Pages

Wednesday, January 27, 2016

Harapan Tidak Pernah Mati

Oleh Tiras R

5 OKTOBER 2001

 Hening dinihari dipecahkan oleh batuk yang kuat diikuti bunyi air paip mengalir deras. Gema dentungan gayung jatuh ke lantai mengejutkan Husni daripada lelap yang baru bermula. Bergegas bangun menuju ke bilik air. Bercangkung di lantai, Ras muntah. Husni mengurut belakang isterinya. Dia terkejut apabila terasa lengan Ras amat panas. Segera dia menekap dahi, pipi dan leher Ras.

"Kita ke hospital sekarang juga," katanya sambil memapah Ras ke katil. Secepatnya dia menukar baju, sepantas itu juga dia memakaikan jaket dan tudung untuk isterinya. Ras tidak berdaya walau untuk berkata-kata. Pengalaman silam mengajar Husni bertindak segera. Perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai yang mengambil masa hanya 20 minit waktu lengang begitu terasa seakan 20 jam.

Husni berdoa sambil sesekali menoleh ke sisi. Ras separuh sedar. Wajahnya semakin pucat. "Ras, Ras!", panggilan itu mengelus gendang telinga Ras tetapi suaranya tidak terkeluar untuk menyahut. Dia tidak berupaya membuka mata. Dunia berputar dan mulai gelap.

Sejarah tidak patut berulang. Apa lagi sejarah pahit. Tetapi hakikatnya sejarah sering berulang. Kegerunan mulai bersarang pada benak Husni. Sunyi malam tidak berjaya meredakan riuh gemuruh perasaannya yang mulai merusuh. Tuhan! AWAL JUN 1995

Mengapa dia tiba-tiba berubah? Tidak seceria dahulu. Sering diam. Mudah marah jika silap sedikit. Masanya banyak dihabiskan dengan berbaring. Sebab kerjakah? Sejak berkahwin dia sudah bekerja. Dulu kami tiada pembantu rumah. Sekembalinya dari pejabat dialah yang memasak dan membuat kerja rumah sementara aku membantu menguruskan tiga anak kami yang masih kecil. Masa itu sikapnya tidak pula begini. Pelik. Kini pembantu rumah ada. Dia perlu melayan kerenah anak dan aku. Melayan aku pun hendak tak hendak saja. Apabila ditanya jawapannya: "letih!"

Dia yang aku kahwini enam tahun lalu memiliki hampir segalanya. Tinggi lampai, cantik, periang, bijak, gemar bersukan dan aktiviti lasak. Dia sentiasa bertenaga. Sering aku yang terkejar dan tercungap apabila berjoging atau bertenis. Aku bangga memilikinya walaupun ketika di kampus, aku tahu aku pilihan kedua.

"Mungkinkah dia mulai bosan dengan aku? Aku tahu Kamal berada di KL. Kata seorang kawan, dia bekerja di MegaCom. Manalah tahu diam-diam dia menghubungi isteri aku?" Aku meluahkan keraguan kepada Jalil, teman rapatku sejak zaman Asasi Sains di UM.

"His! Jangan syak yang tidak-tidak. Kamal sudah kahwin dan ada anak. Aku tidak percaya dia sanggup buat begitu. Sebaiknya kau tanyalah Ras dan berbincang masalah yang sebenar," saranan Jalil kusambut dengan renungan.

"Masalahnya orang perempuan payah dibawa berbincang. Mereka bercakap dengan perasaan bukan dengan pemikiran. Apabila aku tanya lebih sedikit, mulalah dia naik marah."

"Salah membuat tanggapan rambang begitu. Tidak semuanya emosional. Ras yang aku kenal seorang yang boleh diajak berunding jika kena gayanya. Berlembutlah dengan dia, aku percaya kau akan dapat jawapannya," kata-kata Jalil yang begitu meyakinkan memberi aku kekuatan mencari jawapan secara lunak dan mesra.

Namun jawapan itu datang tanpa ada perbincangan. Malam itu ketika makan dia hanya duduk membatu. Tiada selera katanya. Kurenung wajahnya. Baru kusedar mukanya cengkung. Matanya sedikit terperosok ke dalam dan tidak bermaya. Ada kesan lebam sepanjang bawah kedua belah mata. Aku pujuk dia makan dengan alasan supaya anak-anak seronok makan. Dia makan seperti menyental kain buruk ke dalam mulut. Tidak lama kemudian dia bangun ke bilik air. Dia muntah. Kemudian dia masuk bilik dan terus tidur.

Keesokan harinya dia tidak bangkit awal seperti selalu. Dua tiga kali kukejutkan namun dia tidak juga berganjak. Dia mengeluh sakit di sendi kaki dan tangan.

"Ras rasa tidak larat hendak bangun, bang," lemah nada suaranya.

Aku menelefon Dr Hatta. Dia menasihati aku membawa Ras ke kliniknya segera. Ras cuba tersenyum ketika aku membantunya bersiap. Wajahnya hampir putih seputih bantal. Mengapa dia begitu pucat? Sepanjang jalan ke klinik fikiranku berbaur, antara cemas, takut dan bimbang. Anemia? Anorexia? Anemia? Anorexia? Atau sakit apa? Ah, jika itu aku tidak perlu bimbang. Itu adalah penyakit yang mudah diubat dan jarang membawa maut. Bagaimana jika penyakit lain?

"Husni, saya sudah menelefon ambulans. Isteri awak perlu pemeriksaan teliti doktor pakar di hospital," kata Dr Hatta sejurus selepas membuat pemeriksaan ke atas Ras, membuat aku panik.

"Awak boleh menemaninya dalam ambulans. Nanti berjumpa dengan Dr Faraizah di Jabatan Hematologi. Dia sudah saya hubungi," kata Dr Hatta. Ini mesti serius, getus benakku.

Di klinik Hematologi, mereka melakukan pemeriksaan darah Ras. Sementara itu Ras dimasukkan ke wad. Aku menunggu keputusan ujian dengan segala gelisah. Perasaan cemas sesekali bertukar menjadi rasa bersalah dan marah pada diri sendiri. Sepatutnya aku menyedari perkara ini dari awal. Mengapa aku mengesyaki yang bukan-bukan? Mengapa tidak aku duga yang dia menanggung derita sakit?

Di situ aku temui beberapa orang pesakit yang datang untuk rawatan lanjut atau ulangan. Ada seorang kanak-kanak seumur anak sulungku botak kepalanya kerana rawatan kemoterapi. Masih kelihatan riang dan leka bermain brick-game walaupun nampak lemah dan kurang bermaya. Aku berasa sedikit lega dalam tertekan, mengenang anak-anakku yang sentiasa sihat dan cergas.

MULAI PERTENGAHAN JUN 1995

Lebih tiga bulan aku menyimpan marah terhadap Mama. Semakin aku cuba melupakan kemarahan itu, semakin bertambah jadinya. Mama yang aku kenali sejak kecil lagi sudah berubah. Dulu dia pengasih, suka memeluk dan membelaiku setiap kali dia balik kerja. Walaupun aku punya dua adik, sayang dan perhatiannya padaku tidak berubah. Dia sentiasa melayanku apabila aku bercerita tentang apa sahaja. Mama juga suka buat kelakar terutama apabila aku dan adik-adik tunjuk perangai atau merajuk.

Sedihnya, kebelakangan ini Mama banyak diam, dia banyak habiskan masanya di dalam bilik. Mama juga sudah tidak keluar ke padang untuk bersukan sambil memerhatikan kami bermain waktu petang. Yang menjadikan aku mula marah kepadanya ialah pada satu petang, dia memukul tanganku dengan reket badminton ketika mengajar aku membuat servis rendah dan pantas. Sambil itu dia marah-marah dan mengatakan aku lembab dan menyusahkan dia. Padahal sejak dua tahun lepas Mama selalu berkata aku berkebolehan dalam sukan dan dia mengajar dengan penuh kesabaran. Katanya, kejayaan bukan semata bergantung kepada kekuatan tetapi lebih kepada kesungguhan dan keyakinan. Aku membuktikannya dengan menjadi juara perseorangan peringkat sekolah dan daerah.

Kemarahanku bertambah apabila Mama tidak peduli untuk membawa Ori, kucingku yang tiba-tiba selesema dan sakit mata, ke klinik. Masa itu Abah ke luar kota kerana bertugas. Mama minta aku tunggu hingga Abah balik. Ditambah pula dengan pelbagai lagi kejadian yang aku rasa Mama sudah macam tidak ada perhatian terhadap kami bertiga. Begitupun marahku hilang tiba- tiba apabila melihat Mama terlantar di hospital. Badannya jadi sangat kurus, hampir sama rata dengan katil. Tahulah aku kini mengapa Mama berubah.

"Leukemia adalah sejenis barah yang menyerang darah," Abah mengingatkan aku kepada satu dokumentari TV. Ia bermakna rayuan derma tulang sum-sum, kesakitan yang amat dan pesakit mati cepat. Tiba-tiba rasa takut yang amat menyerang perasaan. Bermulalah hari-hariku yang kelabu. Aku hilang selera makan dan sukar tidur mengenangkan Mama.

"Abah pastikah Mama sakit leukemia?" Aku mengharap Mama hanya sakit biasa saja.

"Ya. Dr Faraizah kata Mama telah diperiksa oleh semua pakar yang berkaitan, pakar hematologi, onkologi, urologi dan neurologi. Mereka sepakat mengatakan itulah sakit Mama. Tapi Farah jangan risau, mereka semua berusaha untuk sembuhkan Mama. Kita berdoa..." Abah nampak tenang. Pernyataan Abah gagal mententeramkan aku malah sebaliknya.

Menurut Abah, Mama diserang leukemia jenis ALL iaitu acute lymphoblastic leukaemia. Aku menyemak ensiklopaedia perubatan untuk mengetahui lebih lanjut. Peluang untuk pesakit sembuh 80 peratus. Pun begitu, bergantung kepada tindak balas tubuh pesakit kepada rawatan. ALL sangat sensitif kepada kemoterapi, iaitu penggunaan dadah untuk membunuh sel kanser.

"Mama, Farah takut kalau Mama mati. Mama tak akan mati kan?" Kupeluk Mama sepuas hati sebelum waktu melawat berakhir.

"Kematian itu hakikat hidup. Semua yang hidup akan mati. Hanya cara dan masanya berbeza. Farah usah takut dengan kematian, ia perkara biasa." Mama mengusap rambutku dengan jarinya yang tinggal tulang. Kuku Mama pucat kebiruan. Begitu juga wajah Mama. Aku menangis mendengar jawapan Mama. Mama melihat ke luar tingkap.

Rawatan kemoterapi membuat Mama sangat lemah dan tidak ada penumpuan untuk membuat apa-apa hatta mengurus dirinya sendiri. Di antara sesi kemoterapi Mama dibenarkan pulang ke rumah. Abah menguruskan Mama seperti Mama menguruskan adik Izhar ketika adik masih bayi. Dia terpaksa bergantung segalanya kepada orang lain. Kalau bukan Abah, Kak Yati, pembantu rumah kami yang melakukannya. Aku tahu betapa Mama membenci kebergantungan itu kerana selama ini dia seorang yang sangat berdikari. Dia mengasuhku dengan sifat itu sejak aku masuk sekolah tahun satu. Aku membasuh kasut, mengemas bilik sendiri dan menolong Kak Yati melipat kain setiap hujung minggu.

Aku dan adik-adik seronok apabila Mama balik ke rumah, tetapi kegembiraan itu menjadi kesedihan. Tiada gurauan, tiada lagi keriuhan. Rumah kami yang ceria kini menjadi seperti tempat perkabungan. Abah bawa kami ke padang setiap petang. Kami bermain tetapi tidak segembira dulu. Pulang dari padang kami akan meluru masuk bilik tidur Mama, takut terjadi apa-apa pada Mama.

Di samping dadah yang diperlukan untuk melawan penyakit, Mama juga mengambil ubatan untuk meredakan jangkitan kuman. Ia membuat Mama sering loya dan muntah. Kulit Mama yang halus cantik kini dipenuhi dengan ruam dan bintik merah. Mama tambah derita dengan ulcer mulut dan kerongkong yang membuatnya payah menelan makanan. Rambut Mama gugur. Mama kelihatan seperti makhluk asing dalam filem Cones yang botak kepalanya.

Lapan bulan kemudian Mama pergi ke Hammersmith Hospital di London sebanyak dua kali untuk pembedahan pemindahan tulang sum-sum. Makcik Zuraidah, kawan rapat Mama jadi pendermanya. Doktor juga membuat rawatan autologus bone-marrow transplant, kaedah paling canggih merawat leukemia. Aku gembira kerana Mama kelihatan sihat sekembalinya dari London. Mama sudah boleh bersenam dan melakukan sedikit kerja rumah. Pun Mama belum berhenti makan ubat walaupun setelah Mama boleh bekerja semula enam bulan selepas itu. Namun itu sudah cukup untuk kami kembali ketawa. Tetapi sampai bila? ALL tetap menghantui Mama, lebih-lebih lagi aku.

9 OKTOBER 2001

Ruang menunggu di Jabatan Hematologi, Pusat Perubatan Pantai agak sunyi. Ia terpisah dari koridor oleh tembok separuh dinding yang dipenuhi pasu berisi pokok keladi liar yang cantik berjuntai ke bawah. Husni dan Farah gelisah menunggu Dr Lee Moon Keen yang kini menggantikan tempat Dr Faraizah sejak persaraannya.

Pada saat menanti, Husni menjadi bertambah ragu. Bagaimana jika kali ini aku benar-benar kehilangan dia? Tiba-tiba sahaja soalan itu menerpa. Dia tidak dapat membayangkan betapa pilu perasaan anaknya menghadapi trauma itu sekali lagi. Tambahan pula bulan puasa menjelang tiba. Kemudian menyusul pula hari raya. Bagaimana jika hari raya kali ini aku terpaksa beraya dengan anak-anak tanpa dia? Kepalanya tiba-tiba tunduk terkulai seperti seketul batu besar jatuh ke atasnya.

Mengenangkan takdir Allah tidak mampu ditolak manusia, Husni mencari kekuatan dalam dirinya. Dia korbankan segalanya untuk kesihatan Ras. Masa, tenaga dan wang dicurahkan. Dia terkenangkan banglo di pinggir TTDI, hasil titik peluhnya, yang baru didiami enam bulan terpaksa dijual untuk kos rawatan Ras di London. Begitu juga kereta kesayangannya. Jiwanya sepanjang dua tahun setengah Ras menderita sakit, ikut menderita. Namun dia puas. "Aku tidak akan menyesali perpisahan kerana aku merelakan pertemuan," bisik hatinya sambil menggenggam erat tangan Farah.

"Encik Husni, maafkan saya. Emmm, saya tidak dapat memberitahu apa-apa tentang hasil ujian ke atas Ras Afilia. Katanya, dia hendak beritahu sendiri." Kata-kata Dr Lee Moon Keen menambahkan cemas hati Husni. ALL kembali ke arena fikirannya. Farah memandang ayahnya dengan pandangan seribu soalan. Bergegas mereka meninggalkan Jabatan Hematologi menuju wad.

Bilik 212 dengan langsirnya berwarna biru muda berseri oleh jambangan bunga segar. Ras Afilia sedang menikmati keindahan replika lukisan Jean Claude Monet yang tergantung di dinding apabila suami dan anak perempuannya tersembul di pintu. Dia tersenyum menyambut kehadiran mereka.

"Kenapa adik-adik tidak dibawa bersama?" Ras memeluk Farah sambil merenung  ke wajah Husni.

"Lebih baik mereka tidak ada di sini. Barangkali mereka belum boleh faham, apa lagi untuk menerima berita yang kurang menyenangkan."

"Mengapa tidak? Ras hendak beritahu berita baik, bang! Mereka tentu gembira!"

"Berita baik?"

"Emm. Ujian menunjukkan kita akan dapat seorang anak lagi. Bukan ALL!!"

"Jangan bergurau. Mustahil segala doktor pakar menjalankan ujian selam empat hari hanya untuk beritahu Ras berbadan dua?" Husni merenung wajah pucat Ras penuh curiga.

"Sejarah perubatan Ras kan begitu buruk. Sebab ALL itulah maka doktor terus buat segala pemeriksaan berkaitan leukemia. Apabila semua keputusan ujian darah okay barulah mereka rujukkan Ras kepada pakar perbidanan dan sakit puan. Mereka pun manusia macam kita yang membuat keputusan berdasarkan pengalaman. Ras sendiri tidak menyangka dalam perut ini ada makhluk rupanya!" Jawab Ras separuh ketawa.

Husni dan Farah terdiam. Sangkaan buruk mereka meleset sama sekali.


No comments: