Pages

Wednesday, June 10, 2015

Juhanim

Oleh Rahmat Md Zainal

AKU tidak tahu sama ada Juhanim benar-benar pernah anggap aku begitu. Cuma yang aku pasti ialah perkara ini sekurang-kurangnya pernah terlintas di kepalanya. Apa tidaknya, dia sendiri pernah menyuarakannya kepadaku. Tetapi cuma secara berseloroh saja.

Aku pula rasanya tidak dapat hendak salahkan Juhanim kalau hal ini pernah tersinggah di fikirannya. Malah memang aku tidak mahu pun. Perkara ini memang ada kemunasabahannya. Memang logik. Aku pun jika berada di tempat Juhanim, rasanya perkara yang samalah yang mungkin aku fikirkan.

Juhanim memang pernah bangkitkannya kepadaku. Tetapi seingat aku hanya sekali itulah saja. Selepas itu tidak ada lagi. Nyata sekali dia memang tidak mahu besar-besarkan hal ini. Aku pun tidak pernah pula cuba ungkit- ungkitkannya. Padaku, Juhanim mungkin mahu mengujiku saja. Ataupun mungkin juga sebagai satu langkah berhati-hati.

Hairan juga aku, mengapa tiba-tiba saja aku terfikirkan hal ini semula. Bukankah perkara ini langsung tidak memberi apa-apa masalah kepadaku? Bukankah segala-galanya berjalan dengan baik dan sejahtera? Bukankah begitu?

"Bapak, mana umi?" Asraf menepuk-nepuk lenganku. Entah bila manusia kecil ini tersedar agaknya. Ketika sampai tadi dia masih tidur. Mungkin terlalu letih agaknya setelah bermain dengan adiknya Hanina ketika di rumah tadi.

Hanina masih tidur lagi di belakang sambil memeluk teddy bear kesayanangannya. Asraf menggosok-gosok malas matanya. Aku letakkan dua jariku secara melintang di mulut kecil putera sulungku apabila dia mula menguap - takut syaitan masuk! Mata Asraf masih merah.

"Mana umi?"

"Umi belum keluar lagi sayang."

"Ngapa umi lewat bapak?"

"Bukan umi lewat sayang, cuma kita yang awal!" Aku perhatikan jam di tangan kiri. Aku sendiri kurang pasti mengapa aku turun awal hari ini. Sudah lima belas minit kami berada di kawasan letak kereta, sedangkan masih ada kira-kira dua puluh lima minit sebelum Juhanim tamat waktu kerjanya. Juhanim pasti tengah sibuk waktu ini.

"Nanti bila Asraf besar nanti, Asraf tak mahu kerja macam umi. Umi selalu kena pergi kerja. Kadang-kadang malam pun umi kerja juga. Tengok hari ni, bapak cuti tapi umi kerja juga. Asraf tak mahulah kerja macam umi. Adik Nina pun tak mahu kerja macam umi juga!" Aku perhatikan Hanina apabila namanya disebut Asraf tadi. Hanina masih dibuai mimpi. Aku beri perhatian kepada Asraf semula. Asraf macam melepaskan geram pula dengan kata-katanya tadi.

Benar, memang masa Asraf dan Hanina untuk bersama umi mereka begitu terhad sekali. Setiap hari, kecuali hari cutiku atau kadang-kadang hari cuti Juhanim, pagi-pagi lagi aku terpaksa menghantar mereka ke rumah orang tuaku yang letaknya tiga kilometer lebih dari tempat kediamanku anak- beranak.

"Asraf besar nanti, Asraf nak kerja macam bapak. Bapak selalu ada kat rumah. Tak macam umi. Adik Nina pun nak kerja macam bapak juga," Asraf macam hendak buktikan kekuatan hujahnya pula apabila Hanina juga turut disebut sebagai sependapat dengannya.

"Tapi kerja umi kan bantu orang. Bantu orang tak kira masa. Tuhan sangat suka kepada orang yang suka bantu orang lain," aku mengujinya pula kali ini. Tetapi ternyata ujianku langsung tidak diendahkan oleh manusia yang berusia lima tahun setengah ini. Asraf nampaknya lebih berminat memberi perhatian kepada sesuatu yang berada di luar kenderaan.

"Bapak, ngapa orang tu pakai tongkat? Kaki dia sakit ke?" Aku mengangguk-angguk. Asraf terus memberi perhatian kepada orang bertongkat yang baru melintasi kami tadi. Ternyata sesuatu yang pelik itu mudah menarik minat manusia sekecil Asraf. Aku menarik nafas panjang.

Perkarangan hospital nampak damai sekali. Angin bertiup dari arah selatan terasa lembut dan dingin sekali. Mungkin kerana baru lepas hujan tengah hari tadi. Memang jadi kebiasaanku menghantar dan menjemput Juhanim setiap kali cutiku, jika dia bertugas pada hari itu.

Lazimnya kubawa Asraf dan Hanina bersama. Hari-hari lain terpaksalah Juhanim memandu sendiri. Terasa gembira juga apabila dapat berbakti kepada isteri sekali-sekala. Bukan selalu.

"Bapak...bapak! Orang tu jatuh!" Tiba-tiba lengan bajuku ditarik kasar oleh Asraf. Tangannya pula sedang menunjukkan pada satu arah. Ya Allah, orang bertongkat tadi telah tersungkur! Licin agaknya di lantai kaki lima yang basah kerana hujan tengah hari tadi.

Dengan serta-merta pintu kereta kubuka untuk keluar membantu. Namun belum sempat aku keluar sepenuhnya, kulihat empat lima orang telah pun mengerumuni insan malang itu. Mereka nampaknya cuba memapahnya bangun. Aku membatalkan niatku untuk turut sama membantu memandangkan perkembangan itu. Tambahan pula Hanina telah pun terjaga. Terkejut agaknya dengan teriakan Asraf tadi. Mata Hanina terkebil-kebil memandang sekelilingnya. Mungkin dia masih mamai agaknya.

"Nina, tengok orang tu! Tadi dia jatuh. Kasihan dia..." Asraf bagai mahu kongsi pengalaman bersama adiknya yang setahun lebih muda daripadanya itu.

Mungkin juga orang yang tersungkur itu baru saja berkenalan dengan alam tongkatnya. Jika benar begitu, pasti dia kurang arif sensitifnya tongkat dengan lantai yang basah. Mujurlah dia jatuh di tempat orang lalu-lalang, mudah dapat bantuan. Macam manapun, pasti peristiwa itu tidak dapat dilupakannya sampai bila-bila. Ahh, aku bagaikan teringat sesuatu pula! Aku menarik nafas panjang lagi sebelum kuusap rambut Hanina yang baru terjaga. Hanina masih tetap memeluk teddy bearnya. Dia memang jarang berenggang.

"Bapak, Nina haus..."

Selesai menaikkan cermin tingkap dan seterusnya mengunci pintu, berangkatlah aku bersama manusia kecil menuju ke kantin yang terletak di sebelah kanan bangunan hospital. Aku genggam erat tangan Asraf di kanan dan Hanina di kiri. Aku mahu mereka sentiasa berada dalam kawalanku.

Matahari petang condong kedudukannya ke arah timur. Dapat kulihat bayang-bayang kami di hadapan. Kami sebenarnya berjalan dengan membelakangi matahari. Hanina tidak ketinggalan membawa teddy bearnya bersama. Asraf cuba melepaskan genggaman tanganku untuk membolehkannya bergerak lebih bebas. Kebuasannya kadang kala memang memeningkan aku dan Juhanim. Tindakan Asraf itu tidak kubiarkan begitu saja. Ada susulan!

Aku teringat semula kepada orang yang tersungkur tadi. Simpati juga aku. Peristiwa tadi sebenarnya betul-betul menyentuh perasaanku. Kuperhatikan pula bayang-bayang yang terpamer di hadapan kami. Kulihat dengan penuh tumpuan. Kulihat cara jalanku, cara jalan yang ternyata berbeza dengan cara jalan Asraf dan Hanina! Tiba-tiba aku terkenang semula andaian yang pernah Juhanim tuju padaku. Selesai beli minuman, kami kembali semula ke kereta.

"Am teka, Ju belajar apa semester ni?" Am adalah panggilan Juhanim kepadaku sebelum kami berumahtangga. Aku ingat lagi perbualan itu. Ketika itu masih di awal semester. Aku dan Juhanim sebenarnya pernah belajar di universiti yang sama, cuma kampus yang berbeza. Aku di kampus induk, sedang dia di kampus cawangan. Kursus dan tahun pengajian kami juga berbeza.

Sebelum bernikah, kami memang jarang dapat berjumpa. Kalau berjumpa pun mungkin sebab Juhanim turun ke kampus induk kerana adanya acara tahunan universiti seperti pesta konvokesyen misalnya. Malah pesta itulah yang menjadi saksi pertemuan kami yang pertama! Kami lebih banyak berjumpa dalam surat atau telefon saja. Perbualan ini pun melalui telefon juga.

"Am teka? Manalah Am tahu apa yang Ju belajar!"

"Okey Ju bagi tahu, semester ni Ju belajar mengenai saraf! Nak tanya sikit boleh tak...Am dendamkan?"

"Dendam? Dendam kepada siapa?"

"Kepada orang yang buat silap pada saraf Am dululah! Entah-entah Am dendam pada semua doktor agaknya. Yalah, golongan inilah yang menyebabkan Am jadi begitu!"

Aku menafikan andaian Juhanim itu serta-merta. Kukatakan padanya, aku tidak pernah mendendami sesiapa. Memang benar aku agak menderita dengan keadaanku, tetapi bukankah segala-galanya itu ketentuan Ilahi?

"Eh! Jangan emosional sangat, Ju gurau saja tadi. Ju sebenarnya minat betul nak belajar benda ni. Am belajar apa semester ni?" Masih kuingat kata-kata Juhanim itu. Seperti yang kukatakan tadi, dia mungkin mahu mengujiku saja. Ataupun sekadar berhati-hati, mana tahu aku mungkin akan membalas dendam segala penderitaanku ini kepadanya! Yalah, golongan sepertinyalah menyebabkan aku jadi begini. Mungkin juga.

Aku memang tidak berahsia mengenai hidupku kepada Juhanim. Segalanya kuceritakan tanpa teragak-agak. Ini kerana kumahu Juhanim menerimaku sejujur mungkin, seikhlas mungkin. Aku tahu dia sanggup ketepikan apa orang kata terhadapnya semata-mata untuk terus kekal bersamaku. Aku sungguh mengaguminya. Sungguh.

Menurut cerita ibu, aku dilahirkan tanpa sebarang keanehan besar, kecuali sedikit masalah pada tulang belakang. Doktor mengesahkan ini sebagai satu penyakit ketumbuhan yang perlu dirawat segera. Akibatnya aku terpaksa dibedah pada usiaku bawah setahun.

Menurut cerita ibu lagi, pembedahan yang dianggap berjaya pada mulanya itu menjadi sebaliknya menjelang usiaku empat tahun. Ini kerana kaki kiriku mula menunjukkan satu perubahan yang pelik sekali, kedudukannya menjadi terkalih sehingga bahagian tapak kakiku mengadap ke atas. Doktor mengesahkannya sebagai gangguan saraf yang berpunca daripada kesilapan yang berlaku ketika pembedahan tulang belakangku dahulu!

Memang terdapat usaha untuk dipulihkan semula kakiku. Malah aku masih ingat betapa kerapnya aku terpaksa mengunjungi hospital untuk tujuan itu. Walau apapun yang dilakukan, penderitaan memang terpaksa kulalui juga. Yalah, di saat kanak-kanak lain boleh bergembira di taman permainan, aku hanya berupaya menjadi pemerhati. Di saat kanak-kanak lain berlari-lari sambil menendang bola, aku terpaksa ke hulu ke hilir dengan bertongkat! Ahh, teringat semula aku kepada orang yang tersungkur tadi. Aku dulu pernah tersungkur juga.

Lama juga aku terpaksa hidup dengan bertongkat. Rasanya, di saat insan kecil lain diajar bertatih, aku diajar bertongkat agaknya! Apa tidaknya, sejak mula mengenali dunia lagi, rasanya aku sudah mula bertongkat. Aku hanya berupaya meninggalkan alam tongkatku itu apabila usiaku mencapai lima belas tahun, iaitu setelah kakiku dibedah untuk membetulkan semula kedudukannya. Bayangkan betapa lamanya!

Memang benar aku tidak perlu bertongkat lagi sekarang, namun nyatanya aku masih berbeza berbanding orang lain. Jalanku tidak sempurna, jalanku terhinggut-hinggut, jalanku pelik! Asraf tidak pernah pula bertanya mengenai kepelikanku ini. Hanina pun begitu. Mungkin sudah jadi pandangan biasa kepada mereka. Mereka lebih berminat kepada kepelikan yang berada di luar!

Mungkin berdasarkan apa yang pernah kulalui inilah menyebabkan Juhanim pernah mengaitkan aku dengan istilah dendam kepada golongan yang menjadi penyebab kepada keadaanku ini! Memang munasabah, memang logik. Aku memang layak untuk berbuat begitu. Memang aku layak untuk berdendam. Memang boleh, cuma aku bukanlah orangnya! Aku reda apa yang ada padaku sekarang. Aku bersyukur. Ini takdir Ilahi kepadaku.

Tetapi, betulkah Juhanim benar-benar pernah anggap aku begitu? Ataupun dia memang cuma berseloroh saja? Apa pun jawapannya, aku tidak kisah lagi. Bukankah Juhanim telah menjadi milikku sekarang? Dia benar-benar sudah menerimaku. Kami hidup bersama kini. Masakan dia sanggup untuk hidup bersama dengan seorang pendendam kepada kerjayanya!

"Umi dah keluar, umi dah keluar!" Suasana menjadi riuh-rendah tiba-tiba. Asraf dan Hanina bagaikan tidak sabar lagi bertemu umi mereka, macam tidak berjumpa setahun. Mereka gembira betul. Juhanim percepatkan langkahnya apabila terpandang kami. Dia melambai-lambai sambil tersenyum. Aku tahu dia juga kurang selesa apabila terpaksa meninggalkan insan kecil ini selalu. Pernah juga dia lahirkan perasaannya itu kepadaku.

Juhanim semakin hampir. Tudungnya sedikit merebang-rebang ditiup angin. Dapat kulihat keletihannya. Rasa kasihan juga aku kepadanya. Tambahan pula dengan keadaannya begini, Hanina akan dapat adik kira-kira dua bulan lagi! Di tengah-tengah kebisingan suara kecil Asraf dan Hanina, hati kecilku sempat berbisik: Andainya aku benar-benar pernah mendendaminya dahulu, pasti dendam itu akan lebur setelah aku berpeluang hidup dengannya hari ini. Terima kasih Juhanim, Doktor Juhanim.

No comments: