Pages

Friday, June 19, 2015

Menanti hari esok

Oleh Ezanee Mokhtar

HARI itu hanya seperti hari yang berlalu bagi Pak Khamis dan setiap hari dia hanya berdoa agar esok lebih bererti daripada hari ini dan semalam. Dia memerhatikan ke arah bandar Petaling Jaya bersama ribuan kenderaan yang bertali arus di jalan raya.

Hari itu padanya suram seperti hari sebelumnya. Segalanya bagai sebuah mimpi yang tidak akan berakhir. Namun Pak Khamis masih percaya pada Tuhan dan sentiasa berdoa setiap hari. Dia masih percaya bahawa setiap penyakit ada ubatnya dan setiap yang berlaku ada kebaikannya. Siapa sangka anaknya akan terlantar di hospital begitu lama dan siapa sangka Saiful yang dulunya seorang yang cergas dan periang mendapat nasib seperti itu.

Sudah hampir sebulan dia terlantar di Hospital Universiti, Kuala Lumpur kerana penyakit itu dan sudah sebulan juga dia menerima rawatan `chemiotherapy'. Kini, semuanya semakin gelap. Saiful dijangka hanya boleh hidup beberapa bulan saja lagi.

Keadaan ini bermula kira-kira dua bulan lalu, sewaktu cuti sekolah. Saiful bersama rakannya memang tidak lepas bermain boleh di padang sekolah rendah di Kampung Parit Maimon. Mereka memanjat pagar sekolah dan bermain dari petang hingga lewat senja. Di situlah dihabiskan cuti sekolah bersama anak-anak kampung. Malamnya, dia ke rumah Pak Leman menumpang menonton televisyen. Di rumahnya tiada televisyen, yang ada hanyalah radio kecil.

Keluarga Saiful adalah di antara keluarga miskin di Kampung Parit Maimon. Pak Khamis, ayahnya hanyalah penoreh getah di kebun pusaka seluas tiga ekar dan emak pula hanya menolong ayah. Kalau tidak, emak hanya duduk di rumah menganyam tikar yang dijual kepada jiran sekampung.

Walaupun begitu mereka dapat juga merasa api elektrik dan air paip dan Saiful bersekolah. Ayahnya kata, sekolah itu penting untuk masa depannya dan Pak Khamis mahu Saiful mendapat pelajaran agar anaknya tidak melarat sepertinya. Dia mahu masa depan Saiful lebih bererti, sekurang-kurangnya boleh membaca dan menulis.

Tetapi Saiful yang hanya sepuluh tahun itu seperti budak-budak kampung lain yang suka bermain boleh di padang atau memancing ikan di anak sungai. Tetapi Saiful adalah budak yang cerdik. Keputusannya membanggakan guru di sekolah. Biasanya anak kampung tidaklah pandai sangat tetapi Saiful memanglah seorang yang istimewa. Setiap kali peperiksaan dia mendapat tempat pertama. Dia murid kesayangan guru. Semua orang kampung menjadikan Saiful contoh bagi anak-anak mereka.

Malam itu seperti kebiasaannya Saiful ke rumah Pak Leman selepas sembahyang Isyak di masjid. Pak Imam dan Pak Khamis berbual di anjung masjid dan Saiful terus saja mengikut Kamal, anak Pak Leman balik ke rumahnya untuk menonton televisyen.

Kata Kamal, malam itu ada cerita menarik dan Saiful tidak melepaskan peluang itu. Sampai di rumah Kamal, dia terus duduk mengadap televisyen setelah sepetang dihabiskannya bermain boleh di padang sekolah. Kira-kira pukul sepuluh malam, Saiful mengadu pening kepala dan mahu balik. Dia baru saja bangun dan berjalan ke pintu apabila tiba-tiba dia jatuh pengsan.

Keluarga Pak Leman menjadi riuh dengan tiba-tiba. Mak Jarah, isterinya terus ke dapur mencari air dan Pak Leman memangku Saiful. Gelas yang dihulurkan dicapainya dan Pak Leman mula membaca jampi sebelum menyapu muka Saiful dan memberikannya minum. Saiful kelihatan pucat. Dadanya berombak-ombak seperti tidak cukup nafas. Setelah beberapa minit, barulah dia boleh membuka matanya dan meneguk air yang diberikan oleh Pak Leman.

Kamal yang diarah oleh ayahnya ke rumah Saiful sudah kembali bersama Pak Khamis.

"Kenapa dia Leman?" Tanya Pak Khamis cemas apabila melihat Pak Leman menyandarkan Saiful ke dinding.

"Dia pengsan," jawabnya perlahan.

Pak Khamis mengambil tempat di sisi anaknya dan mengusap bahu Saiful.

"Badannya panas. Mungkin dia demam," kata Pak Khamis kepada Pak Leman.

Pak Khamis menganggukkan kepalanya. Saiful kini sudah sedar dan mengadu sakit kepala. Wajahnya masih pucat.

"Ayah, kepala Saiful sakit," Saiful mengadu kepada Pak Khamis.

"Sikit nak!" Jawab ayahnya. "Mari kita balik," sambungnya sambil mengangkat anaknya.

"Terima kasih Leman," ucapnya ketika melangkah keluar pintu.

"Esok aku datang ke rumah kau bawa akar kayu," balas Pak Leman yang sememangnya dikenali sebagai dukun tradisional. Dia selalu mengubat di Kampung Parit Maimon dan juga kawasan sekitar Parit Sulong dan Penggaram. Sebut saja nama Pak Leman atau Wak Leman, semua orang kenal.

Beberapa hari selepas itu demam Saiful tidak juga reda. Sudah beberapa kali Pak Leman datang membawa akar kayu dan sirih jampi, tetapi hasilnya hampa. Ubat dari Pusat Kesihatan Kampung pun sudah dicuba, namun Saiful tetap juga terbaring tidak bermaya.

Badannya masih panas dan dia sentiasa dalam kesakitan walaupun dia tidak pernah mengadu kepada emaknya. Dari kerut di dahinya Pak Khamis tahu anaknya menahan kesakitan, tetapi dia sendiri sudah mencuba segalanya.

"Kita bawa Saiful ke hospital bang," Mak Limah mencadangkan suatu malam selepas Isyak. Dia kasihan melihat anak tunggalnya begitu.

"Baiklah, nanti aku usahakan dengan Tuk Imam," jawab Pak Khamis agak kecewa. Dalam kampung, hanya dua tiga buah kereta saja yang ada. Hanya wajah Tuk Imam terlintas di kepalanya ketika itu dan dia hanya dapat berharap agar Tuk Imam tidak menolak hajatnya.

Pagi itu Pak Leman datang lagi waktu matahari tinggi segalah. Dia membawakan beberapa ulas pinang yang sudah dijampinya. Dia simpati dengan nasib Pak Khamis. Itulah saja usahanya dan dia hanya boleh berdoa. Dia terus mendapatkan Saiful yang sedang terbaring di tengah rumah. Sirih pinang yang dibawanya diletakkan di dalam piring dan dia sendiri mengunyah salah satu daripadanya. Mak Limah yang hilang ke dapur kembali dengan dulang membawakan secawan kopi dan keledek goreng, baki sarapan.

"Mana suami engkau," tanya Pak Leman sambil mengangkat cawannya. Dia sudah selesai mengubati Saiful dan bersandar di pintu mengadap ke jalan.

"Abang Khamis ke rumah Tuk Imam," jawab Mak Limah.

"Buat apa?"

"Minta tolong Tuk Imam hantarkan Saiful ke hospital."

"Baguslah begitu," kata Pak Leman. "Demamnya semakin teruk dan aku sudah habis ikhtiar," sambungnya lagi agak kecewa.

"Aku balik dulu Limah. Aku nak ke darat menengok anak Wak Samean yang digigit ular," katanya sambil bangun menuruni tangga. "Sirih jampi yang aku tinggalkan tu suruh Khamis gunakan untuk penahan bisa anaknya."

"Terima kasih," kata Mak Limah perlahan. Dia hanya memerhati Pak Leman berjalan menuju ke darat. Dia dan Pak Khamis terhutang budi dengan Pak Leman yang selalu menolong mereka. Sewaktu Saiful disengat kala jengking di kebun, dialah yang menolong menawarkan bisanya dan begitu juga ketika Pak Khamis diserang demam panas dia juga orangnya yang menolong. Pada setiap kali dia datang, Pak Leman tidak pernah menerima bayaran.

Pada orang kampung, Pak Leman hanya mahu menolong. Katanya, ilmu yang ada padanya ilmu kurniaan Tuhan dan dia mahu berbakti pada orang kampung.

Pak Khamis sampai di rumah bersama Pak Imam dengan keretanya. Pak Imam simpati dengan Pak Khamis dan Saiful memanglah budak baik yang sentiasa mengikut kata orang tua. Mereka membawa Saiful ke hospital daerah yang jauhnya kira-kira 20 kilometer. Setelah menjalani pemeriksaan doktor, Saiful terpaksa dimasukkan ke wad.

Pak Khamis menitiskan air mata melihat anaknya dibawa ke wad dengan diiringi jururawat. Di tangan kiri Saiful tersambung saluran ke botol air yang dipegang oleh salah seorang jururawat. Pak Imam yang berdiri di sebelahnya memegang bahunya cuba menenangkan rakannya itu. Pak Imam tahu betapa sayangnya Pak Khamis pada anak tunggalnya itu dan dia juga simpati terhadap Saiful.

Berita Saiful dimasukkan ke hospital sudah tersebar di seluruh kampung. Ketua kampung pun sudah datang ke rumah Pak Khamis dan melawat Saiful di hospital. Tuk Imam ada juga menolong menghantar Pak Khamis ke hospital beberapa kali, begitu juga Tuk Ketua. Sudah beberapa hari berlalu dan Saiful masih tidak juga menampakkan sebarang tanda untuk sembuh. Saiful hanya boleh minum air yang diberikan kepadanya, tetapi dia masih terlalu lemah untuk bercakap.

Mak Limah kini sudah berada di hospital hampir setiap hari. Pak Khamis pula sudah tidak menoreh. Mereka berdua saling berganti menjaga Saiful. Doktor yang merawatnya juga masih belum mendapat kepastian mengenai penyakitnya sehinggalah hari ketujuh.

"Ada berita tidak baik yang perlu saya beritahu kepada Pak Khamis," kata doktor di luar wad. Wajahnya menunjukkan dia juga sedih.

"Apa doktor?" Tanya Pak Khamis.

"Saiful sebenarnya menghidap barah," katanya menundukkan kepala.

Pak Khamis juga menundukkan kepalanya. Air matanya mengalir menuruni pipinya.

"Saya minta maaf Pak Khamis," Kata doktor itu. "Kami akan cuba sedaya upaya untuk merawatnya."

Berita yang baru diterimanya dirahsiakan dari pengetahuan semua orang. Dia tidak mahu mengecewakan isterinya yang kini sudah mula mengharap Saiful sembuh. Saiful kini sudah boleh makan makanan yang dibawakan. Kepada Pak Leman dan Tuk Imam juga dia tidak beritahu. Mereka semua banyak menolongnya dan dia tidak mahu menyusahkan mereka lagi dengan bebanan berita itu.

Tetapi hatinya yang remuk hanya Tuhan yang tahu. Harapannya hancur. Walaupun dia orang kampung, tetapi dia tahu bahawa penghidap barah biasanya mempunyai harapan yang tipis untuk hidup.

Baginya Saifullah saja harapannya dalam dunia ini dan kini masa depan anaknya tiada siapa yang tahu. Dia tidak tahu berapa lama lagi Saiful boleh hidup dan doktor itu tidak pula mahu memberitahunya. Yang pasti dia tidak akan berdiam diri. Dia mahu Saiful mendapat rawatan yang sepatutnya. Apabila Saiful mahu dipindahkan ke Hospital Universiti, Kuala Lumpur barulah semua orang tahu.

"Barah," Mak Limah hampir menjerit dan terus menangis apabila Pak Khamis memberitahunya. Dia menangis teresak-esak dan Mak Lijah terpaksa memapahnya ke tempat duduk. Pak Khamis hanya merenung anaknya dengan linangan air mata ditemani Pak Leman yang berwajah sedih. Hampir semua yang ada di situ mendiamkan diri kerana terharu. Terharu mengenangkan nasib Saiful.

Berita sedih itu sampai juga ke pengetahuan guru besar sekolah Saiful dan telah mengutip derma di kalangan guru bagi meringankan bebanan Pak Khamis sekeluarga. Tuk Ketua pun berbuat begitu dan dialah yang mengatur agar Pak Khamis duduk bersama anaknya di Petaling Jaya sewaktu Saiful mendapat rawatan di Kuala Lumpur. Pak Khamis sendiri mengeluarkan wang simpanannya yang tidak seberapa itu. Cadangannya untuk menanam semula kebun getahnya terpaksa dibatalkan kerana anaknya.

Sebelum dia dipindahkan, ramai di antara guru yang menyayanginya datang melawat di hospital. Semuanya ada di situ: Kamal, Tuk Imam, Ketua Kampung, guru besar dan kebanyakan gurunya. Pak Khamis terharu dengan kunjungan guru besar dan menitiskan air mata apabila guru itu menyampaikan sampul surat kepadanya.

"Kami sayangkan Saiful," kata guru besar itu dan sememangnya Saiful adalah murid harapan untuk mengharumkan nama sekolah.

Sepuluh hari selepas Saiful dimasukkan ke hospital daerah, akhirnya dia dipindahkan ke Hospital Universiti bagi rawatan barah yang dihidapinya. Saiful disyaki mengidap penyakit `osteosarcoma' atau barah tulang yang biasanya pada tulang tangan dan kaki kanak-kanak.

Saiful terpaksa menerima rawatan `chemotherapy' dan `radiotherapy' bagi menyelamatkannya. Doktor memberitahu bahawa penyakitnya sudah mencapai tahap bahaya dan harapannya untuk hidup lebih daripada beberapa bulan adalah tipis.

Di Kuala Lumpur, Saiful terus dimasukkan ke Wad Pediatric. Pak Khamis dijemput oleh Taufiq, anak Tuk Ketua ke rumahnya di Petaling Jaya. Di situlah Pak Khamis menumpang teduh selama di Kuala Lumpur. Ketua Kampung juga ada bersama beberapa hari sambil menziarahi anaknya itu.

Setiap pagi Pak Khamis ke hospital dan melihat anaknya hinggalah lewat petang. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menyusahkan orang lain, walaupun Taufiq tidak pernah keberatan menerimanya. Pada Taufiq, Pak Khamis tidak perlu ditengokkan sangat. Walaupun usianya sudah lebih puluhan, namun badannya masih tegap seperti tiga puluhan.

"Akar-akar kayu dan jamu," katanya ringkas apabila Taufiq mengusik bertanyakan rahsia dia menjaga badan dan sememangnya Taufiq sendiri tahu sejak di kampung bahawa Pak Khamis adalah seorang yang berilmu.

Namun takdir menentukan segalanya. Tidak sampai seminggu Pak Khamis di Kuala Lumpur, dia menerima sepucuk telegram dari Pak Leman mengatakan bahawa isterinya sakit tenat. Mahu tidak mahu, Pak Khamis terpaksa juga balik ke kampung dan meninggalkan anak kesayangannya buat seketika. Taufiq simpati atas apa yang berlaku pada Pak Khamis dan berjanji akan menjaga Saiful ketika pemergian Pak Khamis.

"Apa yang berlaku, Leman?" Tanya Pak Khamis kepada Pak Leman yang sedang duduk di tangga rumahnya. Sejak Pak Khamis muncul di halaman rumah dia hanya memerhatikan saja kawan itu dari tempat duduknya. Beberapa orang kampung yang ada di situ hanya menundukkan kepala mereka.

"Isteri kau jatuh dan pengsan di bilik air ketika hendak mengambil wuduk dua hari lalu," katanya dengan nada sedih. "Aku telah cuba tetapi gagal," sambungnya lagi dan kesal kerana tidak dapat menolong Mak Limah yang masih pengsan. Dia simpati dengan Pak Khamis yang kini dalam kesusahan.

"Biar aku pula yang mencubanya," katanya ringkas sambil naik ke rumah. Di dalam rumah, beberapa orang perempuan sedang duduk mengelilingi isterinya yang pengsan. Melihatkan Pak Khamis, mereka memberi laluan. Pak Khamis duduk di sebelah isterinya dan meminta diambilkan segelas air. Setelah gelas itu ada di tangannya, dia memulakan bacaan jampi yang pernah dipelajarinya. Semua yang ada di situ melihatnya dengan tekun. Beberapa orang lelaki termasuk Pak Leman sudah berada di atas rumah. Sebelum ini mereka semua tidak pernah melihat Pak Khamis mengubat orang walaupun semua

Kini Pak Khamis mengubati isterinya setelah segala usaha Pak Leman gagal. Setelah beberapa minit dia membaca jampi, dia menyerahkan gelas itu kepada Mak Lijah untuk disapukan ke muka isterinya dan diberikan isterinya minum. Pak Khamis kemudian bangkit dan terus turun. Dia berjalan menuju ke masjid untuk solat Asar dengan diikuti oleh Tuk Imam dan beberapa orang lagi.

Mak Limah sedarkan diri ketika hendak masuk waktu Maghrib. Dia meminta diambilkan air sembahyang dan terus bersembahyang Maghrib apabila azan kedengaran di udara. Selepas Maghrib, Mak Limah minta dipanggilkan suaminya.

"Bagaimana keadaan Saiful?" Tanya Mak Limah dengan perlahan sambil memegang tangan suaminya.

"Saiful sudah semakin pulih. Dia kirim salam pada Mah," Pak Khamis berbohong demi menyedapkan hati isterinya. Mak Limah tidak berkata-kata, tetapi air mata mengalir. Dia tahu bahawa Saiful masih tenat. Sudah lama dia mengenali Pak Khamis dan dia dapat membaca isi hati suaminya.

"Sampaikan salam saya pada Saiful bang," katanya teresak-esak.

Pak Khamis juga menitiskan air mata. Kasihnya pada isterinya tiada tolok bandingnya.

Mak Limah menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu azan Isyak kedengaran. Pada ketika itu Pak Khamis berada di sisinya memegang erat tangan isterinya. Jenazah Mak Limah disempurnakan dan disemadikan di tanah perkuburan di Kampung Parit Maimon. Kampung itu diselubungi kesedihan. Mereka yang rapat antara satu sama lain, kehilangan Mak Limah dirasai oleh semua orang. Orang kampung simpati dengan Pak Khamis tetapi apalah sangat yang mereka lakukan, kecuali berdoa agar Saiful cepat sembuh. Hendak mereka hulurkan bantuan wang, berapa sangatlah yang dapat dikutip. Kebanyakannya penoreh getah atau petani biasa dan mereka sendiri hidup `kais pagi makan pagi kais petang makan petang'.

Pak Leman dan Tuk Imam yang mengiringi Pak Khamis balik ke rumah. Pak Khamis menerima segalanya sebagai takdir Tuhan. Buat seketika Saiful yang sedang terlantar di hospital di Kuala Lumpur tidak begitu memedihkan hatinya.

Setelah dua tiga hari di rumah, Pak Khamis kembali semula ke Kuala Lumpur. Saiful masih lagi memerlukan ayahnya. Setiap pagi dia ke hospital dan pulang lewat petang. Biar hujan atau panas, dia akan tetap berada di sisi Saiful selama jururawat di situ membenarkannya. Mereka juga simpati padanya dan pada Saiful. Kadang kala, Pak Khamis menumpang tidur di masjid jika tidak sempat pulang.

Semakin hari, dia semakin kurus tetapi dirinya tidak diendahkannya. Taufiq kadangkala menghantarnya ke hospital, tetapi dia tidak berani menegur orang yang dihormatinya itu. Sedikit sebanyak dia cuba menolong apa yang boleh.

Rawatan yang Saiful terima tidaklah seperti yang disangkanya. Setiap kali rawatan `chemiotherapy' dilakukan, Saiful kadang kala tidur dan tidak sedarkan diri sepanjang hari. Rambutnya juga gugur sedikit demi sedikit. Mukanya sentiasa pucat. Kadang kala Pak Khamis tertanya-tanya sama ada rawatan itu semakin memburukkan keadaan Saiful, tetapi dibatalkan apabila melihat Saiful semakin pulih sedikit demi sedikit selepas rawatan.

Daripada mulanya dia dibawa ke situ dia langsung tidak boleh bercakap, kini Saiful sudah boleh berbual dan makan buah-buahan yang dibawanya. Sedikit sebanyak ada harapannya untuk melihat Saiful sembuh dan pulih semula.

Saiful sering bertanyakan khabar emaknya tetapi Pak Khamis tidak sampai hati untuk memberitahu perkara yang sebenarnya. Dia tidak mahu melukakan hati Saiful, tidak sekarang ini ketika dia masih sakit. Pak Khamis tidak mahu memburukkan keadaan.

Pak Khamis tersedar dari lamunannya dan mengalihkan pandangannya kepada Saiful yang sedang tidur di katil Wad 3 itu. Wajahnya tenang, langsung tidak menunjukkan kepedihan yang ditanggunginya. Kedua-dua belah tangannya bersambung tiub yang disambungkan ke alat yang terdapat di sisi katilnya. Sekali-sekala kepalanya bergerak-gerak seperti orang bermimpi. Kini harapannya kembali punah. Saiful sudah tidak boleh mengambil makanan yang dibawanya. Dia hanya minum air sejuk. Segala keperluan badannya ditampung oleh mesin dan botol yang bergantungan. Saiful semakin kurus dan mukanya cengkung.

Pak Khamis memang telah diberitahu bahawa rawatan itu memanglah sakit, tetapi mereka terpaksa juga lakukan demi menyelamatkan nyawa anaknya. Pak Khamis mula menitiskan air mata melihat derita yang ditanggung oleh anaknya.

"Bila kita akan balik ke kampung ayah," Saiful bertanya perlahan setelah tersedar dari tidur. Matanya sayu memandang ayahnya yang sedang menangis.

"Sabar Saiful," Pak Khamis berkata sambil mengusap kepala anaknya. "Kita akan balik bila Saiful sembuh nanti," sambungnya.

"Saiful mahu balik sekarang," katanya. "Saiful tak tahan dengan ini semua. Tolong bawa Saiful balik," Saiful merayu kepada ayahnya.

Mendengar kata-kata anaknya itu Pak Khamis tidak sampai hati melihat keadaan anaknya itu. Dia terus memeluk Saiful dengan linangan air mata.

Pak Khamis sedar bahawa anaknya kini sudah semakin tenat, tetapi dia tetap tidak putus asa. Setelah kehilangan isterinya, hatinya remuk dan kini Saiful yang sedang terbaring entah apa harapannya. Pak Khamis hanya dapat berdoa dan terus berdoa agar segalanya lebih cerah baginya esok hari.

No comments: