Pages

Friday, January 15, 2016

Raya Oh Raya

Oleh Mohd Kasim Mahmud

WALAU apa pun yang terjadi, Aidilfitri tahun ini kita mesti balik ke rumah emak saya," Senah bersuara tegas tanpa membuang pandang ke arah suaminya. Tangannya pantas menyapu lantai di ruang tamu. Dia ingin memastikan ruang tamu itu benar-benar bersih, tambahan pula fajar Syawal akan menjelang kira-kira setengah bulan lagi.

"Tidak, abang tak setuju. Tahun ini kita mesti balik beraya di kampung abang," Azlan membantah sambil mencampakkan akhbar Harian Metro ke atas meja kecil di dapan kusyen. Kemudian membetulkan duduknya agar lebih selesa.

"Saya tak setuju cadangan abang. Kita mesti balik beraya di kampung emak saya," Senah berkeras. Tangannya masih pantas membersihkan lantai di ruang tamu itu.

"Eh, mana boleh begitu. Bukankah tahun lepas, kita sudah balik beraya di kampung ibumu? Jadi, Aidilfitri tahun ini kita balik beraya di kampung abang pulalah," Azlan terus membantah tetapi dengan na-da suara yang semakin dilembutkan. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu bertengkar lagi dengan isterinya dalam soal itu sebagaimana tahun sebelumnya.

"Ah, itu tahun lepas. Dah tutup buku. Kita berbincang pasal Aidilfitri tahun ini."

"Mana boleh begitu, Senah. Apabila kita bercakap mengenai perkara ini, kita tak boleh lupakan begitu saja perkara yang sudah berlalu. Hah, bukankah perkara berlalu itu, ada kesinambungannya dengan hari ini dan akan datang? Lagipun sejak kita bernikah tujuh tahun lalu, tak pernah walaupun sekali kita menyambut Aidilfitri di kampung abang. Setiap kali Aidilfitri kita mesti balik beraya di kampung ibumu. Hah, takkan tak puas- puas lagi," Azlan terus-terusan membantah dengan memberi alasan yang dirasakannya cukup menasabah. Dia benar-benar berharap agar pada tahun ini isterinya dapat memenuhi hajatnya pula.

"Memang saya tak puas. Memang setiap kali Aidilfitri, saya hendak beraya di rumah emak saya," Senah enggan mengalah. Dia berpaling menentang wajah suaminya dengan wajah tegang dan mata bersaga.

Azlan tidak terkejut atas sikap isterinya itu. Memang diketahuinya sungguh-sungguh bahawa Senah seorang yang cepat naik angin, keras kepala dan meletup-letup. Sejak bernikah, isterinya itu memang begitulah penampilannya sepanjang masa. Mujurlah dirinya seorang suami yang mampu membendung kesabaran. Anehnya penampilan sedemikian tidak pernah pula ditunjukkan oleh Senah sepanjang mereka berada dalam alam percintaan.

"Awak jangan lupa, raya haji tahun lepas kita dah balik ke kampung abang. Malah pada hari raya haji tahun sebelumnya juga. Jadi, salahkah jika pada hari raya puasa tahun ini, saya mahu kita balik beraya di kampung ibu saya pula?"

"Balik-balik awak ungkit mengenai raya haji dua tahun lepas itu. Itu sajalah modal awak. Awak tahu, kalau dibuat perbandingan, ternyata selama ini tidak ada keadilan antara kita. Tujuh tahun bernikah, bererti sudah tujuh kali kita merayakan Aidilfitri dan tujuh kali pula menyambut Aidiladha. Hah, sejak itu, ketujuh-tujuh kali Aidilfitri kita balik ke kampung ibumu. Begitu juga semasa Aidiladha kecuali dua tahun kebelakangan, itulah baru kita balik ke rumah ibu abang," Azlan membentangkan fakta yang diyakininya sungguh-sungguh disedari oleh Senah. Cu-ma sifat kepala batu isterinya saja yang tidak memahami atau sengaja tidak mahu mengakui hakikat itu.

"Hal itu saya tahulah, tetapi a-bang lupakan janji-janji abang dulu?"

"Janji apa pula?"

"Sebelum bernikah dulu, abang banyak kali berjanji bahawa abang akan turut segala kehendak saya. Abang juga berjanji akan belikan saya barang- barang kemas. Apakah abang telah lupa janji-janji abang itu?" soal Senah dengan nada menekan sambil kedua-dua tangannya bercekak pinggang. Manakala pandangan matanya tajam menikam ke dalam mata Azlan.

Azlan tertunduk, tidak sanggup menentang tikaman mata isterinya yang tajam itu. Memang diakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

"Betulkah abang sayangkan Senah?" pertanyaan Senah yang lembut mengusap gegendang telinga Azlan di sebuah taman bunga.

"Hmm hm, Senah tak percayakan?"

"Bukan tak percaya, cuma Senah selalu dengar orang lelaki sebelum berkahwin suka berjanji macam-macam. Setelah kahwin lain pula ceritanya, janji ke mana, sayang ke mana."

"Eh, itu orang lain, abang tidak begitu. Abang berjanji setelah berkahwin nanti abang akan belikan Senah barang-barang kemas yang mahal- mahal dan cantik-cantik. Yang penting asalkan buah hati abang yang cantik ini menjadi isteri abang," ujar Azlan sambil mencuit dagu Senah. Semilir angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa terasa semakin menyemarakkan ikatan cinta mereka.

"Hah, abang dah lupakah janji-janji abang sebelum bernikah dulu?" Senah menyoal sekali lagi, sekali gus memutuskan pita lamunan Azlan.

Azlan menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembusnya dengan berat. "Abang akui, semasa kita bercinta dulu, memang abang ada berjanji macam- macam. Bukankah sedikit sebanyak abang telah menunaikannya? Abang dah belikan beberapa urat barang kemas...."

"Pasal barang kemas itu, saya akuilah walaupun tak sebanyak mana pun. Tak usahlah abang nak bangga-banggakan sangat. Kalau setakat seutas rantai dan seutas gelang emas itu, duit gaji saya kerja kilang dulu pun boleh beli," Senah memotong percakapan Azlan.

"Habis?"

"Kita bercakap mengenai hendak pulang hari raya Aidilfitri nanti."

"Tahun ini, kita balik sajalah ke kampung abang, habis cerita."

"Tidak, kita mesti balik beraya di kampung ibu saya."

"Bertolak ansurlah sedikit, bukankah sejak tujuh tahun dulu kita dah pulang beraya di kampung ibu awak?"

"Itu sajalah yang awak ungkit-ungkit. Aidiladha lain, Aidilfitri lain, tak sama kemeriahannya, tau!"

"Memang tak sama, tapi kedua-duanya hari raya juga, bukan?"

"Abang tetap mahukan Aidilfitri tahun ini, kita balik beraya di kampung ibu abang."

"Semasa bercinta dulu abang dah janji akan tunaikan apa saja kemahuan saya."

"Masa bercinta lain, sekarang kita dah beranak-pinak."

"Kalau begitu, abang lidah bercabang. Dulu cakap lain, sekarang cakap lain."

"Awak yang kepala batu, keras kepala, tak boleh dibawa bermuafakat langsung. Saya meluat dengan sikap awak ini."

"Meluat-luat pun, saya inilah yang awak kerkah hingga dapat lima anak," Senah melepaskan geram.

"Tujuh tahun saya bersabar, tujuh tahun saya turutkan kemahuan awak, sekali ini tak bolehkah?"

"Tak boleh."

"Apa alasan awak hingga sanggup membuat keputusan sekejam ini?" Azlan benar-benar berang. Nada suaranya bergetar.

"Tidakkah awak tahu, adik beradik saya cuma tiga orang saja. Kalau saya tak balik beraya di kampung saya, emak akan kesunyian. Dia akan berasa Aidilfitri tahun itu tak semeriah mana. Sebaliknya, adik-beradik awak sembilan orang semuanya. Kalau awak tak balik seorang pun, dia tak akan terasa apa-apa. Adik-beradik awak yang lapan orang lagi itu akan balik biarpun secara bergilir-gilir," Senah membentang alasan yang dirasakannya cukup kukuh bagi mematahkan keinginan suaminya.

Pertengkaran pada petang itu tercantas oleh suara tangisan Munirah, anak mereka yang bongsu. Senah berpaling hendak melangkah ke dalam bilik. Tiba- tiba pandangan matanya, menangkap wajah empat orang lagi anaknya di ambang pintu. Ada yang tercegat berdiri, ada yang tersandar dan ada yang duduk bersila dengan puting kopek terlekat di mulut dan hingus meleleh. Aksi mereka laksana sekumpulan anak-anak pelarian perang yang kelaparan, menanti ketibaan lori membawa bekalan makanan. Yang pasti semua wajah itu kelihatan tegang dan takut.

Azlan kembali terduduk di atas kusyen dengan wajah tegang dan kepala tertunduk. Kekecewaan benar-benar berakar umbi di ruang dadanya. Di ruang matanya terbayang seraut wajah ibunya yang kecewa lantaran ketiadaannya sejak tujuh tahun lalu pada setiap Aidilfitri. Begitu juga dengan abang, kakak dan adik-adiknya. Masing-masing berasa hampa kerana sudah tujuh tahun tidak dapat merasakan kemesraan menyambut Aidilfitri bersama-sama Azlan.

Petang esoknya, sewaktu pulang dari kerja, seperti biasa Azlan diserbu di muka pintu oleh kelima-lima orang anaknya yang berusia tiga hingga enam tahun itu. Manakala anaknya yang bongsu iaitu Munirah yang baru berusia dua tahun tergolek di atas tilam di tengah-tengah ruang tamu. Barangkali kekenyangan susu.

"Ayah, Min nak balik raya rumah Nek Sipah," ujar anak sulungnya Azmin yang berusia enam tahun.

Azlan tidak memberi sebarang jawapan.

"Ayah, Ani nak balik raya rumah Nek Sipah," ujar Noraini, anak keduanya pula yang berusia lima tahun.

Azlan tetap tidak memberi sebarang reaksi.

"Ayah, Ucop nak baik baya gumah Nek Cipah," ujar Yusof, anak ketiganya pula yang berusia empat tahun.

Azlan tetap membisu.

"Ayah, nak aik aya umah Nek Cipah," ujar anak keempatnya pula yang berusia tiga tahun.

Azlan sekadar menggeleng-geleng. Dia terus melangkah, menghampiri anak bongsunya Munirah yang tergolek di ruang tamu. Dia membongkok, mencabut puting kopek daripada mulut anaknya itu sambil mengagah-agah dengan menepuk-nepuk kedua-dua tapak tangan. Kanak-kanak itu terkodek-kodek bagai seekor ulat nangka sambil ketawa mengelekek. Azlan segera mengangkat Munirah, tetapi sebaik-baik saja dia ingin menciumnya, kanak-kanak itu berkata, "Aik aya Nek Pah, aik aya Nek Pah."

Begitulah, sepanjang masa dan setiap hari dia berada di rumah, anak- anaknya selalu menyebut kalimat yang sama. Namun dia tetap tidak memberi sebarang jawapan kerana meyakini segala-galanya itu perangkap yang cuba dipasang oleh isterinya. Sudah pasti Senahlah yang mengajarkan kalimat itu kepada kelima-lima orang anaknya. Sesekali dia mengerling ke wajah Senah, apabila anaknya menyebut kalimat itu. Senah kelihatan cukup selamba.

Namun asakan itu semakin kerap seiring semakin jauhnya putaran roda Ramadan. Azlan tetap tidak memberi sebarang persetujuan. Dia sudah membulatkan tekad akan membawa Senah dan anak-anaknya pulang menyambut Aidilfitri di kampungnya pada tahun ini.

"Dah beli tiket bas untuk pulang beraya?" bertalu-talu pula soalan itu dilontarkan ke gegendang telinga Azlan oleh Senah. Soalan itu seolah-olah sengaja dilontarkan mengiringi lontaran kalimat anak-anaknya. Namun Azlan tetap teguh mempertahankan pendiriannya. Dia tidak memberi sebarang jawapan.

Asakan daripada anak-anak dan isterinya yang berupa lontaran kalimat yang serupa semakin kerap hingga tidak menghiraukan waktu lagi walaupun dia sedang kepenatan baru pulang daripada kerja. Malah lontaran kalimat itu menghujaninya, setiap kali dia bertembung dengan anak-anak mahupun isterinya. Tidak mengira pagi, petang, malam atau sewaktu bangun bersahur.

Akhirnya Azlan tewas, tidak sanggup lagi menahan terpaan kalimat dan soalan yang serupa hampir pada setiap masa. Dia mengangguk-angguk bersetuju apabila anak-anaknya menyatakan mereka ingin beraya di rumah nenek sebelah isterinya. Dia juga menempah beberapa keping tiket bas untuk pulang menyambut Aidilfitri di rumah ibu mentuanya.

Sejak itu senyuman isterinya begitu melebar, lebih daripada hari-hari sebelumnya. Kadangkala Azlan berasa tercabar tetapi sebagai seorang suami dan pada bulan Ramadan yang penuh barakah pula, dia tetap bersabar. Biarpun sukmanya diselaputi mendung.

Kedamaian petang 27 Ramadan tersentak oleh deruman bunyi lapan kereta memasuki perkarangan kuarters buruh Dewan Bandar Raya itu. Azlan dan Senah segera menerpa keluar. Mereka terkejut besar apabila mendapati ibu dan adik beradik Azlan keluar daripada kereta bersama-sama keluarga masing- masing. Lebih-lebih lagi Senah, tidak menduga sama sekali akan menerima kehadiran begitu ramai tetamu.

"Er, mana Kak Leha, Mak?" tanya Azlan sambil memeluk dan mencium tangan ibunya.

"Kak Leha kau akan sampai esok. Dia akan bertolak lepas sahur."

"Er, lamakah emak di sini?"

"Seminggu."

"Er...."

"Dah tujuh tahun kita tak berkumpul pada hari raya. Jadi, pada tahun ini emak dan adik-beradik kau nak beraya puas-puas di sini. Kalau nak harapkan kau balik, rasa-rasa macam mustahil," sambut ibunya seolah-olah melepaskan geram.

"Er...." Azlan terasa bagai hendak pengsan. Begitu juga Senah. Dia dapat membayangkan betapa tidak menang tangan melayani tetamu-tetamu tak diduga sama sekali itu.

"Emak tahu rumah engkau sempit, tapi jangan bimbang. Bukankah halaman kuarters engkau ini luas? Sekejap lagi, Pak Long Usin dan Pak Ngah Berahim sampai bawa khemah besar. Orang perempuan tidur dalam rumah, orang lelaki tidur dalam khemah," sambung ibunya lagi sambil tersenyum lebar.

Kali ini Senah benar-benar terasa hendak pitam. Dia terduduk di atas kerusi buruk di tepi anjung. Azlan segera menariknya ke bawah pokok pisang di belakang rumah. Senah akur biarpun langkahnya terasa longlai.

"Nampaknya mereka berkampung selama minggu di rumah kita. Apa kita nak bagi makan?" suara Azlan berbaur cemas seiring nafasnya yang tertahan.

"Mereka tak bawa beras, gula, susu, kopikah?"

"Abang dah jeling-jeling, nampaknya mereka cuma bawa limau dan kui bangkit saja. Takkan kita nak melantak benda-benda itu saja!"

"Abang tak ada duit simpanan langsungkah?"

"Sebanyak manalah gaji abang sebagai buruh Majlis Bandar Raya. Cuma ada RM13.21 saja dalam buku BSN."

"Habis, macam mana?"

"Nampaknya abang terpaksa gadaikan gelang dan rantai emas kau tu...."

"Habis, raya ni saya gondol sajalah, tak pakai barang kemas," Senah membantah.

"Kita tiada pilihan. Lepas raya kita tebus semulalah," balas Azlan separuh meradang.

Senah terasa seluruh tubuhnya benar-benar longlai. Sewaktu suaminya ingin melangkah, dia bersuara dengan nada bergetar, "Bang, mulai tahun hadapan, kita bergilir-gilir balik kampung menyambut Aidilfitri. Kita mulakan dengan balik ke kampung abang."

Azlan terasa hendak tergelak. Tidak menyangka sama sekali hati isterinya yang keras membatu itu menjadi cair menjelang Syawal.

No comments: