Oleh Rozhan Zakaria
SEGALANYA, ya, segalanya yang bermula pasti berakhir, begitu fikirnya. Bulan juga bintang juga tanah juga bukit bukau, hutan rimba dan binatang dan paya rawa dan segala-galanya baik yang bersisa di muka bumi dan lebih- lebih lagi yang masih bernyawa mesti menemuinya. Lambat atau cepat. Dan segala-galanya pasti dilipat habis bila Israfil meniup sangkakala.
Ranting reput bederap dipijak. Seekor gagak terkejut terbang meninggalkan sisa seekor siput babi yang mati dihenyak, entah apaapa. Begitu juga dengan seekor biawak yang pada mulanya merangkak lemah gemalai meluru laju macam babi meranduk hutan, memanjat pokok buku lima terus masuk ke dalam lubang.
Pemain wayang yang sudah hampir benar tua itu terlalu berat mengangkat langkah dalam mengah yang semakin mendesak dan menyesak paru-parunya yang berceragah dengan tulang-temulang. Ada batuk dengan kahak yang pekat menyekat kerongkongnya yang kering.
Matahari di langit tajam menikam. Terasa bahangnya begitu menghiris, lebih-lebih lagi suasana sekeliling begitu sunyi dari kemerduan suara unggas sebagaimana mula-mula dia dan beberapa orang tua kampung itu memugar tanah itu. Dan lelaki itu menyempitkan bola matanya. Pokok buku lima di bahu jalan senget menghala ke arah matahari jatuh.
Ia terlalu tua untuk mencenkam tanah sekitarnya. Dan menanti waktu untuk rebah tersungkur. Kemudian reput perlahan-lahan menjadi tanah kembali. Dan biawak dan gagak yang bersahutan di pohon kering pokok buku lima itu juga akan reput. Akhirnya seperti juga pokok buku lima yang tua merenggeh benar.
Dia baru pulang dari surau, menunaikan solat Zohor bersama beberapa jemaah tua yang sememangnya sejak tanah itu diteroka, tiada orang lain lagi selain mereka. Di tangannya ada sebotol air mawar, air mawar itu baru saja direnjisnya di pusara isterinya yang telah meninggal sejak lama dulu.
Setiap selesai menunaikan solat dia pasti akan turun ke kubur di belakang surau yang uzur dan satu-satunya di kampung itu. Di pusara isterinya itu, dia akan pastikan setiap inci tanah gebu dan berbatu kecil itu tidak sekali-kali bertunas pokok rumput. Kalau ada lumut di nisan atau pada batu-bata yang memanggari tanah kubur isterinya itu dia akan pastikan lumut itu dibuang habis dengan sabut.
Tetapi lumut tetap wujud apabila cuaca lembab. Sekarang ini cuaca panas. Panas sangat. Cuma beberapa hari yang lalu, hujan turun mencurah-curah. Itu pun entah-entah dah seminggu yang lalu, dan entah-entah sudah sebulan yang lalu, tetapi seingatnya ada sekali itu hujan tersangat lebat. Sampai banjir. Apabila banjir semua benda diheret dan hanyut ke muara sungai. Dan segala-galanya habis bersih di basuh. Dan selepas itu, tanah kampung itu kering kontang pula. Sampai tanah merekah.
Kalau angin bercampur sedikit ribut melanda, pasti debu menguak naik ke langit. Pemain wayang itu mengangkat telapak tangan kanannya mendekat ke kedua-dua belah matanya menahan penahan matahari yang garang.
Punggung yang semakin kendur itu diletakkannya di atas papan lantai rumahnya. Punggung itu dikisar-kisarnya mendekat ke arah dinding. Badannya disandarkan. Dia menarik nafas jauh ke dalam. Kemudian perlahan-lahan dilepaskannya.
Matanya jauh dilontar dan dalam sorot yang kelam, dia mengikut dari satu pertemuan ke satu pertemuan. Tetapi setiap pertemuan tidak lain daripada sebuah pengakhiran. Pengakhiran yang kadang-kadang terlalu perit. Tragis. Dan memedihkan.
Dalam saat begitu matanya ada gerak yang berkejar dari titik ke titik. Hingga benar berlaku perubahan waktu dari Zohor ke Asar, dari Asar bertemu pula Maghrib dan dari Maghrib bertamu pula Isyak.
Selepas Isyak dia masih di situ, bersandar menghandap bintang dan bulan yang bergantungan di langit. Sunyi dan sepi.
Sunyi dan sepi dari segala-galanya. Dari bisikan seorang isteri, dari anak yang tidak sempat mengenali dunia, dari dan dari segalagalanya. Dia, lelaki itu adalah perindu yang inginkan seorang kekasih kembali di sisinya. Dia, lelaki yang telah lama mencipta sebuah kisah cinta yang maha hebat.
Buatnya tiada lain selain isteri, selain panggungnya. Tetapi segalagalanya bagai direntap seperti nafas tuanya yang hanya sekadar menanti masa untuk disentap oleh Malaikilmaut. Itu pun jika amalannya baik, dia akan bersunyi dalam suasana yang indah, jika tidak pun nafasnya ditarik macam seekor ikan puyu yang disentap kailnya pagi tadi. Sungguh ia menyiksakan. Sungguh ngeri!
Seekor pungguk bersahut. Tetapi tidak lama. Ia terbang membawa diri. Barangkali bulan di langit terlalu jauh untuk diseru, namun dia tahu pungguk seperti juga dia, terus beseru biarpun tanpa ragu, namun dia tahu akan kehadiran wajah yang dinantinya selama ini. Cuma, cuma masa.
Matanya terarah ke langit yang ternganga luas. Ada bulan tergantung. Ada berpuluh bintang yang bersinar atas belas matahari dan nur bulan. Pemain wayang merapatkan kedua-dua belah pahanya ke tubuh. Lalu ada sentuhan yang begitu sejuk mencengkam pangkal paha. Dia menarik nafas.
Matanya bundar menyorot suram malam yang sekadar disinari belas bulan. Ada sisa yang tertinggal, yang ingin dipungutnya kembali. Tatkala itu waktu begitu sepi dan sunyi, cuma sesekali saja kebungkaman itu dipecah lolong serigala dari pergunungan yang terletak tidak jauh ke utara atau di barat yang sememangnya sejak lama dulu terus menyalak bulan. Dan dia melayah lagi dalam angkasa minda yang kendur, tetapi masih terjangkau dalam keupayaan yang berbaki itu.
Telah lama dia berkeinginan untuk kembali ke panggung. Aduh! Ia terlalu lama sepi dari segala-galanya. Lihatlah panggung, tiangnya semakin dimakan anai-anai. Layarnya dikoyak cemburu angin yang buta. Sebagaimana jua Rawana memusuhi Rama, merampas Sita, kekasihnya. Begitulah, dia sendiri seakan-akan telah dianiaya. Haknya dirampas, kemudian dia dibiarkan sendirian di pondok.
Patung Sita dicapainya. Rawana terlalu cemburu, mengapa harus ada sengketa? Dan tatkala itulah, jelas di ruang matanya bagaimana Rawana dengan bengis dan derap seekor kuda jantan hitamnya yang bermata merah mengejar Rama dan Sita.
Dadanya kencang, ada angin yang jauh menusuk jantugnnya. Ada juga kedengaran gagak begitu galak bersahut seakan-akan mengejeknya yang tersingkir itu. Dan sewaktu itu, Rawana mengeluarkan panahnya dengan tenung yang maha cemburu diselangi degus kuda jantannya, lalu ditalanya ke arah Rama. Tatkala itu, gong, gedombak terlalu gamat, langsung melenyapkan gemersik serunai. Hilang.
"Mati kau!" Zuuup, panah itu laju menghala tepat ke arah Rama, namun Rama sempat mengelak, tangan Sita digengamnya erat. Pemain wayang itu terdiri. Dia mengadap malam yang menjalar semakin jauh. Rawana mengetap giginya, ada kemarahan yang menyala dan menjulang tinggi, setinggi sebagaimana cemburunya.
"Celaka kau, mengapa aku diperlakukan begini!" Suara itu terbit dari mulut pemain wayang itu, serentak sebagai mendapat kekuatan dan ketangkasan Jebat menentang ketidakadilan istana, pemain wayang yang tua itu terbang ke udara menendang Rawana.
Tetapi musuhnya tidak pula kelihatan jatuh luka di tanah atau sekurang- kurangnya terpelanting ke penjuru gelanggang silat papan sekeping macam pupuh bacul yang baru belajar bertarung di bong. Begitulah Rawana menghilang. Sedang pemain wayang itu terjeleput ke tanah dengan lesu.
Dia sedar kehadirannya dalam zaman realisme begini. Siapalah dia, selain dari seorang pemain wayang yang telah tersingkir dari dunia permainan yang dipentaskan untuk tatapan manusia kembali.
Lihatlah panggung, sunyi dan sepi. Kalau dulu selepas pesta menuai atau saban masa lapang disela malam, panggungnya pasti menjadi tumpuan. Dan dia tidak jemu membawa kisah ke kisah. Dari kisah Puteri Lindungan Bulan, pencintaan Rama yang maha hebat pada Sita atau kisah Merong Mahawangsa memerintah Kedah.
Segala-galanya telah dipentaskan hingga lewat malam, dan ada ketika penontonnya terus meminta agar dia meneruskan saja meniti kisah ke cerita peninggalan penglipurlara. Ketahuilah, sesungguhnya selagi dia berdaya, jari jemarinya bersama pepatungnya juga gedombak, gong, serunai dan segala-galanya pasti melagu dan gemercing memecah kesuraman malam dengan keasyikan yang maha hebat.
Tetapi kini segala-galanya lenyap. Lantaran begitu cemburunya Rawana melihat kisah percintaan Rama pada Sita yang maha berahi dan kucupan Hawa yang maha asyik pada Adam. Masih diingatinya sebelum segala sejarah hitam itu bermula, panggungnyalah yang menjadi satu-satunya tempat seluruh masyarakat kampungnya berkumpul.
Pemain wayang itu masih terduduk di tanah lapang di halaman pondoknya. Namun dadanya tertekan dengan nafas kencang yang begitu benci. Benci pada keadaan yang hodoh, benci pada kebusukan hati, dan benci kepada kekotoran serta penyakit yang menghidapi masyarakatnya hingga mereka sanggup menyingkirkan seorang manusia sepertinya yang pernah berkhidmat kepada masyarakatnya.
Tahukah dia juga ada harga diri?
Dan tatkala dia mahu berdiri lagi menentang ketidakadilan pada diri, ada usapan yang maha berahi membelai dirinya dari hujung rambut ke hujung kaki. Langsung dia teringat isterinya, Pooja. Itulah satu-satu isterinya. Tiada usapan yang maha berahi yang pernah dikecapinya selain nikmat pada malam pertama itu.
Pooja, isterinya yang tertanam di pusara belakang surau yang senget itu. Langsung dia menjadi rindu pada gemulah itu. Pooja, adalah isteri yang paling setia, sukar dicari ganti. Siapalah dia, selain dari seorang pemain wayang. Pejuang silat papan sekeping, tanpa harta-benda, bangsat dari sebuah daerah ke sebuah daerah, hinggalah dia bersama Lebai Salleh, Cu Teh, Noh dan beberapa orang tua lagi datang memugar tanah di penjuru kampung itu. Itupun setelah mendapat keizinan ayah Pooja sendiri.
Siapalah dia, atas belas kasihan ayah Pooja, tanah itu dikerjakannya, mencari pendapatan sampingan di teratak ayah Pooja sendiri sebagai budak suruhan membawa kain baju untuk didagangkan di pasar berdekatan. Dan selebihnya, dia adalah seorang penglipurlara.
Tetapi itulah, kerana cinta telah mengatasi segala-galanya, Pooja menerimanya tanpa mempersoalkan kemungkinan yang tidak dapat dia adakan selepas perkahwi nan. Dan kerana itulah dia berani berjanji untuk tidak memandang selain Pooja, meskipun Pooja telah lama meninggal, tetapi Pooja tetap ada dan bermain di ruang ingatannya.
"Inilah janjiku Pooja, cintaku ini hanyalah untukmu."
Lebih menjadikan dia pencinta kisah cinta yang maha hebat kerana kematian Pooja tidak lain dari perjuangan Pooja untuk melahirkan zuriatnya yang pertama setelah tujuh tahun tanpa hasil.
Pemain wayang itu menggelenggelengkan kepalanya. Dia tunduk dengan matanya terpejam rapat. Anak itu pun dibawa Tuhan! Kini tinggallah dia sendirian melanjutkan kehidupannya.
Langsung kerana itulah, dia lebih rela begini, seorang diri. Dan kerana seorang diri itulah, dia bersama pejuang penglipurlara dari generasi yang kepenghabisan terus melagukan kisah di panggung itu saban waktu. Tetapi sejarah gemilangnya telah lama lenyap. Lenyap setelah Rawana merampas Sita dengan kejam dan tanpa belas kasihan.
Penontonnya diheret seorang demi seorang. Hingga ada suara putus asa dari pengetuk gong dan pemain serunai. Akhirnya mereka juga diheret dari bertenggek di hadapan panggungnya. Dan tinggalah dia sendirian dengan pepatungnya.
Keinginan untuk mengembalikan zaman keagungannya memang ada, perjuangan tidak bermakna tanpa dia sendiri sebagai dalangnya. Biarlah dia sendirian, dan tiba-tiba saja dia terhenti di situ, kelu dan bungkam. Dia melihat sekeliling.
"Perjuangan? Sendirian?" Pertanyaan itu berguling-guling di benaknya. Dia lesu lagi.
Jika dia tidak memulakannya, siapa lagi. Tetapi apakah dia berupaya. Sekiranya tidak, pasti dialah penglipurlara tunggal yang ada. Kekeringan alam dari mersik dan merdunya irama wayang pasti menjadikan dunia terus bungkam sebagaimana dirinya.
Kota tentu terus bising dan bercelaru. Desa pasti menjadi sebagaimana tanah kampungnya. Dulunya ada rimba teduh yang hijau dan nyaman. Kini kekeringan dan bahang matahari menjadikan tanah retak dan kontang. Sekontang dirinya. Dia akur kehendak zaman, tetapi apakah kerana zaman yang sebegini menyebabkan dia tersingkir sebegitu rupa, atau setidak- tidaknya diadakan majlis penghargaan buat seorang penglipurlara sepertinya.
Apa pun dia tidak pernah meminta semuanya itu. Cuma, cuma berilah kembali panggungnya, berilah kembali adunan muzik alam yang maha mengasyikkan itu, yang telah hilang bungkam di penghujung malam. Kembalikanlah!
Pemain wayang itu lesu. Namun hinggap di cuping telinganya mersik serunai membelah alam, gendang silat bergema di langit, serta bulan di barat kembali bersinar diselangi salak serigala yang galak. Dia, pemain wayang yang tinggal satu-satunya di muka bumi ini, adalah penglipurlara yang kembali dengan mata pertanyaan yang bersinar.

No comments:
Post a Comment