Pages

Friday, July 03, 2015

Renda Bunga Sakral

Oleh Zainal Rashid

RAPSODI

PADA tahun-tahun yang berikutnya, dia selalu duduk di atas kerusi goyangnya sambil memandang ke luar tingkap. Daripada balik petakan kaca yang mengabur oleh lekatan debu itu, akan kelihatanlah tubuhnya yang kurus dan tidak berdaya.

Kerana sikapnya yang keras dan perwatakannya yang angkuh itu, dia dijauhi tetangga. Maka dalam kesendirian dan kesunyian hari tuanya - dia terasing dalam benturan hidup yang malap dan penuh racauan.

Dia akan bermenung-menung dari awal pagi dan kemudian menangis pada waktu tengah hari dan tatakala petang dia akan bercakap-cakap sendirian; mengomel keadaan keluarga yang kacau, isterinya yang keluar rumah tanpa mahu pulang lagi serta tiga orang anaknya yang berambus entah ke mana.

Apabila matahari jatuh dan malam menyusur, seluruh ruang rumahnya yang dua tingkat itu akan kelihatan gelap; orang tidak dapat menduga apa yang dilakukannya ketika malam dan di tingkat mana kamar tidurnya. ABRACADABRA

Hanya ada seorang manusia saja yang berani memasuki rumahnya, lelaki penjual akhbar yang tua renta itu. Dia akan mengunjungi rumah itu dua kali sehari; menghantar sarapan pagi pada jam lapan dan kemudian muncul lagi pada jam empat petang dengan membawa beberapa keperluan harian yang lain, termasuklah makan malam.

Penjual akhbar yang kebetulan mempunyai sebuah kedai kecil di seberang jalan di hadapan rumah itu adalah seorang lelaki yang sedikit tuli. Dari bentuk mukanya itu, orang akan dapat menjangka betapa tuanya dia; matanya tersorok antara dua tulang pipinya yang tersembul, manakala bibirnya yang sedikit mengelebet itu sentiasa pula menggeletar.

Mereka berdua tidaklah seakrab mana, kerana diketahui orang yang si penjual akhbar itu tidak pernah berbual-bual dengan lelaki itu walaupun sepatah, dan di waktu malam dia akan tidur di bawah meja akhbar di depan kedainya - sehinggalah pada suatu hari, dua orang anak muda yang menghantar akhbar menemui mayatnya yang kejang di balik timbunan pakaiannya.

Sejak itu kedai di seberang jalan itu sunyi sepi tanpa penghuni. Dan lelaki itu masih lagi kelihatan duduk termenung di atas kerusi goyangnya mengadap ke luar tingkap. NARSISSIS

Namanya Budialfahmi. Jatah dan sejarah hidup yang bergulat dari waktu ke waktu menyebabkan dia bergulingan sendirian dalam takar hidup yang diciptanya sendiri. Tanpa sebarang kepercayaan pada sesiapapun, termasuklah ketika isterinya masih hidup, serta tiga orang anaknya yang dihalau pergi kerana dia bencikan raut wajah mereka yang lebih menyerupai wajah isterinya. Sejak itu dia merana keseorangan di rumahnya itu.

Suatu pagi, ketika penjual akhbar itu tidak muncul membawa sarapannya, dia merasa marah dan sakit hati. Dia bangun lalu menyelak kaca tingkapnya sambil melaung, memanggil temannya yang pekak itu, sehinggalah terdengar jeritan balas dari seorang lelaki yang bersuara garau.

"Penjual akhbar sudah mati. Jangan lagi kau terjerit-jerit memanggil namanya. Orang akan mengebumikan mayatnya selepas Zohor nanti."

Dengan wajah yang sedih dan penuh dukacita, lelaki itu menarik kembali daun tingkapnya. Dia termenung sambil mula mengingati kembali betapa baiknya si penjual akhbar itu, yang tidak pernah merasa jemu untuk membantunya.

Lama-kelamaan dia mulai terasa sayu, dan kemudian menangis hingga ke tengah malam. Dalam fikirannya timbullah kesedaran pertama, betapa selama ini dia tidak pernah belajar untuk menyayangi orang lain, kecuali terlalu menyintai dirinya sendiri. ALINEA

Sebelas hari setelah kematian penjual akhbar itu, lelaki itu pun berpindah naik ke tingkat atas rumahnya. Sejak itu dari arah jalan, akan kelihatanlah dia dududk di kamar barunya di sudut sebelah kanan rumahnya.

Dia masih bermenung-menung di kerusi goyang tetapi kali ini, orang tidak lagi mendengar dia menangis atau mengomel tentang isterinya atau menyeranah anak-anaknya. Dia mula sedar yang isterinya sudah meninggal dan anak-anaknya tidak mungkin lagi pulang ke pangkuannya.

Suatu malam ketika hujan turun dengan lebatnya, dia terdengar suara orang memberi salam dari depan pintu pagar rumahnya. Walaupun selama ini, dia bencikan orang asing, tetapi suara orang itu terasa meruntun hatinya. Dia menyahut dari tingkat atas dengan suaranya yang keras.

"Masuklah, tapi tempatmu hanya di depan pintu. Jangan menceroboh rumahku!"

Keesokan harinya, ketika orang itu memohon diri untuk pergi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya, barulah dia sedar, bahawa tetamunya adalah seorang kanak-kanak yang berusia di sekitar sepuluh atau sebelas tahun.

"Janganlah pergi. Kalau kau suka kau boleh tinggal di sini. Naiklah ...," pelawanya.

Budak itu masuk melalui pintu rumahnya yang sememangnya tidak pernah berkunci. Apabila budak itu sampai di kamarnya dia pun bertanya:

"Siapa namamu? Dan dari mana asalmu?"

"Nama saya Gunaim. Saya orang hulu," jawab budak itu dengan suaranya yang sedikit mengandungi ketakutan.

"Baiklah. Kau boleh tinggal di sini. Kau duduklah di kamar sebelah."

Sejak itu, tinggallah lelaki itu bersama Gunaim, dan budak itulah yang kemudiannya mengambil alih kerja yang ditinggalkan oleh penjual akhbar. Setiap pagi dia akan memanggil Gunaim ke kamarnya untuk mengoyakkan helaian kalendar dan kemudian dia akan bertanyakan mengenai tanggal serta harinya. Setelah seminggu memerhatikan tingkahlakunya, Gunaim tahu, bahawa lelaki itu sebenarnya buta.

Suatu malam, setelah hampir tiga minggu Gunaim di situ, orang tua itu sedar bahawa budak itu rajin bersembahyang. Mulanya dia menduga, apakah yang dilakukan oleh budak itu di kamarnya. Setelah mendengar dengan teliti, dia yakin budak itu sedang bersembahyang.

Kali ini, keterharuan itu datang lagi melanda hatinya, sama seperti yang dialaminya dulu, ketika dia mendengar suara garau seorang lelaki memberitahunya mengenai kematian si penjual akhbar.

Malam itu, ketika dia duduk mendengar budak itu membaca al-Quran, dadanya terasa sebak dan berbekam. Seluruh hidupnya terasakan seperti melayang dilanda pintalan ribut yang kuat dan dirinya terapung-apung di langit sambil matanya terpaku menatap warna laut yang berbalam-balam disimbah cahaya bulan.

Dia tidak tidur hingga menjelang Subuh dan terus mendengar suara budak itu melagukan ayatayat suci. Sepanjang waktu itu dia menangis saja. FATAMORGANA

Dia mengahwini seorang wanita kaberet yang kemudiannya dilayan seperti seorang perempuan simpanan. Dia sendiri tidak pasti mengapa wanita itu diperisterikannya, dan dia sedar betapa sukarnya untuk menyintai seorang wanita kerana di dalam hatinya seperti wujud sejenis terumbu yang kasar, yang sentiasa membuatkannya merasa puas dan bangga apabila berlaku kejam kepada isterinya.

Dengan lahirnya ketiga-tiga anaknya, membuatkan api kebenciannya terhadap keluarga sendiri makin menyemarak. Dia tidak dapat menerima runtunan takdir yang menentukan bahawa dia harus menjadi ayah kepada tiga orang anak lelakinya.

Dia marah kerana mereka mempunyai raut wajah yang lebih menyerupai isterinya. Apabila wanita tunggal itu mati, dia menghalau anak-anaknya pergi; dengan amaran keras bahawa mereka akan dibunuh jika kembali ke rumah itu lagi.

Sejak itu hidupnya sepi dan sangsi; beremba dengan rasa putus asa dan sekaligus berdosa. Tujuh bulan kemudian terjadi perubahan yang tidak diduga - matanya mengabur dan kemudian buta. KATARSIS

"Selamat pagi, tuan," tegur Gunaim.

"Apa yang kau mahu," balas lelaki itu.

"Saya ingin menghadiahkan tuan sesuatu. Saya membelinya dari wang upahan yang tuan berikan. Saya mengumpulnya sedikit demi sedikit. Saya harap tuan sudi menerimanya."

Lelaki itu tersenyum kerana amat terperanjat. Dia tidak menduga sama sekali yang budak suruhannya itu begitu menghargainya. Sambil duduk menggoyang-goyangkan kerusinya dia bertanya:

"Apa yang kau belikan untukku."

"Sehelai kain pelikat, sehelai baju Melayu dan sebutir songkok," jawab Gunaim.

"Untuk apa?" Tanya lelaki itu sedikit tersentak.

"Supaya tuan dapat bersembahyang."

"Apa maksudmu?"

Gunaim mendekatinya dan kemudian berkata dengan lembut. "Kerana tuan adalah ayah saya sekarang. Saya memerlukan bimbingan tuan. Anggaplah saya sebagai anak tuan. Saya yatim piatu."

Setelah menyuruh budak itu meletakkan pemberiannya di atas meja, dia memerintahkan budak itu pergi dan jangan mengganggunya kalau tidak dipanggil. HIJRAH

Subuh esoknya, setelah sepanjang malam dilanda rasa terharu dengan kejujuran budak itu menegurnya, dia bangun lalu pergi mengetuk pintu kamar budak itu.

"Ada apa tuan?" Tanya Gunaim.

"Tolong temani aku."

"Ke mana?"

Dia tersenyum dan kemudian menjawab: "Ke masjid."

"Kenapa tuan tiba-tiba saja ingin ke masjid?"

"Kerana aku merasa, hari ini aku sudah terlalu tua. Ketuaan mengingatkan aku pada maut. Aku rasa tak lama lagi aku akan mati."

Budak itu segera membimbing tangannya menuruni tangga, kemudian berjalan keluar dari perkarangan rumah dan menyusur jalan menuju ke masjid. Lelaki itu melangkah untuk pertama kali meninggalkan rumahnya setelah bertahun- tahun terkurung dalam belenggu kekosongan dan kesiasiaan.

Pada tahun-tahun yang berikutnya, sebelum dia mati, orang sering menemuinya bersendirian di dalam masjid. Dan setiap kali dia datang dan pulang, seorang kanak-kanak lelaki menemaninya dengan setia.

No comments: