Oleh Zanazanzaly
AKU jenuh berikhtiar untuk tidak mendengar suara penaka bunyi keldai hendak berbini saban malam itu. Dia menelefonku sekadar untuk sembang- sembang. Jika karyanya tersiar di akhbar, lebih acap dia mengganggu, sehingga tiga, empat kali sehari - bertanyakan pendapat, komen dan apa-apa lagi yang mahu kuulas mengeni karyanya yang mendapat tempat di media itu. Selebihnya, dia menyumbar tentang gagasannya; revolusi pemikiran homo sapiens dimensi baru.
Bukan sekali dua secara baik aku menolak berbual dengannya, tetapi dia tetap bebalkan diri dan terus-terusan menghubungi. Jika aku beri alasan, dia akan bertempik ala tarzan atau lebih tepat ala mat gian yang putus bekalan di hujung corong sana. Pilihan terakhir untuk tidak diganggu, aku menukar nombor telefon. Hidupku nanti aman daripada gangguan manusia aneh itu.
Namun seminggu kemudian, aku diterpa kehairanan menerima satu panggilan daripada seseorang yang amat kukenali suaranya. Sah, dia berjaya menghubungi aku lagi! Akhirnya aku terpaksa mengakui, tidak guna melarikan diri. Dia memang manusia yang tidak kenal erti putus asa untuk mendapatkan sesuatu, itulah yang aku rumuskan.
Semenjak hari itu, tak sudah-sudah dan tak pernah dia tidak menghubungiku. Caranya kali ini berlainan sekali. Dia tidak lagi bertempik atau menyeranah sebaliknya memuji karyaku dan mengutuk karya penulis lain yang kononnya memutar-belitkan fakta, menyusahkan pembaca dan memusnahkan dunia penulisan tanah air. Selebihnya, dia menerangkan perihal kehebatan idea dan pemikirannya yang sering diterap dalam setiap karyanya, dan meminta ulasanku. Jika pemerianku tidak selari dengan pemikirannya, dia tidak pongah seperti dulu lagi.
"Merubah sebuah masyarakat yang terbius oleh materialisme bukannya kerja mudah. Mereka sudah mangli dengan kehidupan serupa itu, tiba-tiba kau mahu menyongsong angin, kenalah engkau teguhkah pasakmu supaya tak tunggang terbalik dirempuh mereka," katanya.
Kekuatannya cukup aku kagumi dan kepandaiannya berhujah serta teknik ghuzwatul fikrnya menunjukkan dia betul-betul mahu mencipta dunia yang dimaksudkannya. Mungkin dia belajar daripada kesilapan lalu, agar tidak terlalu memihak kepada diri sendiri dalam berhujah. Dia cuba menarik rambut di dalam tepung. Dan sebagai penulis, aku pernah juga belajar kaedah beretorik serta kaedah menghadirkan khalayak pembaca ke dalam cerita, agar mereka asyik maksyuk tidak berganjak dari pembacaan mereka. Aku kira itulah pendekatannya kini.
Dia tidak lupa memuji setiap kali aku mengiakan katanya. Baginya, akulah manusia yang pandai menilai, pemuja kebenaran sehingga kononnya aku layak direkrut ke dalam kumpulannya yang dinamakan Ting-Teng. Aku teringatkan sesuatu tatkala mendengar senarai nama tertentu yang dimaklumkan berada dalam carta teratas organisasi itu. Mereka itu amat popular menghasilkan tulisan menghentam ulama terdahulu. Dakwa mereka, ulama salaf atau para sufi tidak boleh dijadikan sandaran. Pendapat dan amalan kesufian mereka hanyalah untuk menunjuk-nunjuk kewarakan dan tidak rasional. Sikap jumud mereka memundurkan penganut Islam dengan kongkongan pemikiran sehingga untuk bertanya tentang Tuhan pun mereka tidak benarkan. Bodoh, begitu bodoh para sufi dan ulama kecanduan agama. Betulkan? Dia kemudian gelak mendengar diamku.
Kadangkala diam lebih baik. Aku sudah terhidu kohong gerakan yang diketuainya itu. Tampak sekali gagasan yang bakal memporak-perandakan kesucian agama yang dianggap candu olehnya. Impak pemikiran juga tumpah ke fizikalnya. Aku sedari itu sewaktu dia mengunjungiku di pejabat. Wajahnya saling tak tumpah jerangkung bermata merah cekung, bola matanya tidak pernah menentang mataku. Dia berbau hapak, hamis yang cukup meloyakan tekak.
Pahit untuk kuteguk kenyataan bahawa lelaki yang berdiri di depanku itu seorang penyair. Gagasan yang dicanang hilang lewat perwatakan terpamer. Namun aku tidak mahu tertipu dalam mencari kebenaran. Setelah dia pulang, aku menyedari bahawa ilmu Tuhan amat luas dan ada perkara yang tidak tersimpulkan dek akal.
Aku menyusuri perkenalan kami. Pertemuan di sebuah acara baca puisi tidak banyak mempamerkan wataknya. Dia kukenali sebagai pendiam, tidak suka bersosial dan sering mengelak daripada bertemu penulis lain. Aku pelik memikirkan kesudiannya menegurku yang masih baru dalam dunia penulisan. Dan aku terharu mendengar komennya tentang karyaku. Dia mengenaliku rupanya!
Khabar dari rakan penulis, dia antara penulis yang sering mengikuti perkembangan penulis muda tanah air. Dia membaca setiap karya bakat baru. Tidakkah lebih baik dia menumpukan sepenuh perhatian untuk melahirkan karya agung?
Aku menyambung lagi tali ingatanku. Sebulan daripada tarikh pertemuan itu, aku menerima panggilan daripadanya. Dia tidak setuju dengan langgam penulisanku. Hujahnya, sebuah karya tidak dianggap bermutu jika ia tidak mesra pembaca. Apakah aku menulis untuk dibaca ayam-itik?
Apa erti sastera? Aku melontar persoalan. Kedengaran dia mendengus dan menyepak sesuatu. Tanpa menjawab, dia menyebut nama beberapa orang penulis yang syok sendiri bermain kata-kata, sehingga sesetengah pembaca hilang minat untuk mengikuti karya sastera. Kemudian dia membebel seputar jati diri penulis. Penulis sekarang hilang jati diri. Menulis untuk cari makan, mengikut selera editor dan gila publisiti. Dia ketawa berdekah dan menyumpah dan menyeranah beberapa nama.
Esoknya, dia menelefon lagi. Seperti semalam dia membebel perkara yang sama. Sesekali terdengar sosek-sosek. Engkau demam? Dia menafikan. Selsema sedikit, aku terkena embun semalam. Dinihari baru aku balik ke rumah, berbincang dengan rakan-rakan perihal dunia penulisan. Dia kemudian menguap beberapa kali.
Suatu hari, aku dapat menghidu keegoannya yang memuncak. Selain mengangkat dirinya melangit mengakui bahawa karyanya saja patut dibaca dan dirujuk kerana ia sarat pemikiran bernas - malah mengakui hanya ideanya sahaja yang logik bahkan boleh diguna-pakai untuk seribu tahun kehidupan akan datang, dia menyatakan dirinya sudah terlepas daripada ikatan candu agama. Dia bermimpi Karl Marx tersenyum dan menepuk bahunya - Andalah pewaris kebenaran dan keadilan yang bakal mengubah dunia!
Benarkah, atau kau hanya berhalusinasi? Pertanyaanku disambut jerkahan. Dia mula bercerita. Semenjak kecil dia selalu bermimpi duduk di atas singgahsana. Manusia datang berbondong-bondong sujud di kakinya. Para agamawan, ulama, ahli akademik, penyair dan seluruh manusia hatta jin sekalipun mendengar titahnya. Apa alamatnya, hah? Bukankah itu petanda aku akan menjadi manusia tersohor? Nabi Yusuf sendiri didatangi mimpi petanda sebelum menjadi Perdana Menteri Mesir. Ho,ho!
Kononnya, dialah penyair abad ini yang paling unik dan kelak bakal tergolong dalam masyarakat kelas atasan. Dia angkuh mengisytihar dirinya pengkagum filosof barat - yang kononnya maha hebat dengan teori raksasa yang bisa membolak-balikkan percaturan alam. Aku hanya diam mendengar kebatilan yang terbit hari demi hari, sambil mencari siapakah dia sebenarnya?
Aku menjadi penunggu setia saban malam. Sebelum ini aku membenci suaranya, tetapi bermula hari ini aku merindui pannggilannya. Biarlah karyaku tak disentuh, pengalaman ini lebih prior untuk aku mengenali manusia. Aku semakin hampir kepada pencarian sebuah kehidupan dengan panggilan daripadanya sebentar tadi.
Dia menyeruku mendengar ceritanya. Seminggu lalu dia tidak dapat tidur, dia hanya mahu bercakap, bercakap dan bercakap. Katanya masyarakat sudah gila bahkan seluruh isi dunia juga sasau. Oleh kerana itulah, yang benar telah dianggap batil, dan kerana itu jugalah karyanya dianak-tirikan oleh sesetengah media cetak. Manusia hanya memandang material dan kelulusan dan sanggup membutakan mata kepada kebenaran. Aku jadi mangsa kebodohan, dan aku wajib mengubahnya. Aku akan ajar mereka! Dia bertempik semahunya.
Aku tekun mengamati kesumat dendam, amarah dan sumpah-cerca yang terlahir dari gelodak jiwanya itu. Gambaran manusia paranoid bermain-main di layar fikiranku.
Dia sudah kronik. Kecelaruan personalitinya pada tahap parah yang tak terubat lagi kecuali turun keajaiban atas kehendak Yang Maha Kuasa. Dia tidak tahu bahawa aku juga tahu dia sedang berperang dengan borderline. Sejak awal perkenalan kami dulu, dia sering berusaha melenyapkan perasaan terabai dan dipinggirkan masyarakat persekitaran akibat kemiskinan keluarganya. Gangguan identitinya ketara kerana sudah acapkali dia meluahkan ancaman mahu bunuh diri atau paling tidak, mencederakan diri sendiri setiap kali dia dikritik atau tatkala berasakan kehidupannya kosong.
Semakin lebat berhujah, kegalauan emosinya kian terpampang. Sikapnya yang tidak betah mengikut norma sosial dan suka bertindak menyalahi undang-undang itu menunjukkan dia turut mengalami gangguan personaliti jenis anti-sosial. Mendengar bebelannya dari masa ke semasa, semakin hilang rasa hormatku terhadapnya. Sebagai manusia aku empati dengan yang dialaminya lalu sanggup menjadi pendengar setianya.
Pengidap sindrom seperti itu gemar memutarbelitkan fakta dan berbohong untuk kepentingan diri sendiri. Seketika dulu aku kurang pasti punca dia selalu menolak permintaanku untuk membantu merumuskan satu teori, memandangkan tabiatnya yang suka membaca dan kelebihannya yang pantas menghafal segala fakta. Aku ketahui kini, dia amat bimbang dan gerun jika dikritik, lalu mengelak untuk menanggung risiko kerana khuatir gagal dan dipandang rendah pemikirannya.
Kecelaruan personalitinya makin ketara ketika dia mencela orang lain tidak bagus, dan yang baik, mulia, bagus hanya hak mutlak dia seorang. Bongkaknya melampau sehingga apa sahaja yang melintas di depan mata yang tak berjaya dimiliki akan dituding sebagai anggur masam. Pernah kalian dengar cerita atau membaca kisah musang yang terliurkan anggur di dalam kebun, yang kemudiannya memujuk hatinya mengatakan anggur itu masam dan tidak sedap semata-mata kerana gagal memperolehinya.
Akhirnya aku simpulkan, aku tidak perlu memarahi dia. Dia manusia berpenyakit. Sah, dia mengalami kecelaruan personaliti. Aku tidak mendiagnosis dia tanpa pemeriksaan, tetapi gejala yang dipamerkan oleh pesakit sepertinya cukup membuktikan kesimpulan itu. Sikapnya yang selalu inginkan perhatian orang, emosi yang sering berubah dalam jangka waktu pendek dan suka membesarkan hal remeh-temeh juga menjadi dalil simptom histrionik yang bergejolak dalam jiwanya.
Disebabkan dia terlalu sensitif dengaan kritikan maka dia sering bertindak agresif dengan melemparkan tuduhan dan syak wasangka buruk terhadap orang lain. Dia memilih kawan yang sebulu dengannya saja kerana gejala manusia jenis ini tidak menyenangi hubungan sosial yang erat dan cenderung kepada aktiviti bersendirian atau dalam kelompok kecil, jenis mereka sahaja.
Seminggu aku tidak mendengar khabar darinya. Aku mempunyai tugasan di Malaysia Timur. Sekembali dari sana, dia sekali lagi mengunjungiku. Dia semakin nazak. Schizotypal pula menyerangnya. Kali ini topik bebelannya condong ke arah metafizik pula, serentak disusuli hilaian yang meremangkan bulu tengkuk. Lama aku amati buah pertuturannya. Pemikirannya kini menjurus kepada kepercayaan terhadap kuasa ghaib yang menyimpang. Pernah juga sampai ke gegendang telingaku, cerita rakan penulis satu generasi menyatakan dia mengalami halusinasi.
Pada malam akhir Ramadan, dia sengaja mendugaku dengan soalan yang menuntut kesabaran maksima. Dia terus-terusan merepek. Lantang suaranya berhujah seputar kejadian malam al-Qadar. Kononnya malam yang dianggap lebih mulia daripada seribu bulan itu hanyalah omong kosong Tuhan semata. Dia menyuruh aku mentakwil logiknya. Jika terjadi malam itu di Malaysia kira-kira jam 3 pagi sedangkan di sebelah barat pada waktu itu jam 3 petang. Jadi beruntunglah orang di ufuk timur kerana semua malaikat akan turun membawa rahmat kepada mereka dan alangkah malang manusia soleh di barat sana kerana malaikat tak mungkin akan turun semula setelah naik ke langit sebelum fajar.
Terbahak-bahak dia ketawa. Aku tidak menyanggah logiknya. Aku minta diri untuk tidak meneruskan perbualan. Sebelum meletakkan gagang, aku bertanya; "Jika agama itu hanya mengikut logik, mengapa tidak Rasulullah menyapu khufnya pada sebelah bawah?"
Dia tidak lagi menghubungiku selepas itu. Sebagai teman, aku cuba merisik khabar daripada rakan serumahnya. Aku terkejut apabila diberitahu dia sudah berpindah tanpa meninggalkan pesanan.
Karyanya masih lagi tersiar di akhbar tempatan, isu yang di ufuk masih tidak berubah, gagasan dan persoalan yang tidak mudah dijawab tanpa menelusuri sejarah pemimpin agung dunia. Nama yang disenaraikan saja cukup membuatkan orang awam gerun mendengarnya, bimbang roh mereka akan bangkit menjajah dunia kembali.
Suatu dinihari, aku terlalu mengantuk untuk terus memandu pulang ke rumah. Aku memberhentikan kereta di tengah jalan berhampiran sebatang lorong gelap. Aku tertidur dua jam dan berniat untuk meneruskan perjalanan, namun hasratku terbantut tatkala melihat sebatang tubuh mengerekot di jihat kiri lorong, beralaskan surat khabar. Aku memikirkan itu hanyalah seorang penagih dadah atau orang gila, pengemis atau insan putus cinta, yang tidak perlu aku pedulikan.
Saya menghidupkan enjin tetapi gagal. Dua tiga kali mencuba, tidak berjaya. Setengah jam aku mencari punca, tetap juga tidak dapat menemui kerosakannya. Aku terfikir untuk meminta bantuan manusia yang sedang tidur pulas itu. Mungkin dia dapat membantu.
Aku beranikan diri menghampiri, mencuit bahunya, sekali. Dia masih enak tidur. Aku menggoyang bahunya dua kali, agak keras sedikit. Dia menggeliat dan mendengus, meracau-racau dengan bebelan yang tidak pasti butirnya. Aku kawal perasaan dengan memberi salam namun tak bersahut. Susuk tubuh kerempeng itu cuba kutarik sedikit agar menelentang, namun belum sempat tubuh itu aku balikkan, pandanganku tertancap pada hamparan surat khabar alas tidurnya.
Tajuk sebuah rencana dalam ruangan sastera dalam lembaran akhbar yang renyuk itu mengalih tumpuanku. Dalam suram Subuh, aku terhendap-hendap meneliti tulisan itu. Rencana seputar falsafah keadilan dan kebenaran mendesakku untuk melihat nama penulisnya. Ah! Bagaimana boleh sampai terlepas daripada mengikutinya? Biarpun jauh di mata, saya tetap berminat menjejaki benang pemikiran teman saya yang sudah menghilang itu sekadar mengikuti perkembangan gagasannya. Sudahkah dia mencapai matlamatnya?
Sedang kuterkindap-kindap mencari carikan akhbar untuk memastikan tarikh siaran rencana itu, aku dijerkah gelandangan itu. Aku baru saja ingin menyatakan maksud membangunkannya, tetapi mulutnya lebih cepat meleteriku kerana tidurnya diganggu. Aku tidak hiraukan leterannya, sebaliknya meluru ke arah cebisan kertas akhbar yang disapa angin, beberapa meter dari tempat baringannya. Rencana bertarikh dua hari lepas itu rupanya disiarkan sewaktu aku sibuk dengan tugasan luar.
Aku berpaling ke belakang. Dalam keadaan mamai, dia bertatih menghampiriku. Apakah dia mahu menumbukku? Aku akur menerima natijah, jika itu tindakannya. Namun sangkaanku meleset. Sembari menggesek-gesek mata dan mengesat hidung, dia bersuara garang. "Hoi, kawan! Tak sudah-sudah aku diganggu nyamuk dan tikus mondok, engkau manusia mabuk pula menjarah waktu tidurku. Dasar kapitalis, lintah darat, mabuk candu!" Bebelannya berpanjangan sewaktu tubuh hapaknya bersetentang dengan saya. "Apa kaumahu?" Dia masih menggenyeh matanya, sehingga melindungi separuh wajahnya.
Seekor tikus sesat berlari di depannya. Dia tunduk untuk memijak binatang itu. Pil berwarna-warni bertaburan jatuh dari poket kemeja lusuhnya. Tikus lari berdecit-decit. "Pergi jahanam dengan dunia!" Dia sempat menyumpah sebelum mengangkat mukanya memandangku. Sejurus mata kami bersatu, dia tercengang melihat mulutku terlopong, seolah-olah terserempak hantu.
"Engkau!" hanya perkataan itu yang terpancul dari bibirku.

No comments:
Post a Comment