Pages

Friday, May 01, 2015

Nelayan, pantai dan maruah

Oleh Jalani Awang

PETANG itu matahari mulai condong ke Barat. Zohor sudah berlalu. Hamidi berkali-kali menjenguk ke pintu rumahnya. "Heh, lambat betul budak ni," sungut Hamidi yang berusia melebihi 40-an itu.

Anak-anaknya Montel, Gelama dan Cencaru. Semuanya berusia di bawah dua belas tahun memerhatikan telatah bapa mereka. Mereka tidak mengerti mengapa bapa begitu gelisah. Sekejap duduk di kerusi set separuh usia, sekejap bangun menuju ke muka pintu. Begitu gelisah, mundar-mandir tidak menentu.

Isteri Hamidi, Marliah tidak begitu risaukan hal suaminya kerana memang begitu kelakuannya ketika menanti rakan-rakannya. Sama seperti kucing hendak berak, ke sana tidak kena, ke sini tidak selesa.

Petang itu seperti hari-hari akhir bekerja yang biasa juga. Petang Khamis adalah hari akhir pejabat kerajaan. Hamidi tinggal di pantai Minyak Beku dan bekerja sebagai pembantu am rendah di pejabat kerajaan dan berpendapatan sederhana.

Ada rakannya menjadi pemandu teksi sambilan sebelah petang atau malam untuk menambah pendapatan. Belanja harian lebih tinggi dan memerlukan pendapatan tambahan jika ingin keselesaan. Belanja make-up isteri turut melambung, maka kerja sambilan amat penting.

Isteri Hamidi tidak bekerja. Dia tidak pernah cuba mencari duit di kilang. Dia sepenuh masa menjaga anak dan suami. Beruntung Hamidi kerana makan-minum terurus, anak-anak dapat bermanja dan rumahtangga sentiasa terkawal.

Hamidi turun ke dapur rumah kayu itu. Dia bergegas mengambil barang yang dikemaskan sejak tadi. Sebuah tong untuk menyimpan makanan panas, sebuah lagi untuk minuman dan benda-benda perlu, manakala sebuah tong gabus untuk mengisi air batu. Sebuah bakul besar berisi mata kail, mata rawai, umpan pancing daging yang dihiris halus dan anak udang, semuanya telah direbus supaya tahan lama. Jaring sudah dibungkus dan diletakkan dalam perahu yang ditambat di pangkalan.

Hamidi dan beberapa rakannya selaku nelayan sambilan, kalau pergi sebelah petang lepas pejabat, balik lewat tengah malam. Hasilnya dapat juga menambah pendapatan. Rakannya Kalam baru lewat 40 tahun, Sumarto muda lima tahun dan Rashid masih belasan tahun.

Kalam bekerja sebagai anggota polis. Sudah beristeri dan ada dua anak berusia bawah sepuluh tahun.

Sumarto, guru baru saja bertukar ke daerah itu. Sebelum ini mengajar di sekolah di negeri Cik Siti Wan Kembang. Hamidi dan Kalam lebih terdorong untuk ke laut saban hari sejak ada cikgu Sumarto. Cikgu Sumarto selalu saja datang mengajak mereka menghabiskan waktu luar pejabat dengan menangkap ikan.

Perahu kepunyaan Hamidi digunakan bersama dan dikira sebagai satu kepala. Kata orang nelayan satu kong. Kalau hasil tangkapan berjumlah empat puluh ringgit, sepuluh ringgit daripadanya untuk perahu. Perahu itu dulunya kepunyaan bapanya, Pak Hussein. Pak Hussein tidak mampu lagi ke laut kerana usianya begitu lanjut, melebihi 60 tahun.

Mereka selalunya pergi bertiga menangkap ikan di laut pantai Minyak Beku, tidak jauh dari daratan pantai Selat Melaka. Pernah suatu malam mereka dipukul ribut. Perahu mereka terumbang-ambing dan hampir karam. Waktu itu terlalu mencemaskan dan maut sudah terasa. Dalam keadaan kelam, hitam pekat dan kilat sabung-menyabung itu, perahu mereka terdampar di pantai Pulau Siamang.

Sunyi menikam di pulau tersebut pada malam kejadian itu. Tiada suara orang pada jam tiga pagi. Semua penghuni sudah tidur. Kebetulan pula rumah di pulau itu tidak banyak. Mungkin kira-kira lima buah saja. Maklumlah pulau itu jauh dari daratan. Kalau menaiki bot kecil setengah hari baru sampai. Tentunya tidak ramai nelayan yang suka tinggal di situ.

Perahu mereka ditarik ke pantai. Pulau Siamang menarik juga kerana pantai berpasir melunjur. Bagi pelancong tentunya pantai sedemikian lebih menarik daripada menangkap ikan atau berpeleseran di kompleks membeli-belah yang menjemukan orang asing. Mereka tentunya lebih tertawan dengan pasir memutih yang menutupi pantai.

Bagi ketiga-tiga nelayan sambilan yang terselamat daripada ribut itu tidak langsung memikirkan keindahan pantai. Mereka kesejukan kerana berjam-jam berhujan, tetapi hal itu tidaklah begitu difikirkan kerana yang nyata mereka sudah selamat. Mereka membawa kompas, tentunya boleh juga mencari arah dan pedoman untuk pulang. Ikan memang tidak diperolehi. Jaring diangkat dan sebahagian ikan yang terperangkap pun tidak dihiraukan, mereka campak semula ke laut dan setengahnya terjatuh sendiri.

Sumarto muntah dua kali di pantai itu. Dia mabuk kerana dilambung ombak dalam ribut besar itu. Badannya seram sejuk, dia menelan dua biji Panadol. Mereka memang sentiasa membawa ubat-ubatan ringan seperti itu, termasuk Pelaster dan ubat pening.

Kira-kira jam tujuh pagi, dua wanita muda turun ke pantai. "Heh, ada orang asing?" Ujar seorang wanita itu.

"Yalah, tetapi bukan orang putih seperti selalu, ini orang hitam macam kita juga," wanita yang lebih muda berseloroh. "Jom kita ke sana, tengok apa yang mereka perlu," tambahnya.

"Kenapa abang-abang semua ni?" Sapa wanita yang lebih dewasa.

"Kami kena ribut malam tadi, nasib baik perahu kami terdampar di pantai ini, kalau tidak kenduri arwahlah keluarga kami di kampung," jawab Hamidi.

Kalam dan Sumarto tersengeh sebagai menyokong kenyataan itu.

"Perahu tu pecah ke?" Tanya wanita muda itu.

"Tidak!" Sampuk Sumarto pendek. Matanya tajam merenung wanita yang lebih muda dan jelita itu.

"Nama adik ni siapa?" Kalam bertanya.

"Ini kakak saya Fadlon namanya dan saya sendiri Farhana," pendek dan jelas suaranya.

"Manisnya nama itu," Hamidi memuji. Orang di pulau ini pandai mencari nama yang manis dan menarik.

"Kami bukan orang pulau ini. Kami datang dari jauh dan sengaja bermalam dan menghabiskan waktu cuti di pulau ini."

"Bersama keluarga?" Tanya Sumarto.

"Ikut ayah dan emak, mereka bercuti sambil memancing di sini."

"Di mana adik-adik ini bermalam?" Kalam mencelah.

"Itu, itu kan ada rumah, chalet kepunyaan taukeh besar," jawab Fadlon.

"Dalam chalet yang beberapa buah lagi tu pun ramai penyewanya. Ada lelaki dan ada perempuan," Farhana menambah.

"Tahu dari mana asal mereka?" Tanya Hamidi.

"Tidak tahu pulak, tentunya dari tanah besar Semenanjunglah agaknya," Fadlon melanjutkan. Mereka semakin mesra dan perbualan mereka semakin rancak. Bagi tiga pemuda yang terdampar itu tidaklah lagi kesunyian, sebaliknya begitu ghairah untuk berkenalan.

Fadlon dan Farhana anak pesara pegawai tinggi kerajaan. Mereka bersama-sama orang kenamaan selalu datang beristirehat di pulau itu. Mereka menggunakan bot laju. Dengan bawa bekalan makanan yang lazat dan enak, udang galah, daging dan ayam panggang. Mereka kadang kala sampai setengah minggu di situ. Anak kecil cuma Farhana, dan mereka ke situ sekeluarga. Fadlon menuntut di institusi pengajian tinggi manakala adiknya di sekolah menengah atas. Masa cuti sekolah selalunya dihabiskan di situ selain berkunjung ke rumah orang kahwin, ke rumah sanak-saudara atau makan angin ke luar negera.

Bagaimanapun, penghuni lain di chalet tidak pula diketahui oleh kedua-dua anak gadis jelita yang berkulit putih itu. Mereka cuma tahu keperluan sendiri saja.

Hamidi, Kalam dan Sumarto mengikat tali perahu ke pangkal sebatang pokok kecil di tepi pantai itu. Mereka mengiringi dua gadis jelita itu mendaki bukit kecil di pulau itu. Kira-kira suku kilometer berjalan beriringan sambil bercakap dan ketawa kecil, akhirnya tibalah di chalet keluarga pesara pegawai kerajaan itu.

"Kita orang singgah di sini saja ya, kalau sudi singgahlah," pelawa Fadlon sambil tersenyum. Ketiga-tiga pemuda nelayan sambilan itu terhenti tercegat di muka pintu chalet.

"Terima kasih," ujar Sumarto. Mereka bertiga berlalu dari situ.

"Kita cuba ke tempat orang ramai depan chalet sana tu," Hamidi menganjurkan kepada rakanya.

"Jom, kita ke sana," sahut Sumarto.

"Macam ada tempat minum saja nampaknya," Kalam pula menambah kata.

Dengan langkah kecil, mereka terpandang beberapa pemuda dan orang asing duduk di kerusi baring dan kerusi lipat di depan chalet itu. Beberapa wanita muda membawa botol minuman dan piring kecil berisi makanan ke arah pemuda itu. Pemuda itu berlenggeng, kecuali seluar pendek dan berkaki saja.

Kemudian, pemuda dan wanita itu seperti berpasang-pasangan duduk bermesra, berhimpit, dekat dan terlalu hampir di atas kerusi itu. Sambil menikmati makanan dan minuman, sesekali mereka bercium.

"Seronok juga Pulau Siamang ni ye," Hamidi memecahkan kesunyian sejak tadi.

Selepas kejadian itu kumpulan Hamidi tidak merasa serik ke laut. Tidak khuatir di landa ribut, malahan hampir saban petang mereka menangkap ikan hingga larut malam. Kandang-kadang hingga pagi. Mereka terus pergi bertugas ke tempat kerja masing-masing sebaik tiba di pantai. Tidak banyak cakap lagi. Yang mengajar terus ke sekolah, manakala yang bekerja di pejabat dan di balai polis pun begitu juga.

Kadang-kadang rakan mereka minta ikan. Kalau lebih daripada bekalan lauk di rumah, mereka jual. Tetapi harganya tidak menentu, ikut belas kasihan kawan saja. Kadang-kadang berpatutan kawan-kawan mereka membayar upah penat itu, tetapi ada kalanya terlalu rendah. Mereka tidak begitu mengambil pusing itu semua. Mungkin pada mereka seronok menangkap ikan jauh lebih tinggi daripada pulangnya.

Rakan bertiga itu tidak bersedia mengajak sesiapa orang baru untuk kumpulan mereka. Kalau ada rakan baru yang ingin menyertai, mereka mencari helah untuk tidak ke laut, umpamanya, ada kegiatan main bola.

Jenuh Hamidi meninjau melalui tingkap. Namun rakannya Kalam dan Sumarto belum juga muncul. Selalunya tidak lewat jam lima petang mereka pasti menarik perahu ke air. Enjen sangkut kecil yang terletak di buritan perahu itu juga terus dihidupkan sementara perahu kecil agak muat sepuluh orang itu terus meluncur ke arah laut yang lebar dan saujana mata memandang itu.

Tidak lama kemudian, kelihatan kereta Kalam. "Lambat-lambat pun dia tentu datang juga," kata Hamidi. Isterinya memerhatikan saja tabiat sedemikian kerana dia tahu benar, kelakuan Hamidi yang tidak boleh dirayu dan ditahan kalau rakannya mengajak ke laut.

Kereta Kalam terus membelok ke halaman rumah Hamidi dan enjennya dihentikan. Di belakang mengekori kereta Kalam, sebuah jep Bulan Sabit Merah.

"Ada apa pula dengan ambulan ini?" Tanya Hamidi.

Kalam diam saja dan matanya memandang Hamidi, tanpa berkelip manakala peluh menitis deras membasahi pipinya.

"Isteri saya Hamidi," ujar Kalam.

"Kenapa dengan isteri kamu?".

"Dia melahirkan anak ketiga di hospital pagi tadi," terang Kalam.

"Selamat?" Tanya Hamidi, "ibunya dan anak saya selamat tapi..."

"Tapi apa Kalam?" Tidak sabar Hamidi ingin mengetahui perkara sebenar.

"Anak yang dilahirkan itu ada mengidap sakit HIV," kata doktor yang baru saja turun dari ambulan. Dia berdiri di sisi Kalam.

Pemandu ambulan tidak turun dan enjen kenderaan itu baru saja dimatikan.

"Virus HIV tu apa doktor?" Tanya Hamidi selanjutnya.

"HIV itu merbahaya," sampuk isteri Hamidi. Marliah yang tiba-tiba sudah keluar dari rumah dan sama-sama berada di halaman rumah tersebut. Marliah nampak gugup, cemas dan gelisah.

"Ya betul cakap puan itu, HIV itu ialah mengenai penyakit AIDS," doktor itu menjelaskan.

"Astaghfirullah!" Hamidi mengeluh panjang sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Kami datang ini hendak periksa semua keluarga yang berkawan rapat dengan Encik Kalam," doktor itu menjelaskan maksud kedatangannya.

"Apa pula kena mengena dengan kami doktor," tanya Hamidi.

Isterinya ternganga kehairanan.

"Saya dapat maklumat, awak berkawan rapat dengan Kalam pergi menangkap ikan di laut dan selalu singgah berpoya-poya di Pulau Siamang. Di situlah dipercayai Kalam mendapat punca kuman HIV itu," beliau menerangkan dalam nada yang perlahan tetapi jelas satu persatu.

"Bagaimana dengan kawan kami yang seorang lagi?" Tanya Hamidi selanjutnya.

"Kawan awak kan tidak pernah melanggan perempuan lacur di chalet Pulau Siamang tu. Jadi dia tidak perlu diperiksa," doktor India itu fasih berbahasa Melayu.

"Saya tidak ada penyakit dan virus tu doktor," sangkal Hamidi. "Mana abang tau, entah-entah abang juga ada kuman tu. Kalau abang ada kuman itu apa sudah jadi dengan saya dan anak-anak kita bang..." Marliah meraung menangis dengan kuat di hadapan doktor.

"Kita tidak boleh bercerita panjang di sini, sebaiknya kita pergi ke hospital sekarang juga. Di sana kita bercakap rahsia dan panjang lebar," doktor itu begitu bersopan.

Tangisan Marliah tidak henti-henti meskipun dengan longlai dan lemah kakinya melangkah masuk ke dalam rumah untuk bersiap-siap pergi ke hospital bagi menjalani pemeriksaan doktor.

"Oh, abang selama ini pergi ke laut setiap hari dan setiap malam, bukan mencari saja ikan, tapi mencari jalang, pelacuran dan maksiat ya," jerit Marliah dengan suara lantang hingga menampar cuping telinga ramai jiran yang sudah mula menaruh minat untuk mengetahui duduk perkara.

"Bagaimana kalau betul-betul abang pembawa kuman HIV?" Tambah perempuan berkulit putih kuning dan menarik itu.

"Sudahlah, jangan riuh nanti jiran dengar malu kita dibuatnya," pinta Hamidi.

"Oh abang tau malu, tahu maruah dan tahu itu tahu ini, masa buat dulu tidak fikirkan hal ini semua," Marliah menjerit lagi. Kali ini jiran yang mendengarnya sudah mula mengetahui adanya suatu keretakan.

"Di hotel dan di rumah pelacuran di daratan abang takut hendak memasukinya, takut tertangkap. Abang pergi ke laut untuk melakukan kerja terkutuk itu," Marliah tidak dapat menahan kesabarannya.

Sejak itu terbongkarlah rahsia pelacuran, peleseran dan kegiatan dadah di beberapa pulau di laut Selat Melaka yang bersempadan negera jiran Thai.

No comments: