Pages

Saturday, May 09, 2015

Anugerah buat bapa

Oleh Hamimah Bani

SUARA riuh dan hingar bingar yang memekakkan telinga tadi sudah senyap dan fana. Sudah puas aku mundar-mandir, duduk dan bangun namun teksi bapa tidak juga muncul. Hari semakin redup, keadaan disekeliling semakin sunyi. Aku hanya ditemani beg sekolah yang kuletakkan di hujung kaki.

Sesekali kedengaran suara kereta menderu dari jauh, aku berlari ke jalan raya dan berharap benar yang menderu itu adalah teksi bapa. Tetapi aku hampa, yang menderu itu hanyalah pendengaranku yang terlalu asyik memikirkan kedatangan bapa.

Aku berpusing-pusing sendirian, mengambil batu kerikil dan melempar ke arah burung yang sedang bertenggek di dahan Sena. Burung-burung itu terkejut dan terbang tidak tentu arah sambil berkicau riuh. Hatiku lapang sebentar bila mendengar kicauan burung-burung tadi. Aku sangat-sangat memerlukan teman, cukuplah walau seekor binatang.

Aku sudah tidak tahan lagi. Aku bukan saja takut, sunyi dan bimbang, malah perutku sudah mula menyanyi. Lazimnya di waktu begini aku sedang menikmati minuman petang bersama ibu, bapa dan Farah, adikku. Tetapi hari ini aku masih tersadai di sini. Bapa entah ke mana, aku pasti ibu dilanda kebimbangan oleh kelewatan ini.

Aku rasa penat dan haus. Aku sudah tidak kuasa lagi untuk melenting dan bergerak pantas. Aku mula duduk di tembok sambil badan kusandarkan ke dinding sekolah dan aku mula berdoa agar bapa selamat dan cepat sampai. Sewaktu kelopak mata memberat dan hampir menutup mataku, aku terdengar deruan enjin yang semakin hampir. Aku membiarkan saja.

Teksi bapa benar berada di hadapanku. Aku lihat bapa tersenyum melihat gelagatku yang terlintuk di dinding.

"Mengapa bapa lambat?" Aku tidak sabar ingin tahu sebab kelewatan bapa.

"Fadhil tentu lapar, mari bapa belanja makan mi goreng di simpang depan sana." Soalanku belum berjawab dan bapa terus memandu menghala ke simpang Jalan Belangkas. Aku tidak puas hati selagi bapa tidak menyatakan alasan kelewatannya. Aku merenung wajahnya dan ingin mengajukan soalan yang sama, tetapi aku rasa lebih baik aku membatalkan saja niatku memandangkan keadaan bapa yang kelihatan amat penat dan letih.

Sewaktu bapa keluar pagi tadi dia kelihatan kemas dan segar, tetapi kini rambutnya yang tersisir rapi sudah tidak karuan, kemeja putih tidak lagi sebersih pagi tadi, kelihatan tompokan kuning di lengan dan di kolar.

Bapa seakan-akan memikirkan sesuatu, ternyata sesuatu peristiwa besar baru saja bapa alami. Aku tahu bapa menyedari perbuatanku yang asyik merenung wajahnya, tetapi bapa kelihatan tenang dan pura-pura tidak menyedarinya.

"Kita beli saja dan bawa pulang?"

Aku menangguk.

"Apa yang melewatkan abang?" Aku sudah mengagak dan sememangnya ibu berhak bertanyakan itu.

"Seorang pelancong Jepun tertinggal begnya di dalam teksi abang."

"Habis?"

"Saya sudah kembalikan."

"Kembalikan?"

"Ya...kembalikan di hotel penginapannya."

"Di mana abang tahu dia menginap di situ?"

"Abang yang menghantarnya ke situ. Dia kelihatan seperti seorang peniaga yang kaya, tetapi dia amat baik dan bersopan. Dia telah membayar lebih dari yang abang minta."

"Kerana dia membayar lebih membuat abang memulangkan begnya."

"Tidak...bukan sebab itu, kerana kejujuran."

"Saya percaya pelancong seperti itu tidak membawa duit tunai yang banyak, apa salahnya abang ambil saja beg itu. Mungkin itu rezeki kita dan pelancong Jepun itu tidak terasa apa-apa dengan kehilangan yang sedikit."

"Terasa atau tidaknya dia, itu bukan soal kita. Tetapi kita sepatutnya tidak mengambil sesuatu yang bukan hak kita. Lagi pun dia orang asing, tetamu negara. Kita seharusnya menghormati dan melayan baik tetamu negara. Kita seharusnya menghormati dan melayan baik tetamu yang berkunjung ke tempat kita. Manalah tahu, kerana sikap abang itu telah membuat lebih ramai pelancong Jepun yang akan datang berkunjung ke negara kita."

"Ahh...cuma abang seorang yang berperasaan begitu. Bayangkan jika beg si Jepun itu tertinggal di dalam teksi Kasim atau teksi Muthu, tentu mereka sedang menikmati hasil ketemuan itu dan isteri masing-masing sedang sarat di salut emas."

"Jangan samakan abang dengan mereka. Abang percaya kita tidak akan senang lama dengan hasil yang tidak diberkati Allah."

"Tuhan telah memberi kita rezeki, mengapa abang menolaknya? Abang bukan mencuri tetapi abang telah bertemu atau terjumpa rezeki di dalam teksi abang. Abang harus bersyukur kerana Tuhan hendak memberi abang rezeki dalam bentuk penemuan begitu."

"Abang tahu, tetapi abang kenal dan tahu rezeki itu milik siapa dan abang tidak reda memberi makan anak isteri abang dengan cara begitu. Biarkanlah...lagipun abang sudah memulangkan kepada yang hak. Tidak guna diungkit lagi."

Ibu terdiam, aku percaya ibu tidak puas hati dengan penjelasan bapa tadi. Bapa pula terkenal dengan sikap tenang dan bersahaja, sekali sekala bapa tersenyum sendirian. Mungkin dia mengenangkan sikap ibu atau dia berpuas hati dengan tindakannya memulangkan beg pelancong itu.

"Fadhil dan Farah dengar sini. Ayah sememangnya seorang pemandu teksi yang setiap hari bertungkus-lumus mencari wang untuk kesenangan hidup kita semua. Walaupun bapa penat dan ada kalanya tidak terdaya rasanya untuk memandu teksi tua itu, tetapi bapa cekal. Bapa tahu walaupun apa yang ada di rumah ini sudah memadai untuk makan dan pakai. Kamu semua ingin lebih seperti mana kawan kamu dan ibu kamu pula ingin memakai barang perhiasan seperti kawan-kawannya juga. Apakah semua itu jaminan kebahagiaan? Tidak cukupkah kesihatan dan kesejahteraan yang Tuhan berikan? Fadhil...kamu lihat saja kawan kamu si Fahmi, anak orang kaya. Ibunya bersalut emas, rumahnya besar, keretanya panjang menjalar, tetapi apa yang terjadi padanya?

"Dia lumpuh akibat terjatuh kerana bermain salji ketika bapanya membawa dia melancong di Eropah. Dia lumpuh kerana kesenangan keluarganya. Jika dia susah dan miskin tidak mungkin dia ke sana untuk bercuti. Kamu berdua faham dengan apa yang bapa katakan tadi? Yang penting kita bersyukur kerana hidup kita tidak susah seperti mana bencana yang menimpa sesetengah negara di Afrika sebagaimana yang kamu saksikan di TV setiap hari. Kamu masih beroleh rezeki untuk makan dan pakai. Kamu masih aman dan bebas untuk bergerak tanpa diganggu oleh sesiapa."

"Memang benar kata-kata bapa kamu tadi, tetapi hidup hari ini tidak sama dengan kehidupan zaman tiga puluh tahun lampau. Hidup hari ini memerlukan wang dan kesenangan. Jika kita ada wang dan kekayaan orang akan mendongak untuk memandang kita, tetapi jika kita tidak memiliki itu semua orang tidak mahu memandang langsung. Kamu semua harus faham dengan keikhlasan dan kejujuran saja tidak akan menjamin masa depan yang cemerlang. Jika kita terlalu jujur kita hanya akan jadi mangsa orang yang lebih cerdik kerana hari ini terlalu ramai cerdik-pandai di sekeliling kita. Mereka akan lakukan apa saja untuk hidup senang."

Aku jadi keliru menghadapi suasana yang berbeza. Kata-kata ayah begitu sejuk dan halus meresapi hati dan sanubariku. Kata-kata ibu pula bagai api yang menyemarakkan semangat hangat dan membara. Ibu dan bapa, dua insan yang paling aku kasihi mempunyai kelainan yang amat ketara.

Bapa bertubuh kurus berkulit gelap. Aku suka melihat wajahnya yang tenang dan matanya yang redup dihiasi sebaris kumis nipis. Semasa kecil dulu amat bahagia rasanya jika bapa mendukungku. Walaupun tubuhnya kurus bertulang tetapi aku sering melintukkan kepalaku ke atas bahunya ketika aku mengantuk. Bahunya agak keras, tetapi itulah bantal yang paling enak untuk aku melelapkan mata.

Sikap ibu berbeza sekali. Dia agresif dan lantang. Bapa sering kalah dengan kerenah ibu yang pelbagai itu. Aku tahu bapa tidak pernah membiarkan dirinya dikongkong seratus peratus oleh ibu. Di dalam tenang dan diamnya ada juga sekali-sekala dia bersikap tegas dan memeranjatkan ibu.

Ketenangan bapa sering membuat aku lebih berjaga-jaga. Tidak terlintas di hati ini untuk mengguris hati bapa. Jika mampu aku ingin sering patuh dan menjaga nama baiknya. Cukuplah ibu seorang yang sering melukakan hati bapa dengan bentakan dan kata-kata yang lantang. Biarlah aku dan Farah menjadi ubat penawar duka. Di sekolah aku begitu bangga kerana setiap hari aku dihantar dan dijemput oleh bapa. Tidak seperti kawan-kawan yang lain yang hanya menaiki bas dan kalau ada pun kereta bapa mereka yang menjemput, tetapi itu hanya kereta yang datang sedangkan yang memandu bukan bapa mereka, hanyalah pemandu saja.

Malam itu, rumah kami dikunjungi oleh rakan-rakan bapa. Berita bapa memulangkan semula beg pelancong Jepun sudah tersebar di merata. Kebanyakan pemandu teksi sudah mengetahui hal itu dan pelbagai reaksi timbul ekoran peristiwa itu.

"Kau bodoh Johan! Sepatutnya kau tidak pulangkan beg Jepun itu. Suatu masa dulu mereka pernah menjajah dan merampas harta kita. Apa salahnya jika kita merampasnya semula," kata Pak Cik Kasim bersungguh dengan nada dan memek muka yang meyakinkan.

"Betul kata Kasim tu. Kalau aku jadi kau, aku ambil saja dan bawa pulang," Muthu pula menyokong.

"Kita tidak boleh berkata begitu. Johan adalah lambang yang cukup baik untuk kita semua. Dengan tindakan Johan yang jujur akan menaikkan lagi nama negara kita dan sekaligus menjulang imej pemandu teksi. Si Jepun itu tentulah terhutang budi kepada Johan. Bila dia pulang ke tempat asalnya tentu dia akan berkempen mengenai kebaikan dan kejujuran rakyat negara kita. Aku percaya jika negara itu terkenal dengan sikap rakyatnya yang bersih dan jujur tentu orang asing tidak teragak-agak untuk melancong. Kalau ramai pelancong yang datang, kita pemandu teksi juga yang senang nanti," ujar Tok Seman, pemandu teksi yang paling tua di antara mereka.

Aku suka padanya, dia baik dan jujur seperti bapa dan dia juga sering menjemputku dari sekolah jika teksi bapa rosak atau bapa membuat perjalanan jauh.

"Pak Seman mesti ingat, orang yang cuai yang telah meninggalkan begnya itu ialah seorang pelancong Jepun. Bangsa yang pernah berbuat zalim dan kejam kepada kita satu masa dulu. Saya percaya Pak Seman sudah cukup dewasa sewaktu Jepun menakluki negara kita. Tentu Pak Seman mengalami pahitmaung dijajah oleh orang asing seperti mereka," Pak Cik Kassim seboleh-bolehnya mempertahankan pendapatnya.

"Aku tahu, aku mengalami kezaliman bangsa Jepun kepada bangsa kita, tetapi aku rasa sesuatu bangsa itu akan menjadi lebih matang setelah dijajah oleh orang lain. Bila suatu bangsa itu menakluki sesebuah negara lain, mereka sering lupa bahawa suatu hari nanti mereka akan keluar juga dari negara yang dijajah. Apa yang selalu mereka fikirkan ialah selama-lamanya dengan membawa segala teknologi dan kepakaran yang mereka ada untuk membangunkan negara yang dijajah dengan harapan mengorek dan mencungkil segala harta yang ada. Akhirnya setelah mereka tewas dan pulang ke negara asal yang tertinggal adalah teknologi dan kepakaran yang amat berguna bagi bangsa bekas jajahannya."

Pak Cik Kasim, Muthu, abang Hamid dan beberapa orang lagi rakan bapa ternganga mendengar kata-kata yang luahkan oleh Tok Seman tadi. Memang orang lama banyak benar pengalamannya dan kata-katanya tidak mudah dipatah dan dipertikaikan.

"Memang benar kata-kata Pak Seman tadi. Sebenarnya getah yang menjadi hasil utama negara kita ini adalah hasil penjajahan ke atas negara kita juga." Ayah pula menyampuk untuk menyokong Tok Seman.

"Bagaimana pula?" Mereka beralih perhatian kepada bapa.

"Sebenarnya orang Inggerislah yang membawa biji benih getah ke mari sewaktu mereka menjajah negara kita. Akhirnya pokok yang berasal dari Brazil itu berkembang biak di negara kita kerana iklim dan cuaca yang sesuai dengan pertumbuhannya."

Bapa rupanya masih ingat mata pelajaran Sejarahnya. Aku bangga bapa yang pendiam itu masih menyimpan dan mengingati apa yang pernah dipelajarinya. Aku percaya bapa seorang yang istimewa dan mempunyai pandangan jauh dan peka pula dengan keadaan sekeliling.

Esoknya bapa pulang awal daripada biasa. Aku dan Farah di rumah kerana sekolah cuti. Bapa kelihatan riang. Dia menyuruh kami bersiap dan berpakaian cantik.

"Abang hendak membawa kami ke mana?"

"Ikut saja! Kita akan makan di tempat yang tidak pernah kita sampai."

Dalam kami sibuk tertanya-tanya, bapa membelokkan teksinya ke sebuah hotel lima bintang. Bapa membawa kami menuju ke sebuah dewan yang ditunjukkan oleh seorang penyambut tetamu hotel bertaraf antarabangsa itu. Bila kami masuk semua tetamu di dewan yang indah dan gemilang bangun dan memandang ke arah bapa lalu mereka semua bertepuk tangan seolah-olah menyambut kedatangan seorang tetamu agung. Kami terpinga-pinga, tetapi bapa kelihatan seperti biasa - tenang dan bersahaja.

Rupa-rupanya majlis itu adalah majlis yang diadakan khas untuk bapa yang diuruskan oleh peniaga Jepun yang tertinggal begnya di dalam teksi bapa. Beliau ialah Musyida, seorang peniaga yang kaya-raya yang datang ke mari untuk menghadiri seminar perniagaan dan pameran perdagangan antarabangsa.

Di dalam ucapannya dia merasa amat terharu dengan keikhlasan dan kejujuran bapa yang telah memulangkan begnya. Dia tidak menyangka di dalam manusia sibuk dan ghairah mengejar kebendaan masih ada yang berhati luhur seperti bapa. Sebenarnya dia tidak mementingkan wang yang ada di dalam beg tersebut, tetapi yang amat penting baginya adalah beberapa kad dan dokumen perniagaan serta perjanjian perdagangannya yang ditandatangani oleh rakan kongsinya.

Dia juga telah membuat keputusan untuk melabur lebih banyak dan membuka beberapa kilang di negara ini dan dia juga akan berkempen kepada rakyat Jepun agar melancong ke Malaysia kerana keindahan negara dan budi bahasa anak negerinya.

Akhir sekali Musyida menyerah segala wang tunai yang ada di dalam beg tersebut kepada bapa dan sempena cuti sekolah ini beliau menawarkan untuk membawa kami sekeluarga melancong ke negara matahari terbit dengan perbelanjaannya sendiri.

Ucapan Musyida mendapat tepukan gemuruh. Sebenarnya tepukan itu ditujukan khas kepada bapa dan sambil itu jurugambar dan wartawan mengambil gambar sewaktu bapa menghulur tangan untuk bersalaman dan menerima penghargaan daripada Musyida.

Esoknya berita dan gambar bapa tersiar di kebanyakan akhbar. Aku rasa, orang yang paling bangga ialah aku sendiri.

No comments: