Oleh Omar Mamat
KETIKA usia semakin memanjat tua, kesihatan perlulah dijaga. Tubuh badan mesti dijaga. Makan dan minum pun mesti dikawal. Datuk Zok ingat benar dengan pesanan doktor yang selalu memberi rawatan kepadanya. Dan dia pun tidak perlu bertanya lebih lanjut dengan doktor yang telah dianggap sebagai doktor pribadinya itu.
Datuk Zok tidak mahu macam kawan-kawan yang sebaya dengannya.Bersara saja daripada jawatan yang dipegangnya, semuanya bersara. Bahkah lebih ramai yang suka duduk goyang kaki, hujung bulan ke jabatan tertentu untuk menerima wang pesaraanya.
"Patutlah mereka semua tak laku," dia cuba membandingkan dirinya dengan kawan-kawannya yang telah sama bersara pada awal tahun yang lalu. Dia teringatkan diri Tan Sri Sok. Gelaran Tan Sri lebih hebat daripadanya. Kedudukannya yang lebih banyak berhubung dengan pihak luar, sayangnya selepas bersara, batang hidung pun jarang nampak.
"Batang tubuh langsung tak dijaga, asyik dengan kerja, sekarang siapa rugi?" Dia benar-benar bertuah. Belum pun tiba hari akhir bertugas, beberapa pengarah syarikat gergasi negara, lobi-melobi agar dia dapat memberikan khidmatnya di tempat mereka.
Matahari sudah mula menjenguk diri. Bayangan cahaya yang bertebaran di kaki langit dengan warna kekuningan, amat menyegarkan. Dia perlu segera sampai ke rumah. Biasanya dia akan sampai tepat pada waktunya. Dia masih dapat bersarapan bersama anak-anak yang akan ke pejabat. Kalau dia bersama Datin saja, selera makannya terasa hambar. Bahkah ada masanya, ketika anak-anak tidak bersama, dia tidak menyentuh pun sarapan pagi, hanya sekadar minum secawan milo kemudian bersiap-siap untuk turun ke pejabatnya.
Datuk Zok mengatur langkah dengan cara yang teratur. Dia tidak mahu memaksa dirinya. Bahkan kata doktor, semasa melakukan joging, jangan paksa diri. Otot-otot tua, kalau dipaksa, bila sudah meragam, jadi macam kereta tua yang ditekan minyaknya sesuka hati, akan meragamlah dia.
Dia tersenyum sendirian. Rintik-rintik peluh yang berputik kemudian gugur satu demi satu dari badannya yang masih kelihatan segak itu. Langkahnya tetap teratur. Kawasan perumahan yang menjadi laluannya memang sudah dihafal benar. Dia tahu, di mana tarnya tidak rata, di mana ada lubang dan yang mana selalu ada lompak air kalau hujan pada malamnya.
Dia berlegar-legar sekitar di sekeliling rumah mewahnya. Memerhati ke arah susunan bunga yang disusun rapi oleh Datin sepanjang waktu. Kemudian mengeluarkan tuala good morning dan mengesat sia peluh yang masih ada di ruang muka lebarnya hingga ke atas dahi yang luas hanya dipagari oleh beberapa helai rambut hitam bercampur keputihan.
"Abah, mari minum," pelawa Siti Hawa, anak perempuan sulung yang telah meningkat usia awal tiga puluhan itu.
Datuk Zok hanya angguk. Menjenguk seketika ke arah dapur. Datin masih sibuk di dapur. Dua orang lagi anak lelakinya belum keluar daripada bilik.
"Abah, nampak semakin muda," usik Alfalah anak bongsunya ketika mereka mula menjamah sarapan.
Datin menjeling dengan ekor mata ke arah Datuk dengan yang mengejek.
Datuk hanya tersenyum sambil memecah telur separuh masak ke dalam gelas yang sudah terisi dengan lada putih dan sedikit manisan lebah asli.
"Abah joging seorang saja?" tanya Alfalah lagi dengan mesra.
Datuk angguk. Dia tidak banyak bercakap ketika berhadapan dengan Datin. Dia malas mendengar komen dan kadang-kadang bertukar dengan leteran berjela-jela dari mulut Datin.
"Awal benar Abah joging, jangan-jangan Abah ada singgah di mana-mana?" usik Siti Hawa pula.
Datuk Zok memandang ke arah anaknya itu dengan pandangan kurang senang. Kemudian dia menoleh ke arah Datin yang tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Dadanya terasa lega.
"Dulu tidak, sejak dua tiga bulan ini, pukul lima dah sibuk nak joging," celah Datin dengan nada yang kurang senang.
"His ... kamu semuanya ada-ada saja, tak suka tenguk Abah sihat?" dia masih dapat berlembut. Dan memang dia sentiasa berlembut dengan anak-anaknya. Kalau pun dia tidak senang dengan Datin, dia tidak akan menyerang di hadapan anak-anak. "Orang tua lain, sebelum joging, tunai solat subuh dulu, sembahyang pun senaman juga," kata Datin seolah-olah melepaskan geramnya.
"Awak tahu saya tak sembahyang?"
"Awak singgah sembahyang kat mana?" pantas saja pertanyaan itu meluncur dari mulut Datin. Datuk Zok tersipu-sipu malu. Air mukanya segera berubah seolah-olah menyedari kesilapannya.
"Dulu, ada kawan bapak saya, semasa joging, kena samun, dia joging seorang diri, awal pula tu," celah Alba, anak kedua yang bertugas sebagai pegawai bank dengan nada yang serius. Raut wajahnya memang serius. Dan dialah yang paling pendiam dalam keluarga Datuk Zok.
"Entah-entah, Abah kamu kena serang kat orang perempuan pula," usik Datin dan disambut dengan deraian ketawa dalam rumah mewah itu. Datuk tidak menjawab. Wajahnya yang kekuningan itu kelihatan bertukar warna seketika.
Kadang-kadang terasa juga berdosa pada diri dan kaum keluarganya. Mengapa dalam usia setua ini, dia masih lagi berbohong dengan isterinya? Dia tidak tahu, apakah dengan perbuatannya, isterinya akan memaafkannya kalau mereka tahu.
"Mintak-mintak, janganlah mereka semua tahu!" Itulah harapannya setiap kali dia melangkah kaki untuk turun berjoging.
Datuk Zok siap berpakaian. Mengangkat jam tangan agak hampir ke matanya, dia pasti masih terlalu awal. Dia tidak perlu gopoh-gapah ke pejabat. Lalu dia melabuhkan punggungnya ke atas kerusi rehat di anjung rumah besar dua tingkat. Pandangan ke arah bukit mewah yang semakin hari semakin bertambah rumah mewah itu benar-benar membanggakan dirinya.
"Mudah-mudahan syarikat yang dia menjadi pengerusinya akan bertambah maju." Dia senyum sendirian sambil menghembuskan asap paip. Asap itu berlegar seketika sebelum dibawa angin.
Datuk Zok teringatkan sesuatu. Kenangan yang kadang-kadang mahu saja dia melupakan. Kalau boleh, biarlah rahsia itu ditanam kejap dalam dirinya seorang saja. Dia bukan melakukan satu dosa yang besar. Dosanya hanya dengan Datin saja.
"Mungkin aku telah berbakti, setidak-tidaknya, aku telah menyelamatkan diri aku dari lembah terkutuk," bisik hati kecilnya seolah-olah mengiakan apa yang bersarang di dalam hatinya kini.
Bunyi hon kereta mengejutkan dia dari lamunan yang lebih jauh.
Dia bergegas turun. Pemandu syarikat pejabatnya telah siap untuk menjalankan tugas. Selepas memberi ucapan kepada Datin, satu amalan yang dilakukan sejak mereka mula mendirikan rumah tangga, kereta beredar daripada perkarangan rumah mewah dengan diperhati oleh Datin.
Di pejabat, selesai mesyuarat dengan kakitangan penting syarikatnya, Datuk Zok termenung panjang. Kadang-kadang terasa lucu juga dalam hidupnya. Di mana-mana pun orang bercakap tentang joging. Tua muda, lelaki perempuan semua bincang fasal joging. "Budak pejabat kita pun sudah gemar joging," kata salah seorang kakitangan pentingnya ketika rehat selepas mesyuarat sebentar tadi. Kadang-kadang, kata-kata isterinya ada benar juga. Kalaulah dia ikutkan nasihat Datin, tentu dia tidak terjebak macam ini.
"Kalau dah tua, bangkit tunduk sembahyang pun sudah cukup buat senaman," kata-kata Datin bergema dan tidak juga mahu hilang di mana pun dia berada.
Woooooooo!!!!
Dia mengeluh panjang. Timbunan fail di hadapannya tidak dipedulikan. Sudah hampir setengah jam dia melayan perasaannya. Entah, dia sendiri pun tidak tahu, mengapa tiba-tiba saja fikirannya berkecamuk.
Niatnya sejak muda, sejak mula melangkah ke alam pekerjaan, selepas bertugas dia akan berehat dan dalam usia tua, dia bertuah kiranya ada beberapa orang anak dengan isteri yang setia, punya sebidang dua tanah dusun, kemudian menunaikan Haji, pasti hidupnya akan bahagia.
Wooooooo!!!
Tepat jam lima pagi, dia pasti bangun. Menoleh seketika ke arah Datin yang masih lena berdengkur. Timbul juga rasa kasihan kepada Datin. Dia perempuan baik. Cuma perangainya suka berleter benar-benar menjadikan nafsu kasih dan sayangnya cetek dan kadang-kadang meluat.
"Kalau dia tahu?" Ah! pertanyaan itu sering bersarang dalam kepalanya sejak hari pertama dia menjadi milik bersama seorang lagi kaum hawa.
Pagi itu, macam pagi-pagi yang lain juga, dia akan singgah seketika, sekadar menemani dan menjalankan tugasnya sebagai seorang suami, kemudian dia akan meneruskan jogingnya hingga matahari mula memecahkan sinarnya.
Langkahnya tidak teratur seperti hari-hari biasa, fikirannya sering terganggu dan kadang-kadang nafasnya menjadi semput. Di rumah, dia tidak berlegar seketika, dia terus ke bilik mandi dan menukar pakaian. Kemudian dialah yang paling awal berada di sisi meja makan.
"Selamat pagi, Abah," sapa Siti Hawa dengan mesra. Dia hanya angguk dan memberi isyarat dengan tangan agar anaknya mengambil tempat di sisinya.
"Abah semakin pantas berjoging," Siti Hawa membuka tirai perbualan pada pagi itu.
Datuk tersenyum. Menghirup Milo 0 yang berada di hadapannya.
"Kenapa abah tidak cuba masuk mana-mana pertandingan dalam kumpulan veteran," tiba-tiba Alfalah muncul dan menyampuk.
"Abah kamu, bukan suka sangat berjoging, sekadar beralih angin," celah Datin pula yang sudah mengambil tempat berhadapan dengan Datuk.
Dada Datuk semakin sebak. Dia merasakan sesuatu yang tak kena pada dirinya. Perkataan Datin itu terlalu sinis. Dia merenung ke arah Datin seolah-olah mencari sesuatu. Wanita yang berambut keperangan dengan muka bulat dan berbadan gempal itu tidak menyedari tenungan Datuk. "Kami bukan apa-apa, kami bimbang, awal sangat Abah keluar rumah. Manalah tahu, Abah terjadi sesuatu, siapa yang tahu?" sambung Siti Hawa lagi seolah-olah menunjukkan simpati kepada Abahnya.
"Mana kita tahu, entah-entah dia ada teman berjoging yang lain," biar pun dalam nada biasa saja, namun cukup perit terasa bagaikan rejaman lembing kaum Habsi ke atas mangsanya.
"Mama, kenalah ikut sekali dua, barulah sama-sama jaga badan," Siti Hawa cuba mengalih perhatian setelah melihat raut muka Abahnya yang tidak menyenangkan. Siti Hawalah yang paling rancak bercakap. Dan dialah anak yang paling ramah.
"Mana boleh, bukan dia nak pelawa, macam-macam alasan," Datin bersuara keras seolah-olah memperotes sikap Datuk Zok itu.
Datuk Zok semakin gelisah. Fikirannya benar-benar berkecamuk. Apakah dia perlu mengambil hati isterinya, sekali dua membawa isterinya yang berusia dua tahun lebih muda daripadanya untuk joging bersama?
Apakah dia telah berlaku adil? Atau berhenti saja berjoging dan buat macam dulu.
"Apa alasan untuk keluar rumah setiap hari?" batinnya benar-benar tertekan. Dia berlegar-legar ruang pejabatnya. Sejak tiba tadi, dia telah memberitahu Setiausahanya supaya tidak menerima, tamu sehingga diberitahu.
"Apakah aku mesti berterus terang?" dia terhenyak ke atas kerusi empoknya dan merenung ke arah gambar kakitangan yang tergantung di hadapan meja kerjanya. Fikirannya kosong apabila merenung ke arah salah seorang gadis yang telah berusia tetapi belum berpunya dan kini telah berjaya menawan hatinya.
"Untuk keselesaan dan kesejahteraan kita bersama, aku mahu kau tukar ke cawangan kita yang lain," itu syarat yang diberikan selepas mereka disatukan secara sah beberapa bulan yang lalu. "Kacau!!" Mahu saja dia bertempik sekuat hati biar isi bangunan dua puluh tiga tingkat tahu betapa beratnya beban yang sedang ditanggung kini. "Aku juga tidak mahu, kau berjoging lagi," sambungnya lagi. Perempuan itu tetap akur. Selama ini, walaupun mereka di bawah satu bumbung, namun pertemuan setiap pagi sewaktu berjoginglah yang merapatkan mereka.
Telefon berdering.
"Panggilan daripada Datin!" beritahu setiausahanya yang terlebih dahulu menyambut panggilan itu.
Sepanjangan percakapan itu, Datuk lebih banyak mengiakan saja. Dia seolah-olah kehilangan semangat untuk bercakap tidak seperti biasa setiap kali Datin bercakap, ada saja isi percakapannya.
Datuk Zok semakin serba salah. Rasa bersalah semakin menyerang dirinya. Dalam usianya yang semakin meningkat, dia tidak mahu dosanya semakin bertimbun. Hasratnya untuk menunaikan haji bersama Datin selalu saja tertangguh. Kalaulah terjadi apa-apa terhadap dirinya, bagaimana dengan rumah tangganya nanti?
Dan yang paling terasa malu pada dirinya sendiri ialah tentang anak-anaknya, Siti Hawa belum lagi bersuami, Alafalah ataupun Alba belum pun ada apa-apa.
Nanti kalaulah anak-anaknya tahu, alangkah malu dirinya.
Malam itu, ketika semua sudah lena tidur, Datuk masih berlegar di ruang tidurnya. Dapur paip sekali sekala diselitkan di bibirnya. Dia membuka tingkap kecil yang menghala ke arah bukit yang terpacak gagah. Angin malam yang dingin menyerbu masuk. Bintang-bintang tanpa ditemani bulan berkerlipan di dada langit. Kota raya sunyi sepi. Hanya sekali-sekala terdengar sayup deruman enjin lori dan kereta yang belum selesai dengan tugasnya. Dia menoleh ke arah Datin yang begitu nyenyak tidurnya.
"Maafkan aku, Salbiah ... aku tidak sengaja," namun suara itu segera tenggelam ditelan kegelapan malam. Tergamakkah dia menyatakan demikian?
Pagi itu, dia melawan perasaanya. Biar pun hati kecilnya mendesak agar dia menyarungkan pakaian jogingnya, namun dia tetap berdegil. Datin membuka mata dengan senyum lebar. Datuk sedang khusyuk di atas sejadah dengan kedua tangannya menadah ke langit.
"Abah, buang tabiat," usik Datin ketika mereka sekeluarga berada di meja makan. Datuk senyum sambil mengunyah sisa roti yang masih di tangannya. "Enjin tua jangan dipaksa sangat," Alfalah memecah kesunyian mereka semua.
Ketika Datuk masuk ke kereta yang akan membawanya ke pejabat, Datin masih berdiri di hadapan pintu sambil melambai tangan dengan mesra.
Hujan yang turun dengan lebatnya malam tadi masih meninggalkan sisa-sisanya. Rintik-rintik kecil masih bertaburan. Namun Datuk Zok telah bersiap dengan pakaian jogingnya. Ketika Datuk keluar, tidak ada siapapun yang menyedarinya. Walaupun seluruh badannya terasa sengal-sengal ditambah dengan kedinginan, namun Datuk mesti keluar juga.
Sehingga semua anak-anaknya keluar ke tempat kerja masing-masing, bayangan Datuk belum juga nampak. Datin semakin gelisah. Sekejap lagi, kereta pejabatnya akan sampai.
Rintik-rintik hujan sudah berhenti. Matahari sudah mula menjengukkan dirinya. Datin tidak ada selera makan. Hatinya diserang dengan seribu pertanyaan. Tidak pernah Datuk balik selewat ini.
Datin meminta supaya pemandu tidak menanti Datuk. Katanya, Datuk kurang sihat. Perasaannya semakin cemas. Ketika telefon berdering, Datin bergegas ke arah meja kecil di sudut tangga. Dia hampir tersungkur kerana terlanggar kerusi kecil yang terletak di ruang tengah rumah.
Datin tidak terkata apa-apa apabila berita itu sampai ke telinganya. Dia diam sejurus. Bola matanya terkunang-kunang dengan jutaan bintang menari-nari di ruang matanya. Apabila pembantu rumahnya masuk untuk mengemas rumah, barulah Datin tersedar dan dengan segera dia memutarkan telefon kepada anak-anaknya.
Datin yang ditemani oleh Siti Hawa merasa hampa kerana dia tidak dibenarkan masuk ketika sampai di hadapan bilik kecemasan klinik ternama itu. Mereka berdua mundar-mandir seketika sebelum melabuhkan punggungnya ke atas kerusi rehat di ruang menanti.
Mata Datin berpandangan dengan seorang perempuan yang berpakaian kebaya. Mereka bertukar senyum. Namun Datin tidak kuasa melayan bercakap dalam keadaan dada berombak dengan seribu pertanyaan dan harapan. Mereka kembali membisu dengan hal masing-masing.
Siti Hawa yang berada di sisi Datin menjeling sekali-sekala ke arah perempuan yang kelihatan sugul. Namun mereka tidak bertegur sapa.
"Mariamah, doktor minta supaya cik puan masuk sebentar," seorang jururawat dengan senyum yang menawan meminta perempuan yang bersendirian itu masuk. Datin berpandangan. Namun dia masih tetap bersabar. Barangkali suami perempuan itu juga senasib dengannya. Seorang lagi jururawat yang agak berusia keluar. Datin meluru ke arahnya. Mereka bercakap-cakap seketika. Siti Hawa turut sama berdiri. Selepas memperkenalkan dirinya, dengan hormat kedua-duanya mengiringi jururawat itu masuk ke dalam bilik khas. Perempuan muda itu berdiri sambil memegang tangan Datuk Zok dengan mesra. Datin tersentak. Namun dengan perasaan yang tabah dia menghampiri Datuk yang mula membuka matanya. Air mata jernih berguguran dari kelopak matanya. Doktor yang masih berada di dalam bilik itu menghampiri Datin dan membisikkan sesuatu. Datuk Zok memandang ke arah Datin dengan pandangan yang kosong. Badannya masih terasa lemah. Dengan ekor matanya, Datin mengerti. Siti Hawa pun mengerti. Kemudian Datuk memalingkan mukanya ke arah perempuan muda itu seolah-olah memberi isyarat sesuatu. Perempuan muda itu menghulurkan tangannya ke arah Datin. Dengan perasaan yang amat berat, Datin menyambut tangan itu. Datuk tersenyum. Kelopak matanya terkebel-kebel macam cicak melihat kapur. Sebelum Datin meninggalkan bilik itu, dia sempat menuturkan sesuatu.
"Bila sihat nanti, kita joging bersama ya," dia memandang tepat ke arah Datuk dan perempuan itu. Datuk tersenyum puas.

No comments:
Post a Comment