Pages

Monday, June 22, 2015

Nur Atiqa, isteri Ana

Oleh Shukri Abdullah

KALAU Ana menyusur lagi jalan merentasi liku-liku di sepanjang pinggir kota ini, pastinya Ana akan terbayang kembali masa lalunya. Kehidupan terasa bergerak pantas seperti giringan angin yang meruntun di lembah dan lurah gunung-ganang. Dan terkadang, Ana tersentak sendiri dan hampir tidak percaya bahawa semuanya telahpun berlalu.

Ana masih melintas di liku-liku jalan ini, terutamanya pada petang hari Sabtu. Kerana waktu pejabat Ana hanya separuh hari, maka di sebelah petangnya, Ana menjemput Nurul Atiqa, anak Ana pulang dari sekolahnya. Ana jarang sekali dapat bermesra dengannya kerana Ana selalu sibuk dengan pekerjaan Ana di pejabat. Sebelum pulang, Ana mundar-mandir di sekitar taman kota. Di sanalah segala kerinduan yang amat mengharukan datang menyergap hatinya.

"Kenapa ayah suka bawa Nurul ke sini?" Tanya anak Ana.

"Sebab di sini, pemandangannya cantik. Udaranya segar dan ayah suka melihat bagaimana daun-daun gugur dirembas angin," jawab Ana separuh berdalih.

"Tentu seronok, kalau ibu ada?" Tanya anak Ana lagi.

Jauh di telaga sukma Ana, mengalir sejenis kesebakan yang amat dalam, anak terasa seperti ada renjatan yang menyiat-nyiat jantung Ana. Namun Ana sedar juga, betapa anak Ana yang baru saja menjelang usia tujuh tahun itu tidak akan berdaya untuk mengerti apa-apa.

"Ayah pernah bawa ibu ke sini?" Anak Ana terus bertanya dan sekali ini nada suaranya lebih bersungguh-sungguh.

"Kadang-kadang...kalau ayah ada kelapangan."

Sepanjang perjalanan pulang, Ana termenung sendiri di dalam kereta. Anak Ana ternyata terlalu agresif tatkala bertanyakan ibunya. Naluri kanak- kanaknya luhur, dan Ana tahu itulah tandanya betapa dia amat merindui ibunya. Ana melihat bekas-bekas kenangan muncul lagi dari balik gumpalan mendung masa lalu. Ana cuba memadamkan semua pintasan pengalaman, tetapi akhirnya Ana sedar sendiri bahawa manusia adalah sebahagian dari genggaman kenangan yang tidak mungkin bebas dari usikan keterharuan.

Ana graduan Sains Politik dari sebuah universiti di Australia. Selesai belajar, Ana kembali ke tanah air dan bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan. Kemewahan hidup dan segala kenikmatannya menjadikan Ana seorang yang kuat berfoya-foya. Masa lapang Ana dihabiskan di pub dan disko. Ana selalu mabuk di malam hari dan menghilang ke sana ke mari dengan teman wanita di setiap hujung minggu. Keghairahan dan gelora jiwa yang muda menyebabkan Ana sentiasa bertukar-tukar teman wanita.

"Jangan bimbang beb, inilah masanya kita enjoy. Dulu di universiti kita dah penat belajar!" Itulah pendapat yang sentiasa Ana tegaskan pada teman- temannya.

"Dulu aku tengok, kau bukan main intim dengan Azie, sekarang dah berkepit pula dengan Rusmi," tegur seorang teman Ana.

"Argh...itu perkara kecil! Kalau kau nak tahu, malam minggu nanti aku kilik yang lain pula. Nama dia Nanie," jawab Ana bangga.

Kehidupan kota yang kacau dan kalut itu, menjadikan Ana semakin liar dan tidak terurus. Hampir setiap malam Ana tersungkur di meja anggur, mabuk dan kemudian menghilang dengan teman wanitanya yang sentiasa bertukar ganti. Ana terus bergelumang dalam noda dan dosa tanpa memperdulikan keadaan dirinya.

Disiplin hidup Ana merosot dan segala didikan agama yang diterima dari ibu semasa di kampung dulu, lenyap dan luntur begitu saja. Ana terus hanyut, hinggalah pada suatu hari Ana menerima surat daripada ibu di kampung. Dalam suratnya yang amat tegas itu, ibu meminta Ana pulang dengan segera.

Permintaan ibu, Ana rasakan agak aneh juga kerana sebelum ini ibu tidak pernah mendesak dengan cara yang mendadak begitu. Dalam kekeliruan yang bercampur-aduk dengan segala macam persoalan, Ana sampai di rumah. Ibu menyambut kepulangan Ana dengan senyuman yang penuh dengan harapan, dan dalam renungan matanya tersimpul ikatan kasih sayang yang maha dalam.

"Wajah kau nampak kusut. Apa yang kau buat di kota? Sejak bekerja kau tak pernah balik melawat mak," desak ibu Ana.

Ana menjawab dengan pasrah: "Saya sibuk, mak."

"Kau tak pernah berbohong dengan mak, Razman. Sekilas gerakmu mak tahu ada yang tak kena dengan hidupmu."

"Makkk...Razman sibuk."

"Kau sibuk dengan berfoya-foya. Kau sibuk dengan arak, judi dan kau juga sibuk dengan perempuan!" Ibu Ana menengking.

Seluruh degup jantung dan aliran nafas Ana terasa seakan-akan terhenti, seolah-olah jiwanya terputus dari kehidupan. Ibu Ana tidak pernah sekeras itu, tidak pernah menyergah apatah lagi memalukan Ana di tahap yang sedemikian rendah. Ada yang berbaur dalam fikiran Ana - marah dan kesal. Ana marah pada sikap ibu dan di waktu yang sama Ana menyesal dengan segala yang telah dilakukannya.

"Dengar cakap mak, Razman. Ini permintaan mak yang terakhir. Kau...kau akan mak jodohkan dengan anak Derani."

"Maksud mak?" Tanya Ana tersentak.

"Kau akan berkahwin dengan Nur Atiqa. Jangan membantah lagi."

Seperti meluncurnya badai di musim tengkujuh, Ana terasa seluruh tubuhnya melambung dan kemudian jatuh terhempas ke dasar laut. Ana benar- benar kaget, apatah lagi apabila membayangkan betapa selama ini dia tidak pernah berfikir mengenai perkahwinan. Dan Nur Atiqa muncul dengan mendadak bagaikan rengkekan petir di malam yang gelap.

Bulan-bulan yang berikutnya setelah kami dinikahkan dalam satu majlis perkahwinan yang agak besar juga, kami berduapun berpindah dan tinggal di kota. Ana menerima semua ini dengan hati yang terbuka walaupun masih juga tersinggung dengan sikap ibu. Nyatanya Ana tidak bisa melawan kerana ibulah satu-satunya tempat dia mengadu. Ana tidak punya ayah sejak berusia dua tahun dan dia adalah anak tunggal.

Nur Atiqa muncul bagai menyalakan sebatang lilin dalam sebuah kamar yang gelap dan pengap. Harus Ana akui bahawa isterinya adalah seorang wanita yang mulia, peribadinya luhur dan dia sangat taat kepada agama.

Nur Atiqa menerima kehadiran Ana secara seadanya. Ana tahu dia wanita yang pintar, tajam merasa dan bijak bertindak. Ana sedar, Nur Atiqah tahu gelagatnya di luar rumah, tetapi kerana dia tidak mahu kami bertengkar, maka dengan air mukanya yang tenang dan matanya yang tulus itu dia melayan Ana dengan sesabar dan sewajar mungkin.

Sememangnya Ana adalah lelaki yang konyol. Masakan tidak, segala kesakralan hidup muncul melalui perkahwinan Ana, tetapi Ana tidak berdaya untuk menghargainya. Seorang wanita yang cantik muncul dengan segala sifat yang mulia bagi seorang isteri hanya dapat Ana terima secara berpura-pura. Tiga bulan selepas diijabkabulkan, Ana kembali pada watak diri yang lama - liar dan berfoya-foya.

Ana kembali menyusur lingkungan hidup di zaman bujang, menghirup kencing setan dan gemar berhempas pulas di ranjang dengan wanita. Ana kembali karam dalam maksiat dan kejijikan. Tetapi sesungguhnya, dengan pengalaman yang ada Ana akur betapa Allah sebenarnya telah menganugerahkan Ana seorang isteri dari golongan wanita yang mulia. Nur Atiqa tidak pernah memberontak dan mengkhianati Ana. Dia tetap tenang dan pasrah - reda dan rela.

"Abang selalu pulang lewat, barangkali abang sibuk di pejabat?" Tegur isteri Ana ketika sama-sama bersarapan pagi di suatu hari minggu.

"Ya...abang banyak urusan dan tanggungjawab sekarang," jawab Ana selamba.

"Abang...kalau Atiqa tanya, abang tak marah?" Soal isterinya dengan matanya yang membayangkan kebimbangan.

Ana pantas menyoalnya kembali: "Tanyalah...selama inipun abang selalu mengharapkan Atiqa bertanyakan sesuatu."

Nur Atiqa menatap wajah Ana dengan sepasang matanya yang sayu dan kemudian berkata: "Siapa Yuliani?"

Cepu kepala Ana terasa seperti dipalu bertubi-tubi. Jantung Ana berdegup kencang. Tiba-tiba Ana berasa terhukum dan amat berdosa. Selama ini dalam sangkaan Ana segala pengkhianatan dan kecurangan Ana menjadi rahsia dan Nur Atiqa tidak berdaya untuk menghidu apa-apa. Sesungguhnya Ana sentiasa berusaha untuk tidak melukakan hatinya kerana Ana tahu dia seorang isteri yang mulia. Selama ini Ana sedaya-upaya bertindak licik agar segala tindak-tanduknya dengan arak, judi dan teman wanita yang silih berganti itu tidak diketahui oleh Nur Atiqa.

"Abang...aaa...abang....aaa...Abang...kalau abang ingin punya isteri lagi, Atiqa izinkan asalkan... asalkan abang tak...abang tak...."

"Atiqa...jangan fikir yang bukan-bukan, jangan tuduh abang sembarangan," kata Ana tegas.

"Atiqa jumpa foto abang berdua-duaan dengannya di Danau Toba. Atiqa juga jumpa surat yang dia tulis untuk abang. Atiqa...Atiqa rela bermadu asalkan anak dalam kandungannya dapat dilahirkan dengan mempunyai seorang bapa."

Pang! Untuk pertama kali dalam usia perkahwinan mereka, tangan Ana melayang lalu singgah di pipinya. Isteri Ana tidak menjerit mahupun menentang. Dengan pasrah dia menundukkan mukanya lalu menangis tersedu- sedu. Bekas jari-jari Ana yang keras berjalur di pipinya dan sedikit darah mengalir di bibir kirinya.

"Dengar sini! Anak dalam kandungan Yuliani itu bukan anak abang. Dia sebenarnya perempuan simpanan seorang jutawan. Dia hanya kenalan abang. Kerana tersepit dan jutawan sial itu tak mahu mengahwininya, dia merayu pada abang untuk menerimanya sebagai isteri kedua. Jadi kau tak perlu cemburu membuta-tuli!" Tengking Ana lalu meninggalkannya sendirian.

Setelah hampir sebulan Ana tidak pulang ke rumah dan hidup berasingan dengan Nur Atiqa, Ana mula merasa kesepian dan bersalah. Ana sebenarnya malu untuk menatap wajah Nur Atiqa kerana setiap kali Ana berdiri di depannya, jauh di dalam diri, Ana merasa dirinya tidak lebih dari gumpalan debu yang kotor dan jelaga.

Satu pagi, ibu Ana muncul di pejabat dengan wajah yang keras dan penuh ancaman. Ana sedar apa yang menyebabkan wanita yang selama ini menyayanginya muncul dengan perawakan yang sedemikian rupa.

"Mak tak sangka begini buruk perangai anak mak. Mak tak sangka anak kesayangan mak, rupa-rupanya seorang suami yang kasar dan liar. Apa dah jadi dengan kau, Razman?"

"Duduk dulu mak...aaa...aaa...mak datang dengan siapa?"

"Jangan nak berdolak-dalik, Razman. Lebih baik kau pergi ke hospital. Isteri kau di wad. Mak tak mahu cucu mak yang masih dalam kandungannya tu terbiar tanpa kasih sayang dari kau."

"Maksud mak..."

"Jangan berlagak bodoh. Atiqa mengandung lima bulan. Ini amaran mak yang akhir. Sekali lagi kau buat perangai macam ni, mak tak akan mengaku kau anak mak lagi."

Ana bergegas ke hospital dan kemudian membawa Nur Atiqa pulang ke rumah. Wajah isteri Ana nampak sedikit tembam dan tubuhnya berisi. Tetapi dalam tunak matanya tersimpan rasa takut seorang perempuan dan bagi Ana pula, di dalam hati menyala sejuta cahaya kegembiraan. Ana gembira bercampur kesal. Gembira kerana tidak lama ana akan menjadi seorang ayah manakala kesal kerana selama ini Ana adalah seorang suami yang tidak bertanggungjawab.

"Maafkan Atiqa bang. Atiqa tak berniat hendak merenggangkan hubungan abang dengan mak. Apakan daya. Atiqa takut menerima kenyataan ini sendirian, jadi Atiqa khabarkan pada mak. Atiqa belum lagi ceritakan hal ini pada orang tua Atiqa. Atiqa tak mau mereka tahu keadaan rumah tangga kita."

Mendengar saja suaranya yang lembut dan gementar itu, Ana tiba-tiba merasa sebak dan akhirnya dia menangis di pangkuannya. Dari perutnya yang mulai membesar itu, Ana mencium bauan seorang bayi - seorang anak yang bakal lahir dari darah dagingnya sendiri.

Dalam waktu Nur Atiqa sarat mengandung, Ana sering membawanya bersiar- siar di waktu petang, melewati jalan-jalan sebelum singgah berehat di taman kota sambil menikmati pemandangan mata hari tenggelam di kaki senja. Di sana Ana mula menikmati erti cinta seorang suami terhadap isteri.

Empat bulan kemudian, saat yang dinanti-nantikan pun tiba. Nur Atiqa mengadu sakit pada suatu malam. Ana yang sememangnya sejak kembali ke rumah tidak pernah lagi keluar berfoya-foya, akhirnya dengan cemas membawanya ke hospital. Entah mengapa jauh di dalam diri Ana terbetik rasa bimbang yang amat menakutkan. Sepanjang malam itu Ana berada di hospital menemani isterinya. Saat itulah Ana merasa tumbuhnya perasaan cinta yang amat mendalam pada Nur Atiqa. Cinta yang berbaur antara kasih sayang dan kekaguman seorang suami terhadap isterinya yang jujur lagi mulia.

Menjelang Subuh, sakitnya makin menjadi-jadi dan Ana tahu waktu yang dinanti-nantikan semakin hampir. Doktor memerintahkan Ana keluar dan Nur Atiqa dipindahkan ke wad bersalin. Ana menunggu di luar dengan debaran jantung yang kencang dan tidak terkawal.

Hampir sejam kemudian, doktor keluar dari bilik bersalin dan Ana terus mendekatinya.

"Tuan doktor...apa khabar isteri dan anak saya?"

Doktor muda itu menjawab dengan suara yang sedikit lelah: "Tahniah...kerana menjadi seorang ayah. Encik mendapat seorang anak perempuan yang comel. Tapi... tapi..."

"Tapi apa tuan doktor?"

"Semuanya adalah takdir. Kita hanya berusaha...Isteri encik tak dapat kami selamatkan."

Dalam hidup Ana, saat itulah yang tidak mungkin dapat dilupakan di sepanjang hayatnya. Kekecewaan dan kebahagiaan muncul beriringan. Ana menjadi seorang ayah, tetapi kehilangan seorang isteri. Dan sampai sekarang wanita itu tidak mungkin dapat dilupakannya. Bagi Ana Nurul Atiqa adalah fajar baru, lambang cinta warisan dari Nur Atiqa, isterinya.

No comments: