Pages

Wednesday, July 01, 2015

Keris Lok tujuh

Oleh Mohd Kasim Mahmud

AKU sudah membuat keputusan nekad. Aku mesti bertindak. Aku mesti menebus maruah dan harga diriku sebagai lelaki. Malah sebagai seorang anak. Walau apapun bakal terjadi aku tidak peduli. Aku sedia menghadapinya. Yang penting ialah melaksanakan segala rancanganku tanpa perlu mengubah fikiran.

Aku bingkas bangun dari tempat pembaringan dan menyelinap ke dapur. Aku mencapai sebilah parang panjang yang terselit di dinding. Ia amat kuperlukan dalam melaksanakan rancanganku. Aku membelek-belek mata parang itu. Ia mengeluarkan cahaya berkilat-kilau sewaktu tersentuh cahaya matahari yang mencuri masuk dari celah-celah rekahan dinding. Aku melibas- libasnya ke kiri dan kanan. Ah, parang ini masih hebat dan tentu ia amat sesuai digunakan. Sudah tentu ia dapat berfungsi dengan berkesan sehingga nafsuku puas.

Namun secara tiba-tiba bagai ada suara yang berbisik di telingaku agar mencampakkan saja parang itu kerana ada senjata lain yang lebih sesuai. Ya, aku terpukau dengan bisikan suara itu. Aku melemparkan parang itu ke tepi dapur. Fikiranku tertumpu pada sebilah keris pusaka berlok tujuh yang tersimpan dalam peti besi milik ayah. Aku segera berlari ke bilik itu. Aku mengangkat penutup peti besi dengan hati-hati. Aku hampir menjerit kesukaan sewaktu kulihat sebilah keris bersalut kain berwarna kuning terletak di atas pelbagai barang lain dalam peti besi itu.

Aku mencapai keris itu. Balutannya kubuka dan kemudian melemparkannya kembali ke dalam mulut peti yang ternganga.

Wahai keris pusaka berlok tujuh. Aku seakan dapat mendengar jerit suaramu. Kau hauskan darah bukan? Aku tahu kau sudah tertidur sekian lama dalam kehausan. Tetapi bersabarlah untuk beberapa ketika sebelum kau kembali mereguk darah sepuas-puasnya. Bersabarlah menunggu sehingga siang ditelan kegelapan malam.

Malam itu emak terkejut melihat tingkahku. Dia terpinga-pinga sewaktu melihat aku duduk bersila di hadapan sebuah dupa di anjung rumah selepas Maghrib. Emak juga tidak mengerti mengapa aku memakai pakaian pahlawan serba hitam. Di tanganku tergenggam sebilah keris berlok tujuh.

"Itu keris pusaka milik ayahmu. Jangan buat main-main. Buruk padahnya," emak bersuara cemas. Dari dalam matanya terpancar sinar kebimbangan.

Aku tetap membisu.

"Keris itu sudah lama tersimpan dalam peti besi. Sepatutnya kau tidak boleh mengeluarkannya. Sepanjang yang emak ingat, keris itu tak akan kembali ke dalam peti itu sebelum menghirup darah," emak menyambung. Kali ini suara emak semakin bergetar. Pasti emak bertambah cemas. Namun aku sedikit pun tidak menghiraukan itu semua. Aku terus membisu seribu bahasa.

Aku mencapai sebiji limau di tepi dupa. Aku menghiris limau itu degnan keris lok tujuh. Kemudian aku perah airnya ke atas mata keris sambil mulutku kumat-kamit menjampi sesuatu. Aku membaca mentera yang kupelajari semasa belajar silat pencak sembilan kira-kira tujuh tahun yang lampau. Beberapa biji limau telah selesai kulangirkan pada mata keris.

Emak masih terus merenungku dengan wajah kian cemas. Sudah tentu emak kian gusar dengan gelagatku. Sudah tentu emak menduga sesuatu yang buruk bakal terjadi.

"Emak tidak mengerti. Kau nak buat apa dengan keris itu, nak?" Suara emak agak lembut. Tetapi tidak dapat kupastikan sama ada kelembutan itu disengajakannya atau tidak. Dan semua itu tidak dapat mengubah keputusanku.

"Ah, betapa malang yang bakal kita tempuhi kerana keris itu telah kau keluarkan dari tempatnya. Kau tahu, ayahmu sendiri tidak pernah mengeluarkannya sembarangan. Keris itu hanya diambil untuk menebus maruah," suara emak kian tertekan. Pandangan matanya merayap pada lok-lok keris di tanganku.

"Betul kata emak," aku bersuara spontan walaupun aku tidak terfikir untuk berbuat demikian. "Keris ini hanya terbangun dari tidurnya demi untuk menebus maruah. Kali ini pun ia dibangunkan demi maruah dan harga diri," suaraku meninggi sambil melewa-lewakan keris atas dupa. Asap dari dupa itu mengapung ke udara dengan banyaknya sambil mengeluarkan bunyi menggerutup. Asap itu sesekali meliuk-lintuk dan meluru keluar melalui celah-celah rekahan dinding dan atap nipah.

Emak benar-benar terkejut mendengar kata-kataku. Dia menerpa sambil kedua-dua tangannya memegang lengan kananku. Kris lok tujuh terhayun-hayun akibat gegaran tangan emak.

"Jangan Hisyam, jangan nak. Jangan bertindak menurut nafsu. Emak rasa emak tahu tubuh siapa yang hendak kau tusukkan dengan keris itu. Pagi tadi emak nampak engkau berbincang sesuatu dengan Pak Udamu. Barangkali..."

"Betul telahan emak. Pak Uda telah memberitahuku suatu perkara yang terpendam sekian lama. Dan aku sudah membuat keputusan nekad. Aku akan membalas dendam. Hutang darah seharusnya dibayar dengan darah," ujarku dengan suara lantang.

Emak jatuh tersembam di ribaku. Emak menangis. Bahu emak terhinggut- hinggut menahan tangisan itu.

Aku tidak memperdulikan segala gelagat emak. Di dadaku api dendam dan marah kian marak. Tanganku terus melewa-lewakan keris lok tujuh di atas dupa.

Setelah beberapa ketika tangisan emak reda. Emak bingkas bangun dan menerpa ke tangga. Emak menuruni mata tangga dengan langkah cemas. Kemudian tubuh emak hilang ditelan kegelapan malam.

Pada fikiranku, emak tentu kecewa dengan sikapku. Emak tentu tersinggung kerana aku tidak mahu mendengar nasihatnya. Atau barangkali emak diselubungi perasaan marah.

Ah, biarkan api kemarahan menyala dalam dada emak, bisik hatiku.

Setelah selesai melangir dan mengasapi keris lok tujuh, aku mengucupnya beberapa kali dan mengembalikannya semula ke sarung. Aku bingkas bangun dan melangkah menuruni tangga. Aku mesti melaksanakan tugasku sekarang.

Langkahku cepat meredah malam. Di langit tompok-tompok awan hitam seolah-olah mengejar bulan pucat sepuluh Muharam. Meskipun cahaya bulan samar-samar yang terbolos dari celah-celah pohon di kiri kanan jalan, namun kakiku dapat bergerak lancar. Langkahku makin dipercepatkan sewaktu kurasa api kemarahan dan dendam semakin membahang.

Tiba-tiba telingaku menangkap bunyi panggilan sayup-sayup jauh di belakangku. Aku mematikan langkah sambil menoleh ke belakang. Di hujung lorong kelihatan bayang-bayang manusia yang sedang menuju ke arahku.

"Abang Hisyam! Tunggu!" Pekik suara itu.

Suara itu seperti telah selalu bermain di cuping telingaku. Zaihankah itu? Dan kakiku terasa terantai ke bumi.

Susuk tubuh itu kian hampir. Dan suluhan api andang di tangannya, jelaslah telahanku tidak salah. Gadis itu ialah Zaihan.

"Abang Hisyam, jangan lakukan itu. Usah bertindak gila," suaranya cemas dan merayu.

"Zaihan, kenapa kau mengekoriku? Atau apakah kau diutus ke sini oleh ibuku?" Tingkahku kasar.

"Tolonglah bang. Jangan lakukan. Zai tahu abang ingin membalas dendam. Emak abang telah ceritakan segala-galanya gelagat abang malam ini. Barangkali Pak Uda telah menghasut abang."

"Zai, pulanglah. Jangan cuba menghalangi. Salahkah tindakanku ini? Tidakkah kau tahu bahawa aku ingin menebus maruah dan mengembalikan harga diriku? Salahkah aku menuntut bela di atas kematian ayahku yang tidak berdosa?"

"Abang, mengucaplah. Ingatlah pada Tuhan. Apakah abang fikir tindakan abang ini betul? Bukankah ibu abang tidak merestui tindakan abang ini? Dan Zai tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku ke atas diri abang. Fikirkanlah ibu abang,  adik abang Marina dan Zai sendiri. Atau jika abang sungguh- sungguh juga ingin melakukan tindakan membalas dendam ini tunggulah sehingga Marina pulang dari desa seberang tidak lama lagi. Mintalah pendapatnya terlebih dahulu. Bukankah dia adik kesayangan abang?"

"Tidak," tingkaku kasar.

"Tolonglah, bang. Jangan lakukan. Zai mengasihi abang," suaranya merayu.

"Ini bukan soal kasih sayang. Ini soal maruah dan harga diri, faham?" Aku menengking.

Zaihan putus asa. Dia mencampakkan andang ke tanah. Dia melutut dan memeluk kedua-dua kakiku sambil menangis teresakesak. Beberapa ketika kemudian dia mendongak dan menyambung kata:

"Tidakkah abang sedar dia kini sedang menerima hukumannya? Benar, dia membunuh ayah abang kerana dendamnya tidak dapat mengahwini ibu abang. Tetapi dia lumpuh tidak lama selepas memuaskan dendamnya. Dan dia kini tak mampu berbuat apa-apa. Zai juga tidak mahu ada orang lain yang akan mendendami abang selepas ini dan membalas dendam itu dengan dendam. Apakah kesudahannya?"

Kata-kata Zaihan tidak sedikit pun dapat melembutkan hatiku. Aku sudah nekad. Dendam mesti dibalas. Yang penting keris lok tujuh mesti ditusukkan ke dada orang tua celaka itu. Dan serentak dengan itu aku menolak Zaihan dengan kakiku. Dia terjeleput ke tanah. Tanpa berlengah aku berlari menuju destinasiku.

"Hitam! Bersedia kau keparat! Aku datang untuk menuntut bela. Kau pembunuh ayahku. Demi maruah dan harga diri, akan kutusukkan keris lok tujuh ini dengan seribu dendam!" Suaraku bergema dan melengking naik membelah kesunyian malam.

Aku tidak mendengar sebarang jawapan. Rumah itu kelihatan sepi bagaikan tiada penghuni. Cuma cahaya samar api pelita yang mencuri keluar dari celah-celah rekahan dinding.

"Hitam! Apakah kau tidak mendengar kata-kataku? Kau pembunuh ayahku. Ini aku, satu-satunya anak lelakinya datang untuk menuntut bela. Dan aku tidak akan berundur dari sini sebelum keris lok tujuh milik ayahku ini menghirup darahmu!"

Kemarahanku sudah tidak terkawal. Aku melompat naik ke anjung rumah. Orang tua keparat itu tiada di situ. Aku menerpa ke bilik. Pintu bilik itu tertutup rapat. Aku menyentap keris lok tujuh dari pinggang. Hulunya kugenggam erat. Rasa marah dan dendam kian membuak-buak dalam dadaku.

"Aku bunuh kau Hitam!" Pekikku sambil menendang daun pintu dengan kuat. Pintu itu terpokah.  Aku menerpa ke dalam bilik. Keris lok tujuh sudah siap sedia untuk menghirup darah.

Tiba-tiba tubuhku terpaku. Di hadapanku sekujur tubuh kerdil yang tinggal kulit dan tulang tertiarap di atas sehelai sejadah usang sedang di tangannya masih terpegang sebuah buku surah Yassin.

"Tuhan!" Tiba-tiba bibirku meletuskan kata-kata itu. Dan secara tiba- tiba juga ada keharuan bersarang dalam dadaku. Ah, ke manakah terbangnya rasa marah dan dendam itu?

Perlahan-lahan aku berpaling dan melangkah keluar bilik. Keris lok tujuh masih di tangan. Di muka pintu aku melihat puluhan api andang sedang mengepungku di setiap ruang. Semua mata tertumpu ke arahku.

"Abang, apa yang telah abang lakukan ini?" Zaihan berteriak dan berlari menerpa ke hadapan tangga. Dia terjeleput di situ sambil melayani tangisannya.

Mataku menjilat dari satu wajah ke satu wajah yang sedang mengepungku. Namun di dadaku tiada sedikit pun bersarang perasaan gentar.

"Dengar sini semua," aku bersuara. "Aku tahu kalian tentu beranggapan bahawa keris lok tujuh ini telah menghirup darah kerana ia tidak pernah dikeluarkan sembarangan. Ia hanya dikeluarkan demi menebus maruah dan harga diri. Dan aku telah datang ke sini untuk menuntut bela. Tetapi aku tidak sempat menusukkan keris ini kerana dia telah menemui ajalnya lebih awal."

Anehnya, tiada satu suara pun yang berani meningkah kata-kataku. Semua mata menjilat tubuhku dengan penuh curiga.

No comments: