Pages

Thursday, July 09, 2015

Dunia terasing

Oleh Hasan Baseri Budiman

SEPERTI sekian kalinya, aku akan ke situ, meredah ombak kesabaran yang kian digeruni kehancuran. Seperti sekian kalinya juga, aku bertafakur di situ bersama keriuhan nyanyian camar yang tidak pernah memaklumi aku. Anak pelaut yang sudah hilang pedoman, yang kerap terpisah dengan daratan luas. Anak pelaut yang karam seperti aku ini memang sering dibungkus kebingunan.

Jemu. Dan, sungguh aku tidak tahu apa harus dilakukan pada detik sebegini. Seperti semalam, seperti semalam sebelumnya dan semalam-semalam sebelumnya, aku hanya berupaya membilang kepantasan angin menampar telingaku saja. Ah, sayunya.

Berapa lamakah aku harus terus bersendirian begini? Tidak ada siapa pernah bertanyakan kepiluan hati ini. Tiada siapa pernah bertanya betapa keharuan hati ini, keperitan hati ini. Tidak ada. Siapakah nanti yang akan mengembalikan aku ke keadaan asalku?

"Saudarakah?"

Lelaki India yang melewati tempat aku duduk itu tersenyum sumbing.

"Habis siapa?" Suaraku tiba-tiba kuat.

Aku tidak pasti ada orang lain melihat aku atau tidak. Tetapi aku tahu, ramai yang dengki dengan keistimewaan yang ada padaku. Mereka sering senyum sinis apabila melalui tembok tempat aku selalu mengutip ilham. Aku tahu.

Mentari kian malu walaupun aku masih mahu melihatnya. Kubuka buku catatan lusuh yang masih banyak ruang kosong. Kutuliskan rentak irama hatiku satu-satu ke dalamnya.

`Almanakku - kujengah lautan kemasyuran/penuh dugaan kasmaran.../menerpa kebatilan kesamaran...'

Fikiranku tiba-tiba buntu, walaupun keinginan melonjak-lonjak untuk terus menulis. Ilham yang sekecil hama itu hilang. Aku cuba ucapkannya lagi. Mana tahu kalau ilham itu datang semula! Kuhadapkan muka ke laut, kuhulurkan tangan, menggengamnya dan terus menggayakan suatu aksi tersendiri.

"Almanakku/kujengah lautan kemasyhuran/penuh dugaan kesamaran/menerpa kebatilan kesamaran..." Hatiku terasa diusik bunyi tepukan kecil. Kupandang sekeliling. Mataku tiba-tiba melekat ke sekumpulan anak muda bermotosikal. Aku tidak kisah. Semangatku kembali membara untuk membaca karyaku itu sekali lagi.

"Hebat la Mat ... Bravooooooooo!"

Aku tundukkan kepala ke arah mereka. Ketika aku mahu mengucapkan puisi untuk kedua kalinya, aku lihat sepasang anak muda Cina yang tadinya leka bercumbuan berhampiran tempat aku berdiri ini, bangun, sambil mengomel sesuatu dan terus beredar.

Semangatku tiba-tiba hilang.

Aku duduk kembali, merenung laut yang sesekali melambung ombak dan pecah di bibir pantai. Aku kagum dengan kuasa Allah yang menciptakan semua keindahan ini. Dan, aku juga kagum dengan nasibku begini. Aku suka pada puisi - mendeklamsikannya, menyanyikannya. Jauh dalam diriku tumbuh keinginan mahu terkenal seperti beberapa pemuisi tanah air.

"Ahh...amat hairan. Mengapa aku tidak berbakat macam mereka?"

Aku rasa mahu terus menulis. Tetapi fikiranku buntu. Aku cuba lonjakkan keinginan menulis sesuatu. Sebuah hasil tulisan penaku untuk tatapan umum. Kalau bukan cerpen, barangkali rencana. Kalau bukan rencana, mungkin catatan bebas. Kalau itu pun bukan juga, mungkin sajak!

"Dalam dunia seperti ini kita harus lebih tabah, Ina!" Tiba-tiba telingaku menangkap perbualan kecil.

"Tapi bang, Ina sudah hampir kecewa..."

Aku pusingkan badan ke arah perbualan itu. Suara yang melintasi tembok tempat aku bertapak. Memang kebiasaan anak muda di sekitar tempat ini datang memadu kasih di sini. Mereka seperti tidak hiraukan kehadiranku, penunggu setia tembok ini.

Malam kian larut. Seperti selalu, aku jarang dapat tidur selesa. Kuangkat bungkusan dan cuba bangun. Air sudah pasang. Kalau aku terus di sini, aku mungkin ditenggelami air laut.

Ketika berjalan aku terasa seperti melanggar sesuatu.

"Ooiiiii...buta ka?" Sebuah penampar singgah di pipiku. Perit.

"Jangan cuba menggatal. Dah gila tu buatlah cara gila. Nak pegang-pegang tu pasal apa?" Suara lelaki itu terus meninggi. Aku segera beredar dari situ.

Kupercepat langkah bagi menghindar daripada dicaci terus lelaki itu. Aku juga sedar puluhan biji mata memerhati ke arahku. Tetapi aku sudah biasa dengan semua itu. Sudah mangli.

Dalam perjalanan, tiba-tiba ilham itu datang semula. Meresap dalam kemarahan yang sedang membara. Langkahku terhenti. Tiba-tiba mulutku bersuara mengucapkan stanza yang menjengah.

`Kota yang kurang ajar/memburu manusianya yang leka dengan kekayaan/dan kehemahan kurang ajar.'

"Hooiiii apa yang memekak tengah malam ni?" Sebuah suara lemah, merentang garis tengah ilhamku. Aku mencari-cari. Sebatang tubuh terbaring dengan mukanya ditutup akhbar lama. Sisa kota yang menjadi tempias pembangunan pesat. Penghuni tangga batu. Sampah. Kutu rayau.

"Huhhhhhhh..!" Aku mencemuh dengan berani, dan segera berlalu dari situ.

"Woi! Mabuk ke? Kereta pun tarak nampak. Cit, gila!"

Aku teranjak mengelak diri. Tengah malam begini pun masih ada orang tidak tidur macam aku? Apa mereka buat? Mereka juga tidak berumah macam aku? Sekali lagi jalanku terganggu. Aku sedar, memang kesilapanku. Tetapi, mengapakah orang macam aku saja yang sering dicemuh?

"Amat! Sumua tarak mustahil, tau ka." Maniam kengkang tiba-tiba bersuara di belakang. Aku tahu, ramai sudah mengenaliku. Mat Torek. Sebut saja nama itu, ramai penduduk pekan Semangkuk kenal.

Maniam berkata sesuatu lagi yang sukar kufahami. Dan apabila aku menoleh ke arahnya dia sudah hilang entah ke mana. Aku berasa lega kerana tiada siapa lagi yang akan menggangguku.

Sampai di tangga bangunan PET, aku labuhkan punggungku di situ. Kuletakkan bungkusan kain lusuh di hujung kepalaku ketika mula berbaring. Namun, aku tidak dapat melelapkan mata walaupun aku cuba melakukannya beberapa kali. Aku bangun semula, menumpang daguku di kedua lutut.

Kurenung sinaran lampu sport yang menyuluh tepat ke dinding bangunan. Aku kagum dengan keindahan wawasan manusia. Tetapi aku akan jadi lebih kagum bila nanti sasterawan Mat Torek berjaya menerbitkan antologi puisi Sinaran.

Kukeluarkan buku catatan dari dalam bungkusan lusuh dan membukanya. Kubuka lagi dengan luas dan mula berfikir untuk menulis. Tetapi fikiranku terus buntu, tidak tahu apa yang harus kutulis.

Aku sedar sebuah karya harus kusiapkan juga. Kalau tidak malam ini, malam esok. Kalau tidak siap juga, malam lusa. Malam tulat dan seterusnya. "Tapi, kalau tidak siap juga, macam mana?"

Aku mahu namaku terkenal macam sasterawan terkenal lain. Aku akan disanjung, dipuja. Kalau tidak macam Shahnon, Samad Said atau Usman Awang, macam sasterawan terkenal yang lain itu pun tidak mengapalah. Pokoknya, aku dikenali. Sasterawan, pendukung sastera bangsa. Aku akan dijemput ke majlis sasatera. Ah, memang terkenal aku.

"Peranan sasterawan memang besar. Kita sebagai sasterawan bertanggungjawab menyerlahkan suasana selaras dengan besar dan pentingnya fungsi sastera itu sendiri dalam konteks pembangunan masyarakat dan bangsa!"

"Sudahlah Mat. Aku nak tidur ni! Esok aku kerja," Murat Kudung mengganggu rentak ucapanku. Tetapi aku tidak pernah ambil hati. Kami sudah saling kenal mengenali sejak sebulan dulu. Kerja Murat meminta sedekah.

"Ooii Murat! Aku boleh jadi sasterawan ke?"

"Sudahlah Mat. Tiap malam kita jumpa, itu saja yang kau tanya. Cubalah sesekali kau tanya yang lain. Betullah macam semua orang kata, kalau orang gila tu tak ada lain pada dia, melainkan yang gila-gila saja."

"Huhhhhh...tanya sikit pun tak boleh." Aku lepaskan geram. Murat memang baik. Setiap kali kalau dia dapat rezeki lebih, dia tidak lupa belikan makanan untuk aku. Sebab itu aku susah hendak marah padanya.

Aku anjak dudukku ke tepi dinding bangunan. Di situlah aku dan Murat Kudung bermalam. Kaki tangga bangunan PET itulah rumah kami. Cahaya lampu sport yang menyuluh dinding bangunan kutenung lagi. Kali ini agak lama. Terasa sakit mataku. Aku alih pandangan ke deretan lampu jalan yang riang menebarkan cahaya ke bumi. Beberapa ekor rerama terbang di kelilingnya.

"Hei rama-rama! Engkau fikir aku boleh jadi sasterawan?"

"Sasterawan? Sasterawan macam siapa Mat?"

"Ai! Engkau jawab pertanyaanku rama-rama?"

"Bukan rama-ramalah. Aku, akulah! Rama-rama mana boleh cakap. Kau pun satu! Betullah engkau ni gila Mat!"

"Sial!" Hatiku membentak. Kalau aku tahu Murat yang menjawab tadi, haram takkan kusuruh angin bawakan soalan itu kepada rama-rama. Aku renungi Murat yang terletang berselimutkan akhbar lama. Benciku tiba-tiba datang semula.

Aku bangun, pindah jauh sedikit daripada tempat Murat tidur. Hampir ke bawah tangga bangunan. Di sini lebih selesa. Tiada gangguan. Kuletakkan bungkus kain lusuhku. Buku catatan di tangan kubuka lagi.

Suatu waktu aku berjalan di suatu lorong pada waktu malam yang hampir- hampir serupa dengan malam ini. Aku terlihat sekuntum bunga indah, lalu lahirlah sebuah memori:

`Kucari cinta di tepi arus yang mengalir hening/di tepi ombak berdesir galak/membelah kehijauan lurah/yang memuncak di awan/lalu kubacakan ayat cintamu itu/ satu-satu dalam suara serba ragu/kerana aku tidak mampu mengetuk/pintu yang terluka dalam nafas yang pecah...'

"Yahooooooooo..." Aku berlari mendapatkan Murat yang barangkali sedang dibuai mimpi. "Hei Murat!" Aku separuh bertempek sambil menggoncang tubuh kurus melidi itu. Murat bangun, tergesa-gesa, terkejut.

"Ada apa Mat?"

"Aku dah dapat!"

"Dapat? Dapat apa?"

"Dapat karya baru. Engkau nak dengar?"

"Laaaaaa! Itu saja? Hoi Mat. Gila betul engkau. Jangan ganggu akulah. Aku nak tidur. Engkau faham tak, aku nak tidur!"

"Huhhh...Orang nak cerita pun tak mahu dengar!" Aku tinggalkan Murat semula dengan penuh rasa benci. Perlahan-lahan kupujuk hatiku supaya tidak bercerita apa pun kepada Muat.

Aku cuba baring semula. Otakku ligat memikirkan sesuatu yang aku sendiri tidak tahu. Tiba-tiba aku merasa sesuatu masuk melalui kaki seluarku yang sudah koyak. Kugoyangkan badanku kerana terasa sedikit geli. Benda itu makin menjalar sampai ke punggungku yang tidak pernah dialas seluar dalam. Aku bingkas bangun, terus masukkan tangan ke dalam seluar. Kutangkap benda itu. Seekor lipas!

"Hei lipas! Apa yang kau cari dalam seluar aku ha? Di sini bukan restoran, ada banyak makanan! Sial punya lipas," Kuhempuk lipas ke lantai. Serangga itu berpusing-pusing sebelum kaku.

"Kau memang kejam Mat."

"Aku, kau kata kejam? Engkau silap lipas."

"Kenapa kau mahu bunuh aku? Aku tak gigit engkau!"

"Bukan soal gigit. Ini soal maruah. Engkau cabul kehormatan aku. Itu satu kesalahan namanya, tau?"

"Tapi, aku tak sengaja!"

"Sengaja atau tidak, itu soal lain. Ini soal maruah."

"Maruah, maruah. Tak ada lain perkarakah yang kau nak bincang?"

"Hai, kau menghina aku nampaknya!"

"Engkau memang gilalah! Apa salahnya kenyataanku itu?"

"Celaka! Aku bunuh engkau. Aku bunuh, aku bunuh."

"Hai Mat! Apa lu bikin? Siapa lu mau kasi mati?" Satu suara tiba-tiba menyampuk. Aku yang masih membongkok menoleh ke arah lelaki itu.

"Aku mau bunuh lipas keparat yang hina aku!"

"Apa sudah jadi? Mau kasi mati lipas pun kasi bising satu dunia." Lelaki Sikh itu menggelengkan kepala sebelum berlalu dari situ. Aku terus mencari lipas yang menghina aku, tetapi gagal. Tubuhku mula terasa letih, dan sebentar kemudian aku sudah terlena di tangga bangunan.

"Wooii bangun! Sini bukan tempat tidur." Suara tinggi dan marah-marah mengejut aku. Sial. Ketika aku membuka kelopak mataku perlahan-lahan, beberapa pasang kaki sedang mengelilingiku. Aku bingkas bangun dan cuba bergerak, tetapi tubuhku segera dipegang oleh seorang daripada mereka yang memakai uniform kelabu.

"Lepaskan aku!" Aku cuba meronta. Lagi kuat aku meronta lagi kuat pula badan aku dipegang. Terasa sakit. Kemarahanku mula tercabar.

"Berapa kali lagi mesti aku beri amaran kau jangan tidur di sini hah? Dulu pun engkau dah ditangkap. Rupanya tak serik juga," Suara itu semakin tinggi. Garuk. "Hamid! Bawak dia ke Land Rover," perintah lelaki itu. Dia bertali leher dan kelihatan amat garang. Kemarahanku semakin tercabar.

Tubuhku ditolak ke dalam kereta berjaring di sekeliling tingkapnya. Terasa benar angkuhnya lelaki tadi. Tetapi apalah yang orang macam aku, macam Mamat, macam Maniam boleh buat? Di dalam kereta aku lihat beberapa rakan seperti aku sudah sedia ada. Muka masing-masing monyok.

Biasanya kalau kena tangkap kerana mengemis di bandar ini, tidak ada lainlah daripada muka kami! Kebanyakan kami memang sudah dua tiga kali ditangkap dan dihantar ke rumah kebajikan. Tetapi, tidak berapa lama selepas kami dibebaskan dari sana, kami pasti akan kembali semula ke tempat ini. Macam sudah terikat dengan satu perjanjian pula. Anih!

Aku tinjau lagi isi Land Rover. Tidak nampak pula Murat Kudung. Di mana pula agaknya dia menyorok. Aku tinjau pula keluar melalui celah dawai cermin yang memagari tingkap. Tidak nampak pun. Kenapa aku saja yang ditangkap? Kenapa Murat tiada bersama? Ada pilih kasih jugakah?

Sepanjang perjalanan aku tetap teringatkan Murat. Bagaimana dia boleh melepaskan diri. Aku harus belajar daripadanya bagaimana cara melepaskan diri daripada ditangkap. Tiba-tiba kereta berhenti. Pintu dibuka.

"Turun!" Kami diperintah seperti orang salah. Kami turun seorang demi berhampiran.

Di sebuah bilik sederhana luas di tengah bangunan itu, kami diarahkan duduk. Aku cukup tidak selesa dengan keadaan itu. Macam kena kongkong. Kuperhatikan sekeliling bilik. Semuanya tidak menarik. Rakan-rakanku juga tentu rasa begitu. Yang aku pelik, apa salah kami? Kerja kami tidak ganggu orang. Sekadar minta sedekah. Kalau orang sudi mereka beri. Kalau tidak, kami tidak pernah marah.

"Dengar sini semua! Ini amaran terakhir. Sepanjang minggu ini kempen kebersihan bandar diadakan. Pihak bandaran tidak mahu kamu semua terus jadi kutu rayau, kerana ini cacatkan keindahan bandar kita. Sesiapa yang engkar kita akan diambil tindakan, akan dikurung untuk beberapa ketika. Kenapa kamu semua masih menjadi kutu rayau, pada hal sebelum ini kamu semua diletakkan di rumah kebajikan? Apa lagi yang kamu semua mahu?"

Tiada siapa pun di antara kami mahu menjawabnya, sudah meluat dengan kerenah semua pegawai bandaran di sini. Mentang-mentanglah mereka sudah punya pekerjaan tetap, boleh berlagak dan macam-macam. Tetapi, cuba mereka bayangkan, kalau mereka jadi macam kami, apakah mereka sanggup buat apa yang kami buat sekarang?

"Kamu semua akan dihantar ke rumah kebajikan buat sementara untuk siasatan. Sementara itu, berehatlah dulu di sini." Pegawai itu meneruskan.

Tiba-tiba saja bunyi bising di kalangan kami sebaik pegawai itu pergi dan pintu bilik ditutup kuat. Ah sombongnya! Aku lihat Minah Kilat menangis. Dia memang begitu. Pantang digertak sedikit, maka menangislah dia.

"Hoi! Apa jerit-jerit ni hah?" Satu suara melenting sebaik saja pintu dibuka sebentar dan kemudian ditutup semula. Kuat. Kami diam. Lewat petang kami dipindahkan ke rumah kebajikan dua kilometer dari bandar. Dan dengan kali ini, sudah tiga kalilah aku dihantar ke sini. Kami dapat layanan baik, cumanya kebebasan kami dikurung. Inilah yang aku tidak suka. Dan mungkin kawan-kawan aku juga begitu. Itu sebabnya bila kami berpeluang keluar kami akan teruskan semula kerja kami. Di luar kami bebas biarpun kadang-kadang kami biasa tidak makan dua tiga hari. Tetapi kami tetap gembira dengan kerja kami.

Malam itu aku tidak dapat tidur. Aku tahu di sini bukan duniaku. Aku keluar berjalan meredah embun ke kerusi di bawah pohon ketapang dekat blok aku ditempatkan. Sinar lampu neon kuning menyinari sekitar tempat itu. Aku akur dengan keindahan yang sebegitu. Rama-rama malam tadi datang lagi mengelilingi cahaya yang separuh suram itu.

"Hei! Engkau datang untuk menemani aku wahai si rama-rama?"

"Tidak"

"Habis, kenapa engkau datang?"

"Untuk menikmati keindahan cahaya."

"Itu saja?"

"Ya."

"Engkau kenal siapa aku?"

"Tak."

"Pelik."

"Kenapa?"

"Sasterawan macam aku engkau tidak kenal?"

"Apa yang engkau dah buat?"

"Tulis buku, tulis rencana, tulis cerpen, tulis."

"Tulis angan-angan."

"Hei! Engkau jangan hina aku."

"Aku bukan hina, tapi kenyataan. Engkau gila!"

"Celaka punya rama-rama." Kucapai seketul batu lalu kutuju ke arah rama-rama yang terbang ke arah cahaya lampu.

No comments: