Pages

Thursday, May 07, 2015

Kalut

Oleh Salim Awang

PAK Jabar melengung panjang. Kopi O pekat manis masih berkepul asap dibiarkan begitu saja di atas meja di depannya, setelah dihirup beberapa kali. Keenakkan kopi itu dirasakannya tidak seperti biasa. Tidak berupaya menenangkan perasaan resah yang ditanggungnya sejak berbulan-bulan.

Hilai tawa kawan-kawannya yang sama berlonggok di kedai kopi Rahman Sairah itu tidak juga menenangkan perasaannya. Biarpun dia tahu kawan-kawannya menghadapi masalah serupa dengannya.

Masalah ada wang susah. Tak ada wang pun susah.

Pak Jabar habis daya memikirkannya. Hari-hari dia fikir pasal itu. Di rumah pun dia fikir, di ladang pun dia fikir, dan setiap kali berlonggok di kedai kopi dia fikir, macam mana boleh senang. Tidak mahu susah kerana tidak berwang.

Pak Jabar terus melengung. Telatah kawan-kawannya yang pelbagai ragam di depan matanya itu dilihatnya dengan hati resah. Dia sengih saja sekali sekala menghirup kopi O yang sudah tidak kelihatan asapnya lagi itu. Muka Wahid, muka Usin, muka Farok, muka Mat Jali, muka Saudin, muka Khalid, muka Abu Seman dan muka Rahmat ditenungnya satu-satu. Muka-muka yang ada di situ semua kawan rapatnya siang malam.

Semua bernasib seperti dirinya. Sekarang menanggung susah kerana ada wang. Masing-masing ada wang baki jualan daun tembakau yang masih tidak dibayar.

Sudah enam bulan wang baki itu ditunggu. Masih juga tak dibayar.

Itulah sebabnya barang kemas bininya masih terperap di pajak gadai. Inilah yang memaksa dia berfikir siang malam. Gadaian sebanyak dua ribu ringgit bukan dia tidak mampu tebus. Tahun ini hasil jualan daun tembakaunya $26,000, $13,000 telah dibayar ansur-ansur enam bulan dulu. Bakinya $13,000 yang sepatutnya dibayar dua bulan selepas itu tidak dibayar.

Baki akhir inilah yang penting baginya untuk hidup. Sementara tibanya musim menanam tahun depan, baki $13,000 itu dikira cukup baginya sara anak bini setelah ditolak gadaian barang kemas bininya. Tetapi jika begini keadaannya dia tidak tahu berbuat apa-apa. Yang dia tahu pagi-petang, siang-malam tunggu dan tunggu bayaran baki itu.

Pasal desak sudah berkali-kali didesak.

Semua desak. Sampai Encik Burhan naik sakit kepala. Biarpun semua tahu Encik Burhan itu bukan tauke yang membeli dan mengawet daun tembakau mereka. Pak Jabar tahu, dan semua kawan-kawannya faham Encik Burhan itu pengurus yang dibayar gaji oleh LPP untuk mentadbirkan PPK yang sepuluh tahun sudah mengusahakan pengawetan daun tembakau.

Mereka ahli PPK. Merekalah sebagai tuan. Merekalah tauke kerana PPK milik mereka. Mereka tanam tembakau. Mereka jual daunnya kepada PPK. PPK yang diurus oleh Encik Burhan itu mengawetnya dari daun basah menjadi kering, kemudian dijual kepada pengilang pembuat rokok.

Untung rugi Encik Burhan tidak tanggung. Apa jua risiko taukelah yang tanggung. Kalau untung besar segala-galanya beres. Tetapi bila rugi semuanya sangkut.

Tahun 1991 sangkut.

Tahun 1992 ini pun sangkut.

Dua tahun berturut-turut pembayaran baki harga daun tembakau ahli PPK tersangkut. Semuanya faham bukan Encik Burhan yang buat sangkut. Bukan dia penyebabnya.

Pak Jabar garu kepala. Lama-lama fikir pun tidak jadi juga. Tambah kacau dibuatnya. Dia menghirup kopinya sampai habis. Kawan-kawannya masih tidak berganjak, masing-masing masih kukuh di kerusi. Masih hoha-hoha. Pak Jabar menepuk meja. Semua kawan-kawannya terkejut. Hoha-hoha jadi senyap. Semua mata yang ada dalam kedai pagi itu pandang muka Pak Jabar.

Munir yang baru masuk minum di situ ikut terkejut. Cawan di tangannya hampir terlucut. Dia tidak senang hati dengan telatah Pak Jabar. Matanya merah menungkah muka Pak Jabar.

"Pak Jabar tepuk meja nak apa?" Tanya Munir keras. Pak Jabar yang lebih tua daripada bapanya tidak dihormatinya. Biarpun dia tahu dan faham tepukan yang Pak Jabar lakukan itu cuma untuk gurauan saja. Untuk menarik perhatian kawan-kawan yang sedang sembang hoha-hoha.

Pertanyaan keras Munir itu membuat Pak Jabar merasa tersinggung. Munir yang tidak disenanginya selama ini tiba-tiba mencabar ketuaannya. Nampaknya Munir sengaja hendak tunjuk lagak. Pada hal setiap peneroka yang dibawa masuk projek ladang tembakau kampung pemulihan yang mereka duduki itu sama saja. Setiap orang kerajaan berikan empat ekar ladang, sebuah rumah berserta kelengkapan ladang. Munir hendak tunjuk lebih macamlah projek itu hak emak dan bapak dia.

"Aku tak hendak apa-apa Munir." Suara Pak Jabar jelas bergetar marah. "Aku cuma nak tanya..."

"Tanya apa?" Suara Munir tetap keras. Dia mencelah walaupun belum habis Pak Jabar bercakap.

"Aku nak tanya siapa yang nak tolong bayar kopi yang aku minum ini?" Dengan rasa yang sudah tidak berupaya menahan marah Pak Jabar tunjuk kepada cawan kopinya yang kosong itu.

Munir menjuihkan bibir.

"Kalau tak ada duit buat apa datang minum sini?"

"Kurang ajar kau Munir!" Jerkah Pak Jabar sambil menumbuk meja lebih keras daripada tadi. "Kau ingat! Aku tak ada duit ke? Kau tahu! Berapa banyak duit aku masih tak dibayar oleh PPK kita?"

"Kalau masih tak dibayar, pergilah minta dengan pengurus! Buat apa bising di sini?"

"Sekarang PPK berniaga rugi, duit tak cukup. Pengurus nak bayar dengan apa, bodoh?"

"Pengurus yang buat rugi. Dialah yang mesti bertanggungjawab membayarnya. Kalau tidak dia siapa lagi?"

"Lagi-lagi pengurus yang buat rugi. Tohmah beginilah yang hangat disebar sekarang. Dah jelak aku mendengarnya." Pak Jabar menujah muka Munir yang baru beranak dua itu dengan matanya yang menonjol urat merah. "Penguruslah yang banyak dipersalahkan. Ahli lembaga pengarah yang lebih berkuasa langsung tak salah. Biarpun mereka tak pernah berikan kerjasama, biarpun mereka cuai. Mereka buat peraturan dan dasar, kemudian mereka pijak dan lanyak segala dasar dan peraturan yang mereka buat itu dengan menghasut ahli termasuk kau, tanam tembakau bubuhlah baja apa saja. Bila rugi akibat daun tembakau tidak bermutu lembaga pengarah dikatakan tak salah. Kau memang bodoh! Tak pakai otak!"

Munir terlopong.

Yang lain-lain diam.

Mereka tahu Pak Jabar sedang melepas geram. Biarkan.

"Kalau kau tak bodoh Munir, kau boleh bezakan! Tahun 88, 89, 90 PPK untung $400 ribu, $66 ratus ribu dan $900 ribu. Encik Baharum itulah juga pengurus. Tapi sekarang kenapa rugi? Sebabnya lembaga pengarah yang ada sekarang leceh dan pandai cakap saja, tidak macam lembaga pengarah dulu sanggup bekerja keras dan patuh kepada peraturan serta dasar yang mereka buat. Itulah yang mereka tekan kepada kita sebagai ahli. Mereka berjaya menaikkan nama PPK kita sebagai PPK terkaya, tapi sekarang sejak Al-Murad yang kau dan kuncu-kuncu kau sanjung kerana pandai cakap itu menjadi pengerusi, PPK kita jadi tapai masam."

Munir yang tadinya begitu menyinga kelihatan kaku di meja. Dia tidak berani menyanggah segala cakap Pak Jabar. Di situ ada bekas lembaga pengarah yang dulu. Dia nampak Saudin bekas pengerusi, Usin, Johari, Khalid, Wahid, Farok, dan Mat Jali. Muka-muka itu sedang mencerlangkan mata mereka kepadanya.

"Terus-terang aku katakan Munir. Kau juga bertanggungjawab melumpuhkan PPK kita, daripada berdaya maju ke tahap yang memalukan, tak mampu selesaikan hutang ahli dan lain-lain tanggungan hutang. Kau memangnya pengkhianat. Kau lebih rela melihat PPK kita hancur semata-mata kerana dengki dan dendam kepada lembaga pengarah yang dulu."

"Jangan tuduh saya begitu Pak Jabar."

"Aku tak main tuduh-tuduh Munir. Kaulah perancang utama, termasuk bapak kau menjadi hulubalang memburuk-burukkan Saudin dan semua lembaga pengarah yang dulu itu dengan pelbagai tohmah dan fitnah. Tak cukup dengan itu kau rancang pula dengan isu penanam pengawet. Kononnya wakil rakyat yang suruh. Kau hasut ahli jangan lagi sokong lembaga pengarah yang dulu itu kerana kononnya tak mahukan ban penanam pengawet. Kau sengaja lupakan jasa mereka buat untung begitu banyak. Kau berjaya jatuhkan mereka. Puas hati kau sekarang!" Pak Jabar meluahkan rasa marahnya yang membengkak di dada. "Sekarang mana ban penanam pengawet yang kau laung-laungkan itu?" Jerkah Pak Jabar geram.

"Agaknya masih dalam proseslah tu!" Farok mencelah perli.

"Dalam proses atas dahi." Tingkah Pak Jabar keras.

"Pak Jabar jangan kata begitu. Bukankah Al-Murad sendiri pergi minta dengan PM? Tak lama lagi bolehlah tu." Usin pula ikut perli.

Munir semakin tidak senang duduk. Dia akui dia berusaha keras bersama Al-Murad perut gendut itu untuk menjatuhkan Saudin kerana tidak setuju dengan hala cara Saudin bertindak mendisiplin ahli menanam tembakau mengikut peraturan yang ditetapkan oleh LTN.

Dia dan Al-Murad memesongkan ahli PPK yang masih tidak kental dengan peraturan itu dengan isu yang sengaja direka sampai 70 peratus ahli percaya. PPK yang diasaskan oleh LPP menelan belanja berjuta-juta ringgit itu boleh ditukarkan kepada sistem penanam pengawet, yang memberi kebebasan kepada setiap ahli memiliki ban di tanah ladang masing-masing, dan mengawet sendiri daun tembakau tanpa lagi diawet secara kopreasi menerusi PPK.

Ramai ahli mahukan perubahan itu.

Biarpun Saudin dan rakan-rakannya berterus-terang mengatakan LPP tidak akan melayani kehendak itu. Atas sebab bukannya mudah untuk bertukar sistem. Mereka tidak percaya kata-kata Saudin. Mereka lebih percaya kata-kata Al-Murad yang kononnya telah pergi jumpa PM.

Dalam pemilihan ahli lembaga pengarah 1991 Saudin jatuh. Ahli-ahli yang setia kepadanya berpaling tadah menyokong pada Al-Murad. Akibatnya kini PPK menanggung rugi. Semua ahli jadi kalut, wang jualan tidak dapat sepenuhnya, tidak seperti semasa Saudin berkuasa. Semua ahli menikmati untung dan bonus setiap tahun.

Sekarang habuk pun tidak ada.

Munir sedar segala akibat ini.

Dia juga resah dan kalut dengan masalah baki jualan yang masih tidak berbayar. Biarpun tidak sebanyak yang Pak Jabar punya. Dia juga perlu baki wang itu untuk belanja hari-hari dan buat menebus gelang serta subang bininya yang digadai ketika musim menanam dulu. Bininya hari-hari mendesak. Sampai dia naik bosan. Di rumah bini merepek. Di kedai kopi tidak tahan dengan sindiran-sindiran tajam yang menyumbat telinga.

Dia segera melangkah keluar dari situ dengan wajah kusam dan malu yang tidak terhingga. Jauh di sudut hatinya melonjak rasa kesal yang amat sangat.

"Kau pergilah mengadap Al-Murad dan semua lembaga pengarah yang kau sanjung itu Munir. Beritahu mereka jangan duduk berpeluk tubuh saja. Kalau mereka tak boleh ikhtiar bayar baki wang aku, gadaikan saja bini mereka." Pak Jabar terus membidas Munir yang dianggap pengkhianat itu. "Kalau tak cukup bini mereka, bini kau pun boleh." Jerkah Pak Jabar buat penamat kata.

Munir cepat-cepat pergi.

Tidak lama kemudian masing-masing bersurai dari kedai Rahman Sairah itu. Masing-masing tidak dapat meneka entah bila baki wang jualan tembakau akan dibayar.

Pak Jabar meluah keluhan lega sepanjang jalan pulang ke rumahnya. Dia tidak kisah lagi dengan baki wang. Hatinya puas dapat membuli Munir. Dalam masalah begini dia tidak takutkan sesiapa. Bila-bila masa pun dia sanggup jumpa Al-Murad.

No comments: