hula. Tapi langkahnya kaku. Benar dia telah kehilangan langkah dan gaya hula bila Pele muncul berhamburan dalam hangat semarak cahaya api di puncak Manoa Loa.

No comments: