Pages

Sunday, June 21, 2015

Sidang maharaja

Oleh Abdullah Awang

SEMUA bala tentera sudah dikerahkan supaya mengawal di segenap pintu masuk ke istana. Berminggu-minggu dayang dan inang pengasuh membuat persiapan rapi dengan menentukan hamparan baldu dari luar sehingga sampai ke beranda. Kemudian hamoaran merah itu dibuka memenuhi ruang persidangan.

Lampu ajaib yang berada di siling dewan persidangan sememangnya tidak pernah padam. Menerangi ke segenap ruang dewan - bilik istirehat, bilik santapan dan ruang dapur. Di halaman istana terdapat pohon-pohon bunga yang hidup dengan subur.

Bendahara akan menjadi pengerusi persidangan itu. Laksamana dan Temenggung akan mengawal lautan dan daratan. Mereka berdua memperketatkan kawalan bagi menentukan musuh tidak menghampiri daratan, terus menyusuli sungai dan membuat serangan ke dalam istana. Setiap lorong dan denai diletakkan polis yang membuat sekatan serta memeriksa pas kebenaran keluar masuk dari kawasan larangan itu.

Bendahara kelihatan sibuk. Dia keluar masuk istana itu. Pengawalpengawal istana sudah siap berdiri di sepanjang jalan masuk ke dewan persidangan tertutup itu. Wartawan tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan itu. Persidangan itu terlalu rahsia. Mereka akan diberitahu oleh Bendahara. Tape persidangan yang julong-julong kali diadakan itu akan diberikan oleh Bendahara apabila selesai saja perbincangan hangat itu.

Ruang dewan sunyi. Warna baldu merah memancar ke ruang dewan seakan-akan dewan itu dipancari oleh cahaya lampu berwarna merah keseluruhannya. Sedangkan warna lampu yang tergantung di siling istana tidak mempunyai warna cahaya yang tetap. Ia boleh berubah-ubah mengikut kekuatan nilai di dalam dewan. Nilai juga akan berubah-ubah mengikut kegiatan yang dilakukan oleh Bendahara dan tentera yang setia.

Apapun, mereka melakukan atas suruhan Maharaja yang bertakhta dalam istana. Dan persidangan itu diadakan kerana Bendahara ditimpa kemalangan yang dahsyat dua tiga bulan lalu. Sehingga seluruh bala tentera menjadi gusar serta murung. Wartawan ikut ketakutan sehingga tidak bernai hendak menyoal sesiapa bagi mencari berita untuk disiarkan.

Bendahara cuba mengingatkan waktu, tarikh dan hari sebagai mana yang terdapat dalam kad jemputan yang bercetak huruf emas itu. Sah! Hari inilah persidangan itu diadakan. Tidak salah lagi. Bisik Bendahara sendirian.

"Aku sudah tidak tahan dengan kerenah Maharaja Ammarah. Dia terlalu rakus terhadap apapun. Berahinya terhadap sex terlalu hebat, ganas sehingga akulah yang sering ditimpa bala bencana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan istana indah ini dari terbakar." Bendahara Al-Fikir berjalan ke pintu istana. Dia menjengahkan kepalanya keluar istana, meninjau sama ada Maharaja Ammarah sudah datang diiringi dayang jelita, diusung atas keranda yang diperbuat daripada emas dan permata.

Tidak ada apa-apa di situ. Sunyi dan sepi mencengkam seluruh alam. Seorang wartawan sedang enak menyedut asap rokok. Bibirnya kelihatan merah kerana terlalu banyak mengulum hujung rokok.

Tiba-tiba istana dirasakan bergoyang-goyang. Bendahara Al-fikir tergamam seketika. Kemudian, bila dia menyedari bahawa itu adalah tabiat semula jadi istana itu, baru dia berasa tenang.

Istana gagah yang terletak di atas dua batang tiang itu dicipta sebegitu rupa. Biarpun ada manusia yang cuba meniru reka cipta istana itu, tidak juga dapat menandinginya. Kumpullah seluruh ahli sains dan jurutera dari seluruh alam maya ini, mereka tidak dapat mencipta istana yang sedemikian rupa.

Tepat jam satu pagi, Maharaja Mutmainnah tiba dengan wajah yang cukup tenang. Dengan wajah yang berseri-seri, memberi salam kepada setiap tentera yang berkawal dan wartawan yang hampir masam mencuka. Wartawan yang setia bersedia untuk berkhidmat kepada warga istana itu, tiba-tiba bangun memberi hormat.

"Assalamualaikum! Selamat sejahtera Maharaja dunia dan akhirat." Wartawan menunjukkan sikap hormatnya kepada Maharaja Mutmainnah. Mereka bersalaman seketika. Wartawan bagaikan terselamat dari segala apabila berada dalam pelukan Maharaja Mutmainnah yang tidak pernah berbohong bila berjanji itu.

"Saudara, rokok ini siapa yang bagi?" Tanya Maharaja Mutmainnah dengan suara yang lemah-lembut. Wartawan malu tersipu-sipu. Dia terlupa untuk membuang rokok yang terjepit dibibir mulutnya.

"Maaf Tuanku, Err Bendahara yang suruh tetapi Temenggung yang berikan kepada saya." Jawab wartawan dengan suara yang sengaja direndahkan.

"Semuanya sudah hadir?" Tanya Maharaja Mutmainnah kembali.

"Tuankulah yang pertama sampai di sini."

"Oh, ya. Boleh saya masuk?"

"Silakan, Tuanku!"

"Err, Tuanku, mana Maharaja Mulhamah?" Wartawan itu menyusuri Maharaja Mutmainnah ke pintu istana.

"Ah, itu! Dia mengekori belakang saya. Sahabat karib saya tu memang tidak mahu berenggang langsung!" Jawab Maharaja Mutmainnah lagi. Dia melangkah masuk ke halaman istana.

Wartawan yang berdiri di pintu istana itu memerhati ke arah halaman. Serentak suasana halaman berubah. Udara yang bertiup tidak lagi menggila. Menggelupur ketenangan dengan membeningkan kedamaian. Semua pengawal tunduk hormat penuh taat. Seolah-olah menyesali sikap Maharaja Ammarah yang angkuh itu sehingga Maharaja Mutmainnah yang jujur ikhlas dan baik hati itu tersisih ke dalam seratus lipatan gunung.

Maharaja Mulhamah mengiringi kedatangan Mutmainnah yang memakai mahkota cahaya yang lebih besar daripadanya. Terpegun Maharaja Mulhamah melihat mahkota cahaya yang terletak di atas kepalanya itu. Lebih bercahaya, sehingga cahaya itu boleh menyelamatkan seluruh alam. Lebih besar menyeliputi ruang kepalanya sehingga menutupi sedikit dahinya.

Kedua-dua sahabat karib itu berjalan menuju ke dalam istana. Maharaja Mulhamah sentiasa memberi laluan untuk Maharaja Mutmainnah mengepalai perjalanan itu. Sedang Maharaja Mutmainnah pula sentiasa merendah dirinya, walaupun dia diberi penghormatan yang begitu tinggi oleh kesemua penghuni istana - pengawal, bala tentera, dayang dan inang pengaruh.

Perjalanannya tetap dan waspada, tidak nampak sebarang kegusaran dan keraguan yang terbit dari hatinya. Istiqamah. Begitu juga dengan Mulhamah, kadang-kadang dia mendekati Maharaja Mutmainnah, kadang-kadang dia terkebelakang sedikit, apabila dia menyedari jaraknya sudah terlalu jauh, cepatcepat pula dia mendekati Maharaja Mutmainnah.

"Perdebatan kali ini tentu hebat!" Kata wartawan yang bermulut kecil molek kepada pengawal yang mengesan bunyi. Pendengarannya terlalu kuat, lalu dia menjawab sambil memuji ketokohan Maharaja Mutmainnah.

"Tuanku Mutmainnah memang pemimpin yang adil. Dialah yang patut kita ikut, tetapi apa daya kita yang hina ini. Kita dijadikan abdi untuk kesetiaan yang tidak berbelah bagi." Jawab Pengawal Pendengaran.

Wartawan itu menganggukkan kepalanya. Dia terlalu akur dengan pendapat Pengawal Pendengaran tadi. Wartawan meminggirkan diri ke sebelah pintu istana. Ketika dia sedang menjatuhkan punggungnya ke tepi pagar istana itu, dia ditegur oleh Maharaja Lawamah.

"Heee, tak patut, tak patut! Hajat hati aku tadi hendak datang awal, lebih awal dari Mulhamah, tetapi aku tengok pesta lagu rock yang disiarkan secara langsung dulu! Heee! Geram! Geramnya aku! Aku selalu tidak dapat nombor satu!" Maharaja Lawamah mengutuk dirinya. Ucapannya diajukan kepada wartawan itu. Dan seperti biasa, wartawan itu mencatatkan ucapan Maharaja Lawamah.

"Lewat setengah jam!" Jawab wartawan itu. Tersengih.

"Aku ini selalu cuai, apa yang aku buat selalu tidak menepati niat hati kecilku." Tambah Maharaja Lawamah.

"Tuanku masih boleh bertaubat dan cuba sematkan azam baru demi untuk kesempurnaan istana ini." Jawab wartawan yang petah bercakap itu.

"Ya, aku menyesal! Sungguh, aku benar-benar menyesal di atas perbuatan aku!" Maharaja Lawamah mengutuk kesilapan dirinya.

"Silakan masuk, Tuanku!" Wartawan muda itu mempersialkan Maharaja Lawamah masuk.

"Terima kasih. Pengawal, bukakan tombakmu, aku mahu lalu, nanti terkena tengkolokku ini, tentu jatuh." Kata Maharaja Lawamah kebimbangan. Dia melangkah ke halaman istana. Suasana bertukar menjadi kacau sekejap. Mereka melihat kepada kedudukan mahkota Maharaja Lawamah yang semakin pudar. Mereka yang berbaris di sepanjang jalan masuk mahu mengkritik kepudaran mahkota itu. Dan mereka juga tahu bahawa kemalapan cahaya dari mahkota itu adalah akibat sikap Maharaja yang lalu dan berusaha sewaktu dia terasa berminat saja. Tidak mengusahakan secara berterusan sehingga terbit pancaran sinar dari situ.

"Jika kita menegurnya, tentu Tuanku murka. Sedangkan kita semua yang ada di situ dijadikan untuk taat setia kepadanya." Kata ketua kumpulan pengawal itu.

"Benar, tuan. Baik kita diamkan saja. Itu bukan urusan kita. Suatu hari nanti kitalah menjadi saksi kepada mereka." Jawab pengawal bawahan.

Maharaja Lawamah masuk ke dalam istana. Mereka diam setelah susuk tubuh Maharaja itu menghilang dari pandangan mereka. Angin bertiup dalam reaksi yang serba-salah. Menyebabkan pengawal berada dalam keresahan.

"Patutlah Bendahara selalu tidak senang dengan Maharaja kita ini," celah Pengawal Penglihatan. Dia begitu mengamati setiap tindak-tanduk Maharaja Lawamah, sebab itu dia dapat mengetahui segalanya.

Persidangan masih belum dapat diteruskan. Mereka masih menunggu kedatangan Maharaja Ammarah. Maharaja Ammarah tidak pernah menepati janji. Kepada Baginda, jadual adalah suatu perkara yang terlalu rumit. Dia membenci peraturan. Katanya, peraturan menyebabkan kehidupannya menjadi bodoh.

Sepanjang Baginda menaiki takhka, selama tiga tahun yang sudah berlalu itu, keadaan istana menjadi kucar-kacir. Bendahara yang seharusnya memikirkan sesuatu wawasan langsung tidak berguna, sebaliknya Bendahara sendiri menjadi tegang kerana memikirkan pelbagai masalah untuk diatasi.

Maharaja Ammarah terlalu mendesak. Dia memaksa Bendahara supaya mengeluarkan suatu peruntukan besar-besaran kerana mahu mengadakan pesta gilang-gemilang di istana. Pengawal-pengawal istana dibenarkan bercanda dengan perempuan tanpa batas. Mereka diarahkan melakukan perbuatan terkutuk itu.

Di luar istana kelihatan angkasa kelam. Tanpa bertanya kepada rakan berdekatan, pengawal menyisihkan diri. Bendahara menyedari kedatangan Maharaja Ammarah. Sekali lagi istana menjadi goyang. Maharaja Mutmainnah dan Mulhamah memandang kepada Bendahara Al-Fikir yang kelihatan resah. Dari wajahnya, Baginda berdua dapat membaca, Bendahara lebih menyukai mereka. Tetapi apa boleh buat, hasutan-hasutan luar yang mengadu-domba Bendahara dan Maharaja Ammarah membuatkan istana menjadi kelam kabut. Dan Bendahara terpaksa menurut kehendak Maharaja sombong lagi tamak itu.

Wajah Maharaja Mutmainnah tidak pernah khuatir apapun. Mulutnya terus juga berkumat-kamit berzikir kepada Ilahi. Dia sememangnya mabuk cinta dengan Allah. Kedatangan Maharaja Ammarah itu persis tidak dirasakan oleh Maharaja Mutmainnah. Sebaliknya Maharaja Mulhamah menampakkan riak yang tidak selesa. Sesekali dia cuba memperkukuhkan dirinya supaya mengikut jejak Maharaja Mutmainnah, dan cuba menjauhkan pandangannya dari kegelapan yang dikatakan zulmat itu. Dia berjaya dan dia mahu mengekalkan pendiriannya.

"Ha, ha, ha, ha..." Suara ketawa riak bergema dari luar istana. Suara itu menampan dinding istana yang diperbuat dari pelbagai jenis tanah itu. Disebabkan di dalam istana sudah bertakhta Maharaja Mutmainnah, Mulhamah dan Lawamah, tidak ada apa-apa kerosakan yang berlaku.

"Aku datang membawa keriangan dan keseronokan, persilakan pengawal semua menyantapinya."

"Tidak!" Jawab pengawal-pengawal itu.

"Kenapa tidak?" Maharaja Ammarah murka. Wajahnya merah padam. Giginya yang tajam itu menyeringai bagaikan singa jantan yang terlalu lapar.

"Hari ini, Tuanku patut tahu, istana ini sudah dikosongkan. Seluruh istana yang sudah bertahun-tahun dicemari oleh najis arak, judi, zina dan riba sudah dibersihkan. Tuanku patut sedar, bahawa hari ini suatu persidangan akan berlaku di sini untuk memilih Maharaja yang baharu." Tiba-tiba Bendahara menjawab dari beranda istana.

"Siapa yang mengosongkan jawatan Beta? Siapa yang berani menghalang singgahsana ini dinaiki oleh Beta?" Baginda memberontak. Amarahnya semakin menyala.

"Patik yang menulis surat jemputan itu. Jadi, patiklah orang yang bertanggungjawab mengosongkan jawatan Maharaja itu." Jawab Bendahara dengan berani. Dia sudah nekad kini. Dia tidak patut berlemah-lembut dengan Maharaja Ammarah.

"Kenapa? Kenapa Bendahara AlFikir berbuat demikian?" Maharaja menjerit ganas. Dia cuba berdegil dengan keangkuhannya.

"Patik sudah jemu, Tuanku. Patik sudah penat dan letih Tuanku. Hampir- hampir patik menjadi tidak siuman kesan perbuatan Tuanku itu," beritahu Bendahara.

Maharaja Ammarah diam seketika. Dari belakangnya dia terdengar suatu bisikan halus. Kata bisikan itu: Jangan berkeras dengan Bendahara, hari ini Bendaharalah yang berkuasa. Mereka mahu memujuk dan menyogok Bendahara dengan kesenangan dan ketenangan.

"Baiklah, benarkan Beta masuk untuk seketika." Jawab Maharaja Ammarah.

"Persilakan, sepatutnya persidangan sudah dua jam berlangsung. Tetapi kerana kecuaian dan kelalaian Tuanku menyebabkan ajenda terpaksa ditunda." Bendahara menunjukkan kemarahannya. Maharaja Ammarah menikus. Kecut juga hatinya mendengar suara Bendahara yang begitu tegas kali ini.

Wartawan adalah orang yang paling berani, adakalanya dia tersenyum melihat sikap Bendahara itu. Dia tidak perlu takut. Dia cuma menerima arahan untuk menulis berita bagi menghubungi istana-istana yang lain. Dia mahir menulis dalam bahasa Melayu. Dia juga boleh menulis berita dalam bahasa Inggeris.

Wajah kusam Maharaja membuatkan suasana di halaman istana yang baru dibersihkan kurang tenang. Maharaja Mutmainnah mengangkat tangan memohon pertolongan dari Ilahi. Rayuannya halus memanjat ke Qursi Arasy yang Maha

"Biarkan hamba-Ku berbuat begitu. Aku menyenangi tingkah lakunya yang lemah-lembut itu. Dialah kekasih-Ku. Sesiapa yang mengkhianati kekasih-Ku, Akulah yang menghalanginya."

Maharaja Mutmainnah terlintas kepada janji itu. Dia tidak gentar kepada apa jua yang datang menduga imannya. Maharaja Mulhamah, Maharaja Lawamah dan Maharaja Ammarah juga sedar tentang itu.

"Silakan masuk Tuanku, kenapa termenung di beranda lagi?" Bendahara Al- Fikir mempelawa masuk.

"Aku mahu melengah-lengah waktu, kerana sebentar lagi waktu Subuh akan sampai, ketika itu, dalam kesejukan embun pagi, baru aku mahu masuk ke dewan sidang," jawab Maharaja Ammarah.

"Kalau begitu, baiklah. Patik akan meneruskan sidang tanpa kehadiran Tuanku!" Bendahara memusingkan tubuhnya dan melangkah masuk ke dalam istana.

"Tunggu dulu, aku ikut!" Maharaja Ammarah berlari dan tergesagesa masuk ke dalam istana. Belum sempat dia mendekat pintu dewan persidangan, tiba- tiba batang tubuh Maharaja melayang di udara. Pantulan dari cahaya Mahkota Maharaja Mutmainnah membuatkan pandangannya berbinar-binar. Tenaga yang bertahun-tahun terkumpul dalam dirinya bagaikan lahar gunung berapi dimuntahkan keluar dari puncaknya.

"Kenapa, Tuamku?" Tanya Bendahara.

"Aku tidak berdaya."

"Bukankah semasa Tuanku bersemayam di sini dulu, Tuanku mengisytiharkan diri Tuanku sebagai Maharaja yang paling kuat di dunia?" Bendahara mahu melepaskan geramnya.

"Ah, kau sendiri pun tahu, antara aku dengan Mutmainnah terlalu jauh perbezaannya. Kenapa kau mahu mempermain-mainkan aku? Kau mahu membunuh aku? Kau mahu menghancurkan aku?" Maharaja Ammarah berhempas pulas melepaskan diri dari pancaran sinar yang keluar melalui muka pintu dewan itu.

"Kalaulah Tuanku sudah tidak berdaya, patik mohon, Tuanku pergilah jauh- jauh dari istana ini. Sewaktu kami berada di bawah pemerintahan Tuanku dulu, kami yang berada di istana ini cukup hebat menanggung penderitaaan," kata Bendahara Al-Fikir.

Mendengar perdebatan di muka pintu, Maharaja Mutmainnah bangkit dari kerusinya untuk meninjau apakah yang berlaku. Setibanya di situ, Bendahara AlFikir berlarilari kepadanya. Dia menudingkan tangan ke arah Maharaja Ammarah yang semakin terburai menghancurkan diri. Di luar istana mereka terlihat segerombolan pengkhianat sedang menangis sambil melarikan diri.

"Auzubillahimina-Syaitanirrajim!" Wartawan dan Pengawal Penglihatan memohon perlindungan. Mereka merenung ke dalam istana yang kelihatan berseri-seri.

Pukul lima setengah pagi, jam dinding berdenting satu kali. Tuan Sukeri bangun dari kerusi di anjung rumah terus ke bilik mandi. Dia mengambil wuduk dan sembahyang Tahjud. Semenjak pukul dua belas tadi kelopak matanya tidak mahu terlelap sedikitpun. Untuk menghabiskan sisa pagi itu, dia duduk di sejadah sehingga azan Subuh mendayu dari masjid besar di tengah bandar.

No comments: