Pages

Friday, June 26, 2015

Filem

Oleh Daeng Ramliakil

JURASSIC Park tertayang pada kelir minda. Kita termangu memikirkan betapa Steven Spielberg berdemikian. Kejujuran hati Spielberg menyanggah fenomena kehidupan manusia moden, termasuk Melayu Baru.

Hanya dengan kalimat `Tuhan cipta dinosaur, Tuhan cipta manusia...Manusia bunuh Tuhan' Spielberg menyerang. Kita memanjangkan kalimat deep structures. Berpenasaranlah kalimat demi kalimat memanah glob siasah, niaga, spekulasi, glob ilmu dan glob agama.

Kita sedikit arif betapa Spielberg pernah dibabtis. Beliau muda belia lantas diam-diam ke universiti bagi mencerdaskan akal dalam bidang manusia dan ilmu mimetik atau peniruan.

Meminati Spielberg suatu perkara lain. Kita baru menonton dua puluh satu kali video filem E T, tiga puluh tiga kali Indiana Jones and the Lost of Ark dan tiga kali Jurassic Park.

Kesan penyelidikan kurang rapi itu, kita mencatat beberapa fakta. Antara yang ditulis di dalam rekod utama yang sering dikelek:

1. Aku amat mengasihani betapa cucu-cucu generasi manusia sekarang jauh lebih penting daripada haiwan liar seliar dinosaur yang cepat pula reputnya.

2. Bangsa Barat menerusi minda Spielberg jua yang berpencarian lagi berpenerokaan mengenai tinggalan kapal Nabi Nuh sebagai mana yang pernah dipaparkan di halaman Asia Magazine 1970. Melayu Baru yang celik akal lagi tinggi ilmu agamanya itu, bagaimana?

3. Speilberg wajar malah barangkali sedang menyiapkan apa juga cereka yang mengaitkan al-Quran atau Rasulullah.

Entah kenapa sedemikian jadinya. Kita terasa perlu memikirkan fakta demi fakta. Fakta yang sering menginap di dalam urat seni otaknya berada dalam kategori kesenian. Untuk mencari pertemuan atau sekurang-kurangnya sikuan, seorang teman tua, pelukis yang pernah melewati Jerman diajaknya berbual.

Perbualan jadi begitu lama. Dua jam baru empat patah kata terlontar menerusi alat artikulator kedua-duanya. Keempat-empat patah kata itu pula adalah kata-kata biasa. Walau bagaimanapun, memahaminya saling terkait.

Perkaitan yang nyata adalah mengenai kehidupan dan kematian. Menyusul pula berkaitan saat sakratulmaut. Kita arif bahawa keempat-empat kalimat itu terkait dengan saat pengiraan mutakhir dosa dan pahala manusia. Yang langsung dikenali sebagai peribadatan.

Hasil perbualan dua jam dengan empat perkataan itu, kita mencari sahabatnya. Kita menanam dalam-dalam empat kalimat yang pernah tersembul atau dibunyikan dalam pertemuan empat mata. Kita pernah menyifatkan pertemuan itu setaraf dengan pertemuan empat mata Yetsin dengan Gorbachev. Juga disamakannya pertemuan empat mata Spielberg dengan U-Wei Haji Saari.

Tidak memadai dengan itu, kita menyamainya dengan pertemuanpertemuan empat mata: Napoleon dengan Horatio Nelson (walaupun cuma tiga mata kerana Nelson bermata satu sesudah peperangan Trafalgar), Shahnon dengan Yahya dan di antara Pope John dengan Imam Bukhari.

Kita begitu mengambil berat perihal empat kalimat itu iaitu Assalamualaikum Latiff, Wa-alaikum salam.

Dalam satu pertemuan lain, kita tertegun sekali meneliti filem-filem baru ciptaan Spielberg-Spielberg. Setahu kita, filem-filem itu berbudaya kehalusan. Cepat sekali dikaitkannya dengan satu daripada kata yang empat, Latiff atau kehalusan.

Kita menonton berkali-kali hasil tangan Spielberg yang lahir di Jakarta. Lain sungguh berbanding Afiffin C Noer atau Teguh Karya. Tidak sekelumit menyamai Cinta  Menerusi Sepotong Roti, Teksi  atau Tjuk Nyak Dien, antara hasil tangan Christine Hakim yang berjaya meraih pengiktirafan mutu di Cannes itu.

Spielberg Jakarta melahirkan segmen-segmen alam bumi. Watak atau pelakon yang terpilih ialah rupiah, tanah dan gerombolan atau banjir manusia yang ditangkap minda kita sebagai satu: Wataknya manusia kemanusiaannya.

Sepanjang-panjang filem itu, watak berimejkan manusia itu kabur. Nyata sekali baginya, Sumpah Pemuda 1926 kian lemas ditenggelamkan bah rupiah.

Spielberg Kuala Lumpur yang bergabung dengan Spielberg Kota Bharu menghasilkan kurang lebih 10 filem setahun. Judul filem yang dipaparkan di dalam iklan televisyen antara lain, Baki Manusia Di Sini, Hipokrit, Sepasang YB.

Menonton Sepasang YB, kita memicingkan matanya agak sepet. Apatah lagi apabila intro sewaktu paparan nama demi nama watak, tertera gambar latar amat biasa, dua orang yang amat terkenal berbohong.

Ceritera demi ceritera kita tontoni. Lemas dan lelah juga dia. Namun, disiapkan tugasan penonton itu hingga seminggu kita tidak ke mana-mana, selain ke masjid sewaktu menunaikan solat Jumaat.

Menonton hasil tangan Spielberg kelahiran Tokyo, kita begitu yakin, tidak akan muncul lagi saki-baki Akira Kurosawa. Benarlah, sewaktu filem awal berputar dan terpancar pada kelir, latar ceritanya perihal imej salju dan beberapa kesan tapak kaki.

Tapak kaki yang terperesok bukan kaki Samurai atau Ninja, tetapi tapak kaki semut-semut salju. Halus dan dalam tikamannya. Spielberg Tokyo memilih watak dalam filemnya terdiri daripada unggas-unggas dan daun-daun bambu. Kesemuanya dipersonafikasikan.

Meneliti hasil tangan Spielberg Tokyo, kita terkesan apakala daun bambu yang berperanan agak penting itu bersuara:

Untuk apa kalau aku tidak bergerak-gerak, sedangkan angin kuat sekali tiupannya. Alangkah marahnya ahli gusti yang giat berlatih di tepi gelanggang, sama marahnya dengan Tu Uyen yang menjadi lagenda Vietnam itu.

Kita tertarik dengan sanggahan watak lain, semut salju:

Bambu, kamu cuma bergerak, malah gerakan yang tidak tiba ke mana-mana, sedangkan kami punya kaki, bergerak sebebas mungkin, tidak juga bahagia, sebahagia dirimu yang sedang pasrah.

Kita terasa penghasilan Spielberg-Spielberg aneka tempat itu menyatu. Kesatuan yang lahir memuncak dan klimaksnya diproklamir di pesta filem 1995 yang diadakan di Cannes. (Pada mulanya, ada kalangan ingin mempelawa tempat di Kuala Lumpur, disebabkan ketiadaan fasiliti intelek, Cannes jugalah yang membuka dadanya untuk ditelapaki dan injakan manusia yang gemar membauri dosa pahala itu).

Juruacara majlis kelakar dari Amerika senang sekali mengacarakan majlis. Celotehannya lucu dan dikatakan lucu pasti saja tidak dihambari audiens. Ada saja manusia yang sedang duduk di kerusi atas nama audiens memberi deraian suara ketawa atas nama sokongan atau restu moral.

Disebutnya nama-nama filem yang dicalonkan untuk Filem Terbaik Dunia: Sepasang YB (Malaysia), Rupiah (Indonesia), Semut Salju (Jepun), Panen (Hong Kong), Ganjes (India), Achtung (Jerman), Mafia Inside My Mind (Itali), Collapse (US), Lier (US), Haji Malik (Russia) dan yang menjuarainya adalah karya pertama.

Kita meneliti satu demi satu karya-karya Spielberg-Spielberg berbulan- bulan pula lamanya. Bercekcokanlah suara-suara mindanya membantur-bantur dinding kamar kelam lagi kalis bunyi dari luar itu.

Rumusan demi rumusan dicatatnya bersuara di dalam pita kaset mini yang sentiasa terpegang pada jari kurusnya. Kita mencatat terus berbentuk suara bagaikan pembaca ulasan selari perlawanan bola siasah di gelanggang tanah air mutakhir.

`Filem Hong Kong memaparkan latar putih keterlaluan, silau sewaktu matahari memancar daun-daun yang berembun gagal ditampan jurukamera filem, sehingga tampak babak pertemuan embun dengan daun benar-benar silwet palsu!'

Akhir jam 1.45 minit tayangan, kita masih mencatat suaranya.

`Spielberg Hong Kong ini masih mengakhirkan cerekanya dengan suatu didaktisme melulu, tingkah laku mempertahankan diri dengan chi masih diperagakannya. Barangkali, inilah yang dibawanya ke mana-mana, ke lautan, ke daratan guna menakluk'.

Kita menyambung usahanya meneliti hasil kerja Spielberg Tokyo. Intronya begitu memikat jiwa kita. Seri mukanya yang pucat itu terserlah juga beberapa ketika pada permulaan tayangan.

Walau bagaimanapun, catatan suaranya tetap dimasukkannya ke dalam pita mini yang kian bertimbun di atas meja.

`Aku semakin muak sogokan sejak awal. Yang diketengahkan tidak lebih keagungan masa silam yang diheretnya bagaikan Samurai dan semangat silam yang agung benar. Barangkali aku begitu dungu memahami seni peperangan shun-tzu, lantas, tak kuketahui nenek-moyang Samurai ini mahu menakluk manusia lain. Tak ubah Yahudi, memperaga nilai niaga membeli dan menjual daging-daging manusia bangsa lain. Rasa jiwaku, benar-benar silau, bagaikan baru semalam aku menonton drama Shakespeare, Merchants of Venice, adengan tawaran hakim membenarkan daging manusia berhutang dipotong.'

Kita tidak banyak mencatat suaranya di dalam pita sewaktu menonton sampai tamat dua puluh satu filem video karya Spielberg lama Amerika dan Spielberg baru bumi kebebasan itu.

Yang nyata, Kita sempat menyebut:

`Aku lemas, Spielberg baru hanya mampu melahirkan watak-watak tidak lebih daripada cebisan roda lama yang diperbaharui daripada insiden- insiden dalam lagak laku Charlie Chaplin dan Candid Camera 1930 masihi.'

Usaha mencari makna filem kelahiran manusia berimej dan kehidupan berpetakan teori rekaan atau mimetik hanya meletihkan minda manusia kita.

Baginya, terlalu banyak permainan dan putaran olok-olok, di sebalik melekakan, alpa dan lalai, kita terasa ditipu berkali-kali.

Kita ditipu keterkejutan dengan angan-angan atau buaian berada di kamar sunyi lagi suram, bertemankan udara dingin.

Kita juga terasa unjuk-mengunjuk pemikiran, tetapi tidak ada kesatuan kebijaksanaan, melainkan suatu tragedi olok-olok, mengaibkan. Terasa juga pemaparan sedemikian, kita terasa diri terperangkap diam-diam ke dalam suatu kancah yang lebih sesuai digelar penjara tujuh puluh peratus penguasaan bentuk baru dan penaklukan tanpa paksaan, suatu sindrom baru penaungan telekomunikasi.

Kita semakin ketemu suatu titik. Walaupun agak samar, namun titik yang kian ditemuinya ada di sebalik kukunya yang melekat pada jari yang masih menjepit batang rokok. Waktu itu, kita teringat beberapa dialog yang dipetik mindanya secara bercampur-aduk daripada pita-pita filem video yang ditontonnya.

- Kau menjadi guru alam? Bagiku, guru sedemikian hanya layak unsur jujur, bukan makhluk seperti kau, kau cuma daun bambu, bergerak tetapi tak kesampaian.

Sesudah teringat dialog karya Spielberg Hong Kong, kita teringat pula dialog dari India.

- Aliranku, atas nama Ganges suci, lagi menyucikan, bukankah tubuh setiap manusia era ini amat kotor, jijik, malah kalau tidak disucikan dalam ingatan kepada Tuhan berterusan, alangkah! Hamisnya bau tidak akan hilang seribu tahun.

Mata kita terkelip-kelip. Waktu itu, kita tidak lagi berada di Studio Kuantan itu, melainkan jauh di perut pusara, meninggalkan teman-temannya sang pengurus yayasan, sang pengetua vokasional, sang timbalan pengarah pendidikan yang pernah menipu dirinya dan jua menghancurlumatkan kerjayanya.

No comments: