Pages

Monday, June 15, 2015

Alanhaf

Oleh Nik Azman NM

SEMALAM aku didatangi lagi oleh Habib. Dia masih bawa cerita itu. Persoalan yang amat merisaukan hati kecilku. Persoalan yang cukup sensitif! Persoalan yang aku rasakan sukar sekali hendak diselesaikan. Yakni, persoalan yang membabitkan akidah!

Hakikat roh itu adalah zat Allah swt. Dan hakikat diri hamba itu adalah Nabi Muhammad saw!

Inilah dakwaan yang cukup mencabar kesabaran hati kecilku! Dan mencabar kedudukan aku sebagai gurunya suatu masa dulu. Apakah dia sudah lupa pada pesananku dulu, bahawa hakikat roh dan hakikat zat itu berlainan. Begitu juga hakikat diri hamba dengan hakikat Nabi Muhammad berlainan.

Apakah dia sudah lupa dengan pesananku itu? Mungkinkah ada pengaruh lain yang telah menukar keyakinannya selama ini. Kalau begitu dari guru manakah dia terima ilmu hakikat itu? Atau mungkinkah dia sengaja mahu menguji keyakinanku selama ini? Inilah persoalan yang selalu berolah dalam fikiranku akhir-akhir ini. Ini persoalan serius. Soal akidah!

Sekarang aku sedang berdepan dengan persoalan yang cukup mencabar kewibawaanku selama ini. Walaupun dakwaan itu ternyata salah, tidak betul dengan akidah! Tetapi aku tidak boleh membiarkannya berleluasa begitu saja. Sebagai guru agama, aku bertanggungjawab membendungnya daripada terus merebak. Sekali gus aku perlu menghapuskan keyakinan begitu daripada hati-hati mereka!

Tetapi bagaimanakah caranya? Sudah banyak kali aku menjemputnya supaya dia datang jumpa aku. Aku mahu pengakuan yang pasti darinya mengenai pegangannya itu. Kalaulah begitu keyakinannya, aku akan mendesaknya supaya dia menceritakan dari siapa dia menerima ilmu hakikat itu. Dan dari kitab mana pula yang menjadi rujukannya.

Tetapi setiap kali aku menjemputnya supaya datang jumpa aku, dia tidak pernah datang. Menurut Habib banyak pula alasan yang dia berikan. Terlalu sibuk dia sekarang. Tetapi aku faham benar dengan sikap dia! Bukan alasan- alasan itu yang menjadi penghalangnya. Sebaliknya dia takut untuk berdepan dengan aku! Dia takut kalau aku menghentamnya habis-habisan!

Kenapa dia mesti takut hendak berdepan dengan aku kalau dia benar-benar yakin dengan akidahnya itu? Aku juga hamba yang hina seperti dia di sisi Allah swt. Untuk mencari titik kebenaran kenapa mesti takut? Aku bukanlah seorang yang emosional dalam membahaskan setiap masalah.

Kalau aku tidak selesaikan segera, masalah ini akan terus merebak kepada orang ramai. Ini oleh kerana kian hari aku dapati ia semakin tersebar. Dan sasarannya adalah menyeluruh, termasuk orang kampung, pegawai dan bekas pelajar agama. Ini satu sindrom yang cukup merbahaya!

Dengan cara begitu lebih membantunya menyebarkan pengaruh di kalangan orang yang kurang pengetahuan agama. Mereka akan terima terus tanpa sedar benar tidaknya pegangan begitu. Tulen atau palsu keyakinan itu. Secara tidak sedar akan merosakkan akidah mereka sendiri. Ini tidak boleh dibiarkan.

Habib adalah muridku yang paling setia padaku. Dialah yang selalu melaporkan padaku, mereka meremehkan ilmu yang ada padaku. Mereka menuduhku tidak mementingkan ilmu hakikat, ilmu makrifat yang mengangkat seseorang hamba itu di tempat tertinggi di sisi Allah swt. Mereka mendakwa aku hanya mengutamakan ilmu kulit dan menentang ilmu isi, yakni ilmu makrifat.

Tuduhan yang tidak berasas itu terlalu berat untuk aku terima. Nampaknya dia cuba mencabar aku dari jauh. Cuba mengkritik kedudukan aku sebagai guru agama yang dihormati selama ini. Mereka mencari kelemahan diriku untuk dijadikan alasan bagi menghilangkan keyakinan orang ramai kepada diriku. Mereka mencari pengaruh dengan cara memburukkan diriku sebagai guru agama yang berpengaruh.

Mereka menggunakan muslihat yang mengelirukan untuk meyakinkan hati orang ramai. Kenyataannya, orang tidak faham secara jelas. Kenyataan yang mereka cipta sesuai dengan selera yang selalu mencari jalan termudah dan ringkas dalam mengerjakan ibadat.

Masalah ini tidak boleh lagi dibiarkan berleluasa. Ia perlu dibendungkan seberapa cepat sebelum terlambat. Sebelum seluruh orang kampung terpengaruh dan meyakini pegangan itu. Ini soal akidah! Ia tidak boleh dipandang ringan. Dan dibiarkan merebak tanpa ada usaha mengatasinya.

Kerana itu aku telah memberi tahu Habib, supaya dia menyampaikan hajatku menjemput Johar berjumpaku. Aku mahu berdepan dengannya sama seorang. Aku sudah tidak tahan lagi dengan tindakan dia mengkritik kewibawaanku. Apa salahnya kalau dia datang jumpa aku, berbincang apa yang perlu.

"Katakan pada Johar, aku mau jumpa dia seberapa lekas yang boleh, minta dia datang ke sini, dan beri tahunya supaya dia tidak menguzurkan diri," pesanku pada Habib.

"Baiklah tok!" Sanggup Habib.

"Kalau dia tak nak datang jumpa aku, kau minta dia tentukan masa dan tempatnya supaya aku sendiri yang datang jumpanya, ya?" Aku memberi kata putus yang belum penah aku buat sebelum ini.

"Baiklah tok, saya akan memberi tahunya seperti tok minta," sanggup Habib dengan wajah serius.

Hati kecilku berdoa semoga Johar tidak keberatan memenuhi permintaanku itu. Aku sayangkan dia. Dia adalah bekas muridku yang setia satu masa dulu. Sekarang dia sudah terlanjur. Dia terpengaruh dengan pegangan salah. Sampai kini aku belum pasti dari siapakah dia menerima ilmu hakikat salah itu.

Waktu dia belajar agama dengan aku dulu, Johar terkenal sebagai seorang murid yang rajin. Dia rajin menghafal dan suka bertanya setiap masalah padaku. Dia mempunyai ingatan yang baik. Dia mudah mengingati apa yang aku ajarkan. Dia adalah seorang murid harapanku di antara murid-murid lain yang setanding dengannya.

Kemudian setelah dia pergi belajar di tempat lain, dan mempunyai pergaulan yang luas pula, dia mulai terpengaruh dengan amalan ilmu hakikat yang salah. Aku sungguh terkejut apabila mendengar berita itu! Sungguh di luar dugaanku!

Paling menghairankan aku, kenapa begitu mudah dia terpengaruh dengan amalan ilmu hakikat yang salah? Sedangkan sebelum ini dia sudah mempunyai asas keyakinan yang kukuh? Dan sampai hari ini, aku masih memikirkan punca dia senang dipengaruhi.

Bagaimana begitu mudah dia meyakini bahawa hakikat roh itu adalah zat Allah swt, dan hakikat diri hamba itu pula adalah Nabi Muhammad saw? Sedangkan sebelum ini dia sudah benar-benar yakin bahawa roh itu adalah makhluk Allah. Kalau begtiu, kenapa pula begitu mudah dia boleh mendakwa hakikat roh itu adalah zat Allah? Tidakkah keyakinan begini syirik namanya? Menyamakan makhluk dengan zat Allah yang ternyata tidak ada sesiapa boleh melihat zat Allah, kecuali Rasulullah.

Begitu juga halnya dengan dakwaan Johar yang mengatakan hakikat diri hamba itu adalah Nabi Muhammad saw. Dakwaan yang terus terang silap! Langsung tidak logik untuk diterima akal. Bagaimana mungkin hakikat diri hamba itu Nabi Muhammad? Sedangkan diri kita dengan Nabi Muhammad mempunyai sifat yang berbeza, dan kemuliaan baginda tidak boleh dibandingkan dengan manusia lain. Dari dalil manakah dia boleh mendakwa ia sama?

Kenyataan yang benar adalah setiap makhluk itu terjadi daripada nur (cahaya) Nabi Muhammad saw. Dan bukan hakikat diri hamba itu adalah Nabi Muhammad. Dakwaan begitu boleh mengelirukan mereka yang kurang pengetahuan agama mengenai kejadian makhluk ini adalah daripada nur Nabi Muhammad saw.

Pada keesokan harinya, hampir dengan waktu Zohor, Habib datang mendapatkan aku. Sewaktu Habib berdepan dengan aku, aku dapati ada riak perubahan pada wajahnya. Dia merenung tajam ke wajahku. Dari pancaran matanya, menimbulkan kesangsian pada hati kecilku. Adakah di sebalik renungan matanya itu terkandung persoalan berat? Kebiasaannya tekaanku tidak silap.

"Duduk Habib," pelawaku lembut cuba mententeramkan perasaannya.

Habib duduk mengadapku. Dia masih merenungku. Aku senyum padanya sekadar mengiakannya.

"Katakanlah apa yang sebenarnya Habib?" Pintaku memberi peluang dia menerangkan. Habib adalah muridku yang paling setia.

Habib seperti keberatan hendak menyatakan apa yang terpendam dalam dadanya itu. Dia masih merenungku.

"Katakanlah Habib, tok sedia mendengar apa saja laporan?" Mohonku cuba meyakinkan hatinya.

Wajah Habib sedikit berubah. Tidak suram lagi. Dia bersedia untuk menerangkan. "Begini tok, Johar berkeras tidak mau datang jumpa tok, dan dia tidak benarkan tok datang jumpanya! Dia menuduh pegangan kita yang silap tok, keyakinan yang tidak sampai ke mana-mana! Hanya amalan kulit, tidak sampai pada isinya, yakni hakikat! Dia nampaknya mahu mencabar kita tok!" Jelas Habib sungguh-sungguh. Matanya bersinar geram.

Aku hanya tersenyum tanpa menjawab apa yang dijelaskan oleh Habib itu. Namun dalam hati kecilku hanya Tuhan saja yang tahu. Satu gelombang kuat telah menghempas ruang dadaku. Aku tidak perlu emosional! Dan aku tidak perlu membuat kejutan! Tetapi aku mesti bertindak segera! Begitulah janji hati kecilku.

Selepas sembahyang Isyak malam itu, aku minta Habib temankan aku ke rumah Johar. Habib terkejut bila aku menyatakan maksud aku itu. Dia merenung tajam ke wajahku penuh tanda tanya.

"Tok mau ke rumah Johar? Tapi...tidakkah Johar tidak benarkan tok datang jumpanya?" Habib curiga dengan keputusanku itu.

"Dia tu bekas muridku, aku punya hak! Jangan kau banyak soal pulak!" Putusku sambil melangkah keluar dari masjid.

Habib mengekoriku dengan teragak-agak. Aku sedar apa yang sedang dia fikirkan. Dia khuatir kalau aku bertindak sampai melanggar batasan undang- undang. Sepanjang perjalanan dia tidak banyak bercakap. Habib lebih banyak termenung dengan menampakkan kebimbangan pada wajahnya.

Sampai di halaman rumah Johar, aku dapati tiga buah kereta dan tujuh buah motosikal. Dari atas, aku dengar mereka sedang berzikir dengan nada yang berlainan dari apa yang diamalkan umum sebelum ini. Aku mendekati untuk memastikan maksud zikir yang sedang mereka amalkan itu.

Sungguh berlainan sekali dengan maksud zikir yang pernah diamalkan oleh umum sebelum ini. Aku cuba menghayati setiap patah perkataan zikir itu. Namun aku tidak dapat memahaminya. Zikir apakah yang sedang mereka amalkan itu? Soal hati kecilku sendirian.

Habib turut menghayati maksud zikir itu. Dia juga tidak dapat memahami maksud zikir yang mereka sedang amalkan itu. Habib memandang padaku seperti ingin bertanya sesuatu. Aku termenung sejenak memikirkan tindakan yang perlu aku lakukan sekarang.

Kemudian aku mengisyaratkan kepada Habib supaya mengikutku naik ke atas rumah. Aku menolak kuat pintu yang tidak dikunci itu. Mereka terhenti berzikir. Semua tercengang melihatku berdiri di muka pintu, Johar terbelalak memandangku. Aku memandang pada setiap wajah mereka. Dan akhir sekali kurenung wajah Johar dalam-dalam. Mereka kelihatan kaget.

"Apa hal tok datang ni?" Soal Johar kasar sambil berdiri.

"Aku datang mau jumpa kau!" Aku menunjuk ke arah mukanya.

Johar mulai cemas dengan tindak balasku yang lantang itu. Matanya tajam memandang padaku. Mereka silih berganti memandangku dan Johar. Mereka seperti terkena pukau. Terpinga-pinga kebingungan!

"Kenapa tok mau jumpa saya?" Soal Johar keras.

"Untuk membetulkan dakwaan kau yang mengatakan pegangan dan keyakinanku tidak betul!" Aku merenung tajam ke wajah Johar.

Johar tersentak. Dia terpinga-pinga seperti hendak lari. Cemas sekali!

"Aku mau kau buktikan di manakah silapnya pegangan dan keyakinanku selama ini!" Aku cuba mendesaknya.

Johar menundukkan muka, dia tidak berani lagi menentang pandanganku. Dia kelihatan gelisah sekali seperti juga pengikut-pengikutnya yang duduk mengelilinginya.

"Kenapa kamu diam! Aku mau kau buktikan di manakah silapnya peganganku dan di mana betulnya pegangan kau seperti yang kau dakwa itu?" Desakku meninggi. Dadaku mulai menggelegak. Panas!

Johar masih membisu. Matanya liar memerhatikan kegelisahan anak buahnya itu. Nampaknya dia seperti keberatan hendak menjawab pertanyaanku itu.

"Sekarang aku mau dengar dari mulut kau sendiri, benarkah kau mendakwa, bahawa hakikat roh itu adalah zat Allah, dan hakikat diri hamba itu adalah Nabi Muhammad?" Aku cuba memerangkapnya dengan dakwaan yang pernah dipertahankannya.

Johar menganggukkan kepala. Dia seperti keberatan hendak bersuara. Wajahnya keruh.

"Aku mau tau, dari siapakah kau terima ilmu hakikat sesat ini?" Sambungku lagi.

"Dari guru saya!" Jawab Johar tegas.

"Siapa guru kamu itu?" Aku mahukan kepastian lanjut.

"Dia adalah guru saya! Tok tak perlu tau!" Putusnya keras.

"Ternyata sekarang kamu menghukum tidak berpandukan al-Quran dan Sunnah! Tetapi menurut hawa nafsumu sendiri!" Bahasku mengecam.

Semua tercengang. Mereka terpinga-pinga seperti orang kebingungan. Johar terduduk saat itu. Dia kelihatan lemah. Mukanya merah padam. Nafasnya kencang seperti kelelahan.

"Hari ini juga aku mau kamu bertaubat! Dan kembali kepada pegangan yang sebenar!" Aku memberi amaran sebelum melangkah keluar dari situ.

Selantas itu Johar berlari mendapatkan aku. Dia bergantung di lututku. Dan memeluk lututku sekuat-kuatnya. Aku terpaksa berhenti melangkah.

"Maafkan saya tok...ampunkan saya tok...saya berdosa pada Allah dan pada tok!" Johar menangis sekuat-kuatnya.

Semua mata tertumpu padanya yang masih memeluk erat lututku sambil menangis. Mereka kehairanan. Terpinga-pinga kebingungan. Tidak ubah seperti baru lepas dipukau.

"Alhamdulillah..!" Tercetus rasa syukur dalam hati kecilku kepada Allah swt di atas kebesaran-Nya Yang Maha Besar.

No comments: