Pages

Monday, June 29, 2015

Ayah

Oleh Kie Plie

AKU memperlahankan keretaku apabila memasuki simpang jalan menuju ke arah tanah rancangan Cucuh Putra, dari lebuh raya Gua Musang. Di tanah rancangan itulah ayahku dan ibu berada. Jauhnya lebih kurang sepuluh kilometer dari lebuh raya. Kepenatan memandu dari Kuala Lumpur seakan-akan hilang ditelan keseronokan. Tambahan pula jalan ini sudah berturap tar, tidak lagi bertanah merah, seperti kepulanganku sebelum ini.

Sudah hampir setahun aku tidak mengunjungi ayah. Bukan aku tidak mahu mengunjungi ayah. Bukan aku tidak mahu untuk kerap mengunjunginya, tetapi disebabkan oleh masa yang tidak mengizinkan. Anakku yang sulung sudah pun bersekolah di Kuala Lumpur.

Apabila sekolah cuti, aku pula yang tidak dapat cuti. Disebabkan tidak mendapat keseragaman cuti inilah yang membuat aku sukar untuk kerap ke sini. Walaupun kini dari Kuala Lumpur ke Kelantan, telah ada jalan yang terdekat, melalui Gua Musang, namun kejauhannya masih lagi terasa. Lebih- lebih lagi di hari yang cuacanya panas. Bagi mengelakkan keadaan cuaca panas, aku selalunya bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul tiga atau empat pagi.

Cahaya matahari yang menyinari dari celah-celah pokok getah di sepanjang jalan itu bagaikan tersenyum, merestui kedatanganku pada lewat pagi itu. Anakku yang kedua, berusia sepuluh bulan, yang berada dalam pangkuan isteriku, becok mulutnya. Entah apa yang dicakapkannya aku tidak mengerti. Agaknya dia merasa keseronokan berada di daerah ini. Daerah yang masih kekal dengan kehijauan asal pepohon serta kicauan beburung, yang terbang bebas dari dahan ke dahan.

Di sini udaranya cukup nyaman. Tidak seperti di kota yang bingit dengan segala macam bunyi.

Dua puluh tiga tahun yang lalu, semasa mula-mula ayahku dengan beberapa orang kampung yang datang ke Cucuh Putra hanya dengan berjalan kaki saja. Mereka terpaksa turun bukit, naik bukit. Kalau nasib baik, berjumpa dengan lori balak, dapatlah tumpang. Itu pun cuma sekerat jalan saja. Seterusnya untuk sampai ke Cucuh Putra itu terpaksa berjalan kaki lagi, sambil memikul barang keperluan untuk digunakan di tanah baru itu nanti.

Disebabkan oleh kesusahan itulah, beberapa kawan ayah, tidak jadi untuk meneruskan pengambilan tanah baru itu. Untuk sampai ke Cucuh Putra satu hal, apabila keperluan harian sudah habis terpaksa pula berjalan kaki lagi. Inilah yang menyebabkan beberapa orang kampung yang lemah semangatnya balik semula ke kampung asal mereka.

Namun ayah tetap tabah menghadapi segala cabran dan dugaan itu. Berkat kesungguhan serta usaha gigih ayah, kini dia telah berjaya. Mungkin lebih berjaya dari anak-anaknya yang bergaji empat angka tinggal di kota ataupun dengan anak-anaknya yang masih sayang untuk berhijrah dari kampung asal ayah.

Kali pertama aku ke Cucuh Putra, semasa aku dalam tingkatan tiga. Ayah pulang mengambilku yang tinggal dengan nenek di kampung asal ayah. Kedatanganku ke Cucuh Putra pasa masa itu, tidak lagi berjalan kaki. Telah ada sebuah Land Rover buruk yang dijadikan pengangkutan oleh peneroka di situ. Kenderaan itu hanya beroperasi sekali sehari. Pagi membawa peneroka yang ingin ke bandar Kuala Krai untuk membeli keperluan dan tengah hari pula, membawa balik peneroka itu masuk semula ke Cucuh Putra.

Land Rover itu dimiliki oleh seorang tauke yang juga pembeli getah peneroka di situ. Bila musim cuti sekolah, kenderaan itu penuh sesak dengan anak peneroka yang datang ke tempat keluarga masing-masing, termasuklah aku.

Disebabkan terlalu penuh dengan penumpang, sehinggakan di atas bonet depan kenderaan itupun ada yang sanggup duduk. Aku dapat duduk di belakang kenderaan itu. Tiga empat kali juga kepalaku terantuk pada besi palang kenderaan itu, apabila melalui jalan yang sememangnya bengkang bengkok dan berlubang-lubang.

Jalan itu seperti jalan laluan untuk Camel Thropy yang aku saksikan dalam telivisyen. Sungguhpun demikian, aku tetap merasa keseronokannya kerana itulah kali pertama aku dapat menjejakkan kakiku di Cucuh Putra, setelah hampir sembilan tahun ayahku jadi peneroka di daerah itu.

Kedaifan hidup ayah pada masa itu ternyata. Rumah ayah yang sama besar dengan garaj kereta wakil rakyat hanya bertiangkan kayu bulat. Lantainya dari buluh yang dibelah-belah, manakala dindingnya pula dari kulit kayu jati hutan. Atap rumah ayah pula dibuat dari daun bertam dan daun cucuh. Di sekeliling rumah ayah, hutan rimba yang masih tebal.

Jarak rumah ayah dengan rumah peneroka lain agak terlalu jauh. Pendek kata sekiranya dijerit atau dilaung memang tidak boleh dengar. Di belakang rumah ayah ada sebatang anak sungai yang jernih airnya. Anak sungai inilah yang menjadi sumber air bagi keperluan dan kegunaan ayah seharian.

Waktu malam hanya diterangi oleh pelita ayam. Cahayanya sekali terang, sekali malap mengikut rentak tiupan angin malam. Makan nasi hanya berlaukkan ikan masin ataupun ikan rebus goreng serta celur jantung pisang yang dicicah dengan budu yang diperah dengan asam limau kiar dan dipicit dengan lada burung.

Walaupun hanya itu lauknya, seleraku menjadi-jadi. Ayah berhuma di tanah barunya itu bagi mendapatkan beras. Sungguhpun padi humanya sedikit, dapat juga kurangkan perbelanjaan membeli beras.

Sesampai saja terus aku meletakkan keretaku di sebelah kiri rumah ayah. Jauh benar perbezaannya persekitaran rumah ayah dari dahulu dengan sekarang. Rumahnya cukup besar. Di sebelah hadapan penjuru kanan rumah ayah, telah ada sebuah kedai. Kedai kopi ayah agakku.

Adikku yang bongsu, terjengul keluar bila terdengar enjin keretaku. Ayah dan ibu tidak kelihatan. Adikku terus datang menghampiri dan terus mengambil anakku dari pangkuan isteriku. Keriangan jelas terbayang di wajah adikku sabaik dia mendukung anakku itu.

Inilah kali pertama aku datang setelah kehadiran anakku yang kedua itu.

"Ayah mana?" Tanyaku.

"Ayah kat kedai tu..." jawab adikku sambil memuncungkan bibirnya ke arah kedai itu.

"Itu kedai ayah?" Tanyaku lagi ingin kepastian. Adikku cuma menganggukkan kepalanya.

"Bila ayah buka kedai?"

"Dah lama," jelas adikku sambil membawa anakku naik ke rumah.

Makin berjaya ayah sekarang. Tidak sia-sia dia berhijrah dan mengharungi segala pahit maung di awal kedatangannya dulu. Aku menuju ke kedai ayah, diikuti oleh isteriku serta anak sulungku. Ada dua tiga orang dalam kedai ayah sedang minum kopi agaknya. Selepas bersalam dengan ayah aku terus naik ke rumah.

"Eh...Tina balik," tegur ibuku pada anakku yang sulung. Anak sulungku hanya menyengih. "Adik pun dah besar," ulang ibuku lagi sambil menuju ke arah anakku yang kedua, yang berada atas dukungan adikku. "Bapa kau ini, nak balik ke mari bukan main liat lagi sekarang." kata ibu sambil mengambil anakku dari adikku.

"Bukan begitu, mak. Si Tina ni dah bersekolah sekarang. Jadi nak kenakan dengan kebetulan cuti yang susah tu."

"Kau janganlah ambil cuti masa lain. Bila sekolah cuti, kau ambillah cuti."

Aku hanya diam, tidak mahu melayan kerenah mak yang sememangnya tidak akan faham dengan kerja aku. Kalau setiap kali musim cuti hanya aku yang mahu cuti, mana pengurus hendak luluskan. Pekerja lain juga tentu mahu cuti pada musim cuti sekolah.

Lagipun aku bekerja dengan syarikat swasta. Ketika musim cuti sekolah inilah  selalunya syarikat dapat lebih untung. Sebab itulah pengurus sukar hendak luluskan cuti pada musim itu.

"Pukul berapa kau bertolak pagi tadi?" Tanya ibu.

"Pukul empat lebih...kalau tak silap," jawabku.

"Eloklah tu. Kalau lambat nanti panas dalam perjalanan."

"Yalah," kataku sambil berjalan menuju ke arah kerusi panjang untuk baring-baring bagi menghilangkan penat seharian memandu.

Malam itu selepas makan malam, ayah menghampiriku. Ibu dan isteriku melayan anak-anakku yang dua orang itu. Adikku dalam biliknya. Mungkin membaca buku.

"Ayah nak tanya kau sesuatu ni. Ayah harap kau jawablah dengan jujur."

"Ada apa ayah?"

"Begini Ki, ayah tengok sejak kau balik tadi, dah tiga waktu solat kau terlepas. Di Kuala Lumpur sana tu, selalu ke kau macam ni?"

Aku tersipu sendiri. Aku akur, sememangnya ketika aku baring-baring di atas kerusi panjang tadi, aku terlena. Selepas azan Maghrib baru isteriku kejutkan. Aku bangun dan terasa pening-pening lalat. Aku duduk lagi di situ, walaupun aku tahu yang waktu Maghrib telah lewat. Perlahan-lahan aku bangun dan pergi mandi. Ketika aku sedang mandi telahpun masuk waktu Isyak, dengan kedengarannya azan dari surau yang tidak berapa jauh dari rumah ayah.

"Err...kadang-kadang tu ada juga tertinggal ayah," jawabku perlahan sambil tersengih yang dibuat-buat. Sememangnya aku di kota sana, bukannya kadang-kadang tertinggal tetapi selalu tinggal. Bukan hanya solat, puasa pun jarang aku dapat khatam.

Tidak seperti ayah yang terlalu setia dengan khalidnya. Mungkin juga dengan kesetiaan itulah ayah mendapat berkat sehingga berjaya seperti sekarang. Hanya dengan tenaga tua yang tiada kelulusan, ayah berjaya membuka dua puluh ekar kebun getah yang sekarang ini dikerjakan oleh enam pekerja. Empat ekar tanah dusun yang dipenuhi bermacam pokok buah-buahan. Tanah tapak rumahnya pula, seluas dua ekar. Ada pula kedai kopi, di depan rumahnya itu.

"Tak bolehlah macam tu. Walau macam mana sibuk sekalipun, tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim, mesti kita tunai."

Aku hanya mampu untuk diam, kerana apa yang dikatakan oleh ayah itu, memang benar.

"Kita hanya sementara di sini. Di samping mencari harta dunia, harta akhirat juga kita kena kumpul. Harta yang kita cari di dunia ini, tak akan dapat untuk kita buat cagaran di akhirat nanti. Tapi harta dunia ini juga akan ditanya nanti. Bagaimana caranya harta itu didapati, cara membelanjakannya dan macam-macam lagi," jelas ayah ikhlas.

Ayah menyambung lagi cakapnya apabila melihat aku hanya diam. "Kalaulah kau nampak, pahala yang diberikan oleh Allah bila kau beribadat, sebagaimana kau nampak gaji kau, yang kau terima setiap bulan tu, ayah rasa, bengkak kaki kau buat berdiri kerana bersolat ataupun kempis perut kau yang buncit itu kerana berpuasa. Tapi dah jadi rahsia Allah pemberian pahala dan dosa itu dicatatkan dulu oleh Malaikat, di akhirat nanti baru dihitung."

Aku melepaskan satu keluhan kecil apabila mengenangkan diri sendiri. Aku mengaku yang aku selama ini terlalu mengabaikan perintah Tuhan. Aku lebih pentingkan kerja lebih masa daripada solat Maghrib. Aku lebih pentingkan cuaca sejuk di waktu pagi daripada solat Subuh. Aku lebih pentingkan berlari-lari bodoh daripada solat Asar. Dalam semuanya itu, sebenarnya aku ada masa untuk bersolat.

Tetapi...dalam usia yang muda, aku rasa tertewas dengan tenaga tua ayah. Tewas dari semua segi. Aku ada kelulusan tetapi tahap kesedaran aku rendah. Ayah tidak mempunyai apa-apa kelulusan, tetapi pemikirannya cukup matang, jauh pandangannya.

Suatu ketika dulu, sebelum ayah jadi peneroka di sini, serata daerah ayah jelajahi untuk cari makan. Ke Pahang jadi buruh meracun dan menanam pokok kelapa sawit. Ke Selatan Siam menoreh getah. Ini kerana di kampung asal ayah, tidak ada kerja yang boleh mendatangkan hasil yang baik. Tanam padi setahun sekali. Sementara menunggu untuk menuai padi itu terpaksalah ayah keluar dari kampung untuk mencari kerja.

Tanam  padi pula di atas tanah orang. Dibuat secara pawah. Ini kerana keluarga ayah orang miskin. Yang ada hanya tapak rumah seluas satu ekar. Adik-beradik ayah ada empat orang. Kalau hendak tunggu tanah yang seluas satu ekar itu, dapatlah untuk tapak rumah sebuah seorang. Apakah selama- lamanya hendak kerja tanah padi yang di pawah. Disebabkan itulah, bila saja ayah dapat tahu tanah baru di Cucuh Putra dibuka oleh kerajaan untuk mereka yang layak dan mahu mengerjakan sendiri, ayah sanggup untuk melakukannya.

Beberapa tahun kemudian adik beradik ayah juga mengikuti jejak ayah. Ayah adalah di antara orang yang terawal membuka tanah itu. Sebab itu ayah dikenali ramai di situ. Itu juga membantu dalam perniagaan kedai kopinya. Ayah juga menjual keperluan dapur di kedai itu.

Di tempat tidur pada malam itu, aku sukar untuk melelapkan mata. Pusing ke kiri tidak kena, pusing ke kanan juga tidak kena. Kulihat isteri serta anak-anak terlalu nyenak. Keletihan berjalan jauh agaknya.

Kata-kata ayah masih terngiang-ngiang di telingaku. Tiba-tiba aku teringat pada mati. Kalau aku mati sekarang apa yang aku ada? Kalaupun tidak mati...aku sakit. Kalau aku sakit berat dan terpaksa terlantar di hospital, apa yang aku ada? Gaji yang aku dapat setiap bulan, tidak sebanyak mana simpanannya. Rasanya kalaulah sebulan aku terlantar belum tentu cukupnya. Kalaulah aku terkena penyakit yang memerlukan perbelanjaan perubatan belas-belas atau puluh-puluh ribu ringgit, di mana aku nak cari duit.

Minta-minta dijauhi oleh Tuhan semua itu. Minta-minta biarlah sempat aku bertaubat nasuha dulu. Nak bertaubat Nasuha tu bila? Suara dalam diri bertanya aku. Sekarang aku masih bernafas, bertaubatlah.

Sekarang usiaku tiga puluh tahun. Kalau mengikut umur Nabi Muhammad, ada lagi tiga puluh tiga tahun. Masih ada waktu, tetapi kalau tidak terikut umur nabi bagaimana? Kalau dibuatnya pagi besok aku...peluh sejuk memercik di dahiku, walaupun malam itu cukup sejuk dengan tiupan angin bukit, aku dibasahi dengan keringat kengerian.

Tidak pernah aku berkeadaan sebegini. Mungkinkah cahaya keinsafan mula menerangi hatiku. Besoknya pagi-pagi lagi aku telah bangun, mandi dan menunggu waktu masuknya solat Subuh. Inilah kali pertama, setelah aku bekerja di kota, menunaikan solat Subuh tepat pada waktunya. Tiada lagi
  Selama seminggu aku berada di daerah Cucuh Putra. Banyak perkara yang aku pelajari. Pada kepulanganku sebelum ini, tidak ada pula ayah bertanya hal-hal itu. Mungkin ayah ingin tahu, sejauh mana kesedaranku. Kemungkinan pada pendapat ayah, aku tidak akan sedar sekiranya tidak disedarkan.

Lalu jauh di lubuk hatiku: Terima kasih ayah!

No comments: