Oleh Zaid Akhtar
DERITA yang terus menyeksa berlanjutan dari sehari ke sehari - tanpa henti-henti apa lagi menemukan penawar redanya. Alangkah sengsara!
Seingat anta, azab yang dideritainya ini sudah cecah dua minggu. Selama itulah, hampir saban malam anta terpaksa berteleku di depan monitor 15 inci. Duduk tanpa jemu. Sering kali juga anta menekan-nekan papan kekunci apabila datang ilhamnya, tetapi selebihnya anta hanya menatap saja skrin kaca itu. Ilham yang datang seringnya belum mesra, malah bagai pelesit pula perginya. Dan anta tidak tahu, berapa lama lagi harus anta berdepan dengan situasi menjerakan ini.
Perlulah dimaklumkan betapa ini bukanlah kali pertama anta menulis cerita pendek. Sudah puluhan kali. Malah yang telah tersiar di media saja sudah hampir mencecah 35 buah. Nama anta pun memang dikenali sebagai cerpenis prolifik, berjati diri dan kononnya agak menjanjikan sekalipun anta kerap juga menggunakan pelbagai nama pena tatkala menyiarkan karya yang kontroversi. Bagi anta, mengarang cerpen kerja enteng. Paling lewat pun proses garapannya cuma menelan dua hari. Tidak lebih daripada itu. Namun, entah mengapa kali ini, anta rasa berlainan benar. Cerpen anta yang sebuah ini beronak sungguh perjalanannya dan selalu pula tersekat-sekat kembara imaginasinya. Alangkah gharib!
Tidak seperti kebanyakan penulis yang melalui proses pengeraman bahan yang agak lama dan cerewet, anta adalah sebaliknya. Dengan draf pertama yang hanya terakam di minda ghalib, anta pantas menghadap komputer dan menaip terus. Anta tidak memerlukan pen, buku nota dan catatan kecil. Segala bahan yang kerap digali dari pembacaan, langsung dicanai-canai laksana roti segera di dalam kepala tanpa perlu diperam berhari-hari. Memang besar anugerah Tuhan dikurniai bakat demikian hebat. Rupanya bakat belum memadai kali ini. Belum pernah seumur hayat anta berkontra dengan krisis penciptaan sebegini. Selembap ini.
Sebenarnya, cerpen anta yang sebuah ini seperti yang lain-lain juga. Asasnya pembacaan dan cuba ditokok sedikit pengalaman. Cuma anta mahukan variasi berbeza pada karya anta kali ini. Kalau boleh anta mahu lari daripada bayang-bayang klise dan stereotaip yang dikatakan mengekorinya selama ini. Anta mahu bikin tajdid tersendiri yang kelak bakal jadi ikutan pula. Anta tidak mahu ia karya dicop terlalu konvensional dan biasa-biasa saja. Anta tidak mahu lagi karyanya dianggap picisan dan tidak mampu meningkatkan intelek pembaca. Inilah musykilnya.
Stereotaip? Memang kehidupan kita ini pun sesuatu yang stereotaip. Peniruan dan persamaan berlaku di mana-mana - waima kita sedar atau tidak sedar. Apa nak dihairankan? Cuma, janganlah sampai tiada langsung daya kreatif dan inovatif yang penulis ikhtiarkan supaya menimbulkan sedikit kelainan sekurang-kurangnya. Konvensional? Apakah salah masih di takuk konvensional jika mesejnya sampai? Apakah yang lebih baik daripada khalayak memahami apa yang mahu kita sampaikan bagi seorang penulis, kata anta.
Kalau nak bagi mudah orang faham, tulis eseilah!
Karyanya tiada pembaharuan - dulu, kini dan selamanya di situ juga!
Bukan sekali dua anta dikritik demikian. Sudahnya anta menulis pula dengan teknik nonkonvensional. Sangkanya mulut orang akan tertutup. Rupanya reaksinya lebih dahsyat. Anta dianggap cuba memperbodohkan pembaca, syok sendiri, hanyut dalam katarsis, dan terpengaruh aliran posmodenisme.
Picisan? Barangkali mereka tidak menyedari ilmu bantu yang anta senantiasa titipkan. Hampir setiap karyanya anta akan pastikan benar-benar menyelitkan ilmu sisipannya tersendiri, dan semestinya dengan penuh berseni. Memang itulah prinsip dan kemestian anta dalam berkarya. Anta masih dapat membezakan di antara sastera ringan-popular-serius. Dan anta juga bukanlah penulis yang tidak tahu membezakan di antara ilmu bantu dan prosedur. Hatta pernah suatu ketika ada pula yang menuduh anta sengaja menunjuk-nunjuk. Anta diklasifikasikan sebagai penulis yang gemar menempelkan fakta daripada buku yang dibacanya. Karya anta dilihat terlalu nipis nilai estetikanya. Anta hanya berupaya geleng kepala. Memang selalunya anta dapat bersabar bila mengenangkan kisah bagaimana Luqman Hakim bersama anaknya dan seekor himar berhadapan dengan manusia yang serba tidak kena. Ada-ada saja silapnya. Ah, mulut manusia mana boleh ditutup!
Puas mengeluh kerana masih terperangkap di perenggan yang sama, anta mencapai tetikus dan mencari fail puisinya. Diklik pada puisi terbarunya. Terpapar sepuluh bait puisi yang belum diedit. Memang puisi anta mutakhir ini panjang-panjang belaka. Kebanyakannya puisi pekik berbau patriotik; tiada yang lembut-lembut dan melankolik. Bukan apa, fikirnya sesuai untuk dideklamasikan dengan suaranya yang keras lantang. Justeru anta selalu juga mempersembahkan puisinya di mana-mana jika dijemput termasuklah pada malam Jumaat pertama setiap bulan di Rumah Pena anjuran Berita Harian. Namun anta hanya membaca puisi-puisi anta sahaja (jika tidak anta siapa lagi yang sudi membacanya?). Tidak seperti beberapa kenalan penulisnya yang hanya asyik mendeklamasikan puisi penyair ternama sedangkan puisi ciptaan sendiri baru beberapa buah saja. Itu bukan pemuisi namanya, itu pembaca puisi.
Terbaru, anta hampir menyiapkan empat buah puisi. Hajatnya mahu dihantar kepada penyelenggara Ratib Seribu Syair yang akan diadakan awal November depan. Kalau terpilih, bolehlah anta mendeklamasikan puisi anta itu nanti di depan khalayak. Khabarnya, segala puisi yang terhimpun itu akan diantologikan dan diberi cop mohor Malaysia Book of Records.
Anta kembali menatap draf cerpennya di skrin. Membaca semula dari awal. Memang sulit cerpen anta yang baru separuh ditulis ini. Tetapi mereka yang bakal membaca cerpen ini nanti tidak akan merasakan kesukaran sebagaimana yang anta rasai. Barangkali. Bukan barangkali lagi, tetapi pasti. Ah, bukankah kesulitan juga adalah nikmat?
Ya, suatu ketika, pernah juga cerpen anta dikatakan sukar dan leceh ditelaah. Sukar kononnya sebab disaratkan dengan falsafah dan saranan pemikiran, terlalu simbolik, atau lebih tepat lagi rumit untuk diharungi. Leceh pula lantaran penggunaan kosa katanya yang payah-payah, pelik-pelik dan langsung tidak pernah didengar sehingga memaksa pembaca membuka kamus (sambil menghamun!) lebih daripada sepuluh kali tatkala membaca karyanya. Itulah juga rungutan yang kerap dilemparkan kepada segelintir pengarang generasi anta. Segalanya sudah lali, bahkan yang merungut juga terpaksa mengakui: yang payah itulah yang nikmat!
Dan anta juga sudah mencuba menulis cerpen satira dan humor yang kononnya menjadi pilihan beberapa editor yang menggemari karya lucu. Anta berasa agak kelakar setelah ramai pemerhati berpendapat anta pelopor baru cerpen humor. Namun apa yang lebih kelakar kali ini apabila anta dinasihatkan agar cepat-cepat berkahwin setelah karya-karya anta yang sebegitu didakwa terlalu berbau erotis dan berorientasikan seks. Terbahak- bahak sudahnya anta bila mendengarnya. Macam-macam hal dunia sastera Malaysia.
Bagaimana boleh sejauh itu tuduhan mereka terhadap anta? Seolah-olah anta ini bermazhab sekular. Entahlah. Malas anta mahu memikirkannya sangat. Cerpen-cerpen anta, bagi anta, sekalipun humor, kebanyakannya Islamik. Kalau tidak Islamik, masakan majalah-majalah berunsur Islam sudi menyiarkannya? Alah, anta juga pernah menang hadiah sastera berunsur Islam. Memang mereka hanya pandai menuduh. Karya tak seberapa, komen saja yang lebih. Tak habis-habis dengki.
Sebut fasal hadiah, anta selalu mengingatkan diri sendiri dan mereka yang bertanya: karyanya bukan untuk menang anugerah. Menulis bagi anta satu ibadah. Anta mahu berdakwah kepada khalayak lewat karyanya. Mengarang bagi anta adalah perjuangan. Jika karyanya dipilih menang, anta bersyukur. Jika kalah, anta tidak pernah merungut dan mempertikaikan keputusan muktamad panel hakim. Tanpa ada peraduan pun anta tetap setia menghantar tulisannya ke mana-mana akhbar atau majalah yang sudah ditembusinya. Namun tahun lalu, ada juga penulis yang menyarankan agar hanya penulis yang pernah memenangi hadiah karya perdana sahaja yang layak diberikan tempat di dalam sebuah wadah sastera terkemuka demi menjamin prestijnya. Ramai yang tidak setuju.
Anta menekan kunci Ctrl+ S. Menyimpan segala yang ditaip oleh anta tadi. Terasa kini lebih selamat. Buku-buku yang tersusun di rak dikelihnya sekilas.
Selepas mengulang baca epik terunggul dalam sastera Melayu semalam, sebenarnya, anta tertarik dengan beberapa perenggan dan ayat yang rasanya sesuai untuk diselitkan di dalam cerpennya yang seterusnya. Ketara sungguh keindahan yang ada dalam maha karya yang kekal menjadi sebutan zaman- berzaman itu. Kendatipun ada keraguan juga di hati anta. Takut kalau-kalau tindakannya itu - andai tersalah langkah - boleh menjerat dirinya nanti. Banyak temannya yang dikatakan `terperangkap' dalam kancah `ciplaktanpa sedar'. Mereka memetik dengan sewenang-wenangnya tulisan orang lain untuk menghiasi karya mereka sendiri. Anta pun kadangkala keliru, malah ramai lagi yang masih gagal membezakan antara ciplak, cuplik, dan interteks. Bagi penulis yang tidak berpendidikan sastera secara formal macam anta tentulah kurang penjelasan apakah ia kreditasi, misalnya. Garis panduan dan penerangan yang sewajarnya, anta fikir, wajib diberikan oleh sarjana sastera. Selain menyelamatkan penulis daripada tersilap langkah, penjelasan itu nanti turut memudahkan tugas editor yang selalu dipersalahkan apabila tersiarnya karya ciplak. Anta tersenyum sendiri mengingatkan tampang beberapa teman seangkatannya yang selalu terpampang di akhbar tatkala polemik tersebut sedang meletup. Popular percuma sekelip mata.
Jam 1 pagi. Anta menguap, bukan tanda mengantuk. Jam 2 biasanya barulah mata anta akan memberat. Walaupun tidur lewat, namun anta masih gagah bangkit solat subuh esoknya. Anta menulis karya sastera Islam, justeru roh Islam itu perlu dihidupkan sama. Anta tidak mahu hanya pandai menulis, tetapi pelaksanaannya cuma omong kosong. Berhujah tentang Islam, walhal Islam tidak pernah hidup dalam diri sendiri. Macam mana ni? Tulis tak serupa bikin.
Lantas itu, anta memang cukup jaga penampilannya. Belum pernah anta berpakaian mendedahkan aurat apalagi meniru kaum lawan jenisnya. Maklum sajalah, penulis kadangkala macam artis. Public-figure yang menjadi role- model tontonan masyarakat. Memanglah kita mesti melihat pada tulisannya, bukan pada penulisnya. Tetapi anta rasa tidak enak. Penulisan adalah wahana dakwah baginya, justeru sebagai pendakwah anta semestinya berakhlak mahmudah dan menjaga personalitinya. Barulah khalayak dapat `beriman' dengan amanat tersurat dan tersiratnya dalam karya. Bak kata orang Arab menjadi seorang adib yang rabbani.
Meskipun cerpen ini masih tawil perjalanannya, anta berkira-kira mahu mengiriminya kepada sebuah media. Soal editornya akan menyiarkan atau membakulsampahkan saja karyanya, itu soal kedua. Tersiar atau terbiar, anta peduli apa. Anta tidak akan mengganggu apa lagi memaksa editor menyiarkan tulisannya. Tugasnya berkarya dan berkarya. Sepanjang pengalaman anta menggulati arena pencerpenan ini - mahu cakap besar tidaklah - hampir sembilan puluh lima peratus yang dihantarkannya kepada editor disiarkan. Begitu pun kadang-kadang ada juga yang tercicir. Anta tidak ambil hati dan kecewa. Bukan rezekinyalah tu, walaupun ada orang kata: kalau mahu karya tersiar, rampaslah isu semasa, gerenti akan keluar! Namun ada juga orang kata, karya sebegitu, karya `cetakan', fotostat, tiada kekuatan bertahan lama. Entahlah. Tiada upaya anta untuk memperkatakan itu semua. Tugasnya berkarya!
Akan tetapi, walaupun ikhlas dalam berkarya, pastinya terdetik rasa geram di hati anta dengan sesetengah penerbitan yang langsung tidak tahu menghargai keringat penulis yang menitis. Beberapa cerpen anta pernah tidak diberi honorarium oleh pihak yang menyiarkannya. Kalau sekali dua, mungkin boleh dikatakan mereka terlupa; tetapi jika ramai lagi teman-teman penulis yang menerima nasib serupa, bayangkan betapa dajalnya media tersebut. Kalau sagu hati cerpen yang tidak seberapa jumlahnya pun lokek untuk diberi, bayangkan pula royalti novel. Untungnya menjadi penerbit! Kokok ayam kampung menyedarkan anta sudah satu setengah pagi.
Anta membaca semula dari perenggan pertama hinggalah ke perenggan yang baru selesai ditulisnya. Aduhai, jauh lagi. Sedang mendaki konflik. Klimaksnya masih samar-samar. Esok anta harus menyambungnya kembali. Harapnya tidaklah tersangkut-sangkut lagi seperti malam ini. Derita menyakitkan begini harus dikhatamkan segera. Cukup sengsara anta selama ini.
Anta cuba memuhasabah diri. Menjejak asbab dirinya kehilangan punca. Mengenal penyakit sebenar yang menyerangnya. Bagaimana ya?
Gesit teringat kalam Pak Samad apabila ditanya bagaimana mahu menjadi penulis yang berjaya. Nasihatnya membaca, membaca dan membaca. Ya, barangkali anta wajib terus gigih membaca. Barangkali pembacaannya sebelum ini masih belum memadai. Barangkali mulai esok, anta terpaksa menyediakan catatan-catatan seperti orang lain juga. Barangkali juga selepas ini, anta perlu kerap menemui penulis mapan meminta petua. Anta senyum sendiri lagi. Memang penulis pun kadangkala tebal egonya!
Anta menguap buat kesekian kalinya. Untuk malam ini, rasanya cukup sampai di sini.
Noktah.

No comments:
Post a Comment