Oleh Saroja Theavy Balakrishnan
HATINYA senyap menggelupur bagai geluntur seekor yang terkena garam barang sedikit lalu terlempar ke kering tanah. Di rumah kecil sebuah, kebuntuan menjadi batu-batan panas yang menghempap Norsiah dari segala penjuru maya. Pandangan perempuan muda itu mencari gadis kecil seorang, yang selama tujuh tahun lampau menjadi segala sebab untuk dia meniti tekad hidup yang kesuh-kesih dalam keruh air cemar di muara sungai mati.
Ibu muda itu melihat kosong ruang rumahnya. Suara comel anak kecil yang menjadi gita hidupnya tidak berkumandang. Harum mawar mulus itu yang memercik nira bahagia ke jiwanya sudah hilang. Yang nyata cuma kesepian dan keheningan yang bermaharajalela di rumah buruk sebuah itu, yang rimas dalam ketenatan hutan paya bakau kerana dinoda rakus dunia moden.
Terhendap-hendap dari tebal belukar pohon-pohon bakau, seseorang memerhati Norsiah. Tubuhnya yang pendek gemuk disorok baik-baik, agar Norsiah tidak menyedari kehadirannya. Baginya, membelalak perempuan muda yang memiliki tubuh menggiurkan itu lebih nikmatnya daripada menangkap biawak yang merangkak di busuk selut. Biarlah dia melayan nafsu sementara menunggu mana-mana biawak bodoh seekor memasuki perangkapnya di celah bakau reput.
"Di mana kau berada Jasmin, sayangku?" soal Norsiah untuk kesekian kali. Dia menangis, tetapi tiada air mata yang meleleh kali ini. Selama dua hari, seluruh penduduk kampung dan anggota polis sudah mencari anaknya yang hilang. Mereka mencari di setiap pelosok semak dan penjuru kampung. Di sekolah dan di rumah kawan-kawan. Ke hulu dan ke hilir, ada yang menaiki bot menyusur kotor tebing-tebing sungai; menggeledah segala sisa buangan manusia bertamadun, antaranya cawat-cawat plastik dan botol-botol plastik yang kesangsang membusuk. Namun sehingga kini yang berkibar bendera sifar cuma.
Dalam kekusutan fikirannya, syaknya melegari Nagayah, jirannya yang selama dua hari ini tidak pulang-pulang ke rumah. Rumah lelaki separuh umur itu terbina sepelaung jauh dari rumah Norsiah. Rumah buruk yang berlantaikan tanah dan lebih mirip bangsal itu, tidak berkunci tatkala pihak polis masuk. Tidak ada apa-apa yang ditemui kecuali hapak barang- barang lama. Cebis-cebis bau arak menerawang dari beberapa biji botol coklat tua yang kosong, terdampar di penjuru lantai.
Norsiah bangun lalu ke dapur. Dia meneguk segelas air paip lalu ke muka pintu semula. Di atas bendul, dia duduk menanti kepulangan anaknya. Dengan harapan sehelai, yang sering tercarik oleh tajam nayam pelbagai, penderitaannya terhempas ke ganas gelora yang membidas halus nubarinya.
Sejak akhir-akhir ini, kes kanak-kanak yang diculik dan dibunuh sering terbaca olehnya. Betapa hatinya remuk memikirkan seorang anak kecil di Sabah, yang diperkosa dan dibunuh oleh seorang remaja, kemudian mayatnya dibuang ke kawasan paya. Seorang lagi anak gadis di Merlimau dirogol dan dibunuh oleh rakan sekolahnya sendiri. Malah ada pula seorang bapa di Istanbul yang telah menyembelih beberapa orang anaknya hidup-hidup untuk makanan anjing kesayangannya. Kekejaman manusia kian merebak walaupun umat manusia sudah mengaku diri sebagai maju dan moden berbanding spesies manusia purbakala. "Oh, betapa keras dan kejam laku manusia-manusia itu!" desisnya.
"Sayangku Jasmin, pulanglah nak. Tuhanku, aku tidak empunya apa-apa di dunia ini kecuali anakku. Lindungilah ia daripada kekejaman dunia," ucap Norsiah.
Wajah comel Jasmin meresapi ingatannya. Samar-samar wajah Nagayah yang hitam legam menjelma. Kemarahan dan kebenciannya meluap-luap. Terasa kian menikam, tusuk-tusuk desakan yang muncul dalam pirih hatinya.
Betulkah Nagayah yang menculik Jasmin? Jika betul, mengapa? Soalan itu menerpa nubarinya untuk kesekian kali. Norsiah bukan orang kaya. Dia tidak mempunyai wang untuk membayar pampasan. Yang ada cuma dirinya dan itu pun rela diserahkan asalkan anaknya dipulangkan. Bagi Norsiah tidak ada yang lebih berharga daripada Jasmin. Dapatkah kasih sejati yang menetas di rahim seorang ibu, diukur dengan sebarang alat ciptaan manusia? Bukankah kasih itu sendiri anugerah Yang Esa?
Selama ini, dia dan Nagayah tidak pernah bermusuhan walaupun Norsiah tidak suka bercakap dengan lelaki itu. Ketika dia datang ke kampung ini lima tahun lalu, Nagayah sudah ada di situ. Dia hidup dengan menangkap ketam dan udang galah yang pada suatu masa dulu berlambak-lambak dalam sungai. Selalulah Norsiah dapat merasa ketam dan udang galah percuma ketika itu. Walaupun mereka suami isteri selalu bertengkar, pasangan yang tidak mempunyai anak itu tidak pernah mengganggu Norsiah. Malangnya, setelah ditinggalkan oleh isterinya sejak setahun lalu, Nagayah mula minum arak. Kadangkala ia menyasau seorang diri. Pada ketika itu, Norsiah akan mengunci pintu rumahnya rapat-rapat.
Entah kenapa, dari awal lagi Norsiah kurang suka akan Nagayah. Barangkali kerana Norsiah tidak mempercayai manusia yang bernama lelaki, apatah lagi seorang lelaki Tamil yang bukan seagama. Sedangkan kekasihnya yang seumat, seorang jejaka dari kampungnya sendiri, ghaib setelah dirinya mengandung, inikan pula seorang lelaki yang kaki mabuk. Masih adakah lelaki yang dapat dipercayainya?
Saban hari dia terpaksa bekerja mencuci kain baju orang dan membersihkan beberapa buah rumah banglo di kawasan itu. Seminggu dua kali, dia berniaga di pasar pagi, menjual ulam-ulam dan pucuk-pucuk paku dari hutan belukar. Apa saja kerja halal, dilakukannya untuk mencari rezeki. Sebagai ibu tunggal, sudah banyak tuba yang tertuang ke alur hidupnya sehingga ulas- ulas hidup terasa pahit. Ghair Jasmin yang menjadi manis madu mawar harum, ke gersang jiwanya menitis lembut. Lalu mengalir ke setiap saraf kewujudannya dan memberi segala sebab untuk ia bernafas. Kini tanpa Jasmin, semuanya bersepai kecai-ketai. Ke hadrah Tuhan, dia pasrah, tergapai-gapai mencari tangan kecil si anak yang terlalu disayanginya. Terlalu cintanya.
Entah di mana anak itu berada? Sedang berada dalam mulut buaya darat atau ditinggalkan di hutan supaya dibaham harimau? "Oh, Jasmin anakku sayang! Ibu tidak bermaya melakukan apa-apa untuk menolongmu," jeritnya kepada langit.
Si lelaki di dalam semak kian tercabar kelelakiannya. Harum mawar paya itumenyimbur ke ganas nafsunya. Sepasang matanya terbeliak. Mahu saja dia meluru ke arah Norsiah dan merangkul tubuh montok itu erat-erat. Namun, dia pasti ini bukan masa yang sesuai. Waktu petang begini, sesiapa pun boleh muncul dari lorong sempit yang menuju ke rumah buruk di penjuru kampung. Lagipun, tentu ada orang yang akan datang bertanya khabar tentang anak Norsiah yang hilang itu. Dia bertekad untuk menanti kala yang sesuai. Ke mana mawar paya sekuntum itu dapat melarikan diri? Bukankah selut air paya menyawar setiap langkah mawar?
Entah sudah berapa kali Norsiah ingin kembali ke petang itu dan menghalang segala-galanya. Dua hari dulu, Jasmin sedang bermain seperti biasa di halaman rumah. Menangkap pepatung dan rama-rama yang hinggap pada kelopak-kelopak bunga liar. Ani, anak Pak Hakim ada bersama-sama dengan Jasmin. Dia tidak pasti sama ada Nagayah ada di rumah, tetapi basikal buruknya tiada di bawah pokok ketapang. Norsiah cuma masuk ke dalam sekejap untuk menyediakan minuman dan bersembahyang. Sebentar kemudian dia memanggil Jasmin, tetapi tiada yang menyahut. Sehingga ke saat ini, Ani tidak dapat memberi sebarang jawapan apabila dipujuk oleh emaknya. Dia cuma menutup mukanya dan menangis.
Norsiah tidak tahu kepada siapa harus dia mengadu. Kampung halaman dan keluarganya sudah lama ditinggalkan kerana Jasmin. Dia memulakan hidup di tempat baru kerana tidak mahu Jasmin terdengar suara-suara sumbing. Kepada orang yang bertanya, dia menyebut suaminya berada di Sarawak. Begitu juga kepada Jasmin, yang dahagakan raut muka ayahnya. Namun anak itu sudah tidak memaksa ibunya lagi, kerana ia sudah biasa dengan hidup tanpa bapa.
Dari arah lorong sempit yang hampir ditelan belukar, beberapa orang perempuan muncul. Mereka menuju ke arah Norsiah yang masih di muka pintu. Lelaki pendek gemuk bermata sepet di sebalik semak menghilangkan diri untuk kemudian kembali lagi.
"Makan Norsiah, makan sikit," suruh Jamilah yang tinggal sekampung itu. Dia menyuakan nasi goreng dan teh-O panas yang dibawanya.
"Makanlah," kata Ponnamma yang membisu sekian lama.
Norsiah menjegil ke arahnya. Ponnamma tunduk.
"Di mana suami engkau menyembunyikan anakku? Pulangkan. Pulangkan," jerit Norsiah.
"Aku tidak tahu Norsiah. Pagi tadi, dua orang pegawai polis sampai ke rumah abangku. Mereka mencari Nagayah tetapi aku sendiri sudah dua bulan tidak berjumpa dengannya. Tidak kusangka suamiku sanggup," jawabnya lemah.
"Jangan bohong. Tentu engkau tahu. Suami engkau hendak menjual anakku. Dia mahu duit untuk minum arak," pekik Norsiah. Dia menyemburkan kata-kata kesat.
"Sumpah aku tidak tahu. Aku tidak bersubahat dengan jantan itu. Aku tidak sampai hati dan kerana itu aku kemari. Aku sayang akan Jasmin seperti anakku sendiri," ucap Ponnamma.
"Tidak. Engkau bohong. Cepat. Cepat pulangkan anakku," herdik Norsiah lalu meluru ke arah Ponnamma. Dia menyerang Ponnamma.
Perempuan-perempuan yang ada di situ menghalang Norsiah. Mereka mendudukkannya semula. Norsiah meraung dan menangis sekuat hati. Mereka menyabarkannya dan menyuruhnya mengucap.
Ponnamma menangis. Dia terlalu simpati melihat gelagat ibu muda yang kehilangan anak itu, tetapi apakan daya. Tidak disangka suaminya sanggup melakukan hal itu. Bukankah Nagayah juga membela dan menyayangi Jasmin? Betulkah Nagayah sanggup? Jika Nagayah tidak bersalah, mengapa pula dia menghilangkan diri? Kemarahan Ponnamma terhadap suaminya memuncak.
"Norsiah, sabarlah. Aku percaya Tuhan akan melindungi Jasmin," sebut Ponnamma.
Norsiah senyap. Dia sudah tidak bermaya untuk berkata apa-apa. Dia seakan tidak memahami makna sabar dan makna hidup.
Petang itu, semakin banyak orang yang datang menziarahi Norsiah dengan berbagai-bagai buah tangan. Menjelang senja mereka pulang kecuali Makcik Minah, perempuan tua yang sebatang kara. Dia ingin menemani Norsiah pada malam itu. Ponnamma pulang ke rumah buruk yang ditinggalkan sejak setahun dulu. Dia mahu tinggal di situ, sehingga Jasmin ditemui. Alangkah terkejutnya ia, melihat keadaan rumah itu.
Malam itu ketika merebahkan tubuhnya di atas tikar buruk untuk kesekian kali, Norsiah merindui anaknya. Bagaimana tangan-tangan kecil halus lembut Jasmin akan merangkulnya sepanjang malam, dalam tidur memanggilnya "ibu, ibu," Norsiah sebak. Penderitaannya memuncak. "Oh, Tuhan kalau anakku Kau- jemput, berikanlah aku mayatnya. Kalau ia masih hidup, bawalah ia pulang kepadaku. Aku hanya manusia kerdil di bawah takdir-Mu," ucapnya perlahan. Berderai air matanya, jatuh membasahi kering mengkuang lusuh.
Pada waktu rembang esoknya, lelaki pendek gemuk itu muncul semula di sebalik belukar. Kegirangan meronai wajahnya apabila ia ternampak Norsiah di muka pintu. Seleranya terbuka. Dia terlalu mengingini perempuan cantik di depan mata itu. Dia menggigit bibir sambil meramas hancur daun hijau sehelai, terdesak-sesak menanti saat sesuai.
Norsiah turun ke tanah. Dia berjalan di sekeliling rumahnya, sambil memanggil-manggil anaknya. Barangkali Jasmin masih bermain-main di dalam belukar seorang diri, fikirnya. Lebih baik dia mencari daripada duduk menanti. Norsiah berpirau-pirau ke arah hutan paya.
Norsiah melangkah dekat lelaki pendek gemuk di dalam semak belukar. Dengan pantas lelaki itu bangun dan cuba menerkam Norsiah dari belakang. Tepat pada saat itu, suara Ponnamma melaung memanggil Norsiah. Lelaki itu tersentak, lalu dengan pantas bersembunyi semula. Norsiah tidak menyedari kehadiran lelaki itu. Sejurus kemudian, Ponnamma tiba di sisi Norsiah dan melelar tangannya agar pulang.
Ponnamma memimpinnya naik ke rumah semula. Ketika itu, kedengaran suara riuh rendah dari arah lorong sempit di hadapan rumah. Salah seorang pemuda kampung sedang mendukung Jasmin. Dia menuju rumah Norsiah. Di belakang mereka, dua orang anggota polis.
Ponnamma menjerit-jerit memberitahu Norsiah hal itu. Norsiah meluru turun ke arah anaknya. Dia merangkul anaknya yang tidak bermaya dengan penuh kasih sayang. Jiwanya dihujani jutaan embun kesyukuran apabila Jasmin membuka mata.
"Kak, kami ternampak Nagayah membawa anak kak dekat Simpang Lima. Apa lagi, kami meluru dan membelasahnya sampai lembik. Pihak polis sudah membawa kaki botol itu ke hospital," sebut pemuda yang membawa Jasmin tadi.
Beberapa orang pemuda lain turut mengulangi cerita itu dalam versi masing-masing.
"Ibu, ada dua orang jahat yang menangkap Min. Mereka memasukkan Jasmin ke dalam guni. Pakcik Naga memukul mereka, dia menolong Min," ucap Jasmin terputus-putus. Dia memeluk ibunya erat-erat.
Mendengar itu, Ponnamma menangis. Dia meraung memanggil suaminya lalu meluru turun. Dia berlari ke arah jalan besar. Norsiah sempat menangkap kelibat Ponnamma yang hilang di sebalik hijau belukar tinggi. Sambil mendukung anaknya, Norsiah menjejaki perempuan gempal itu. Dia harus menemui orang yang menyerahkan semula harum mawar kepada dirinya yang bernafas dalam paya kesesakan. Di dalam semak belukar, seseorang merengus dengan amarah yang membara. Esok dia akan kembali lagi untuk mencari peluang yang lebih sesuai. Mawar sekumtum di hutan paya itu harus dipetik, dicium puas-puas harumnya sebelum dipijak-pijak ke dalam kotor selut paya.

No comments:
Post a Comment