Pages

Wednesday, June 03, 2015

Panggilan jihad

Oleh R Hamzah Dua

"HEY! Cepat jalanlah!" Serentak dengan herdikan yang kuat itu, belakangnya ditolak dengan kasar. Hampir-hampir dia jatuh tersungkur ke tanah. "Oi, jalannn!" Kali ini kakinya pula dihentak dengan buntut Rifle M-16. Kuat hentakan itu hingga menyebabkan dia tidak dapat mengimbangi tubuhnya. Dia jatuh terduduk.

Celaka! Bangsat! Sumpahnya dalam hati. Ketika itu juga dia dengar serangan anggota-anggotanya yang lain, yang sedang digiring di belakangnya. Mereka juga dipaksa berjalan. Mereka juga dibelasah. Celaka! Bangsat sungguh manusia pengganas ini! Sumpahnya lagi. Mahu rasanya dia melawan. Tetapi dalam keadaan tangan diikat dan mata pula ditutup dengan kain hitam, apa yang boleh dilakukannya? Melainkan dia terpaksa patuh pada arahan tentera pengganas Serbia yang agak ramai itu.

Ke manakah aku dan anggota-anggotaku akan dibawa? Apakah aku dan anggota-anggotaku akan dibunuh? Akan matikan kami di bumi saudara seagama ini? Zamani menyoal dirinya sendiri. Ya Allah, ya Tuhanku, kupohon pertolonganMu dalam menghadapi musuh Islam ini, doanya penuh pasrah pada ketentuan Allah.

Tiba-tiba pada saat-saat yang genting itu, Zamani teringat kembali bagaimana dia dan anggota di bawah jagaannya ditawan dua hari yang lalu. Waktu itu mereka sedang melakukan tugas meronda di kawasan yang dianggap hitam itu. Sementara anggota-anggota yang lain berada di kem. Agak jauh juga letak kem itu dari kawasan mereka meronda itu.

"Kita berenam saja yang membuat rondaan, tuan?" Tanya Alehan.

"Ya, koperal. Saya fikir, buat masa ini keadaan di kawasan itu tak membimbangkan sangat. Dah tiga hari kita berada di sini, tak ada tanda- tanda musuh berada di sini," jawab Zamani, pegawai tentera yang berpangkat Leftenan Muda itu.

"Kalau betul musuh tak ada, baguslah tuan," kata Alehan.

"Mari, kita bergerak sekarang juga. Yang lain, tinggal di kem saja. Tapi mesti berwaspada," perintah Zamani kemudian. Anggota-anggota di bawah jagaannya patuh pada arahannya. Dan mereka pun mula menjalankan tugas meronda. Mereka bangga menjalankan tugas sebagai salah sebuah pasukan yang menyertai tentera Islam di negara yang telah hampir musnah akibat peperangan penghapusan etnik itu.

"Emm, tuan...nampaknya dulu kawasan ini sebuah perkampungan yang agak ramai penduduknya," kata Alehan apabila mereka sampai ke sebuah kawasan yang musnah sama sekali. Rumah-rumahnya hanya tinggal rangka.

"Inilah akibat kekejaman manusia terhadap manusia. Inilah akibat peperangan yang didorong oleh gila kuasa dan keganasan," sambut Zaman. "Bagi kita, bersyukurlah kepada Tuhan. Hendaknya, janganlah keamanan dan kestabilan politik negara kita jadi macam ini."

"Betul, tuan. Kalaulah ditakdirkan negara kita mengalami keadaan yang sama seperti di Bosnia ini, tentulah kita tak akan datang ke mari."

"Tapi di sini lain, koperal. Berbeza dengan keadaan di negara kita. Walaupun mungkin kita tak boleh menafikan, berlakunya krisis politik di negara kita, tapi semua rakyat di negara kita masih mampu mempertahankan nilai-nilai hidup yang murni. Punya semangat utuh sebagai satu bangsa; bangsa Malaysia. Keadaan itulah yang harus kekal. Kerana faktor itulah akan menjamin kestabilan kepemimpinan dan keamanan negara," kali ini agak panjang lebar hujah Zamani. Agak bersemangat nada suaranya.

Alehan senyum bangga mendengar hujah anak kepada seorang tokoh politik negaranya itu. Zamani juga mempunyai ciri-ciri sebagai ahli politik, bisik Alehan. Tetapi kenapa dia memilih kerjaya tentera. Kenapa tidak bidang politik? Tanyanya kepada dirinya sendiri.

Ah, mungkin ini bidang yang diminatinya. Mungkin dia tidak mahu mengikut jejak ayahnya, fikir Alehan lagi. Anak muda yang juga meminati bidang politik. Tetapi aku lain, aku tak ada ciri-ciri yang sama seperti pegawai aku ini, bisiknya. Walaupun aku berminat dengan politik, tetapi mustahil bagi aku untuk menjadi ahli politik. Aku hanya anak seorang petani di desa yang jauh terpencil di pedalaman.

"Eh, koperal, apa yang awak fikirkan? Teringat kekasih yang ditinggalkan ke?" Tiba-tiba pertanyaan Zamani itu memancung lamunan Alehan sebentar tadi.

"Err, tak adalah, tuan," kata Alehan terpinga-pinga.

"Jangan fikirkan soal itu. Fikirkan soal tugas kita yang mencabar ini," kata Zamani kemudian. "Awak baru tinggalkan kekasih. Tapi saya terpaksa tinggalkan anak dan isteri," tambah Zamani lagi.

Mendengar kata-kata Zamani, Alehan tersenyum memandang kepada pegawainya itu.

"Awak tahu, anak saya baru berusia tiga bulan," terang Zamani selanjutnya. "Saya berkahwin baru masuk dua tahun," sambungnya kemudian.

Pegawai aku ini seorang yang tabah. Sanggup meninggalkan keluarga, demi tanggungjawab terhadap umat seagama. Aku pun harus seperti dia, bisik Alehan jauh di dasar hati nuraninya. Kalau dia sanggup berpisah dengan anak dan isteri, kenapa pula aku tak boleh berpisah dengan kekasihku? Sedangkan kekasihku juga telah memberi dorongan yang kuat kepadaku, ketika mula meninggalkan kampung dulu. Demikian juga ayah dan ibuku; mereka juga merelakan aku bertugas di bumi Bosnia ini, demi agama. Jauh amat pengembaraan fikiran Alehan kali ini. Dan pada saat itu juga terpamer wajah Nurul Hidayah di tubir matanya.

Nurul Hidayah, apabila aku pulang nanti, aku pasti akan mengotakan kata dan janjiku. Kau akan kulamar. Akan kujadikan suri dalam rumahtanggaku, bisik Alehan sambil tersenyum sendiri.

Kemudian menjelma pula wajah ayah dan ibunya. Oh, ayah, ibu...aku akan tabah menjalankan kewajipanku di sini. Demi kesucian agama kita. Bisiknya pula. Kalau keadaan memaksa, aku akan hapuskan sesiapa saja yang menjadi musuh Islam!

"Hai, mengelamun lagi ke?" Ujar Zamani apabila melihat Alehan sedang termenung panjang.

"Err, maafkan saya, tuan," kata Alehan.

"Dahlah. Jangan terlalu diingat buah hati awak tu. Ingat tugas kita. Waspada, manalah tahu ada musuh di sekeliling kita," kali ini tegas sedikit kata-kata Zamani.

"Ya, tuan!" Sambut Alehan, patuh pada kata-kata pegawainya itu.

Mereka pun meneruskan tugas meronda di sekitar kawasan itu. Dan setelah agak lama mereka meronda, sudah begitu jauh dari kawasan kem, Zamani pun memerintahkan anggota-anggotanya berehat di suatu tempat. Di bawah sebuah bukit yang agak selamat bagi mereka.

"Kita berehat sebentar di sini. Lepas rehat nanti, kita balik ke kem," kata Zamani kemudian.

"Jangan bergerak! Letakkan senjata kamu semua!"

Tiba-tiba Zamani dan anggota-anggotanya terkejut. Lebih kurang 20 orang anggota Serbia mengepung mereka. Siap sedia dengan senjata api di tangan masing-masing. Ini membuatkan Zamani dan anggota-anggotanya tidak sempat berbuat apa-apa lagi ketika itu.

"Bagaimana ni, tuan? Nampaknya kita telah dikepung," di wajah Alehan terpamer perasaan cemas. Namun keadaan itu tidak mudah melunturkan semangatnya. Tidak mudah memecahkan empangan keberaniannya sebagai seorang pejuang. Dia cuba melakukan sesuatu. Tetapi Zamani pantas menghalang tindakan Alehan itu.

"Jangan, koperal. Awak jangan lawan mereka. Sia-sia saja kita nanti. Mereka ramai," kata Zamani, cuba mengawal keadaan.

"Jadi, kita terpaksa menyerah?"

"Nampaknya, tak ada jalan lain lagi."

"Cis! Pengganas keparat! Bangsat!" Bentak Alehan. Bunga-bunga amarah berkembang di tangkai hatinya. Namun segalanya tertewas oleh keadaan.

Beberapa orang tentera pengganas Serbia itu lantas menghampiri Zamani dan anggota-anggotanya. Dalam keadaan terpaksa, Zamani dan anggota- anggotanya menyerah kepada pengganas itu.

"Ohh, kamu tentera-tentera dari Malaysia ya? Datang ke mari hendak tolong orang Bosnia?" Tanya ketua tentera pengganas itu dalam bahasa Inggeris. "Ah, kamu fikir kamu boleh tolong mereka? Kamu fikir, kamu boleh lawan kami?" Sambungnya lagi sambil ketawa dengan kuat. Kemudian dia mengarahkan orang-orangnya menangkap Zamani dan anggota-anggotanya.

"Hey! Cepat jalanlah!" Herdikan yang kuat itu mendadak saja memancung ingatan Zamani ke peristiwa mula penangkapan mereka.

Zamani dan anggota-anggotanya terus dibawa ke suatu tempat. Di sebuah markas tentera pengganas Serbia. Mereka dibawa berjumpa dengan pegawai pemerintah markas itu.

"Tuan, mereka ini tentera dari Malaysia," beritahu ketua tentera pengganas yang menawan mereka itu.

"Ohh, dari Malaysia? Ah, buka tutup mata ketua mereka itu!" Perintah pegawai itu.

Ikatan di muka Zamani dibuka dengan kasar.

"Kamu semua dari Malaysia ya?" Herdik pegawai tentera pengganas Serbia yang bertubuh besar sasa itu. Berusia dalam lingkungan 40an.

Zamani tidak menjawab pertanyaan itu. Dia hanya menatap wajah lelaki itu dengan mata yang tidak berkelip.

"Kamu berani datang ke mari? Berani mahu menggadai nyawa, kerana mahu tolong orang Bosnia? Ah, bodoh! Kamu semua sangat bodoh! Kamu fikir, kamu boleh lawan kami?" Ujar pegawai itu, lalu ketawa. "Mana lagi orang-orang kamu yang lain hah?" Herdiknya dengan kuat.

Zamani membisu seribu bahasa.

"Hey! Awak tak tahu bahasa ke? Awak tak faham bahasa Inggeris?" Pegawai tentera pengganas Serbia itu kelihatan agak marah. Ditatapnya wajah Zamani dalam-dalam. "Awak seorang pegawai, tapi kenapa begitu bodoh! Bahasa Inggeris pun tak tahu?"

"Hey! Awak yang bodoh! Paloi!" Balas Zamani pula. Berani. Kuat suaranya. Agak tersentak juga pegawai tentera pengganas itu. "Kamu semua bukan manusia! Binatang! Sanggup menurut perintah pemimpin kamu untuk membunuh manusia lain!" Tambah Zamani lagi. "Pemimpin kamu tamak! Tamak kuasa!"

"Diammm!" Serentak dengan itu pegawai tentera pengganas itu melepaskan tumbukan padu ke perut Zamani. Hampir-hampir Zamani terduduk. "Awak berani menghina kami? Menghina pemimpin kami? Nanti nyawa awak semua akan melayang!"

"Kamu manusia kejam! Kejam! Lebih kejam dari binatang buas!" Balas Zamani.

"Celaka! Nahhh!" Kali ini melayang pula tumbukan yang cukup kuat ke muka Zamani.

"Anjing! Kalau aku tak diikat, kau tahulah siapa aku!" Bentak Zamani.

Pegawai itu ketawa. Kemudian mencapai pistolnya, lalu mengacukan ke muka Zamani.

"Nampaknya, awak memang seorang pegawai tentera yang berani. Patutlah kerajaan awak menghantar awak ke mari. Tapi ..." pegawai itu ketawa dengan kuat. "Tapi, aku tak akan biarkan awak dan orang-orang awak hidup lebih lama lagi. Ya, sebentar lagi awak semua akan mampus! Ha! Ha! Ha!" Ketawanya diikuti pula dengan ketawa dari orang-orangnya.

Bangsat! Manusia-manusia bangsat! Sumpah Zamani dalam hatinya.

"Tapi, sebelum awak semua dibunuh, awak mesti beritahu kami, di mana lagi orang-orang awak yang lain berada sekarang hah? Dan siapa sebenarnya ketua pasukan awak?" Pegawai tentera pengganas itu memandang tepat ke wajah Zamani. "Cakapp!" Herdiknya kemudian.

"Kau bunuhlah aku, aku tak akan beritahu kepada manusia yang berkepalakan anjing! Berhati syaitan!"

"Ooo, tak mahu beritahu ya. Baik, saya beri amaran ... satu, dua, ti..."

"Tuannn!" Tiba-tiba Alehan yang berada di belakang Zamani, walaupun dalam keadaan tangan terikat dan mata masih tertutup, meluru pantas ke hadapan. Serentak dengan itu juga pistol dari pegawai tentera pengganas itu memuntahkan peluru butanya.

"Alehannn!" Zamani menjerit dengan kuat apabila dilihatnya Alehan telah terkena tembakan itu. "Aku akan hapuskan kamu semua, binatanggg!" Sekali lagi Zamani menjerit. Kali ini lebih kuat lagi jeritannya itu.

"Eh, bang! bang! Kenapa ni? Bangun bang. Bangun!"

Tubuh Zamani digoncang-goncang dengan kuat.

"Err, di mana aku?" Zamani tersedar. Dia menggosok-gosok matanya. Kemudian dia duduk.

"Eh, apa ni? Abang mimpi ya?"

"Mimpi?" Zamani menatap wajah Sarah, isterinya. "Astaghfirullahulazim..."

"Mimpi apa pula, bang, sampai abang menjerit-jerit tadi?"

Zamani tidak terus menjawab pertanyaan isterinya. Dia memandang kepada anak kecilnya kemudian duduk termenung. Agak lama dia berkeadaan demikian.

"Sampai nama Alehan yang abang sebut tadi?" Tanya Sarah lagi.

"Aghhh! Dahsyat sungguh mimpi abang, Sarah," kata Zamani kemudian. Lalu menceritakan kepada isterinya akan peristiwa yang dialaminya dalam mimpinya itu.

"Sudahlah, bang. Abang cuma bermimpi, tak perlu abang fikirkan sangat," kata Sarah, cuba menenangkan keadaan. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia sendiri berasa lain macam apabila mendengar cerita mengenai mimpi suaminya itu. Dia tahu, Zamani adalah salah seorang pegawai tentera yang telah disenaraikan namanya dalam pasukan yang akan dihantar bertugas di Bosnia- Herzegovina tidak lama lagi.

"Ah, yalah ... mungkin itu cuma mimpi," kata Zamani beberapa lama kemudian apabila dilihatnya Sarah juga macam orang sedang memikirkan sesuatu. "Emm, marilah kita tidur semula," katanya lagi.

Dan mereka pun menyambung kembali tidur yang terganggu sebentar tadi.

Pagi esoknya, di meja sarapan, Zamani masih lagi terbayangkan peristiwa dalam mimpinya semalam. Lama dia duduk dalam keadaan termenung.

"Bang, sudah ke abang fikirkan masak-masak?" Pertanyaan itu memancung lamunan Zamani. Lantas dia memandang kepada isterinya yang baru muncul dari dapur, menatang sepiring kuih. "Abang tetap akan pergi?" Tanya Sarah suaminya, merenung penuh makna wajah tampan Zamani. Renungan Sarah dibalas. Lama mereka saling bertatapan. Seperti mula-mula mereka memadu kasih di pinggir kota dulu.

"Ya," pendek kalimat yang terluah dari mulut Zamani.

"Jadi ... ?" Terputus kalimat Sarah, lalu menundukkan wajah. Wajah cerah lembut itu tiba-tiba saja dibaluti mendung kesedihan mendengar jawapan Zamani. Walaupun pendek jawapan yang didengar, namun punya makna yang cukup merubah ceria wajah Sarah ketika itu. Jantung Sarah berdetak. Dadanya jadi sebak. Ada ketulan-ketulan hiba mengembang dalam perjalanan nafasnya. Peristiwa mimpi yang diberitahu oleh Zamani semalam, tambah menyebakkan dadanya.

Lebih daripada itu, sesungguhnya Sarah tidak sanggup berpisah dengan suami yang dicintainya itu. Baru lebih setahun hidup bersama dalam sebuah mahligai rumahtangga, yang terbina atas dasar cinta murni, kini tiba-tiba mereka terpaksa berpisah. Berpisah justeru didesak oleh tugas yang terpikul di puncak anak muda bernama Zamani itu.

Bagi Zamani, desakan tugas itu menjadi tanggungjawab terhadap insan seagama dengannya. Ya, kerana tanggungjawab terhadap insan seagama dengannya. Ya, kerana tanggungjawab yang besar itu, aku mesti memenuhinya. Aku mesti bersedia, demi maruah Islam seluruhnya, fikirnya lagi. Aku tidak wajar menolak panggilan jihad, walaupun aku terpaksa berpisah dengan isteri dan anakku.

"Sarah, tenanglah sayang. Relakanlah abang pergi. Tak usah difikirkan segala kemungkinan yang akan abang hadapi di sana nanti. Sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah, agar abang selamat. Pasukan tentera kita selamat menjalankan kewajipan di sana," kata Zamani kemudian.

Mendengar kata-kata Zamani demikian, kelopak mata Sarah kelihatan berkaca-kaca. Dia mengesat butiran air hangat itu dengan hujung baju kurung yang dipakainya. Kemudian menatap wajah Zamani dalam-dalam.

"Bang, pergilah. Penuhilah panggilan jihad itu. Sarah relakan pemergian abang," Sarah meluahkan ucap kata dengan penuh pasrah kepada ketentuan Allah.

Zamani menerima kata-kata itu dengan penuh bangga. Beruntung amat rasanya dia mempunyai isteri seperti Sarah, bisiknya. Kerelaan Sarah melepaskan pemergiannya menjadi dorongan yang lebih kuat lagi untuknya melaksanakan tanggungjawab yang besar dan amat bermakna itu!

No comments: