Pages

Thursday, January 21, 2016

Zuriat

Oleh R Hamzah Dua

PAP! Dia menutup buku setebal 213 halaman itu. Belumpun sampai separuh dibacanya. Dia menyandarkan belakangnya di kusyen empuk, memandang siling ruang pejabatnya - membiarkan fikirannya mengembara jauh entah ke mana.

Tok! Tok!

Tiba-tiba ketukan pintu dari luar mengejutkan Muhammad Fitri yang sedang membiarkan fikirannya mengembara jauh entah ke mana itu. Pandangannya ditumpukan ke arah pintu.

"Masuk!" Katanya sepatah sambil membetulkan cermin matanya. Duduknya juga dibetulkan.

"Maaf Yang Berhormat," Seorang gadis manis membuka bicara. Senyum. Menawan senyumannya. Mendebarkan rasa.

"Ya, ada apa, Zurini?" Muhammad Fitri memandang kepada setiausahanya itu.

"Ada orang nak jumpa dengan Yang Berhormat."

"Siapa?"

"Err, saya tak kenal dia. Katanya, mustahak dia nak jumpa dengan Yang Berhormat."

"Baik, suruh dia masuk."

"Terima kasih, yang berhormat," kata gadis yang baru berusia 25 tahun itu sambil berlalu keluar. Lenggangnya diperhatikan seketika oleh Muhammad Fitri.

Sebentar kemudian, seorang perempuan berusia kira-kira 40 tahun muncul di muka pintu. Muhammad Fitri terkejut amat. Ditatapnya wajah perempuan itu beberapa ketika. Dia semacam tidak percaya. Satu macam keanehan menyelinap di dasar sukmanya.

"Err, kau Sarinah?" terloncat pertanyaan itu dari mulut Muhammad Fitri.

"Ya, saya Sarinah. Maafkan saya, kerana datang mengganggu abang," kata Sarinah - bekas isteri Muhammad Fitri yang telah diceraikan 23 tahun yang lalu. Satu jarak waktu yang sudah amat lama berlalu. Tetapi kenapa sekarang tiba-tiba saja Sarinah muncul di hadapanku? Kenapa? Muhammad Fitri benar-benar semacam tidak yakin, tidak percaya bahawa setelah 23 tahun berpisah, Sarinah akan muncul semula di hadapannya. Tentu ada sesuatu, maka Sarinah datang ke sini, fikir Muhammad Fitri. Bingung.

Sarinah masih berdiri, memandang bekas suaminya. Tidak banyak perubahan pada diri Muhammad Fitri, walaupun sudah 23 tahun tidak ditemui, fikir Sarinah. Kalau adapun perubahan yang nyata pada pengelihatan Sarinah, kini Muhammad Fitri sudah agak dimamah usia. Tetapi kelihatan masih sihat. Perubahan yang lain, terutama dari segi kedudukan Muhammad Fitri juga diketahui oleh Sarinah. Dulu, ketika mereka masih berkongsi hidup, Muhammad Fitri hanya memegang jawatan sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan. Selepas mereka berpisah, Muhammad Fitri mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi sebelum itu dan dilantik sebagai timbalan menteri kewangan. Selepas itu, apabila dia berjaya memenangi kerusi DUN kali keempat, dia dilantik pula menjadi Menteri Kewangan.

"Err, apa hajat awak datang ke mari?" tanya Muhammad Fitri setelah mempersilakan Sarinah duduk.

"Ada hal mustahak yang nak saya bincangkan dengan abang," kata Sarinah.

"Emm, apa pula mustahaknya tu?"

"Pasal anak kita, Aryani."

"Err, anak kita?" Muhammad Fitri agak tersentak. Ditatapnya wajah Sarinah beberapa ketika.

"Ya, anak kita. Anak yang abang tinggalkan sejak 23 tahun yang lalu," kata Sarinah - membiarkan wajahnya ditatap oleh lelaki yang pernah berkongsi hidup dengannya itu.

Muhammad Fitri terdiam.

Sarinah juga diam. Dan pada saat itu juga dia dijentik oleh kenangannya ke masa-masa yang telah lama berlalu di mamah waktu.

Malam ketiga setelah kepulangan Muhammad Fitri dari luar negara, Sarinah menyampaikan sebuah berita kepada suaminya. Waktu itu mereka sedang berbaring di atas katil bertilam empok, sementara menunggu mata hendak terlelap.

"Bang..."

Muhammad Fitri membalikkan tubuhnya, menghadap isterinya.

"Kenapa Inah?"

"Ada berita gembira yang nak saya sampaikan kepada abang."

"Inah dah mengandung tiga bulan, bang."

Muhammad Fitri terdiam. Dia semacam tidak percaya mendengar berita yang disampaikan oleh isterinya. Tidak mungkin! Bentak hatinya. Tiga bulan Muhammad Fitri keluar negara atas urusan politik, selama itu juga kandungan Sarinah. Ah! aku tak percaya bahawa anak dalam kandungan isteriku itu anak aku! Bentak hati Muhammad Fitri lagi.

"Bang, kenapa abang diam aje ni?" tanya Sarinah, memandang wajah suaminya yang mula menampakkan riak perubahannya. "Abang tak dengar ke apa Inah cakap tadi?" sambungnya. Hatinya mula berbunga resah dengan sikap dingin dan perubahan wajah Muhammad Fitri.

"Inah tak bergurau ke?" tanya Muhammad Fitri.

"Saya bercakap benar, bang. Doktor telah mengesahkan kandungan saya," tegas Sarinah.

"Jadi, benarlah Inah mengandung?"

"Ya, bang. Kenapa, bang? Abang macam tak gembira saja menerima berita ni, kenapa bang?"

Muhammad Fitri diam.

Sarinah diulit resah.

"Bang, bukankah abang juga yang mahukan anak. Kata abang, rumah ini terlalu sunyi kerana tiada suara tangisan dan senda gurau anak-anak. Sekarang, saya dah mengandung, tak lama lagi rumah ini akan dipenuhi oleh suara tangisan anak kita bang..."

"Ah, tidak!" Tiba-tiba Muhammad Fitri bingkas dari atas katil. "Anak yang kau kandung itu bukan anak aku!"

"Abang! Kenapa abang kata macam tu, bang? Abang tak percaya anak dalam kandungan saya ini anak abang? Darah daging abang? Kenapa, bang?" Tanya Sarinah bertalu-talu.

"Ya, memang bukan anak aku! Kau tahu bukan, doktor pernah menyatakan yang aku mandul!" Pintas Muhammad Fitri.

"Jadi, anak dalam kandungan saya ini anak siapa, bang?" pedih amat rasanya hatinya Sarinah mendengar kata-kata suaminya itu.

"Mungkin anak orang lain! Anak hasil kelakuan curangkau selama ketiadaan aku di rumah ini!"

"Abang! Demi Allah, bang. Selama ini saya tak pernah berlaku curang terhadap abang. Percayalah, bang, anak dalam kandungan saya ini anak abang, darah daging abang!" Sarinah terharu.

"Mustahil! Mustahil doktor yang menyatakan abang mandul itu berbohong. Buktinya, dan lebih tiga tahun kita kahwin, kau tak pernah hamil. Kenapa pula setelah tiga bulan di luar negara, tiba-tiba kau mengandung. Ini menunjukkan kauberlaku curang terhadap aku semasa ketiadaan aku!"

"Abang, doktor itu juga manusia biasa. Dia hanya dapat membuat kajian kedoktorannya, tapi tidak siapa pun di muka bumi ini yang dapat mengatasi kehendak dan kuasa Allah, bang. Ya, dengan kuasa Allah, tidak mustahil saya tak boleh mengandung. Cubalah abang fikir perkara ini baik-baik, bang," kata Sarinah perlahan, cuba meyakinkan suaminya.

"Sudah! Kaujangan nak berhujah, jangan cuba nak memperdayakan aku untuk percaya cakap-cakapkau. Aku tetap tak mengaku anak yang kaukandung itu anak aku. Itu anak orang lain!"

"Abanggg!" Jerit Sarinah. Dia menangis. "Sampai hati abang cakap macam tu...!"

Selepas itu Muhammad Fitri tidak berkata apa-apa lagi. Dia segera bertukar pakaian dan keluar entah ke mana. Sarinah cuma sempat mendengar bunyi enjin kereta dihidupkan dan kemudian kereta itu keluar dari garaj, seterusnya meninggalkan rumah batu dua tingkat itu.

Sarinah terus menangis mengingatkan kata-kata Muhammad Fitri sebentar tadi. Dia benar-benar tidak menyangka begitu reaksi Muhammad Fitri setelah mendengar berita yang disampaikannya itu. Pada mulanya Sarinah menyangkakan bahawa Muhammad Fitri akan menerima berita itu dengan perasaan gembira, tetapi rupa-rupanya sebaliknya. Sarinah merasakan dirinya bagai terhumban ke lembah yang tandus dan menyeksakan!

"Err, Inah...!"

Tiba-tiba Sarinah tersentak dari kenangan masa lalunya apabila mendengar suara Muhammad Fitri kemudian.

"Maafkan aku, Inah. Oh ya, emm...kenapa dengan anakkau tu, Inah?" tanya Muhammad Fitri kemudian.

"Minggu depan Aryani akan kahwin, bang. Kerana abang sebagai ayahnya, maka abang yang akan mewalikannya. Sebab itulah saya datang mencari abang. Tolonglah bang, datanglah ke kampung pada hari perkahwinan Aryani nanti..." rayu Sarinah, mengharap amat.

"Tapi, err..."

"Kenapa, bang? Abang masih tak mahu mengakui Aryani tu anak abang?" Sarinah menatap wajah Muhammad Fitri sejurus.

Muhammad Fitri terdiam.

Dan pada saat itu Sarinah kembali memfokuskan kenangannya ke musim-musim yang lalu.

Setelah Sarinah menyampaikan berita tentang kandungannya, Muhammad Fitri tidak mahu berada lebih lama di rumah. Dia sering sahaja menghabiskan masanya di luar. Sehingga Sarinah melahirkan anak dalam kandungannya, Muhammad Fitri masih tidak mahu mengakui bahawa anak yang dilahirkan oleh Sarinah itu sebagai zuriatnya sendiri.

"Dari dulu lagi sudah aku katakan, anak itu bukan anak aku! Bukan zuriat aku! Kenapa kau masih nak perdayakan aku hah? Dan kenapakau tak cari lelaki yang menjadi bapa anak itu?" kata Muhammad Fitri dengan suara lantang.

"Tapi bang, kalau abang masih tak mahu mengakui anak ini anak abang, siapa yang akan membela nanti, bang?"

"Kau cari saja lelaki yang bertanggungjawab itu!"

"Abang!"

"Apa, kautakut aku menghalang kau menemui lelaki itu? Ah, baiklah...hari ini juga kauboleh tinggalkan rumah ini. Pergilah kepadanya, bawalah anakmu itu bersama. Aku tak mahu memandang wajah ank itu lagi. Aku benci padanya!"

"Abang!" Sarimah hanya terdaya mengeluarkan air mata mendengar kata-kata suaminya itu. "Apakah bang sudah fikirkan masak-masak perkara ini, bang?" Sarinah memandang Muhammad Fitri sejurus.

"Ya, aku sudah fikirkan segala-galanya. Sekarang aku sudah mengambil keputusan menceraikan kau!" Sambut Muhammad Fitri nekad.

Sarinah terus menangis. Dia tidak berdaya hendak meyakinkan suaminya lagi. Mungkin sudah begini takdir hidupku, fikirnya dengan sedu-sedan yang berpanjangan.

Muhammad Fitri telah menceraikan Sarinah. Surat cerai telah dihantar kepada Sarinah ketika Sarinah berada di kampung, di rumah ayah dan ibunya. Sarinah menerima surat tersebut dengan linangan air mata.

Setelah bercerai dengan Muhammad Fitri, Sarinah terpaksa bekerja sendiri di sebuah kilang membuat kasut di pekan yang berhampiran dengan kampungnya, untuk menyara hidupnya dan anak tunggalnya Aryani. Sehinggalah Aryani berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Kini baru saja bekerja sebagai guru.

"Tolonglah, bang. Abang sebagai wali Aryani. Tanpa kehadiran abang, mungkin harapan Aryani akan musnah," kata Sarinah setelah dia sedar dari lamunannya.

Muhammad Fitri tersentak. Mungkin dia juga sedang teringat akan peristiwa-peristiwa lalu, ketika masih bersama Sarinah.

Dan, belum sempat Muhammad Fitri bersuara, tiba-tiba di muka pintu muncul seorang gadis remaja, berwajah mirip Aryani. Sarinah jadi kaget memandang wajah gadis manis itu.

"Err, maafkan saya ayah, saya fikir tak ada orang di sini," kata gadis itu. Dia memandang kepada Sarinah dan Sarinah juga memandang gadis itu. Pandangan mereka bertembung beberapa ketika. "Maafkan saya, makcik..." kata gadis itu.

"Err, tak mengapa," sambut Sarinah.

"Ada apa, Maryati? Masuklah," kata Muhammad Fitri.

"Sekali lagi saya minta maaf pada ayah, kerana datang mengganggu ayah," kata gadis itu. "Err, sebenarnya cuma mahu menyampaikan pesan daripada Encle Liong, dia menjemput ayah datang ke rumahnya lepas waktu pejabat. Saya jumpa dia di kolej, semasa dia mangambil anaknya tadi. Katanya, ada perkara mustahak yang nak dibincangkan dengan ayah." Terang gadis itu.

"Emm, baiklah... nanti ayah hubunginya," kata Muhammad Fitri. Encik Liong adalah sahabat baiknya, seorang tokoh peniaga yang terkenal di kota itu.

Selepas itu gadis itu minta diri, berlalu keluar.

"D...dia anak abang?" tanya Sarinah kemudian.

"Ya, dia anak aku. Selepas aku menceraikan kau, aku telah berkahwin dengan seorang perempuan di kota ini. Hasil perkahwinan kami, kami telah dikurniakan empat orang anak. Maryati itu anak bongsu kami," terang Muhammad Fitri. Perlahan nada suaranya.

"Jadi, memang benarlah abang tidak mandul?" Sarinah memandang tepat wajah Muhammad Fitri. Muhammad Fitri terdiam sejurus.

"Err, maafkan aku Inah," kata Muhammad Fitri kemudian. "Aku yang bersalah, kerana menuduhkau yang bukan-bukan, hingga aku sanggup menceraikankau dan melupakan anak aku sendiri," sambungnya. Turun naik nada suaranya.

Sarinah terdiam. Tidak tahu apa yang hendak dikatakannya lagi ketika itu.

"Inah, kaupulanglah dulu. Aku berjanji, akan datang ke kampung demi untuk kebahagiaan anak kita," kata Muhammad Fitri kemudian, senyum memandang kepada Sarinah. Dia mengeluarkan buku cek dari dalam laci mejanya dan menulis jumlah RM di atas sekeping cek dengan nama Sarinah. "Ini cek, hadiah aku kepada anak kita," katanya lalu menghulurkan cek itu kepada Sarinah.  Sarinah terharu. Sempat dilihatnya jumlah RM yang agak banyak tertulis pada cek itu. Namun jauh di sudut hatinya berbisik, bukan wang yang diharapkannya daripada Muhammad Fitri. Yang penting kesediaan Muhammad Fitri mengakui Aryani sebagai anak kandungnya, sebagai zuriatnya dan kesediaan Muhammad Fitri mewalikan perkahwinan Aryani.

"Maha Besar Engkau ya Allah!" Bisik Sarinah lirih.

No comments: