Pages

Monday, January 25, 2016

Hantu Megat Micheal Semaun

Oleh Zainal Rashid Ahmad

MEGAT Micheal Malaun memang terkenal kerana kepintaran dan bakat intelektual yang luar biasa. Dia kolumnis tunggal yang menulis di lapan akhbar utama tanah air, mewakili empat bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Dia menguasai semua bahasa itu pada tahap mengagumkan.

Tapi Megat Micheal Malaun, hodoh orangnya. Kepalanya terlalu besar untuk saiz badannya yang agak kurus itu. Lehernya kecil dan agak panjang dan tak sepadan dengan dadanya yang agak berbidang, ditambah pula dengan bahunya yang leweh nampak seakan-akan dia bak patung orangan yang dipacak tengah bendang dan akan tumbang bila-bila masa saja sekalipun ditolak angin lalu.

Lebih teruk lagi, perutnya buncit dengan bontot yang tonggek dan kakinya pula katik sesekali bila kalut berjalan, dia seakan-akan jelmaan seekor itik air.

Dia wartawan terbilang, yang tahu dan menguasai makna maklumat, berpengetahuan luas dalam ekonomi, pendidikan, kebudayaan, kesusasteraan, politik, sejarah, antropologi, malah sains dan teknologi, malah perubatan, malah geografi dan tidak ketinggalan juga, dia tahu segalanya isi perut peristiwa dalam dunia hari ini, kata Profesor Emeritius Tan Sri Yak Yak Ye, panel yang menyampaikan ucapan pengantar ketika dia dipilih memenangi Anugerah Wartawan Diraja beberapa tahun lalu.

Saban hari, nama Megat Micheal Malaun terpampang di pelbagai akhbar dia menulis pojok khas berbau politik di akhbar Utusan Harian dan Berita Melayu manakala di akhbar The Times dan The Moon, dia menulis kolum mengenai ekonomi dan politik antarabangsa. Dia menulis juga secara harian rencana pengarang China Times dan The Society News dalam mandarin manakala dua akhbar Tamil, Nanban dan Osai menyediakan kolumnya secara mingguan.

Selain itu, Megat Micheal Malaun, satu-satunya wartawan Malaysia yang diterima tulisannya oleh HeraldTribune, New York Times, Washington Post, Forbes, Fortune dan segala macam penerbitan lima bintang di seluruh dunia. Jadi terkenallah dia hingga kehodohannya tidak berani diperkatakan orang kerana dia sangat disanjungi dek kebijaksanaannya.

Dia Bumiputera. Itu pasti cuma darahnya sukar sikit nak dikelaskan sebagai Melayu. Neneknya dari Indonesia berdarah kacukan Bugis dan Belanda dan dikahwini datuknya, seorang Arab Mesir yang memulakan sejarah perniagaan akhbar Melayu di Singapura.

Keturunan sebelah ibumu ada campuran juga, datukmu orang putih dan nenekmu pula pemain bangsawan berdarah Sunda, cerita arwah ayahnya. Dan Megat Micheal Malaun tahu, nama Micheal itu diperoleh kerana datuknya dari sebelah ibunya mahukan dia memiliki nama begitu, sesuai dengan setitik dua darah Inggeris yang ada dalam tubuhnya.

"Mana datangnya nama Megat pula?" Dia bertanya pada arwah ayahnya yang nampak agak bingung malam itu.

Menurut ayahnya, datuknya dulu banyak membaca buku mengenai sejarah Melayu sebagai salah satu cara untuk lebih memahami perwatakan orang Melayu. Tapi hingga kini, setelah datuknya yang berdarah Inggeris itu mati, timbul tiga andaian mengenai dari kisah mana sebenarnya terbit nama Megat itu.

Ayah percaya nama Megat itu diambil dari nama Megat Seri Rama yang memberontak menentang sultan yang zalim di Kota Tinggi. Datukmu bangga dengan Megat Seri Rama yang sanggup mati demi menuntut keadilan terhadap cerita seulas nangka yang menyebabkan isteri mati ketika hamil.

"Tak," bantah arwah ibunya, "Megat tu dari nama Megat Panji Alam, datukmu kasihan dengan pahlawan Terengganu itu yang kehilangan tunangnya, Tun Teja dek dilarikan Hang Tuah untuk Sultan Melaka."

Tapi bagi Megat Micheal Malaun sendiri, dia lebih percayakan mimpinya bahawa Megat itu diperoleh dari kekaguman datuknya terhadap hulubalang Perak, Megat Terawis.

"Malaun pulak mana datangnya?" Tanyanya pada diri sendiri.

"Kerana dalam fikiran dan hatimu, kau ada potensi jadi berbahaya," kata jin yang pernah datang dalam tidurnya.

Dua

Pada usia 44 tahun dan setelah lebih suku abad menulis dalam dunia persuratkhabaran sesuai pula dengan cita-citanya untuk meneruskan perjuangan datuk di sebelah ayahnya hartawan Arab yang mempelopori syarikat akhbar Melayu pertama di Singapura Megat Micheal Malaun mahu menjadi pemimpin akhbar arus perdana tanah air. Dia mahu menduduki salah satu kerusi sama ada di Berita Melayu atau Utusan Harian.

"Kau sepatutnya memimpin surat khabar dan bukan setakat kolumnis," kata sahabatnya, Rajuli Badur. Megat Micheal Malaun masih ingat, waktu itu dia dan Rajuli Badur duduk bersantai atas bot mewah di Laut China Selatan meraikan kejayaan temannya yang dipilih sebagai Pelakon Lelaki Glamour, anjuran sebuah kumpulan media terkenal.

"Takkan kau tak ada cita-cita besar?" Tanya Rajuli Badur lagi sambil menjeling geram ke arah Pima Dona, yang hanya berbikini, pelakon baru itu mengikutnya bercuti di tengah laut.

"Kau macam tak tahu, pula," rungut Megat Micheal Malaun, "susah untuk aku, sebab orang tak anggap akuni Melayu sejati. Darah aku bercampur- campur. Hanya setitik saja darah Melayu."

Rajuli Badur ketawa kuat berdekah-dekah hingga merah matanya dan air liur meleleh keluar dari kiri dan kanan bibirnya membasahi seluruh badannya. Megat Micheal Malaun hanya terdaya melihat saja akan gelagat temannya itu ketawa, hingga tanpa disedari, percutian seminggu itu berakhir hanya dengan ketawa Rajuli Badur yang tak henti-henti itu.

Tiga

"Saya nak jadi bos akhbar, tok," kata Megat Micheal Malaun dengan wajah yang sedih.

Asap kemian kuning bercampur bau gaharu memenuhi ruang bilik yang sempit itu. Bilik sempit berdinding tenunan rotan itu berbau hamis dengan tompokan baju bak kain buruk bertaburan di lantai. Hanya ada dua tingkap kecil terbuka dan udara malam dengan bau hutan di kaki bukit menyelinap masuk lalu berbaur dengan asap dupa.

"Hmmm aku dah nampak masalah kau besar ni, kira-kira berat juga," kata bomoh Jiman Jakun sambil menundukkan mukanya mengadap wap asap yang makin tebal dek campuran kemian. "Nampaknya nak kena berjamu sikit, hantu aku ni nak habuan sebab kerja ni susah."

Megat Micheal Malaun termenung, mulutnya terlongo sedikit dan matanya nampak tak keruan. Dia terus memerhatikan bomoh Jiman Jakun yang sedang bermentera sambil bersila, dan tunduk rapat menyedut asap dari bekas dupa. Sesekali bomoh tua itu mengilai-ngilai ketawa dan sesekali bercakap-cakap sendirian dalam bahasa yang sukar difahami.

Mula-mula terbit juga rasa gementar dan tidak percaya dengan apa yang sedang dilakukan bomoh itu tapi sebaik saja mengingatkan bahawa bomoh itulah yang mengangkat kerjaya sahabatnya, Rajuli Badur ke tahap glamour seperti sekarang riak hatinya kembali lega dan bersemangat.

"Kau ni Melayu ke?" Tanya bomoh Jiman Jakun tiba-tiba.

"Emmm tulah masalahnya, tok," jawab Megat Micheal Malaun, "saya sendiri tak tau. Kalau ikut kad pengenalan kira Melayulah tapi nak jadi bos akhbar Melayu yang bermula dengan sejarah perjuangan Melayu dan hingga hari ini mendukung cita-cita perjuangan Melayu saya ni macam tak layak sikit."

Bomoh Jiman Jakun mengangkat mukanya dengan mata terbeliak, Megat Micheal Malaun tersentak dek rasa takut. Tapi dia segera sedar, wajah itu tanda reaksi yang bomoh itu kurang faham dengan kata-katanya.

"Gini tok, keturunannya saya dari segi darah, Melayunya tu tipis sikit, sedangkan nak jadi bos akhbar tu, saya perlu kelihatan seratus persen Melayu, bersejarahkan Melayu, berwawasan Melayu. Makna kata sepenuhnya Melayu," kata Megat Micheal Malaun dan kali ini sedikit sebak.

"Huh," bomoh Jiman Jakun mendengus, "pada aku kau dah Melayu bukan setakat jadi bos akhbar, jadi menteri atas kuota Melayu pun kau dah kira layak."

"Kalau macam tu tok, tolonglah saya."

Empat

"Siapa nama kau?" Tanya Megat Micheal Malaun di luar nampak suluhan cahaya matahari menembus masuk. Sekilas Megat Micheal Malaun sedar, dia berada dalam sebuah gua.

"Aku Jin Melayu yang akan memelayukan kau!" Megat Micheal Malaun mengangguk-anggukan kepala sekilas dia teringat pesan bomoh Jiman Jakun bahawa musuh sebenarnya yang menghalang dia bergelar bos, bukanlah soal keturunan, tapi bos yang sedia ada tak mungkin memberikan laluan kepadanya.

"Kau ni, percaya sangat hal tahyul mengenai darah dan genetik tu," kata bomoh Jiman Jakun, "kau tak tengokni muka ketua kau yang ada sekarang yang dok halangkau jadi bos."

Megat Micheal Semaun menundukkan mukanya mengadap buyung kecil berisi bunga-bunga pelbagai warna dan beberapa biji limau purut yang dipotong- potong. Dia memerhatikan hingga sepet matanya dan kemudian memandang muka bomoh Jiman Jakun.

"Kalau macam tu, kita musnahkan penghalang ni lah," kata Megat Micheal Semaun pada bomoh Jiman Jakun yang kemudian tersenyum lalu ketawa bagai orang gila.

"Kau kena bertapa sini seratus hari," kata Jin Melayu, "tak boleh makan apa-apa kecuali berteh goreng, kau kena zikir nama aku, seru nama aku tiap kali matahari terbit dan tenggelam."

Megat Micheal Malaun diam tak berkata apa-apa dalam fikirannya dia terbayang kerusi nombor satu di akhbar Utusan Harian atau Berita Melayu. Dia akan jadi Melayu selepas ini.

Lima

Entah sudah berapa bulan atau barang kali sudah bertahun-tahun lamanya dan dia sendiri tidak begitu pasti. Cuma sejak ke belakangan ini, dia tahu yang dirinya memiliki keupayaan yang amat luar biasa dalam bidang matematik dan astrologi. Beberapa hari lalu, ketika terbaring di luar gua sambil mengadap langit malam yang luas dia tiba-tiba berasa terperanjat kerana untuk pertama kali dia dapat mengira berapa jumlah sebenar bintang di langit.

Berikutan penemuan penting itu, dia segera bangun lalu memanjat gunung hingga ke puncaknya. Menjelang Subuh, ketika kakinya dipenuhi selut dan betisnya berdarah dek terjahan akar dan ranting tajam barulah dia yakin sudah berada di puncaknya dia sekali lagi berbaring di tanah lalu mengadap langit. Tiba-tiba dia mendapat jawapan bahawa untuk mengetahui berapa jumlah pasir di pantai, dia hanya perlu mendarab jumlah bintang dengan jumlah pokok-pokok di hutan. Manakala untuk mendapat berapa jumlah jin di dunia ini, dia hanya perlu mencampurkan jumlah manusia dengan jumlah binatang yang pernah hidup pada abad lalu.

Megat Micheal Malaun sangat gembira dia kini bukan saja bakal ketua akhbar Melayu yang berpengaruh, malah tak lama lagi dia akan mengepalai orang Melayu untuk menyelongkar pelbagai penemuan baru yang bakal menyatukan ilmu matematik dan astrologi. Dia amat senang hati. Megat Micheal Malaun benar-benar senang hati kerana selepas bertahun-tahun berkelana tidak tentu arah tuju dalam hutan banat yang tebal itu, untuk pertama kali dia merasa yakin, dirinya benar-benar Melayu.

No comments: