Pages

Tuesday, January 19, 2016

Dalam Trafalgar dari Ramadan ke Ramadan

Oleh Mohd Nazmi Yaakub

PAGI di Trafalgar Square menyenangkan. Langit ringan, awan tipis tidak menjanjikan rintik hujan. Angin Ramadan menggagau ke daerah epidermis diri. Betapa anehnya Ramadan dalam dingin, meski dia mengetahui Ramadan terbentuk dari kepanasan; barangkali kepanasan yang membakar dosa.

Nurli akrab dengan baju kurung kuning susu dipadankan tudung merah muda walaupun sudah tiga tahun memukimi East End, tidak jauh dari City of London. Biar bersesak dengan pendatang pelbagai budaya, dia utuh dengan kostum Muslimah. Norainmah di sebelah tenggelam dalam Nothing Lasts Forever karya Sidney Shelldon, selesa berpakaian kasual tetapi tetap mengenakan tudung ringkas; hujungnya diselepangkan ke bahu.

Pagi itu, Nurli punya janji, mengajak Norainmah menemaninya. Meninggalkan East End dan sejarah hitam Jack The Ripper, menaiki tube yang menjalar di bawah tanah. Norainmah dengan Sidney Shelldon, tidak berpulas daripada helaian novel itu, manakala Nurli selesa menukilkan sajak bersama angin Ramadan yang ringan.

Pelancong-pelancong asing melatari Trafalgar Square, merpati jinak merayap di daerah itu. Norainmah khayal menyusuri plot penulis besar itu, Nurli kerap kali culas daripada menatap buku kecilnya.

Dia rawan. Mata berlapikkan kaca menganjak ke tugu memperingati Viscount Horatio Nelson, komander tentera British yang memenangi Peperangan Trafalgar pada 1805. Nelson Column berdiri gah menawan Trafalgar Square. "Takkan lari gunung dikejar." Norainmah menyedari Nurli bagaikan kesasar.

Nurli mencebik, namun masih melongo ke persekitaran. Penanya jatuh ke aspal keras, mengejutkan merpati yang jinak di kaki.

Norainmah menutup buku, merenung tugu bota menjulang ke langit bersih. "Menumpaskan French dan Spanish sekali gus detik bersejarah dalam peperangan di Eropahkan? Trafalgar Square bermakna pada rakyat Britain. Kekalahan Trafalgar menyebabkan Napoleon I gagal menjajah Britain!"

"Umat Islam tidak perlukan monumen menyemat kejayaan. Sirah bukan diobjekkan. Bukankah kejayaan itu mujarad?" Nurli mendasari bicara Norainmah.

"Itu kata-kata sendiri atau cuplik daripada Ikram?" Usik Norainmah diekori ketawa berjela-jela. Nurli bungkam.

"Kalau dinisbahkan pembukaan Baitulmaqdis oleh Sallehuddin al-Ayubi atau kemenangan Muhammad al-Fatih menundukkan Constantinople, Trafalgar kerdil metah. Ummah tidak membina monumen Sallehuddin al-Ayubi atau Muhammad al- Fatih, sebaliknya wajib menekuni iman dan jihad pada pemimpin agung tamadun Islam itu." Suara Nurli meninggi, tetapi masih mesra.

"Ikram menghunjam iktikad kukuh. Aku kira kau terpengaruh dengan metodologi pemikiran Ikram." Luah Norainmah serius.

Trafalgar Square makin dipenuhi manusia. Suria merangkak tinggi, menebarkan cahaya lunak. Nurli tidak rimas, sebaliknya mengakrabi mandian pagi. Angin Ramadan menggigilkan tudungnya, menyerak ke seluruh Trafalgar Square.

"Ikram tak pernah lewat. Dia harus datang sepuluh minit yang lalu." Nurli memetia bangunan seni bina Gothic Revival; paduan antara gereja dan binaan sekular, sayup di sebalik kesibukan kota.

"Kau benar-benar jatuh cinta pada lelaki tiga bangsa itu!" Usik Norainmah serentak kirai terangkat.

"Algeria-Palestin-Mesir!" Nurli menekup mulut, dia ketawa dalam rusuh.

"Ikram mengajar erti perjuangan dan jihad. Dia ensiklopedia yang berjalan, kalau terlalu kudus mengatakan al-Quran yang bermusafir." Nurli menghela nafas dengan perasaan rindu yang terbuku di hati.

Gelak Norainmah menjejaki kata-kata Nurli itu.

"Cinta benar-benar buta!" Jerit Norainmah, mengejutkan pelancong Jepun di sebelah.

Pertemuan itu berlangsung di National Gallery pada palma Trafalgar Square. Nurli dan Ikram; menjadi kordial apabila Nurli menyapa Ikram dalam Bahasa Arab.

Ikram, campuran darah Algeria dan Palestine, dibesarkan di Mesir; mengakrabkan gadis itu sepanjang lawatan mereka.

"Mengapa Ikram harus melewati Parlimen sebelum bertemu kita di sini?"

"Sejarah imperialis belum terputus dalam fikirnya. Dia membibit rasa jihad apabila membelek setiap inci juzuk House of Peers, House of Commons, Saint Stephen's Hall, Saint Stephen's Chapel dan Westminster Hall. Konstituen itu membina pusat imperialis British dan meninggalkan kejayaan guzwatul fikr pada tanah jajahan di bumi umat Islam." Nurli berasa bulu romanya berdiri. Dia bayangan Ikram berkhutbah tentang imperialisme Barat? Pandangan Nurli menggesel New Palace of Westminster, binaan Sir Charles Barry; merasakan parlimen itu pernah menentu dasar dan tindakan British terhadap negara-negara jajahannya; negara umat Islam! "Kau tahu apa yang pernah William Ewart Gladstone isytiharkan dalam parlimen itu?"

"Siapa? Bila? Apa?" Tanya Norainmah bertubi-tubi serentak mata menyerang Nurli.

"Gladstone, Perdana Menteri Britain dari Parti Liberal sebelum 1900. Pemikirannya terkedepan daripada pemimpin Britain yang lain." Nurli menarik nafas; Ikram bagaikan datang bersama-sama nafas itu.

"Apa yang menarik tentang lelaki itu? Seperti Ikram?"

"Dia kata dia kata." Nurli mengecil mata, mengingatkan bicara Ikram sewaktu mereka berdiri di hadapan New Palace of Westminster. Hati meruntun geram, tidak berupaya mengingati bicara Ikram sepantas mungkin.

"Selagi mana kitab ini kekal di atas muka bumi, selagi itulah cita-cita kita menundukkan Muslimin tidak tercapai." Suara lelaki terbit dari belakang Nurli dan Norainmah.

Norainmah tersentak, lebih-lebih lagi Nurli yang secepat kilat berpusing ke belakang. Nurli hampir memekik keseronokan sebelum mengimbangi waras. Dia gadis Melayu, terikat dengan nilai-nilai ketimuran dan Islam. Dia meruntun senyum, galang ganti perasaan kegembiraan memuncak.

"Mengapa lambat?" Nurli menagih jawapan. "Kitab apa?" Tanya Norainmah serentak.

Ikram mengangkat tangan. "Sabar. Biar aku berehat. Jalan raya mecat. Masuk ke Westminster saja, terpaksa berkongsi dengan puluhan ribu manusia." Ikram duduk di sisi Nurli, tetapi berjarak dengan gadis itu. Nurli berasa kordial. Ikram melepaskan lelah. Nurli mengesan rusuh. Mengapa?

"Gladstone berucap di hadapan House of Commons, menjulang al-Quran. Apabila salah seorang anggota dewan mengambil al-Quran, lantas mengoyaknya, Gladstone menyebut bahawa bukan itu maksudnya, tetapi mencabut roh al-Quran dalam diri umat Islam." Ujar Ikram dalam Bahasa Arab tebal dengan loghat Mesir. Huruf jim disebut ga, manakala huruf qaf ditutur alif.

Nurli mengeluh panjang. Mendung merayap roman jernih, helaan nafas berakhir rusuh di dada. Norainmah dijaring redup. Mereka berdua resah dengan pandangan Gladstone. Ikram berjaya mencetak rusuh dalam sadur kedua-dua anak gadis itu.

Nurli mengerling wajah lelaki itu. Mengapa? Terbetik ingin tahu, tetapi cepat-cepat dipadam.

"Ikram belum cakap mengapa lambat?"

"Rusuh di Algeria kembali mengendur. Presiden Bouteflika yang terpilih sejak April 1999 membuka tangan ke arah kedamaian. FIS menyambut salam mahabbah. Kami mengangkat roh persaudaraan, meminggirkan perseteruan. Kami memerlukan rijal untuk memperkukuhkan gerakan. Pelarian-pelarian politik diseru pulang membina masa depan Islam dan Algeria." Tenang Ikram menutur kata-kata.

Rusuh di dada Nurli semakin rancak. Pulang? Meninggalkan Britain? Atau lebih tepat meninggalkannya? Nurli berpeluh. Manik-manik mutiara menaburi dahi. Mata mula berkaca, tetapi belum retak berderai.

"Tadi ada pertemuan antara pimpinan pemuda yang mendapatkan perlindungan politik di sini. Itu yang menyebabkan aku lambat. Kami sepakat pulang, menyahut seruan Amir FIS memperkuatkan gerakan. Berada di tanah air dalam keadaan susah lebih baik terlempar jauh di tanah bekas imperialis dalam keadaan senang. Terbakar dalam perjuangan lebih baik menggigil dalam kebaculan."

Nurli mencari mata Ikram. Mata lelaki itu semarak dengan semangat, menyala bagaikan unggun api. Nurli menangkap serpihan rusuh, sebelum menenangkan gelodak dalam hati. Demi melihat rusuh pada wajah Nurli, Ikram menyepi.

"Kau harus pergi." Nurli tidak pasti, pertanyaan atau keyakinan. Ikram angguk dalam rusuh.

Nurli bangkit menghampiri Nelson Column. Di kiri dan kanan, monumen singa menambahkan gah. Nurli bagai melihat Viscount Horatio Nelson dalam kapal laksamana menentang Perancis dan Sepanyol. Nurli bagai menyaksi perwira British itu terluka apabila kapal bertubi-tubi ditembak, dan mati setelah peperangan usai dengan kemenangan di tangan Britain.

Nurli terkedu. Viscount Horatio Nelson wira kepada masyarakatnya. Ikram lebih mulia daripada Laksamana Nelson. Ikram menuruti jejak langkah Sallehuddin al-Ayubi dan Sultan Muhammad al-Fatih. Ikram harus kembali ke tanah air, Algeria, sebagai perwira, bukannya bersembunyi di Britain sebagai pelarian politik.

"Viscount Horatio Nelson tetap dikenang meski hampir dua abad berlalu. Andai kematiannya di ranjang, Nelson Column belum pasti ada. Hatta, Trafalgar Square barangkali tidak wujud. Dia menggagalkan rancangan Perancis menakluk negara ini. Mati sebagai perwira. Jasa Nelson tidak kecil pada sejarah Britain, sejarah Eropah!"

Nurli mematikan saraf diri. Nurli membiarkan Ikram mengepung pendengaran dengan bicara getar. Ikram menghela nafas, perlahan-lahan, sehingga suaranya seiras pawana Ramadan.

"Kalau Britain memiliki Nelson. Kita punya perwira tidak terbilang. Sallehuddin al-Ayubi tidak hanya terkenal dalam sejarah tamadun Islam, bahkan tamadun dunia. Beliau membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman Salibiyah dan menewaskan King Richard I The Lion-Hearted yang gah dalam tamadun Eropah. Bukankah aku sudah mengatakan wijaya bukan diobjekkan, tetapi dicapai dan dirangkul."

Algiers atau al-Jazair, ibu kota Algeria lekas menggamit akar saraf. Hutan batu di pinggir Laut Mediterranean berceracak di aspal berbukit keras mengundang rusuh apabila FIS dinafikan kemenangan dalam pilihan raya pada 1990, lantas junta tentera bermaharajalela. Demokrasi dicabuli! Masih terngiang-ngiang di telinga, pengumumun Presiden Chadli Bendjedid mengisytiharkan darurat selepas FIS mengepalai tunjuk perasaan membantah campur tangan tentera dan pencabulan demokrasi itu pada akhir Mei 1990.

Keganasan meletus di setiap ceruk Algeria. Penyembelihan di mana-mana, darah melimpah seperti sungai dan manusia bergelimpangan dibantai peluru tidak bermata. Junta tentera secara semberono menuduh FIS mendalangi keganasan, menyerang perkampungan awam dan membunuh kaum Barber Kristian. Tentera mengambil tindakan menghapuskan FIS dan melumpuhkan kekuatan gerakan Islam itu.

Selepas Amir FIS, Dr Abbassi Madani dan timbalannya, Sheikh Ali Ben Haj ditahan, Ikram dan beberapa rakan yang disenarai hitam melarikan diri, mendapatkan status perlindungan politik di Britain. Ikram terkedu mengenang sejarah. Sejarah penjajahan baru?

"Aku tidak mungkin ikut engkau." Nurli bersuara dengan nada sayu, mematikan nostalgia berdarah Ikram. Angin Ramadan mendesak tiba-tiba, keras.

"Sewaktu kita makin intim, aku mengingatkan diri, salah seorang harus terkorban. Sama ada Algeria atau Malaysia, harus melepaskan anak watan. Kehilangan serpihan daripada istana kejayaan adalah kerugian yang tidak tertanggung. Aku berkira-kira, yang mana harus rugi, Algeria atau Malaysia, sebelum beriktikad kita masih diperlukan."

"Aku harus pulang ke Algeria sebagai perwira. Kau juga harus kembali ke Malaysia meneruskan cita-cita ummah. Kita duta negara, dipertemukan di Trafalgar Square. Pertemuan ini membibitkan cinta tetapi kasih kepada Islam dan negara harus diutamakan." Ikram mendongak, bertempur dengan sinar suria di puncak langit. Dia terkalah, tunduk menatap manik mutiara yang merintik ke aspal keras. Nurli menangis!

Nurli mengesat bibir mata. Dia membersihkan kerongkong. "Maafkan aku. Aku menangis bukan menyesali perpisahan ini. Aku berbangga mengenali pejuang muda, menyimpan semangat jihad membawa watannya kepada ubudiyah Lillah. Biar roh Sallehuddin dan al-Fatih menjerap ke daerah diri sehingga aku menjadi mujahidah di tanah air kelak. Ukhwah bersamamu anugerah tidak ternilai. Moga-moga, kita akan sentiasa berbicara dengan nada jihad di watan masing-masing sehingga merangkul wijaya Islam."

Rusuh di dada Nurli reda. Pawana Ramadan kembali aman. Merpati merapati aspal Trafalgar Square. Suria tulus menyinari daerah Westminster.

Norainmah merapati mereka berdua. Dia menyentuh pundak Nurli dan mendekatkan wajah ke telinga gadis itu. "Ayuh kita kembali. Tugas masih banyak menanti kita. Ikram juga perlu melunasi tanggungjawabnya." Bisik Norainmah, perlahan menggetar gegendang telinga, lantas merayap ke daerah dada. Nurli akur.

Wajah lelaki itu direnungi buat kali terakhir. Rusuh padam pada wajah itu dan reda di daerah diri. Nurli menggaris senyum di bibir tipis.

"Terimalah hadiah ini sebagai ingatan ukhwah." Ujar Ikram bernada sayu sambil menghulurkan kotak berbalut.

"Selamat tinggal wahai pejuang. Moga-moga kita dipertemu Allah di daerah syuhada".

Nurli menarik tangan Norainmah meninggalkan daerah tenteram itu. Mereka berlalu meninggalkan Trafalgar Square ke stesen subway.

Musim silih berganti. Musim panas berlalu, diganti musim luruh. Butir- butir salji turun dari dada langit pada musim sejuk. Bunga berputik dan mekar pada musim bunga. Ramadan datang lagi.

Nurli hadir di Trafalgar Square. Trafalgar Square masih seperti setahu yang lalu. Nelson Column, New Palace of Westminster, 10 Downing Street masih seperti dulu.

Cuma, Nurli hadir tanpa Norainmah. Malah, tanpa Ikram juga. Dia mengakrabi Trafalgar Square, membiarkan aspal keras menampung diri. Dia mengiakan pawana lembut Ramadan membelai tubuh yang dibaluti jubah dan tudung hijau. Dia merelakan suria menyirami diri. Dia menyisihkan rusuh yang menyelinap masuk, menggoda tenteram di daerah hati. Mel pagi tadi benar-benar cuba mengganggu.

Ikram memimpin pemuda dalam gerakan FIS. Presiden Bouteflika menghulur tangan dan membuka dada kepada anak-anak watan. FIS kembali mengakar pada hati rakyat apabila berjaya menyingkir tohmahan keganasan. Nyata, provokasi sengaja dipercikkan supaya amarah meletus. Memang wujud keganasan, tetapi FIS dikambing hitam. FIS mengundang kesabaran sehingga wijaya bertandang. Ikram bertungkus-lumus, membina parti itu.

Cuma, semalam celaka menimpa. Keganasan tercetus lagi. Entah, siapa yang menimbulkan provokasi. Walaupun, tidak separah dulu, tetapi episod baru menggamit ketakutan. Demokrasi cuba dicabuli. Sekali lagi, FIS dikambinghitamkan. Kali ini, Ikram berkubu di tanah air, mempertahankan diri dan perjuangan. Tidak lagi melarikan diri ke bumi lain. Dia diseret ke penjara, menanti detik-detik pengadilan.

Nurli merusuh. Dada berombak, nafas halai-balai. Namun, Sallehuddin dan al-Fatih cepat memayungi daerah jiwa. Rusuh disingkirkan sebelum tenteram menakluk. Dia yakin, Ikram di pihak yang benar. Keyakinan itu dipasak, kukuh dan jauh mendasar ke bawah bumi seperti Nelson Column tegap di Trafalgar Square.

Pawana Ramadan membebaskan hati bersama-sama gerakan jubah dan tudung hijau itu. Nurli merasai kordial terhadap Ikram kerana jubah dan tudung itulah hadiah terakhir daripada Ikram. Dia mengharapkan Ikram istiqamah. Ya, istiqamah seperti dia thabat di Trafalgar Square itu dalam keyakinan Ramadan!

No comments: