Pages

Tuesday, June 02, 2015

Menantu

Oleh Jais Sahok

LEMBAYUNG senja merah jingga semakin kelabu dan beransur gelap. Pandangan jauh dan renungan panjang ke ufuk Barat itu boleh mengkhayalkan sesiapa saja. Pak Ali melakukannya sejak kelmarin.

Petang itu, dia mengulangi. Dia berasa perlu duduk di situ mencari sesuatu. Dia duduk melongo di kepala tangga rumahnya. Kepalanya berat. Fikirannya ligat berputar - mencari kepastian dan ketentuan. Dia berada dalam persimpangan - antara hendak menurut kata isterinya, Puan Munah, ataupun menurut rasa hatinya sendiri. Kedua-duanya kalau diambil sebagai tidakan mengganggu fikiran dan ketenteramannya.

Sudah lama, walaupun belum sampai dua hari tetapi dirasakan sudah terlalu lama dia berbahas dengan fikirannya sendiri. Kalau dia menurut kata hatinya, sepuluh kali dipanggil pun dia tidak akan menjengah di rumah Esmawy. Esmawy terlalu hitam dalam diari hidupnya. Terlalu malu rasanya ketika kenduri kahwin amat meriah di rumahnya tempoh hari. Walaupun peristiwa itu sudah berlaku agak lama, tetapi masih segar dalam ingatannya. Hatinya benar-benar terusik dan luka.

Kali kedua dia mendapat malu, malu pada isterinya sendiri, malu pada anak-anaknya sendiri dan malu pada dirinya sendiri apabila Esmawy mengajak Idayu berpindah dari rumahnya. Esmawy mendesak Idayu membawa bersama-sama mereka Adikasusita, cucunya hasil perkahwinan Idayu dengan Sabri.

"Bawa anakmu itu bersama-sama kita," sarannya bersahaja. Pak Ali sendiri yang mendengar kata-kata menantunya itu. Kalau dia mendengar dari mulut orang lain, mungkin tawar sedikit gejolak perasaannya.

Tapi perkara yang dia dengar sendiri terasa benar-benar mencabarnya. Idayu tidak mengatakan apa-apa ketika itu kerana anak jandanya itu terlalu ingin hendak berlaki daripada menjaga anaknya dengan suaminya yang pertama itu. Selama menjanda pun Idayu tidak mengendahkan anaknya itu.

Semua hal ehwal kebajikan Adikasusita terserah kepadanya dua suami isteri saja. Hangat demam, susu dan makan minum cucunya itu adalah bulat-bulat tanggungjawabnya. Mustahil Idayu dapat menjaganya sebagai anak sendiri. Apatah lagi Esmawy yang cuma bapa tiri kepada anak itu. Melihat reaksi Idayu begitu selamba, Pak Ali berasa dia perlu masuk campur. Anak dan menantunya itu tidak dapat dibiarkan bertindak sendiri mengikut sesuka hati mereka.

"Biarlah dia tinggal di sini." Ketika melafazkan isi hatinya dia masih berupaya mengawal perasaannya yang sudah lama berbuku. Ketika itu Pak Ali membayangkan Adikasusita menjadi mangsa penganiyaan kanak-kanak. Baginya, mustahil Esmawy dapat menyayangi Adikasusita.

"Jangan. Dia harus ikut," tingkah Esmawy bagai orang bersikap kurang ajar. Suaranya tegas dan lantang bagai orang mencabar mentuanya. Pak Ali  tidak menyangka menantunya itu akan bertindak seberani itu. Dia tidak suka ditingkah ketika bercakap. "Dia bukan anakmu," tinggi suaranya menampakkan kemarahannya.

Mak Munah sudah mendengar dengan jelas walaupun berada agak jauh di dapur.

"Siapa kata?" tingkah Esmawy sekali lagi. Ini tambah menaikkan marah Pak Ali.

"Memang bukan anakmu." Pak Ali berasa dia benar-benar berhadapan dengan musuhnya. Musuh perasaannya sendiri.

 "Tapi dia anak Idayu dan Idayu isteri saya, bapa!" Esmawy masih berkeras. Dan Idayu sendiri tidak sekelumit pun hendak menyokongnya agar anaknya itu ditinggalkan.

"Huh!" Pak Ali mendengus tanda protesnya bertambah.

"Saya bukan mengahwini emaknya saja tetapi sanggup juga memelihara anaknya, sekalipun bukan anak saya sendiri. Itu tanggungjawab saya." Telinga Pak Ali sendat dan padat. Terbentuk pula sebuah busut yang bernanah dalam ruang perasaannya dan akan meletup pada bila-bila masa saja.

Berdesing kepala Pak Ali ditempelak menantunya begitu bertalu-talu. Mahu disergah menantunya itu ketika itu, tetapi dia masih bertenang. Dia batalkan hasrat dan niatnya. Entah apa yang dikenang dan diberinya pertimbangan ketika membatalkan tindakannya itu, sukar ditentukannya sendiri. Dia tidak begitu pasti. Tapi rasa tidak puas hatinya terhadap sikap menantunya itu bertokok-tambah lagi.

"Awak nak pergi tak?" soal Mak Munah sekali lagi dari dalam rumah. Pak Ali tidak dapat memberi jawapan segera. Dia berfikir keras. Dia tahu apa yang bakal dapat kalau dia membantah isterinya. Alamat berpuasalah dia daripada bersatu dengan isterinya buat beberapa ketika, sedangkan nafsunya masih ada untuk bersama dengan isterinya di bilik tidur. Ketika nafsunya melonjak, dia tidak mahu rancangannya tergendala.

Tujuannya berkahwin pun, salah satu daripadanya ialah menyelamatkan dirinya daripada memuaskan nafsu secara haram. Sebanyak sedikit dia sedar dan akur akan tujuannya berkahwin, bukan sekadar hendak mendapatkan anak. Padanya semakin usianya meningkat, semakin kurang tanggungjawabnya terhadap anak-anak, semakin berkurangan hutang-piutangnya, semakin lapang fikirannya, semakin seronok dia bersama isterinya.

Pak Ali tidak tahu akan hal orang lain. Yang dia tahu dirinya. Dia tidak mahu berpuasa daripada meniduri isterinya sendiri kerana menantunya. Fikiran Pak Ali segera membuat perbandingan antara dua orang menantunya -Esmawy dan Elyas. Elyas cukup hormat kepada orang tua, mendengar cakap, mengikut nasihat, kata itu ikut, cakap ini tidak membantah, akhirnya begitu juga jadinya, inikan pula Esmawy.

Esmawy memang keras kepala sejak dari awal lagi. Bagaimana mungkin dia dapat menjadi menantu yang baik. Daripada pergi untuk menyakitkan hatinya sendiri ke rumah Esmawy baik dia tinggal di rumah saja. Biarkan Mak Munah pergi seorang diri. Kalau dia cuma minta dihantarkan, dia sanggup menghantarnya. Kalau isterinya itu minta jemput setelah selesai urusannya pun, dia tidak keberatan.

Tapi hendak naik rumah Esmawy seperti yang dikehendaki, seperti yang diajak oleh isterinya, kepalanya masih berat untuk mendapat keputusan. Malah kalau dapat, melihat muka Esmawy pun dia tidak sanggup. Kalau hendak pergi pun biarlah Esmawy sendiri yang jemput. Ini tidak, menggunakan telefon saja. Adab apa namanya itu? Pak Ali mengasak fikirannya dengan persoalan itu. Di rumahnya di Kampung Semarang, Esmawy sibuk di dapur. Dia mengemaskan pinggan mangkuk dan periuk belanga. Kedengaran Adikasusita memerintah emaknya.

"Mak ambil buku Adika, mak!" Bergegas-gegas Esmawy mendapatkan anak tirinya itu di ruang tengah rumahnya yang sederhana besar, cukup untuk berkeluarga kecil seperti keluarganya itu.

"Kenapa?" terpinga-pinga Adikasusita apabila mendapati bapa tirinya tiba-tiba berada di belakangnya. Mukanya merah padam tidak ketentuan. Rahangnya terkunci bagai pesalah yang berhadapan dengan tuan hakim yang bakal menjatuhkan hukuman.

"Bukankah bapa sudah pesan, ibumu jangan diperintah!" Adikasusita tidak menjawab. Bola matanya yang bulat merenung tepat ke muka Esmawy bagai orang ketakutan.

"Bapa sudah cakap, kalau nak apa-apa minta pada bapa. Ibumu sarat. Dia hendak bersalin." Sebuah kekesalan menguit perasaannya. Segera dia berasa penerangannya itu tidak perlu. Adikasusita belum perlu mengetahui perkara itu tetapi kalau dia tidak diberitahu, dia akan sentiasa memerintah ibunya. Perkara itu tetap akan berlaku, Esmawy sudah masak dengan perangai kanak-kanak. Adikasusita masih mentah. Baru setahun bersekolah di Tadika Islam yang berdekatan kampung itu.

"Kau nak apa sayang?" Esmawy mengusap rambut anak tirinya penuh kasih sayang. Adikasusita tunduk. Perasaannya bercampur-aduk.

"Adika nak buku," sahutnya lembut dan terputus-putus. Dia menyembunyikan perasaan takutnya. Di sekolah tadikanya, banyak kawan dan rakan yang menakut-nakutkannya tentang bapa tiri. Semua mengatakan bapa tiri jahat dan garang. Begitulah bapa tirinya, pada pandangannya. Dia tidak mahu melakukan sedikit kesalahan pun di hadapan bapa tirinya kerana kalau berlaku apa-apa, seperti yang dikatakan kawan dan rakannya sungguhpun dia belum merasakannya, dia akan dibelasah dengan rotan atau kayu.


"Buku yang mana?" tanya Esmawi lembut dan mesra. Dia mencari pandangan mata anak tirinya yang sudah dua tahun dibawa berpindah ke rumah hasil titik peluhnya sendiri.


"Buku tulis!" Suara Adikasusita masih terketar-ketar.


"Di mana?" Esmawy mengesani kegugupan anak tirinya itu. Dia berusaha untuk lebih melembutkan suaranya.

"Entah, emak simpan!" Esmawy bergegas ke bilik tidur, menjengah lalu bertanya: "Di mana kau letak buku Adika, Ayu?" Tanyanya lembut dan ramah.

"Eh, macam-macam budak tu," Idayu membentak tidak selesa dengan karenah anaknya itu. Semakin kerap dia terbayang akan wajah Sabri apabila melihat wajah anaknya itu. Sabri yang pernah menanam kesumat kebencian dalam perasaannya sehingga mereka bercakaran dan akhirnya bercerai.

"Biarlah, dia kanak-kanak lagi. Manalah dia faham." Esmawy menyelami perasaan isterinya. Kerap juga dia mendengar, perempuan yang sedang hamil selalu tidak berupaya mengawal perasaannya sendiri.

"Tak faham apa, dah sekolah." Tinggi suara Idayu. Marah dan menyergah. Wajah Sabri, bekas suaminya muncul lagi dalam bayangannya. Dia budak-budak Ayu. Sudahlah. Mana bukunya tu?" Esmawy mahu menyelesaikan masalah anaknya secepat mungkin. Kerjanya di dapur masih ada yang tergendala.

"Tu, di atas almari tu. Pesan jangan dikoyak. Mahal buku tu," Idayu cuma mengalih letak badannya untuk mengatur keselesaan.
"Kalau iya pun, belilah yang lain." Esmawy mudah nampak hakikat kanak-kanak. Tidak ada perkara yang dapat bertahan lama di tangan kanak-kanak. Dia sudah melihat banyak contoh dan semua kanak-kanak perlu difahami kerana sikap mereka yang belum begitu mengerti.

"Mana mak belum datang-datang lagi?" Idayu mengalih minatnya setelah Esmawy mengambilkan Adikasusita buku yang dikehendakinya.

"Mungkin dia sibuk Ayu. Jangan diharapkan sangat. Emak masih ada suami, bapa. Kita ada keluarga sendiri. Kalau dah nak keluar sangat, kita ke hospitallah. Bukannya jauh. Awak bersalin di sana. Motosikal kita ada, apa nak disusahkan sangat?"

"Tapi dulu..." Idayu masih mengharapkan Mak Munah segera. Dia tahu betapa banyaknya bantuan emaknya itu kepadanya ketika melahirkan Adikasusita lebih lima tahun lalu. Dari kepala hingga ke hujung kaki dipicit-picit emak. Tapi Esmawy tidak akan melakukannya kerana dia selalu mengatakan kesakitan ketika bersalin adalah nikmat pemberian Tuhan.

"Awak asyik ingat yang dulu. Dulu awak tinggal serumah dengan emak, lainlah. Kini dengan abanglah. Susah senang, kita sudah berumahtangga, buatlah cara berumahtangga."

"Hmmm!" Idayu sudah hampir putus asa. "Kalau mereka datang, kita suruh masuklah, takkan nak halau, orang tua."

"Bapa? Ada abang jemput?" Idayu dapat mengesani perasaan bapa terhadap suaminya sejak sebelum mereka berpindah lagi. Dia tahu akan perkara itu kerana sangat rapat pada bapa. Sedikit perubahan bapa, dapat dirasakannya.

"Dah cakap mak. Suruh beritahu. Datang agaknya kalau tidak ada halangan."

"Dia masih merajuk agaknya." Tiba-tiba saja suara itu terpancul.
Idayu sendiri berasa tidak sengaja hendak melafazkannya.

"Pulak. Tentang apa?" Terpinga-pinga Esmawy seketika. Setahunya selama ini tidak pernah dia melakukan apa-apa yang menyinggung perasaan orang lain, apatah lagi mentuanya sendiri.


 "Pada abanglah!" Idayu tidak mahu menyembunyikan perkara itu lagi. Sudah sekian lama, sudah empat tahun mereka berumahtangga, memang sudah patut dia terterus terang.


"Iya?" Terbeliak kedua-dua bola mata Esmawy kurang meyakini perkara yang baru diketahuinya.


"lyalah. Abang tak ikut kata dia, katanya." Idayu cuba mencari sebab perubahan sikap bapa. Ketika itu dia tidak menyebelahi sesiapa, antara suami dan bapanya. Dia berasa begitu perlu bapa berada di rumahnya malam itu. Bapa ada kereta. Kalau apa-apa berlaku kepadanya, dapatlah bapa menolong.


"Apa?" Esmawy semakin kehairanan dan terpinga-pinga. Dahinya berkerut dan ingatannya berputar ligat.

 "Dulu, semasa perkahwinan kita, bukankah abang bantah banyak perkara?" Idayu membawa fikiran Esmawy mengingat perkara yang sudah empat tahun berlaku.
"Yang mana, abang tak faham?" Kebulatan bola matanya masih kekal. Kehairanan yang mengusik hatinya masih tidak mahu padam.

"Selepas akad nikah, abang tak nak ditepung tawar. Katanya dia berasa malu, Dia beritahu emak. Emak beritahu saya. Tapi saya takut nak beritahu abang." Bagai tikus baru keluar dari sarang di dalam tanah, Esmawy mengangguk-angguk.


"Kenapa takut?" Dia berasa agak kesal kerana isterinya sendiri tidak mahu berterus terang sedangkan perkara itulah yang paling dibencinya.

"Takut abang macam Sabri juga." Idayu berasa dia tidak perlu berselindung-selindung lagi. Berselindung bermakna menyimpan buku dan busut di hati sendiri.

"Abang ni Esmawy, bukan Sabri. Kenapa hendak disamakan dengan Sabri pula?" Kekesalan Esmawy mula berkuasa.

 "Manalah tahu?" Idayu mengetap bibirnya menahan kesakitan di pinggang. Dia menekan-nekan pinggangnya.

"Awak fikirlah baik-baik Ayu," Esmawy mencapai buku Adikasusita di atas almari.


"Adika, nak buku, sayang." Dia memalingkan mukanya ke arah bilik tidurnya semula. Idayu terkedang di atas katil menunggu saat perutnya sakit untuk melahirkan anaknya yang kedua. Tanda-tanda awal kelahiran itu sudah ada lewat senja tadi.

 "Abang sudah kata, tepung tawar itu bukan budaya Islam. Yang penting doa saja. Buat apa kita buat perkara yang tidak penting. Kalau silap berdosa pula. Dosa kering. Dosa yang disengajakan."


"Tapi itu kebiasaan orang tua bang." Idayu berasa amat perlu menyokong dan menyebelahi bapanya sendiri. Selama ini bapa begitu baik hati kepadanya. Cuma sejak dia bersuamikan Esmawy bapa berubah sikap terhadapnya. Tapi Esmawy juga amat istimewa dalam hidupnya.


"Kalau iya pun kebiasaan, kenapa bapa harus merajuk. Bukankah Elyas, bekas abang ipar awak tu tidak membantah kehendaknya? Nak malu apa lagi? Majlisnya tidak terjejas. Orang ramai yang tonton upacara itu. Abang turut menadah tangan ketika orang membacakan doa." Esmawy menyatakan kewajaran tindakannya.


"Itu tak begitu berat bang, tapi..." masih ada sesuatu yang berbuku di hati Idayu, yang sekaligus mahu dihabiskannya agar tidak dianggapnya sebagai hutang.


"Tapi apa lagi?" Esmawy mula berasa Idayu mengambil terlalu panjang masanya. Kerjanya di dapur masih belum selesai.


"Bersanding tu, saya bersanding dengan dinding akhirnya. Itulah yang amat memalukan bapa. Berkali-kali dibangkitkannya perkara itu."


"Kalau itulah yang memalukannya, dia harus bertaubat Ayu. Kenapa tidak bersemuka dengan abang, biar dapat abang katakan kepadanya. Jangan pula menyimpan dendam terhadap abang hingga tidak mahu menjengah cucunya sendiri di rumah abang. Tapi kalau begitulah kehendaknya, kalau awak sudah lepas hari kelak, eloklah abang hantar awak bertiga ke rumah mereka. Tidak patut kita berjarak daripada orang tua."

"Selama ini abang tak kata pun nak ke rumah emak." "Abang tidak ada apa-apa masalah dengan keluarga awak. Selama ini awak pun tahu kerja saya. Kita orang bergaji kecil, rumah perlu dibuat sendiri, ditukang sendiri. Pulang dari pejabat perlu pula kejar itu dan ini. Manalah ada masa." Idayu tidak terkata apa-apa selepas itu. "Abang bukan tidak mahu bersanding Ayu, tapi dipertontonkan di majlis yang begitu besar, berdosa. Bukan ahli keluarga kita saja yang menonton kita. Orang lain, yang bukan muhrim juga banyak. Macam mana kita hendak menghapuskan dosanya?"

 "Kalau abang begitu arif tentang agama kenapa pilih Ayu?"


"Soal pilih memilih ini jodoh Ayu. Jodoh di tangan Tuhan. Begitu juga rezeki dan hidup mati kita. Kalau jodoh abang sudah dengan Ayu, dengan Ayulah. Tidak kiralah janda atau dara, perempuan juga. Yang penting, kalau kita pernah silap, kita bertaubat." Idayu terkunci mulut. Esmawy kembali ke dapur.


Periuk belanga dan pinggan mangkuk yang sudah selesai dicucinya belum dikemaskan di tempat letaknya. Pak Ali kembali ke lamunannya. Puas dia mengelak lamunan yang panjang dan berjejela itu, tetapi gagal. Mengenang Esmawy memang menyakitkan hatinya. Esmawy pernah kurang ajar padanya. Dia orang tua, bapa mentua kepada menantunya itu. Dia berhak jauh hati atau merajuk. Dia ada kuasa.


Tunduk kepada menantu yang kurang ajar bermakna dayus. Lamunnya beralih kepada Elyas. Elyas menjadi harapannya untuk dibanggakan kepada sesiapa saja, teman sekerja atau rakan taulan. Tetapi anak bekas Yang Berhormat ternyata belot. Dia pandai berpura-pura. Akhirnya beristeri dua. Dia masih ingat, dia sendiri yang memaksa Suhana minta diceraikan. Mulanya Suhana enggan tetapi setelah didesak, menurut kata juga.

 "Minta cerai kataku!"

Dentuman gemuruh marahnya benar-benar memuncak ketika itu. "Tapi bapa..."

 "Tapi apa lagi. Malulah berkongsi suami dengan perempuan lain. Kalau kau menjadi isteri kedua, tidak mengapa tapi sebagai isteri tua, bapa yang berasa malu." dia tidak menghentakkan kaki kerana tidak mahu mengganggu dua orang cucunya yang sedang tidur. Dia mengetap bibir sebagai jalan terakhir untuk mengawal perasaan. "Sepatutnya Suhana yang berasa malu."

 "Huh, apa yang kautahu? Masih mentah. Minta cerai kataku. Aku bapamu, aku orang tua, orang yang sudah banyak makan garam!"

Pak Ali dapat merasakan perkara itu ketika itu, kalaulah Elyas berada di hadapannya, mungkin diterkam menantunya yang terlalu pandai bermuka-muka itu.


"Abdul Aziz dan Safuan bagaimana bapa?"


"Mereka cucuku."

"Tapi mereka memerlukan bapa mereka."


"Aku tanggung, dengar cakapku. Semua perbelanjaan makan minum mereka, selagi tulang uratku masih dapat bekerja, sebelum aku pencen, jangan kau risau." Atas jaminan itulah agaknya Suhana menyatakan hasratnya kepada Elyas. Pak Ali mengagak. Dan Elyas tidak bertanya soal dua tiga lagi, sekali pinta, terus diceraikannya anaknya itu.


Pak Ali mengeluh panjang. Sudah dua orang anak perempuannya, mujurlah dia mempunyai cuma dua orang anak perempuan, diceraikan oleh suami masing-masing. Pak Ali cuba mencari punca nasib buruknya, tapi tidak bertemu.


Entah dari mana datangnya nasib malang dan suratan takdir yang tidak masuk akal itu. Dia menggaru kepala sambil melontarkan pandangannya ke kereta Mitsubishi tuanya di luar rumah. Dia kembali mengenang nasibnya, nasib dua orang anak lelakinya yang masing-masing bekerja di Sabah dan di Kelantan - berjawatan tinggi dan bergaji besar.


Jauh di sudut perasaannya dia berdoa, janganlah hendaknya kedua-dua orang anak lelakinya itu turut menconteng arang di mukanya. Pak Ali menghalusi fikirannya. Sebenarnya tidak begitu banyak yang dilakukan oleh Esmawy terhadapnya, seingatnya. Cuma dia berasa malu di khalayak ramai, ketika orang sedang meriah dalam kenduri yang dikendalikannya dengan wang ringgit sendiri, atas biaya sendiri kerana ingin melihat anak ke jinjang pelamin tiba-tiba diberi malu begitu. Hati orang tua mana yang tidak kecewa, keluh Pak Ali.


Lagipun memang jelas Esmawy menjejaskan budaya bangsa yang diwarisi turun-temurun. Apabila diungkit-ungkitnya perkara itu dalam keluarganya sendiri, seingatnya juga, seperti melalui sindiran, Esmawy cepat-cepat masuk ke dalam bilik tidur. Seketika kemudian Idayu pula yang menyusul. Mereka berlama-lama berada di dalam bilik. Pak Ali benar-benar berasa terusik hati dan perasaan. Mujurlah Idayu tidak mengandung secepat Suhana. Sudah dua orang anak Suhana membisingi rumahnya, Idayu tidak menanamkan apa-apa hasil bersuamikan Esmawy.


Agaknya itulah juga sebabnya, kerana tahu dirinya mandul maka Esmawy berkeras mendesak Idayu membawa Adikasusita ketika mereka berpindah rumah. Cukup pelik manusia Esmawy ini, getusnya. Dia memutar fikirannya semula. Dia kembali teringat kepada kata-kata penjelasan Idayu sendiri tentang pendirian suaminya.


"Dia tidak mampu mengeluarkan belanja besar bapa."

"Dah? Nak berkahwin juga?" Suara tingginya disengajakan.
"Itu cerita lain bapa."

"Nantilah, tangguhkan seketika, bapa atur supaya serentak dengan kakakmu." Kerana cadangan itulah kedua-dua orang anaknya berakad nikah dan diraikan dalam satu kenduri besar serentak. Dia memahami keadaan Esmawy. Dia kekurangan wang. Tidak mampu membiayai kenduri kahwin yang besar, apalah salahnya dia berkorban untuk menantu kerana menjaga maruah bangsa. Kalau orang lain mampu berkenduri besar ketika anak berkahwin, kenapa tidak dia? Begitu fikirnya ketika itu.

Lagipun hantaran Elyas memang lebih daripada mencukupi. Tapi yang mencelakakan nasibnya, pada pandangannya sendiri ialah sikap Esmawy yang tidak tahu malu. Tidak mengenang budi. Dia cuma berani mengatakan kepada isterinya bahawa dia tidak mahu berhutang bergadai kerana kenduri kahwin yang besar. Dia pun faham akan perkara itu.


Faham akan maksud menantunya. Memang dia mengakui kejujuran Esmawy. Tapi yang dia menyuruhnya bertaubat apabila disebut bersanding buat apa. Bukan Idayu yang memberitahunya tapi telinganya sendiri yang mendengar perkara itu. Kemudian menantunya yang sama juga, suka menjaga tepi kainnya. Berani dia bertanya kenapa dia tidak bersembahyang sedangkan menantunya itu menumpang di rumahnya.


Kalau diturut-turutkannya hati dan perasaan ketika itu memang ditendangnya punggung Esmawy hingga dia berambus ke mana-mana saja dia suka. Tapi dia terpaksa mengenang satu perkara lagi, menantunya itu disebut orang sebagai manusia yang warak. Memang dia mengakui perkara itu kerana Esmawy tidak pernah meninggalkan waktu sembahyang fardhu. Agak kerap juga dia bersembahyang sunat walaupun bersendirian di rumah. "Awak nak pergi tak?" Soalan isterinya itu mengganggunya. Fikirannya masih sarat dan berat. Antara Munah dan Esmawy, seorang mesti diberi kemenangan. Menyedari Pak Ali tidak menjawab pertanyaannya, Mak Munah bertanya lagi. "Awak dengar tak?"

"Yalah, yalah! Nak pergilah ni!" Terpinga-pinga Pak Ali seketika. Tanpa disedarinya dia mengucapkan jawapan itu kepada isterinya, ucapan yang tidak disengajakan.

Ketika sampai di perkarangan rumah menantunya, Pak Ali tidak segera keluar dari perut keretanya. Dia membiarkan Mak Munah keluar kereta dan naik ke rumah. Rumah itu kelihatan kosong dan sepi membakar lagi hati Pak Ali. Seketika kemudian terkedek-kedek Adikasusita berlari ke arah pintu lalu melambai ke arahnya.

"Tuk, naik tuk!" Cucu sulungnya itu melambai bertalu-talu. Perasaan Pak Ali tertarik untuk menyegerakan panggilan cucunya itu. Ketika sampai di kepala tangga, muncul Esmawy dengan wajah senyum manis menjabat tangan Pak Ali bersama-sama sebuah kucupan di tangan kanannya itu seraya bertanya:

"Sudah sembahyang Isyak bapa?"

Mereka berpandangan agak lama, masing-masing mencari pengertian daripada air muka.

No comments: